Selasa, 23 Oktober 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Nilai saintifik terjunan bebas tertinggi

Posted:

Nilai saintifik terjunan bebas tertinggi

MELALUI lompatan bebas pada ketinggian 39 kilometer (km), Felix Baumgartner, 43, telah membuka mata sejagat bahawa tiada apa yang mampu menghalang manusia untuk menerokai alam. Semakin alam ini diterokai semakin banyak ilmu dan dunia bertambah luas.

"Kadangkala, kami perlu berada pada kedudukan tertinggi untuk melihat diri sendiri yang begitu kecil," kata Felix merendah diri kepada pemberita selepas penerjunan itu.

Dikenali sebagai Red Bull Stratos, ia merupakan satu misi luar biasa apabila Felix akan dibawa oleh kapsul dan belon helium khas sehingga ke lapisan stratosfera (lapisan antara 10 km hingga 50 km daripada bumi) sebelum membuat terjunan bebas.

Atmosfera terdiri daripada beberapa lapisan yang dinamakan menurut fenomena iaitu troposfera, stratosfera, mesosfera, termosfera dan eksosfera.

Ketika bahagian pertama terjunan bebas Felix, pasukan pemantau yang berada di pusat kawalan misi panik apabila dia kelihatan berpusing-pusing tanpa kawalan.

"Ketika saya berpusing pada 10 ke 20 saat pertama, saya tidak pernah terfikir akan kehilangan nyawa, tetapi lebih bimbang jika misi ini gagal. Saya berkorban tujuh tahun untuk ini," ceritanya.

Situasi tersebut merupakan risiko terbesar yang dihadapi Felix sepanjang penerjunan bebas. Putaran di luar kawalan itu boleh menyebabkan lebihan tenaga graviti sekali gus menjadikan dia hilang kesedaran.

Pada tarikh bersejarah iaitu 14 Oktober baru-baru ini, Felix akhirnya berjaya melakukan terjunan bebas sehingga mencapai kelajuan bunyi kelajuan 1,348.8 km sejam.

Dia mendarat di New Mexico, Amerika Syarikat (AS).

FELIX meninggalkan kapsul selepas cubaan pertama pada 9 Oktober gagal akibat angin kencang di Roswell, New Mexico.


Masalah lain yang turut dihadapinya dalam penerjunan itu adalah pada helmet ketika sedang naik ke lapisan stratosfera. Pemanas pada plat bahagian muka gagal berfungsi, ia boleh mengakibatkan pembentukan kabus apabila Felix bernafas.

Namun, dia dan pasukannya mengambil keputusan meneruskan penerjunan tersebut.

Di sebalik kejayaan gila Felix itu, bekas angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Leroy Chiao percaya, elemen-elemen yang digunakan pada sut tekanan Felix amat berguna dalam bidang aeroangkasa.

"Teknologi sut tekanan boleh digabungkan ke dalam rekaan sut-sut tekanan pada masa hadapan untuk kegunaan dalam kapal angkasa," katanya dalam wawancara bersama stesen televisyen CNN.

Kajian saintifik

Bersama-sama Felix, terdapat sebuah pasukan yang dianggotai lebih 100 orang penyelia termasuk pesara Tentera Udara AS, Joe Kittinger yang memegang rekod terjunan bebas tertinggi sebelum ini pada ketinggian 31.33 kilometer pada tahun 1960.

Misi Felix direka bagi meningkatkan pemahaman saintifik bagi melihat ketahanan badan manusia dalam menahan keadaan ekstrem di angkasa lepas.

Joe yang mengetuai pasukan tersebut amat memahami nilai saintifik yang didapati daripada sesebuah penyelidikan.

Keputusan misi itu akan memberi faedah kepada komuniti sains melalui data-data yang dikumpul untuk pembangunan sut angkasa lepas bagi generasi akan datang.

Tindakan berani mati Felix juga boleh meningkatkan prosedur kecemasan menyelamatkan diri untuk penumpang dan krew di angkasa lepas selain mencipta payung terjun yang memiliki sistem keselamatan tercanggih.

Semua sistem pengangkutan di angkasa lepas mempunyai prosedur keselamatan, tetapi sehingga kini para penyelidik masih lagi tidak mempunyai jawapan bagi banyak persoalan terutamanya pada altitud yang sangat tinggi.

FELIX melakukan senaman sebelum melakukan cubaan terjunan pertama.


Antara data yang dilihat amat berpotensi dalam kajian sains angkasa adalah kelajuan bunyi yang dicapai, altitud dan tempoh masa dalam melakukan terjunan bebas.

Selain itu, kapsul kenaikannya yang menggunakan belon mampu mencapai altitud 39 kilometer mampu memberi data yang amat berguna.

Kelak, hasil misi itu amat berguna dalam pembangunan keselamatan bagi industri pelancongan angkasa lepas dan juga juruterbang serta angkasawan yang sudah pun berada di angkasa.

Tingkat kesedaran teknologi hijau

Posted:

Tingkat kesedaran teknologi hijau

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SEORANG model, Jocelyn Koh menunjukkan demonstrasi mengecas kereta elektrik Nissan LEAF pada pameran tersebut.


TEKNOLOGI kereta dan motosikal hibrid, produk pencahayaan jimat tenaga, serta pelbagai barangan 'hijau' mewarnai Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2012 yang berlangsung baru-baru ini.

Diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pameran selama empat hari bermula dari 10 hingga 13 Oktober itu, berjaya menarik kehadiran lebih 61,000 pengunjung.

Penganjuran IGEM buat kali ketiga sejak dua tahun lalu menyaksikan 600 ruang pameran disediakan dengan penyertaan 330 pempamer dari dalam dan luar negara. Antaranya ialah Australia, Perancis, Jepun, United Kingdom, Norway, Poland, Jerman, Korea dan China. .Jika sebelum ini, IGEM hanya dibuka kepada orang awam sehari, tetapi kali ini pihak penganjur memanjangkan tempoh tersebut selama dua hari.

IGEM 2012 dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia, Expomal International Sdn. Bhd., International Green Purchasing Network dan Green Purchasing Network Malaysia.

Menteri KeTTHA, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, IGEM 2012 bersedia untuk menjadi acara yang lebih besar dan lebih baik untuk penumpuan antara Timur dan Barat pada masa akan datang.

Jana jualan

"Di sini, semua pemain industri daripada lapan sektor utama hijau yang terdiri daripada bangunan, tenaga, pengangkutan, produk eko dan perkhidmatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan air dan sisa, pembuatan dan kewangan hijau berkongsi sumber dan wawasan kolektif mereka dengan mempamerkan apa yang boleh dilakukan demi masa depan yang lebih baik," kata beliau.

Sementara itu, melalui pertemuan yang diatur terlebih dahulu oleh Matrade sempena pameran tersebut telah menjana jualan keseluruhan sebanyak RM221 juta yang melibatkan 20 pembeli asing dengan 28 wakil mengambil bahagian.

Antara produk yang dicari oleh syarikat asing itu ialah biofuel, kulit isirung sawit, serat sawit, lantai komposit plastik kayu dan pelet tandan buah segar. Pembungkusan rosot bio, panel polisterin kembang jimat tenaga, panel dinding bersalut, panel aluminium menjimatkan tenaga dan dinding pembinaan juga tidak terkecuali.

Dalam pada itu, Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. turut mengambil bahagian dalam pameran antarabangsa tersebut dengan menawarkan penyelesaian teknologi hijau secara menyeluruh melalui Pameran Panasonic Econation.

Pameran itu memaparkan sembilan bahagian utama iaitu penyelesaian bagi rumah, pejabat, kedai serbaneka, bangunan, kilang, bandar baharu, kenderaan elektrik dan penyelesaian tenaga menyeluruh.

Bagi Pengurus Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Isle of Veg Sdn. Bhd., Ichiro Shiohara, pihaknya mengambil inisiatif mempamerkan produk Mama Veg Box yang berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.

"Produk ini merupakan rak pertanian sayur-sayuran unik yang mampu melancarkan tugas para ibu jika mahu berkebun di dalam rumah.

"Ia diperbuat daripada besi aluminium tahan karat dan mudah digunakan terutama bagi rumah yang mempunyai ruang terhad," ujar Shiohara yang agak kurang fasih berbahasa Inggeris.

Tingkat kesedaran

Seorang lagi wakil pempamer yang mengambil bahagian mengakui, penganjuran IGEM secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap aspek teknologi hijau.

"Sejak mula diadakan, syarikat kami tidak pernah ketinggalan untuk menyertai IGEM. Ia satu platform terbaik untuk mempamerkan produk masing-masing di samping memberi maklumat berguna kepada masyarakat tentang kepentingan penggunaan teknologi hijau," kata Wan Nur Sazwana Wan Ahmad, Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan SP Multitech Renewable Energy Sdn. Bhd.

SALAH satu produk diod pemancar cahaya (LED) menggunakan teknologi hijau oleh syarikat SNFOR Sdn. Bhd. turut dipamerkan.


Syarikat tersebut menawarkan penyelesaian terhadap sisa buangan yang boleh dijana semula untuk menjadi tenaga. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah Loji Biogas Ladang Ayam yang pertama kali dibuat di Malaysia. Ia terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Sempena IGEM 2012 juga, satu majlis anugerah GreenTech Malaysia 2012 turut diadakan pada 12 Oktober. Akhbar Utusan Malaysia berjaya mengungguli dua anugerah bagi kategori Anugerah Perak Teknologi Hijau Kewartawanan (akhbar Bahasa Melayu) yang dimenangi wartawan Khairunnisa Sulaiman manakala Utusan Malaysia pula menerima anugerah Khas Media Cetak.

Penerima yang lain ialah Sekolah Menengah St. Michael, Penampang, Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah, Jasin, Melaka bagi Anugerah Platinum Teknologi Hijau Sekolah.

Institut Penyelidikan Tenaga Solar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula merangkul Anugerah Emas Universiti.

Bagi Anugerah Khas Sektor Perbankan, ia diberi kepada Bank Pembangunan (M) Bhd., Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (M) Bhd. serta AmBank.

Anugerah Khas Media Televisyen diterima Astro Awani Network Sdn. Bhd. dan kategori Anugerah Platinum Teknologi Hijau Kewartawanan Televisyen dimenangi oleh RTM.

Ramalan trend ultrabook 2013

Posted:

Ramalan trend ultrabook 2013

Oleh ADLAN JAAFAR

SIFAT boleh ubah ultrabook menjadi tablet dijangka memberi persaingan pada gajet tablet tidak lama lagi.


ULTRABOOK bukanlah berada dalam kategori yang sama dengan netbook atau komputer riba. Bagaimanapun, ia mampu bertindak sebagai peranti pereka kandungan sekali gus boleh berfungsi seperti telefon pintar atau tablet.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, terdapat beberapa kriteria yang dikeluarkan oleh syarikat semikonduktor Intel untuk menepati ciri-ciri sebuah ultrabook.

Antara kriterianya ketebalan sesebuah ultrabook tidak boleh melebihi 2.5 sentimeter, jangka hayat bateri yang panjang, kecekapan komputer berfungsi dengan pantas dan boleh bertindak serta-merta.

Biarpun tidak sampai setahun ia berada di pasaran, sudah terdapat tiga generasi cip pemprosesan iaitu iCore 3, iCore 5 dan iCore 7 yang mempunyai perbezaan dari segi kecekapan perkomputeran.

Asas sebuah komputer adalah terletak pada cip pemprosesan yang mengandungi beribu-ribu transistor dalam sebuah peranti elektronik yang kecil yang mampu mencecah ukuran 32 nano meter.

Semakin kecil sesuatu cip itu dengan kapasiti transistor yang semakin bertambah boleh merealisasikan sesebuah komputer kecil, tetapi mempunyai kecekapan yang tinggi.

Perbezaan generasi ultrabook bukan sahaja merujuk kepada peningkatan teknologi dan keupayaannya, tetapi turut dapat memenuhi keperluan pengguna yang berbeza-beza.

Pengurus Jualan Negara Intel, Norhizam Abdul Kadir berkata, terdapat beberapa penambah baik pada rekaan fizikal dan cip itu sendiri pada tahun hadapan.

"Trend pada tahun 2013 memperlihatkan kepelbagaian yang boleh dibuat pada ultrabook selain memperkenalkan generasi cip pemprosesan berikutnya, generasi keempat," katanya ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur.

Terangnya lagi, ultrabook pada tahun hadapan akan memperlihatkan paparan skrinnya yang boleh berfungsi sebagai skrin sesentuh sama seperti tablet mahupun telefon pintar.

Ultrabook juga nanti bersifat boleh ubah menjadi gajet tablet. Kaedah yang digunakan ialah skrin yang boleh dicabut dan dipasang menjadi gajet yang berlainan sama seperti tablet.

Kehendak pasaran

Bagaimanapun, Norhizam menolak untuk menerangkan lebih lanjut pengeluar komputer yang bakal memperkenalkan ultrabook sebegitu.

Dalam masa yang sama, Norhizam turut bercerita mengenai perubahan trend pasaran teknologi terhadap peningkatan teknologi zaman sekarang.

Jika dahulu, para pengguna terpaksa membeli dan menyesuaikan diri dengan mengikuti perkembangan syarikat pengeluar, kini pihak pengeluar termasuk pengeluar semikonduktor seperti Intel harus mengkaji dan menilai kehendak pasaran pula.

Mudah alih, ringan dan mampu bertindak serta-merta merupakan antara permintaan dalam pasaran perkomputeran.

Hampir 60 peratus pengguna komputer peribadi adalah terdiri daripada ahli perniagaan yang menjalankan syarikat kecil dan medium serta pengguna peribadi.

Seiring dengan perkenalan kategori ultrabook, Intel telah melaburkan sebanyak AS$300 juta (RM922 juta) bagi mempromosi dan mendidik masyarakat seluruh dunia mengenai peranti tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved