Jumaat, 14 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Jual burger sebelum popular

Posted:

Jual burger sebelum popular

Jual burger sebelum popular

PENGALAMAN biasanya mengajar seseorang mengenal erti kehidupan sebenar. Itulah prinsip yang dipegang oleh pelakon Afiq Muiz, seorang pendatang baharu yang dilihat bakal memberi saingan kepada pelakon sedia ada.

Memiliki seraut wajah tampan serta tubuh yang menarik, namun itu bukanlah jalan mudah buat pemilik nama sebenar Muhamad Afiq Muiz Azman Shah mencipta nama sebagai pelakon yang dikenali ramai.

Buktinya, setelah tiga tahun bergelar pelakon dan sudah muncul dalam banyak drama bersiri dan telefilem seperti Aishiteru, Tiara, Tanah Kubur, Mak Pengantin Tak Popular dan Maafkan Aku Mama, hanya sekarang namanya mula meniti di bibir peminat.

Bagaimanapun, di sebalik usaha kerasnya untuk bertapak kukuh dalam bidang lakonan, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa pelakon berusia 20 tahun itu pernah berniaga ketika zaman persekolahannya dahulu.

"Saya dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan sudah dididik oleh ibu supaya mencari duit belanja sendiri. Jadi, saya ambil keputusan untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sejak berada di tingkatan tiga.

"Pada waktu pagi saya akan membawa sebanyak 20 bungkus nasi lemak dan dijual di sekolah. Kemudian pada waktu malam pula saya akan berniaga burger di kawasan rumah saya," ujarnya.

Biarpun kehidupannya semasa menjadi pelajar dahulu tidak seperti kebanyakan rakan-rakannya yang lain, dia menganggap apa yang dilaluinya dahulu banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar.

Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik itu, dengan pengalaman yang diperoleh dirinya itu telah membuatkan dirinya lebih serius dan bersungguh-sungguh terhadap kerjaya lakonannya.


AFIQ enggan bersandarkan kepada fizikal semata-mata untuk masa depan karier lakonannya.


"Bermula dengan kerja menjual burger secara kecil-kecilan, kini saya sudah bergelar seorang pelakon pula. Sejujurnya saya tidak menyangka akan berada di tahap sekarang ini.

"Saya akui memang tidak berapa bagus dan pandai dalam pelajaran, namun itu tidak bermakna saya sudah gagal dalam kehidupan.

"Apa yang lebih penting, saya perlu pilih bidang yang diminati serta memberi komitmen dan bersungguh-sungguh sekiranya mahu berjaya," tuturnya.

Ketika ditanya apakah perubahan yang berlaku terhadap dirinya selepas dikenali ramai, Afiq menyatakan kini sudah ramai peminat yang mahu bergambar dengannya.

Namun begitu, pelakon berkenaan menjelaskan keadaan itu tidak akan membuatkannya cepat lupa diri, sebaliknya ia sebagai satu pemangkin semangat untuk dia terus maju dalam bidang yang diceburi.

"Sebelum ini tidak ramai menyedari kehadiran saya dalam industri, tetapi sekarang sudah ada yang mahu bergambar dengan saya. Cuma yang agak kelakar apabila saya masih lagi kekok untuk berhadapan dengan peminat.

"Dengan perubahan terhadap diri saya sekarang ini, pastinya ia menjadi satu titik permulaan kepada kerjaya lakonan saya.

"Pengalaman lalu sememangnya menjadikan saya lebih matang dan berharap karier saya akan terus berkembang," ujarnya.

Berkenaan dengan impak terhadap lakonannya dalam drama bersiri Mimpi Cinderella bersama Eina Azman, jelas pelakon itu dia sendiri tidak menyangka wataknya sebagai Emir mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Menurutnya, ia telah memberikan satu kepuasan tersendiri kepada dirinya memandangkan kebanyakan drama dan telefilem lakonannya sebelum ini masih belum mampu menyerlahkan dirinya sebagai pelakon.

Belum sedia

Sudah menempa nama sebagai seorang pelakon selama tiga tahun dengan pelbagai drama dan telefilem, tetapi wajah Afiq sekadar dilihat tampil di kaca TV.

Bukan tidak pernah mengimpikan untuk tampil di layar perak bagi mengembangkan lagi prospek kerjaya lakonannya, pelakon itu mendedahkan dia masih lagi belum bersedia berlakon filem.

"Tawaran berlakon filem memang pernah saya peroleh sebelum ini, tetapi saya tidak bersedia dan merasakan masih banyak lagi ilmu yang perlu saya pelajari.


AFIQ kini sedang menuntut ilmu di Aswara bagi memantapkan lagi skil lakonannya.


"Lagipun, berlakon filem dan drama pastinya satu situasi yang sangat berbeza dan tidak mahu orang memperkatakan pembabitan saya sekadar bersandarkan rupa semata-mata, tetapi lakonan sangat teruk," jelasnya.

Dalam usaha memantapkan lagi mutu lakonannya, Afiq memberitahu dia telah pun mengambil kelas lakonan selama enam bulan untuk mendapatkan sijil lakonan dan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Matlamat utama saya menyertai kelas tersebut pastinya mahu menimba ilmu tentang asas dalam lakonan. Selain itu, menerusi kelas berkenaan memberi peluang kepada saya memperbaiki lagi cara lakonan serta penghayatan sesebuah watak supaya tidak kelihatan kaku," ujarnya.

Ditanya mengenai watak yang digemarinya dalam sesebuah lakonan, Afiq secara jujurnya mendedahkan dia gemar membawakan watak yang romantik, meskipun memiliki bentuk tubuh yang sesuai untuk filem bergenre aksi.

Duda 12 tahun, Ridzuan tak nakal

Posted:

Duda 12 tahun, Ridzuan tak nakal

Duda 12 tahun, Ridzuan tak nakal

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my


RIDZUAN bakal muncul sebagai pengacara program Panik. Ia merupakan pengalaman pertamanya menjadi pengacara.


PELAKON lelaki terbaik Festival Filem ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal, Ridzuan Hashim nampaknya masih mampu bertahan sebagai salah seorang pelakon terkenal hingga kini.

Dengan fizikal yang masih tegap dan tampan pada usia 48 tahun, Ridzuan kerap membuat hati banyak wanita tertawan kepadanya.

Walaupun tidak lagi membawa watak romantis seperti zaman kegemilangannya, dia masih mampu mencuri tumpuan, terutama selepas lakonan memberangsangkan sebagai King dalam filem pecah panggung, KL Gangster tahun lalu.

Jarang muncul di dada akhbar atau media massa lain, Ridzuan yang ditemui baru-baru ini dalam sidang media memperkenalkan dirinya sebagai hos program Panik, berkongsi cerita tentang perjalanan kariernya yang masih lancar.

Paling menjadi perhatian, Ridzuan yang mengaku dirinya nakal tetapi bertempat, memberi sebab kenapa dia masih menduda selepas 12 tahun bercerai dengan pelakon Didie Alias.

Kosmo!: Maaf bertanya, oleh kerana kisah peribadi anda sangat jarang dipaparkan media, jadi ramai yang bertanya tentang status anda. Adakah anda sudah berkahwin sekarang atau masih solo?

RIDZUAN: Saya masih solo dan selesa hidup macam ini. Walaupun sudah 12 tahun hidup sendiri, tetapi saya tidak kisah.

Dua belas tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk seorang lelaki menduda. Kenapakah anda masih menduda?

Tidak dinafikan, dalam tempoh 12 tahun menduda, saya pernah berkenalan dengan beberapa wanita. Bagaimanapun, semua perancangan untuk mendirikan rumah tangga tidak menjadi kenyataan.

Kenapakah cinta anda sering terkandas?

Mungkin sebab tiada jodoh. Lagi pun kerja lakonan saya dengan jadual yang tidak menentu membuatkan saya rasa lebih baik solo dahulu.

Adakah penyebab anda masih menduda sampai sekarang kerana sikap anda yang agak nakal itu?

Saya hanya nakal menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) sahaja. Pada usia sekarang, tidak mungkin saya nak buat benda tidak elok. Saya kira, nakal saya bertempat. Maruah saya lebih tinggi daripada segala-galanya.

Jadi, anda seperti ada prinsip sendiri untuk kekal bertahan hingga kini?

Harga diri dan nilai kehidupan kita perlu diletak di tempat teratas, kerana ia sangat bernilai. Jadi, ia perlu dijaga baik-baik. Maruah diri saya perlu dijaga agar tidak dikotori dengan perkara-perkara murahan yang boleh menjejaskan periuk nasi saya nanti.

Mengenai kerjaya pula, kenapakah anda mengambil keputusan untuk menjadi pengacara dalam program Panik ini?

Saya tidak pernah mendapat tawaran menjadi pengacara sebelum ini. Jadi apabila dapat tawaran itu, saya cuba cabar diri sendiri.

Bagaimanakah rasanya pertama kali menjadi pengacara, seronok atau tidak?

Pada awalnya saya mengaku agak kekok, tetapi lama-kelamaan seronok juga sebab boleh kenakan peserta lain dan ia juga satu bidang baharu buat saya.

Anda sering membawa watak gengster dan lelaki korporat, adakah anda seronok begitu?

Saya agak bosan sebenarnya, tetapi saya anggap itu sebahagian kerja. Kita tidak boleh memilih sangat, nanti orang tidak mahu tawar kerja pula.

Apakah projek anda selepas ini, berlakon filem atau drama?

Saya akan muncul dalam filem KL Gangster 2 tidak lama lagi dan dua telemovie iaitu Aduhai Empat dan Papaku Heroku.

Tiga minggu lawak lucah, Balas tersingkir

Posted:

Tiga minggu lawak lucah, Balas tersingkir

Tiga minggu lawak lucah, Balas tersingkir

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


DADIDU kumpulan paling veteran bertanding turut tersingkir di minggu keempat.


SELEPAS tiga minggu tiada penyingkiran, program Maharaja Lawak Mega 2012 membuat kejutan pada minggu keempat Jumaat lalu dengan tiga kumpulan disingkirkan sekali gus.

Seperti yang dijangka, kumpulan Pimai (Imuda dan Mat Over) dan Dadidu (AR Badul, Bobo dan Arif Sudin) telah tersingkir kerana berada di kedudukan tercorot tiga minggu berturut-turut.

Bagaimanapun, berlaku kejutan di minggu keempat apabila kumpulan Balas turut tersingkir menjadikan tiga kumpulan telah terkeluar pada minggu berkenaan.

Balas yang telah tiga minggu membuat lawak berbaur lucah kecuali di minggu kedua, masih berdegil membuat lawak serupa walaupun telah ditegur oleh juri yang juga penyanyi Awie sebelum ini.

Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai berkata, tindakan Balas membuat lawak berunsur lucah menyebabkan markah yang diberikan tidak tinggi.

"Pengisian lawak yang berunsur politik, lucah, merendahkan penonton dan cabar pemikiran penonton dilarang sama sekali kerana program ini ditonton seisi keluarga," jelasnya pada sidang akhbar di akhir program berkenaan.

Tambah Bob, lawak lucah Balas turut menggambarkan kumpulan itu tidak menghormati amaran yang telah diberikan oleh juri dan Astro sendiri pada setiap minggu.

"Tidak adil kepada peserta lain tidak buat lawak berunsur lucah, jadi markah kumpulan yang tidak patuh arahan akan dipotong," ujarnya.


IMUDA (kiri) dan Mat Over mewakili Pimai akur apabila turut tersingkir dalam pertandingan itu.


Katanya, walaupun Astro telah meminta draf lawak semua peserta pada sehari sebelum siaran langsung program itu diadakan namun ada peserta tidak memberikan perincian sepenuhnya sketsa yang dibuat.

"Ada kumpulan yang mahu simpan dan rahsiakan lawak meletup mereka, jadi Astro tidak jangka perkara ini (lawak lucah) boleh berlaku," jelasnya.

Balas pula ketika ditemui menyatakan bahawa lawak lucah yang dilakukan oleh mereka pada minggu keempat itu satu adalah salah faham.

Walaupun akur dengan penyingkiran itu, anggota kumpulan tersebut, Mohamad Shukri Mohamad Sahar berkata, lawak air liur itu tidak lucah, sebaliknya juri telah salah faham kerana dialog itu tidak dapat dihabiskan kerana masa sudah tamat.

"Sepatutnya air liur itu tidak ada unsur lucah tetapi ia menjadi ayat tergantung dan kemudian menyebabkan ia disalah erti oleh penonton dan juri," jelasnya mempertahankan diri.

Menganggap nasib mereka tidak baik pada minggu berkenaan kerana kumpulan R2 lebih menonjol yang kebiasaannya berada dalam lingkungan tiga kumpulan tercorot.

Sementara itu, pada malam berkenaan, kesemua juri iaitu Awie, Najib Ali, Wulan Guritno dan Lisa Surihani memilih kumpulan R2 sebagai peserta paling menonjol melalui tema memujuk.

Kata Wulan, walaupun sebelum ini kedudukan R2 tergugat kerana sering berada tercorot tetapi malam itu mereka telah menunjukkan kebangkitan.


LAWAk R2 akhirnya berjaya mencuit hati penonton dan juri.


"Saya terkejut, R2 boleh buat lawak yang melucukan dan mengharapkan ia kekal atau lebih lagi dengan menampilkan lawak bermutu," jelasnya.

Bagi Lisa pula, dia turut terkejut dengan R2 yang berjaya memikat hati penonton dan mampu menghabiskan sketsa tepat pada masanya.

Pada minggu keempat itu, tempat pertama hingga ketiga masih diungguli kumpulan Jozan, Jambu dan Boboi.

Kumpulan lain yang bertanding malam itu ialah Saywho, Shiro, Sabon dan Bandung Jokers

Maharaja Lawak Mega 2012 boleh disaksikan di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) setiap Jumaat, pukul 10 malam.

Pemarkahan pertandingan itu dikira melalui 70 peratus oleh juri dan 30 peratus undian penonton.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved