Khamis, 27 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Aura ibu popularkan Geun-hye

Posted:

Aura ibu popularkan Geun-hye

PARK GEUN-HYE berusia 22 tahun ketika dia membasuh darah pada pakaian ibunya yang mati dibunuh. Lima tahun kemudian, beliau menambahkah lagi trauma autobiografinya apabila memegang baju bapanya yang dipenuhi darah selepas 'orang kuat' Korea Selatan itu mati ditembak.

Kini pada usia 60 tahun, Geun-hye muncul sebagai waris kedua-dua ibu bapa yang mati dibunuh. Geun-hye bakal menjadi Presiden wanita pertama Korea Selatan.

Minggu lalu Geun-hye telah dipilih sebagai calon presiden oleh kerajaan konservatif Korea Selatan. Pemilihan memberi petunjuk beliau berada di barisan hadapan bagi pilihan raya yang akan berlangsung pada bulan Disember ini.

Bagi sesetengah rakyat Korea Selatan, keadaan tersebut mengembalikan semula memori mereka kepada mendiang bapa Geun-hye, Park Chung-hee.

Bapanya merupakan seorang diktator tentera. Sepanjang 18 tahun pemerintahan, beliau berjaya mengeluarkan negara daripada belenggu kemiskinan, tetapi mengabaikan hak asasi manusia.

Chung-hee bagaimanapun masih dilabel seorang tokoh kontroversi dalam kuasa perindustrian Asia.

Namun, pada masa yang sama, Geun-hye berjaya mengembalikan ingatan rakyat kepada ibunya, Yuk Young-soo, yang pernah dikenali sebagai ibu kepada rakyat.

Young-soo diingati kerana karakternya yang suka melibatkan diri dalam kegiatan amal termasuk melawat pesakit-pesakit kusta. Young-soo tidak kisah untuk bersalaman dan memeluk pesakit. Itu faktor yang menyebabkan beliau masih memegang takhta wanita pertama Korea Selatan paling popular setakat ini.

Penampilan ringkas

Dengan gaya rambut tahun 1970-an, Geun-hye menjalani kehidupan dengan berjimat-cermat dan seorang yang ringkas dalam penampilan. Wanita yang masih bujang itu tinggal di sebuah rumah yang cukup sederhana di Seoul. Segala-gala mengenainya mengembalikan ingatan kebanyakan rakyat Korea Selatan kepada ibunya.

GEUN-HYE (tiga dari kanan) dan abangnya, Park Ji-man (dua dari kanan) menghadiri upacara memperingati mendiang ibu mereka, Wanita Pertama Korea Selatan, Yuk Young-soo di tanah perkuburan negara, di Seoul.


"Geun-hye kelihatan seperti ibunya apabila dia menegur dan mengukir senyuman," kata salah seorang penyokongnya, Lee Young-ho kepada Reuters sambil duduk di bawah bumbung rumah lama Young-soo di bandar Okcheon sebelum mengahwini Chung-hee.

Young-ho merupakan seorang bekas askar dan veteran perang Vietnam. Dia juga seorang ahli pengawal presiden pada tahun 1970-an dan berkhidmat rapat dengan keluarga Chung-hee.

Rumah tradisional Korea yang menjadi lokasi temu bual Young-ho telah menjadi makam bagi Young-soo dan beratus-ratus orang melawatnya setiap hari.

Kini, Young-ho sudah menginjak usia 68 tahun. Beliau berkhidmat sebagai pegawai parti Park's New Frontier dan merupakan pengarang bersama biografi Young-soo.

Dia yakin bahawa Geun-hye boleh mengekalkan kemenangan lebihan undi dua digit dalam pemilihan, sekali gus memenangi pilihan raya seterusnya dapat membayar 'pengorbanan' orang tuanya.

"Hutang boleh dibayar balik apabila Geun-hye menjadi presiden," katanya.

Young-soo berusia 49 tahun pada hari dia terbunuh iaitu 15 Ogos 1974 akibat terkena peluru sesat apabila pembunuh pro-Korea Utara melepaskan tembakan kepada suaminya. Saksi-saksi yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, langit menjadi suram pada hari kematiannya.

Ribuan orang hadir pada upacara peringatan yang diadakan di tempat persemadiannya di Seoul dan Okcheon yang terletak kira-kira 170 kilometer dari ibu kota.

Walaupun kisah keluarganya begitu terkenal, ditenun dalam lipatan sejarah sebuah negara moden, Geun-hye sendiri telah membuat dua tawaran untuk memenangi pencalonan presiden konservatif. Beliau merupakan seorang perahsia dan sangat berhati-hati apabila menyentuh mengenai karier politiknya.

Geun-hye menghilangkan diri daripada kehidupan awam pada tahun 1979 selepas pembunuhan bapanya yang dirancang oleh ketua perisikan bapanya sendiri.

Geun-hye hanya muncul semula pada tahun 1997 bagi membantu menyelamatkan negara daripada krisis kewangan Asia yang dahsyat.

Beliau juga tidak pernah mentakrifkan dengan jelas mengenai dasar beliau mengenai isu-isu seperti cukai, perbelanjaan dan kebajikan.

Geun-hye mengakui bahawa beliau berkongsi visi ibunya iaitu mahu mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

"Ia merupakan impian ibu saya dan kini impiannya itu menjadi impian saya juga," kata Geun-hye pada upacara memperingati ibunya baru-baru ini.

Para pengkritik mendakwa , Geun-hye gagal memohon maaf terhadap apa yang berlaku ketika pemerintahan bapa beliau.

Bagaimanapun tegasnya, rampasan kuasa pada tahun 1961 itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan pilihan yang terbaik.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, dirinya selalu memohon maaf kepada mangsa-mangsa kerahan tenaga era pemerintahan bapanya yang kejam untuk membangunkan perindustrian.

YOUNG-HO, veteran perang Vietnam berkhidmat rapat dengan keluarga Chung-hee ketika sesi interviu oleh Reuter di tempat kelahiran Yuk Young-soo, ibu kepada Park Geun-hye di kawasan luar bandar di Okcheon.


Pada saat itulah bapanya digulingkan oleh pembangkang ketika usaha memacu pertumbuhan eksport.

Sementara itu, dalam pilihan raya akan datang, bekas peguam hak asasi manusia, Moon Jae-in yang memalsukan kelayakan politik beliau dalam gerakan pro-demokrasi, menuduh Geun-hye mahu mengembalikan semula era pemerintahan diktator.

Seni sulaman

"Ketika saya hidup dalam kemiskinan, dia menjalani kehidupan bagai seorang puteri di dalam Rumah Biru.

"Apabila saya menentang pemerintahan diktator, dia berada di dalamnya," katanya ketika mengisytiharkan pencalonannya baru-baru ini.

Geun-hye berkongsi hobi ibunya dalam seni sulaman. Dalam rumahnya dipenuhi dengan gambar-gambar mendiang kedua-dua ibu bapanya.

Menurut sebuah buku, tawaran presiden kepada Geun-hye diilhamkan atas rasa kewajipan dan bukannya keistimewaan.

Beliau pernah menulis bahawa dia mungkin memilih untuk mati daripada hidup semula, merujuk kepada pembunuhan kedua-dua ibu bapanya.

Kebanyakan yang hadir pada majlis memorial Young-soo terdiri daripada warga emas yang berumur dalam lingkungan 50 tahun ke atas.

"Saya fikir, Geun-hye telah melihat dan banyak belajar ketika melalui detik-detik sukar," kata Lee Ae-joo, seorang jururawat yang berada di dalam bilik pembedahan apabila Young-soo dibawa masuk.

Ae-joo mengimbas, ketika dia membekalkan darah kepada wanita itu yang kehilangan banyak darah akibat mengalami cedera teruk, wajah tidak keruan suami Young-soo jelas terpancar.

"Kini, tiada siapa pun yang boleh bersaing dengan Geun-hye dalam situasi negara yang sedang kita hadapi," kata Ae-joo yang kini berusia 66 tahun.

Ae-joo kagum dengan sifat rendah diri Young-soo dan dia juga perasan bahagian bawah skirtnya kelihatan seperti dijahit dengan tangan.

"Fabrik tersebut kelihatan seperti jenis produk tempatan yang anda boleh dapati di Pasar Dongdaemoon," katanya merujuk kepada gerai biasa dan sibuk dengan pelanggan yang datang untuk tawar-menawar.

Pada perhimpunan Julai lalu, ketika Geun-hye menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, segelintir hadirin dalam khalayak ramai memegang cenderamata keluarga Geun-hye.

"Jujurnya, Geun-hye popular kerana aura ibunya," kata seorang penyokong, Park Hong-Pyo sambil memegang sebuah puisi yang ditulis khusus untuk Young-soo dan gambar-gambar lama keluarga Geun-hye.

Seorang lagi calon yang akan merebut jawatan presiden Korea Selatan ialah Ahn Cheol-soo, 50.

Bapa kepada seorang anak itu bukan calang-calang orang dan sangat berpengaruh. Cheol-soo merupakan seorang profesor, penyelidik, pengaturcara, doktor, ahli perniagaan dan ahli politik.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Majlis MoU GPMS, Amne Edar edar minuman kesihatan

Posted:

Majlis MoU GPMS, Amne Edar edar minuman kesihatan

AZHAR (tiga kiri) menyerahkan dokumen MoU kepada Rosdi di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


BERSAMA. Perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan GPMS dengan Amne Edar Marketing diadakan dalam satu majlis di Taman Tuanku Haminah, Jalan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Yayasan GPMS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosdi Amir manakala Amne Edar Marketing pula diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Azhar Ahmad.

Pihak Yayasan GPMS diberi tanggungjawab untuk memasar salah satu barangan minuman kesihatan keluaran Amne Edar Marketing iaitu Pro Genius keseluruhan negara.

Bagaimanapun, Rosdi berkata, setakat ini, pihaknya berjaya membuat beberapa perjanjian dengan syarikat tempatan untuk memasarkan produk dikeluarkan dan ahli GPMS seluruh negara dipelawa menyertai skim disediakan melalui Program Usahawan Peruncitan.

12 graduan cemerlang IPT terima anugerah MICPA

Posted:

12 graduan cemerlang IPT terima anugerah MICPA

SERAMAI 12 graduan penerima Anugerah Cemerlang 2011 MICPA di Kuala Lumpur kelmarin.


CEMERLANG. Seramai 12 graduan cemerlang dari institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) menerima Anugerah Graduan Perakaunan Terbaik daripada Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) sempena MICPA Excellence Awards 2011 di Kuala Lumpur kelmarin.

Antara penerima anugerah berkenaan ialah Harizah Burkhan (Universiti Teknologi Mara), Ahmad Syafik Abd. Aziz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Lee Syin Kit (Universiti Curtin Sarawak), Ainol Basirah Abdul Wahab (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Khoo Yik Chou (Universiti Sains Malaysia) dan Jolene Sew Peijin (Universiti Malaya).

Penerima lain ialah Chong Ziyan (Universiti Monash Malaysia), Liew Yih Khai (Universiti Multimedia Malaysia) dan Darren Looi Fong Wei (Universiti Utara Malaysia).

Loji Pencetakan Utusan Pulau Pinang terima pelawat

Posted:

Loji Pencetakan Utusan Pulau Pinang terima pelawat

PELAJAR SMK Pokok Sena, Kepala Batas bergambar kenangan selepas melawat Loji Pencetakan Kumpulan Utusan di Pulau Pinang baru-baru ini.


TIMBA ILMU. Seramai 37 ahli Persatuan Perdagangan dan Pengguna, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang melawat ke Loji Pencetakan Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.

Guru pembimbing persatuan tersebut, Aliza Ibrahim berkata, lawatan itu bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknologi pencetakan selain menambahkan pengetahuan pelajar tentang pemasaran akhbar.

"Sebelum ini, pelajar hanya tahu membaca surat khabar sahaja tanpa mengetahui bagaimana ia dicetak, diterbit serta diagihkan kepada pembaca.

"Jadi, kita bawa pelajar ke sini untuk melihat sendiri kecanggihan teknologi pencetakan surat khabar yang digunakan oleh Kumpulan Utusan," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Mayat pelombong gagal dikeluarkan

Posted:

Mayat pelombong gagal dikeluarkan

Oleh MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

BEBERAPA ahli keluarga Sze Chun tidak dapat menahan kesedihan selepas mayatnya gagal dibawa keluar di Gunung Tabai, Bau semalam.


KUCHING – Misi mengeluarkan mayat pelombong emas haram yang mati dihempap dua bongkah batu sebesar kereta Perodua Kancil di kaki Gunung Tabai dekat sini awal pagi kelmarin, dihentikan terus petang semalam atas faktor keselamatan.

Ia ekoran operasi semakin rumit selepas berlakunya runtuhan baharu bongkah batu dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Mohd. Sabri Zainol berkata, operasi selama dua hari tersebut dihentikan kira-kira pukul 4 petang kerana masih banyak lagi bongkah batu yang tidak dapat dialihkan.

Menurutnya, disebabkan struktur terowong tersebut tidak stabil dan diburukkan lagi dengan runtuhan terbaharu, misi mengeluarkan mayat mangsa, Lee Sze Chun, 37, di kaki gunung tersebut terpaksa ditamatkan serta-merta.

"Pasukan menyelamat terpaksa dikeluarkan dari terowong terbabit selepas berlaku runtuhan kerana kita tidak mahu berlakunya kehilangan nyawa membabitkan anggota penyelamat.

"Pada masa yang sama, saya mewakili pasukan mencari dan menyelamat memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa kerana gagal membawa keluar mayat Sze Chun.

"Bukan kita tidak mampu menggalas tugas itu tetapi kita juga perlu memikirkan keselamatan anggota penyelamat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian dekat sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Rakyat tunggu ‘hadiah’ Bajet 2013

Posted:

Rakyat tunggu 'hadiah' Bajet 2013

NAJIB menunjukkan cadangan Bajet 2013 selepas melakukan tinjauan persiapan terakhir di Kementerian Kewangan di Putrajaya malam tadi. Turut hadir ialah, Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (kiri), Timbalan-timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein (dua dari kanan) dan Datuk Donald Lim Siang Chai (kanan).


KUALA LUMPUR – Jika bajet yang dibentangkan pada tahun lalu sarat dengan berita gembira dan durian runtuh untuk rakyat, kini sentimen itu pastinya berulang lagi pada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Parlimen hari ini.

Sudah tentu semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung tertunggu-tunggu satu lagi pembentangan bajet yang prihatin kepada rakyat.

Antara perkara yang diharapkan ialah hadiah untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang pendapatan ketika menghadapi kenaikan kos sara hidup termasuk keperluan harian yang semakin melambung.

Turut mendapat perhatian ialah bagaimana bajet kali ini mahu menangani kenaikan harga tanah dan rumah secara mendadak khususnya di bandar-bandar utama.

Menurut pemerhati pasaran, Bajet 2013 mungkin membantu golongan pertengahan yang memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM7,000 untuk memiliki rumah kediaman melalui Skim Rumah Pertamaku.

Skim Rumah Pertamaku telah dilancarkan tahun lalu dan ia disasarkan untuk membantu golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Harapan rakyat Kelantan

Posted:

Harapan rakyat Kelantan

KAMARUDDIN menunjukkan kad yang akan diedarkan kepada rakyat Kelantan di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Anak kelahiran Kelantan termasuk yang tinggal di luar negeri ini berpeluang menyatakan harapan mereka kepada kerajaan negeri akan datang menerusi 200,000 kad yang diedar gabungan badan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan Demi Rakyat (Tukar).

Kumpulan itu melancarkan kempen 'Harapanku' pada 22 September lalu dan akan berlangsung hingga 22 November ini.

"Kami telah menerima kembali lebih 5,000 kad Harapanku dan yakin mampu mengutip sekurang-kurangnya 180,000 keping kad apabila kempen tersebut berakhir," kata Pengerusi Tukar, Kamaruddin Kassim di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengedarkan lebih 1,000 kad kepada orang ramai di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.

Harapanku bertujuan mengumpulkan hasrat anak Kelantan untuk disampaikan kepada kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kamaruddin berkata, bagi perantau, mereka boleh melayari laman Facebook di www.facebook.com/groupe/22harapanku/ atau laman sesawang, 22harapanku.webs.com.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mudarat air ketum sama seperti dadah

Posted:

Mudarat air ketum sama seperti dadah

PIHAK polis giat melancarkan operasi bagi membendung pengambilan air ketum yang berleluasa terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. - Gambar hiasan


PENAGIHAN dadah dalam kalangan anak muda kita semakin membimbangkan. Munculnya pelbagai jenis dadah moden seperti ice, pil kuda, dan ekstasi bukan sahaja menjadikan cara manusia menghisap dadah berubah, malah menjadikannya merebak dengan begitu cepat.

Kini, di beberapa negeri di utara tanah air, muncul pula kegilaan baharu masyarakat terhadap air ketum. Ia merupakan daun yang diambil dari sejenis tumbuhan yang tumbuh secara melata di beberapa negeri utara tanah air.

Daun ini kemudiannya direbus dan airnya diminum dengan anggapan bahawa ia mampu menyembuhkan penyakit dan memulihkan tenaga.

Bagaimanapun, yang jarang disedari ialah simptom ketagihan bahan ini. Adalah mustahil ia mampu mengubat penyakit atau memberikan kekuatan jika penggunanya tidak boleh meninggalkannya sama sekali dan perlu bergantung pula pada air ketum setiap hari.

Dalam keadaan seperti ini, air ketum tidak lagi mampu menjadi ubat, sebaliknya sedang menjadi racun yang sedang merosak diri dan masyarakat.

Kesan ketagihan

Benar, kesan ketagihannya mungkin tidaklah sebesar penggunaan dadah hingga menyebabkan ada yang mencuri atau melakukan jenayah lain. Bagaimanapun, ada kesan sosial lain yang lebih buruk daripada penggunaan dadah.

Tidak seperti penggunaan dadah, peminum air ketum ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ia bukan hanya melibatkan anak muda, malah orang dewasa.

Kalau penggunaan dadah biasanya melibatkan mereka yang dianggap sebagai 'rosak akhlak', bagaimanapun peminum air ketum ialah ahli masyarakat yang normal.

Mereka terlibat dengan aktiviti harian lain seperti bekerja, pergi ke masjid dan terlibat dengan kegiatan kemasyarakatan seperti biasa. Dalam erti kata yang lain, mereka ialah manusia budiman.


SESETENGAH pihak sengaja mencampurkan air ketum dengan bahan terlarang lain untuk menambahkan kesannya. - Gambar hiasan


Aktiviti meminum air ketum juga lebih terbuka. Ia diminum di rumah ketika duduk bersantai dan dianggap hal biasa yang tidak merosakkan masyarakat. Malah, dalam banyak keadaan, peminumnya memberi tanggapan positif kononnya ia boleh menghilangkan pelbagai jenis penyakit termasuklah kencing manis dan darah tinggi.

Hakikat yang jarang diselidiki ialah sejauh manakah air ketum ini memberikan kebaikan dibandingkan dengan keburukannya?

Mereka yang telah beberapa kali meminum air ketum biasanya berpotensi untuk terus menjadi penggunanya. Pengguna yang cuba meninggalkannya pula akan berasa mengantuk, tidak senang duduk, malah ada yang mengadu mengalami cirit birit.

Simptom ini sebenarnya sama seperti yang dialami oleh penagih heroin dan ubat batuk, malah penggunaan air ketum yang terlampau menyebabkan kulit muka menjadi seperti terbakar dan kehitaman. Semua ini merupakan kesan buruk yang biasanya tidak disedari oleh penggunanya.

Hakikat lain yang jarang difikirkan ialah penagihan air ketum ini telah menyebabkan kesan sosial yang jauh lebih buruk malah, lebih buruk daripada penggunaan dadah yang lain.

Begitupun, oleh kerana penggunanya ialah orang dewasa dan ada yang 'warak', maka mereka boleh memberikan pelbagai fatwa untuk menghalalkan penggunaannya.

Ini menjadikan ia mampu berkembang dan merebak dengan cepat ke dalam masyarakat. Bayangkan, kini penggunanya melibatkan pelajar sekolah menengah pula.

ANAK-ANAK muda dikhuatiri terbiasa dengan tabiat ketagihan dan sudah tidak mempunyai rasa takut pada orang dewasa. - Gambar hiasan


Persepsi berubah

Ia tidak dianggap sebagai hal terlarang kerana golongan dewasa sendiri telah menganggapnya secara positif. Sekiranya ada anak-anak remaja yang menggunakannya, adakah golongan dewasa mampu memberikan teguran kalau mereka sendiri penggunanya?

Sebenarnya inilah antara isu besar yang sedang melanda kita. Orang dewasa yang menggunakan air ketum ini akan kehilangan 'pengaruh' psikologikal untuk menegur dan membimbing anak-anak remaja sekiranya ada yang terjebak dengan ketagihan air ketum.

Harus diingat, penagihan dadah biasanya berkembang daripada satu tahap ke tahap yang lain. Bayangkan, sekiranya anak-anak ini kemudiannya mula menjinakkan diri dengan dadah. Apakah yang boleh dilakukan oleh orang dewasa untuk menegur mereka?

Bagaimana nanti sekiranya anak-anak ini mula bertanya apakah bezanya mereka, 'ayah menagih air ketum, dan kami pula menagih ganja!'.

Inilah sebenarnya kesan buruk yang mungkin tidak disedari oleh pengguna air ketum. Walau sebesar mana mitos positif mengenai air ketum, ia sebenarnya lebih banyak mengundang kerosakan kepada masyarakat berbanding kebaikannya.

Ia sedang menyumbang kepada beberapa kerosakan lain yang tidak disedari. Mitos kehebatan air ketum hanyalah dongeng seperti yang juga muncul dalam penggunaan dadah yang lain. Berhentilah, kalaupun bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak kita yang kian membesar.

Fruitale rai cinta sejati

Posted:

Fruitale rai cinta sejati

KHAIRATUL AZWA dan Hazhatta Idaham merakamkan momen kisah percintaan mereka dalam bentuk multimedia berjaya menambat hati juri untuk memenangi hadiah utama bernilai RM3,000.


FRUITALE, rangkaian sabun kecantikan dengan haruman mempesonakan kini mengorak langkah mempopularkan dan memelihara tradisi kraf sabun buatan tangan yang suatu ketika dahulu sering dijadikan sebagai hadiah tetamu atau hantaran.

Jenama itu buat pertama kalinya menganjurkan peraduan Fruitale Buah Hatiku Cinta Sejati bermula dari April hingga Jun lalu dalam laman fanpage Facebook Fruitale.

Peraduan tersebut terbuka kepada pasangan yang bakal berkahwin sebagai platform untuk menceritakan kisah cinta mereka dengan cara paling kreatif melalui gambar, multimedia, video, lagu-lagu original, puisi, karya seni dan lain-lain.

Sebanyak RM6,500 wang tunai dan hadiah-hadiah produk ditawarkan termasuk hadiah tetamu dan hantaran tersendiri dengan warna pilihan pasangan yang berjaya untuk disesuaikan dengan tema majlis perkahwinan mereka.

Karya cinta

Ternyata kisah cinta dan kasih sayang yang diceritakan Khairatul Azwa Mohd. Shamsuddin dan Hazhatta Idaham Abu Talib berjaya mencairkan hati para juri. Mereka telah memenangi hadiah utama bernilai RM3,000.

Pasangan Sarina Saleh dan Sufian Roslan pula mendapat tempat kedua yang melayakkan mereka memenangi hadiah berjumlah RM2,000 sementara hadiah tempat ketiga bernilai RM1,500 dimenangi oleh Mohd. Hafis Md. Hadri dan Nurul Syazwani Emran.

Hadiah istimewa produk Lam Soon bernilai RM300 pula menjadi milik Hidayat Masduki dan Hazimah Sidik kerana penggunaan sabun Fruitale paling inovatif sebagai prop dalam penyertaan mereka.

Khairatul Azwa, 24, seorang jururawat dan Hazhatta Idaham, 23, seorang pereka grafik mula menjalinkan hubungan mereka sejak di universiti.

Pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mereka baru-baru ini merupakan pengguna setia Fruitale.

"Terima kasih kepada Fruitale kerana peraduan ini kami dapat mengenang kembali zaman percintaan. Hazhatta membawa kisah percintaan kami ke dalam bentuk multimedia.

"Apabila dia menunjukkan hasil kerjanya, saya terharu dan menangis kegembiraan kerana ia amat bermakna buat saya," kata Khairatul Azwa yang menunjukkan kisah percintaan mereka pada majlis perkahwinan.

SABUN Fruitale sering dijadikan hantaran perkahwinan suatu ketika dahulu.


Khairatul Azwa dan Hazhatta Idaham memilih sabun Fruitale Pomegranate untuk penghasilan hantaran dan hadiah buat tetamu.

Berbeza dengan pemenang kedua, Sarina dan Sufian mempamerkan percintaan sejati mereka melalui seloka dalam bentuk puisi tradisional.

"Kami merupakan rakan sekelas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan melalui tugasan serta kerja kursus bersama.

"Persahabatan bertukar menjadi sayang dan kemudiannya rasa cinta. Keluarga juga merestui hubungan kami. Sesetengah orang kata rupa kami sama dan kerana itulah ada jodoh," katanya sambil memberitahu hadiah yang diperoleh dapat membantu menampung perbelanjaan persiapan perkahwinan mereka.

Pemenang ketiga, Mohd. Hafis dan Nurul Syazwani pula telah membuat video lagu menarik bertemakan pop yang menunjukkan gambar-gambar mereka.

Populariti hantaran sabun

Menurut Pengurus Produk Kanan Lam Soon (Bahagian Pemasaran, Penjagaan Rumah dan Penjagaan Diri), Angeline Sim, Fruitale mempunyai rangkaian sabun wangian yang luas dan mengandungi susu yogurt dengan nutrien buah-buahan sihat seperti lemon, strawberi, limau kasturi, oren, buah delima, pic dan betik.

"Kami amat gembira kerana peraduan Fruitale Buah Hatiku Edisi Cinta Sejati ini mendapat maklum balas positif dan melahirkan hasil karya cinta sejati yang menarik.

"Kami merasakan bahawa seni kraf sabun Melayu tidak patut lenyap begitu sahaja akibat daripada lebih ramai orang yang memilih hadiah tetamu dan hantaran yang lebih komersial," katanya.

Sabun mandian Fruitale amat sesuai untuk kraf sabun kerana terdapat tujuh jenis varian buah-buahan dengan warna pastel dan wangian buahan yang tahan lama.

Rangkaian baharu sabun kecantikan Fruitale yang diperkaya dengan kebaikan pati 100 peratus asli buah-buahan dan susu yogurt kini boleh didapati di seluruh negara pada harga RM2.50 untuk pek 3 x 80 gram bar.

Milo perkenal tiga varian baharu

Posted:

Milo perkenal tiga varian baharu


DARI KIRI: Pengurus Jenama Kanan varian Campuran Milo, Vincent Sebastian; Su Yen dan Howat menunjukkan produk Milo baharu yang kini berada di pasaran.


MULA diperkenalkan di negara ini sekitar tahun 1950-an, Milo terus mendapat kepercayaan pelbagai lapisan masyarakat sebagai salah satu hidangan berkhasiat yang baik untuk keperluan harian tubuh.

Baru-baru ini, Milo sekali lagi mencetuskan inovasi baharu apabila memperkenalkan Varian Campuran Milo baharu, iaitu Milo Serat, Milo Bijirin dan Milo Kurang Manis.

Pengarah Eksekutif, Unit Perniagaan Kopi dan Minuman Nestle (Malaysia) Berhad, Don Howat berkata, ketiga-tiga varian campuran Milo baharu itu diformulasi khas berdasarkan kajian dan pembangunan bagi memenuhi tuntutan trend pengguna yang sentiasa berubah.

"Milo Serat, misalnya mengandungi bahan Actifibras, iaitu serat makanan yang terbukti secara saintifik untuk membantu mengekalkan sistem penghadaman yang baik.

"Sementara itu, Milo Bijirin pula mengandungi kepingan bijirin terbaik untuk memberikan tenaga manakala Milo Kurang Manis diperkayakan dengan kalsium dan mempunyai kurang 47 peratus gula (sukrosa) yang sesuai bagi mereka yang mementingkan kesihatan," ujarnya pada majlis pelancaran produk itu di The Square, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Konsumer untuk Milo, Unit Perniagaan Kopi dan Minuman Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen.

Tambah Howat, pelancaran Varian Campuran Milo baharu itu bertujuan memastikan jenama berkenaan terus kukuh dan relevan dalam kalangan pengguna di Malaysia.

"Ia sejajar dengan janji Nestle, iaitu Good Food, Good Life bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan pengambilan makanan yang baik pengguna," kata beliau.

Didatangkan dalam bentuk uncang tiga dalam satu, Varian Campuran Milo baharu mudah disediakan dan sesuai dinikmati sesiapa sahaja sama ada di pejabat atau rumah.

Ia dijual pada harga RM10.50 bagi setiap pek yang setiap satunya mengandungi 10 uncang. Varian Campuran Milo baharu itu kini boleh didapati di kebanyakan pasar raya besar dan pasar raya di Semenanjung Malaysia. - AMMAR JAZLAN MAD LELA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


15 perkara utama perlu diteliti KOM

Posted:

15 perkara utama perlu diteliti KOM

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SHAHIDAN (tengah) menyampaikan amanat kepada Zainal (kiri) selaku presiden baharu KOM di pejabat badan induk olahraga negara itu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


ADA 15 perkara utama yang perlu diambil tindakan segera oleh Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang baharu, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Pahang masih belum selamat

Posted:

Pahang masih belum selamat

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

""MENANG tipis di gelanggang sendiri, kedudukan kami belum selesa."

Demikian reaksi jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika diminta mengulas mengenai kejayaan pasukan itu membenam kelab Singapura, Lions XII 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.

Dollah berkata, aksi anak-anak buahnya dilihat agak longgar pada aksi separuh masa perlawanan sebelum mereka bermain lebih baik pada babak kedua.

Namun, beliau mengakui beberapa pemain telah mempamerkan prestasi cemerlang, sekali gus mencatat kemenangan dan memberi sedikit kelebihan buat skuad Tok Gajah apabila bertandang ke Stadium Jalan Besar, Singapura pada 2 Oktober depan.

"Saya gembira kerana pemain pertahanan, Zaiza Zainal yang merosot pada perlawanan terdahulu berjaya menyekat banyak sera- ngan pemain lawan malam ini (kelmarin).

"Jalaluddin Jaafar, Shahrizan Salleh dan Saiful Nizam juga antara pemain yang memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kami," katanya.

Dalam pada itu, Dollah tetap bersyukur kerana pemain import Pahang, Boris Kockin kembali pulih dari- pada kecederaan hamstring untuk beraksi di posisi tengah dan menjadi penggerak utama jentera serangan.

"Pahang sememangnya berharap Boris dapat beraksi semula dan ternyata kemasukannnya malam ini (kelmarin) berjaya memperkuatkan posisi tengah pasukan," katanya.

Bagi persiapan menghadapi suku akhir kedua di Singapura nanti, beliau berharap skuad Tok Gajah akan lebih berhati-hati, terutamanya apabila mereka akan beraksi di padang rumput tiruan.

"Menjelang perlawanan itu, pemain harus peka dengan keadaan padang yang agak berbeza. Jadi, tumpuan harus diberikan semasa kita berlatih di Bukit Jalil," katanya.

Sementara itu, pengendali Lions XII, V. Sundra- moorthy menganggap Pahang berhak menang tetapi ia tidak bermakna segalanya sudah berakhir buat pasukannya.

"Kami akan cuba yang terbaik untuk menang di tempat sendiri dengan melakukan persiapan rapi. Paling penting, para pemain perlu tahu betapa pentingnya untuk mencatat kemenangan," ujarnya.

Amri, Safiq dapat kredit Irfan

Posted:

Amri, Safiq dapat kredit Irfan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

"SEJUJURNYA, saya tidak terkejut sekiranya Mohd. Amri Yahyah dipanggil untuk sku- ad kebangsaan."

Demikian respons spontan jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ketika diminta mengulas mengenai prestasi penyerang skuad Gergasi Merah itu ketika menewaskan Johor FC 3-1 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Pasir Gudang, Johor kelmarin.

Selangor memperoleh bekalan selesa selepas menjaringkan tiga gol menerusi sepakan percuma Safiq Rahim seawal minit ke-11 sebelum Mohd. Bunyamin Umar menggandakan kedudukan pada minit ke-20.

Amri memastikan 'Misi 33' Selangor berada di landasan yang tepat apabila meledakkan gol ketiga buat pada minit ke-24.

Sementara itu, gol sagu hati Johor FC hadir menerusi Mohd. Akmal Mohd. Nor pada minit ke-52.

Persembahan mantap Amri dan Safiq mendapat perhatian serius bekas pengendali Terengganu itu.

Irfan berkata, beliau berharap momentum dua bintang Selangor itu dapat dijelmakan ketika melayan kunjungan Johor FC di Stadium Shah Alam pada 2 Oktober depan.

"Seperti yang saya katakan tadi, persembahan Amri cukup mengagumkan.

"Dia mempamerkan aksi lebih baik. Amri sudah menja- ringkan lima gol sepanjang enam perlawanan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

"Bagi Safiq, tahap permainannya dilihat semakin meningkat dan saya berharap mereka dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini di Stadium Shah Alam kelak.

"Namun, inilah bola sepak. Benar, mereka berdua merupakan pemain yang mencuri perhatian namun pujian harus diberikan kepada seluruh pasukan Selangor," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ditanya mengenai kehilangan Bunyamin yang dilayangkan kad merah ketika menentang Johor FC, Irfan enggan untuk menekan butang panik.

Beliau berkata, Selangor masih memiliki ramai pemain dan kehilangan Bunyamin tidak menghalang perancangannya dalam usaha untuk memburu kemenangan pada aksi suku akhir kedua.

"Kami masih memiliki pemain pertahanan antaranya Mohd. Razman Roslan dan kehilangan Bunyamin tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

"Perjuangan kami belum selesai dan kami masih ada 90 minit untuk memastikan slot separuh akhir menjadi milik kami," kata Irfan.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved