Sabtu, 22 September 2012

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Tentera dua negara padu kehebatan

Posted:

Tentera dua negara padu kehebatan

LATIHAN ketenteraan ini adalah untuk mengukuhkan strategi pertahanan bagi kepentingan keselamatan kedua-dua buah negara terlibat.


SUASANA di Bukit Dugong, Kampung Tamalang, Kudat, Sabah menjadi tegang apabila saki-baki markas tentera musuh negara Nagasor diserbu pihak anggota keselamatan baru-baru ini.

Kesemua mereka yang dianggarkan berjumlah 40 orang itu dikehendaki kerana dipercayai mendarat di perairan daerah ini sejak awal September lalu dalam misi menawan Negeri Di Bawah Bayu.

Pegawai Memerintah yang membawa Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Leftenan Kolonel Mohd. Yusri Abdul Manap turut disertai satu kompeni berkekuatan 100 orang dari pasukan 642 Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Dengan strategi tersusun, pecahan anggota dilakukan bagi melancarkan serangan daripada tiga penjuru iaitu kiri, kanan dan belakang bukit dalam usaha memusnahkan kumpulan tersebut yang digerakkan sejak pukul 7.30 pagi

Biarpun diserang dengan pelbagai bedilan bertali arus daripada musuh tersebut melalui Mesingan General Multi Purpose (GPNG), anggota tentera darat tidak pernah gentar dan bertindak melakukan serangan balas.

Ternyata, serangan itu membuahkan hasil apabila berjaya membunuh satu demi satu pihak musuh. Balingan bom asap digunakan dalam mengaburi penglihatan kumpulan pengacau keamanan itu.

Sesekali kedengaran arahan dikeluarkan melalui radio perhubungan oleh semboyan dalam berkomunikasi dengan anggota terlibat agar terus maju demi memastikan Ops Bukit Dugong itu berjaya sepenuhnya.

Tidak sampai 10 minit, satu bahagian di sebelah kiri bukit telah berjaya ditawan anak-anak buah Mohd. Yusri apabila Prebet Abdul Rahman Baginda dan Perajurit Kelas 2, Suratman menurunkan bendera musuh sebagai simbolik tempat telah ditawan.

DARI KIRI: Mohd. Zaki bersama Ridwan dan Ranjit menggenggam tangan masing-masing pada majlis penutup Eksesais Kekar Malindo.


Latihan bersama

Hakikatnya, semua tindakan dan serangan yang dilakukan kedua-dua pihak hanyalah simulasi sempena Latihan Bersama Tentera Malaysia-Indonesia Eksesais Kekar Malindo di Sikuati.

Bagaimanapun, 'peperangan' penuh mendebarkan itu telah memuaskan hati Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral, Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan Panglima Daerah Militer 12 Tanjungpura (Pangdam), Mayor Jenderal TNI Ridwan yang memerhatikan operasi itu dari atas bukit tersebut.

Menurut Mohd. Zaki, pujian harus diberikan kepada pasukan terbabit yang berjaya membentuk keseragaman dalam mengatasi perbezaan kaedah terutamanya apabila melibatkan gabungan tentera dua negara.

"Biarpun setiap negara mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, Ekesais Kekar Malindo adalah platform terbaik dalam bertukar maklumat, teknik dan pengalaman kepada anggota kedua-dua negara.

"Secara tidak langsung, dapat melakukan penambahbaikan dan transformasi dalam mengatur gerak operasi sebagai satu pasukan," katanya.

Beliau turut yang menyifatkan eksesais itu mencapai objektifnya, memberikan pujian kepada Panglima 5 Briged Brigedier Jeneral Datuk Ranjit Singh selaku Pangarah Eksesais tesebut dan kepada semua pegawai serta anggota.

KESEMUA yang terlibat dalam Latihan Bersama Tentera Malaysia - Indonesia, Eksesais Kekar Malindo merakamkan gambar kenangan.


Hubungan akrab

Penganjuran eksesais secara dwitahunan yang dianjurkan buat kali ke 36 sejak tahun 1976 itu menunjukkan perhubungan akrab telah terjalin antara Angkatan Tentera Darat Malaysia dan TNI.

Kerjasama kedua-dua pihak itu bermula sejak awal bulan ini dan berakhir pada 12 September.

Dalam pada itu, pandangan positif turut disuarakan Ridwan yang mengakui latihan bersama kedua-dua pihak mampu mengatasi segala isu berkaitan dengan operasi di sempadan.

Katanya, keupayaan merancang dan mengatur gerak pasukan dalam melaksanakan serangan telah dinilai baik yang seterusnya mampu meningkatkan tahap profesinalisme tentera.

Jelasnya, kedudukan itu dapat meningkatkan keyakinan untuk bergerak secara berpasukan bagi menyempurnakan mana-mana misi bantuan bersama-sama.

"Kita tahu sememangnya terdapat isu-isu 'murahan' yang sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk menggoyangkan hubungan ini.

"Namun, kita sentiasa berhati-hati dan meneliti setiap isu yang ditimbulkan dengan matang agar tiada ia tidak berpanjangan dan memecahbelahkan kerjasama utuh antara TDM dan TNI selama ini," katanya. - MOHD. YUNUS YAKKUB

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


PKSPN beroperasi Februari 2013

Posted:

PKSPN beroperasi Februari 2013

AHMAD Shabery (kanan) melawat Pusat Kecemerlangan Paralimpik yang sedang dalam pembinaan di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam.


MASALAH pengubahsuaian gimnasium serta kelulusan sistem utiliti kumbahan merupakan dua faktor utama mengapa Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Nasional (PKSPN) yang sepatutnya dijangka beroperasi November tahun ini, hanya boleh digunakan sepenuhnya pada Februari 2013.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hasil pertemuan dengan kontraktor mendapati, pusat yang bakal memberikan manfaat kepada atlet paralimpik negara itu kini lebih 90 peratus siap.

Begitupun jelasnya, terdapat beberapa masalah berbangkit yang menyebabkan pusat tersebut hanya sedia beroperasi lewat tiga bulan daripada jadual asal.

"Setakat ini, kami berpuas hati dengan progres pembangunan biarpun ia sedikit lewat daripada jangkaan asal," katanya selepas melawat pusat tersebut di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed.

Sebelum ini, projek bernilai RM50 juta yang dibiayai KBS itu juga pernah tergendala selama lima bulan ekoran pihak kontraktor menemui batu hampar yang besar pada permukaan tapak projek tersebut.

Projek yang bermula dua tahun lalu itu dibina bersebelahan Kompleks Sukan Kampung Pandan dengan keluasan 3.7 hektar.

Menyifatkan masalah tersebut bukan berpunca daripada kesilapan kontraktor, Ahmad Shabery sebaliknya mahu beberapa kemudahan asas juga ditambah sebelum pusat berkenaan beroperasi sepenuhnya.

Antara cadangan yang dikemukakan pihaknya termasuk pembinaan kafetaria serta pusat jualan cendera- mata.

"Saya mahu pusat ini bukan sahaja sebagai pusat latihan atlet paralimpik, sebaliknya turut bersedia digunakan dalam mana-mana kejohanan utama seperti Para Asia selepas ini."

Kemarau gol Safee berakhir

Posted:

Kemarau gol Safee berakhir

KEMARAU gol peledak berbisa, Mohd. Safee Sali (gambar) bersama Harimau Malaya akhirnya ternoktah.

Malam kelmarin, Safee berjaya membuka tirai jaringan semasa membantu skuad kebangsaan menewaskan Kemboja 3-0 dalam satu aksi persaha- batan tertutup di Padang Wisma FAM.

Biarpun ia bukan aksi persahabatan rasmi, Safee sejujurnya gembira berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

"Syukur sangat-sangat, saya tidak peduli ia aksi persahabatan rasmi atau tidak, yang penting saya akhirnya berjaya menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan.

"Jadi, saya harap gol tersebut dapat menyuntik moral saya meledak lebih banyak jaringan selepas ini sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki," kata- nya kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Safee menemui sentu- han penyudah ialah ketika meledak kedua-dua gol semasa Malaysia tumpas 2-3 kepada India dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Lake Salt, India pada 16 November tahun lalu.

Selepas itu, Safee, 28, begitupun dilihat gagal menterjemahkan setiap peluang membuat jaringan yang indah dalam beberapa episod perlawanan persahabatan antarabangsa termasuk yang terbaharu ketika Malaysia tumpas 0-2 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam pada 11 September lalu.

Dalam perlawanan kelmarin, dua lagi jar-i ngan dicetak oleh Zaquan Adha Abdul Razak yang juga baharu kembali menerajui jentera serangan Harimau Malaya baru-baru ini selepas sekian lama dibelenggu kecederaan.

Mengulas lanjut, Safee yang mengakui cergas sepenuhnya tanpa kecederaan mengakui tidak sabar beraksi bersama skuad Pilihan Selangor menjelang pertemuan menentang Pilihan Singapura dalam aksi amal Piala Sultan Sela- ngor (PSS) 2012 di Stadium Shah Alam, 29 September ini.

"Kali terakhir saya menjaringkan gol dalam Piala Sultan Selangor kalau tak silap saya pada 2008, jadi saya harap dapat meledak gol kali ini," katanya optimis.

'Jangan ulangi kesilapan'

Posted:

'Jangan ulangi kesilapan'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

JANGAN ulangi kesilapan yang sama.

Itu mesej positif pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee kepada anak-anak buahnya menjelang pertemuan menentang Wood- lands Wellington dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun malam ini.

Menurut beliau, beberapa kelemahan seperti gagal menyerap asakan pantas serta kehilangan fokus ketika berdepan set piece lawan seperti mana ketika tewas kepada Home United 0-3 minggu lalu wajar diatasi segera.

"Ketika berdepan Home United (tempoh hari), keghairahan menyerang habis-habisan gara-gara ketinggalan akhirnya dihukum dengan serangan pantas skuad lawan.

"Kami juga gagal menyaingi pemain lawan ketika set piece termasuk sepakan penjuru.

"Jadi, ia tidak harus diulangi ketika menentang Wellington jika kami mahu terus bersaing sehingga penghujung saingan Liga S," kata Kim Swee kepada Kosmo! baru-baru ini.

Harimau Muda kini di tangga keenam liga apabila mengutip 32 mata daripada 18 perlawanan, jauh di depan Wellington yang terperosok di tangga tercorot kumpulan apabila sekadar meraih 10 mata setakat ini.

Selepas berdepan Wellington, Harimau Muda akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Hari- mau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

Malam ini, skuad Kim Swee kembali diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain iaitu Mahalli Jasuli, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang baharu sahaja selesai menjalani latihan bersama skuad kebangsaan semalam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Anggota badan dikerat milik warga emas yang hilang

Posted:

Anggota badan dikerat milik warga emas yang hilang

22/09/2012 5:55pm

PEKAN — Polis mengesahkan tengkorak dan anggota badan yang dijumpai dalam keadaan dikerat di kawasan paya bakau dekat Sungai Miang, di sini semalam, adalah warga emas yang dilapor hilang 15 September lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahaya Othman berkata, hasil siasatan polis dan laporan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati anggota badan dan tengkorak yang dijumpai kira-kira pukul 5 petang semalam adalah Sh. Othman Sh. Bakar, 72.

"Hasil siasatan terhadap dua suspek yang ditangkap bagi membantu siasatan kes ini membawa kepada penemuan beberapa anggota badan mangsa di KM 15 Kampung Sungai Miang, dekat sini, semalam.

"Polis yang meneruskan pencarian sebahagian lagi anggota badan mangsa hari ini turut menemui beberapa lagi barangan milik mangsa iaitu kopiah dan cermin mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini. — BERNAMA

Cubaan seludup 11,000 liter petrol subsidi gagal

Posted:

Cubaan seludup 11,000 liter petrol subsidi gagal

22/09/2012 5:49pm

TAWAU — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar sebanyak 11,125 liter petrol bersubsidi bernilai RM21,137 melalui perairan Semporna, semalam.

Pengarah Operasi APMM Tawau, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, petrol bersubsidi yang disimpan di dalam 445 tong berkenaan dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot jongkong yang dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Sitangkai, Filipina, pada 10.30 malam.

"Ini merupakan kes kedua pada minggu ini yang melibatkan penyeludupan minyak petrol (bersubsidi) di perairan Semporna. Kes sebelum ini (pada awal pagi 19 September lalu) melibatkan 11,250 liter minyak petrol," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azman tiga orang awak-awak berserta juragan bot warganegara Filipina berumur lingkungan 20-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.— BERNAMA

Mayat lelaki ditemui di ladang kelapa sawit

Posted:

Mayat lelaki ditemui di ladang kelapa sawit

22/09/2012 5:40pm

KUNAK — Mayat seorang lelaki, berumur lingkungan 50-an, dipercayai dibunuh, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit, berhampiran SMK Kunak, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M.Radzali Mahmud berkata, mayat berkenaan ditemui orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.00.

"Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat itu. Pihak polis kemudian menemui mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh", katanya di sini hari ini.

Menurut M.Radzali, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan dan sepasukan anggota forensik dari Kota Kinabalu telah berada di lokasi hari ini untuk mengumpul bukti bagi membantu siasatan.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


iPhone 5 dijual semula pada harga tinggi

Posted:

iPhone 5 dijual semula pada harga tinggi

RYAN WILLIAMS (berbaju putih) mengangkat kedua-dua tangannya selepas dia menjadi orang pertama memasuki kedai Apple untuk membeli iPhone 5 di London semalam.


HONG KONG - Beberapa orang menjual semula iPhone 5 pada harga yang tinggi selepas mereka membelinya di sini semalam.

Menurut seorang penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Suen, dia membeli telefon bimbit itu pada harga HK$8,000 (RM3,154.23).

Dia kemudian memberitahu, telefon itu kemudian dijual kira-kira HK$9,000 (RM3,542.22) hingga HK$10,000 (RM3,941.05).

Suen bekerja di sebuah kedai gajet menyebabkan dia mudah untuk menjual semula telefon bimbit tersebut kepada para pembeli.

Harga normal telefon bimbit itu bermula pada HK$5,588 (RM2,202.26) di kedai-kedai syarikat Apple yang merupakan pengeluar telefon tersebut.

Menurut Suen, keuntungan segera boleh diperoleh sebanyak HK$3,000 (RM1,182.54) untuk setiap satu iPhone 5 yang dijual.

Dia berjaya membeli 15 unit iPhone 5 dalam tempoh sejam walaupun Apple menghadkan hanya dua unit telefon sahaja.

Kebanyakan kedai yang menjual semula telefon tersebut terletak tidak jauh dari kedai Apple.

Telefon bimbit itu turut dijual buat kali pertama kepada pembeli di Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Perancis dan Jerman semalam.

iPhone 5 lebih ringan, mempunyai skrin lebih besar, perisian yang terkini dan pemprosesan yang lebih pantas.

Ramai pembeli di Tokyo, New York, Sydney dan London sanggup berbaris di luar kedai Apple untuk membeli telefon tersebut. - Agensi

AS tutup kedutaan di Indonesia

Posted:

AS tutup kedutaan di Indonesia

BEBERAPA buah kenderaan berperisai diletakkan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.


JAKARTA - Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaannya di seluruh Indonesia ekoran bantahan berterusan terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims.

Beberapa demonstrasi kecil dan teratur berlangsung di luar Kedutaan AS di sini dan bandar raya Surabaya serta Medan selain di beberapa buah bandar lain di negara itu semalam.

Tiada keganasan dilaporkan berlaku.

Kedutaan AS di sini dan pejabat konsulatnya di Surabaya, Medan dan Bali ditutup semalam.

Turut tidak beroperasi ialah Pejabat AS ke negara-negara ASEAN di Jakarta.

Sebelum ini, bantahan besar-besaran kerap diadakan selepas selesai solat Jumaat di Indonesia yang memiliki penduduk Islam paling ramai di dunia.

Orang Islam di seluruh dunia marah terhadap filem terbitan AS tersebut kerana menghina Nabi Muhammad SAW.

Tunjuk perasaan turut berlaku di luar Kedutaan Perancis berhubung penyiaran kartun Nabi Muhammad SAW di sebuah majalah negara itu.

Beberapa tunjuk perasaan juga diadakan di luar restoran yang mempunyai kaitan dengan AS.

Perancis turut menutup pejabat kedutaan, konsulat dan pusat kebudayaan serta beberapa buah sekolah antarabangsa di 20 buah negara Islam semalam. - Agensi

AP

BEBERAPA buah kenderaan berperisai diletakkan di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta semalam.

Hakim tolak permohonan aktres filem hina Nabi

Posted:

Hakim tolak permohonan aktres filem hina Nabi

GARCIA


LOS ANGELES - Hakim sebuah mahkamah di sini menolak permohonan seorang aktres filem yang menghina Nabi Muhamaad SAW kelmarin.

Aktres itu, Cindy Lee Garcia memohon supaya sedutan filem Innocence of Muslims selama 14 minit dikeluarkan daripada laman YouTube.

Bagaimanapun, Hakim Luis Lavin menolak permohonan itu kerana dia tidak mengemukakan sebarang perjanjian bertulis bahawa dia ditipu untuk berlakon dalam filem yang sebenarnya menghina Nabi Muhammad.

Garcia menyaman syarikat Google yang memiliki YouTube.

Menurut aktres itu, dia mendapat ancaman bunuh ekoran filem berkenaan.

Peguam bela Garcia, Cris Armenta memberitahu pemberita, dia akan mengemukakan bukti untuk kes tersebut. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Empayar dan cinta Levine

Posted:

Empayar dan cinta Levine

POPULARITI vokalis band Maroon 5, Adam Levine melonjak dengan begitu pantas. Suara yang unik, wajah yang tampan, kontroversi cinta yang tidak pernah surut dan kemunculannya sebagai mentor dalam program realiti nyanyian popular,The Voice antara sebab saham dirinya melonjak tinggi saat ini.

Namun, sebelum meraih populariti luar biasa sehingga dilabel sebagai King of Pop, kehidupan figura berusia 33 tahun itu tidaklah seindah mana. Jalan menuju kejayaan seperti hari ini tidak mudah buat Levine dan grup yang dianggotainya, Maroon 5.

"Saya pernah bekerja sebagai pelayan di restoran Johnny Rockets, sebelum itu pernah bekerja sebagai pembantu penulis untuk drama Judging Amy dan pernah kecewa apabila album pertama band asal saya, Kara Flowers yang diterbitkan pada 1997 tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

"Kami berpecah dan membawa haluan masing-masing, tetapi bernasib baik apabila bersatu semula dan kini dapat meraih kejayaan yang dikecapi bersama," ujarnya.

Hari ini, siapa yang tidak kenal dengan Levine atau nama sebenarnya Adam Noah Levine. Kebanyakan lagunya mencipta sensasi yang tersendiri dan dia juga meraih kejayaan apabila setiap lagu duet bersama penyanyi lain menduduki tangga teratas dalam carta lagu popular seluruh dunia.

"Ya, saya suka sukses kerana di sebalik setiap kejayaan akan diiringi dengan wang yang banyak. Saya juga tidak ada masalah dengan duit yang banyak, saya ada cara untuk menikmatinya.

"Bagi seorang bintang rock, koleksi tatu, koleksi motosikal berkuasa tinggi, deretan kereta mewah, berpacaran dengan wanita jelita, itu semuanya sudah saya merasai dan memiliki. Tidak ketinggalan, saya mempunyai sebuah rumah dengan pemandangan luar yang dapat melihat terus tulisan Hollywood di atas bukit. Memang saya cukup bertuah dan saya suka menjadi Adam Levine," selorohnya.

Meskipun album Maroon 5 telah terjual puluhan jutaan unit di seluruh dunia termasuk album keempat yang berjudul Overexposed, dia masih enggan mengubah dirinya seratus peratus.

"Populariti dan wang yang banyak tidak memaksa untuk saya mengubah imej. Saya selesa memakai kasut sniker, baju T, seluar jeans dan gaya rambut yang ringkas. Imej yang sama sejak saya tamat sekolah. Ibu juga mengaku yang saya tidak pernah berubah daripada dahulu sehingga hari ini," ungkapnya.

Berlakon

Selain menyanyi, lelaki yang berasal dari Los Angeles, California itu turut bergelar seorang aktor apabila terlibat dalam filem Can A Song Save Your Life? berganding dengan aktres Keira Knightley serta terbabit dalam drama American Horror Story.

Bukan itu sahaja, kehadiran Levine sebagai mentor dalam The Voice untuk tiga musim berturut-turut telah menaikkan rating program terbitan stesen televisyen NBC.

Empayarnya semakin besar apabila dia bakal melancarkan jenama minyak wanginya sendiri, iaitu 222 pada bulan Mei tahun hadapan.

"Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk membina empayar, tetapi apa yang saya lakukan sekarang ini hanyalah mencuba sesuatu yang baharu.

"Saya tidak pernah teringin untuk menjadi seorang aktor, tetapi apa salahnya untuk mengambil peluang yang diberikan di depan mata.

"Bagaimanapun, saya tidak pula bermati-matian menjalani uji bakat supaya terpilih, sebaliknya pihak produksi yang terfikir untuk memanggil saya. Kehidupan ada naik dan turunnya, saya cuba untuk mengikuti aliran yang datang dan saya memang bekerja keras untuk memastikan setiap kerja itu berjaya," tuturnya.

Terlibat dalam program The Voice merupakan satu kejutan buat anggota Maroon 5 yang lain kerana Levine bukan jenis individu yang sukakan pertandingan nyanyian.

"Apabila tawaran itu datang, saya hanya dengar suara hati dan ingin lakukannya. Jika Steven Tyler boleh lakukannya (menjadi juri) dalam program American Idol, begitu juga dengan saya.

"Kalau ikutkan, saya memang tidak suka pertandingan realiti nyanyian, tetapi The Voice sangat berbeza kerana terdapat ketelusan sebalik pertandingan ini, bukannya soal rating dan populariti semata-mata. Saya dapat membantu orang mengejar impian dengan cara saya sendiri," ucapnya.


BERSAMA grupnya, Maroon 5, Levine mencipta fenomena menerusi untaian lagu segar dan catchy seperti This Love dan She Will Be Loved.


Wanita

Menjadi bintang rock tidak sah jika tidak dikelilingi wanita-wanita jelita. Begitu juga dengan Levine yang pernah bercinta selama dua tahun dengan model kelahiran Rusia, Anne Vyalitsyna.

Levine yang pernah digosip bercinta dengan penyanyi dan mentor program The Voice, Christina Aguilera itu kini dikatakan sedang hangat bercinta dengan Behati Prinsloo, model pakaian dalam jenama tersohor Victoria Secret.

"Orang sekeliling sering salah anggap terhadap saya. Mereka sering sangka yang saya hanyalah seorang penyanyi yang bercinta dengan wanita cantik yang tidak berapa cerdik sebab kekasih saya kebanyakannya merupakan model pakaian renang.

"Saya akan pastikan cinta dan kerjaya berjalan secara seimbang. Saya ingin pastikan orang di luar sana tahu yang saya juga seorang yang cerdik," balasnya.

Bercakap tentang wanita, akuinya, dia cukup bertuah kerana dia seorang lelaki yang cukup memahami wanita, mungkin kerana itu dia tidak pernah mengambil masa yang lama untuk menemui cinta baharu.

"Ibu bapa saya telah bercerai ketika saya berusia tujuh tahun. Sejak itu, setiap hujung minggu saya akan tinggal bersama ibu dan pada hari biasa bersama bapa.

"Di rumah, ibu saya turut mengajak bekas isteri pak cik saya tinggal bersama, sepupu perempuan yang saya anggap seperti adik saya serta abang saya yang diketahui seorang gay.

"Mungkin sebab sudah terbiasa dengan wanita di rumah, saya tidak ada masalah untuk bercakap dengan gadis sejak berusia 15 tahun. Saya cukup memahami apa kehendak dan masalah mereka kerana ibu saya tidak pernah berhenti berkata mengenainya selepas bercerai dengan bapa saya," luahnya.

Mengakui seorang pencinta wanita dan tidak boleh hidup tanpa wanita di sisinya, ujar Levine, setiap kali bercinta dia pasti serius dan menyayangi wanita itu setulus hatinya.

"Kalau anda sayangkan seorang wanita jangan malu untuk tunjukkan perasaan itu, saya jenis lelaki yang tidak malu untuk luahkan perasaan jika saya benar-benar mencintai seorang wanita.

"Buat masa ini saya sukakan kehidupan dan pekerjaan saya. Lakukan perkara yang saya suka bersama orang-orang yang saya sayangi serta dapat bersama dengan orang yang dicintai. Itu sahaja yang saya inginkan," tuturnya.

Pengaruh dan sensasi Ariel

Posted:

Pengaruh dan sensasi Ariel

BERSAMA anggota asal Peterpan yang kini mahu dikenali sebagai Noah, mereka gigih memasang strategi penjenamaan semula grup tersebut.


ARIEL PETERPAN atau Nazriel Irham bukan lelaki yang luar biasa. Namun sebaik dia memasuki bidang seni Indonesia, Ariel pantas memukau khalayak dengan ketampanan, bakat dan kreativiti yang ditumpahkan dalam membikin karya-karya bagi grup Peterpan.

Apa sahaja yang dilakukan Ariel menjadi sorotan media, sama ada ia kisah peribadi atau kerjaya. Perjalanan seni Ariel bersama Peterpan yang sedang berada di puncak, merudum apabila dia dikaitkan dengan skandal video seks bersama kekasihnya, Luna Maya dan hos cantik, Cut Tari pada tahun 2010.

Dua tahun Ariel menjadi buruan paling hangat media Indonesia, walaupun lebih setahun kehidupannya terpaksa dihabiskan di dalam penjara Kebon Waru, Bandung selepas didapati bersalah sebagai pelaku dan mengedar video lucah.

Pada bulan Ramadan lalu, lelaki berusia 31 tahun itu sudah bebas dengan tidak lagi memegang status sebagai banduan.

Ariel kini kembali sebagai seorang penghibur, bersama anggota asal Peterpan iaitu Uki, Lukman, Reza dan David. Hanya selepas dibebaskan, Ariel memilih untuk menukar nama asal Peterpan kepada Noah.

Ternyata, penukaran nama Peterpan kepada Noah selain kisah panas peribadi Ariel tidak membuat surut peminat mereka.

Buktinya, kehadiran band berkenaan ke Malaysia pada 16 September lalu begitu dinanti-nantikan peminat, terutamanya Ariel yang membuat kemunculan sulung selepas dibebaskan daripada penjara pada Julai lalu.

Biarpun sekadar hadir selama 30 minit untuk menghiburkan peminat tegar mereka di negara ini, ternyata Noah tetap tampil dengan satu persembahan yang begitu mantap dan memukau 500 peminat yang hadir.

"Sebenarnya kami cuba hadir ke Malaysia dengan secepat mungkin untuk menghiburkan peminat di sini. Namun, kami terpaksa bergegas pergi dan berharap kamu semua berpuas hati dengan persembahan kami.

"Selepas ini pastinya kami akan datang lagi ke negara ini apabila Noah tampil dengan lebih banyak lagi lagu pada masa akan datang," jelasnya kepada peminat ketika menjayakan Konsert Tentang Bahtera di pusat hiburan KL Live, Kuala Lumpur itu.

Pembabitan Noah dalam konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah mereka dengan mengadakan persembahan di lima buah negara dalam tempoh 24 jam sebagai satu kelainan yang cuba ditampilkan mereka.

Jelajah mereka bermula dengan persembahan yang berlangsung di Australia dan Hong Kong, manakala Malaysia pula menjadi destinasi yang ketiga dan selepas itu mereka terbang menggunakan pesawat peribadi ke Singapura dan akhir sekali persembahan penutup yang berlangsung di Jakarta.

Ketika konsert yang berlangsung di KL Live, Noah memulakan persembahan menerusi lagu Walau Habis Terang dan diikuti dengan beberapa lagu lain seperti Menghapus Jejakmu, Mungkin Nanti, Tak Bisakah dan Topeng. Kesemuanya merupakan lagu-lagu yang pernah popular ketika mereka menggunakan nama Peterpan.

"Sudah tentu kamu masih lagi ingat dengan lagu-lagu lama Peterpan. Jadi, mari kita nyanyi bersama-sama kerana tujuan kami semata-mata mahu menghiburkan peminat dan semoga semuanya terhibur," ujarnya yang turut mempersembahkan lagu baharu Noah berjudul Separuh Aku.

Selain menampilkan Noah, konsert berkenaan turut dijayakan lagi dengan persembahan dua buah band tempatan, The Malayan dan 6ixth Sense serta trio dari Indonesia iaitu Gamaliel, Audrey dan Cantika yang menggelarkan diri mereka GAC.

Bagaimanapun, tiada sebarang sesi sidang akhbar yang berlangsung memandangkan kehadiran Ariel bersama bandnya itu sekadar dalam tempoh yang cukup singkat kerana mengejar masa untuk konsert seterusnya di Singapura.

Sementara itu, menurut laporan media Indonesia, Noah kini sedang meraih kembali sukses apabila strategi konsert jelajah lima negara tersebut menjadi fenomena buat mereka.

Noah juga dijadualkan mengadakan persembahan di sembilan buah lokasi di Indonesia seperti Pekanbaru, Solo, Surabaya, Bogor, Yogyakarta, Medan, Palembang, Bandung dan Jakarta yang bermula semalam hingga 15 Oktober ini.

Pada masa yang sama, single pertama mereka, Separuh Aku dan klip videonya juga diterima baik, malah Noah kini sedang giat membikin klip video untuk single kedua yang diberi judul Hidup Denganmu Mati Tanpamu.

"Mereka kini umpama gunung berapi yang sedang meletuskan laharnya kembali," ujar seorang pemerhati muzik seni terhadap kebangkitan Ariel bersama Noah.

Osman Ali kecewa tiada bonus

Posted:

Osman Ali kecewa tiada bonus

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


OSMAN ALI terkilan tidak diberikan perhargaan yang sewajarnya selepas menghabiskan kudrat tenaga fizikal dan kreativiti sehingga filem Ombak Rindu meraih kutipan mencecah RM10 juta.


FILEM Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel karya Fauziah Ashari sememangnya menjadi fenomena dalam industri filem tempatan apabila ia ditayangkan pada 1 Disember 2011.

Jumlah kutipan filem tersebut juga amat tinggi dengan hasil kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta. Bagi sebuah filem tempatan, ia merupakan satu gelombang fenomena yang cukup baik.

Kini, hampir 10 bulan berlalu sejak bermula tayangannya, tiba-tiba muncul isu pembahagian bonus terhadap keseluruhan produksi yang belum dilaksanakan.

Isu itu terbongkar apabila pengarah filem Ombak Rindu sendiri, Osman Ali dikatakan masih menuntut bonus yang dijanjikan secara lisan oleh pihak penerbit iaitu Tarantella Pictures.

Kepada Kosmo!, Osman meluahkan tentang perkara berbangkit.

Kosmo!: Boleh komen tentang gosip kononnya Osman masih menuntut bonus yang dijanjikan selepas hampir 10 bulan filem Ombak Rindu mula ditayangkan?

OSMAN ALI: Memang benar kerana ia pernah dijanjikan oleh pihak penerbit untuk memberi bonus kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem Ombak Rindu. Namun, perjanjian tersebut hanya secara lisan dan bukannya tertera dalam kontrak perjanjian. Secara lisan, penerbit memberitahu jika filem tersebut mendapat kutipan lebih RM8 juta, kami bakal diberikan bonus. Filem tersebut kini telah mendapat kutipan melebihi RM10 juta. Namun, sehingga ke hari ini, masih belum mendapat respons terhadap perjanjian lisan tersebut. Saya akui agak terkilan dan kecewa, tapi tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia memang tiada dalam kontrak. Jadi, memandangkan ia sebenarnya tiada dalam kontrak, saya kalau boleh tidak mahu kecohkan keadaan.

Mungkin jika tidak keberatan, boleh dedahkan berapa jumlah yang dijanjikan?

Sebenarnya mereka tidak memberitahu berapa jumlah bonus yang ingin diberikan. Hanya bercakap mulut ke mulut sahaja, tiada sebarang perjanjian dalam kontrak. Bukannya saya terlalu terdesak mahukan wang tersebut, tapi ia tentang penghargaan terhadap kami. Saya juga bukan berasa marah, ingin memboikot atau yang seumpamanya. Ini sebenarnya perkara lama, terkejut juga saya bagaimana ia boleh muncul semula.

Benar atau tidak tentang dakwaan anda menolak untuk bekerjasama lagi bersama Tarantella Pictures untuk mengarah filem yang juga adaptasi daripada novel, Pilot Café kerana isu bonus tersebut?

Memang ada (tawaran), tapi saya tidak kata saya menolak tawaran tersebut. Namun saya harus berfikir secara positif. Jujurnya, saya mahu juga diberi penghargaan (bonus), walaupun tidak banyak, sedikit pun tidak mengapa. Industri ini kecil jadi kita perlu bijak membuat keputusan dalam situasi begini. Memang tidak dinafikan saya mungkin akan bekerjasama dengan Tarantella selepas ini. Namun, mungkin selepas ini saya akan lebih profesional dengan tidak hanya bergantung kepada perjanjian lisan sahaja.

Bagaimana pula dengan Pilot Café. Adakah anda akan akan jadi pengarah filem itu nanti?

Saya akan mempertimbangkan tawaran tersebut untuk terima atau tidak. Ini kerana saya memang mempunyai hubungan yang baik sama ada dengan Tarantella mahupun Ahadiat Akashah selaku penulis naskhah dan skrip filem Pilot Café. Dia sememangnya mahu saya yang mengarah filem tersebut.

Jadi, maknanya anda akan terus bekerjasama dan mengarah filem bersama Tarantella?

Jika ikutkan emosi, memang terkilan dan kecewa namun kita perlu profesional. Jika tanpa memikir sentimen, saya ingin kekalkan hubungan baik tersebut. Ini kerana Ombak Rindu memang sebuah projek yang bagus.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved