Rabu, 26 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Impak beralih karier

Posted:

Impak beralih karier

AWIE mengakui pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan tidak disenangi golongan pelakon sedia ada pada ketika itu.


SEJAK dulu lagi sudah ramai penyanyi yang terjun ke dunia lakonan. Populariti yang dimiliki memudahkan mereka menggalas peranan utama untuk sesebuah drama atau filem walaupun ketika itu tahap lakonan masih lagi setahun jagung.

Antara yang begitu menyerlah ketika dahulu ialah Jamal Abdillah apabila dia ditawarkan peranan utama dalam filem Azura. Malah, atas dasar populariti Jamal dan juga kehebatan filem romantik itu sendiri, naskhah tersebut telah menjadi fenomena pada ketika itu.

Penerbit-penerbit yang memilih penyanyi untuk berlakon dalam filem mereka mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pelakon-pelakon tempatan.

Bagi penerbit-penerbit, dengan mempertaruhkan penyanyi sebagai pelakon, ia mampu menarik peminat untuk menonton filem-filem keluaran mereka. Namun, menjadi persoalan sejauh mana keberkesanan lakonan penyanyi-penyanyi tersebut?

Ikuti pengalaman penyanyi Awie, Misha Omar dan Tomok mengenai pembabitan mereka dalam bidang lakonan.


AWIE mengakui pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan tidak disenangi golongan pelakon sedia ada pada ketika itu.


Awie pernah ditohmah

Bagi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 44, lakonan merupakan salah satu bidang seni yang ada dalam industri Malaysia dan bagi dirinya tidak timbul masalah buat golongan penyanyi untuk mencuba bakat sebagai pelakon.

Ulasnya, penyanyi yang menceburi dunia lakonan juga dapat menguntungkan penerbit kerana populariti yang ada pada penyanyi itu sendiri.

"Disebabkan itu, sekarang ramai penyanyi mendapat tawaran menjadi pelakon. Secara tidak langsung, ia juga dapat memeriahkan lagi industri seni tempatan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun pada mulanya sekadar mencuba, kongsi Awie, selepas berlakon dan mendapat pelbagai pengiktirafan, baru dia sedar bahawa sebenarnya dirinya boleh berlakon dan bukan bersandarkan kepada populariti sebagai penyanyi semata-mata.

Bercerita mengenai pembabitan dalam bidang lakonan, kata Awie, dia mula menempa nama dalam bidang lakonan apabila mula berlakon dalam filem terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Pemburu Bayang pada tahun 1993.

Namun, kehadirannya dalam bidang lakonan mula menyerlah apabila dia membintangi filem Sembilu (1984) dan Sembilu II (1994). Menerusi filem terbitan Skop Production Sdn. Bhd. itu, Awie berjaya merangkul trofi Anugerah Skrin untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Ditanya filem lakonannya yang dilihatnya sebagai paling berjaya menjulang bakat lakonannya, kata Awie:

"Filem Merah terbitan syarikat Datuk M. Nasir iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd. membuka peluang buat saya untuk sukses dalam meraih pelbagai anugerah."

"Pada Festival Filem Malaysia ke-13 (FFM13), manakala pada Anugerah Skrin 1997 saya meraih Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem," ujarnya yang kini sukses dalam kedua-dua bidang.

Berkongsi cerita, kata Awie yang juga merupakan vokalis band rock legenda, Wings, kehadirannya dalam seni lakonan pada mulanya tidak disenangi pelakon-pelakon lain.

Ujarnya, dia pernah dikritik dan ditohmah kerana statusnya sebagai penyanyi, tetapi ingin menjadi pelakon pada ketika itu.

"Mungkin pelakon-pelakon ketika itu tidak puas hati apabila ramai penyanyi yang jadi pelakon kerana takut periuk nasi mereka tertutup. Sepatutnya perkara itu tidak perlu timbul. Saya tidak putus asa ketika dikritik dan ditohmah, janji saya dapat mencuba bidang yang lain selain menyanyi," luahnya.

Mengaku masih berada dalam tahap pembelajaran sebagai pelakon, kata Awie yang juga terjun ke bidang teater melalui siri teater Cuci-Cuci The Muzikal, sebagai pelakon, seseorang itu perlu mempelbagaikan watak, berbanding stamina yang kuat untuk melontarkan vokal yang diperlukan dalam bidang nyanyian.

Awie dalam pada itu, meletakkan sasaran tempoh lima tahun akan datang untuk menjadi seorang pengarah atau penerbit filem.


AWIE menegaskan cabaran dalam kerjaya lakonan adalah dia perlu berusaha menghidupkan pelbagai watak yang berlainan.


Misha cabar diri

Bagi penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta, Misha Omar, kehadirannya dalam bidang lakonan selepas sukses di lapangan seni suara adalah kerana ingin mencabar diri.

"Lakonan pertama saya adalah menerusi filem terbitan Datuk Yusof Haslam iaitu Gerak Khas The Movie 3. Dalam filem itu, saya cuma membawakan watak pembantu. Peluang itu sebenarnya saya gunakan untuk mencabar diri saya sebagai pelakon pula," tuturnya.

Selepas tawaran filem, sitkom dan telefilem, Misha akhirnya mulai jatuh cinta untuk terus serius sebagai pelakon.

Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar, 30, mengakui melalui lakonan, dia dapat membina keyakinan diri yang tinggi dan boleh diguna pakai di pentas nyanyian.

Ujarnya, bidang nyanyian dan lakonan juga saling berkait rapat apabila dia perlu menghafal skrip lakonan. Ini kerana dalam masa yang sama, dia juga perlu memahami lirik sesebuah lagu terutamanya dalam menekankan maksud dan mood sesuatu perkataan.

Dia yang juga pernah membintangi filem Main-Main Cinta bersama Adam AF mengakui pernah dikritik pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan.

"Memang saya akui ketika pertama kali berlakon dalam filem Gerak Khas The Movie 3, saya kelihatan kaku. Malah, sehingga kini saya menerima kritikan peminat menerusi Twitter mengenai lakonan saya itu jika filem tersebut diulang tayang di kaca televisyen.

"Namun, saya belajar dan tunjukkan peningkatan dalam bidang lakonan sama seperti bidang nyanyian. Mula-mula menyanyi dulu, saya akui tidak begitu bagus. Sumbang sana dan sini. Malah, imej saya juga dikritik peminat ketika itu, tetapi kita belajar dan tidak melakukan kesilapan yang serupa," jelasnya.

Mengulas mengenai perbezaan kedua-dua bidang yang diceburinya, kata Misha, bidang nyanyian perlukan bakat untuk menceburinya dan dia bersyukur kerana dikurniakan bakat menyanyi.

Sebaliknya untuk bidang lakonan pula kata Misha, boleh diasah bakat dan ia memerlukan masa untuk menjadikan lakonan lebih baik daripada yang sebelum ini. Tegasnya, dia akan memastikan kedua-dua bidang yang diceburinya berjaya dilakukan dengan sempurna.

Misha yang sinonim dengan watak-watak komedi dalam telemovie serta drama menegaskan, dalam setahun dia hanya mengambil dua atau tiga projek lakonan sahaja.

Malah, Misha yang juga pernah terbabit dalam teater Uda & Dara tidak pernah meletakkan sasaran bila dia akan berhenti berlakon mahupun menyanyi.

"Selagi peluang ada saya akan terus menyanyi dan berlakon, tetapi selepas berkahwin nanti saya juga kena fokus pada keluarga.

"Jika melibatkan penggambaran yang lama saya akan meminta pandangan suami terlebih dahulu," jelasnya yang bakal bernikah pada tahun hadapan.


MISHA mengakui sehingga kini, mutu lakonannya dalam produksi terbitan Yusof Haslam, Gerak Khas The Movie 3 masih diperkatakan dalam kalangan peminat filem Melayu.


Tomok tidak akan mengalah

Bagi penyanyi Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 28, filem pertamanya iaitu Mantera tidak mendapat kutipan tiket yang memberangsangkan bukan disebabkan kegagalan lakonannya.

Jelasnya, banyak peminat yang memberi respons positif mengenai lakonannya.

"Bagi saya, percubaan pertama kali berlakon tidaklah gagal walaupun filem Mantera tidak mendapat sambutan. Ini kerana, ramai peminat yang memberikan komen positif dan menyukai lakonan saya," katanya.

Ditanya sama ada dia kecewa dan putus asa untuk terus berada dalam bidang lakonan selepas kegagalan filem tersebut, ujarnya, dia tidak kecewa dan tidak akan berputus asa.

Katanya, mungkin rezeki tidak menyebelahinya dan dia mengharapkan untuk filem keduanya iaitu Istanbul Aku Datang yang akan ditayangkan di pawagam pada November ini akan meraih kutipan yang lebih baik berbanding Mantera.

"Sebagai pelakon baharu saya masih perlu belajar selok-belok lakonan dan tidak boleh terlalu berpuas hati dengan apa yang dilakukan.

"Masih banyak ruang yang perlu saya perbaiki untuk menjadi pelakon yang lebih baik. Jadi, saya tidak akan mengalah dan akan menerima setiap tawaran lakonan yang datang," ujarnya.


TOMOK kini semakin aktif menunjukkan bakat dalam dunia lakonan.


Erra lebih menyerlah berlakon

Erra Fazira sememangnya mempunyai minat menyanyi dan menari sejak kecil. Bakat nyanyian Erra mula dikesan oleh penyanyi popular 80-an, Dayangku Intan. Erra mula aktif menyanyi di pertunjukan -pertunjukan kecil sebelum berjaya mendapat kontrak rakaman dengan syarikat Polygram Records.

Namun impak populariti yang melonjak naik setelah bergelar Ratu Cantik Malaysia pada tahun 1992, Erra meraih tawaran untuk muncul dalam filem Sembilu arahan pengarah Datuk Yusof Haslam.

Filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung sekali gus melonjakkan namanya sebagai antara aktres paling popular pada era tersebut.

Sementara itu, menurut pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, dia mengambil Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain sebagai pelakon bukan semata-mata status mereka sebagai penyanyi yang mampu melariskan filemnya.

Ujarnya, bukan menjadi jaminan kepada penerbit-penerbit bahawa mengambil penyanyi untuk berlakon dalam karya mereka akan menjadikan filem mereka laris mahupun pecah panggung.

"Kadang-kadang penerbit mengambil penyanyi berlakon filem mereka kerana mahu sesuaikan watak yang ada," jelasnya.

Mengambil contoh filem Sembilu, peranan Awie sebagai penyanyi dalam filem itu sangat bersesuaian kerana di alam nyata, Awie juga seorang penyanyi terkenal.

Namun, Yusof tidak menolak daya penarik yang dimiliki penyanyi-penyanyi popular mampu menarik minat penonton untuk menonton.

Ditanya sama ada penyanyi yang menjadi pelakon mampu menyamai keberkesanan lakonan pelakon-pelakon yang sedia ada, jawab Yusof, hampir 70 peratus penyanyi mampu berlakon dengan baik tetapi ada juga yang kurang berbakat.

Walaubagaimanapun, Yusof memberitahu, penyanyi yang terjun ke dunia lakonan mampu dibentuk lakonan mereka.

"Ada artis yang senang untuk dibentuk. Sebagai contoh Erra Fazira. Memang pada asalnya lakonan Erra nampak kaku, tetapi lama kelamaan lakonan dia nampak semakin bagus. Macam Awie dan Ziana mereka memang pandai menyanyi mahupun berlakon," ujarnya lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Medan uji kemahiran perang

Posted:

Medan uji kemahiran perang

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

KOMANDER medan telah memberikan arahan. Serangan taktikal perlu dilakukan terhadap pasukan pengganas yang berkubu di hutan simpan yang terletak di Selangor itu.

Sebuah pasukan khas dari unit Bravo telah dikerahkan ke kawasan itu dengan menaiki helikopter.

Tugas mereka adalah untuk menyusup masuk ke kawasan musuh dan menggempur saki-baki pengganas yang ada.

Menurut maklumat risikan, kumpulan pengganas yang dianggarkan seramai 10 orang itu telah berkubu di kawasan itu sejak seminggu lalu.

Mereka dipercayai merancang untuk melakukan huru-hara di pusat bandar raya dan melakukan pemberontakan terhadap pemerintah negara.

Sebaik menerima isyarat, pasukan Bravo yang telah memantau pergerakan musuh selama 24 jam pantas memulakan serangan.

Dalam sekelip mata keadaan berubah menjadi tegan. Bunyi tembakan jelas kedengaran di sana sini.

Serangan mengejut yang dilakukan menyebabkan kumpulan pengganas tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi untuk mempertahankan kubu mereka.

PELBAGAI misi dan senario yang ditawarkan di dalam woodsball menjanjikan cabaran kepada setiap peserta.


Seorang demi seorang anggotanya tumpas terkena sasaran bidikan pasukan Bravo yang sememangnya sudah bersedia dan mahir tentang selok-belok hutan di situ.

Suasana akhirnya menjadi tenang kira-kira 30 minit kemudian, tiada lagi kedengaran bunyi tembakan. Sebaliknya yang kelihatan, hanyalah kelibat anggota pasukan khas yang berkawal di beberapa penjuru mengawasi keadaan.

Detik-detik mencemaskan itu bukanlah peperangan sebenar atau siri eksesais ketenteraan pasukan keselamatan, sebaliknya hanyalah salah satu aksi permainan woodsball (woods paintball) atau juga dikenali sebagai recball (recreational paintball).

Mengambil lokasi di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA), Paintball Valley yang dibuka pada tahun 2007 menjanjikan pengalaman pertempuran bersifat ala ketenteraan di dalam hutan.

Pengarah Urusan Paintball Valley, Roslim Abu berkata, woodsball merupakan asas permainan paintball sebelum permainan speedball (paintball padang) diperkenalkan.

"Umumnya, ia masih mengekalkan format asas sukan paintball melalui penggunaan peralatan seperti paintball marker (senjata), paintball (bebola cat), hooper (bekas peluru), topi muka dan tank (tabung angin).

"Bagaimanapun woodsball dilihat lebih lasak dan mencabar berbanding speedball kerana setiap peserta terdedah kepada pelbagai persekitaran dan bentuk muka bumi di dalam hutan.

"Pada masa yang sama, senario-senario permainan yang ditetapkan memaksa peserta lebih mahir dan kreatif dalam mengatur strategi bagi menumpaskan pasukan lawan," katanya.

UMPAMA peperangan sebenar, woodsball menjanjikan keseronokan kepada peminat sukan paintball yang dahagakan aksi lasak dan ekstrem.


Darjah kesukaran

Mempunyai keluasan lebih 10 hektar, Paintball Valley menawarkan lapan lokasi pertempuran yang mempunyai darjah kesukaran berbeza mengikut tahap kemahiran para peserta.

Antaranya ialah Arcadia, Scorpion Nest, Sacred Valley, Bukit Kepong dan Solar House dan Monkey Rest.

Tambah Roslim, sebelum sesi permainan bermula setiap peserta diwajibkan mengikuti taklimat berhubung soal keselamatan dan peraturan permainan.

"Antara disiplin utama sukan ini ialah pemakaian topeng muka sepanjang berada di lokasi pertempuran.

"Di samping itu, mereka yang mempunyai masalah kesihatan juga tidak digalakkan mencubanya kecuali atas risiko sendiri," katanya yang memberitahu setiap peserta yang bermain di situ dilindungi insurans sehingga RM20,000.

Katanya, selain menyediakan lokasi pertempuran, Paintball Valley juga menawarkan perkhidmatan menyewa peralatan seperti marker dan topi muka dengan bayaran tertentu.

"Tidak semua mampu membelinya, apatah lagi bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dalam sukan ini.

"Bagaimanapun bagi mereka yang sudah biasa dengan permainan ini, mereka bebas membawa marker dan aksesori sendiri mengikut kesesuaian," katanya.

Tambah Roslim, bagi kemudahan pengunjung dan peserta, kawasan sekitarnya turut dilengkapi kemudahan seperti surau, pondok rehat, kafe dan tandas.

"Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Secara purata kami menerima kira-kira 50 hingga 100 pengunjung setiap minggu," ujarnya.

DENGAN sedikit bayaran pengunjung boleh menyewa pelbagai peralatan paintball yang ditawarkan di sini.


Seorang peminat, Dasrul Iskandar Darus, 33, berkata, minat mendalam terhadap bidang persenjataan dan aksesori tentera sejak dari kecil antara faktor utama dia tertarik terhadap woodsball.

Lelaki yang berasal dari Subang Jaya itu memberitahu, sejak mencubanya buat pertama kali, dia terus jatuh cinta terhadap woodsball yang disifatkan sesuai dengan jiwanya yang lasak dan mencabar.

"Dengan berpakaian ala tentera, setiap pasukan akan bertempur sesama sendiri bagi mencapai objektif dan misi yang ditetapkan pada awal permainan.

"Paling menarik, ada juga misi-misi yang memerlukan peserta menggunakan kompas dan melakar peta untuk mengesan musuh, sekali gus membuatkan saya berasa seperti berhadapan dengan peperangan sebenar," ujarnya yang bertugas sebagai pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Menubuhkan pasukan AOD pada tahun 2009, Dasrul berkata, dia dan pasukannya turut aktif menyertai pertandingan woodsball yang diadakan di seluruh negara.

Antara pertandingan yang pernah disertai ialah Ultimate Woodsball League (2010), Tactical Paintball Championship (2012) dan Malaysia Woodsball League (2012).

SETIAP peserta diwajibkan mendengar sesi taklimat berkaitan keselamatan dan peraturan permainan.


Rasa berbaloi

"Setakat ini saya sudah membelanjakan lebih RM5,000 untuk membeli pelbagai peralatan paintball dan aksesorinya. Biarpun ia agak mahal, namun ia berbaloi kerana keseronokan yang diperoleh sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Paling mengujakan, ia tidak sekadar memaparkan aksi tembak-menembak semata-mata, sebaliknya turut mempunyai misi tertentu seperti menyelamatkan tebusan dan menawan kubu musuh," ceritanya.

Sementara itu, bagi Zazilia Mohd. Rawi, 23, dia mengakui tidak kekok bermain woodsball yang rata-ratanya dikuasai kaum lelaki.

Pelajar jurusan perundangan di Brickfields Asia College itu berkata, biarpun sukan itu tampak ganas, namun ia tetap selamat sekiranya setiap peserta mendengar arahan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ia merupakan sukan lasak yang menuntut kemampuan mental dan fizikal yang tinggi. Bayangkan dalam tempoh permainan selama satu atau dua jam, peserta perlu berlari, melompat, menggelongsor sama ada untuk memburu musuh atau menyelamatkan diri," katanya.

Gadis yang aktif dalam sukan muay thai itu memberitahu, sukan paintball pada asasnya mampu membentuk disiplin dan semangat dalam satu pasukan.

Katanya, sebagai seorang pemain paintball, mereka bukan sahaja terikat dengan peraturan dan disiplin malah sehingga ke luar gelanggang.

"Misalnya marker perlu dileraikan setiap kali selepas permainan tamat dan tidak boleh dibawa sewenangnya kecuali semasa bermain atau menyertai pertandingan.

"Di samping itu pemain juga tidak boleh merosakkan alam semula jadi yang terdapat di sekeliling mereka," katanya.

Istirehat penuh dalam rimba

Posted:

Istirehat penuh dalam rimba

Oleh NASRI JAMALUDIN

MENARA pandang yang menjadi titik fokus dalam landskap taman rekreasi ini.


SUASANA kawasan tasik yang dingin dan berlatarbelakangkan kehijauan gunung batu kapur memberikan satu kepuasan apabila bertandang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Ipoh, Perak.

Kocakan dan alunan ombak tasik membuatkan seseorang hanyut dalam dunia tersendiri sekali gus dapat menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan.

Bunyi kicauan burung dan keletah kawanan monyet yang bergurauan serta mencari makanan dari pokok ke pokok menambahkan keceriaan kunjungan ke lokasi tersebut.

Secara tidak langsung, para pengunjung akan merasakan mereka sungguh bebas dan damai daripada segala hiruk-pikuk suasana bandar.

Bukan itu sahaja, di kawasan seluas 28 hektar itu turut terdapat pelbagai jenis bunga bougainvillea (bunga kertas) berwarna-warni dan heliconia (sepit udang) yang tentunya menambahkan lagi seri tarikan di taman tersebut.

Himpunan puluhan spesies heliconia itu menjadikannya sebagai taman terbesar yang pernah menghimpunkan spesies tersebut di Malaysia.

Ada sebahagian daripada spesies bunga itu sebenarnya sukar didapati dan hanya tumbuh liar di tengah-tengah hutan di luar negara.

BAGI pengunjung yang ingin bersiar-siar di kawasan taman berkenaan, laluan pejalan kaki turut disediakan.


Spesies istimewa

Spesies berkenaan dijadikan tanaman hiasan kerana keunikannya yang pelbagai jenis, bentuk dan saiz. Ditambah pula dengan warnanya yang terang, ia mudah menarik minat perhatian para penggemar pokok hiasan itu.

Selain pokok tersebut, pelbagai jenis tumbuhan seperti orkid dan pokok buah-buahan tempatan telah dilabel mengikut nama masing-masing untuk tujuan akademik.

Mereka yang gemar mengambil gambar pula pasti puas merakam pelbagai foto yang bakal 'menceritakan' keseronokan kunjungan kali ini.

Buat mereka yang ingin datang ke Taman Rekreasi Gunung Lang, ia hanya terletak lima kilometer dari Ipoh dan kira-kira 200 kilometer (km) dari Kuala Lumpur.

Jika memandu dari Kuala Lumpur, pengunjung perlu membelok mengikut susur keluar ke Ipoh dari Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan seterusnya mengikuti arah papan tanda ke taman berkenaan.

Di taman itu, pengunjung turut berpeluang melawat ke rumah tradisional Perak, Dataran Warisan, wakaf terapung dan gerbang warisan.

PERKHIDMATAN bot siar turut disediakan untuk pengunjung mengelilingi tasik.


Daya tarikan utama taman ini ialah hamparan bukit batu kapur dan menyusuri tiga tasik bekas tapak lombong yang belum diterokai selain berehat di sebuah lagi taman yang terletak di penghujung tasik.

Di sinilah terletaknya kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan 600 orang dalam satu-satu masa dan menara pandang yang membolehkan pengunjung melihat keindahan gunung batu kapur dari jarak yang lebih dekat.

Air tasik yang tenang itu dihuni pelbagai spesies ikan air tawar khususnya lampam, kelah dan tilapia. Boleh saja memberi makan kepada ikan-ikan itu, namun aktiviti memancing adalah dilarang kecuali mendapat kebenaran khas.

Bot siar

Apalah gunanya tasik kalau tidak diterokai luas permukaannya? Untuk tujuan itu, perkhidmatan bot siar yang mengelilingi pulau sejauh 300 meter disediakan.

Menikmati suasana rimba hijau sambil disapa kesegaran tiupan angin tatkala bot meluncur di atas tasik tentunya menjadi momen yang indah. Taman rekreasi ini sememangnya mengajak tetamunya berseronok dalam gaya istirehat sepenuhnya.

Promosi pelancongan tiga dalam satu

Posted:

Promosi pelancongan tiga dalam satu

PEMANDUAN pacuan empat roda 4x4 di sekitar Kuala Selangor menjanjikan cabaran yang bukan sedikit.


PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk mempromosikan produk mahupun destinasi pelancongan di negara kita. Tanpa acara besar-besaran yang menelan belanja tinggi sekali pun, promosi tersebut boleh dilakukan contohnya melalui aktiviti memandu kenderaan pacuan empat roda.

Lebih menjimatkan jika setiap program yang diadakan digabungkan untuk beberapa tujuan.

Justeru langkah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengadakan program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan Pacuan Empat Roda (4x4), program amal bekas pekerja dan promosi pelancongan di sekitar daerah Kuala Selangor antara yang menarik perhatian.

Program Kursus Asas Pemanduan 4x4 yang diadakan itu melibatkan 24 peserta daripada pelbagai jabatan antaranya Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan sembilan jabatan lain.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan.

Antara lain program itu diadakan bagi membekalkan pengetahuan asas pemanduan pacuan empat roda kepada para petugas jabatan kerajaan, memberi sumbangan kepada pesara MDKS serta mempromosikan lokasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.

"Kursus ini berjalan lancar dan diharap para peserta program dapat memanfaatkan ilmu pemanduan pacuan empat roda di jabatan masing-masing," kata Noraini.

PARA peserta program tiga dalam satu iaitu Kursus Asas Pemanduan pacuan empat roda 4x4, program amal dan promosi pelancongan anjuran MDKS.


Menurutnya, acara seumpama itu juga diharap dapat dijadikan sebagai acara tahunan dengan sokongan pihak penaja.

Sesi latihan pemanduan 4x4 itu turut diisi dengan pengetahuan mengenai teknik-teknik pemanduan asas termasuk teknik winching, melalui jambatan, menukar tayar dan teknik pemanduan malam.

Program Prihatin Bersamamu

Jurulatih kursus tersebut, Wan Othman Wan Salleh daripada One Ten Adventure Sports berkata, sebahagian peserta kursus itu didedahkan cara yang betul tentang pengendalian kenderaan pacuan empat roda.

"Ia supaya mereka mengenali fungsi kenderaan yang dipandu, tidak merasa ragu-ragu dan dapat mengawal kenderaan dengan baik dalam apa keadaan sekali pun termasuk ketika melalui lereng bukit," ujar Wan Othman.

Selain itu, katanya, dalam teknik pemanduan malam, para peserta diajar untuk memantau penglihatan dan pergerakan di kawasan hutan yang gelap, di samping menerapkan elemen disiplin serta kerjasama dalam kumpulan.

Dalam program Prihatin Bersamamu MDKS pula, sebanyak 13 jentera pacuan empat roda berkonvoi menuju ke rumah kediaman 10 pesara MDKS.

PESERTA kursus pemanduan pacuan empat roda 4x4 turut singgah di perkampungan Orang Asli.


Bekas pesara itu dipilih untuk menerima sedikit sumbangan sebagai menghargai bakti mereka sepanjang berkhidmat di beberapa jabatan di MDKS.

Pada kunjungan itu, mereka menerima hamper barangan keperluan dan wang tunai keseluruhan berjumlah RM3,000 yang disumbangkan syarikat Naza Quest Sdn. Bhd.

Kelip-kelip Kampung Kuantan

Sementara itu, program terakhir adalah promosi destinasi pelancongan di sekitar Kuala Selangor.

Lokasi yang dipilih ialah kelip-kelip Kampung Kuantan. Para peserta, pegawai dan wakil media berpeluang melihat kelip-kelip yang menjadi keistimewaan dan produk signatur kawasan Kuala Selangor itu.

Menariknya, sepanjang program itu berlangsung, sebuah jenama baharu bagi jentera 4x4 keluaran Chevrolet iaitu Chevrolet Colorado telah digunakan bagi tujuan pandu uji.

Jentera itu merupakan pacuan empat roda di bawah kategori trak pikap yang sesuai untuk pelbagai fungsi.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Korban tragedi Gunung Tabai

Posted:

Korban tragedi Gunung Tabai

Oleh MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

PASUKAN penyelamat berusaha mengeluarkan mayat Sze Chun yang maut dihempap bongkah batu di kaki Gunung Tabai, Bau, Sarawak semalam.


KUCHING – Keghairahan seorang peniaga yang ingin meraih pendapatan lumayan dengan melombong emas secara haram di kaki Gunung Tabai, Bau dekat sini, bertukar tragedi apabila mangsa maut dihempap dua bongkah batu sebesar kereta Perodua Kancil awal pagi semalam.

Mangsa Lee Sze Chun, 37, dikatakan pergi melombong emas di kawasan tersebut kerana mahu memperoleh wang segera bagi memenuhi impiannya memiliki sebuah premis perniagaan sendiri.

Bagaimanapun, Sze Chun yang menjalankan perniagaan mi kolok meninggal dunia dalam keadaan mengerikan dengan perutnya terburai akibat hentaman kuat ketulan batu yang tiba-tiba menggelongsor lalu menghempapnya di dalam terowong sedalam kira-kira 12 meter dalam kejadian pada pukul 3 pagi.

Pak cik mangsa, Chin Jun Chong, 47, berkata, mangsa pernah menyuarakan impiannya untuk memiliki kedai mi kolok sendiri bagi mengembangkan perniagaan bersama isterinya, namun mereka kekurangan modal.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kerjaya Shila ke peringkat Asia

Posted:

Kerjaya Shila ke peringkat Asia

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

SHILA bersama trofi kejuaraan Asian Wave 2012 ketika tiba di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG – Juara pertandingan Asian Wave 2012, Shila Amzah bakal menandatangani kontrak dana pembangunan untuk mengembangkan kerjayanya di peringkat Asia bernilai RM5 juta tidak lama lagi.

Dana tersebut akan dikongsi bersama pemenang tempat kedua pertandingan tersebut iaitu Chang Shilei dan ketiga, Huo Jun yang kedua-duanya artis dari China.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, jumlah sebenar habuan itu belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih meneliti kontrak yang disediakan oleh Shanghai Media Group, sebuah syarikat media terbesar di China.

"Setakat ini belum tahu jumlah sebenarnya kerana hadiahnya bukan berupa wang ringgit sebaliknya dana pembangunan kerjaya sebagai persediaan melahirkan bintang Asia yang seterusnya.

"Apa yang diberitahu, jumlah RM5 juta itu akan dikongsi bersama pemenang tempat kedua dan ketiga. Pihak saya akan meneliti kontrak selama seminggu, kemudian kami akan terbang ke Shanghai semula untuk majlis menandatangani kontrak," ujarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Badan peguam jadi rakan penting

Posted:

Badan peguam jadi rakan penting

NAJIB (dua dari kiri) melawat tapak pameran sempena Persidangan Antarabangsa
Undang-Undang Malaysia 2012 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Badan Peguam Malaysia tetap menjadi rakan penting dalam kedaulatan undang-undang dan pentadbiran keadilan negara walaupun kerajaan tidak semestinya sentiasa bersetuju dengan pandangan dan beberapa aktiviti yang dijalankan badan itu.

Beliau berkata, walaupun sesekali ada perbalahan atau pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, kerajaan masih mendengar apa yang diperkatakan badan itu dan memberi perhatian kepada perkara yang mereka lakukan.

"Kita mungkin ada kalanya membuat lawak mengenai peguam tapi mereka bagaimanapun mempunyai peranan yang unik dan penting di negara ini," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kapal tentera baharu China

Posted:

Kapal tentera baharu China

KAPAL pengangkut pesawat pertama milik China berlabuh di Dalian, timur laut China pada Ahad lalu.


BEIJING - Kapal pengangkut pesawat pertama China mula beroperasi semalam, kata Kementerian Pertahanan di sini.

Ia digunakan selepas China memperbesarkan lagi armada tentera lautnya ketika ketegangan maritim di Laut China Selatan terus meningkat.

Media negara berkenaan melaporkan, upacara pentauliahan kapal induk sepanjang 300 meter itu dihadiri oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.

Kapal induk itu dibeli dari Ukraine dan dinamakan semula sebagai Liaoning sempena nama wilayah timur laut China yang menempatkan bandar pangkalan tentera laut utama di negara itu, Dalian.



Sebelum dijadikan kapal pengangkut pesawat, Liaoning merupakan kapal separa siap milik tentera laut bekas Kesatuan Soviet.

Kapal tersebut ditunda dari Ukraine tanpa enjin, persenjataan dan sistem navigasi pada tahun 1998.

Kapal itu dibeli daripada pemerintah Ukraine pada harga sekitar AS$20 juta (RM61.4 juta).

Kerja pengubahsuaian mengambil masa selama beberapa tahun.

Liaoning memiliki kapasiti untuk membawa sekitar 26 buah pesawat dan 24 buah helikopter.

Dalam perkembangan berkaitan, Beijing masih belum mendedahkan peranan sebenar kapal induk tersebut selain membantu melindungi perairan China.

"Kapal induk itu juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertahanan negara dan keupayaan ketenteraan," kata bekas pegawai tentera laut China, Yang Yi kepada akhbar China Daily yang disiarkan semalam. - Agensi

Bekas presiden Olympus mengaku bersalah

Posted:

Bekas presiden Olympus mengaku bersalah

TOKYO - Bekas Presiden Olympus Corporation, Tsuyoshi Kikukawa (gambar) mengaku bersalah semalam kerana menyembunyikan kerugian besar syarikat pembuat kamera dan peralatan kesihatan Jepun itu.

Syarikat tersebut mengalami kerugian pelaburan sebanyak AS$1.5 bilion (RM4.58 bilion) sejak tahun 1990-an.

Skandal tersebut didedahkan pada tahun lalu apabila Ketua Pegawai Eksekutif Olympus di Britain, Michael Woodford mempersoalkan tentang bayaran bagi mendapatkan nasihat kewangan dan pemerolehan yang diragui.

Woodford kemudian dipecat.

Tiga eksekutif Olympus lain juga mengaku bersalah semalam.

Mereka boleh dikenakan hukuman 10 tahun penjara, denda AS$128,000 (RM391,002) atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Olympus boleh didenda sehingga AS$9 juta (RM27.49 juta). - AP

Ketua Hamas akan letak jawatan

Posted:

Ketua Hamas akan letak jawatan



BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Ketua pergerakan Hamas, Khaled Meshaal (gambar) sekali lagi mengesahkan keputusannya untuk melepaskan jawatan tertinggi tersebut, kata beberapa pegawai Hamas semalam.

Pada Januari lalu, pergerakan berkenaan pernah mengumumkan bahawa Khaled yang kini hidup dalam buangan bersedia untuk melepaskan jawatannya.

Namun, Hamas memberitahu, anggota-anggota pergerakan itu berharap beliau akan menimbang semula keputusan tersebut.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, beberapa pegawai Hamas di sini dan di luar wilayah Palestin berkata, Khaled kini bertekad untuk melepaskan kepimpinannya. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Remaja Myanmar lahir anak yang kemudiannya mati

Posted:

Remaja Myanmar lahir anak yang kemudiannya mati

26/09/2012 6:31pm

KUANTAN - Seorang remaja Myanmar yang berumur 19 tahun dipercayai melahirkan anak yang kemudiannya ditemui mati.

Kejadian itu dikesan apabila remaja berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Cameron Highlands pada pukul 9 malam semalam oleh majikannya setelah dia mengadu sakit perut.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihak hospital akhirnya mendapati wanita berkenaan baharu sahaja melahirkan anak.

"Pihak polis kemudiannya pergi ke rumah yang didiami wanita itu yang terletak berhampiran rumah majikannya di Taman Bukit Indah, Brinchang, Cameron Highlands dan menemui mayat bayi perempuan yang dibalut dengan kain," katanya ketika dihubungi Bernama.

Remaja yang bekerja di kebun sayur itu dipercayai bersalin bersendirian. - BERNAMA

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

Posted:

Jemaah haji Malaysia mula tiba di Mekah

26/09/2012 6:30pm

MEKAH - Kumpulan pertama seramai 312 jemaah haji Malaysia selamat tiba di kota suci Mekah dari Madinah awal hari ini.

Mereka tiba kira-kira pukul 1 pagi Rabu (7 pagi waktu Malaysia) di Hotel Janadiriyyah yang merupakan satu daripada 15 hotel di Makkah yang disewa oleh Tabung Haji bagi menempatkan hampir 28,000 jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji kali ini.

Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kumpulan pertama itu bertolak dari Madinah dengan bas pada pukul 5 petang Selasa (11 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di Mekah selepas mengharungi perjalanan selama lapan jam.

Beliau berkata, selepas berehat dan bersarapan pagi, jemaah haji yang berpakaian ihram kemudian berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram yang terletak kira-kira 1km dari tempat penginapan mereka dengan diketuai oleh seorang mutawif atau pembimbing serta petugas Tabung Haji bagi melaksanakan ibadah umrah.

Syed Saleh berkata, berbeza daripada tahun sebelumnya, kali ini bagasi milik jemaah haji tiba sehari lebih awal di Makkah dan dimasukan ke dalam bilik jemaah haji seperti yang telah ditetapkan. - BERNAMA

Mahkamah tolak permohonan Zainul Rijal tarik diri

Posted:

Mahkamah tolak permohonan Zainul Rijal tarik diri

26/09/2012 6:28pm

KUALA LUMPUR - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini menolak permohonan penarikan diri seorang peguam syarie daripada mewakili Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dua yang lain dalam rayuan kes qazaf yang dikemukakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Zohdi Toha sebulat suara menolak permohonan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar setelah mendapati peguam syarie itu memfail notis permohonan penarikan diri menggunakan borang yang tidak betul.

Hakim Zohdi, yang bersidang bersama Hakim Datuk Aidi Moktar dan Hakim Hussin Harun, turut memerintahkan Zainul Rijal membayar kos mahkamah.

Hakim Zohdi ketika membuat keputusan itu, berkata Zainul Rijal telah mengisi borang MS 19 iaitu Notis Penarikan Balik Prosiding mengikut Seksyen 95(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998, dan bukan borang MS 8 iaitu Notis Penarikan Diri Peguam Syarie.

"Dalam kes ini, Zainul Rijal berhasrat menarik diri daripada mewakili ketiga-tiga anak guamnya itu tetapi beliau menggunakan borang yang tidak betul iaitu borang MS 19 dan penarikan balik yang dimaksudkan dalam borang MS 19 adalah penarikan prosiding kes dan bukan penarikan dirinya, selain perkara itu tidak disampaikan kepada anak guamnya," kata hakim itu. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved