Selasa, 6 November 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Membaca blog di mana sahaja

Posted:

Membaca blog di mana sahaja

Oleh ADLAN JAAFAR

IDEA membina aplikasi telefon pintar untuk pengguna membaca blog sudah lama difikir dan diperkata oleh pengasas bersama Netccentric yang juga pengendali NuffNang, Timothy Tiah, 28, bersama rakan-rakannya.

Namun, lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu mengambil langkah menunggu jika terdapat pihak luar yang akan membangunkan teknologi sedemikian. Membuat sebuah teknologi aplikasi yang berbeza dan baharu sangat mahal dan memerlukan ketelitian yang tinggi.

Sepanjang penantian Timothy, hanya sebuah aplikasi yang dicipta untuk blog iaitu bloglovin' dari Sweden.

Bagaimanapun, Timothy merasakan aplikasi tersebut sangat ringkas dengan menyenaraikan laman blog yang diikuti sahaja.

Selepas menunggu selama tiga tahun, dia dan pasukannya mengambil keputusan untuk mereka sendiri aplikasi tersebut.

Bermula dengan kajian dan penyelidikan, pasukan Timothy yang dianggotai lapan orang pekerja dari Malaysia dan Singapura membina aplikasi seperti yang diimpikan olehnya selama sembilan bulan. Maka, NuffnangX direalisasikan.

Mereka bertindak dan bekerjasama mengikut kepakaran masing-masing seperti pembangun dan pereka aplikasi, pengurusan bakat serta pembangunan perniagaan.

NuffnangX merupakan sebuah aplikasi membaca blog pertama di Asia dan baru sahaja dilancarkan pada 18 September lalu. Ia boleh dimuat turun secara percuma ke semua peranti yang menggunakan sistem OS dan Android.

Cabaran terbesar dalam proses pembangunan aplikasi adalah untuk memastikan setiap komen dan post baharu dikemaskini dalam aplikasi telefon seiring dengan versi laman web.

Kini, para pembaca blog tidak lagi perlu menggunakan kaedah tradisional pada telefon pintar dengan membuka pelayar web (browser).

Mudahkan pengguna mobil

Penulis inibelogsaya.blogspot.com, Hanis Zalikha Zainal, 21, berasakan aplikasi tersebut sangat mudah dan setiap kemaskini blog yang diikutinya sentiasa diketahui walaupun sedang berada di lokasi penggambaran.

TIMOTHY (kiri) bertindak sebagai penggerak idea NuffnangX bergambar dengan pasukan yang membangunkan aplikasi untuk telefon pintar itu.


Hanis yang berasal dari Shah Alam, Selangor telah menambah satu lagi cabang dalam portfolio iaitu sebagai pengacara rancangan MadMarket di saluran TV9.

"Saya sentiasa on the go, jadi NuffnangX memudahkan saya mengikuti perkembangan para blogger lain. Jadi, apabila pulang ke rumah, saya hanya perlu mengemaskini blog," ujarnya dalam perbualan dalam talian telefon kepada Kosmo!

NuffnangX mempunyai reka letak yang lebih kemas dan memudahkannya membaca kemaskini terbaharu. Laman blog tidak perlu dibaca pada pelayar web lagi, kata Hanis yang sebelum ini menggunakan browser Safari.

Hanis sudah empat tahun menulis blog dan pernah beberapa kali tercalon dalam Anugerah Blog Nuffnang Asia Pasifik yang dianjurkan secara dwitahunan.

Langkah berani pasukan Timothy mengeluarkan bajet untuk sebuah aplikasi yang pasti tidak memberi keuntungan pantas itu semata-mata mahu orang ramai dapat membaca blog di mana-mana.

Selepas dua minggu ia dilancarkan, sudah lebih 15,000 pengguna memuat turun dengan kenaikan berkala secara tetap iaitu sekitar 1,000 orang dalam sehari.

Kebanyakan yang memuat turun ialah pengguna dari Malaysia, Singapura dan Filipina.

Tempoh yang panjang diperlukan untuk membina aplikasi tersebut adalah kerana ia perlu melalui beberapa fasa seperti pembangunan teknologi, penyelarasan sistem dan terakhir, ujian operasi.

Seakan-akan menggunakan laman blog mikro, Twitter, NuffnangX membolehkan pengguna mengikuti blog kegemaran dan setiap kemaskini terbaharu akan dipaparkan kepada peranti pemilik.

Ciri paling penting yang dapat dilihat pada aplikasi tersebut ialah teknologi Elevator Pitch yang boleh memaparkan sepotong ayat dalam sebuah kemaskini.

"Jadi, pengguna dapat membaca tajuk dan isi penting cerita sebagai pengenalan pada keseluruhan kemaskini," kata pengurusan bakat Netccentric, Shahzeeq Shahren, 24, ketika ditemui di pejabat pengendali Nuffnang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berfungsi seperti newsflash (berita kilat), Elevator Pitch akan mengesan isi-isi penting atau ayat-ayat menarik dalam sebuah kemaskini secara automatik untuk dijadikan sebagai intro blog dalam aplikasi NuffnangX.

Berbeza dengan newsflash yang hanya dapat memaparkan ayat pertama dalam sebuah tajuk berita. Newsflash sangat relevan untuk berita kerana format penulisannya yang memerlukan semua maklumat dikarang pada perenggan pertama.

Format mengarang blog pula agak santai, tidak terikat dengan formaliti dan kadangkala isi penting sesebuah kemaskini tidak berada pada perenggan pertama bergantung kepada gaya penulisan blogger.

Lebih interaktif

Inti pati sebuah cerita tidak semestinya berada pada perenggan pertama, malah kadangkala wujud dalam bentuk petikan. Jadi, Elevator Pitch amat diperlukan supaya bersesuaian dengan konsep mobil telefon pintar.


NUFFNANGX banyak membantu Hanis dalam memastikan dia sentiasa mendapat maklumat terkini blog yang dilawatinya.


Teknologi yang masih lagi dalam proses mempaten itu mampu mengesan daripada sebuah kemaskini yang mempunyai beribu-ribu perkataan.

Setakat ini, Elevator Pitch sangat sesuai pada blog bahasa yang ditulis menggunakan abjad Rumi seperti bahasa Melayu, Indonesia, Tagalog dan Inggeris.

Melalui NuffnangX juga, pengguna sama ada pembaca atau pemilik blogger dapat berinteraksi dengan menggunakan ruangan komen.

"Ruangan komen dipermudah menjadi seperti sebuah ruangan chat. Ruangan chat itu pula wujud dalam sebuah senarai komen yang dibuat pada sebuah kemaskini," terang Shahzeeq bersungguh-sungguh.

Justeru, pemilik blog tidak lagi akan terlepas untuk memberi maklum balas kepada para pembaca.

Terdapat beribu-ribu bilangan blog yang terdapat dalam jaringan internet. Setiap satunya mempunyai perbezaan dari segi aspek penulisan bahasa dan tema yang mahu disampaikan.

Pada blog-blog dalam tema yang sama pula, amat sukar untuk para pembaca mencari blog yang bermutu dari segi bahan penyampaian mahupun gaya penulisan.

Bagaimanapun, aplikasi NuffnangX membantu pembaca dengan mengesyorkan blog terpilih di seluruh dunia berdasarkan kepada carian yang paling kerap dibuat oleh pengguna telefon pintar.

"Dengan pengenalan NuffnangX, saya menyasarkan pembaca blog melalui peranti mudah alih meningkat sehingga 50 peratus," kata Timothy meletakkan harapan.

Kreativiti olah kotak minuman

Posted:

Kreativiti olah kotak minuman

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PEMENANG bagi setiap kategori Junior, Senior dan Anugerah Istimewa MRM bergambar beramai-ramai pada akhir majlis.


SEKALI pandang, replika rumah anak patung yang dibina Nur Natasya Amera Azman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong itu kelihatan biasa sahaja.

Rumah kecil yang dilengkapi katil, meja solek, tingkap dan beberapa perhiasan lain termasuk satu figura anak patung berambut perang itu dipamerkan di satu sudut ruang legar Publika, Solaris Dutamas.

Bagaimanapun, jika dilihat dengan teliti, replika yang dihasilkan pelajar terbabit ada tarikan. Ia sangat kemas dan mempunyai susun atur yang sangat menarik. Itu kelebihan terhadap model kediaman anak patung milik pelajar berusia 11 tahun yang membolehkan Nur Natasya Amera muncul juara bagi kategori Junior dalam program Out of the Carton: Eco Design Competition 2012.

Dilancarkan awal bulan Jun lalu, pertandingan yang terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan institusi pengajian tinggi (IPT) itu mengajak mereka mencabar minda dan berfikir di luar kotak bagi menghasilkan produk yang bernilai daripada kotak minuman yang telah digunakan.

Bagi kategori Junior, ia bertemakan My Favourite Toy manakala Protects What's Good merupakan tema kategori Senior.

Menurut Nur Natasya Amera, dia hanya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan rekaan tersebut. Idea untuk mencipta rumah anak patung itu timbul lantaran dia sendiri meminati permainan anak patung.

Pentingnya kitar semula

"Saya menggunakan lebih daripada 50 kotak minuman terbuang untuk menghasilkan rekaan ini. Selain mengutip kotak-kotak minuman di sekolah, saya juga meminta ibu membelikan kotak minuman pelbagai jenama," ujarnya sambil mengakui program tersebut mampu mendidik para pelajar menyedari kepentingan kitar semula.

Kemenangan itu membolehkan Nur Natasya Amera menerima wang tunai bernilai RM3,000, sijil penyertaan, hamper bernilai RM500 serta sebuah bangku yang diperbuat daripada kotak minuman kitar semula bernilai RM2,000 untuk diletakkan di sekolah.

Tempat kedua pula dimenangi oleh dua sahabat baik, Najmi Shafulizan & Amir Khalid dari SK Bandar Tun Razak dengan rekaan bertajuk Keep Clean, Keep Green. Mereka menerima wang tunai RM2,000 dan hamper bernilai RM200 manakala Leong Ka Hei dari SK Assunta 1 menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM1,000 serta sijil penyertaan melalui rekaan Solar Organizer Train yang dihasilkan.

Untuk kategori Junior, penyertaan Lee Jie Teng yang menampilkan rekaan Folding Night Lamp dinobatkan sebagai juara sekali gus meraih wang tunai bernilai RM5,000, lawatan dua hari satu malam ke Singapura, sijil penyertaan dan sebuah bangku daripada kotak minuman kitar semula bernilai RM2,000.

Pelajar dari Malaysian Institute of Art berusia 22 tahun itu mengakui kemenangan yang diperoleh langsung tidak dijangka. Ini kerana dia menyertai pertandingan sekadar untuk mencabar kreativiti diri.

Contoh model

"Saya sangat gembira kerana rekaan yang diilhamkan daripada kipas tangan China itu menarik perhatian para juri. Sebelum menyiapkan rekaan sebenar, saya turut membuat contoh model beberapa kali bagi memastikan keberkesanan produk tersebut," jelas Jie Teng yang mengambil masa kira-kira tiga minggu menyiapkan Folding Night Lamp itu.

Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas, Kelantan, Siti Nurhaslinda Kamaruddin yang mencipta Arch Clutch pula memenangi tempat kedua dan menerima wang tunai RM3,000 serta sijil penyertaan manakala rekaan Pencil Case oleh Tan Yien Jieh dan Pang Jia Ling dari The One Academy menduduki tempat ketiga. Mereka memperoleh wang tunai RM2,000 dan sijil penyertaan.

Pertandingan ini dianjurkan buat pertama kalinya oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tetra Pak) dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) yang turut mendapat penajaan jenama minuman Delite, Dutch Lady, Homesoy, Marigold, Milo, Seasons dan Yeo's.

Menurut Pengarah Urusan Tetra Pak (Malaysia, Singapura, Filipina) Sdn. Bhd., Gaine Clarke, pertandingan itu dicipta khusus untuk mencabar kreativiti peserta dalam menukar 'sampah' kepada sesuatu yang berharga.

"Kami menerima lebih 200 penyertaan bagi kedua-dua kategori dan sebagai penganjuran sulung, ia boleh dibanggakan. Apa yang pasti, rata-rata peserta berjaya menghasilkan produk yang menarik dan mempunyai faktor wow.

"Lantaran itu, ia sedikit-sebanyak menyukarkan kami dalam membuat penghakiman," terang Clarke sambil memberitahu pihaknya mungkin menjadikan pertandingan ini sebagai salah satu acara tahunan mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan MRM, Futom Shikh Jaafar turut memuji inisiatif Tetra Pak.

"Kami sangat gembira kerana berpeluang menjalin kerjasama dengan Tetra Pak melalui pertandingan yang menggabungkan inovasi rekaan terbaik dan kreativiti daripada alam sekitar," ujarnya yang menyokong program-program memupuk bakat anak-anak muda.

Inovasi iPod Nano generasi ke-7

Posted:

Inovasi iPod Nano generasi ke-7

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN

GENERASI ketujuh iPod Nano tampil dengan skrin sentuh, ruang simpanan lebih besar dan warna yang lebih terang.


KETIKA mula-mula diperkenalkan oleh Sony sekitar tiga dekad lalu, Walkman telah berjaya memenangi hati jutaan penggemar muzik seantero dunia.

Lebih tepat lagi, stereo peribadi dengan pita kaset itu telah menjadi titik tolak kepada evolusi pemain media digital hari ini.

Pernah menjadi kegilaan remaja suatu ketika dulu, Walkman membolehkan pengguna memainkan kaset hampir di mana-mana sahaja.

Sungguhpun agak besar apabila diklipkan pada tali pinggang pemakainya dan bekalan kuasa bateri yang terhad, ia mendapat sambutan yang hangat, malahan ia dikatakan lebih popular berbanding penggantinya - Discman yang memainkan cakera padat (CD) lagu.

Pada 2001, Apple telah membuka lembaran baharu dalam dunia gajet digital apabila memperkenalkan iPod Nano – pemain media mudah alih yang membolehkan pengguna menikmati muzik MP3 kegemaran mereka menerusi storan dalaman dan bukannya menerusi kaset atau CD.

Inovasi itu menyelesaikan dua kekangan yang sebelum ini wujud iaitu saiz peranti itu sendiri dan masa operasinya. Tanpa mekanisme pemutar yang digunakan di dalam pemain kaset atau CD, saiz pemain multimedia itu dapat dikecilkan sekali gus memudahkannya untuk disimpan.

Ia juga dapat mengurangkan penggunaan kuasa bateri di samping memanjangkan tempoh penggunaannya sebelum baterinya perlu dicaj semula.

Generasi ketujuh

Apple tampil sekali lagi menerusi keluaran iPod Nano generasi ketujuh mereka baru-baru ini. Didatangkan dengan paparan skrin LCD berukuran 2.5 inci dengan resolusi 432 x 240 piksel, iPod Nano itu menawarkan kaedah kawalan pelbagai sentuhan skrin kapasitif yang lebih responsif.

Pengguna juga bukan sahaja boleh mendengar audio dalam format WAV, AAC, MP3, AIFF dan AA, malah boleh menonton video dalam format MP4, M4V dan MOV. Siaran radio juga boleh didengar secara terus.

Dengan storan berkapasiti 16GB, ia sudah cukup untuk memuatkan kira-kira 4,000 buah lagu atau sekitar 16 jam rakaman video. Ini membolehkan pemiliknya menyimpan lagu atau video kegemaran mereka tanpa perlu risau akan ruang simpanan yang tidak mencukupi.

iPod Nano generasi ketujuh itu juga dikatakan mampu membekalkan kuasa untuk memainkan video sehingga 3 jam setengah atau 30 jam untuk memainkan audio.

Sungguhpun iPod dan pemain media mudah alih lain pernah mendapat tempat di hati pengguna, tetapi dengan kecanggihan telefon pintar hari ini yang mampu melakukan pelbagai tugasan termasuk memainkan fail video dan muzik dengan sokongan storan yang besar, penulis tidak pasti berapa lama lagi pemain mudah alih seperti ini mampu bertahan. Apa yang pasti, hanya inovasi yang berterusan mampu memastikan survival produk mereka.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved