Selasa, 23 Oktober 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tiada kebenaran TNB bina kabel bervoltan tinggi

Posted:

Tiada kebenaran TNB bina kabel bervoltan tinggi

23/10/2012 7:06pm

SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan memberi kebenaran kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina kabel bervoltan tinggi merentasi beberapa kawasan di Cheras yang berada di bawah bidang kuasa negeri.

Katanya, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar tidak memberi kelulusan kepada TNB selepas menerima bantahan dan aduan penduduk setempat pada 2010.

"Tetapi TNB baru-baru ini telah meneruskan kembali pembinaan kabel tersebut di Cheras yang berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terutama di kawasan Taman Connaught manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Khalid mencadangkan TNB dan DBKL bertemu dengan penduduk terlibat dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perkara itu demi kebaikan semua pihak.

Media melaporkan projek pembinaan kabel berkuasa tinggi oleh TNB di sekitar Cheras mendapat bantahan kira-kira 500 penduduk di kawasan berhampiran iaitu Cheras Hartamas dan Taman Bukit Segar Jaya. — BERNAMA

JPAM Kelantan siap sedia hadapi banjir

Posted:

JPAM Kelantan siap sedia hadapi banjir

23/10/2012 6:46pm

KOTA BAHRU — Kira-kira 1,000 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kelantan kini diletak dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi banjir ekoran musim tengkujuh yang dijangka bermula pada bila-bila masa.

Pengarah JPAM Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, pihaknya mula membuat persediaan sejak awal bulan ini dan bersiap sedia sehingga berakhirnya tengkujuh yang dijangka pada Mac tahun hadapan.

"Kita juga mempunyai kira-kira 20 bot yang akan digunakan untuk operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di seluruh negeri. Setiap daerah dibekalkan dengan dua buah bot bagi tujuan tersebut," katanya di sini hari ini.

Zainuddin berkata, selain bot menyelamat, pihaknya turut mempunyai enam kenderaan darat seperti lori, van dan ambulans sebagai persiapan jika berlaku kecemasan.

Beliau berkata, selain sukarelawan daripada kalangan orang awam, pihaknya juga akan mengerahkan satu platun sukarelawan Siswa Siswi Pertahanan Awam untuk turut memberi bantuan ketika musim banjir.

"Kira-kira 30 pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknologi MARA Machang dan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian akan dikerah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir," katanya. — BERNAMA

Filem Tanda Putera ditayang di UiTM

Posted:

Filem Tanda Putera ditayang di UiTM

23/10/2012 6:24pm

SHAH ALAM — Filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Suhaimi Baba akan ditayangkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena Malam Promosi Filem 2012 pada 8 November ini.

Tayangannya dianjurkan oleh pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM dengan kerjasama pengeluar filem Pesona Picture Sdn. Bhd., di Dewan Sri Budiman mulai pukul 6 petang hingga 11 malam.

Filem tersebut mengisahkan peranan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman memulihkan negara selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menurut kenyataan UiTM, pelbagi acara sampingan akan turut diadakan sempena tayangan itu seperti cabutan bertuah untuk penonton dengan hadiah utama berupa empat buah telefon bimbit serta sesi tandatangan bersama barisan pelakon dan persembahan daripada para pelajar fakulti itu.

Harga pas masuk ialah RM10.

Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk di laman Facebook menerusi carian "Malam Promosi Filem 2012: Tayangan Eksklusif Tanda Putera" atau menghubungi koordinator pemasaran Noorli Mokhtar di talian 019-3674843 untuk tempahan awal. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved