Rabu, 19 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rezeki terkumpul Hafiz

Posted:

Rezeki terkumpul Hafiz

Rezeki terkumpul Hafiz

PENYANYI kelahiran Kuching, Sarawak, Mohd. Hafiz Mohd. Suip pada usia 22 tahun sudah memiliki kerjaya nyanyian yang kukuh hanya berbekalkan sebuah album studio yang berjudul Masih Jelas.

Semua lagu dalam album pertamanya iaitu Masih Jelas, Noktah Cinta, Watak, Awan Nano dan Ku Akui menjadi single popular, bahkan lagu Awan Nano turut dinobatkan sebagai lagu terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26.

Umpama magis dalam kerjayanya, tahun ini sahaja, Hafiz telah bergelar juara dalam program Mania dan membawa pulang wang tunai RM500,000 menewaskan ramai penyanyi popular yang lain.

Penyanyi yang selesa dengan imej rambut kembang itu juga cukup hangat dengan dua buah lagu duet iaitu Ombak Rindu duet bersama Adira dan Muara Hati duet bersama Datuk Siti Nurhaliza untuk drama bersiri Adam & Hawa.

Semakin popular diiringi dengan deretan anugerah yang diterimanya membuatkan sahamnya semakin tinggi dalam industri seni.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah yang dilakukan anak muda berusia 22 tahun ini dengan wang yang diperolehinya itu?

Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, dia bukan orang yang suka berbelanja tanpa berfikir sebaliknya setiap wang yang diperolehi hasil titik peluhnya disalurkan dalam simpanannya.

"Saya simpan untuk diri sendiri serta keluarga sebab saya tidak boleh ramal berapa lama jangka hayat saya dalam industri seni.

"Sebahagian saya hadiahkan kepada keluarga dengan membesarkan rumah ibu bapa di Kuching, Sarawak. Sebahagian lagi, saya simpan untuk membeli pelaburan seperti hartanah kerana nilainya semakin hari semakin tinggi," kata Hafiz sambil berkira-kira perjalanan kewangannya.

Ditebak lagi, sebagai anak muda pastinya dia mempunyai hobi yang mengisi masa lapangnya. Dalam tawa Hafiz mengatakan, buat masa ini dia amat menggilai sukan lasak paintball.

"Sudah lebih sebulan lebih saya aktif dengan sukan paintball. Ini hobi terbaharu saya kerana saya tiada masa untuk bersenam. Jadi, saya gunakan sukan ini untuk menghabiskan masa dengan rakan dan dalam masa yang sama boleh sihatkan badan.

"Saya sudah ada pasukan saya sendiri yang diberi nama Nano Cloud Regimen. Sesiapa yang mahu cabar kami dipersilakan (ketawa)," katanya yang layak dengan dua buah lagu, Ombak Rindu dan Ku Akui ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).

Selain itu, niat di hatinya ingin sekali menjejakkan kaki di Tanah Suci kota Mekah, bagaimanapun hasrat itu tertangguh sehingga kini.

"Sebenarnya sudah lama saya menyimpan niat untuk menunaikan umrah tetapi sehingga sekarang belum berkesempatan. Insya-Allah jika tiada aral melintang saya akan sampai juga suatu hari nanti," luahnya.

Rahsia Hafiz

Disoal apakah rahsia kejayaannya sehingga setiap lagu yang didendangkan pasti menjadi popular, jawab Hafiz, dia tidak mempunyai sebarang rahsia untuk dikongsi bersama mengenai perkara itu.

"Sebenarnya saya tidak ada rahsia ketika merakamkan lagu sebaliknya saya percaya inilah rezeki yang diberi Allah kepada saya.

"Sebagai penyanyi, tugas saya hanyalah menyampaikan lagu itu sebaik mungkin. Saya bukannya boleh ramal lagu yang saya nyanyi itu akan mendapat sambutan atau tidak, semuanya terpulang kepada selera pendengar."

Namun, akuinya, sebelum melalui proses rakaman lagu terbaharu sebagai penyanyi, dia memilih lagu yang hanya sesuai dengan kemampuan vokalnya sahaja.

"Pihak pengurusan akan berbincang dengan saya terlebih dulu dan saya akan lihat lagu itu sesuai atau tidak dengan vokal saya. Selepas itu barulah keputusan akan dibuat.

"Memanglah saya boleh menyanyi tetapi bukan semua genre lagu sesuai dengan suara saya. Lagu yang kena nyanyi hampir pecah tekak, tidak sesuai dengan saya. Jadi memang saya kena pilih," ucapnya Hafiz.

Bercakap tentang duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza, terangnya yang juga berbakat dalam bidang lakonan, dia sendiri tidak menyangka peluang keemasan begitu akan datang bergolek kepadanya.

Masih muda dan baru hendak bertatih dalam bidang nyanyian, Hafiz menganggap pemilihannya sebagai rakan duet Siti satu penghormatan yang cukup besar.

"Ikutkan saya sendiri terkejut apabila diberitahu saya akan berduet dengannya. Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan Siti Nurhaliza.

"Apabila sudah diberi peluang saya lakukan dengan baik dan penuh fokus. Alhamdulillah, lagu Muara Hati digemari ramai dan sering diputarkan di radio," tuturnya.

Kelas berbeza

Walaupun kerjaya seni Hafiz pantas berkembang berbanding dengan rakan seperjuangan program Akademi Fantasia musim ke-7 yang lain, Hafiz masih kekal seperti dahulu.


FIGURA muda ini mengakui sudah lama menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah.


"Rasanya saya sama sahaja. Cuma kerja saya sahaja yang membuatkan saya berjumpa dengan orang ramai dan keluar televisyen, akhbar dan majalah," ucapnya.

Terlalu pantas mengecapi populariti dalam usia yang muda, akuinya memang banyak cabaran yang harus dilalui.

Bagaimanapun, keputusan nekad untuk bergelar penyanyi selepas berjaya melepas uji bakat program Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz pasrah dan melaluinya dengan tenang.

"Banyak cabaran menjadi penyanyi tambahan usia yang muda. Saya akui kadangkala saya silap membuat pertimbangan.

"Saya anggap itu hanyalah perjalanan kehidupan yang mematangkan saya dan membentuk Hafiz seperti hari ini. Bila ramai yang memuji, ramai juga yang mengeji.

"Selagi saya ingat pada keluarga, sedar diri, hargai sokongan peminat yang saya gelar sahabat dan tidak membuat sebarang kesalahan jenayah serius (ketawa), saya akan terus berada dalam industri seni" katanya.

Anuar sasar 8,000 penonton

Posted:

Anuar sasar 8,000 penonton

Anuar sasar 8,000 penonton

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


ANUAR kini giat melakukan senaman untuk mendapatkan stamina yang mantap sebagai persediaan konsertnya pada 16 Februari depan.


DUA bulan lagi sebelum berlangsung konsert sulungnya, Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari tahun depan, Anuar Zain memberitahu, dia berharap mampu mengumpulkan 8,000 peminatnya pada malam tersebut.

Jika dilihat secara kasar, jumlah 8,000 penonton tersebut terlalu sedikit buat Anuar yang cukup hebat auranya. Namun, kata Anuar, jumlah tersebut bertepatan dengan kapasiti ruang Stadium Putra Bukit Jalil yang menjadi lokasi konsertnya.

"Jika sebelum ini hanya segelintir pihak yang dapat menyaksikan persembahan saya, kali ini menerusi sebuah konsert, saya menjangkakan seramai 8,000 peminat akan hadir dan berhibur dengan saya," ujarnya yang ditemui dalam satu sesi ramah mesra bersama media dan pengumuman harga tiket yang diadakan di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini,

Begitu teruja dan bersemangat untuk melaksanakan misi besar dalam karier seninya, itu, Anuar juga sanggup mengenepikan acara tahunan yang tidak pernah ditinggalkannya sebelum ini iaitu persembahan dalam Minggu Setiausaha.

Bukannya sudah muak atau bosan kerana meraikan golongan yang sama saban tahun, Anuar menjelaskan dia mahu fokus kepada konsert tersebut.

"Saya juga telah membuat keputusan untuk tidak terlibat dengan persembahan di Minggu Setiausaha. Lagipun jarak antara bulan Februari dan April sangat hampir, jadi lebih adil sekiranya peminat saya dapat datang pada satu acara sahaja," jelasnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai persiapan menjelang konsert tersebut, Anuar memberitahu, kini dia sudah mula membuat persiapan.

Ini termasuklah bersenam sebagai persediaan memantapkan stamina, manakala perbincangan mengenai konsep dan pemilihan lagu juga sudah dilakukan.

Bakal menggunakan khidmat seramai 31 pemuzik iringan yang akan diketuai oleh pengarah muzik Mac Chew, Anuar menjelaskan sekurang-kurangnya 20 buah lagu akan dipersembahkan dalam tempoh dua jam.

"Bagi menampilkan kelainan dan keunikan semasa persembahan nanti, susunan muzik setiap lagu akan diubah semula agar ia lebih sesuai dengan suasana dan tema konsert tersebut.

"Apa yang lebih penting, saya akan beraksi secara solo dan tidak mengundang dan menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain. Cuma ada dua buah lagu yang akan dinyanyikan secara medley kerana faktor masa," jelasnya.

Berkenaan dengan tiket pula, ia sudah mula dijual sejak 12 Disember dengan harga RM88 (Palladium B), RM138 (Palladium A), RM298 (Bronze), RM398 (Silver), RM598 (Gold) dan RM698 (Platinum).

Mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert berkenaan boleh membeli tiket menerusi laman web www.ticketcharge.com atau menghubungi Anuar Zain Network di talian 012-464 2030, manakala diskaun sebanyak 15 peratus akan diberikan kepada 1,000 pembeli pertama.

Selain itu, pihak pengurusan Anuar Zain juga turut menawarkan pakej perjalanan eksklusif '3Dekad 1Destinasi' untuk para peminat di luar Kuala Lumpur termasuk dari Kota Bharu (Kelantan), Jerteh dan Kuala Terengganu (Terengganu), Johor Bahru (Johor) dan Singapura dengan menyediakan pengangkutan dari lokasi-lokasi berkenaan terus ke Stadium Putra Bukit Jalil.

Sambutan baik

Selain mengakui sangat teruja untuk mengadakan konsert solonya itu, Anuar turut meluahkan rasa gembiranya apabila klip video Ajari Aku yang baru sahaja dilancarkan bulan lalu mendapat sambutan yang cukup baik.

Menampilkan pelakon popular iaitu Nora Danish sebagai teraju utama, penyanyi berkenaan menyatakan sehingga kini klip video lagu tersebut sudah ditonton sebanyak 93,000 kali di laman YouTube.

"Sejujurnya dahulu saya agak kurang percaya video klip mampu membantu mempromosikan sesebuah lagu dan disebabkan itu saya tidak banyak menghasilkan klip video untuk lagu-lagu saya.

"Bagaimanapun, melihat kepada sambutan yang diterima barulah saya sedar ia memang banyak membantu. Saya yakin kesinambungan klip video Ajari Aku iaitu lagu Sempurnakan Aku akan turut disukai ramai," ujarnya.

Berkenaan dengan klip video Sempurnakan Aku, Anuar memberitahu ia akan mula ditayangkan kepada umum buat kali pertama semasa berlangsungnya konsert berkenaan nanti.

The Jacksons kembalikan nostalgia

Posted:

The Jacksons kembalikan nostalgia

The Jacksons kembalikan nostalgia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


PROFESIONAL. The Jacksons (dari kiri), Tito, Jackie, Marlon dan Jermaine mengalunkan sehingga 29 buah lagu untuk konsert yang dikenali sebagai Unity Tour 2012 Live In Malaysia ini.


SETELAH hampir 30 tahun, kumpulan adik-beradik paling popular di era antara 60-an dan 70-an, The Jacksons, kembali mengubat kerinduan peminat mereka dengan mengadakan sebuah siri konsert jelajah dunia.

Kumpulan yang sememangnya dikenali di seluruh dunia ini pada asalnya diberi nama Jackson 5 yang mana anggota kumpulannya ialah adik-beradik lelaki Jackson iaitu Jackie, 61, Jermaine, 58, Marlon, 55, Tito, 59, dan mendiang Michael Jackson.

Pada 13 Disember lepas, The Jacksons telah singgah ke Malaysia untuk mengadakan konsert sebagai salah satu destinasi untuk mereka berjumpa peminat di seluruh dunia yang menggunakan nama Unity Tour 2012 Live In Malaysia.

Konsert yang bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu telah menyasarkan kehadiran seramai 2,500 pengunjung.

Bagaimanapun konsert itu hanya berjaya mengumpul lebih kurang 1,500 peminat.

Namun, ternyata persembahan empat beradik ini berjaya menghiburkan peminat mereka yang hadir sepanjang konsert berlangsung dengan sebahagian besar peminat turut berdiri dan sama-sama menari dan menyanyi lagu-lagu yang dipersembahkan mereka di atas pentas.

Kemunculan The Jacksons di pentas kira-kira pada pukul 9.15 malam terus sahaja meraih sorakan tanpa henti daripada peminat yang hadir.

Memandangkan The Jacksons sangat popular pada zaman 60-an, maka kelihatan rata-rata peminat yang hadir berumur dalam kalangan 30 tahun dan ke atas.

Sebaik sahaja memulakan persembahan, peminat terus bersorak dan mereka kekal bersemangat sehingga tamat konsert.

Apa yang menariknya, usia tidak menghalang Jackie, Jermaine, Marlon serta Tito memberikan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit konsert berlangsung.

Jangan terkejut, The Jacksons berjaya menyampaikan 29 buah lagu yang diiringi tarian tanpa henti, kelihatan seolah-olah mereka tidak kenal erti letih walaupun rata-rata telah berusia.

Sememangnya janji dikotakan iaitu ingin mengembalikan nostalgia The Jacksons dengan menyampaikan lagu popular mereka seperti ABC, I Want You Back, The Love You Save, Never Can Say Goodbye, I'll Be There dan banyak lagi.

Walaupun telah tiada, mendiang adik mereka, Michael masih lagi sentiasa berada di ingatan. Demi memperingati Michael, empat beradik ini telah menyampaikan sebuah lagu yang dituju khas, iaitu Gone Too Soon berserta gambar kenangan ketika bersama mendiang ketika zaman kegemilangan Jackson 5.

Selain itu, berniat menyambung kerja amal Michael, The Jacksons turut menjemput kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha sebagai tetamu khas untuk sama-sama berkongsi pentas bersama ketika membuat persembahan dan juga merupakan tetamu istimewa.

Senyuman dan kepuasan jelas terserlah di setiap raut wajah peminat yang hadir di konsert The Jacksons yang dianjurkan oleh Offshore Entertainment Production ini.

Sememangnya tempoh 90 minit itu berjaya membuatkan mereka terbuai dengan lagu-lagu yang disampaikan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved