Jumaat, 14 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Silap siapa?

Posted:

Silap siapa?

Silap siapa?

Daripada NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (tiga dari kanan) menenangkan pemainnya selepas Malaysia tewas kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok malam kelmarin.


BANGKOK – Sembang-sembang kedai kopi di seluruh tanah air pastinya rancak membicarakan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF pada tahun ini.

Harapan jutaan rakyat Malaysia agar kejayaan dua tahun lalu berulang akhirnya ternoktah sebaik Harimau Malaya ditunjukkan jalan keluar oleh Thailand menerusi agregat 1-3 selepas berakhirnya aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok kelmarin.

Mungkin ada yang beranggapan percaturan jurulatih Datuk K. Rajagobal tidak segera membawa masuk pemain pertahanan baharu sebaik Mohamad Fadhli Shas dibuang padang malam kelmarin menjadi detik bermulanya malapetaka buat Harimau Malaya.

Aksi hambar Amar Rohidan yang mengisi kekosongan Mohamad Fadhli dilihat menjadi punca mengapa Harimau Malaya tewas malam itu.

Tidak kurang juga yang lantang mengecam pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Lee Minhu yang dikatakan gagal melaksanakan tugasnya dengan baik dalam perlawanan itu.

Pada masa sama, kegagalan Harimau Malaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada separuh akhir pertama apabila sekadar diikat seri 1-1 oleh Gajah Perang di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu juga mengundang pertikaian ramai pihak.

Cuma pada masa sama, mungkin ramai yang terlepas pandang provokasi Thailand juga memberikan impak yang cukup besar bagi menafikan hasrat Malaysia mempertahankan kejuaraan.

Pada perlawanan malam kelmarin, kapten Gajah Perang, Panupong Wangsa dan Datsakorn Thanglao dilihat berkali-kali cuba berkonfrontasi dengan mana-mana pemain negara yang telah dilayangkan kad kuning seperti Mohamad Fadhli, Mahalli Jasuli dan juga Bunyamin Omar.

Taktik keji mereka akhirnya berjaya apabila Mohamad Fadhli dilayangkan kad merah.

Benar, matlamat tidak menghalalkan cara. Cuma, ia jelas memberikan kelebihan buat Thailand yang akhirnya mendominasi perlawanan itu sebelum menang.

Itu belum dikira sentimen di luar padang apabila skuad negara terpaksa menjalani latihan di padang awam sebaik menjejakkan kaki di Bangkok.

Nasi sudah menjadi bubur. Menangis air mata darah pun tiada gunanya kerana hakikatnya skuad negara gagal mempertahankan kejuaraan.

Mulai sekarang, Harimau Malaya tidak lagi perlu mencari alasan jika tewas.

Janji layak ke Piala Asia 2015 seperti mana yang dilaungkan Rajagobal yang akan meletak jawatan jika gagal wajar ditepati bagi memujuk semula hati segelintir rakyat Malaysia yang telah pun merajuk barangkali.

'La Korn Khap' (selamat tinggal) Bangkok, jumpa lagi!

Tiada wakil negara mara

Posted:

Tiada wakil negara mara

Tiada wakil negara mara

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong menjadi mangsa taktik kotor pemain China.


HASRAT beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong untuk meraih slot separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2012 di Shenzhen, China tidak kesampaian semalam.

Ia gara-gara keputusan yang 'tidak' menyebelahi pasangan negara itu apabila beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng tewas 21-14, 12-21, 14-21 di tangan pasangan Denmark, Mathias Boe-Mogensen Carsten pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A.

Kekalahan pasangan China itu sekali gus menutup peluang Kien Keat-Boon Heong untuk mara dan 'taktik' yang digunakan Cai Yun-Fu Haifeng tersebut sebagai jalan untuk tidak bertemu dengan beregu senegaranya, Hong Wei-Shen Ye yang turut melepasi saingan Kumpulan B.

"China lebih pandai 'bermain' dengan taktik untuk mengelak daripada beregu mereka bertemu sesama sendiri (pada separuh akhir)," kata jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheah Chang ketika dihubungi Kosmo! semalam.

"Kedua-dua beregu China itu menjadi naib johan Kumpulan A dan B, jadi mereka tidak perlu bertarung sesama sendiri.

"Hong Wei-Shen Ye terlebih dahulu kalah kepada beregu Jepun (Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa), jadi Cai Yun-Fu Haifeng tidak memberikan saingan (pada set kedua dan ketiga) ketika menentang Boe-Carsten," tambah Cheah Chang.

Meskipun sasaran yang diletakkan ke atas Kien Keat-Boon Heong untuk melepasi peringkat kumpulan tidak berjaya, namun Cheah Chang mengakui prestasi yang dipamerkan oleh kedua-dua pemain itu telah menunjukkan peningkatan.

"Saya rasa dalam Kumpulan A sangat sukar kerana ada beregu yang memenangi pingat emas dan perak pada Sukan Olimpik London 2012.

"Kien Keat-Boon Heong sudah pamerkan permainan yang berkualiti dan mencapai standard yang lebih tinggi, cuma tuah tidak menyebelahi mereka," tambah Cheah Chang.

Sepanjang aksi peringkat Kumpulan A yang membuka tirai pada 12 Disember lepas, nasib Kien Keat-Boon Heong tidak begitu memberangsangkan dan mereka tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012, Cai Yun-Fu Haifeng 11-21, 21-10, 10-21 pada perlawanan pertama.

Begitupun, mereka bangkit pada perlawanan kedua apabila menewaskan pemenang perak Sukan Olimpik 2012, Boe-Carsten 21-19, 15-21, 21-18 kelmarin.

Nasib yang sama turut dialami pemain perseorangan negara, Liew Daren, beregu lelaki kedua, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mempamerkan aksi hambar dalam saingan peringkat kumpulan masing-masing.

Terdahulu, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri pada hari pertama kejohanan selepas beberapa jam ditewaskan pemain China, Du Pengyu dalam aksi Kumpulan A ekoran kecederaan kaki.

Maafkan kami - Safiq Rahim

Posted:

Maafkan kami - Safiq Rahim

Maafkan kami - Safiq Rahim


KAPTEN Harimau Malaya, Safiq kecewa selepas skuad negara gagal meneruskan kemaraan ke final Piala Suzuki AFF 2012.


BANGKOK - Hanya permohonan maaf yang mampu dilafazkan kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim sebaik perjuangan negara dalam kempen Piala Suzuki AFF 2012 ternoktah.

Menurut Safiq, aksi separuh akhir kedua berdepan Thailand di Stadium Supachalasai malam kelmarin sememangnya cukup sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua sebaik Mohamad Fadhli Shas dibuang padang pada penghujung babak pertama.

Begitupun katanya, perjuangan negara masih belum berakhir lantaran akan kembali fokus menjelang kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula Februari tahun depan.

"Kami terpaksa akur dengan kekuatan Thailand, kekurangan seorang pemain juga jelas memberikan kelebihan kepada mereka menguasai perlawanan.

"Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kami gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF kali ini.

"Saya harap, sokongan peminat tidak akan berakhir di sini dan terus bersama kami menjelang kelayakan Piala Asia nanti," katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Safiq memberitahu, sasaran untuk layak ke Piala Asia masih berada pada landasan sebenar meskipun gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini.

"Kami tidak akan mengaku kalah, kegagalan kali ini akan dijadikan iktibar supaya meneruskan perjuangan pada kelayakan Piala Asia nanti," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fadhli kecewa kerana menganggap kekalahan tersebut seolah-olah berpunca daripada dia.

"Saya sangat kecewa, terasa seolah-olah saya punca Malaysia gagal mempertahankan kejuaraan kali ini," katanya.

Mengakui masih keliru dengan apa yang berlaku, Mo hamad Fadhli juga tertanya-tanya mengenai keputusan pengadil perlawanan, Lee Min-hu dari Korea Selatan yang melayangkan kad merah kepadanya dalam perlawanan itu.

Ketika mengimbau semula kejadian itu, Mohamad Fadhli memberitahu bahawa ketika itu dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pemain Thailand, Datsakorn Thanglao.

Dia mendakwa, Datsakorn sebelum itu bertindak menyikunya sehingga mengalami kesakitan di bahagian bahu.

"Entah tiba-tiba, pengadil datang dan memberikan kad kuning kepada kami berdua," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved