Jumaat, 2 November 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Kenderaan mobiliti urban

Posted:

Kenderaan mobiliti urban

Oleh SHAWKATH AZDE

SEPULUH tahun lalu, BMW Group memperkenalkan skuter pertamanya iaitu C1 di IMFA (International Bicycle and Motorcycle Exhibition), Jerman. Pada ketika itu, produk baharu syarikat automotif Jerman itu kelihatan berbeza dengan jentera beroda dua konvensional.

C1 memiliki beberapa ciri seperti sebuah kereta. Antaranya termasuklah bumbung, tali pinggang keledar dan pengelap cermin.

Dua varian C1 dilancarkan iaitu 125 (berkapasiti 124cc) dan 200 (bersesaran 176cc). Kedua-duanya menggunakan transmisi CVT.

Jentera automatik yang disasarkan kepada pengguna bandar itu pernah ditawarkan di beberapa negara Eropah seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan Switzerland.

Biarpun jualan pada tahun pertama berjaya melepasi paras 10,000 unit, jangka hayat C1 tidak bertahan lama. Produksi C1 ditamatkan pada tahun 1994.

Setelah sekian lama meninggalkan segmen skuter, BMW Group membuat kejutan sewaktu Pameran Motosikal Milan (EICMA), Itali pada 2011 apabila memperkenalkan dua taruhan terbaharunya.

Dua model skuter berkapasiti tinggi iaitu C 600 Sport dan C 650 GT berjaya mencuri perhatian umum dan pemerhati pasaran. Itulah skuter premium pertama BMW.

Untuk makluman, BMW Malaysia menerusi bahagian Motorrad ada menawarkan beberapa model motosikal dalam segmen enduro, sport, touring, roadster dan beberapa varian edisi khas untuk pengguna di Malaysia.

Ketua Motorrad BMW Malaysia, Fazli Shukor berkata, sebanyak 40 unit skuter baharu itu diperuntukkan untuk pasaran Malaysia.

Beliau juga mengesahkan bahawa bilangan tempahan yang diterima sudah mencecah 25 buah sehingga hari pelancarannya (Isnin lalu).

"Ada pelanggan sudah membuat tempahan untuk model skuter ini sejak tahun lepas lagi," katanya yang optimis bahawa kedua-dua varian baharu itu akan semakin mudah dilihat di atas jalan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menyentuh soal jumlah jualan motosikal BMW, Pengarah Urusan BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils menyatakan, pihaknya sudah menjual sebanyak 255 unit sehingga September lalu. Ia merupakan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

600 Sport dan 650 GT

BMW C 600 Sport dicipta untuk penunggang yang mahukan sebuah jentera sporty. Sementara konsep keselesaan dan tunggangan jauh menjadi asas rekaan model C 650 GT. Apa pun, setiap varian itu dikhaskan untuk memenuhi keperluan dan cita rasa pelanggan urban masa kini.

Kedua-dua varian skuter tersebut menggunakan khidmat enjin petrol yang sama iaitu jenis DOHC dua silinder sebaris berkapasiti 647cc. Penyampaian kuasa disempurnakan ke aci pacu (drive shaft) skuter menerusi kotak gear CVT.

BMW FlexCase yang didatangkan bersama model C 600 Sport boleh dikembangkan kapasiti ruang simpanan barang dan berupaya menyimpan dua buah topi keledar di dalamnya. Gambar kanan menunjukkan FlexCase sudah dikembangkan manakala gambar sebelah kiri adalah keadaan asalnya.


Kombinasi enjin itu didakwa sebagai paling efisien dalam kelasnya apabila ia hanya membebaskan emisi karbon pada kadar 0.01 gram setiap kilometer (km).

Purata penggunaan bahan api pula sebanyak 4.8 liter bagi setiap 100km dengan syarat kelajuan tidak melebihi 100km sejam (km/j).

Hamburan kuasa dan tork bagi kedua-dua varian juga sama iaitu sebanyak 60hp @ 7,500rpm dan tork 66Nm @ 6,000rpm.

Perbezaannya terletak pada kepantasan pecutan dari titik pegun. C 600 Sport mengambil masa 7.1 saat untuk mencapai kelajuan 100kmj, manakala C 650 GT memerlukan masa selama 7.5 saat.

Maklumat tunggangan dipamerkan menerusi panel instrumen digital pelbagai guna LCD dan meter laju jenis analog.

Informasi yang dimaksudkan adalah status minyak enjin, jarak tunggangan, tarikh dan masa, penggunaan purata bahan api, suhu luaran serta maklumat servis jentera berkenaan.

Ciri tambahan unik adalah kemudahan mengecas telefon mudah alih menerusi soket yang ada pada ruang simpanan barang di bahagian kiri jentera.

FlexCase

C 600 Sport dan C 650 GT turut dilengkapi kemudahan sambungan Bluetooth dengan adanya sistem komunikasi BMW Motorrad yang dipasang pada topi keledar.

Bagi varian Sport, BMW Group melengkapkannya dengan ruang simpanan FlexCase. Maksudnya, ruang simpanan di bawah tempat duduk boleh dibesarkan untuk simpanan lebih banyak barang.

Operasinya harus dilakukan secara manual. Tolak sahaja butang yang ada di bawah tempat duduk dan ruang simpanan dipanjangkan ke bawah. Ia berupaya menempatkan dua buah topi keledar full-face.

Apa yang membezakan kedua-dua model adalah saiz fizikal dan konsep rekaannya.

C 600 Sport memiliki posisi kedudukan untuk tunggangan aktif. Aspek itu dibantu menerusi kedudukan hendal, tempat letak kaki dan pelana.

Penghadang angin di hadapan instrumen meternya boleh diselaras pada tiga tahap penyelarasan secara manual.

C 650 GT yang memiliki kapasiti ruang simpanan seluas 60 liter dipasang hendal yang lebih tinggi dan pelana lebih besar bersama perehat belakang.

Ruang letak tapak kaki juga kelihatan luas dan disediakan pemijak kaki berasingan untuk pembonceng.


TANGKI minyak ditempatkan di bahagian hadapan tempat duduk untuk memudahkan pengisian petrol.


Ini membolehkan postur badan penunggang lebih selesa. Penghadang angin boleh dinaik atau diturunkan secara elektrik.

Harga runcit tanpa insurans bagi BMW C 600 Sport ialah RM65,000 manakala C 650 GT boleh dimiliki dengan nilai RM68,800 seunit.

Audi Q5 generasi baharu kini sedia ditempah

Posted:

Audi Q5 generasi baharu kini sedia ditempah

ANDA boleh memilih pakej S Line jika mahu membuatkan Audi Q5 mempunyai penampilan berbeza.


EUROMOBIL Sdn. Bhd. (Euromobil), pengimport rasmi kenderaan jenama Audi di Malaysia baru-baru ini membuka tempahan untuk generasi terbaharu Audi Q5. Jentera dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) itu diberi beberapa penambahbaikan pada aspek rekaan, prestasi, kuasa dan penggunaan bahan api.

SUV saiz sederhana yang dijangka diedarkan menjelang akhir bulan ini didakwa memberi penjimatan bahan api sehingga tujuh peratus jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Bagaimanapun, hanya satu pilihan enjin ditawarkan kepada pengguna tempatan iaitu 2.0 TFSI.

Enjin yang diberi padanan kotak gear lapan kelajuan tiptronic itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 225hp dan tork setinggi 350Nm. Bagi mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dari titik pegun, SUV itu cuma perlu mengambil masa selama 7.1 saat. Kadar penggunaan petrol bagi setiap 100km pula ialah 7.9 liter.

Model Q5 yang memiliki bumbung seperti sebuah coupe kini diberi sentuhan lampu hadapan LED DRL (daytime running lights). Pembaharuan lain membabitkan penambahbaikan garis mendatar pada badan jentera, gril hitam baharu dan kemasan krom di bahagian tertentu.

Bampar juga diubah dengan peningkatan ruang kemasukan udara yang berwarna hitam. Tona gelap digunakan pada perumah lampu kabus. Bahagian belakang pula membabitkan penggunaan air diffuser dan paip ekzos rekaan baharu. Tidak lupa juga pengunaan material aluminium pada bonet kenderaan.

Perubahan pada ruang kabin Audi Q5 meliputi butang kawalan berwarna krom. Malah, butang kawalan pada stereng kelihatan lebih kemas. Tona hitam kini mendominasi bahagian konsol tengah.

Jika ada yang mahu jentera mereka kelihatan lebih sporty, pakej luaran S line yang berharga RM36,000 mungkin menjadi pilihan. Pakej tersebut merangkumi bampar hadapan dan belakang, gril radiator dan banyak lagi. Audi Q5 ditawarkan pada harga di atas jalan bermula RM328,000 seunit.

Kenderaan keluarga yang sporty!

Posted:

Kenderaan keluarga yang sporty!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN

PENAMPILAN MPV ini nyata berbeza dengan kehadiran bodykit daripada Impul.


TERUS-TERANG diakui bahawa saya bukanlah peminat Nissan Grand Livina. Saya sukar hendak memahami rasional mereka yang membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut. Paling kronik, saya tidak boleh menerima penjenamaannya sebagai sebuah MPV kerana reka bentuk Grand Livina sebenarnya lebih kepada wagon.

Bukan apa, ruang tempat duduk ketiganya terhad. Akses penumpangnya juga sukar, ditambah dengan ruang bagasi belakang yang hampir tidak wujud. Jika berjalan jauh dengan muatan penuh dan sejumlah bagasi, ternyata Grand Livina bukanlah kenderaan yang sesuai.

Namun begitu, dalam situasi dunia sekarang tidak semua keluarga mempunyai anak ramai. Misalnya seorang rakan saya yang baru sahaja membeli Nissan Grand Livina. Dia hanya mempunyai seorang anak kecil dan sedang menunggu kehadiran orang baharu.

Saya fikir begitu juga rasional ribuan keluarga lain di Malaysia yang memilih Grand Livina hingga menjadikan model itu MPV bukan nasional terlaris di Malaysia pada tahun 2010.

Tidak semua mahukan MPV bersaiz penuh seperti bas mini, tambahan pula memandu Grand Livina tidak berbeza sangat dengan memandu kereta sedan.

Tetapi adakah pemanduan seperti kereta sudah cukup untuk anak muda yang baru berkeluarga? Mungkin tidak. Oleh itu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pergi lebih jauh dengan menawarkan Nissan Grand Livina Tuned by Impul.

Transmisi manual

Baru-baru ini saya memandu uji model itu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Lebih manis, ia didatangkan dengan transmisi manual. Sewaktu mula-mula memandu model dengan enjin 1.6 liter tersebut, perkara pertama yang dicuba adalah kekenyalan klacnya.

Untuk memasukkan dan melepaskan gear, klac transmisi manualnya boleh disifatkan sebagai sederhana keras. Perkara kedua yang menarik perhatian saya adalah bunyi peredam ekzos. Memandangkan saya bukanlah penggemar bunyi ekzos yang membingitkan terlinga, maka nota bunyi bass sederhana yang dikeluarkan oleh peredam ekzos Impul Blast II sudah memadai.

Pada awal pengenalan Grand Livina, ramai mengeluh tentang warna ruang dalamannya yang berwarna cerah. Memandangkan model itu disasarkan untuk golongan berkeluarga, jadi agak tidak logik menggunakan skema warna yang kesan kotornya sangat signifikan untuk dilihat.

Daripada perspektif pereka pula, warna cerah memberi efek luas dan mewah. Nissan nampaknya mengambil kira maklum balas pengguna dan langsung menukar tema warna model facelift kepada warna gelap.

Walaupun suasana kabin kini nampak lebih gelap dan kecil, namun apa yang lebih penting adalah hasil 'kerja seni' anak-anak kecil tidak mudah kelihatan. Untuk ergonomik pula, butang-butang kawalan mudah dicapai. Cuma lebih menyenangkan jika dipasangkan set kawalan audio pada stereng yang sudah menjadi ciri standard pada kebanyakan kereta sekarang.

Tempat duduk pemandu dan penumpang selesa biarpun hanya dibalut dengan fabrik. Malangnya, kerusi pemandu dan penumpang depan tidak dibekalkan dengan perehat lengan yang sepatutnya wajib ada untuk sebuah MPV.

TIPIKAL sebuah Nissan, rekaan papan pemuka Grand Livina nyata ringkas.


Menguji pemanduan dan pengendalian adalah perkara yang paling saya gemari. Jurutera-jurutera Impul telah mengubah pakej sistem suspensi standard dan digantikan dengan set penyerap hentak dan spring Impul yang merendahkah Grand Livina sebanyak 25milimeter.

Melengkapkan pengubahsuaian ringan tersebut ialah roda aluminium Impul Aura SX-10 bersaiz 17 inci yang diimport dari Jepun. Roda-roda tersebut dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 GSD3 bersaiz 205/45 R17. Pakej suspensi dan tayar tersebut berjaya mengubah karakter pemanduan Grand Livina daripada rasa stereng yang ringan kepada lebih ideal sewaktu kelajuan tinggi.

Set suspensi dan spring pula banyak membantu dalam dinamik pemanduan. MPV tersebut tidak rasa terapung-apung pada kelajuan tinggi dan kurang olengan.

Kuasa yang dibekalkan oleh enjin HR16DE pula secukup rasa. Bagi mengekstrak lebih kuasa, pemandu harus rajin bermain pedal minyak supaya puncak kuasa dapat dilontarkan dari satu gear ke satu gear.

Cuma, respons pedal kurang terasa dengan lengahan tindak balas yang mungkin dipengaruhi oleh teknologi Drive-by-Wire.

Secara kesimpulannya, pakej talaan Impul pada Grand Livina ini boleh dikatakan bergerak dengan harmoni.

Apa yang saya nampak ialah Grand Livina talaan Impul sesuai sekali untuk mereka yang mempunyai konflik dalam membuat keputusan. Mereka memerlukan kenderaan keluarga dan pada masa yang sama sukakan prestasi dan imej sporty. Rasional tersebut mudah untuk saya fahami.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved