Khamis, 6 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Wan Zack terlepas aksi separuh akhir

Posted:

Wan Zack terlepas aksi separuh akhir

Wan Zack terlepas aksi separuh akhir

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

KEM skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila Wan Zack Haikal Wan Nor tidak dapat beraksi pada separuh akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2012.

Berita buruk itu disahkan oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kehilangan pemain kelahiran Maran, Pahang itu memang memberikan tamparan kepada skuad kendaliannya menjelang pertemuan menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Jelas jurulatih berusia 52 tahun itu, beliau berharap kehadiran semula S. Kunanlan diharap dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zack selain berharap barisan pemainnya bersedia sepenuhnya menghadapi apa juga ancaman Thailand pada perlawanan tersebut kelak.

"Kecederaan Wan Zack agak teruk. Pada mulanya saya berpendapat kecederaan itu masalah kecil sahaja, namun dia bakal terlepas dua aksi separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012 selepas ditimpa masalah kecederaan otot yang terkoyak.

"Ketiadaan Wan Zack memang dirasai oleh pasukan ini, malah Shakir Shaari juga bakal menyertai Wan Zack yang akan terlepas aksi separuh akhir pertama akibat kecederaan.

"Begitupun, Kunanlan telah menunjukkan persembahan positif manakala Safee Sali dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri masih lagi dibelenggu masalah kecederaan otot," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelasnya, beliau membayangkan Safee bakal diletakkan dalam senarai pemain simpanan selain mengakui cabaran skuad negara untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu semakin sukar selepas kehilangan beberapa tonggak utama.

"Persiapan skuad negara berjalan seperti biasa. Namun, kemungkinan Safee akan memanaskan bangku simpanan ketika menentang Thailand pada aksi pertama nanti.

"Sukar buat kami apabila kehilangan ramai pemain utama dan saya berharap kami berjaya mencatatkan keputusan positif pada perlawanan pertama nanti.

"Sudah tentu kami mahu menang tetapi kita juga perlu menyedari yang skuad negara kini agak tempang mengharungi aksi separuh akhir pertama," katanya.

Khyril mahu lebur ego Thailand

Posted:

Khyril mahu lebur ego Thailand

Khyril mahu lebur ego Thailand

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


KHYRIL tidak kesah biarpun diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.


"WALAUPUN beraksi selama lapan atau 10 minit, saya tetap akan berusaha habis-habisan untuk menjaringkan gol buat skuad negara pada aksi menentang Thailand kelak."

Demikian tekad penyerang Harimau Malaya, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang semakin bersemangat untuk membantu skuad negara menjelang pertemuan menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Khyril yang berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal menewaskan Laos 4-1 pada aksi kedua Kumpulan B, disisihkan daripada skuad kebangsaan sebelum ini selepas ditimpa kecederaan.

Perasaan pemain dari Kedah itu untuk kembali bersama skuad negara semakin membara selepas menyaksikan kejayaan Harimau Malaya melangkah ke peringkat separuh akhir ekoran kejayaan menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B minggu lalu.

Begitupun, Khyril yang sekadar menjadi penonton ketika pasukan bimbingan Rajagobal menewaskan Sang Garuda menerusi jaringan Azamuddin Akil dan Mahalli Jasuli, menyedari perlu bekerja keras sekiranya berhasrat untuk menambat perhatian jurulatih.

Ini kerana prestasi cemerlang Azamuddin selain S. Kunanlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dijangka pulih sebelum bertemu Thailand, memberikan pelbagai pilihan kepada Rajagobal untuk menyenaraikan kesebelasan utamanya.

"Bagi saya, ia agak susah untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama dan saya harus bekerja lebih keras, tambahan pula selepas ditimpa masalah kecederaan.

"Terpulang kepada jurulatih, kalau beliau bagi peluang lapan atau 10 minit untuk saya beraksi, ia sudah memadai.

"Kalau saya diberikan peluang, saya akan mempamerkan aksi terbaik selain bertekad membalas kepercayaan jurulatih," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa perlawanan persahabatan menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.

Pada aksi pemanas badan itu, skuad negara berjaya menewaskan PDRM 5-0 menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha, Gary Steven Robbat, Safiq Rahim, Mohd. Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar.

Mengulas lanjut, Kyhril, 25, mengakui, dia berhasrat untuk membantu skuad negara dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.

Pada masa sama, dia menyedari Harimau Malaya perlu menggandakan usaha mereka sekiranya berazam untuk menewaskan Thailand yang tampil selaku pasukan pilihan pada aksi tersebut.

"Tidak dapat dinafikan, Thailand adalah sebuah pasukan yang cukup bagus.

"Namun, ia tidak bermakna kami akan memberikan laluan mudah kepada mereka dan pada pendapat saya, kami akan menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencari bekalan selesa.

"Melihat perjalanan skuad negara dalam kejohanan ini, 'skrip' kami bagaikan sama dengan edisi 2010. Saya berharap magis skuad negara akan berulang selain menyeru kepada peminat agar datang memberikan sokongan kepada kami," katanya.

36 pingat emas mampu dicapai

Posted:

36 pingat emas mampu dicapai

36 pingat emas mampu dicapai

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN daripada anggota kontinjen negara yang akan menggalas cabaran pada AUG 2012 di Laos minggu depan.


KETUA kontinjen Malaysia, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim tetap optimis sasaran sebanyak 36 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 di Vientiane, Laos mampu dicapai biarpun tanpa tiga atlet utama negara.

Kontinjen negara menerima berita kurang gembira dalam persiapan ke temasya yang bermula pada 12 hingga 20 Disember itu selepas ratu terjun, Pandelela Rinong, Tan Song Hwa (baling tukul besi wanita) dan Noor Amirah Mohd. Nafiah (lompat kijang wanita) menarik diri pada saat-saat akhir.

Pandelela yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 di London tidak dapat ke Vientiane kerana terlibat dalam satu program rasmi yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan akan dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 14 Disember ini.

Song Hwa dan Noor Amirah yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan ketika Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Oktober lalu terpaksa menarik diri selepas masing-masing mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Yahaya tetap yakin ketiadaan tiga atlet tersebut tidak akan menjejaskan misi kontinjen negara memburu 36 pingat emas sempena temasya dwitahunan itu di bumi Laos.

"Memang diakui tiga atlet itu adalah prospek emas utama kontinjen negara. Namun, saya percaya ketiadaan mereka boleh ditampung dengan kehadiran atlet-atlet lain dan sekali gus mencapai sasaran yang diletakkan.

"Kita perlu ingat, pada temasya AUG kali ini ada beberapa acara sukan baharu dipertandingkan seperti terjun dan memanah. Dua acara ini sememangnya menjadi prospek utama pingat emas negara.

"Jadi saya percaya, atlet-atlet lain daripada dua acara itu boleh menampung ketiadaan tiga atlet tersebut," kata Yahaya ketika sidang akhbar selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen negara ke AUG 2012 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Hou Kok Chung; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Atlet terjun wanita negara, Leong Mun Yee telah dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia AUG kali ini.

Pada temasya AUG yang memasuki edisi ke-16 tahun ini, kontinjen Malaysia akan dibarisi seramai 306 atlet selain 133 pegawai.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam kesemua 17 acara sukan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved