Ahad, 21 Oktober 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Persinggahan riang waktu membeli-belah

Posted:

Persinggahan riang waktu membeli-belah

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SUDAH menjadi rutin mingguan Danny Loo, 37, sekeluarga untuk membeli barangan basah dan kelengkapan rumah sebanyak dua kali seminggu.

Destinasi pilihan mereka sudah tentu AEON Taman Maluri, Cheras kerana ia terletak berhampiran dengan kediaman mereka.

Setiap kali berkunjung ke pusat beli-belah itu, Danny dan isterinya turut membawa anak sulung mereka, Natania Loo yang baharu mencecah usia 17 bulan.

Namun, untuk memastikan isterinya dapat membeli barangan dapur atau pakaian dengan lebih selesa, Danny biasanya akan membawa Natania ke taman permainan yang ada di AEON.

Permainan


KOLAM bola antara permainan pilihan yang terdapat di Wai Wai Park, pusat beli-belah AEON.


"Setiap kali kunjungan kami ke AEON, saya pasti membawa Natania ke taman permainan Molly Fantasy. Sudah lebih dua bulan saya menjadikan ia sebagai rutin jika ke sini.

"Natania sangat gembira bermain dengan segala kelengkapan yang disediakan. Pada masa yang sama ia membantu perkembangan mental dan fizikalnya," ujar Danny yang bekerja dalam sektor teknologi maklumat.

Molly Fantasy terbahagi kepada dua bahagian iaitu Wai Wai Park dan arked permainan video. Ia terletak di tingkat dua AEON Taman Maluri.

Molly Fantasy juga terdapat di 22 cawangan AEON yang lain di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Kebiasaannya Danny serta anak kesayangannya itu akan menghabiskan masa selama dua jam di Wai Wai Park yang menawarkan pelbagai permainan kanak-kanak seperti kolam bola, permainan kereta mini, permainan bongkah, istana belon dan sudut bacaan.

Menurutnya, semenjak kunjungan mereka ke taman permainan itu dua bulan lalu, dia dapat melihat kemajuan minda anaknya.

"Di sini, saya mendapati Natania lebih berdikari dan bebas bermain. Saya hanya mengawasi pergerakannya sahaja tanpa mengawalnya seperti di rumah.

"Saya juga tidak perlu bimbang kerana kawalan keselamatan dititikberatkan oleh pihak pengurusan.


PERMAINAN gelung belon sering mencuri tumpuan kanak-kanak di Wai Wai Park.


"Natania dapat bersosial dengan kanak-kanak lain semasa bermain. Ini merupakan salah satu cara saya mengajarnya untuk berkawan pada usianya yang baru setahun lebih," jelasnya.

Kebersihan

Kisah yang sama dikongsi oleh seorang lagi bapa iaitu Yang Azhar Abdul Razak, 28. Dia membawa anaknya, Yang Darwish ke Molly Fantasy sementara menunggu isterinya pulang dari tempat kerja.

Semasa ditemui, dia sedang mengambil cuti selama sehari untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran kedua-dua anaknya itu.

"Pada tahun ini, saya membawa Yang Darwish ke Wai Wai Park untuk menyambut hari jadinya. Ternyata dia sangat gembira bermain walaupun kami sudah beberapa kali berkunjung ke sini.

"Anak saya suka bermain bola. Setiap kali ke sini, kolam bola sudah tentu menjadi tumpuannya," ujar Yang Azhar.

Pengunjung tidak perlu risau mengenai faktor kebersihan di Wai Wai Park kerana pihak AEON Fantasy sentiasa membuat pemantauan rapi.

Permainan Video

Tidak hanya bertumpu pada taman permainan kanak-kanak, Molly Fantasy turut menyediakan pelbagai permainan video yang menggunakan token.

Arked permainan video yang terletak bersebelahan Wai Wai Park terbukti mampu menarik golongan muda untuk mencuba bermain permainan video lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

KEBERSIHAN menjadi keutamaan pihak AEON Fantasy untuk menjamin keselesaan ibu bapa dan anak-anak.


Seorang pelajar jurusan perniagaan dan teknologi maklumat di Kolej Teknologi YPC, Muhammad Firdaus Mohd. Nor, 21, memberitahu, dia dan rakan-rakan menjadikan pasar raya itu sebagai destinasi untuk menikmati hidangan makan tengah hari selepas tamat sesi kuliah.

"Apabila selesai menjamu selera, kami akan berkunjung ke arked ini untuk bermain permainan video sebelum pulang ke rumah masing-masing.

"Ini juga merupakan salah satu cara saya meluangkan masa bersama kawan-kawan.

"Lokasi pasar raya ini yang terletak berhampiran kolej turut memberi peluang kepada saya singgah bermain permainan video di sini sebanyak dua kali seminggu," ujarnya yang merupakan peminat permainan video konsol Playstation dan komputer.

Antara permainan video yang sering menjadi tumpuan golongan remaja ialah Deadstorm Pirates, Panic Shark, UFO Catcher dan Big Sweetland.

Nikmati secawan Starbucks dan terjun!

Posted:

Nikmati secawan Starbucks dan terjun!

Oleh NIZHA PERIASWAMY

KAKITANGAN MKL memeriahkan acara pada petang itu dnegan persembahan Flashmob, tarian untuk lagu Oppa Gangnam Style.


SECAWAN kopi mempunyai keunikan tersendiri kerana bukan sahaja aroma dan rasanya yang menyegarkan, bahkan ramai yang percaya ia mampu merangsang diri untuk lebih aktif.

Sama ada benar atau tidak, tiada kepastian dari segi saintifik. Namun, acapkali apabila badan dan minda berasa kurang bertenaga, secawan kopi pasti didekati.

Seiring dengan persepsi umum itu, jenama kopi terkenal, Starbucks tahun ini tampil sebagai rakan kerjasama bagi aktiviti bertaraf ekstrem antarabangsa, Terjun Bebas Antarabangsa 2012 yang diadakan baru-baru ini di Menara Kuala Lumpur (MKL).

Aktiviti terjun bebas itu yang dikenali sebagai BASE Jump 2012 menyaksikan kira-kira 95 penerjun bebas dari seluruh dunia mengambil bahagian. Mereka yang datang dari negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Greece, Turki, Belarus, New Zealand, Jepun, Sepanyol, Kanada, Itali, Portugal, Jerman, Perancis dan Mexico beraksi dalam acara selama empat hari bermula 27 September lalu.


TERJUNAN dibuat dari dek terbuka MKL pada ketinggian 300 meter.


Peserta membuat terjunan bebas dengan menggunakan payung terjun sambil kamera dipasang di kepala bagi merakam aksi sendiri melakukan terjunan dari dek terbuka yang terletak 300 meter dari paras laut.

Pada aktiviti yang sama, selaku rakan kerjasama, Starbucks membekalkan peserta dengan makanan dan minuman khususnya kopi sebelum mereka membuat terjunan.

Berdiri sebagai menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia, aktiviti yang menjadi acara tahunan MKL itu antara program yang mempromosi industri pelancongan Malaysia.

Tahun ini, menerusi penglibatan Starbucks, ia juga dipercayai memberi suntikan baharu kepada kedua-dua jenama tersebut.

Wakil penerjun Starbucks, Gary Cunningham, bukan calang-calang orangnya kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam sukan payung terjun di pelbagai lokasi.

Memegang secawan kertas minuman bersaiz besar Starbucks, Gary yang berasal dari Australia membuat dua lompatan sebagai menandakan kerjasama antara MKL dan Starbucks.

"Cunningham dipilih kerana kegigihan dan kecemerlangan beliau dalam sukan ini.

"Beliau memegang rekod dunia dengan membuat terjunan sebanyak 133 kali dalam masa 24 jam pada BASE Jump 2005 di MKL," ujar Pengurus Besar Penganjuran Divisi dan Acara MKL, Mohd. Izwan Abdul Halim.

Gimik

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Starbucks Coffee, Sydney Quays, menyatakan keterujaan beliau dan syarikatnya selaku rakan kerjasama kepada acara tahunan sukan ekstrem itu.

"Kami sangat bangga dengan keistimewaan yang diberikan selaku rakan kerjasama. Kami mengalu-alukan semua peserta dari 95 negara untuk menikmati pengalaman bersama Starbucks," kata Sydney.

Menawarkan ruang yang selesa dengan kemudahan Wi-Fi, Starbucks, katanya bukan sekadar kedai menikmati secawan kopi, tetapi bagi pelancong asing, ia umpama rumah ketiga mereka.

PERNERJUN membuat pelbagai formasi menarik di udara sebelum membuka payung terjun masing-masing.


Dalam pada itu, penerjun, Cunningham, memberitahu, beliau berasa lebih bersedia untuk membuat terjunan selepas menghirup secawan kopi Starbucks.

"Sekarang, mari lihat saya melompat," katanya sebelum beredar ke tingkat dek terbuka MKL.

Sambil memegang cawan dan mengikat bendera Starbucks, Cunningham yang sepatutnya membuat cuma satu terjunan khas sebaliknya melakukannya dua kali.

Ia untuk memberi peluang kepada pihak Starbucks, MKL dan media menonton serta merakam foto aksi terjunan dari pandangan atas dan bawah.

Turut ditempatkan berdekatan kawasan parkir kereta ialah van patrol Chill Starbucks yang menyediakan pilihan minuman sejuk kepada pelanggan.

Pelanggan Starbucks juga diberikan harga diskaun 10 peratus bagi tiket pemerhatian MKL sepanjang jangka promosi yang diadakan sebulan sebelum acara.

Selepas terjunan juga, pihak MKL membuat satu lagi kejutan kepada para penerjun dan pengunjung dengan menyampaikan tarian flash mob lagu Psy, Oppa Gangnam Style.

Pangsapuri selesa di tanah tinggi

Posted:

Pangsapuri selesa di tanah tinggi

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

HOCK SAN (dua dari kiri menunjukkan miniatur projek Somerset Square yang bakal siap pada tahun 2015.


SUASANA dingin dan kehijauan alam di Cameron Highlands, Pahang antara penyebab utama pelancong sering memilih untuk bercuti di tanah tinggi itu.

Namun, adakah anda pernah terfikir untuk memiliki pelaburan aset atau kediaman di Cameron Highlands?

Pangsapuri Somerset Square yang dijanakan oleh pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd. (LBS) adalah jawapan yang tepat jika anda berminat.

LBS bukan nama baharu dalam industri hartanah negara lebih-lebih lagi selepas melihat kejayaannya dalam beberapa projek seperti Bandar Saujana Putra dan D'Island Residence di Puchong, Selangor.

Somerset Square merangkumi enam blok pangsapuri kedai Somerset I dan Somerset II. Somerset I memiliki 92 unit pangsapuri empat tingkat, manakala Somerset II mempunyai 64 unit.

Pangsapuri kedai itu terletak di dalam kawasan seluas 23 hektar yang merangkumi hartanah komersial dan kediaman setinggi 1,515 meter dari paras laut.

Kedua-dua kediaman itu mempunyai keluasan antara 82 meter persegi hingga 129 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Tawaran harga untuk unit itu bermula serendah RM385,800. Rebat sebanyak 8 peratus diberikan kepada pembeli terawal.

Perabot lengkap

Pengarah Urusan LBS, Datuk Lim Hock San memberitahu, Somerset Square merupakan projek LBS yang kedua di Cameron Highlands selepas The Vines.

"Somerset Square yang terletak di kawasan Cameron Golden Hills merupakan salah satu bandar baharu yang menawarkan pangsapuri percutian, teres dua tingkat, rumah separa berkembar, vila, lot banglo, pembangunan komersial dan hotel.

"Ini adalah satu projek LBS untuk menunjukkan komitmen kami terhadap kehidupan komuniti. Ia juga bersesuaian untuk pembeli yang berpendapatan sederhana hingga kepada pembeli yang berpendapatan tinggi," ujarnya ketika pelancaran projek Somerset Square di Galeri Hartanah Big House, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pangsapuri kedai itu juga menyediakan lif di setiap blok untuk memudahkan pergerakan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

Selain itu, setiap pangsapuri dilengkapi dengan perkakasan dapur dan kelengkapan rumah seperti peti sejuk, mesin basuh pakaian, ketuhar gelombang mikro dan dapur memasak.

Setakat ini, kesemua lot Somerset I telah habis dijual sementara Somerset II masih mempunyai lot kosong serta mendapat respons yang baik daripada bakal pembeli.

Tambah Hock San, Somerset I dan Somerset II dijadualkan siap menjelang 2015.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-7877 7333 atau layari laman web www.lbs.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved