Sabtu, 1 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Malaysia belum ada penderma wajah

Posted:

Malaysia belum ada penderma wajah

Malaysia belum ada penderma wajah

LELAKI ini pernah hidup dalam persembunyian serta terpinggir selama 15 tahun di Hillsville, Virginia, Amerika Syarikat (AS), dengan berselindung di sebalik topeng wajah dan hanya keluar dari rumah pada waktu malam.

Semuanya disebabkan oleh satu insiden tembakan yang tepat mengenai wajahnya pada tahun 1997.

Akibat daripada kejadian itu, Richard Lee Norris, 37, mengalami kecacatan teruk kerana hilang gigi, hidung serta sebahagian daripada lidahnya.

Bagaimanapun, mimpi ngeri Norris itu berakhir selepas dia menjalani satu pembedahan pemindahan wajah 19 Mac lalu di Pusat Perubatan Universiti Maryland, Baltimore, AS.

Pembedahan selama 36 jam itu melibatkan 100 orang doktor yang terdiri daripada pakar pembedahan plastik serta pakar kraniofasia dari institusi tersebut yang diketuai oleh profesor bedah di Jabatan Perubatan, Dr. Eduardo D. Rodriguez.

"Sebelum ini, orang di sekeliling sering memerhatikan Norris kerana dia memakai topeng wajah dan mereka ingin tahu rahsia di sebalik topeng itu.

"Kini, mereka mempunyai alasan lain untuk merenung ke arahnya. Perkembangan ini sangat menakjubkan," ujar Rodriguez selepas pembedahan itu berjaya.

Bagi memastikan wajah baharu Norris berfungsi sepenuhnya terutamanya dari segi ekspresi wajah dan pergerakan, pasukan pembedahan telah memberikannya lidah baharu supaya dia dapat bercakap, makan dan mengunyah dengan sempurna.

Gigi

Selain itu, barisan giginya juga distruktur semula serta dihubungkan dengan saraf-saraf di sekitar wajahnya bagi memastikan dia kembali tersenyum riang.

Norris merupakan individu pertama di AS yang menjalani pembedahan pemindahan wajah pada keseluruhan muka yang berjaya mengekalkan penglihatannya.


FILEM tahun 1997, Face Off, lakonan John Travolta (kiri) dan Nicolas Cage menonjolkan idea pemindahan wajah menerusi teknologi transplan.


Nasib juga ternyata menyebelahinya apabila dia terselamat dalam pembedahan itu meskipun menjalani pembedahan membina semula dan memperbaiki saraf dan tisu wajah dari kulit kepala sehingga ke leher.

"Saya kini sudah boleh berjalan di hadapan semua orang tanpa mendapat renungan yang aneh daripada sesiapa pun.

"Perkara yang paling menggembirakan adalah saya kini dapat melakukan rutin harian seperti memegang muka, memberus gigi serta bercukur," jelas Norris yang telah kembali bekerja.

Pemindahan wajah adalah suatu prosedur pembedahan untuk menggantikan keseluruhan atau sebahagian daripada wajah seseorang.

Ia dijalankan bagi membaiki kecacatan wajah yang disebabkan oleh kemalangan, kebakaran, insiden tembakan, serta serangan haiwan.

Menurut seorang Pakar Kulit, Dr. Ko Chung Beng, dalam proses pemindahan wajah, perkara utama yang perlu ada ialah wajah daripada penderma.

"Ini ialah elemen asas kerana pembedahan ini melibatkan proses pemindahan wajah daripada satu individu kepada individu yang lain," katanya ketika ditemui di kliniknya di Klang, Selangor.

Tambahnya, proses pemindahan wajah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Dalam pembedahan itu, jutaan salur darah dan saraf muka dipindahkan dari wajah asal milik penderma kepada wajah milik pesakit.

"Bayangkanlah, salur-salur darah yang kecil itu perlu disambungkan antara satu sama lain. Proses ini dilakukan dengan teliti dan berhati-hati bagi mendapatkan hasil yang sempurna," ujarnya yang merupakan pakar pembedahan plastik.

Malaysia

Menurut Chung Beng, mungkin atas sebab itulah industri pemindahan wajah masih baharu di Malaysia memandangkan kekurangan tenaga pakar yang sanggup mengambil risiko melakukan pembedahan tersebut.

Beliau memberitahu, sehingga ke hari ini tiada seorang pun individu yang tampil menjadi penderma wajah.

"Ini mungkin disebabkan oleh budaya masyarakat Malaysia yang mahukan si mati dikebumikan dalam keadaan sempurna anggota badan.

"Mereka tidak dapat menerima andainya si mati dikebumikan dengan keadaan dirinya tanpa wajah kerana telah didermakan kepada orang lain," jelasnya.

Selain itu, ujar Chung Beng, di negara ini belum ada kes yang melibatkan kerosakan teruk pada wajah seperti yang berlaku di luar negara sehingga memerlukan pembedahan pemindahan wajah dilakukan ke atas pesakit.


MALAYSIA masih kekurangan tenaga pakar dan peralatan untuk melakukan pembedahan pemindahan wajah.


"Kalau ada pun ialah kes mangsa simbahan asid dan melecur teruk akibat kebakaran ataupun kemalangan yang masih boleh dirawat menerusi pembedahan plastik atau rawatan laser," jelasnya yang mendedahkan bahawa kos bagi membuat pembedahan plastik di negara ini boleh mencecah sehingga minimum RM10,000.

Sementara itu, dari segi kesannya pula, pesakit yang menjalani pembedahan ini akan mengalami masalah deria sentuhan pada wajah yang kurang sensitif.

"Hal ini disebabkan oleh saraf-saraf yang disambungkan itu tidak lagi dapat berfungsi dengan sempurna kerana ia tidak berada dalam tempurung wajahnya sendiri," katanya sambil menambah, pesakit akan mengalami kesukaran untuk membuat pelbagai mimik muka.

Ujarnya, perkara yang paling membimbangkan ialah jika sistem imunisasi badan pesakit tidak dapat menerima saraf-saraf bukan miliknya yang dipindahkan ke dalam wajah baharunya itu.

"Jika sistem imunisasi badan enggan menerima kehadiran 'ahli baharu' tersebut, ia akan menyebabkan sel-sel wajah yang dipindahkan itu mati serta tidak dapat berfungsi lagi," jelasnya.

Bagi Chung Beng, meskipun industri pemindahan wajah di Malaysia belum berkembang, beliau berharap agar lebih banyak pakar pembedahan plastik di negara ini dapat melengkapkan diri dengan ilmu kepakaran yang tinggi bagi membawa masuk teknologi perubatan tersebut ke sini.

"Jika keadaan ini berlaku, ia adalah suatu perkembangan yang baik terhadap industri perubatan negara kerana itu menunjukkan bahawa Malaysia semakin maju dalam bidang teknologi perubatan," katanya.

Sambal Sunda paling pedas

Posted:

Sambal Sunda paling pedas

Sambal Sunda paling pedas

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

KATA pemilik restoran, semakin pedas sambal semakin disukai pelanggan.


WULUJING Sumping dipilih sebagai kata-kata aluan yang dipamerkan pada pintu masuk Restoran Cibiuk yang beroperasi di Kajang, Selangor sejak Oktober lalu.

Membawa maksud selamat datang, ia merupakan cawangan pertama Restoran Cibiuk di Malaysia. Setakat ini ia mempunyai 34 cawangan di Indonesia khususnya di sekitar Jakarta dan Bandung.

Cibiuk, nama sebuah perkampungan di Bandung, terkenal dengan masakan orang Sunda terutamanya sambal. Tidak hairanlah jika restoran ini menyajikan 12 jenis sambal yang dibuat mengikut tahap kepedasannya iaitu daripada 1 hingga 12. Pastinya sambal tahap 12 ialah yang paling pedas.

Menurut pengurus restoran, Yasmin Mansor, makanan orang Sunda kurang berkuah.

Cili merah

"Sambal Sunda popular dengan kepedasannya. Peliknya, semakin pedas semakin pelanggan ingin makan. Walaupun berbeza tahap kepedasan, boleh dikatakan kesemua ramuannya terdiri daripada cili hijau, cili merah dan buah mangga," terang Yasmin.

Selain itu, pisang goreng bersalut keju serta coklat cair turut menjadi tarikan.

"Kita biasa menikmati pisang goreng tetapi tidak pernah mendengar mengenai pisang keju," katanya.

Air kelapa durian ala Cibiuk pula jangan dilepaskan.

"Buah kelapa akan dipotong kepada dua bahagian tetapi isi serta sabutnya tidak dibuang. Kemudian, minuman ini dicampur bersama seulas durian, aiskrim vanila dan jeli hijau," cerita Yasmin.

Makanan lain yang disediakan ialah nasi bakar ayam goreng, paket kasterol nasi liwet dan nasi timbel komplit dengan harga kira-kira RM10," tutur Yasmin.

Menurut seorang pelanggan, Tariq Abdul Jalil, dia teruja menikmati sambal Cibiuk.

"Semakin terasa pedas semakin kita ingin menikmatinya dengan nasi.

"Kegemaran saya ialah nasi timbel komplit kerana ia lengkap dengan nasi, ayam goreng kampung, tauhu bakar dan sup," katanya.

Bagi Nurhani Husin, dia menyukai nasi yang rasanya seperti pulut.

"Saya juga tertarik dengan pisang goreng keju yang lazat. Jarang sekali pisang goreng dicampurkan dengan keju serta coklat cair tetapi hasilnya cukup menyelerakan," katanya.

Perkara lain yang menarik mengenai Cibiuk ialah sebahagian besar pekerjanya, daripada pelayan, tukang cuci, tukang masak hinggalah pengurus merupakan pelajar sekolah tahfiz.

Menurut pemilik bersama Cibiuk Malaysia, Faridah Mansor, perkara itu bertujuan mendedahkan pelajar sekolah tahfiz dengan ilmu keduniaan khususnya perniagaan.

"Mereka boleh menguruskan perniagaan dan berdakwah sekali gus," Faridah berhujah.

KEPEDASAN sambal diukur daripada tahap 1 hingga 12.


Hafal al-Quran

Tutur beliau, setiap pelajar akan bekerja sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum diberikan modal permulaan untuk membuka restoran.

Katanya, setakat ini di Cibiuk Malaysia terdapat tiga pelajar tahfiz yang dibawa dari Indonesia.

Bagaimanapun, pada masa hadapan pihaknya akan mengambil pelajar tahfiz di negara ini khususnya di Selangor.

"Selain itu, kami akan bekerjasama dengan sekolah tahfiz terbabit supaya mereka bercucuk tanam serta menternak ikan dan ayam kampung untuk dibekalkan kepada restoran kami.

"Ini secara tidak langsung menjana ekonomi sekolah terbabit berbanding bergantung kepada yuran pengajian semata-mata," katanya.

Seorang pelajar tahfiz, Bubun Bunyamin Qomarudin, 19, berkata, dia pada mulanya agak khuatir tidak dapat menyesuaikan diri.

"Perkara ini jarang dibuat orang tetapi lama-kelamaan saya terbiasa. Malah, saya sempat menghafal al-Quran semasa pelanggan tiada," ujarnya.

Katanya, dia bekerja dari pukul 9 pagi sehingga 11 malam dengan gaji RM800 sebulan.

"Sebaik sahaja habis bekerja, saya akan menghafal al-Quran termasuk sebelum solat Subuh," katanya.

Bagi Hasanuddin Nordin, 28, dia agak lambat belajar di sekolah tahfiz jika dilihat pada usianya.

"Dahulu saya jahil malah gagal membaca al-Quran dengan lancar tetapi restoran ini memberi saya peluang bekerja sambil belajar.

"Jika diizinkan Tuhan, saya ingin mengumpulkan modal sebelum menubuhkan sekolah tahfiz di Indonesia menjelang umur 35 tahun," azamnya.

Lain pula tekad Muhammad Rizal Fadilah, 19, yang berharap dapat membuka sebuah restoran suatu hari nanti. Katanya, restoran itu juga akan menganjurkan program ceramah keagamaan.

"Pelanggan dapat makan dan mendengar kuliah agama sekali gus," ujarnya.

Perokok cilik Indonesia

Posted:

Perokok cilik Indonesia

Perokok cilik Indonesia


KETAGIHAN merokok yang melanda segelintir kanak-kanak berusia bawah enam tahun di seluruh dunia harus ditangani segera.


AGAK sukar untuk mempercayai seorang kanak-kanak, Aldi Ilham, 8, yang berasal dari Sukabumi, Indonesia merokok di hadapan rumahnya dan boleh menghabiskan dua kotak rokok sehari tanpa dimarahi oleh ibu bapa.

Dia yang mula merokok ketika berumur empat tahun itu enggan ke sekolah dan hanya bermain serta menghisap rokok sepanjang hari.

Walaupun jika dilihat pada umurnya, ia amat mengejutkan tetapi pemandangan sebegini bukanlah sesuatu yang asing di Indonesia. Dianggarkan satu juta kanak-kanak di Indonesia di bawah umur 16 tahun di negara itu menghisap rokok dengan satu per tiga daripada mereka merokok sebelum berumur 10 tahun.

Selain Aldi, seorang lagi kanak-kanak, Ardi Rizal yang kini berumur empat tahun pernah mengejutkan dunia kerana menghisap rokok sebanyak 40 batang rokok sehari ketika berusia dua tahun. Dia akan membuat perangai jika ketagihan rokoknya tidak dipenuhi.

Ardi menjadi terkenal setelah klip videonya sedang menghisap rokok tersebar luas di internet.

Hasil kaji selidik dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat yang disiarkan September lalu mendapati, kadar perokok lelaki Indonesia adalah yang tertinggi di dunia.

Hampir dua per tiga daripada golongan lelaki berumur lebih 15 tahun adalah perokok. Bilangan kanak-kanak yang menjadi perokok juga bertambah dengan peningkatan tujuh kali ganda dalam masa kurang sedekad.

Menteri Kesihatan Indonesia, Nafsiah Mboi mengakui bahawa negara itu sukar menghentikan tabiat merokok penduduknya.

"Hasil kajian juga mendapati hampir suku daripada golongan remaja di negara ini merupakan perokok tetap," ujarnya dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen, Channel 4 di Britain baru-baru ini.

Had umur


ALDI ILHAM menghisap rokok sepanjang hari di rumahnya di Sukabumi, Indonesia.


Senario itu dilihat berikutan penguatkuasaan undang-undang yang amat lemah di Indonesia dan tiada had umur minimum ditetapkan bagi pembeli rokok selain tiada pendidikan mengenai bahaya rokok diberikan kepada penduduknya.

Indonesia sendiri adalah antara negara termasuk Korea Utara dan Zimbabwe yang gagal menandatangani perjanjian tembakau WHO yang melarang pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau serta larangan terhadap jualan rokok kepada mereka di bawah umur.

Berdasarkan kod etika terbabit, tidak sepatutnya ada iklan rokok dalam lingkungan 100 meter dari kawasan sekolah. Tetapi realitinya, iklan berkenaan jelas dipaparkan pada papan iklan yang memaparkan merokok sebagai gaya hidup moden dan perlu diterima oleh semua golongan muda.

"Indonesia sukar menandatangani perjanjian itu kerana negara ini menerima hasil daripada cukai tembakau. Industri tembakau itu sendiri menyediakan kira-kira 10 juta peluang pekerjaan membabitkan 10 peratus daripada hasil negara secara keseluruhannya," jelas Nafsiah.

Mengikut WHO, tembakau dikaitkan dengan kematian sebanyak enam juta orang di seluruh dunia setiap tahun. - NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved