Jumaat, 2 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memoirs untuk peminat Bollywood

Posted:

Memoirs untuk peminat Bollywood

LEBIH tiga dekad lalu, pasangan adik-beradik, Linda Loh dan abangnya, Alen Loh gigih menjalankan perkhidmatan fotografi di sebuah premis kecil di tengah-tengah kesibukan kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

Linda yang kini berusia 55 tahun masih mengingati keadaan premis niaga mereka dengan jelas. Sebuah kedai kecil bernombor 62 dengan kaunter dan bilik mengambil gambar di ruang yang sama, ia rancak didatangi pelanggan yang mahu merakamkan gambar untuk pelbagai tujuan.

"Saya dan abang berpindah operasi ke kedai lain yang lebih besar selepas itu, namun masih di kawasan sama. Kini, tapak kedai lama kami sudah menjadi stesen petrol Petronas," katanya mengimbau suasana sekitar tahun 1980-an. Ketika itu, perniagaannya popular dengan nama Foto Lido.

Menurut Linda, kedai yang lebih besar itu membolehkan mereka memiliki peralatan penggambaran yang lebih banyak. Seingatnya, Foto Lido mendapat sambutan yang memberangsangkan, lebih-lebih lagi kerana ia bertempat di Brickfields iaitu kawasan yang sangat ikonik dalam pembentukan ibu negara sejak zaman dahulu.

"Kami banyak menerima kedatangan pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada kaum India atau Cina," tambahnya.

Perkembangan perniagaan adik-beradik itu diteruskan selepas Linda mendirikan rumahtangga dengan Y.K. Cheah, 60.

Tidak lama kemudian, Linda meneruskan legasi perniagaan tersebut kerana abangnya mengambil keputusan untuk menguruskan perniagaan yang lain.

"Kami pernah beroperasi sementara di Pusat Pameran Sentral dan kini di sini," tambah Linda mengenai premis terkininya di alamat di 182, Jalan Tun Sambanthan.

Sebagai pengusaha yang tegar menjalankan bisnes untuk suatu tempoh yang lama, Linda akur dengan konsep penjenamaan semula. Meskipun berat rasa hati untuk menamatkan nama Foto Lido dalam daftar niaganya sebelum ditukar menjadi Memoirs Bridal Gallery (Memoirs), Linda yakin bahawa semuanya tetap sama, malah lebih baik buatnya.

Nostalgia tetap menjadi suatu yang indah untuk dikenang. Papan tanda nama lama itu masih digantung di sudut kiri di pintu masuk Memoirs.

Sewaktu ditemui di premis tersebut, Linda begitu ramah dan sibuk menguruskan perkhidmatan penggambaran perkahwinan bersama para pekerjanya. Hal yang paling mencuri perhatian ialah kedai itu dipenuhi pakaian pengantin tradisional bagi wanita dan lelaki India seperti jippa, lengha dan sari selain gaun pengantin lain.

Tarikan India


FOTO ini menunjukkan Linda di hadapan kedai lamanya, Foto Lido.


Ada sesuatu yang menarik mengenai wanita itu dan pasangannya. Walaupun mereka berketurunan Cina dan tidak mempunyai apa-apa pertalian darah dengan kaum India, mereka berdua memilih untuk menyasarkan khidmat fotografi untuk pasaran pelanggan kaum India.

Buktinya amat jelas apabila melangkah masuk ke aras bawah galeri mereka yang memperagakan koleksi pakaian India, poster dan album praperkahwinan pelanggan India. Sementara itu, ruang khas di tingkat atas pula diubah suai menjadi galeri penggambaran dengan sentuhan tata rias dalaman ala Bollywood.

"Memang ramai yang tertanya-tanya tentang survival kami. Hampir 90 peratus pelanggan kami ialah kaum India. Itu tidak termasuk pelanggan untuk tujuan penggambaran lain," ujar Linda tersenyum.

Ceritanya, sejak Foto Lido memulakan bisnes pada awalnya, mereka sudah mempunyai beberapa pelanggan setia yang kembali kepada mereka.

"Mereka percaya kami membawa tuah. Ini berterusan sehingga kepada anak cucu mereka. Selepas penjenamaan semula, kami teruja melihat generasi ketiga pelanggan kami yang mahu mendapatkan khidmat Memoirs," kata Linda yang berterima kasih kepada pelanggannya atas kepercayaan itu.

Suami Linda, Cheah, pula percaya bahawa Memoirs berkembang maju kerana menawarkan kualiti dan komitmen dalam perkhidmatan.

"Kami terpaksa bersaing dengan beratus-ratus syarikat lain dalam industri yang mencabar ini. Kami meningkatkan kemampuan kami memandangkan telah muncul ramai peniaga kaum India dalam aliran bisnes yang sama dan mereka juga menunjukkan potensi yang baik," ujar Cheah lagi.

Tambahnya, Memoirs sentiasa memastikan permintaan pelanggan ditepati dan dicapai termasuk keperluan dalam jangka waktu singkat. Lazimnya, perkara yang menjadi tarikan para pelanggan India di Memoirs ialah pilihan baju tradisional dan gaun moden yang pelbagai.

Secara kasar sahaja, pakaian tradisional India yang didatangkan khas dari India boleh mencecah beberapa ratus helai, tidak termasuk gaun dan pakaian tradisional Inggeris buat lelaki.

"Kami membeli dan memilikinya sendiri. Pilihan dibuat berdasar rujukan majalah fesyen dari India dan nasihat daripada kawan-kawan kami di Mumbai," kata Linda.

Cipta latar suasana

Di samping itu, Linda juga bertanggungjawab terhadap seluruh proses pengubahsuaian dekorasi dalaman galeri yang menjadi tarikan utama para pelanggan. Setiap sudut dan bahagian diberi sentuhan Bollywood atau Inggeris supaya dapat menjana kepelbagaian latar sewaktu sesi penggambaran.

"Saya sangat peka dengan hiasan dalaman galeri dan tiap kali ada sahaja idea baharu, saya tidak boleh duduk diam," katanya yang mengubah rekaan dalaman galeri setiap lima hingga enam bulan dengan merujuk kepada pelbagai sumber termasuk majalah, filem-filem Tamil dan Hindustan serta berbincang dengan rakan-rakan di India.

Linda dan Cheah mengakui mereka telah berbelanja kira-kira RM100,000 untuk dekorasi dalaman sahaja dan dari semasa ke semasa, mereka cenderung membuat pengubahsuaian.

Sambil bercerita, Linda turut memperkenalkan jurusoleknya, Chin Siew Fung, 41, iaitu antara tenaga kerja yang menjayakan sesi fotografi di Memoirs.

Berpengalaman lebih 15 tahun, Siew Fung tidak kekok mengendalikan seorang pelanggannya yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk penggambaran luar di Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur, U. Munisvary, 30.


MUNISVARY (dua dari kiri) dan pasangannya Shanmugam (kiri) percaya pada sentuhan kreatif Linda dan para pekerjanya.


"Tangan ini sudah terbiasa dengan wajah pelanggan India, justeru saya tidak merasakan menyolek mereka satu tugas yang sukar. Saya suka memberi sentuhan emas pada mata mereka yang lazimnya sedia cantik dan besar sekali gus memberi nilai tambahan kepada kecantikan mereka," katanya mesra.

Selain berpengetahuan tentang solekan buat pelanggan India, Siew Fung juga mahir menyarung sari, lengha atau apa jua pakaian yang dibekalkan di Memoirs kepada para pelanggan.

"Saya tidak memilih sari, tetapi memakai sepasang lengha dan empat gaun. Saya dikhabarkan tentang hasil yang berkualiti di sini dan betapa efisien kualiti kerja mereka. Lagipun dekorasi hiasan dalaman juga amat unik dan benar-benar istimewa," kata Munisvary yang membuat keputusan untuk mengambil gambar bersama pasangannya, N. Shanmugam, 35.

Kedua-dua pasangan, doktor dan jurutera ini merancang untuk berkahwin pada bulan Disember akan datang, juga mengakui, Memoirs adalah pilihan yang disenarai pendek daripada empat galeri lain yang mereka dekati.

"Saya dapati pakej yang ditawarkan oleh mereka agak munasabah dengan jumlah pakaian, penggambaran di studio dan di luar," kata Munisvary.

Selepas bersiap sedia dengan solekan, gaun putih dilengkapi kain layah, aksesori, Munisvary dan pasangannya yang turut kelihatan disolek, keluar meninggalkan Memoirs untuk penggambaran luar ke Taman Titiwangsa bersama juru gambar, Fanco Wong, 35, yang turut berpengalaman luas dalam bidangnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved