Sabtu, 3 November 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Andy digantikan Aaron

Posted:

Andy digantikan Aaron

SEKALI pandang, wajahnya mirip bintang Taiwan, Lee Hom. Jika diperhatikan pada setiap sudut wajahnya, pasti ada yang tidak menduga bahawa anak muda itu sebenarnya mempunyai darah kacukan Melayu.

Aarif Rahman. Itu sebaris nama yang meniti lancar, khususnya di bibir penduduk kota metropolitan Hong Kong. Sejak dia memulakan kariernya pada awal tahun 2009, pelakon merangkap penyanyi itu sewajarnya diberi perhatian.

Fakta yang perlu dikongsi, Aarif mempunyai darah kacukan Melayu-Arab-Cina sebelah bapanya yang telah berkahwin dengan ibunya iaitu seorang warganegara Hong Kong. Aarif, 25, turut dikenali dengan nama komersial Aarif Lee dan nama Mandarinnya, Li Zhi Ting.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu pernah melanjutkan pengajian dalam bidang fizik di Kolej Imperial London selepas menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat rakaman Hong Kong, Amusic.

Sekembalinya dari London, bakat Aarif dalam bidang seni suara kian menyerlah dan hasilnya, album sulung berjudul Everything yang dicipta, disusun dan ditulis sendiri liriknya telah diterbitkan sekitar tahun 2010.

Nasib tidak menyebelahi Aarif apabila dia ditahan polis akibat memandu dalam keadaan mabuk pada penghujung tahun 2011 dan kontraknya bersama syarikat rakaman Amusic ditamatkan serta-merta.

Bakat yang bukan hanya tertumpu dalam bidang nyanyian bagaimanapun, membolehkan Aarif mencuri tumpuan penerbit dan pengarah filem untuk mengambilnya berlakon dalam beberapa naskhah filem seperti Echoes of the Rainbow, Frozen dan filem pecah panggung, Bruce Lee, My Brother.

Andy Lau, Aaron Kwok

Bakat seni lakon yang kian menyerlah menampilkan kredibiliti dan kualiti persembahan Aarif dalam pelbagai naskhah filem akhirnya berjaya merealisasikan impian Aarif berlakon di samping dua bintang gred A Hong Kong, Andy Lau dan Aaron Kwok.


BINTANG muda masa depan industri perfileman Hong Kong ini sedang gigih menggilap bakat lakonannya.


Menerusi filem yang bakal memasuki pawagam seluruh negara pada 8 November ini, Aarif memegang peranan Billy Cheung iaitu seorang Ketua Penyiasat Suruhanjaya Bebas Anti Korupsi (ICAC) Hong Kong.

Billy perlu memerhatikan pergerakan dua anggota Pesuruhjaya iaitu Sean Lau (Aaron Kwok) dan Waise Lee (Tony Leung) yang bersaing untuk mengetuai operasi menyelamat sebuah van berisi senjata yang telah dirompak. Kedua-duanya pula dalam masa yang sama disyaki menjadi dalang beberapa kes jenayah.

Pertama kali berlakon dalam sebuah filem aksi moden seperti Cold War menuntut Aarif membuat kaji selidiknya sendiri selain banyak bertanya.

"Cold War adalah satu operasi khas berskala besar dan satu peperangan yang unik. Pada masa yang sama, filem ini menggabungkan barisan tenaga elit dari belakang tabir dan juga barisan aktor yang cemerlang. Ia menjadikan Cold War sebuah filem yang begitu luar biasa hebatnya," ungkapnya dalam sebuah temu ramah bersama media antarabangsa baru-baru ini.

Tambahnya, filem yang telah mendapat perhatian ramai selepas tayangan perdananya pada Busan International Film Festival ke-17 di Korea Selatan itu mempunyai kekuatan bukan dari segi pelakon malah garapan skrip.

"Saya juga mempunyai pendapat yang serupa dengan yang lain dan sejurus tamat membaca skrip, saya boleh rasakan jalan ceritanya yang segar dan betul-betul berkisar tentang kisah polis Hong Kong," katanya.

Filem arahan bersama Longman Leung dan Sunny Luk itu mengisahkan sebuah operasi pihak berkuasa Hong Kong dalam usaha untuk mendapatkan kembali sebuah van berisi senjata berteknologi tinggi yang dirompak oleh penjenayah.

Operasi yang diberi nama Cold War itu bakal menentukan kenaikan pangkat dua pegawai utama iaitu Sean Lau dan Waise Lee. Tanpa disedari, sebenarnya mereka sedang diperalatkan oleh pihak lain yang ingin mengambil kesempatan atas kelalaian mereka.

Cold War turut diperkuatkan barisan pelakon terdiri daripada Eddie Peng, Lam Ka Tung, Andy On, Terence Yin dan Charlie Young.

Buah hati misteri

Menggali lebih mendalam kisah peribadi kehidupan Aarif di Hong Kong, timbul tanda tanya akan kesahihan hubungan cinta pelakon tinggi lampai itu yang dikatakan terjalin dengan seorang gadis yang sering kelihatan meluangkan masa bersama-samanya.

Banyak kali sebelum ini Aarif menyangkal dakwaan bahawa hatinya sudah dimiliki, sebaliknya menegaskan bahawa dia masih solo.

Andai dilihat daripada corak permainan cintanya, Aarif yang sudah beberapa tahun intim dengan gadis misteri itu memilih untuk menyembunyikan kisah hati dan perasaannya meskipun dia kini sudah menjadi artis terkenal.


AARIF RAHMAN mula menceburkan diri dalam dunia hiburan Hong Kong sebagai penyanyi.


Tercalon untuk mendapatkan gelaran Quality Idol berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam bidang muzik, Aarif semakin pintar mengunci mulutnya daripada berbicara hal peribadinya itu biarpun kepada pihak pengurusannya sendiri.

Memandangkan gadis itu juga sekadar orang biasa, tindakan itu juga dilihat satu langkah untuk mengelak daripada tanggapan menumpang populariti dan kekayaan Aarif.

Itu hak Nabila - Izreen

Posted:

Itu hak Nabila - Izreen

Oleh HARYATI KARIM


IZREEN berlakon di samping Nabila Huda dan Johan As'ari dalam drama bersiri, Julia.


AKTRES Izreen Azminda, 27, nampaknya semakin popular selepas mendirikan rumah tangga dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharudin pada 30 Ogos lalu.

Terkini, namanya menjadi sebutan gara-gara watak antagonis, Sofia yang dibawakan dalam drama berjudul Julia lakonannya bersama aktor Fizo Omar dan Nabila Huda.

Bagaimanapun, Izreen yang pernah dihambat kontroversi cinta dengan aktor Johan As'ari berharap selepas bergelar isteri orang, dia enggan lagi dikaitkan dengan mana-mana kontroversi yang boleh mencalarkan reputasinya.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan kehidupan selepas berkahwin?

IZREEN: Alhamdulillah, semuanya okey. Walaupun jadual lakonan saya agak padat, saya masih sempat menguruskan suami. Suami juga amat memahami kerana bekerja dalam bidang yang sama.

Berlakon dalam drama Julia bersama Nabila Huda yang kini rapat dengan Johan, bagaimanakah hubungan kalian?

Saya dan Nabila tidak ada sebarang masalah, malah saya cukup senang dengan sikapnya. Soal dia berkawan rapat dengan Johan, itu hak Nabila bukannya urusan saya. Perkara yang lepas saya tidak mahu fikir lagi.

Jika anda bertemu dengan Johan di sebarang acara hiburan adakah akan bertegur sapa?

Bagi saya apabila bekerja seperti menghadiri acara hiburan, saya mengambil sikap profesional. Namun, suami saya menasihatkan saya supaya tidak berlakon dengan Johan untuk mengelakkan kontroversi bukan sebab marah atau berdendam.

Maknanya selepas ini, watak lakonan akan lebih terbatas selepas bergelar isteri?

Rasanya semua orang yang berkahwin akan menjaga batasan, begitu juga dengan saya. Saya bersyukur kerana berkahwin dengan suami yang faham kerjaya sebagai pelakon. Selalunya saya akan berbincang dengan suami terlebih dulu sebelum menerima tawaran. Terbaru, saya akan berlakon di hadapan suami yang akan menjadi jurukamera dalam drama Sehangat Asmara lakonan bersama Adi Putra dan Rita Rudaini.

Aznil bidas pengacara persendakan artis

Posted:

Aznil bidas pengacara persendakan artis

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

DARI kiri: Aznil, Adibah, Dahlia dan Awal bakal menggalas sebagai hos sepanjang majlis AIM 19 yang dijadualkan berlangsung pada 17 November ini.


BUAT julung-julung kalinya tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM) digalas oleh Aznil Nawawi.

Tidak berseorangan, Aznil bakal bergandingan dengan penyanyi hebat Adibah Noor untuk mengacarakan malam AIM yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 17 November ini.

Seiring dengan usia AIM yang sudah 19 tahun dianjurkan, janji Aznil, dia akan menampilkan kelainan untuk memengekalkan prestij anugerah tersebut.

Aznil juga mengakui tidak mahu menjadi seorang pengacara yang suka mempersendakan artis-artis atau sesiapa sahaja seperti yang dilakukan oleh pelawak-pelawak yang menjadi pengacara.

"Kalau boleh saya mahu kembalikan format mengacara majlis satu ketika dahulu yang mana ia bergantung kepada skrip tetapi dibuat secara bersahaja.

"Zaman memperlekehkan orang sudah habis. Sekarang pun sudah banyak pelawak yang lakukan macam itu.

"Sudah tiba masanya tugas itu digalas oleh pengacara sebenar dan di situlah cabaran kami untuk menjaga momentum majlis agar tidak lesu dan hambar," jelasnya yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tidak mahu lagi penyampai-penyampai anugerah menjadi bingung di atas pentas, sekadar bercerita mengenai baju dan bertanya khabar, ungkap Aznil, dia dan Adibah akan mengambil peranan sebagai penyampai bersama untuk menampung kekurangan yang ada supaya majlis tersebut dapat dikawal.

Aznil dan Adibah akan mempertaruhkan gaya bersahaja dan usik-mengusik penyampai-penyampai anugerah dalam menerajui acara tersebut.

Ditanya sama ada dia tidak takut pembaharuan yang bakal ditonjolkannya nanti tidak menjadi, kata Aznil, dia lebih suka mencabar diri melakukan benda baharu daripada membiarkan majlis tersebut meleret dan tidak terkawal.

Jelas Aznil lagi, AIM 19 seharusnya dilihat secara matang dan dia mahukan acara yang berlangsung selama dua jam setengah itu tidak berada di takuk lama.

"Saya akan cuba jadikan ia ceria tetapi dalam masa yang sama tidak menimbulkan kontroversi," ujarnya yang tidak mahu AIM 19 dilihat sebagai anugerah yang diperlekehkan.

Sementara itu, Adibah yakin dengan gandingannya bersama Aznil berdasarkan keserasian antara satu sama lain.

"Saya percaya keserasian antara kami memudahkan lagi tugas mengendalikan AIM 19 walaupun ini adalah pertama kali kami digandingkan.

"Gaya usik-mengusik dan spontan yang kami pertaruhkan nanti akan memberiken kelainan dan mengawal momentum acara," katanya.

Bertemakan Black & White Glam Glizt, AIM 19 akan bersiaran langsung pada pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Mustika HD (saluran 134).

Ia bermula dengan segmen Karpet Glamor pada pukul 8.30 malam yang diacarakan oleh Awal Ashaari dan peserta program On Air, Dahlia Syazwan.

Antara barisan artis yang akan membuat persembahan pada malam itu termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Mojo, Jimmy Palikat, One Nation Emcess, Shila Amzah, Lefthanded dan Jaclyn Victor.

Majlis AIM 19 turut diserikan dengan 17 orang barisan penyampai termasuk Datuk Fazley, Faizal Tahir, Datuk Hattan, Norman Abdul Halim dan Nora Danish.

Sementara menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim, AIM sudah tentu menjadi sebuah rancangan anugerah muzik yang sentiasa dinanti-nantikan semua saban tahun.

Disebabkan itu, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) meneruskan usaha untuk menampilkan persembahan hebat daripada barisan artis terulung buat tontonan peminat-peminat muzik tanah air.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved