Sabtu, 8 Disember 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


62 rumah rosak akibat ribut

Posted:

62 rumah rosak akibat ribut

62 rumah rosak akibat ribut


Anggota Jabatan Pertahanan Awam memotong pokok besar yang tumbang dalam kejadian ribut di Jelapang, Ipoh semalam.


IPOH – Sebanyak 62 buah rumah melibatkan enam kawasan perumahan sekitar Jelapang di sini rosak selepas sebahagian bumbung diterbangkan ribut dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam.

Walaupun tidak ada mangsa mengalami kecederaan, kejadian itu cukup mencemaskan para penduduk.

Antara kawasan perumahan yang terlibat ialah Taman Meru, Taman Meru 2B, Taman Meru 2C, Taman Meru 3C, Taman Jati dan Kampung Datuk Ahmad Said.

Lebih 20 batang pokok besar termasuk 14 di sepanjang laluan utama Jelapang-Meru di sini tumbang namun ia tidak menimpa kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Menurut seorang penduduk, Jasbeir Kaur, 57, kejadian tersebut bermula dengan tiupan angin kuat disusuli dengan hujan lebat.

Katanya, dia yang ketika itu berseorangan di rumah hanya mampu melihat atap-atap rumahnya terbang ditiup angin kencang sebelum bertindak menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah.

"Pada mulanya saya mendengar bunyi yang cukup kuat datang dari atas bumbung dan dalam sekelip mata melihat angin kencang menerbangkan keseluruhan atap rumah saya.

"Saya sangat takut melihat keadaan itu kerana rumah seakan-akan digoncang kuat menyebabkan saya berlari keluar rumah dalam hujan untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Chong Kien Foo, 41, memberitahu, hujan lebat selama sejam setengah itu telah menumbangkan sebatang pokok besar bersebelah rumahnya hingga menyebabkan penjuru kediamannya ditimpa pokok berkenaan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail yang ditemui semasa melawat lokasi kejadian, pihaknya menyediakan 200 keping atap zink untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

Pengambilan kurang

Posted:

Pengambilan kurang

Pengambilan kurang

PUTRAJAYA - Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan pada tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam (gambar kecil).

Secara purata, beliau berkata, SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.

"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang.

"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus.

"Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini semalam.

Mahmood berkata, seminar yang pertama kali diadakan itu bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam.

Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar sehari anjuran bersama SPA dan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) bagi mendengar penjelasan mengenai peperiksaan, penilaian dan temu duga serta pengetahuan berkaitan urusan pengambilan di SPA.

Munajat bantu rakyat Palestin tertindas

Posted:

Munajat bantu rakyat Palestin tertindas

Munajat bantu rakyat Palestin tertindas

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkiflli.manzor@kosmo.com.my


SEBAHAGIAN umat Islam yang menyertai majlis solat hajat sempena Munajat Palestin Bersama Imam Muda dan Ustazah Pilihan di Masjid Wilayah Persekutuan malam tadi.


KUALA LUMPUR - Ribuan umat Islam menghadiri program Munajat Palestin Bersama Imam Muda dan Ustazah Pilihan anjuran syarikat Anugerah International Sdn. Bhd. (Anugerah) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.

Program yang mendapat kerjasama akhbar Kosmo! itu bertujuan membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis dengan melakukan solat hajat dan bacaan Yasin beramai-ramai.

Turut berlangsung ialah sesi taklimat dan tayangan video bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada peserta mengenai penderitaan yang dialami rakyat negara itu berikutan kekejaman Israel.

Jurucakap Anugerah, Khairul Azhar Ghazali berkata, pihaknya bersyukur dengan sambutan orang ramai sekali gus membuktikan rakyat Malaysia prihatin terhadap kezaliman yang dihadapi saudara seagama mereka di Palestin.

"Ini merupakan sumbangan yang kita dapat lakukan untuk membantu saudara kita di Palestin yang berhadapan kekejaman Israel. Kita tidak dapat memberi bantuan dari segi fizikal tetapi kita dapat membantu dengan berdoa yang merupakan senjata umat Islam," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Turut hadir beberapa peserta program realiti Imam Muda (IM) musim pertama hingga ketiga seperti IM Hizbur Rahman Omar Zuhdi, IM Syed Mohd. Faris Syed Roslan, IM Megat Mohd. Zaid Megat Azman dan IM Muhammad Nasir M. Yakub Ismail.

Solat hajat pula diimamkan oleh IM Amiril Md. Banin, bacaan Yasin diketuai IM Mohd. Hassan Adli Yahaya manakala solat Isyak diimamkan oleh IM Abdul Jabbar Mohammed Kahar.

Sementara taklimat video mengenai isu Palestin disampaikan oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan, Aqsa Syarif Berhad, Mohd. Isa Maarof.

Khairul Azhar yang juga peserta IM musim pertama berkata, pihaknya berharap dapat meneruskan program itu pada masa depan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu Palestin dan kepentingan berdoa.

Selain majlis solat hajat dan bacaan Yasin, program turut diserikan dengan gerai jualan produk Anugerah seperti air mineral, ubat-ubatan serta produk kesihatan lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved