Rabu, 19 Disember 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Pelarian Palestin lari dari Syria

Posted:

Pelarian Palestin lari dari Syria

Pelarian Palestin lari dari Syria

SEJUMLAH kenderaan yang membawa pelarian Palestin berbaris untuk memasuki pintu sempadan Masnaa di Lebanon bagi melarikan diri dari serangan tentera Bashar di selatan Damsyik semalam.


DAMSYIK – Sejumlah pelarian Palestin di kem Yarmuk di selatan Damsyik melarikan diri selepas pertempuran sengit antara tentera rejim dan para penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad menggegarkan kem itu malam kelmarin.

Ketiadaan hospital, anggota bomba dan jalan yang tidak selamat menjadikan kem tersebut kini dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.

Seorang penduduk yang dihubungi wartawan agensi berita AFP memberitahu, pihak tentera mengarahkan kesemua 150,000 penduduk berpindah menjelang tengah hari semalam.

Peperangan menentang pemerintahan Bashar yang meletus pada Mac tahun lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 43,000 nyawa.

Beberapa jet pejuang tentera Syria melancarkan serangan udara ke atas kem tersebut.

Dalam serangan pada Ahad lalu, seramai lapan orang awam terbunuh di kem berkenaan di selatan Damsyik.

Ratusan orang pelarian Palestin dilihat memasuki Lebanon semalam dari pintu sempadan Masnaa.

Seramai 2,000 orang pelarian Palestin memasuki Lebanon sejak tiga hari lalu, menurut anggaran sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian tersebut.

Menurut wartawan agensi berita itu, puluhan bas dan kereta membawa pelarian Palestin tiba di Lebanon semalam.

Beberapa penumpang memberitahu wartawan bahawa mereka datang dari kem pelarian Yarmuk yang diserang jet-jet tentera Bashar.

"Terdapat serangan di beberapa kawasan di kem tersebut dan kebanyakan orang meninggalkan kem itu," kata seorang pemuda.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam, kira-kira 100 orang cedera akibat peperangan dimasukkan ke hospital setiap hari di Damsyik sehingga menyebabkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan.

Beberapa laporan menyatakan Rusia telah menghantar beberapa buah kapal perang untuk membawa ribuan warga negara itu keluar dari Syria.

Kelmarin, Naib Presiden Syria, Faruq al-Sharaa menyatakan tidak ada siapa yang bakal memenangi peperangan di negara ini.

Para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan menentang Bashar selepas beliau didakwa gagal untuk membawa pembaharuan pentadbiran dan kebebasan bersuara di Syria. – Agensi

Ratu hadiri mesyuarat Kabinet

Posted:

Ratu hadiri mesyuarat Kabinet

Ratu hadiri mesyuarat Kabinet


RATU ELIZABETH II (dalam bulatan) duduk dalam mesyuarat Kabinet di Downing Street, London semalam.


LONDON - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II (gambar) menghadiri satu mesyuarat Kabinet di sini sempena sambutan jubli intan pertabalan baginda semalam.

Kehadiran baginda merupakan lawatan pertama yang dilakukan oleh seorang kerabat diraja Britain sejak lebih 100 tahun dahulu.

Ratu itu yang berusia 86 tahun itu tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri David Cameron, 10 Downing Street untuk mesyuarat para menteri kanan Kabinet.

Istana Buckingham menyatakan, Ratu Elizabeth II akan menerima cenderamata jubli intan daripada Kabinet sempena 60 tahun baginda berada di atas takhta dan turut hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat itu.

Berdasarkan sejarah, Ratu Victoria yang meninggal dunia pada 1901 pernah menghadiri mesyuarat Kebinet.

Mesyuarat Kabinet pada kebiasaannya berlangsung sekitar sejam setengah tetapi baginda akan menyertainya selama 30 minit sebelum beredar bersama Setiausaha Luar, William Hague untuk melawat Pejabat Kementerian Luar.

Pada mesyuarat kabinet berkenaan, Ratu Elizabeth II duduk di tengah meja mesyuarat bersama Cameron di sebelah kanan dan Hague di sebelah kiri baginda.

Meja yang berbentuk seperti sebuah bot itu diperkenalkan oleh Harold Macmillan, Perdana Menteri yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1963 supaya beliau dapat melihat semua menterinya.

Ratu Elizabeth II pernah beberapa kali berkunjung di Pejabat Perdana Menteri Britain dengan kunjungan terakhir dibuat pada Julai lalu untuk menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Cameron dan turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Gordon Brown, Tony Blair dan John Major.

Seramai 12 perdana menteri berkhidmat di bawah pemerintahan ratu itu.

Ratu Elizabeth II akan menerima kunjungan mingguan oleh Perdana Menteri Britain.

Baginda berhak dan bertanggungjawab menyatakan pandangannya dalam hal ehwal kerajaan.

Tiada orang lain hadir pada pertemuan dengan perdana menteri tersebut, tiada catatan minit pertemuan manakala isi pertemuan mereka tidak pernah dibincangkan. - AFP

Ikan air tawar boleh 'berjalan' ditemui di Vietnam

Posted:

Ikan air tawar boleh 'berjalan' ditemui di Vietnam

Ikan air tawar boleh 'berjalan' ditemui di Vietnam


IKAN kecil yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm ditemui di Surat Thani, selatan Thailand baru-baru ini.


HANOI - Beberapa saintis mengenal pasti sebanyak 129 spesies baharu di kawasan Mekong Besar termasuk ikan air tawar seperti keli yang boleh 'berjalan' di darat, kata Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) semalam.

Maklumat tersebut terdapat di dalam laporan baharu WWF yang memperincikan penemuan pada 2011 itu.

Kawasan Mekong Besar merangkumi sebahagian Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Laos dan wilayah Yunnan di selatan China.

Ikan air tawar itu hidup di beberapa batang sungai di Pulau Phu Quoc, dekat Delta Mekong, dalam wilayah Kien Giang di Vietnam.

Dikenali dengan nama saintifik, Clarias gracilentus, spesies itu mempunyai kebolehan menggunakan sirip-siripnya untuk berdiri tegak dengan haiwan tersebut menggoyang-goyangkan badannya untuk bergerak ke hadapan seperti seekor ular.

Antara spesies baharu yang unik di kawasan berkenaan termasuk ikan terkecil baharu yang berukuran antara 15 milimeter (mm) hingga 20mm panjang dan katak yang boleh 'menyanyi' di utara Vietnam.

Ikan kecil itu ditemui di Surat Thani, selatan Thailand. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved