Isnin, 29 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kentang Amerika popular di Malaysia

Posted:

Kentang Amerika popular di Malaysia

Kentang berasal dari Amerika Selatan dan telah merentasi seluruh dunia kerana sifatnya yang sesuai dengan semua jenis masakan sama ada masak pindang atau nikujaga di Jepun.

KEISTIMEWAAN kentang AS terletak pada isi, warna dan teksturnya yang lembut.


MAKANAN kegemaran Chef Warisan Cafe, The Royale Chulan, Kuala Lumpur, Hasmady Hassan, 37, ialah masak pindang. Katanya, masakan tradisional itu mempunyai variasi mengikut negeri.

Lauk pindang dari utara Semenanjung pasti mempunyai kelainan dan perbezaan berbanding masakan yang sama di selatan tanah air.

Tambah chef yang telah terlibat dalam bidang masakan selama 16 tahun itu, variasinya boleh dilihat pada penggunaan bahan tambahan, kepekatan kuah dan jenis ikan yang digunakan.

Ada yang menggunakan bahan seperti jeruk pucuk rebung dan asam keping, malah ada yang menambah santan dalam masakan pindang.

Buat pertama kali, Lembaga Kentang Amerika Syarikat (USPB) telah mengadakan acara Bonanza Kentang di Malaysia. Hasmady merupakan salah seorang daripada chef yang terlibat.

Pada awalnya, dia mengakui berasa agak sukar untuk mencipta sejenis masakan baharu yang menggunakan kentang dari Amerika Syarikat (AS) itu.

Bukan itu sahaja, ia mestilah sesuatu yang unik dan disebabkan Hasmady berketurunan Melayu, pada pendapatnya hidangan itu nanti perlu beridentitikan Malaysia.

"Lama juga saya berfikir untuk mencipta sejenis masakan yang sesuai dengan kentang AS," ceritanya ketika ditemui pada acara tersebut yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lantas, Hasmady teringatkan lauk kegemarannya itu, lalu dia cuba mengubah masakan kampung tersebut dengan memekatkan kuah menggunakan kentang selain memberi sedikit cita rasa mewah.

Dengan menggunakan kentang dinyahhidrat dalam bentuk serbuk dari AS yang mempunyai tekstur halus, kentang itu dicampurkan ke dalam kuah pindang. Campuran itu menjadikan masakan yang berkuah kuning cair itu menjadi sos pekat berkrim.

Kemudian, Hasmady menambah sedikit perisa iaitu sedikit tempoyak dalam hidangan ikan tilapia masak pindang kentang AS.

"Sebenarnya, tidak susah menggabungkan kentang dengan masakan tradisional Melayu. Tekstur serbuk kentang itu menjadikan kuah pindang lebih lembap dan halus," ringkas chef itu berkata, walaupun kentang bukanlah tanaman asal di Semenanjung.

Dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai chef restoran selama dua tahun turut menghidangkan satu lagi masakan Johor iaitu kek udang kentang dengan otak-otak pada acara yang dilancarkan pada bulan lalu itu.

Kentang merupakan tanaman dari Amerika Selatan. Berasal daripada keluarga Solanaceae, kentang ditanam oleh Orang Asli sejak 7,000 tahun lalu.

Penaklukan Sepanyol terhadap Tamadun Inca menyebabkan tanaman yang tahan pada altitud tinggi itu diperkenalkan ke Eropah dan ke seluruh dunia.

Kualiti

Ubi kentang tiba di AS pada tahun 1621 apabila Gabenor Bermuda, Nathaniel Butler menghantar dua peti besar mengandungi kentang dan sayur-sayuran lain kepada Gabenor Virginia, Francis Wyatt.

Kentang buat julung-julung kali ditanam pada tahun 1719 di Amerika Utara dan dipercayai berdekatan Londonderry, New Hampshire oleh imigran keturunan Scotland dan Ireland.

UPSB ditubuhkan pada tahun 1971 dan berpusat di Denver, Colorado. Organisasi itu bertujuan untuk menjalankan kajian dan mempromosi kentang AS ke seluruh dunia.

Menurut wakil UPSB di Malaysia, Eddie Saw, 48, kentang AS merupakan kentang ketiga terbesar diimport ke Malaysia.

Kentang-kentang dari AS terkenal dengan kualitinya terutama daripada jenis kentang dinyahhidrat.

"Perbezaan antara kentang AS dengan yang lain terletak pada isi, warna yang keputihan dan teksturnya yang lembut," ujar beliau. Kentang dari negara lain mempunyai warna kekuningan dan agak keras.

Eksport kentang AS ke pasaran antarabangsa tampil dalam beberapa bentuk seperti sejuk beku, anak benih, mentah dan kerepek. Antara pasarannya ialah Asia Tenggara, China, Jepun, Korea Selatan, Mexico dan Amerika Selatan.

Kentang kering

Kentang AS gred A mempunyai saiz 13 sentimeter panjang. Sebaik dituai daripada ladang, kentang-kentang disisih menggunakan mesin mengikut saiz dan kualiti.

"Mengikut rekod, eksport terbesar kentang AS ialah dalam bentuk sejuk beku sebanyak AS$900 juta (RM2,746 juta) pada tahun 2011 sahaja," ujar Eddie.

Selain produk sejuk beku, kentang AS nyahhidrat yang diimport boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti dadu, hirisan, cincang atau tepung.

Menurut Eddie, proses menghasilkan kentang kering bermula dengan peringkat penanaman sehingga penggunaan teknologi terkini dalam proses pengeringan.

"Proses dinyahhidrat dapat mengekalkan rasa segar kentang. Ia boleh dijadikan bahan utama dalam makanan atau tambahan perasa pada hidangan lain," jelas Eddie.

Kentang dinyahhidrat sangat pekat, 1 kilogram produk kering itu boleh menjadi kira-kira 5 kilogram apabila diberi kelembapan semula selain mempunyai jangka hayat yang panjang iaitu antara sembilan hingga 18 bulan.

DARI kiri: Atase Pertanian Kedutaan AS di Malaysia, Chris Rittgers; Chef Chan dari Atmosphere 360, Chef Peter dari The Baker's Son, Chef Hasmady, Chef Abdul Razak dari Hotel Sheraton, Chef Yau dari Dorsett Regency, Chef Yukichi dan Eddie bergambar pada majlis Bonanza Kentang di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Kentang bentuk kering boleh mengurangkan pembaziran dan tidak memerlukan peti sejuk untuk penyimpanan serta dapat digunakan serta-merta.

Disebabkan tekstur kentang AS dalam bentuk mentah lembut, ia tidak sesuai dimasak untuk lauk-pauk seperti kari kerana ia mudah hancur.

Bagaimanapun, kentang AS amat sesuai diadaptasi dengan pelbagai jenis masakan terutamanya jenis serbuk.

Selain kentang AS, negara Matahari Terbit turut memiliki budaya menambah kentang dalam masakan mereka kerana Jepun mempunyai masakan tradisi menggunakan bahan tersebut iaitu nikujaga.

Chef Yukichi Matsubara dari Bonjour Garden memberi gambaran, nikujaga merupakan stu daging, kentang dan bawang. Ia dimasak bersama kicap soya dan fond bonito serta dihidangkan dengan nasi.

"Cuma, kentang hanya sebagai hidangan sampingan sama seperti masakan kari Jepun," kata chef yang berumur 44 tahun itu.

Sebagai chef dalam bidang pastri, dia turut mencipta dua jenis hidangan iaitu wasabi dan dome yang kedua-duanya menggunakan kentang AS yang dinyahhidrat.

Tepung berasaskan kentang amat sesuai untuk pastri bergantung pada jenis makanan yang hendak dibuat, kata Yukichi.

Dicampur dengan doh, ia dapat membantu adunan menjadi lebih likat dan rasanya lebih manis berbanding menggunakan tepung sahaja selepas dibakar.

Kemampuan kentang yang berasal dari Jepun agak terbatas kerana mempunyai tekstur yang keras walaupun direbus.

Bebas gluten

Berlainan dengan kentang AS, ia boleh disesuaikan dengan banyak jenis hidangan termasuk pastri.

"Kentang direbus hingga empuk dan dicampur dengan daun rosemary untuk dijadikan salad," kata Yukichi sempat berkongsi resipi mudah menggunakan kentang AS.

Jika berbicara mengenai makanan, pasti ramai mengaitkan khasiat yang terkandung dalam sesuatu bahan makanan. Konsultan Pemakanan, Indra Balaratnam berkata, kentang merupakan makanan yang bebas gluten.

Gluten merupakan bahan protein yang terdapat pada bijirin seperti gandum, barli dan rai. Para pesakit yang menghidap penyakit seliak dan beberapa gangguan gastrousus mendapat manfaat besar daripada kentang.

"Kentang dinyahhidrat amat sesuai menjadi bahan pengganti tepung yang mengandungi gluten," kata Indra kepada media yang hadir pada acara bonanza itu.

Merupakan sejenis bahan makanan yang sesuai dengan semua peringkat umur dan budaya, kentang boleh menjadi makanan bayi yang baru bercerai susu.

Ia merupakan bahan yang terbaik dimasak untuk semua jenis hidangan sekali gus mampu meningkatkan kandungan nutrisi. Ia boleh dimasak dengan pelbagai cara.

Dalam piramid makanan, Indra berkata, dua biji kentang bersaiz kecil sama dengan satu mangkuk nasi, dua keping roti dan satu setengah mangkuk mi.

Indra menambah, kentang mengandungi tinggi potasium yang mampu mengurangkan risiko hipertensi dan strok selain melindungi jantung.

Kentang juga dapat menolong transmisi pusat saraf dan melawan dinyahhidrat. Kentang juga mengandungi vitamin C, vitamin B6 dan fiber.

Vitamin C merupakan bahan antioksida yang dapat membantu menstabilkan sel yang rosak dan meningkatkan pengeluaran kolagen yang dapat membantu merawat luka dan kesihatan gusi.

Kentang juga mengandungi 60 fitokimia dengan bahan antioksida.

Bahan tersebut dapat membantu mencegah penyakit kardiovaskular, masalah pernafasan dan beberapa jenis kanser lain.

Dalam masa yang sama, Indra berkongsi tip memasak kentang lecek dengan cara sihat.

"Selepas kentang dilecek, gunakan susu skim atau rendah lemak untuk kacau. Jangan tambah minyak atau mentega," kata Indra memberi amaran dalam nada berseloroh.

Kentang yang dilecek itu ditambah garam, serbuk lada hitam dan daun kucai sebagai perisa tambahan.

Telefon bimbit bendung malaria

Posted:

Telefon bimbit bendung malaria

PARA petugas perubatan diajar mengenai cara menguruskan maklumat dan aduan yang dihantar penduduk kampung mengenai malaria.


PENYEBARAN penyakit malaria di Kemboja mengundang keresahan dalam kalangan rakyat mereka khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil.

Sebagai usaha menangani masalah itu, kawasan Phnom Dambang yang terletak di sempadan Thailand, kini menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi melaporkan kes malaria. Ia memudahkan pakar perubatan memantau dan bertindak ke atas pesakit yang memerlukan.

Ketua kampung sebuah daerah di kawasan itu, Long Vuthy, 41, menjadi individu yang bertanggungjawab ke atas sistem yang diperkenalkan kerajaan Kemboja itu.

"Malaria mampu membunuh orang dalam sekelip mata sekiranya kami tidak menerima rawatan khusus. Cara yang diperkenalkan ini diharapkan dapat membantu komuniti di sini," luah Vuthy yang diajar menggunakan servis itu dua bulan lalu oleh pihak Konsortium Malaria, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang bekerja bersama kerajaan Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebagai amaran, papan tanda berwarna kuning yang menunjukkan gambar nyamuk turut dinaikkan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kadar kes malaria membimbangkan.

Vuthy diamanahkan melakukan diagnosis penyakit menerusi ujian darah ke atas mereka yang menunjukkan simptom malaria. Perkhidmatan rawatan oleh sukarelawan perubatan yang disediakan juga percuma memandangkan kesukaran akses perubatan di kawasan pedalaman.

Selain memastikan pesakitnya mengambil pil dengan betul, pemeriksaan susulan selepas tiga hari dijalankan bagi memeriksa kandungan darah bagi menentukan sama ada mereka telah bebas daripada parasit. Pesakit yang masih belum sembuh akan dirujuk kepada pakar perubatan bagi rawatan lanjut.

Hantar maklumat

Sistem SMS tersebut mudah. Jika ujian diagnosis Vuthy menunjukkan seorang pesakit menghidap malaria, dia perlu memberi rawatan awal kepada mereka. Kemudian, maklumat berkaitan usia, jantina, lokasi dan jenis malaria pesakit akan dihantar menerusi SMS.

SMS yang menggunakan nombor bebas tol itu dihantar kepada pusat kesihatan daerah, pegawai rasmi kesihatan kawasan dan diterima pangkalan data kebangsaan di ibu negara, Phnom Penh. Dahulu, proses penyampaian maklumat itu mengambil masa selama sebulan.

Informasi itu juga dihubungkan dengan Google Earth bagi memudahkan kerja pemetaan kes dan mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang berpotensi diserang malaria.

Kesimpulannya, data tersebut membantu pegawai perubatan mengesan setiap kes dan memastikan rawatan sewajarnya disediakan atau ubat-ubatan yang betul dibekalkan segera apabila stok berkurangan.

Kemboja dilihat berjaya dalam menangani isu malaria. Berdasarkan statistik mereka pada tahun 2011, sebanyak 108,000 kes dilaporkan dengan 96 kes melibatkan kematian berbanding 102,473 kes dengan 154 kematian pada tahun 2010. Ia jauh berbeza dengan tahun 2000 yang mencatatkan lebih 600 kematian.

Keupayaan malaria melepasi sebarang bentuk rawatan biasa telah disahkan di Kemboja sejak lapan tahun lalu. Ini berikutan prosedur rawatan salah atau rawatan tidak lengkap yang dijalani pesakit terhadap ubat-ubat antimalaria.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, pengamal perubatan perlu mengenal pasti kes pada peringkat awal bagi membolehkan pesakit mengikuti pelan rawatan yang tepat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malaria telah membunuh kira-kira 655,000 orang di seluruh dunia pada tahun 2010 walaupun kadar kematian telah menurun sejak beberapa dekad lalu.

Para penyelidik beranggapan, penurunan tinggi itu disebabkan pertambahan penggunaan ubat jenis artemisinin, rawatan paling efektif setakat ini. Ia juga didorong pengagihan kelambu yang telah disembur racun serangga oleh kerajaan Kemboja.

Sementara itu, dalam kajian yang dijalankan para saintis antarabangsa di antara tahun 2007 sehingga 2010, 42 peratus kes malaria falciparum dikenal pasti kalis ubat. Perkara itu turut diterbitkan dalam jurnal kesihatan, The Lancet, pada tahun ini.

Sasaran tahun 2025

Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan bagi Parasitologi, Entomologi dan Kawalan Malaria, Meas Tha menyatakan, pendekatan teknologi dalam pengurusan malaria mampu mencapai sasaran pada tahun 2025. Di samping itu, usaha pendidikan tentang pencegahan dan rawatan giat dijalankan.

Ia adalah sebahagian daripada projek pembendungan malaria yang dibantu oleh Dana Global dan mendapat sokongan daripada Yayasan Bill and Melinda Gates. Sebanyak US$30 juta (RM91.8 juta) telah dilaburkan sejak tahun 2010.

Sistem tersebut yang menggunakan kad SIM yang disediakan secara percuma oleh syarikat telekomunikasi Kemboja, Mobitel, dilancarkan di tiga kawasan pada tahun lalu sebelum dikuatkuasakan di Pailin pada Julai lalu. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved