Ahad, 23 Disember 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Floorball tuntut stamina tinggi

Posted:

Floorball tuntut stamina tinggi

Floorball tuntut stamina tinggi

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

DUA buah pasukan yang masing-masing terdiri daripada enam orang pemain termasuk penjaga gol sedang beradu ketangkasan di sebuah gelanggang lantai bersebelahan Fakulti Perundangan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini

Larian mereka pantas dan masing-masing berusaha untuk menjaringkan gol untuk mengatasi pihak lawan masing-masing dalam perlawanan seumpama hoki itu.

Namun, apabila diamati, kayu pemukul dan bola yang digunakan oleh mereka kelihatan sedikit berbeza dengan kayu yang digunakan dalam permainan hoki.

Kayu yang digunakan diperbuat daripada plastik pada bahagian bilah pemukul dan fiber pada bahagian pemegangnya.

Dilihat daripada aspek pukulan dan tolakan pula, kayu yang digunakan kelihatan lebih ringan dan ia lebih mudah untuk dikawal pemain. Rentak hantaran bola kepada rakan sepasukan dan pukulan menjaringkan gol dilihat begitu pantas dan ringan sifatnya.

"Ini dinamakan sukan floorball atau hoki lantai, namun ia paling mirip dengan sukan hoki ais. Perbezaannya ialah kelengkapan yang digunakan, gelanggang dan sistem peraturan yang telah ditetapkan," ujar Mohammad Khalid Abdul Rahim, 31, yang merupakan seorang pemain sukan floorball yang mewakili pasukan Gang Bintang.

Khalid yang mula bermain floorball sejak 10 tahun lalu merupakan antara individu terawal yang mula melibatkan diri dalam sukan tersebut di Malaysia.

Mula bertapak

Menurut Mohammad Khalid, floorball mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2001 oleh beberapa individu yang juga merupakan pelajar UM ketika itu. Antara tonggak penting yang memperkenalkan sukan tersebut di negara ini ialah Mohd. Hafidz Zainalabidin.

Individu tersebut juga merupakan pengerusi Liga Floorball Selangor.

"Tahap keselamatan terutamanya peralatan yang digunakan dalam sukan ini memberi inspirasi kepada saya untuk mencubanya.

"Tidak sampai setahun bermain, saya terpilih untuk mewakili negara ke perlawanan Liga Kejuaraan Floorball, divisyen B di Finland. Ketika itu, kami sepasukan mengumpul dana sendiri untuk bermain di sana," ujarnya yang juga selaku Presiden Persatuan Floorball Selangor (PFS).


GELANGGANG lantai UM merupakan salah satu tempat untuk pasukan floorball mengadakan sesi latihan di ibu negara.


Menyingkap serba sedikit sejarah sukan floorball, permainan ini pada asalnya dimainkan oleh pemain hoki ais di Sweden ketika mereka berehat daripada kejohanan sukan tersebut.

Pasukan hoki ais mencipta permainan itu bagi memastikan tahap kecergasan mereka dapat dikekalkan serta dapat melakukan persediaan untuk menghadapi musim seterusnya.

Di Malaysia, floorball masih dianggap baharu dan masih belum mendapat taraf pengiktirafan sukan berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Namun, untuk peringkat antarabangsa, Persekutuan Floorball Antarabangsa (IFF) dan sukan floorball telah mendapat pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Disember 2008.

"Gang Bintang dan PFS juga sering membawa sukan ini ke sekolah dan acara sukan untuk memberi tunjuk ajar kepada generasi muda. Setakat ini, ramai yang sudah menunjukkan minat," tambah Mohammad Khalid.

Strategi mencabar

Permainan tersebut memerlukan seramai 20 orang pemain dalam satu pasukan. Namun, hanya enam pemain yang bermain di gelanggang dan selebihnya pemain gantian yang boleh ditukar pada setiap masa tanpa had.

Seorang lagi pemain sukan floorball, Mohd. Fara Zulfadli Ramli, 28, memberitahu, corak permainan pantas yang digunakan dalam permainan itu menuntut setiap pemain dalam pasukan memerlukan stamina tinggi.


CORAK permainan yang pantas memerlukan stamina tinggi daripada setiap pemain.


"Secara teknikalnya, floorball mempunyai persamaan dengan permainan futsal. Namun, ia lebih mencabar kerana ia merupakan sebuah perlawanan terbuka tanpa menggunakan peraturan bola keluar daripada kawasan gelanggang.

"Untuk menjaringkan gol, setiap pasukan memerlukan kerjasama dan kepantasan yang maksimum. Gol yang dihasilkan oleh pemain juga menarik. Siapa sangka ketika berada di posisi belakang tiang gol, pemain boleh menjaringkan gol," jelasnya yang bermain di posisi pertahanan untuk pasukan Gang Bintang.

Menurut Mohd. Fara, selain daripada kelengkapan yang digunakan, kaedah untuk memukul bola juga turut diambil kira dalam permainan tersebut.

"Pemain tidak perlu memukul bola sekuat hati. Cukup sekadar meleretkan bola itu kepada rakan sepasukan kerana sifat fizikal bola itu direka dengan jisim yang ringan," ujarnya yang berpengalaman bermain di Liga Kejohanan Sepanyol Divisyen C pada tahun 2004.

Setiap lapisan masyarakat tidak kira kanak-kanak mahupun dewasa boleh mencuba floorball. Kos untuk bermain sukan itu juga tidak semahal yang disangkakan.

Kayu pelbagai jenama seperti Fatpipe, Salming dan Unihoc yang itu dijual pada harga RM150 hingga RM600 dan ia boleh dibeli daripada pengedar barangan sukan tersebut di sekitar lembah Klang.

"Pemain boleh menggunakan setiap sudut bilah pemukul untuk memukul bola tidak kira pada permukaan hadapan atau belakang.

"Ia berbeza dengan peraturan permainan hoki yang hanya boleh memukul bola pada bahagian hadapan bilah pemukul," ujar seorang lagi pemain, Sjaiful Anuar Adzhar, 29.

Sjaiful yang merupakan salah seorang pembekal kayu pemukul dari Finland iaitu Fatpipe di Malaysia, beranggapan bahawa sukan floorball yang diceburinya itu berupaya mencetus silaturahim dengan ramai pemain lain.


GOL boleh dijaringkan daripada pelbagai sudut tanpa mengira sama ada bola keluar daripada kawasan gelanggang.


"Apabila saya berjumpa dengan pemain floorball dari persatuan lain, pelbagai topik yang kami kupas terutamanya berkenaan strategi permainan serta perkembangan sukan ini di Malaysia," ujarnya yang juga merupakan jurulatih pasukan floorball wanita, Foxy Blizzard dan KLIUC Hornets.

Belum berkembang

Mengikut sumber daripada PFS, permainan floorball di Malaysia masih tertumpu di sekitar Lembah Klang dan masih tidak berkembang di negeri-negeri lain seluruh negara.

Sementara itu, pemain wanita yang bermain dalam pasukan di bawah kendalian Sjaiful, Nur Adila Mustafa, 20, di dalam pasukan Foxy Blizzard, sering kali mengikut jurulatihnya itu bermain floorball di gelanggang UM.

Menurutnya, dia lebih gemar berlatih dengan pasukan yang terdiri daripada kaum lelaki kerana dapat mempelajari pelbagai teknik baharu daripada mereka.

"Corak permainan dalam perlawanan lelaki amat pantas hingga adakalanya sukar untuk mengawal pergerakan mereka.

"Menerusi latihan bersama mereka, sedikit sebanyak saya dapat mempraktikkan cara mereka bermain dalam permainan saya," ujarnya yang pernah memenangi tempat ketiga bersama pasukannya dalam Liga Floorball Selangor (SFL) kategori wanita tahun lalu.

Tesco berjalan untuk leukemia

Posted:

Tesco berjalan untuk leukemia

Tesco berjalan untuk leukemia

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


CHEF Sherson Lian memberi penerangan kepada peserta sebelum memulakan pertandingan Cook For Life.


TESCO Malaysia (Tesco) baru-baru ini telah menganjurkan aktiviti khas berjalan kaki beramai-ramai sebagai kempen membantu kanak-kanak yang menghidap leukemia. Acara Walk For Life pada 9 Disember lalu berjaya menarik lebih 4,000 penyertaan yang rata-ratanya terdiri daripada staf syarikat dan pelanggan setia pasar raya tersebut.

Walk For Life merupakan salah satu usaha Tesco untuk mengutip dana sebanyak RM1 juta bagi membantu 100 kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia yang berdaftar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ketua bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat Tesco, Lee Ann Low memberitahu, pihaknya telah berjaya mengutip dana sebanyak RM200,000 menerusi program kebajikan yang telah dianjurkan sebelum ini.

"Untuk program Walk For Life ini, kami menyasarkan dana sebanyak RM50,000 hasil sumbangan setiap peserta untuk didermakan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik seterusnya meringankan bebanan kos perubatan mereka.

"Selain itu, kami turut mengundang 30 kanak-kanak yang menghidap pesakit leukemia bersama keluarga mereka untuk memeriahkan acara yang pertama kali dianjurkan ini," ujarnya.

Berjalan sambil beramal

Acara dimulakan pada pukul 7.30 pagi itu dengan sesi pelepasan peserta yang akan berjalan mengelilingi trek sepanjang 3.4 kilometer di Taman Bukit Jalil.


PESERTA melakukan senaman aerobik sebelum memulakan pertandingan.


Selain acara jalan kaki, pelbagai gerai disediakan untuk para peserta mendapatkan informasi mengenai penyakit leukemia serta langkah terbaik untuk menjaga kesihatan.

Sementara itu, pertandingan Cook For Life yang dikendalikan oleh Chef Sherson Lian mendapat perhatian para peserta untuk mengetahui cara-cara penyediaan masakan yang berkhasiat.

Arbainah Ibrahim, 42, bersama anaknya yang juga merupakan seorang bekas pesakit leukemia, Faris Ahmad Irfan Shamsul Akmal, 13, hadir ke acara itu untuk memberi sokongan terhadap kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut.

"Saya mengetahui betapa sukarnya untuk menjalani sesi rawatan kemoterapi dalam usaha untuk menyembuhkan penyakit ini.

"Perbelanjaan yang diperlukan amat tinggi tetapi dengan semangat juang, penyakit ini boleh disembuhkan. Setelah setahun merana akibat penyakit ini, Faris kini telah sembuh sepenuhnya," ujarnya ketika ditemui selepas dia dan anaknya itu menamatkan acara berjalan kaki.

Setiap yuran yang dikenakan untuk penyertaan acara iaitu RM15 bagi dewasa dan RM10 kanak-kanak akan didermakan terus kepada dana Helping Children with Leukemia.


PERSEMBAHAN variasi alatan perkusi daripada Kuala Lumpur Drumline Corps (KLDC) selepas peserta tamat sesi berjalan kaki.


Seorang lagi peserta yang menyertai acara amal anjuran Tesco, Chan Heng Chew, 52, memberitahu, dia tidak terlepas peluang untuk menyertai setiap acara anjuran PPUM termasuk Walk For Life.

"Selain daripada bersenam untuk menyihatkan badan, saya juga dapat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Acara ini amat bermanfaat kepada saya dan keluarga," ujarnya yang menyertai acara berjalan kaki itu bersama isterinya, Tan Bee Bee, 49.

Orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik, boleh menderma dengan membeli produk keluaran syarikat Kraft Foods. Dengan setiap pembelian, sebanyak 10 sen akan didermakan kepada tabung kanak-kanak leukemia PPUM.

Moden klasik pilihan 2013

Posted:

Moden klasik pilihan 2013

Moden klasik pilihan 2013

Oleh NIZHA PERIASWAMY


BAHAGIAN paling umum vila ini dihias dengan gaya moden kontemporari.


REKAAN dalaman pada tahun 2013 dilihat lebih kompetitif apabila banyak elemen dan konsep yang mewarnai trend tahun baharu.

Terkini, konsep moden klasik yang dikatakan sudah bertapak dalam bidang rekaan dalaman sejak 10 tahun yang lalu mula diberi perhatian khusus.

Sebuah syarikat rekaan dalaman, Essential Design Itergrated (EDI) Sdn. Bhd. mendakwa, ia sebagai sebahagian daripada konsep atau trend 2013. Konsep itu juga baru-baru ini memenangi anugerah Rekaan Dalaman InteriCAD Antarabangsa Ke-8 tahun 2012 bagi kategori residensi.

Syarikat EDI menerusi pereka, Eric Zainal, memenangi Anugerah Emas bagi kategori residensi pada malam anugerah berprestij itu. Pengarah EDI, Pei San, memberitahu, pihaknya memilih sebuah vila iaitu Kenny Height Villa yang berlokasi di Hartamas. Ia melibatkan pengubahsuaian sebuah rumah bersambung mewah empat tingkat meliputi kawasan seluas 617.25 meter persegi.

Susur tangga yang menjadi elemen utama rumah tersebut sebelum ini dipasang dengan bar besi sudah diganti dengan panel berpagar kaca.

Daripada sebuah dinding kosong pula, kini ia telah dihias dengan kesan kayu bertindih dan cermin untuk memberi efek apungan. Ia menjadi elemen utama yang menghubungkan keempat-empat tingkat lebih menyerlah.


GAYA praktikal di ruang tamu.


Menurut Pei San, keseluruhan rekaan itu berdasarkan konsep moden klasik dan ruang paling umum di vila itu pula menggunakan konsep kontemporari moden.

"Memandangkan minimalisme menjadi trend sejak 10 tahun lepas, konsep moden klasikal mula dihargai sejak dua tahun lalu kerana perinciannya.

"Elemen moden boleh dilihat apabila ia penyusunan keseluruhan dan rekaan disusun secara praktikal. Penerapan sedikit material seperti kertas dinding, dekorasi klasik dan sentuhan warna tertentu pula menghidupkan nilai klasik," kata Pei San.

Penggunaan kaca kabur yang terang sebagai panel memberi laluan kepada pencahayaan dari luar menembusinya di tingkat pertama sekali gus menambah kesam dramatik.

"Pencahayaan adalah pengatur cara mod untuk rekaan dalaman tidak kira cahaya semula jadi atau sebaliknya. Ia akan menyerlahkansesebuah ruang dan menjadi latar yang menarik. Ia juga mewujudkan perbezaan dan komunikasi antara ruang," terangnya.

Selain panel kaca kabur yang terang, Pei San juga mencadangkan penggunaan kaca kelabu kabur sebagai pilihan lain yang mampu memberi efek yang sama.

Keseluruhan rumah itu dilihat terpengaruh dengan pencahayaan terang yang sekali gus menjadikan persekitaran kediaman lebih tenang dan sedia menyambut tetamunya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved