Khamis, 11 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Penawar ajaib penduduk Vietnam

Posted:

Penawar ajaib penduduk Vietnam

PEMBURUAN badak liar secara haram merupakan satu bentuk kekejaman terhadap haiwan.


PESAKIT kanser di Vietnam yang terdesak mendapatkan penawar melihat tanduk badak sebagai penamat kesengsaraan. Obsesi tersebut mengancam kelangsungan hidup badak liar yang kian berkurang jumlahnya.

Khasiat yang terkandung dalam tanduk haiwan tersebut menyamai protein yang ditemui di dalam kuku manusia. Walaupun mahal, ia terus mendapat permintaan yang tinggi sekali gus mendorong pembunuhan badak oleh pemburu haram tanpa henti di Afrika Selatan.

"Saya disahkan menghidap kanser perut sembilan tahun lalu. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengambil ekstrak tanduk badak setiap hari. Kini doktor memberitahu keadaan saya stabil.

"Saya ada duit yang banyak, sudah berusia dan masih ingin hidup. Saya tidak mempunyai alasan untuk tidak membelanjakan wang bagi membeli tanduk badak yang mahal itu," ujar seorang lelaki tua yang kaya di Hanoi yang hanya mahu dikenali sebagai Nguyen Hung.

Kepercayaan bahawa tanduk badak mampu menyembuhkan pesakit kanser bagaimanapun ditolak oleh kajian perubatan. Tiada bukti kukuh menyokong kenyataan itu secara saintifik malah dua orang penghidap kanser yang menggunakan tanduk haiwan tersebut sebagai teknik rawatan, mati sebelum sempat ditemu bual AFP.

Namun kebanyakan orang Vietnam masih berpegang kepada teori yang dicipta mereka itu. Ia terus menjadi pilihan warganegara itu yang menganggap ia sebagai penawar ajaib.

Budaya tradisional

Tran Thi Hiep, 60, seorang pesara kerajaan yang mempunyai tumor di lehernya, telah menggunakan tanduk badak sebagai penyembuh sejak enam tahun lalu. Menurut wanita itu, mengikut budaya tradisional Vietnam, mereka perlu mencuba segala jenis penawar termasuk tanduk badak.

"Apabila sakit, kita perlu berdoa di empat penjuru bumi bagi mendapatkan penawar," ujar Thi Hiep yang memetik pepatah Vietnam yang popular.

Jalan Lan Ong di Hanoi ialah hab untuk kedai-kedai ubat tradisional yang sentiasa sibuk. Hampir setiap kedai menjual semangkuk penawar istimewa yang mengandungi hampas tanduk badak di permukaannya.

SEORANG lelaki menunjukkan cara-cara mengasah tanduk badak dengan pinggan seramik untuk mendapatkan serbuk tanduk.


"Tanduk badak digunakan bagi mencegah dan merawat kanser. Anda perlu mengisarnya sehingga menjadi serbuk sebelum mencampurkannya bersama air atau alkohol," kata Tran Thu Thao, pakar perubatan tradisional Vietnam.

Nilai 100 gram (g) ekstrak tanduk badak boleh mencecah 120 juta Dong (RM17,994) di pasaran gelap. Disebabkan kesukaran mendapatkan tanduk badak asli, wujud beberapa peniaga yang menawarkan tanduk palsu.

Membeli dan menjual tanduk badak diharamkan di Vietnam. Namun penguatkuasaan yang longgar dan pendakwaan terhadap penyeludup barangan itu juga jarang dilakukan. Kali terakhir dakwaan direkodkan ialah pada tahun 2005.

Modus operandi pembekal tanduk badak di negara itu juga menarik. Ada dalam kalangan mereka mengimport barangan itu secara sah daripada pemburu berlesen di Afrika Selatan. Pembelian itu dibolehkan kerana fungsi tanduk badak itu hanya sebagai trofi perhiasan.

Tetapi kegagalan pihak berkuasa Vietnam menjalankan pemeriksaan susulan mendorong pihak-pihak tersebut membawa barangan itu ke dalam pasaran gelap. Akhirnya ia lesap begitu sahaja dan menjadi penawar kepada mereka yang rakuskan ekstrak tanduk badak.

Desakan terhadap permohonan tanduk badak secara sah oleh Vietnam mendorong Afrika Selatan menggantung pengeluaran mereka. Mereka meminta pihak berkuasa Vietnam menjalankan pemeriksaan terperinci selepas tanduk badak yang dieksport selamat tiba di negara tersebut.

Naomi Doak dari Rangkaian Pemantau Perdagangan Hidupan Liar (Traffic) mengatakan, perniagaan itu sangat menguntungkan sindiket yang terlibat.

"Risiko penyeludupan tanduk badak lebih rendah berbanding dadah dari segi pengesanan. Permintaan tinggi di Asia juga menyebabkan sebanyak 448 ekor badak diburu secara haram di Afrika Selatan sepanjang tahun lalu.

MALANG. Beginilah nasib seekor badak selepas tanduknya dipatahkan untuk tujuan komersial.


"Tahun 2007 hanya mencatatkan sebanyak 13 ekor badak dibunuh dan dijangka terus meningkat tahun ini. Sehingga bulan lalu, 170 ekor badak bertemu ajal akibat kekejaman manusia," jelas Naomi.

Seorang pegawai polis Vietnam, Tran Huy Tu yang mengalami strok tahun lalu tidak terkecuali menggunakan tanduk badak sebagai alternatif rawatan.

Huy Tu yang merahsiakan nama sebenarnya memberitahu, beliau kerap mengambil ekstrak tanduk badak bagi mengimbangi tekanan kerja dan ketagihan minuman keras.

"Saya boleh minum arak dengan banyak tetapi masih mampu mengawal diri dan kekal cergas. Ia mengekang diri agar tidak pening dan berasa lesu serta mempunyai efek tersendiri. Membeli tanduk badak secara haram salah di sisi undang-undang tetapi di Vietnam anda boleh membeli apa sahaja jika ada duit yang banyak," kata Huy Tu.

Koboi rodeo, usahawan Cina, pemilik salon kuku Vietnam dan pakar barangan antik Amerika Syarikat (AS) merupakan antara lapan individu yang ditahan setakat ini berhubung penyeludupan tanduk badak yang terbesar dalam sejarah AS.

Kumpulan penyiasat AS menyatakan lebih banyak tangkapan sedang dijalankan. Pihak berkuasa telah mengenal pasti konco-konco yang merupakan ahli kumpulan penjenayah yang mahir. Mereka digerakkan oleh penyeludup dari Ireland, China, Vietnam, AS dan lain-lain.

Produk mereka lebih berharga daripada dadah atau emas. Satu tanduk badak boleh dijual sehingga AS$0.5 juta (RM1.6 juta) di Vietnam dan di sebahagian Asia Tenggara.

"Masalah ini amat besar. Usaha bagi menghentikan jenayah ini menjadi keutamaan agensi kami," ujar timbalan ketua undang-undang penguatkuasaan untuk Servis Ikan dan Hidupan Liar AS (FWS), Edward Grace.

Tambah Grace: "Orang tengah di sini membeli tanduk badak pada harga AS$5,000 (RM15,610) untuk 454g dan apabila tiba di Vietnam ia mencecah sehingga AS$25,000 (RM78,062) dalam amaun yang sama."

Bukan itu sahaja, keuntungan menjalankan perniagaan haram itu juga mampu mencatatkan sehingga AS$500,000 (RM1.6 juta) apabila ia sampai pada tangan individu yang terakhir.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Mesyuarat agung pertama Serikandi Sungai Petani

Posted:

Mesyuarat agung pertama Serikandi Sungai Petani

MOHD. SATAR (duduk kiri) bersama Azizah (duduk tengah) selepas mesyuarat Serikandi PBTM Sungai Petani di Kedah baru-baru ini.


BINCANG. Serikandi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sungai Petani telah mengadakan mesyuarat agung pertamanya di Bangunan UMNO Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Pengerusi PBTM cawangan itu, Kapten (B) Mohd. Satar Saad ketika merasmikan mesyuarat itu memuji Azizah Ismalil yang dilantik sebagai Pengerusi Serikandi PBTM Sungai Petani bagi tahun 2012 hingga tahun 2015.

Beliau berharap jawatankuasa baharu lain yang dilantik juga dapat menjalankan pelbagai aktiviti dengan lebih baik selepas ini.

"Kita berharap setiap masalah melibatkan isteri-isteri veteran dan balu veteran tentera dapat diselesaikan dengan lebih sempurna," katanya.

Dalam pada itu, Azizah pula memberitahu, pihaknya merancang mengadakan kursus membuat coklat pada November ini dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 013-4235 836.

Kanak-kanak OKU jalani kursus pemulihan Dousa Hou

Posted:

Kanak-kanak OKU jalani kursus pemulihan Dousa Hou

JOO AI (kanan) bertanyakan sesuatu kepada S. Mahaletchumy, 9, sambil diperhatikan ibunya, G. Premah (kiri) selepas merasmikan majlis penutup Kursus Dousa Hou di Melaka semalam.


PEMULIHAN. Sekumpulan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) menjalani kursus selama enam hari bermula kelmarin bertujuan memberi latihan dan pendedahan teknik pemulihan badan dan psikologi atau dikenali Dousa Hou di Melaka, semalam.

Teknik Dousa Hou berasal dari Jepun merupakan program kepada ibu bapa bagi menjadi pelatih program pemulihan dalam komuniti (PDK), kakitangan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan petugas kementerian.

Kursus berkenaan dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan OKU, Ibu Pejabat JKM, Yeoh Joo Ai.

Turut hadir dalam kursus itu ialah Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka, Datuk Daud Arbah dan Presiden Fukushima Association of Motor Action Training, Ara Masafumi.

Majlis ramah mesra GCT dapat sambutan meriah

Posted:

Majlis ramah mesra GCT dapat sambutan meriah

RAMLI (duduk, lima dari kiri) bersama ahli GCT semasa majlis ramah mesra bersama keluarga
di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.


MERIAH. Seramai 90 orang ahli Pasukan Berbasikal Gaateh (GCT) telah mengadakan majlis ramah mesra bersama keluarga masing-masing di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Penyelaras GCT, Ramli Che Mat berkata, program tersebut diadakan untuk merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli kumpulan tersebut.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dijalankan oleh GCT bukan sekadar berbasikal semata-mata sebaliknya perkara lain seperti beriadah.

"GCT yang ditubuhkan pada Julai tahun lalu juga berjaya mengumpulkan ramai peminat sukan berbasikal untuk menjalani gaya hidup sihat dan aktif," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tuah penakluk Selat Inggeris

Posted:

Tuah penakluk Selat Inggeris

NAJIB (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama para perenang yang berjaya menamatkan Ekspedisi Renang Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia di Bangunan Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan pangkat kesemua tujuh perenang Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) atas kejayaan mereka melaksanakan cabaran itu baru-baru ini.

Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian insentif wang tunai berjumlah RM120,000 kepada mereka serta tujuh perenang simpanan yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seorang jurulatih.

"Bagi perenang solo, kita setuju berikan RM20,000. Perenang lain RM10,000 seorang. Pasukan simpanan dan jurulatih RM5,000 seorang," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan dan jamuan tengah hari bersama peserta ekspedisi itu di Dewan Bankuet Parlimen di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

196,014 minta bantuan AKPK

Posted:

196,014 minta bantuan AKPK

Oleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
luqman.ridhwan@kosmo.com.my

KEYAKINAN orang awam terhadap AKPK dalam menguruskan kewangan peribadi terus meningkat. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Keyakinan orang awam terhadap kemampuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mengurangkan beban pembayaran balik hutang terus meningkat apabila seramai 196,014 individu telah mendapatkan khidmat daripada agensi itu setakat Ogos lalu.

Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Korporat AKPK, Nor Fazleen Zakaria berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 80,664 individu telah menyertai program penjadualan semula pembayaran hutang yang dicadangkan oleh AKPK.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan statistik terbaru, punca utama penyusunan semula hutang bukan disebabkan penggunaan kad kredit.

Ia sebaliknya berpunca daripada sikap individu terbabit yang berbelanja melebihi kemampuan.

"Berdasarkan statistik terbaru, sebanyak 25 peratus atau 20,166 orang terpaksa dijadual semula pembayaran hutang mereka disebabkan berbelanja melebihi kemampuan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tingkat tenaga diperbaharui

Posted:

Tingkat tenaga diperbaharui

NAJIB mencuba kereta elektrik keluaran syarikat Toyota ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan IGEM 2012 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia menyasarkan untuk menjana 5.5 peratus daripada kapasiti tenaga keseluruhannya daripada sumber-sumber diperbaharui menjelang 2015.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mewujudkan mekanisme sokongan termasuk tarif galakan yang membayar kadar premium bagi elektrik hijau dalam usaha mencapai matlamat itu.

"Kita mengetengahkan tenaga diperbaharui dan kini menyasarkan untuk mencapai 5.5 peratus daripada kapasiti tenaga keseluruhan daripada sumber-sumber diperbaharui menjelang 2015 dan 11 peratus menjelang 2020," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Safee dalam dilema

Posted:

Safee dalam dilema

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SAFEE terpaksa melupakan hasrat beraksi pada Piala AFF Suzuki November depan.


PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung sementara oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan yang mendapat tempiasnya ialah penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan beliau telah menerima salinan surat penggantungan tersebut daripada PSSI yang turut melibatkan setiap pegawai dan pemain kelab Liga Super Indonesia.

Pemain yang bernaung di bawah Pelita Jaya juga tidak dibenarkan beraksi dengan skuad kebangsaan.

Menurut Azzuddin, berita buruk itu jelas memberikan impak kepada skuad kebangsaan yang terpaksa melupakan khidmat bekas penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali.

Ini kerana kelab yang diwakili Safee, Pelita Jaya turut berada di dalam senarai penggantungan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara jiran tersebut.

"Benar, laporan semalam (kelmarin) hanya menyentuh mengenai penggantungan kelab. Tidak menyentuh pasal isu pemain.

"Tetapi awal pagi tadi (semalam), saya telah menerima satu surat daripada PSSI yang mana mereka telah mendapat surat penggantungan daripada FIFA.

"Setiausaha Agung PSSI, Halim Mahfudz mengesahkan pengiriman salinan surat tersebut kepada FAM.

"Ini bermakna Safee tidak dapat mewakili Malaysia sehingga PSSI bersidang pada satu Kongres mereka hujung tahun ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, akhbar Kosmo! melaporkan, Azzuddin mengesahkan khidmat Safee tidak terjejas ekoran penggantungan 25 kelab di bawah naungan PSSI.

Ia gara-gara PSSI tidak mengiktiraf Liga Super Indonesia yang didakwa sebagai 'liga haram'.

Sebaliknya, kepimpinan baharu PSSI yang diterajui Djohar Arifin Husin mengiktiraf Liga Premier Indonesia (IPL) dan bukannya ISL.

Kemelut dalaman itu mendapat perhatian serius daripada FIFA yang menegaskan bahawa badan bola sepak dunia itu mahu persatuan bola sepak republik tersebut menyelesaikan 'isu' liga utama mereka pada Mac lalu.

Mengulas lebih lanjut, Azzuddin mengakui kesal dengan kemelut dalaman PSSI yang melibatkan khidmat Safee, sekali gus dilihat memberikan tamparan kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal.

"Saya agak terkejut selepas mendapat laporan itu. Saya terus menghubungi PSSI dan meminta penjelasan daripada mereka.

"PSSI menjelaskan yang mereka sudah mendapat surat penggantungan yang dikeluarkan secara rasmi oleh FIFA.

"Malah, satu salinan surat tersebut telah diberikan kepada Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay.

"Justeru, dukacita dimaklumkan bahawa kita tidak dapat menggunakan khidmat Safee sebelum PSSI bersidang hujung tahun ini," katanya.

Farizal bawa ATM ke final

Posted:

Farizal bawa ATM ke final

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

ZAQUAN Adha (kiri) dihalang dua pertahanan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua kempen Piala Malaysia
di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi. ATM mara ke final selepas menang 5-4 menerusi penalti.


PENJAGA gol, Farizal Harun layak dijulang sebagai wira apabila membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempah slot ke final kempen Piala Malaysia 2012 sebaik menewaskan Lions XII menerusi sepakan penalti 5-4 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat menerusi agregat 2-2 sebaik masa sebenar tamat apabila perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Ketika perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada masa tambahan, Farizal akhirnya muncul wira apabila berjaya menepis dua sepakan penalti Lions XII yang gagal disempurnakan Shaiful Esah dan Baihakki Khaizan.

Penyerang gantian ATM, Fitri Omar akhirnya tenang menyempurnakan sepakan penalti terakhir sebelum sepakan pemain Lions XII, Yasir Hanapi sekadar terkena tiang.

Kecemerlangan Farizal malam tadi turut dilihat berjaya menebus kegagalan dua pemain ATM, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan A. Varanthan yang terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti masing-masing.

Pada masa sama, kemenangan itu juga menyaksikan ATM berjaya menjejak pentas final di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini buat kali pertama dalam tempoh 46 tahun.

Terdahulu, keghairahan ATM memburu gol akhirnya dihukum pelawat apabila rembatan penyerang Lions XII, Agu Casmir tertampan tonggak pertahanan ATM, sekali gus menewaskan Farizal pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan tersebut, ATM yang terdesak memburu jaringan penyamaan kembali bangkit melakukan serangan bertali arus, namun masih gagal memecah kebuntuan.

Begitupun, percaturan jurulatih Lions XII, V. Sundramoorthy mengeluarkan kapten, Shahril Ishak ternyata mengundang padah apabila penyerang import ATM, Marlon Alex James akhirnya muncul penyelamat apabila berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Pasukan pelawat bertambah tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Isa Halim diperintahkan keluar padang pada awal masa tambahan gara-gara mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Zaquan Adha Abdul Radzak.

Kesempatan itu begitupun gagal dimanfaatkan ATM apabila penjaga gol pelawat, Izwan Mahmud bertindak cemerlang menggagalkan percubaan Marlon pada penghujung perlawanan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini juga terikat 1-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada aksi separuh akhir pertama minggu lalu.

Satu lagi finalis bakal ditentukan antara Selangor dan Kelantan dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam ini.

Kelantan ketika ini mendahului menerusi agregat 1-0 hasil jaringan Nur Farhan Muhammad di Kota Bharu minggu lalu.

Misi hidup mati Gergasi Merah

Posted:

Misi hidup mati Gergasi Merah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

IRFAN BAKTI (dua dari kiri) gigih merencanakan strategi pada sesi latihan skuad Selangor di Shah Alam semalam.


TEKA-TEKI mengenai kemampuan Selangor menterjemahkan 'Misi 33' dalam kempen Piala Malaysia kali ini bakal terjawab malam ini.

Malam ini, Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi kebangkitan Gergasi Merah, sekali gus memadam defisit satu gol yang dimiliki Kelantan dalam aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu.

Sentuhan 'magis' yang dimiliki pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim juga benar-benar ditagih penyokong setia Merah Kuning bagi menamatkan penantian selama tujuh musim selepas kali terakhir mengucup trofi Piala Malaysia pada 2005.

'Sentimen' pentas final edisi kali ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam juga pastinya menyuntik moral pemain Selangor supaya berjuang bermati-matian malam ini.

Biarpun mahu perlawanan malam ini sebaik-baiknya tidak diheret ke masa tambahan mahupun penentuan sepakan penalti, Irfan Bakti kekal optimis peluang anak-anak buahnya menjejak pentas final masih bersisa.

"Masih ada 90 minit dan kami tekad untuk mengatasi kelebihan Kelantan.

"Jaringan (Kelantan) itu masih belum selamat dan saya berharap persembahan pemain akan bertambah baik dan matang, terutama ketika beraksi di laman sendiri (malam ini).

"Matlamat kami adalah untuk mara ke final pada musim ini dan 'Misi 33' masih berada di landasan tepat," tegas Irfan Bakti.

Malam ini, sentuhan pemain berbisa Selangor seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim, Bosko Balaban dan Rozaimi Abdul Rahman pastinya ditagih Irfan Bakti biarpun kehilangan tonggak pertahanan, Mohd. Nasriq Baharom yang dilayangkan kad merah dalam separuh akhir pertama sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin juga menyeru penyokong supaya membanjiri Stadium Shah Alam malam ini.

"Perlawanan berdepan Kelantan ibarat perlawanan akhir, jadi kehadiran penyokong Selangor di Stadium Shah Alam pastinya menyuntik moral pemain kami," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Girang menangkap belut

Posted:

Girang menangkap belut

Oleh NORHAYATI YAHAYA

PULUHAN ekor belut dilepaskan di dalam kolam kecil untuk mencabar keberanian pelajar.


GAMAT! Demikian suasana yang dapat digambarkan bila sekumpulan 19 murid sekolah turun menangkap belut di Homestay Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.

Masakan tidak, daripada jumlah itu sebahagian besar daripadanya merupakan pelajar luar negara antaranya, Australia, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Malah, tidak dinafikan murid dari Malaysia sendiri iaitu pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Petaling Jaya juga kebanyakannya tidak pernah menyentuh haiwan melekit yang mempunyai rupa seperti ular itu.

Keadaan menjadi tambah meriah apabila terdapat pelajar dari Melbourne, Australia yang dikenali sebagai Mitchell mula membuka baju-T dan masuk ke dalam kolam kecil yang mempunyai puluhan belut.

Aksi bersahaja Mitchell itu juga turut dijejaki pelajar lain yang masing-masing teruja untuk menangkap belut tersebut.

Percikan air dan belut yang terlepas daripada genggaman mereka menyebabkan guru, ibu bapa dan penonton lain yang berada di tepi kolam buatan yang dilapik menggunakan plastik berwarna biru itu turut bersorak gembira.

Puas menangkap belut dan bergelumang di dalam kolam, kumpulan pelajar yang mengikuti Program Pertukaran Sekolah Antarabangsa itu diberi peluang pula menangkap ikan di kawasan tali air berhampiran.

Di situ, sekali lagi mereka teruja apabila diminta memasang sendiri umpan pada kail buluh yang disediakan.

Kepenatan semasa menangkap belut sebelum itu dilepaskan seketika sementara menunggu umpan kail mengena.

Keliling kampung

Ryan Craig Lewis, 12, dari Australia yang turut dibenarkan menunggang basikal mengakui, tidak akan melupakan pengalaman sehari suntuk di Homestay Sungai Sireh itu.

Menurutnya, selain dapat melihat sawah padi yang terbentang luas di sepanjang perjalanan ke situ, dia turut berpeluang menampi dan menumbuk beras.

"Semua ini menyeronokkan, ia sangat menarik," katanya.

Selain berbasikal, sebahagian daripada peserta program turut merasai pengalaman menaiki trem yang disediakan.

Puas berjalan mengelilingi kampung, mereka juga dibawa masuk ke dusun durian milik salah seorang peserta homestay yang mesra dipanggil Wak Selamat atau nama sebenarnya Selamat Surib.

Peserta berpeluang mengutip durian yang luruh selain mengopek sendiri raja buah itu.

Taylor Hester, 11, yang sememangnya nampak berani dalam setiap aktiviti bagaimanapun hanya berdiri dan memerhati ketika acara mengopek durian.

Dia yang dipelawa untuk mencuba durian kampung itu bagaimanapun menolak dengan baik pelawaan tersebut kerana ujarnya, dia pernah mencubanya sebelum ini dan kurang menggemari rasanya.

"Antara semua aktiviti yang dibuat ini, saya paling suka bila diberi peluang menangkap belut kerana ia bukan sahaja menuntut saya bersabar, tetapi perlu ada teknik untuk memastikan ia tidak terlepas dari tangan.

"Saya juga suka bau durian yang wangi, tetapi saya tidak menggemari rasanya kerana pernah cuba makan buah itu sebelum ini," ujarnya.

Selain aktiviti itu, peserta turut teruja apabila sempat bermain layang-layang di tengah sawah dan menaiki Bukit Melawati di Kuala Selangor.

Di situ, selain menziarahi kawasan-kawasan bersejarah dan Rumah Api Kuala Selangor, mereka turut dibenarkan untuk memberi makan monyet di situ.

Selesai aktiviti tersebut, mereka turut dibawa ke Kampung Kuantan dan menyusuri Sungai Selangor untuk melihat dengan lebih dekat kelip-kelip.

Pengetua SK Taman Megah, Khoo Swee Poh ketika ditemui berkata, sebagai hos bagi program itu, beliau gembira apabila aktiviti tersebut dapat memberi satu pengalaman baharu buat semua peserta.

Menurut beliau, selain para pelajar, pihaknya turut membawa empat lagi guru pengiring bagi setiap sekolah dari luar negara itu serta beberapa ibu bapa yang turut ingin serta dalam program tersebut.

"Saya lihat mereka begitu gembira dan teruja sekali dengan setiap aktiviti yang kita jalankan dan kedatangan kami ke homestay ini juga amat bermakna. Ia merupakan satu pilihan yang tepat," kata Swee Poh.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh

Posted:

Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh

11/10/2012 7:18pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang wanita dan lelaki bagi membantu siasatan kes peniaga tayar yang mati dibunuh bersama teman wanitanya di Taman Segar Perdana, Kajang, Selangor pada 13 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Kosimioner, Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek masing-masing berumur 48 dan 20 tahun ditahan pada kira-kira pukul 2 petang semalam di sebuah rumah di Triang, Pahang dan kini ditahan reman.

"Polis turut merampas sebilah parang, dua gari, tiket berlogo polis, jaket dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, reman terhadap wanita yang juga isteri kepada mangsa (peniaga tayar) yang ditahan Sabtu lepas, dilanjutkan sehingga 13 Oktober ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan yang mempunyai rangkaian kedai tayar di sekitar Lembah Klang dan teman wanitanya ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan pada badan, tangan dan leher di rumahnya di Taman Segar Perdana.

Mangsa dikenali sebagai Leong Kian Sheong, 37, dan Vivien Wong, 20, ditemui terbaring berlumuran darah didalam sebuah bilik di tingkat bawah sebuah rumah teres. - BERNAMA

Wanita miliki 29 keping kad kredit palsu dipenjara

Posted:

Wanita miliki 29 keping kad kredit palsu dipenjara

11/10/2012 6:41pm

KUCHING - Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 58 bulan dan denda RM14,500 terhadap seorang wanita yang berkerja sebagai pembantu tadbir selepas dia mengaku bersalah terhadap 29 pertuduhan memiliki kad kredit menggunakan nama orang lain.

Tertuduh, Dewi Susilawaty Suaidi, 37, yang bertugas di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak tenang selepas Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman tersebut.

Dewi Susilawaty didakwa memiliki 29 keping kad kredit pelbagai bank atas nama 16 wanita lain pada pukul 4.35 petang, 28 Ogos lalu di Taska Sichomel Alam Sanctuary, No. 4564 Lorong Sumber Alam 2D, Sumber Alam Sanctuary, Jalan Sultan Tengah.

Pendakwaan oleh Inspektor Yunus Sahak itu dilakukan mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon untuk menangguhkan hukuman penjara tersebut dan mahkamah membenarkannya dengan ikat jamin RM3,000 selain perlu membayar denda tersebut hari ini. - BERNAMA

Samun dua buah rumah dalam tempoh sejam

Posted:

Samun dua buah rumah dalam tempoh sejam

11/10/2012 6:20pm

ROMPIN - Tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun dua buah rumah di Kampung Bakong dekat sini awal pagi tadi namun, seorang daripadanya berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, pada mulanya mereka yang dipercayai warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah kira-kira pukul 3.35 pagi.

"Pemilik rumah yang nyenyak tidur hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas kejadian, kira-kira pukul 6 pagi iaitu selepas mendapati rumah dalam keadaan berselerak akibat digeledah.

"Mangsa seorang wanita berusia 40-an melaporkan kerugian kira-kira RM6,000 selepas barangan kemasnya hilang," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya memecah masuk pula sebuah lagi rumah yang terletak tidak jauh dari situ pada kira-kira pukul 4.30 pagi.

Mangsa kali ini, Rokiah Harun, 50, diikat dengan tali kasut dan mulutnya ditampal dengan pita pelekat, katanya.

"Ketiga-tiga suspek yang tidak memakai baju, berseluar pendek serta menutup muka dengan kain itu kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama barangan kemas berupa seutas rantai leher, gelang tangan, empat utas jam tangan, kamera digital dan telefon bimbit ke kawasan ladang sawit berhampiran.

"Jumlah kerugian dianggarkan RM8,000," tambahnya.

Johari berkata, mangsa kemudian mengejutkan suaminya yang tidur di bilik bersebelahan sebelum mereka bertindak menghubungi polis.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil cermin tingkap di bahagian tengah rumah tersebut sebelum menyelinap masuk ke dalam rumah," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung

Posted:

Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung

GAMBAR yang diperoleh menerusi video menunjukkan kepulan asap di bandar Homs akibat bedilan tentera Syria kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria semalam membedil bandar Homs pada awal pagi dan di bandar Qusayr dekat sempadan Lebanon, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.

Pihak tentera telah meningkatkan operasi ketenteraan di Homs dan Qusayr yang telah dikepung sejak beberapa bulan lalu.

Seorang aktivis di Bandar Lama Homs menyatakan, semua kawasan di daerah tersebut telah dikepung.

"Tiada jalan keluar. Situasi kini amat buruk dan membuat setiap penduduk menangis," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bilal.

"Hospital-hospital dipenuhi dengan ramai penduduk yang cedera dan memerlukan pembedahan. Tiada sebarang jalan keluar," tambahnya.

Bandar tersebut telah dikepung lebih empat bulan oleh tentera Syria yang berdepan dengan tentangan kumpulan pemberontak.

Kumpulan pemberontak itu menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.

"Kami menghubungi Jawatankuasa Antarabangsa Palang merah dan Bulan Sabit untuk datang bagi menghulurkan bantuan," kata aktivis itu.

Sementara itu, Turki memberi amaran akan menyerang balas dengan lebih hebat jika bedilan mortar dan meriam mengenai wilayahnya.

"Kami akan bertindak balas dengan serangan lebih hebat," kata Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Necdat Ozel.

Pada minggu lalu, Turki dan Syria saling berbalas bedilan di kawasan sempadan sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik di Syria akan merebak di rantau tersebut.

Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi

7.43 juta kenderaan Toyota bermasalah

Posted:

7.43 juta kenderaan Toyota bermasalah

GAMBAR fail menunjukkan kereta keluaran syarikat Toyota, Auris di sebuah bilik pameran di Tokyo pada 23 Oktober 2006.


TOKYO - Pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota Motor Corporation memanggil semula 7.43 juta unit kenderaan keluarannya di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Eropah dan pasaran-pasaran lain di seluruh dunia ekoran masalah suis tingkap kuasa.

Syarikat itu membuat pengumuman semalam dan ia melibatkan banyak model keluaran tahun 2005 hingga 2010.

Menurut Toyota, suis tingkap kuasa di tempat pemandu dikatakan tidak diletakkan dengan minyak gris sewaktu proses pengeluaran sekali gus boleh mengakibatkan geseran dan kadangkala menghasilkan asap.

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini ekoran masalah itu.

Bagaimanapun, jurucakap Toyota, Joichi Tachikawa berkata, terdapat 200 laporan di AS dan 39 di Jepun berhubung masalah itu.

Model-model lain yang dipanggil balik dari pasaran Amerika Utara ialah Yaris, Corolla, Matrix, Camry, RAV4, Highlander, Tundra dan Sequoia.

Model-model Scion seperti xB and xD yang melibatkan 2.47 juta unit kenderaan turut terlibat dengan masalah tersebut.

Sebanyak 460,000 kenderaan Toyota menjalani proses yang sama di Jepun melibatkan model Vitz, Belta, Ractis, Ist, Auris dan Corolla Lumion.

Sementara itu di Eropah, sebanyak 1.39 juta unit model seperti Yaris, Corolla, Auris, Camry dan Rav-4 turut menghadapi masalah yang sama.

Proses pemanggilan semula juga berlaku di Australia, China, Asia dan Asia Barat. - Agensi

Ketua PBB puji Psy

Posted:

Ketua PBB puji Psy

PSY (tengah) menari tarian kuda dalam program bual bicara Today di New York pada 14 September lalu.


PARIS - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon memuji penyanyi rap Korea Selatan kerana lagu Gangnam Style menjadi penggerak ke arah keamanan dunia.

"Saya telah menonton video tersebut (Gangnam Style)," katanya kepada agensi berita AFP kelmarin.

Ki-moon yang berusia 68 tahun merupakan rakyat Korea Selatan.

Muzik video Gangnam Style yang menunjukkan Psy menari tarian kuda telah ditonton lebih 400 juta kali di laman perkongsian YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu.

Psy kemudian menjadi terkenal di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat (AS) ekoran tariannya itu.

Dia turut diundang ke AS untuk menghadiri program bual bicara dan menjadi artis yang diurus oleh pengurus penyanyi terkenal, Justin Bieber, Scooter Braun.

Tarian kudanya itu juga menjadi ikutan penduduk pelbagai bangsa, walaupun lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Korea.

Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic menari tarian itu selepas perlawanan akhir Terbuka China di Beijing pada 7 Oktober lalu.

Pada perlawanan itu, dia menewaskan Jo-Wilfried Tsonga dari Perancis dengan keputusan 7-6, 6-2.

Menurut Ki-moon, beliau bangga dengan persembahan Psy.

"Tidak ada bahasa yang diperlukan dalam dunia muzik. Ia merupakan kuasa muzik.

"Menerusi persembahan seni itu, kita akan lebih memahami kebudayaan dan tamadun bangsa lain," katanya. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ika Nabila ingin jadi versatil

Posted:

Ika Nabila ingin jadi versatil

GADIS jelita yang bernama Ika Nabila ini, semakin kerap menghiasi kaca televisyen melalui drama bersiri lakonannya yang tampil dengan pelbagai watak sama ada yang serius mahupun komedi.

Namun, tidak dinafikan, bakat lakonan Ika Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Ika, makin lama makin menjadi dan ternyata bakat lakonannya lebih menyerlah daripada nyanyian.

Ika yang merupakan bekas peserta program realilti Akademi Fantasia musim ke-6 juga menyedari perkara tersebut.

Namun, akui gadis berusia 23 tahun ini, menyanyi dan berlakon mempunyai kepuasan yang berbeza buat dirinya yang kini lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi.

"Memang saya bermula sebagai seorang penyanyi, tapi kini keghairahan saya telah beransur lebih ke arah lakonan. Mungkin kerana saya kerap berlakon daripada menyanyi dan kepuasan berlakon juga berbeza.

"Mungkin kini, saya rasa saya lebih sesuai berada di bidang lakonan kerana apabila saya pergi ke mana-mana acara, khalayak akan lebih dikenali sebagai pelakon dan bukannya penyanyi.

"Namun, sejujurnya saya memang meminati kedua bidang ini. Ini kerana dari kecil, saya memang minat kepada nyanyian. Saya tidak sangka pula akan dikenali khalayak dalam bidang lakonan," bicara Ika yang ditemui ketika sidang akhbar drama lakonan terbaharunya, Darjat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ceritanya panjang lebar tentang permulaan karier sebagai pelakon, katanya, orang pertama yang menawarkan watak dalam bidang lakonan ialah Zulkifli M. Osman dan sejak itu, rezeki dalam lakonan semakin menjadi.

Masih aktif menyanyi

Walaupun dilihat jelas rezeki bagi Ika lebih memihak kepada bidang lakonan, namun, kerana minat sejak kecil, Ika masih lagi ingin aktif dalam nyanyian.

"Saya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, dan kini saya banyak terlibat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya akan mengikut KBS ke Sarawak, Kelantan, Terengganu dan serata Malaysia untuk membuat persembahan.

"Sebagai seorang yang mulakan karier sebagai penyanyi, saya masih lagi menyanyi. Jika ada penggambaran pada sebelah siang, saya akan mengambil tawaran menyanyi pada sebelah malam atau pun pada hari minggu.

"Saya akan masih lagi terima dan membuat persembahan," tuturnya yang pernah punya single duet berjudul Tiada Rasa bersama Alif Razali.

Berbicara tentang perancangan menghasilkan single terbaharu, kata Ika, memang ada namun dia masih mencari lagu yang sesuai dan bertanya pendapat dan meluahkan hajat kepada beberapa komposer bagi penghasilan single yang akan berentak balada kelak.

Ujar gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia ingin menjadi seorang anak seni yang versatil. Dia bukan sahaja ingin aktif dalam lakonan dan nyanyian, namun katanya, jika diberi peluang dalam bidang pengacaraan, peluang tersebut tidak akan disia-siakan.

"Saya rasa jika peluang itu terbuka untuk saya, tiada salahnya jika saya mencuba pula dalam bidang lain. Saya mahu cuba semua, dan ingin lihat mana satu yang sesuai dengan diri saya dan boleh menjadi mata pencarian saya.

"Saya ingin jadi seorang wanita yang versatil, di mana, saya tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran jadi penyampai radio di salah sebuah stesen radio swasta tapi masih lagi perlu dirahsiakan maklumatnya," ujarnya sambil ketawa kerana terlepas cakap tentang tawaran tersebut.

Kisah cinta Ika

Ika pernah digosipkan bercinta bersama seorang pengkid yang bernama Adlin. Namun, kata Ika yang menafikan gosip tersebut, Adlin sebenarnya merupakan pengurus kegiatan seninya sejak dia keluar dari Akademi Fantasia lagi.

Namun, setelah beberapa kali diterjah tentang isu yang sama, cerita tersebut telah beransur sunyi. Bagi Ika, yang ketika itu masih hijau dalam industri menganggap kontroversi tersebut sebagai asam garam kehidupan sebagai artis dan tidak kurang juga menaikkan namanya dalam industri.

Namun, setelah itu, Ika kini dikatakan punya teman lelaki yang merupakan seorang anak VIP dan punya perancangan ingin berkahwin. Ketika soalan itu diajukan kepada Ika, gadis ini menjawabnya dengan senyuman dan diselangi dengan ketawa.

"Belum lagi, saya tidak punya teman lelaki lagi dan saya tidak bercinta bersama sesiapa pun lagi. Saya rasa belum masa untuk saya bercinta atau berkahwin.

"Ini kerana saya merupakan anak perempuan tunggal daripada empat orang adik-beradik dalam keluarga. Agak rugi jika saya berkahwin awal kerana saya ingin memberi fokus terhadap karier saya dahulu," jawab Ika yang dilihat ceria sepanjang sidang akhbar tersebut.

Itu majlis Hero Remaja - Aeril Zafrel

Posted:

Itu majlis Hero Remaja - Aeril Zafrel

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


AERIL ZAFREL memberitahu, dia sebenarnya baru pulang dari Indonesia selepas mendalami ilmu agama di sekolah pondok di negara tersebut.


PELAKON kacak ini tiba-tiba dikejutkan dengan gosip pada hujung minggu lalu bahawa dia menghadiri acara sosial yang dihadiri golongan 'adik-adik' (golongan lelaki berkelakuan seperti perempuan) baru-baru ini.

Padahal sebelum ini, empunya badan, Aeril Zafrel, 23, telah mencanang kisahnya yang sedang mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Indonesia.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, berubah ke arah lebih baik kerana sering bermimpi arwah ibunya yang menegur kesilapan yang dilakukan sebelum itu.

Selain itu, pelakon filem Tujuh Petala Cinta dan Cinta Kura-Kura ini juga turut dinasihati oleh seorang ustaz supaya tidak mendedahkan anggota badannya untuk tatapan umum ketika berlakon.

Dia yang mula dikenali dengan filem Aku Tak Bodoh menganggap gosip yang mendakwa dia masih ke acara sosial walaupun sedang mendalami ilmu agama itu sebagai gurauan sahaja.

Tidak melatah dan marah dengan gosip, Aeril tetap bersyukur kerana pergerakannya menjadi buah mulut orang sekeliling dan kepada Kosmo! dia menjelaskan segala-galanya.

Kosmo!: Adakah Aeril tahu mengenai gosip yang mengatakan anda menghadiri acara sosial yang turut dihadiri golongan 'adik-adik'?

AERIL ZAFREL: Ya, saya tahu gosip itu apabila diberitahu oleh seorang kawan. Saya baca dan terus tergelak.

Kenapa anda tergelak membacanya?

Sebab saya rasa, penulis itu patut tulis dengan jelas acara itu. Ia bukan acara sosial sebenarnya tetapi Anugerah Hero Remaja 2012 yang diadakan 20 September lalu di Kuala Lumpur. Saya rasa tak salah pergi ke majlis tersebut, malah penerbit filem David Teo pun ada datang sebagai juri.

Jadi tidak benarlah anda menghadiri acara sosial seperti yang didakwa gosip tersebut?

Sudah tentu tidak benar, saya rasa itu bukan acara sosial, tetapi satu majlis anugerah.

Apa anda buat dalam majlis itu?

Saya hanya memberi sokongan kepada seorang rakan yang dikenali Ben yang menyertai pertandingan itu, dia antara Top 20 Hero Remaja 2012.

Anda pasti itu acara yang dimaksudkan, bukan acara sosial lain?

Sudah tentu saya pasti. Saya tidak ke mana-mana kelab malam lain atau parti 'adik-adik' yang dimaksudkan. Kali terakhir saya ke kelab malam adalah pada tahun lepas dan sekarang tidak pernah pergi lagi. Lagipun itu bukan parti 'adik-adik'.

Adakah anda pernah ke mana-mana acara sosial yang melibatkan golongan 'adik-adik' sebelum ini?

Alhamdulillah tidak ada. Saya memang jelas mengenai perkara itu.

Apa perasaan anda apabila terkena tempias gosip sebegini?

Saya terima sahaja perkara itu sebagai ujian Tuhan dan itu hanya pandangan orang lain. aya tidak boleh halang.

Apa projek filem atau drama terbaharu anda?

Saya sudah hadkan aktiviti seni untuk tumpukan kepada ilmu agama. Saya baru pulang dari Indonesia kerana belajar sekolah pondok, sekarang ada di Kuala Lumpur dan selepas ini akan berjumpa guru-guru agama di sini pula.

Tentang karier pula, saya akan muncul dengan filem terbaharu iaitu Budak Pailang dan 99 Kali Rindu.

Ketelitian kualiti AIM 19

Posted:

Ketelitian kualiti AIM 19

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim (empat dari kiri) bergambar dengan barisan juri dan tulang belakang ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KESAN kesilapan tahun lalu, Anugerah Industri Muzik 19 tahun ini terkena badinya. Bukan saja kurang sokongan daripada sudut penyertaan penggiat seni tanah air, malah juga sokongan daripada pihak penaja.

Anugerah yang akan mempertandingkan lagu-lagu pengkarya tempatan sepanjang bulan Julai 2011 hingga Jun 2012 itu secara puratanya didominasi oleh calon penyanyi yang sama dalam beberapa kategori seperti Yuna, Jaclyn Victor, Stacy, Nora dan band Hujan.

Faktanya, enam pencalonan daripada Yuna tercalon dalam lima kategori iaitu Kulit Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (dua pencalonan) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Begitu juga Jac yang tercalon dengan jumlah yang sama menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita (dua pencalonan), Lagu Pop Terbaik (dua pencalonan), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Paling mencuri tumpuan adalah pencalonan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik yang kelima-lima lagu didominasi oleh ratu pop etnik Malaysia, Noraniza Idris menerusi lagu Endang Endong Cintaku Satu, Hari Demi Hari, Kuasa Cinta, Mahligai dan Menarik Hati.

Itu tidak menjadi hal kerana biarpun penyanyi yang sama tersenarai lima lagu terbaik dalam satu kategori, penilaian akan dibuat berdasarkan komposer atau penulis lirik.

Popular atau kualiti

Jelas sekali jika diteliti, tiada nama penyanyi popular semasa tempatan yang menghiasi carta lima terbaik setiap kategori. Ke mana hilangnya Aizat, Alyah, Hafiz, Anuar Zain dan mungkin Najwa Latif?

Menjawab persoalan yang timbul ekoran tiada pencalonan penyanyi-penyanyi terkenal dan lagu-lagu popular sepanjang tempoh setahun ke belakang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim tampil memberikan jawapan.

"Prinsip AIM sejak dari dahulu lagi adalah memartabatkan produk-produk tempatan yang bukan berlandaskan populariti semata-mata. AIM bukan berunsurkan komersial sebaliknya kualiti sesebuah rakaman lagi.

"Ini bukan anugerah berasaskan populariti, sebaliknya hasil kerja. Mungkin lagu-lagu lain selain yang tercalon ini tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan tapi tidak bermakna lagu itu tidak bagus," katanya yang ditemui ketika majlis sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kembali meneliti beberapa pencalonan, terkandung nama penyanyi dan kumpulan yang diketahui umum bukan warganegara Malaysia. Hal status kerakyatan kembali menjadi isu.

"Calon tidak semestinya warganegara Malaysia untuk melayakkan seseorang itu bertanding dalam AIM, sebaliknya mereka yang memiliki kerakyatan luar, tetapi menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman tempatan yang bernaung di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) boleh bertanding dalam AIM," ujarnya menjawab kesahihan penyertaan Stephen Rahman Hughes dan kumpulan duo Sleeq.

Sementara itu, Rosmin menegaskan bahawa syarat lagu yang dipertandingkan sebenarnya mengikut tarikh kod nada lagu (dalam format digital) dikeluarkan dan bukanlah berdasarkan tarikh sesebuah lagu itu disiarkan di radio.

Pencalonan hambar

Cuba mengembalikan maruah yang tercalar akibat kesalahan pengiraan tahun lalu, firma audit Ernst & Young digantikan dengan KPMG dan Macomm Management Sdn. Bhd. sebagai firma profesional penyeliaan anugerah.

Malah seramai 57 orang juri profesional terdiri daripada komposer, penulis lirik, artis, penerbit album, jurutera bunyi dan penerbit kulit album dilantik sepanjang proses penghakiman 465 pencalonan untuk AIM 19.

Antaranya Datuk M.Nasir, Afdlin Shauki, Aylwin Santiago, Edrie Hashim, Edry KRU, Helen Yap, Ghaz Abu Bakar, Buddhi Hekayat, Pak Ngah Suhaimi, Syafinaz dan Adnan Abu Hassan selaku ketua juri.

Kata Adnan, dia akan berusaha memastikan keputusan yang telus dan tidak akan timbul sebarang pertikaian selepas usai majlis kelak. Adnan bagaimanapun kecewa dengan pencalonan yang diterima tahun ini.

"Perkara yang harus diakui, pencalonan yang diterima tahun ini tidak banyak dan semeriah lima atau enam tahun lalu. Mungkin kebanyakan penyanyi sekarang lebih gemar keluarkan single demi single berbanding album penuh," getusnya.

AIM 19 akan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, Selangor bermula pukul 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) pada 17 November ini.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved