Khamis, 6 September 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Ajaran sesat manusia sakit

Posted:

Ajaran sesat manusia sakit

Biasanya, pengasas sesuatu agama yang baharu bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati.

ATAS: SEBUAH premis di Sri Gombak, Kuala Lumpur diserbu oleh pihak berkuasa kerana disyaki menyebarkan ajaran sesat pada 15 Disember 2010.


SELAMAT Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca. Semoga Ramadan yang baru kita lalui akan meningkatkan lagi keimanan kita kepada agama dan mampu menjadi benteng kepada kita semua dalam menghadapi kehidupan beragama yang semakin mencabar.

Tatkala seluruh umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan, kita dikejutkan apabila ada lagi manusia yang sanggup melakukan sesuatu yang di luar logik pemikiran manusia.

Seorang lelaki yang membawa dua bilah pedang samurai yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi telah menceroboh dan mengamuk di sebuah agensi kerajaan. Ia tentulah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri.

Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan pula dengan berita seorang bekas kapten kapal yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di Melaka kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.

Luar logik

Semua ini merupakan berita yang pelik. Masih ada lagi manusia yang berbuat sesuatu yang sangat janggal di luar logik pemikiran manusia. Sejarah telah merekodkan begitu banyak kejanggalan manusia yang menggunakan agama untuk mencari pengaruh.

Biasanya, pengasas kefahaman agama yang baharu ini bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati. Dua orang yang sangat terkenal dalam hal ini ialah Jim Jones dan Shoko Asahara.


LELAKI ini didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.


Penghujung 1970-an, seramai 913 pengikut The People Temple yang diketuai oleh Jim Jones telah mati membunuh diri kerana meminum wain yang diletakkan racun.

Jones telah menubuhkan aliran agamanya itu di San Francisco, tetapi kemudiannya mengasingkan diri ke sebuah hutan di Guyana. Walaupun berpindah ke Guyana, ratusan pengikutnya di San Francisco sanggup mengikutnya.

Mereka memilih membunuh diri sendiri setelah rundingan dengan wakil kerajaan Amerika yang mahu mengajak pengikutnya pulang ke pangkal jalan menemui jalan buntu, malah wakil kerajaan itu juga telah dibunuh.

Ilusi syurga Jones sangat menakutkan. Dia memanipulasi manusia lain. Dia menjanjikan syurga, tetapi kehidupan beragamanya seolah-olah di neraka.

Tidak hanya di AS, di Jepun sekitar pertengahan tahun 1990-an ada juga kejadian yang serupa. Shoko Asahara, seorang lelaki yang buta sebelah mata dan hanya mempunyai penglihatan kabur di sebelah mata yang lagi satu, telah menubuhkan agama baharu yang mampu menarik ribuan pengikut.

Klimaks kepada kepercayaannya ialah mendapatkan syurga dengan membunuh orang awam yang menurutnya sebagai tidak adil. Dia telah mengarahkan pengikutnya melepaskan gas sarin yang beracun di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Tokyo hingga menyebabkan 13 terbunuh dan ratusan lain cedera.

Konsep ketidakadilan itu muncul berasas daripada pemahaman Asahara yang melihat dirinya sebagai cacat penglihatan sedangkan orang lain tidak.


RAMADAN lalu, seluruh negara kecoh dengan peristiwa seorang lelaki yang mendakwa dirinya Imam Mahadi membawa pedang samurai menceroboh dan mengamuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.


Kisah kedua-dua manusia itu mengingatkan kita akan apa yang sedang kita lalui di negara kita juga. Munculnya Kerajaan Langit yang dilambangkan oleh monumen yang dibangunkan sendiri, membuatkan kita terfikir, mengapa mudah sangat manusia kita mempercayai ketua agama baharu ini?

Ada pula yang percaya dengan rasul baharu yang kononnya berketurunan Melayu yang kononnya boleh menjanjikan syurga kepada pengikutnya.

Tunaikan permintaan

Sebenarnya, berdasarkan temu bual dengan pengikut Jones, seorang ahli psikologi menemui bahawa mereka terpesona dengan kehebatan Jones, yang dianggap sebagai 'Tuhan'.

Bukan 'Tuhan' dalam konteks sebenarnya, tetapi tuhan yang mampu menunaikan permintaan mereka. Asahara pula memberitahu pengikutnya bahawa beliau ialah wakil Tuhan yang paling dekat di muka bumi ini.

Mereka (pemimpin agama sesat) kononnya ada kelebihan mengubat manusia yang sakit atau kelebihan mistik yang lain.

Ramai ketua ajaran sesat di negara kita juga nampaknya mengakui memiliki kelebihan mengubat dan mistik. Ramai yang terpedaya dengan mereka kerana 'personaliti' unik yang mereka miliki dan bukan kerana ajarannya.

Sebab itu, masyarakat mestilah berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan banyak kefahaman baharu itu. Mereka bukanlah manusia yang hebat, sebaliknya secara psikologinya ialah manusia sakit. Sangat malang, kalau masih ada yang terpengaruh dengan mereka.

Cawangan bertambah seiring mutu

Posted:

Cawangan bertambah seiring mutu

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

ANEKA pilihan roti, kek dan pastri yang enak serta segar menggamit pengunjung ke cawangan The Loaf.


THE LOAF, kedai bakeri dan pastri berkonsepkan Jepun terus melebarkan sayapnya di negara ini. Bermula dengan hanya sebuah premis di Marina Telaga Harbour, Langkawi, Kedah pada tahun 2006, The Loaf terus gah melalui pembukaan cawangan yang kesembilan di Paradigm Mall, Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Pengarah Urusan M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Jiro Suzuki berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu adalah bagi memenuhi permintaan banyak pihak yang menggemari kualiti roti jenama itu.

"Ketika pembukaan cawangan pertama di Langkawi kira-kira enam tahun lalu, kami menerima sekitar 7,300 pengunjung sahaja.

"Kini dengan sembilan cawangan, kedai kami dikunjungi purata 2,400 pelanggan sehari dengan jualan mencecah RM1.2 juta sebulan," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah mantan Perdana Menteri dan juga Pengerusi M&M Consolidated Resources Sdn. Bhd., Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Tambah Jiro, syarikat itu akan membuka tiga buah cawangan baharu menjelang hujung tahun ini dengan salah satunya terletak di Pantai Chenang, Langkawi.

DR. MAHATHIR (tengah) dan Jiro (kiri) menunjukkan kebolehan membuat roti sebagai gimik pelancaran pembukaan The Loaf di Paradigm Mall, Kelana Jaya, baru-baru ini. Aksi kedua-duanya turut disaksikan oleh Dr. Siti Hasmah.


"Pada tahun 2013, kami turut merancang untuk membuka dua buah cawangan lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhannya 14 cawangan termasuk sebuah dapur utama.

"Kami menyasarkan untuk membuka cawangan di kediaman ekspatriat kerana permintaan bagi roti-roti berkualiti tinggi begitu tinggi dalam kalangan mereka," ujarnya.

Jelasnya, antara kunci kejayaan The Loaf ialah sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan oleh Dr. Mahathir, selaku 'orang kuat' di sebalik jenama roti dan pastri itu.

"Dr. Mahathir seorang yang penuh dengan aspirasi dan inspirasi serta wawasan untuk membawa The Loaf ke satu peringkat terbaik dalam industri makanan dan minuman (F&B) di Malaysia.

"Beliau sentiasa berpandangan jauh dan tidak pernah kering dengan idea yang inovatif demi memastikan The Loaf terus berkembang pada masa hadapan," katanya lagi.

Selain itu, Jiro berkata, roti yang dihasilkan di The Loaf mengekalkan ciri-ciri pembuatan roti secara tradisional di Jepun iaitu tidak menggunakan bahan-bahan awet dan kimia.

Lebih daripada itu, bahan-bahan utamanya juga diimport khas dari luar negara seperti gandum dari Kanada, mentega dari Belgium dan garam dari Pergunungan Himalaya.

"Kami amat menitikberatkan soal kualiti dan bahan-bahan yang digunakan demi kepuasan pelanggan," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved