Rabu, 7 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Mogah pernah ada syarikat bas sendiri

Posted:

Mogah pernah ada syarikat bas sendiri

Mogah pernah ada syarikat bas sendiri

SEKALI pandang, Kampung Mogah yang terletak di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak itu tidak ubah seperti sebuah kampung Melayu lain. Melihat unsur-unsur kemelayuan menerusi pembinaan rumah-rumah yang berkayu ukir itu, orang luar tidak akan menyangka ia sebenarnya sebuah kampung Benggali.

Sungguhpun demikian, kampung tersebut sememangnya sudah dikenali dalam kalangan penduduk setempat memandangkan ia satu-satunya kawasan yang didiami masyarakat yang berketurunan Pakistan.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai salasilah kampung itu, Kosmo! baru-baru ini menemui beberapa penduduk yang masih menetap di kampung yang berusia lebih 60 tahun itu.

Abdul Jalil Jiwa Khan, yang sudah berusia 80 tahun memberitahu, kewujudan kampung itu bermula apabila bapanya, Allahyarham Jiwa Khan Hezara bersama rakan-rakan sekampung yang menetap di Moga, Punjab berhijrah ke Malaysia sekitar tahun 1920.

Sejarah Mogah

Kedatangan mereka keluar dari kampung halaman itu disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Dengan menaiki kapal, mereka berlabuh di Kuala Besut, Kuala Terengganu. Menetap di sana beberapa tahun lalu mereka berhijrah pula ke Behrang Ulu, Tanjung Malim.


SURAU Kampung Mogah yang dibina hasil kutipan penduduk kampung itu.


Sepanjang berada di daerah itu, mereka telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan.

Pada masa yang sama, mereka mula mengintai kawasan-kawasan lapang di sekitar Behrang Ulu untuk dibeli supaya dapat menempatkan kesemua keluarga mereka di satu tempat.

Pada masa itu terdapat tanah kosong seluas 0.8 hektar, lalu tanpa berfikir panjang mereka akhirnya membuat keputusan untuk membeli tanah berkenaan yang bernilai sekitar AS$2,100 (RM6,429).

Bagaimanapun, tanah itu dibeli secara ramai-ramai tetapi di atas satu geran.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil yang lebih dikenali dengan panggilan Gilo memberitahu, selepas pembelian tanah itu, mereka akhirnya menamakan kampung tersebut sebagai kampung Mogah memandangkan mereka berasal dari Moga, Punjab.

Selepas pembelian tanah itu kira-kira pada tahun 1948, mereka mula meneroka tanah berkenaan untuk mendirikan rumah.

"Sebelum ini, kawasan ini sememangnya dipenuhi dengan semak-samun dan jalan masuk ke kampung juga hanyalah jalan tanah merah.

"Namun, selepas pembinaan rumah secara satu persatu, akhirnya kampung ini telah bertukar wajah," katanya sambil memberitahu ketika itu kesemua rumah tersebut diperbuat daripada kayu kerana kosnya murah.

Bandar Moga merupakan daerah yang terdapat di Punjab, India. Rata-rata penduduk di Moga beragama Sikh.

Kebanyakan masyarakat di situ berkecimpung dalam bidang pertanian dan industri ternakan selain pemandu lori dan mengusahakan syarikat bas.

Sehingga hari ini, jumlah rumah di Kampung Mogah dianggarkan 13 buah dan majoriti penduduknya adalah kaum Pakistan.


SEKUMPULAN kanak-kanak bermain di Kampung Mogah yang kini hanya didiami sekitar 50 penduduk tetap.


Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati pemandangan rumah-rumah kampung yang menghiasi landskap Kampung Mogah sejak lebih 50 tahun sudah semakin berubah hari ini.

Ia berikutan kebanyakan penduduk dilihat sudah mengubah suai rumah masing-masing memandangkan keadaan rumah lama yang semakin uzur.

Melihat luaran rumah-rumah sekitar kampung, rata-rata pemilik rumah di situ telah mengecat rumah semula, selain mendirikan pagar yang diperbuat daripada batu dan memasang pintu gerigi besi.

Dalam pada itu, kampung tersebut turut mempunyai sebuah surau yang baru didirikan pada tahun 2006.

Kosmo! difahamkan kos pembinaan surau yang memakan belanja kira-kira RM100,000 itu merupakan hasil kutipan penduduk setempat.

Ghairah berbicara lanjut mengenai sejarah kampung berkenaan, Gilo mengakui nama kampung Mogah tidak pernah tenggelam dalam kalangan penduduk setempat sehingga hari ini.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan nama kampung itu kekal di mulut orang ramai, Gilo berkata, kampung tersebut pernah mempunyai syarikat bas pada tahun 1959.

Bas Mogah

Pada masa itu, syarikat tersebut merupakan satu-satunya pengangkutan yang digunakan dari Tanjung Malim, Slim River dan Sungkai.

Tambang yang dikenakan serendah 20 sen sehingga RM1.10 bergantung kepada lokasi. Gilo memberitahu, ketika itu penduduk Mogah sememangnya dikenali ramai memandangkan badan-badan bas terpampang dengan nama Mogah.

Memiliki lebih 40 buah bas Mogah, bas tersebut menjadi pilihan penumpang yang tingggal di ketiga-tiga kawasan itu untuk ke sekolah, tempat bekerja dan ke bandar Tanjung Malim.

Malahan, kebanyakan penumpang yang terdiri daripada pelbagai kaum sudah mengenali pemandu dan konduktor bas.

Walau bagaimanapun, syarikat bas Mogah hanya dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila pemilik syarikat tersebut yang juga penduduk Mogah membuat keputusan untuk menjual syarikat terbabit.

Kampung Mogah makin sunyi

Bagaimanapun, setelah lebih lima dekad kemeriahan Mogah beransur-ansur sepi hari ini.

Hal ini kerana kebanyakan anak jati Kampung Mogah telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, manakala ramai penduduk yang sudah berusia pula telah meninggal dunia.

Kini kampung itu hanya didiami kira-kira 50 orang penduduk tetap sahaja. Perkara itu turut diakui Norizan Abdul Rahman, 33, yang menetap di kampung itu sejak kecil lagi.

Bagi ibu kepada dua orang anak itu, perkara itu berlaku sejak 10 tahun yang lalu.


AISHAH (kanan) dan Norizan (dua dari kiri) antara penduduk yang masih setia mendiami Kampung Mogah.


Menurutnya, kebanyakan anak gadis kampung berkenaan telah berkahwin dengan lelaki yang berasal dari luar, manakala golongan lelaki pula mencari peluang rezeki di bandar.

Di sebalik kemerosotan bilangan penduduk tetap Mogah, namun sehingga hari ini nama kampung itu tetap popular dalam kalangan masyarakat setempat.

Malah, Kampung Mogah dan identiti masyarakat Benggali begitu sinonim sehingga tidak dapat dipisahkan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved