Selasa, 6 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Tidak pernah putus pembeli

Posted:

Tidak pernah putus pembeli

KALA tangan mencampakkan dedak makanan ke kawasan lapang, ayam-ayam kampung berlari berduyun-duyun mengerumuni makanan yang diberikan. Sekali-sekala, kumpulan ayam yang terlalu bersesak dileraikan bagi mengelakkan ayam itu terlalu berhimpit.

Keriuhan kokokan ayam ibarat, alah bisa tegal biasa bagi Dzali Ismail, 53, kerana sudah menjadi rutin hariannya sejak empat tahun lalu.

Ladang seluas 13,500 meter persegi yang diberi nama Dztrio Agro di Teluk Panglima Garang, Selangor itu diusahakan bersama isterinya, Zainab Mohamed, 50. Kedua-dua mereka merupakan pesara tentera

Agak pelik apabila penulis memasuki reban ayam itu tiada bau yang kurang menyenangkan menusuk hidung seperti kebiasaan ladang ternakan haiwan lain. Ketika melepasi pokok-pokok rendang limau kasturi, barulah penulis faham kebijaksanaan pasangan itu.

"Selain bau daripada pokok limau kasturi, kami turut menyembur cecair efektif mikroorganisma (EM) iaitu sejenis bakteria berfaedah bagi menghilangkan bau dan jangkitan kuman berbahaya kepada haiwan ternakan," ujar sang suami.

Dulu cacing sekarang ayam kampung

Memulakan kisah bisnes ternakan ayam kampung mereka, Dzali memberitahu, dia dan isteri menggunakan modal sendiri sebanyak RM70,000 pada tahun 2008 yang merangkumi pembinaan reban ayam berbumbung dan lantai simen.

Pada mulanya, mereka menceburi pemeliharaan cacing yang suatu ketika dahulu mendapat permintaan tinggi. Namun entah di mana silapnya, pulangan lumayan yang diimpi mendatangkan kerugian besar.

Tidak mahu terus dirundum kekecewaan, mereka lantas mencari alternatif lain bagi meneruskan minat dalam bidang penternakan. Setelah puas berunding, akhirnya pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 14 tahun itu sepakat mencuba nasib menternak ayam kampung.

DZALI memberi dedak kepada ayam kampung yang diternaknya di ladang Dztrio di Teluk Panglima Garang.


"Sebenarnya suami saya yang mencadangkan idea ini kerana tahu penternakan ayam kampung tidak memakan masa yang panjang, selain ia mudah untuk dijaga," jelas ibu kepada tiga anak itu.

Kondusi ayam kampung yang tahan lasak dan sukar dijangkiti penyakit memberi kelebihan kepada penternak.

Malah, Dzali dan Zainab tidak perlu merunsingkan kepala untuk mempercepatkan pembesaran ayam kampung dengan perubatan tertentu seperti mana yang biasa dilakukan ke atas ayam daging.

"Ayam kampung tidak memerlukan sebarang suntikan kerana itu ia menjadi pilihan ramai orang yang mementingkan kesihatan," kata Dzali.

Memilih menternak ayam kampung kacuk, setakat ini mereka sudah mempunyai tiga reban ayam yang dibahagikan mengikut umur.

Selain daripada faktor usia, jenis makanan juga diambil kira sewaktu pengasingan ayam tersebut.

"Sebagai contoh, ayam yang berusia dua bulan diberi makan dedak yang diproses dan dicampur dengan rumput-rumput yang tumbuh meliar di kawasan reban," ujarnya.

Proses penjagaan dan pemakanan ayam kampung adalah mudah dan ringkas. Ia hanya diberi makanan khas selain dibiar mengais makanan sendiri dalam kawasan reban. Namun, yang perlu diberi perhatian adalah anak-anak ayam yang berusia sehari. Ia biasanya akan ditempatkan dalam reban yang ditutup rapat dengan kain kanvas.

Reban tersebut turut dialaskan habuk kayu bagi mengekalkan suhu panas kepada anak ayam sehingga ia berusia 14 hari. Selepas itu, sedikit demi sedikit kain kanvas dibuka bagi memberi udara.

Menurut Zainab, mereka tidak dapat menternak ayam sehingga ia bertelur kerana permintaan yang tinggi daripada pembeli. Oleh kerana itu, ayam yang mencapai usia dua hingga tiga bulan akan dijual kepada pembeli.

"Lagipun, proses ayam untuk bertelur juga memakan masa yang lama iaitu selama enam bulan maka kerana itu kami memutuskan hanya membeli anak ayam daripada pembekal di Pulau Pinang," ujar Zainab.

Selain harga makanan ayam yang sedikit mahal, Zainab turut mengeluh kerana sering berdepan dengan masalah gangguan binatang-binatang liar seperti biawak, ular dan monyet yang memakan telur itik dan anak ayam.

Lumrah alam tidak dapat dielak apabila mereka pernah mengalami kerugian 1,000 ekor mati tahun lalu akibat penyakit sampah yang turut melanda ladang-ladang ternakan berdekatan.

"Mujur pihak veterinar banyak membantu kami dengan memberi ubat-ubatan bersesuaian sehingga masalah ini kembali reda," jelas Zainab lagi.

Ketika ditanya mengenai pulangan pendapatan yang diraih, kedua pasangan itu bersyukur kerana pasaran ayam kampung sentiasa mendapat permintaan yang tidak putus.

Tanpa sebarang promosi atau pemasaran yang meluas, ayam-ayam kampung ternakan ladang Dztrio Agro sentiasa habis terjual.

"Syukur ke hadrat Ilahi kerana setakat ini kami tidak pernah berdepan masalah mencari pembeli kerana kebiasaannya mereka yang mencari ladang kami," jelas Zainab. Beliau menambah, harga ayam kampung jualan mereka adalah lebih murah iaitu RM11 sekilogram baik dibeli secara pukal atau beberapa ekor sahaja.

Biarpun harga seekor ayam kampung dijual pada harga yang agak tinggi berbanding harga ayam daging, ramai yang sanggup membelanjakan duit bagi mendapat khasiat daripada haiwan ternakan itu.

Daging ayam kampung lebih enak

Penggemar ayam kampung akan mudah merasai perbezaan rasa dan kekenyalan daging jika dibandingkan dengan ayam daging.

Walaupun dihidang makanan yang sama setiap hari yakni nasi kosong berlauk ayam kampung, jejaka berasal dari Kelantan, Mohd. Kamal Yacob, 30, tidak pernah berasa jemu dengan resipi itu.

Jelasnya, beliau mengambil lauk-pauk daripada ayam kampung yang dimasak gulai atau goreng setiap kali berkunjung ke restoran ayam kampung kegemarannya.

"Kebetulan terdapat sebuah restoran ayam kampung yang berdekatan dengan rumah saya yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor," ujarnya ketika ditemui oleh Kosmo! baru-baru ini.

Dzulhafiz Hafshim, 30, dan Firdaus Kamarudin, 32, turut mengiyakan bicara Kamal, malah mengakui terdapat perbezaan dari segi rasa daging ayam kampung berbanding ayam daging.

"Isi ayam kampung lebih lembut, malah ia tidak mempunyai banyak lemak seperti ayam biasa.

"Rasanya lebih sedap dan manis terutamanya jika ia digoreng garing, dicicah bersama campuran kicap dan cili api," ujar Firdaus.

Menurut pakar pemakanan dari program dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Shariza Abd. Razak, ayam kampung mempunyai nutrisi yang lebih tinggi berbanding ayam daging kerana cara hidup yang lebih semula jadi.

"Selain itu, ia tidak disuntik dengan sebarang ubat-ubatan sepanjang proses pembesaran," ujarnya ketika dihubungi oleh Kosmo!.

Berbanding ayam daging, tambahnya, ia akan disuntik dengan dua suntikan pada kebiasaannya bagi membantu kelangsungan hidup ayam tersebut.

"Salah satu suntikan tersebut adalah suntikan hormon yang menggalakkan proses tumbesaran ayam. Dalam masa yang sama, ia turut disuntik dengan suntikan antibiotik yang bertujuan untuk mengelakkan sebarang penyakit menjangkiti ayam ternakan," jelasnya.

RESTORAN ayam kampung mendapat sambutan daripada penggemar ayam itu apatah lagi dihidangkan dengan masakan ala kampung.


Suntikan hormon mengambil masa selama 30 hingga 60 hari untuk larut dalam badan ayam dan selamat untuk dimakan. Selepas tempoh masa tersebut, barulah ayam patut dijual kepada pengguna.

"Sayangnya, terdapat peniaga atau penternak yang tergesa-gesa menjual ayam sebelum tempoh yang dibenarkan. Ia boleh memudaratkan kesihatan kerana sukar bagi pengguna mengetahui proses larutan suntikan hormon tersebut dengan mata kasar," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved