Sabtu, 15 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Wasiat jadi pegangan Sultan Sharafuddin

Posted:

Wasiat jadi pegangan Sultan Sharafuddin

Wasiat jadi pegangan Sultan Sharafuddin

Oleh BAHAROM MAHUSINdan NAJIBAH HASSAN

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ialah seorang raja yang memiliki jiwa pengembara.

Ketika menjadi Raja Muda Selangor, baginda pernah belayar mengelilingi dunia selama 22 bulan antara tahun 1995 dan 1997 dengan menaiki kapal layar SY Jugra. Baginda juga merasai liku-liku sukar dan bahaya memandu kereta vintaj menempuh perjalanan sejauh 16,000 kilometer dari Beijing di China ke Paris di Perancis.

Baginda merentasi lautan dan daratan luas, mengenal erti kepayahan bersendirian, untuk mengecap pengalaman baharu serta mencabar diri melakukan sesuatu yang selama ini difikirkan tidak mungkin dibuat oleh seorang yang berdarah raja.

Pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk persepsi baginda tentang dunia dan kehidupan.

Bagaimanapun, tidak ramai orang tahu bahawa setelah menjadi Sultan Selangor pun, baginda sekali-sekala tidak dapat memisahkan diri daripada semangat menyahut cabaran yang menjadi sebahagian daripada personaliti baginda.

Baginda suka melihat dunia, gemar mengenali benda baharu, berani belajar daripada kekuatan dan kesilapan manusia, dan meninjau sesuatu dengan jiwa pengembara.

Beberapa tahun lalu, setelah menjadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin berkunjung ke Jakarta, Indonesia. Pengalaman di sana memperlihatkan jiwa sebenar baginda.

Berpakaian seperti orang biasa, tanpa diiringi pengawal peribadi dan pegawai istana, baginda bersiar-siar di ibu kota Indonesia itu dengan menaiki teksi.

Dalam satu temu bual dengan Kosmo! Ahad di Istana Bukit Kayangan Shah Alam baru-baru ini, Sultan Sharafuddin menceritakan kekaguman terhadap pemandu teksi yang baginda temui di Jakarta yang begitu mahir menghuraikan sejarah tanah airnya.

"Pemandu teksi itu sungguh bersemangat bercerita tentang sejarah Indonesia semasa teksi yang membawa saya melewati jalan dan bangunan bersejarah di Jakarta," titah baginda.

Sultan Sharafuddin diputerakan pada 24 Disember 1945 di Istana Jema'ah, Klang ketika Perang Dunia Kedua baru beberapa bulan berakhir. Ketika baginda dilahirkan 67 tahun lalu, British baru kembali menjajah Selangor dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Ayahanda baginda ialah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Yang di-Pertuan Agong yang kesebelas (1999-2001) manakala nenda baginda, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah merupakan Yang di-Pertuan Agong kedua yang menjadi Ketua Negara Malaysia selama 140 hari sahaja antara 14 April 1960 hingga 1 September 1960.

Di Selangor, perayaan rasmi hari keputeraan Sultan Sharafuddin disambut pada 11 Disember setiap tahun.

Menurut Sultan Sharafuddin, baginda amat meminati sejarah iaitu suatu minat yang dipupuk oleh Almarhum Sultan Salahuddin. Ketika baginda masih muda, Almarhum ayahanda baginda memberikan buku-buku sejarah serta memaksa baginda mendalami sejarah Selangor dan Malaysia.

Baginda mendapat pendidikan rendah di Kuala Lumpur tetapi kemudian melanjutkan pelajaran di Australia dan United Kingdom. Buku-buku sejarah yang diberikan oleh Almarhum ayahanda telah memberikan imbangan dan tauladan yang baik kepada baginda.

Sejarah


SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH menyambut hari keputeraan baginda yang ke-67 dengan tekad untuk terus melaksanakan tanggungjawab yang perlu baginda pikul sebagai Sultan Selangor.


"Melalui pemerhatian saya, saya rasa rakyat Malaysia kurang mendalami sejarah, sebab itulah ramai yang tidak patriotik dan tidak sayangkan negara," titah baginda.

Kini, pada usia yang menjangkau hampir tujuh dekad, Sultan Sharafuddin tetap kelihatan segak, cergas dan memiliki ketajaman fikiran. Baginda terus aktif memberi sumbangan atas kedudukan baginda sebagai Sultan Selangor.

"Saya sukakan sesuatu yang mencabar. Jika tidak melakukan apa-apa rasanya saya boleh jatuh sakit. Jadi selagi kesihatan saya baik, saya akan terus bekerja," ujar baginda ketika ditanya apakah impian baginda sempena hari keputeraan pada tahun ini.

Sultan Sharafuddin sedar bahawa faktor usia, kesibukan masa dan tanggungjawab sebagai Sultan Selangor tidak memungkinkan baginda melakukan aktiviti lasak seperti zaman muda dahulu. Zaman SY Jugra, dan mengembara dengan kereta vintaj telah berlalu.

Bagaimanapun, oleh kerana semangat mengembara begitu tebal dalam diri, dalam setahun baginda sekurang-kurangnya akan berkunjung ke dua buah negara. Baginda biasanya melawat sesebuah negara selama 10 hari iaitu tempoh yang memadai untuk baginda memahami budaya dan sejarah sesuatu tempat.

Pada tahun ini baginda meluangkan masa melawat St. Petersburg, sebuah kota sejarah yang hebat di Rusia. Di sana baginda mendapatkan khidmat ahli sejarah yang menceritakan tentang St. Petersburg, sebuah kota yang menjadi benteng kepada Rusia dalam menyekat kemaraan tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Sejak muda, baginda telah berkunjung ke seluruh pelosok dunia. Satu-satunya benua yang belum pernah dijejaki oleh Sultan Sharafuddin ialah Amerika Selatan yang baginda sifatkan sebagai benua yang kaya budaya dan sejarah.

"Insya-Allah, jika tiada aral saya bercadang untuk menjelajah beberapa negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina, Chile, Peru, Colombia, Bolivia, Ecuador dan Venezuela.

"Semasa belayar mengelilingi dunia pada tahun 1995 dahulu, saya hanya melalui Panama di Amerika Tengah. Kali ini kalau saya berpeluang mengembara di Amerika Selatan, saya ingin memandu pula," titah baginda yang sempat melawat Berlin di Jerman pada tahun ini.

Jika sebahagian besar pengembara mengunjungi sesebuah negara kerana ingin membeli-belah, lain pula ceritanya dengan Sultan Sharafuddin.

Baginda berusaha mengutip pengalaman dan mempelajari perkara baharu di sesebuah negara.

"Seperti yang saya ceritakan, saya sukakan cabaran dan akan mencari jalan untuk menghadapinya. Saya tidak akan merungut kerana kesukaran yang saya tempuhi itu adalah sebahagian daripada kehidupan," ujar baginda.

Sepanjang 11 tahun menjadi payung negeri Selangor, Sultan Sharafuddin menerima banyak maklum balas daripada rakyat mengenai pembangunan negeri Selangor.

Dari semasa ke semasa baginda membaca sendiri surat-surat daripada rakyat yang dikirim kepada baginda. Respons terhadap luahan hati rakyat dan susulan yang dibuat membayangkan keperibadian baginda.

"Saya baca surat-surat tersebut dan memanjangkannya kepada pihak yang mentadbir negeri untuk tindakan sewajarnya," titah baginda.

Dalam memegang tanggungjawab sebagai Sultan Selangor, baginda mengakui Selangor berdepan dengan banyak cabaran khususnya dari segi perpaduan rakyat.

"Saya lihat ada sesetengah orang berpendidikan tinggi, tetapi mereka terlalu emosi dan tidak berfikir panjang sebelum bertindak. Mereka juga tidak faham sejarah," katanya.

Dalam konteks itu, baginda, misalnya, sering menasihatkan imam-imam masjid supaya tidak berpolitik di dalam masjid kerana ia boleh menjejaskan perpaduan umat Islam.

Ketika memberikan nasihat, Sultan Sharafuddin sentiasa menyeru rakyat supaya sedar tentang kedudukan baginda sebagai ketua negeri: "Saya berada di atas politik, dan saya tidak menyebelahi mana-mana pihak."

Baginda sangat prihatin mengenai perpecahan orang Melayu di Selangor. Baginda mengingatkan para pemimpin politik supaya memainkan peranan dalam menyatukan orang Melayu dan agama Islam.

Berpuak-puak

Sebagai seorang raja yang amat menyayangi rakyat dan insaf tentang kedudukannya dalam melindungi orang Melayu, baginda menasihatkan orang Melayu supaya tidak mudah terpengaruh. Bahkan, baginda berulang kali mengingatkan orang Melayu supaya hidup bersatu padu.

"Berselisih pendapat itu perkara biasa, tetapi jangan menyuarakan rasa hati hingga menimbulkan kebencian antara satu sama lain lalu terbawa-bawa perasaan marah hingga bermusuhan.

"Ramai anak muda cuba memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara tetapi jangan lupa bahawa kehidupan kita ada had. Apalah erti kebebasan bersuara jika digunakan untuk mengata orang dan menghancurkan negara?" titah baginda.

Baginda menyatakan secara terang-terangan mahu orang Melayu dan Islam sedar tentang bahaya yang dibawa oleh penyokong-penyokong idea pluralisme dan liberalisme yang cuba disebarkan oleh sesetengah pihak di Malaysia.

Menurut Sultan Sharafuddin, harmoni dan tolak ansur merupakan ciri yang menjadikan Selangor sebuah negeri yang berjaya. Baginda sendiri dididik oleh Almarhum Sultan Salahuddin supaya menggalakkan dasar terbuka yang memberi peluang kepada penduduk dari negeri lain untuk menikmati kehidupan berkualiti di Selangor iaitu negeri yang termaju di Malaysia.


WASIAT Almarhum ayahanda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menjadi penyuluh perjalanan Sultan Sharafuddin dalam menjalankan peranan sebagai Sultan Selangor.


"Almarhum ayahanda saya tidak suka hidup berpuak-puak. Jika kita bepuak-puak, kita tidak akan berkembang. Sebab itulah Almarhum mahukan kita hidup bersatu padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum dalam sebuah negara.

"Kalaulah Almarhum fikir negeri Selangor hanya untuk orang Selangor, saya percaya ayahanda saya tidak akan serahkan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjadi Wilayah Persekutuan," jelas baginda yang bangga dan kagum dengan pembangunan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hari ini.

Selangor menyerahkan Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974 dan kawasan estet Prang Besar di Sepang menjadi Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 2001. Kedua-dua wilayah itu kini menjadi kota ikonik bertaraf dunia.

Sultan Sharafuddin menaruh harapan Selangor akan terus maju meskipun dibelenggu pelbagai isu.

"Saya mahu rakyat berbilang kaum yang tinggal di Selangor hidup selesa dan harmoni," titah baginda yang tidak akan campur tangan dalam pentadbiran negeri tetapi berjanji bertegas dalam hal-hal yang menyentuh perlembagaan dan kuasa baginda sebagai Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam.

Dalam memastikan keselesaan dan keharmornian di Selangor itu terus diterapkan menjadi satu budaya dalam pemerintahan, baginda merintis idea dan memberi sokongan kepada beberapa projek pembangunan awam di Selangor, yang terbaharu mendirikan sebuah masjid di kawasan perumahan di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Sebahagian daripada kos pembinaan masjid itu disumbangkan oleh Kerabat Diraja Selangor melalui wakaf Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berjumlah RM5 juta.

Syarikat pemaju Bukit Jelutong, Sime Darby pula memberikan RM5 juta manakala RM11 juta lagi perbelanjaan untuk membina masjid yang cantik itu disumbangkan oleh kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Selangor.

Mengikut perancangan masjid itu bakal dirasmikan pada bulan Mac 2013.

Sultan Sharafuddin mempunyai alasan mengapa baginda begitu mengambil berat kebajikan orang Melayu dan Islam di Selangor serta terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam isu-isu membabitkan orang Melayu dan Islam.

Menurut baginda, tugas itu bukan sekadar tanggungjawab tetapi merupakan wasiat Almarhum ayahanda baginda.

Ketika Almarhum Sultan Salahuddin sedang gering sebelum mangkat pada 21 November 2001, Sultan Sharafuddin berada di sisi Almarhum.

Dalam interviu panjang lebar selama dua jam 50 minit di Istana Kayangan Shah Alam pada 3 Disember lalu, Sultan Sharafuddin memberitahu Kosmo! Ahad bahawa diri baginda amat terkesan dengan wasiat itu dan mengaitkannya dengan sikap baginda yang berani menyatakan pandangan mengenai orang Melayu dan Islam walaupun sering ditohmah oleh pihak-pihak tertentu.

Baginda bertitah: "Sebelum Almarhum ayahanda saya mangkat, baginda berpesan supaya saya menjaga agama Islam, perpaduan orang Melayu dan tidak mengetepikan hak orang Melayu.

"Almarhum juga berpesan supaya saya tidak leka ketika menjalankan tugas sebagai Sultan dan tidak bergaduh dengan rakyat."

Walaupun telah lebih satu dekad berlalu, saat-saat mendengar sendiri wasiat Almarhum ayahanda masih segar dalam ingatan dan menjadi api yang membakar semangat Sultan Sharafuddin dalam melaksanakan amanah yang dipegang sebagai Sultan Selangor untuk melindungi agama Islam dan membela orang Melayu.

Sumpah Sultan


SULTAN SHARAFUDDIN menasihatkan rakyat supaya hidup bersatu padu dan jangan biarkan perselisihan membawa kepada kebencian.


Baginda telah menanam tekad di dalam hati. "Saya tidak akan berhenti, menyerah kalah atau berasa tertekan. Saya ambil hal ini secara serius kerana saya sudah mengangkat sumpah sebagai Sultan."

Apabila baginda baru-baru ini terjebak dalam kontroversi apabila menegur perbuatan sesetengah ahli politik Melayu yang sanggup menyokong idea pluralisme agama dan liberalisme politik yang berbahaya kepada akidah umat Islam, baginda bertindak atas kesedaran yang bertunjangkan wasiat Almarhum ayahanda baginda.

Sultan Sharafuddin secara filosofikal menjelaskan mengenai pandangan baginda: "Saya percaya setiap masalah ada penyelesaiannya dengan syarat orang Melayu mesti tahu sejarah dan berfikir mengenai sesuatu secara mendalam. Kita mesti sedar kesilapan yang dilakukan dan betulkan kesilapan tersebut.

"Kepada pihak yang arif tentang hal-hal ini, terutama ulama, mereka mesti sentiasa bersuara dan buat teguran meskipun ada pihak yang lebih suka mendiamkan diri."

Baginda seterusnya mengingatkan: "Orang Melayu adalah yang berpegang pada agama Islam, cara hidup orang Melayu dan bertutur bahasa Melayu. Saya akan menyedarkan orang Melayu melalui ucapan saya. Jika saya tidak setuju dengan sesuatu, saya akan jelaskan sebab-sebabnya."

Berbekalkan pendirian itulah yang menjadi azam, penyuluh perjalanan dan cita-cita, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan penuh keinsafan menjalankan peranan-peranan perlembagaan baginda sebagai Sultan Selangor.

Ubat botak ubah lelaki jadi wanita

Posted:

Ubat botak ubah lelaki jadi wanita

Ubat botak ubah lelaki jadi wanita

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA

MASALAH keguguran rambut bukan sahaja merunsingkan wanita malah kaum lelaki. Antara rawatan yang paling mendapat sambutan di seluruh dunia bagi mengawal masalah itu ialah pengambilan pil Propecia oleh lelaki.

Keberkesanan pil itu sememangnya tidak diragui. Ia berfungsi dengan menukarkan hormon testosteron kepada dihidrotestosteron sekali gus menggalakkan pertumbuhan rambut normal.

Bagaimanapun, pengambilan pil itu secara berterusan dikatakan memberikan kesan sampingan yang mengejutkan.

Baru-baru ini, seorang jurutera perisian komputer dari Tampa, Florida, Amerika Syarikat (AS), William McKee, 38, mendakwa dia mengalami perubahan fizikal yang mendadak selepas sembilan bulan mengambil pil itu.

Menurut McKee, antara perubahan fizikal itu termasuklah penambahan ukur lilit pinggul serta dada.

"Saya dapat merasakan perubahan yang berlaku pada diri saya sejak mengambil preskripsi itu. Walaupun saya telah berhenti mengambilnya, kesan pil itu masih ada sehingga ke hari ini.

"Menurut doktor, pil Propecia mampu merendahkan kadar hormon testosteron sekali gus menyebabkan ciri kelakian saya hilang sedikit demi sedikit," kata McKee dalam satu temu bual.

McKee yang mempunyai seorang anak lelaki hasil perkongsian hidup bersama bekas isterinya menjelaskan, dia berazam untuk meneruskan proses transisi itu dan seterus berubah menjadi wanita sepenuhnya.

Lain pula kisahnya dengan seorang lagi lelaki AS, Kevin Malley, 31. Atas nasihat doktor, dia mengambil pil tersebut selama lebih kurang lima bulan. Akibatnya keinginan seksnya semakin menurun dan dalam masa yang sama, saiz alat kelaminnya terus mengecut.

Hormon

"Saya hanya mahu pengeluar ubat itu sedar bahawa ubat itu mampu merosakkan hidup pengguna di seluruh dunia. Saya ialah salah seorang daripada mereka," katanya.

Menurut Pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Eeson Sinthamoney, pengguna di negara ini seharusnya tidak mengambil Propecia dalam dos yang berlebihan. Ini kerana wujud elemen antiandrogen dalam ubat itu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesuburan kaum lelaki.

"Ciri kelelakian setiap individu bergantung pada jumlah hormon androgen yang ada padanya. Jenis hormon androgen utama bagi kaum lelaki dikenali sebagai hormon testosteron.

"Masalah keguguran rambut yang dialami oleh kaum lelaki pula sangat berkait rapat dengan penghasilan hormon androgen yang terlalu tinggi di dalam tubuh.

"Jadi, apabila hormon androgen meningkat, kadar pertumbuhan rambut pula akan semakin berkurangan," jelas Eeson mengenai sebab berlakunya masalah keguguran rambut dalam kalangan lelaki.

Mengulas lanjut mengenai kesan positif Propecia, Eeson berkata, apabila pesakit mengambil pil itu, kandungan antiandrogen yang ada di dalamnya mampu menyeimbangkan hormon androgen sekali gus memulihkan masalah keguguran rambut.

"Kerana itu pesakit disarankan supaya mengambil pil Propecia dengan dos dan mengikut kadar masa yang telah ditetapkan," katanya.

Eeson menambah, apabila seseorang pesakit itu mengamalkan pengambilan pil ini secara berterusan ataupun mengambilnya secara berlebihan, tahap kesuburannya pasti akan terjejas, penghasilan sperma berkurangan manakala ciri kewanitaan mula kelihatan.

"Secara logiknya, apabila hormon yang membawa ciri kelelakian berkurangan di dalam tubuh, maka kecenderungan seksual dan keadaan fizikal turut berubah.

"Justeru, sebelum bercadang untuk mencuba sebarang jenis ubat-ubatan, individu yang mengalami masalah rambut gugur perlu mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu," jelas Eeson.

Dari blog ke butik

Posted:

Dari blog ke butik

Dari blog ke butik


TAMPIL dengan busana muslimah rekaannya sendiri, butik RSC mendapat sambutan sangat menggalakkan terutamanya daripada peminat blognya.


RINGKAS sahaja orangnya. Berblaus labuh rona kuning mustard, berskirt hitam dan berselendang gelap, Norazrina Mohd. Salleh, 27, banyak tersenyum ketika diajak berbicara.

Orangnya masih muda namun namanya cukup dikenali terutamanya oleh peminat pembeli-belah dalam talian. Tulang belakang di sebalik jenama Rina Salleh Clothing atau RSC ini popular sebagai butik maya yang menyediakan pelbagai rekaan busana muslimah.

Walaupun sebelum ini hanya beroperasi secara dalam talian, ia tidak menjadi halangan untuk koleksi rekaan anak kelahiran Subang Jaya, Selangor ini mendapat sambutan hangat.

Lebih membanggakan, RSC juga mempunyai kelompok peminat di luar negara seperti Singapura dan Ireland.

Kalau disusur semula cerita pembabitannya dalam perniagaan busana dalam talian, wanita yang mesra dengan pangilan Rina ini memberitahu, dia mula menjual tudung ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor, beberapa tahun lalu.

"Mulanya rakan-rakan meminta saya membelikan tudung di Kuala Lumpur setiap kali pulang bercuti. Semakin lama semakin ramai pula yang menempah hinggakan ada masanya saya pulang bersama berpuluh-puluh helai tudung ke kampus.

"Dari situ, timbul keinginan untuk berniaga secara lebih serius. Selain menjual tudung, saya juga membantu rakan menjual kain di kampus. Alhamdulillah, sambutannya cukup mengalakkan.

"Saya juga semakin aktif membuka gerai dan berniaga di bazar-bazar untuk mencari duit poket," ujarnya yang suka mengisi masa lapang dengan membaca dan melayari internet.

Selepas tamat pengajiannya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Juruukur Bahan ini mula memasarkan tudung dan busana rekaannya melalui blog.

"Ketika saya bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah firma swasta, saya suarakan hasrat kepada ayah untuk berhenti kerja dan fokus pada perniagaan internet memandangkan sambutan baik daripada pelanggan.

"Namun, ayah tidak mahu saya buat keputusan terburu-buru. Sebaliknya, dia mahu saya terus bekerja dalam masa lebih kurang setahun sebelum memutuskan perjalanan karier saya.

Risau tak laku

"Selepas satu tahun setengah menjadi juruukur bahan, saya mula tuntut pada ayah untuk berhenti kerja dan fokus pada perniagaan blog. Masa itu, hati saya memang sudah melekat pada perniagaan blog.

"Namun, tumpuan terhadap perniagaan RSC sedikit terganggu kerana pada masa itu saya terpilih sebagai finalis pencarian Gadis Melayu musim ketiga anjuran TV9 dan perlu menjalani kuarantin selama 10 minggu.

"Hati saya pada masa itu berbelah bagi. Kalau ikutkan hati, saya ingin tarik diri daripada pertandingan tersebut dan fokus pada perniagaan blog. Malah pada beberapa minggu pertama juga saya sering ditegur kerana kurang fokus kepada aktiviti yang dijalankan.

"Namun, selepas mengenangkan sokongan yang diberikan oleh keluarga, terutamanya ibu yang tidak mahu melihat saya buat kerja separuh jalan, saya tinggalkan sekejap soal perniagaan dan fokus kepada pertandingan Gadis Melayu," kata isteri kepada Afiq Iskandar, 26.


BIARPUN optimis dengan perniagaan butiknya, Rina masih lagi menawarkan jualan busana melalui internet bagi menyeimbangkan momentum perniagaannya.


Percaturan itu akhirnya berpihak kepada Rina. Selepas melalui pelbagai proses pembelajaran dan cabaran fizikal serta kerohanian dalam membentuk nilai-nilai kemelayuan, Rina dinobatkan sebagai juara Gadis Melayu pada Oktober 2010.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang ganjaran berjumlah RM160,000 iaitu wang tunai RM30,000, set mutiara bernilai RM120,000, barangan elektrik bernilai RM10,000 serta trofi.

"Saya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk menang, lagipun saya tidak pernah menang dalam setiap cabaran yang diberikan. Mungkin kepetahan saya menjawab soalan berjaya menambat hati para juri," kata Rina.

Mengakui dirinya kini lebih berkeyakinan, pertandingan pencarian Gadis Melayu menjadikan Rina lebih menyedari potensi dirinya.

Selain kembali fokus kepada perniagaan, Rina juga sering mendapat jemputan daripada universiti-universiti tempatan untuk sesi perkongsian pengalaman dan tip berhias diri.

Sambutan

"Itu aktiviti sampingan sahaja. Fokus saya sekarang hanyalah pada RSC lebih-lebih lagi selepas saya membuka butik awal bulan lalu.

"Mulanya risau juga bila memikirkan sambutan yang bakal diterima memandangkan banyak butik muslimah telah dibuka di sini. Macam mana kalau baju saya tak laku sedangkan modal yang dilaburkan bukan sedikit?

"Syukur kerana butik ini mendapat sambutan. Malah ramai pelanggan blog sanggup datang dari jauh untuk membeli-belah di RSC.

"Malah, dengan adanya butik ini, pelanggan berpeluang mencuba busana yang ditawarkan selain kami dapat mengenali lebih rapat antara satu sama lain. Maklumlah, sebelum ini kami berhubung dalam blog sahaja," ujarnya ketika ditemui di butiknya di Seksyen 7, Shah Alam.

Mengimpikan untuk mengeluarkan sendiri busana muslimah yang ditempah khas untuk setiap pelanggannya, RSC menyediakan koleksi busana muslimah hasil rekaannya sendiri daripada tudung, blaus, jubah moden hingga ke aksesori wanita. Harga yang ditawarkan cukup berpatutan iaitu dari RM20 hingga RM200.

Dalam merealisasikan impiannya untuk memiliki butik perniagannya sendiri, Rina sering mengingatkan dirinya supaya tidak lupa kepada golongan yang memerlukan.

Lantaran itu, dia yang kini hamil empat bulan sering membawa koleksi busananya ke pertunjukan fesyen yang biasanya dianjurkan oleh komuniti usahawan blog di negara ini.

"Ini sumbangan kecil saya kepada golongan yang memerlukan. Hari ini hari mereka, harapnya andai tiba hari saya nanti, Allah akan permudahkan segalanya untuk saya," ujarnya yang menyerahkan seratus peratus kutipan yang diraih kepada badan amal antaranya Red Bubble iaitu pertubuhan kanak-kanak kanser dan sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim di Gombak.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved