Ahad, 16 September 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Festival tarian inisiatif belia

Posted:

Festival tarian inisiatif belia

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

MALAYSIA sememangnya kaya dengan kepelbagaian bangsa, agama, adat dan budaya. Namun, diversiti itu bukanlah alasan untuk kita hidup berpecah-belah.

Sekumpulan anak muda di ibu kota baru-baru ini menyahut seruan kerajaan untuk menyemaikan lagi semangat perpaduan dengan menganjurkan program MADFest.

Memilih cabang seni muzik dan tarian, mereka mengumpulkan pelbagai jenis tarian bukan sahaja dari Malaysia bahkan dari luar negara untuk ditarikan di atas satu pentas.

MADFest dilihat menjadi salah satu cara untuk mendekatkan pengunjung dengan kebudayaan tempatan dan luar negara secara percuma.

Dengan kehadiran kira-kira 500 orang pengunjung, acara yang diadakan itu juga seiring dengan sambutan Hari Bandar Raya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ

Berlokasi di Auditorium Sivik, Petaling Jaya, Selangor pihak penganjur berjaya mengumpulkan beberapa kumpulan budaya untuk mempamerkan persembahan kepada para penonton termasuk tetamu khas mereka iaitu kanak-kanak yatim dari beberapa buah rumah kebajikan berdekatan Petaling Jaya.

"Festival ini bukan pertama kali diadakan. Ia adalah kesinambungan daripada kejayaan MADFest yang diadakan pada tahun 2010.

"Selepas itu, kami menerima permintaan yang tinggi untuk mengulangi festival ini kerana ia bukan sekadar menghiburkan, bahkan memberi peluang kepada pengunjung mengenali seni daripada latar belakang berbeza," kata Pengarah MADFest, Kihraan Shiva yang baru berusia 21 tahun.

Pelbagai bangsa di atas satu pentas

CAPOEIRA ternyata bukan sahaja satu seni mempertahankan diri tetapi juga menarik apabila dipersembahkan dengan alunan muzik.


Dia yang sedang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan mekanikal mengakui berasa bangga kerana dapat menjayakan festival tersebut, apatah lagi MADFest sulung diasaskan oleh kakaknya sendiri, Mrithula Shiva ketika menjadi duta United Religious Initiative (URI).

"Ketika itu Mrithula membentangkan cadangan untuk mengadakan festival tersebut kepada pihak URI. Mereka menyambut baik dan meluluskannya. Pada masa yang sama, mereka melantik Mrithula menjadi duta," ujar Kihraan mengenang kelahiran MADFest.

Festival kali kedua itu menyenaraikan beberapa jenis seni tari serta gabungan muzik tradisional dan moden antaranya Orkestra The Regal yang mewakili budaya Cina, Nadi Tradisi daripada rumpun budaya Melayu dari Kedah dan Mehr daripada budaya Parsi.

Tidak ketinggalan turut serta ialah Apna Punjab Bhangra Malaysia mewakili Punjabi dan tarian Orang Asli daripada puak Orang Asli Mah Meri dan AU Capoeira mewakili budaya Afro-Brazil.

Menghangatkan lagi persembahan petang itu ialah tarian daripada Bharathanatyam mewakili kaum India serta Qawwali oleh Persatuan Penganut Viswa Nirmala Dharma (PPVND) Malaysia.

Sebagai elemen pendidikan dalam festival itu, para penari dan pemain muzik diberikan peluang untuk membuat penerangan lanjut mengenai persembahan masing-masing kepada penonton.


LENGGOK tari yang memukau mendapatkan tepukan daripada para penonton.


Mereka bercakap mengenai budaya yang bersangkutan dengan persembahan, di mana ia dipersembah dan maklumat tambahan lain.

Penonton turut menari

Ia menarik perhatian pengunjung yang kelihatan teruja dengan informasi baru yang disampaikan oleh kumpulan peserta.

"Apa yang kami mahukan adalah untuk melihat para pengunjung di akhir persembahan mengenali budaya dan diri kami. Mereka akan pulang dengan sedikit pengetahuan tambahan mengenai budaya lain dan akan menjadi satu titik tolak untuk menerima keunikan perbezaan kebudayaan," kata Shekoofeh Neinavaie yang merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan Mehr.

Ada di antara peserta tersebut merupakan mereka yang berpengalaman pada MADFest yang diadakan pada tahun 2010.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai inisiatif ini pada tahun 2010, kami tidak berfikir panjang dan terus menyertainya.

KUMPULAN budaya Orang Asli Mah Meri membuat persembahan tarian yang lengkap dengan aksesori tarian berkonsepkan semula jadi.


"Selepas dua tahun, kami kembali semula pada MADFest 2012 kerana ia menyatukan kami dengan pelbagai latar belakang budaya. Kami teruja melihat keharmonian dan perpaduan yang menjadi intipati setiap rakyat negara ini," kata salah seorang ahli PPVND, Latha Nayar.

"Kami teruja dengan komitmen para peserta dan pengunjung. Malah, kami teruja apabila melihat dewan ini penuh dengan para penonton.

"Bukan itu sahaja, ramai pengunjung turut menari dan memberi respons yang memberangsangkan sepanjang festival berlangsung," kata Khiraan lagi.

Rata-rata pengunjung yang memenuhi Auditorium Dewan Sivik ialah mereka yang tinggal berdekatan Petaling Jaya.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong festival ini antaranya MBPJ, Yayasan Vijayaratnam, Persatuan Pure Life dan Nur Damai melalui pelbagai sumbangan serta bantuan.

"Kami amat berharap supaya sokongan dan respons ini akan terus berkekalan bagi MADFest akan datang," ujar Kihraan.

Kihraan menyasarkan MADFest edisi ketiga akan diadakan sekitar dua tahun lagi.

Ilusi seni Sivam Selvaratnam

Posted:

Ilusi seni Sivam Selvaratnam

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

LUKISAN bertajuk Colours of Rain yang menggabungkan empat buah lukisan gambaran ilusi Sivam ketika suasana hujan ini dijual pada harga RM60,000.


KOLEKSI lukisan campuran pelbagai warna yang menggunakan variasi teknik campuran cat, dakwat, pensil dan akrilik di atas kertas lukisan dan kanvas menghiasi segenap dinding dan ruang Galeri Seni Universiti Malaya (UMAG) di Kuala Lumpu.

Lukisan-lukisan tersebut ternyata mencuri tumpuan pengunjung, terutamanya lukisan bertajuk Gayatri Mantra. Malah, ramai pengunjung cuba untuk memahami mesej yang cuba disampaikan melalui setiap lukisan yang dipamerkan.

Selain itu, dua pasang kasut tumit tinggi yang dihiasi dengan lukisan bercorak daripada akrilik terletak di tengah-tengah galeri itu juga mendapat perhatian ramai.

"Bagi saya, hasil karya Sivam Selvaratnam menggambarkan ilusi terbaik yang pernah saya lihat sejak lebih 40 tahun dahulu," ujar mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid ketika diberi penghormatan untuk merasmikan pameran solo Sivam Selvaratnam yang bertajuk Rapt In Maya.

Baginya, setiap lukisan pelbagai rupa dan saiz yang dihasilkan oleh Sivam mengimbau kembali nostalgia semasa beliau pertama kali melihat hasil karya Sivam sekitar tahun 1960-an. Stail lukisannya masih sama sehingga kini.

Pameran lukisan Rapt In Maya yang berlangsung sejak 15 Ogos lalu dan berakhir Ahad lepas menampilkan lebih daripada 100 koleksi lukisan peribadi Sivam yang bertemakan ilusi sejak dari tahun 1965 sehingga kini.

UNGKU Aziz yang diberi penghormatan merasmikan pameran Rapt In Maya di Universiti Malaya baru-baru ini ternyata kagum dengan setiap karya Sivam Selvaratnam.


Pameran tersebut merupakan pameran kedua Sivam, 75, selepas pameran sulung beliau di British Council, Kuala Lumpur pada tahun 1970 yang dianjurkan oleh Majlis Kesenian Malaysia.

"Sejak penglibatan saya dalam bidang seni lukis, saya sering bermain dengan ilusi sendiri dan mengaplikasikan setiap ilusi yang bermain dalam fikiran dalam karya lukisan saya.

"Saya juga mahu setiap individu yang melihat dan meminati hasil karya saya agar berfikir mengenai kombinasi warna yang dicampur serta mesej yang disampaikan," ujarnya selaku ahli kumpulan Wednesday Art sejak tahun 1957 hingga 1963 yang aktif dengan penganjuran aktiviti seni lukis tanah air.

Pemilihan tajuk Rapt In Maya juga merupakan salah satu cetusan idea Sivam yang mahu setiap karyanya dinilai tidak secara terus.

Tidak terhad kepada koleksi peribadi simpanan beliau sahaja, pameran tersebut juga menjadi medan kepada penggemar lukisan Sivam untuk membeli hasil karya beliau.

Harga yang ditawarkan bermula daripada RM1,200 hingga ada yang mampu mencecah RM60,000 mengikut kualiti, kombinasi warna dan mesej yang ingin disampaikan menerusi tema ilusi yang menjadi kegemaran beliau.

SIVAM amat teliti dalam setiap karyanya sehingga ada sesetengah lukisan mengambil masa sehingga tiga tahun untuk disiapkan.


"Colours of Rain merupakan karya saya paling mahal untuk dijual kepada penggemar seni lukis kerana ia merupakan kombinasi empat buah lukisan berbeza dan setiap satu lukisan tersebut bernilai RM15,000.

"Lukisan tersebut menjelaskan ilusi warna-warna magis yang terhasil ketika proses untuk hujan," ujarnya yang turut menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-50 bersama suami, V. Selvaratnam, 78, pada pelancaran pameran Rapt In Maya 24 Ogos lalu.

Sementara itu, pereka kasut, Nelissa Hilman, 29 berbangga apabila Sivam sudi untuk menzahirkan lukisan di atas dua pasang kasut rekaannya untuk pameran itu.

"Kolaborasi saya dan Sivam memberi peluang kepada saya untuk memperkenalkan jenama kasut Nelissa Hilman kepada orang ramai dan saya amat gembira dengan peluang ini," jelasnya.

Mini Dhaka di Jalan Gurdwara

Posted:

Mini Dhaka di Jalan Gurdwara

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

PELBAGAI produk yang diimport dari Bangladesh menjadi tarikan di kedai runcit di Jalan Gurdwara.


SIAPA sangka, di sebalik bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menjadi mercu tanda di Pulau Pinang, wujud satu kawasan yang didominasi sekelompok warga Bangladesh sehingga dikenali sebagai 'Mini Dhaka'.

Terletak di sepanjang jalan Gurdwara menuju ke pusat bandar raya George Town, kewujudannya lebih lima tahun lalu sedikit sebanyak menjadi tarikan ramai.

Jika sebelum ini deretan kedai lama di situ menjual peralatan rumah, kedai membaiki basikal serta kedai runcit, kini ia telah digantikan dengan kedai menjual pelbagai barangan keperluan warga Bangladesh termasuk kedai makan.

Tinjauan Kosmo! di sepanjang jalan itu mendapati lebih 10 premis makanan, minuman, runcit, kedai menjual peralatan telekomunikasi serta pertukaran mata wang asing diusahakan rakyat negara berkenaan.

Malah, sebilangan daripada mereka kini sudah mampu mengusahakan perniagaan sendiri.

Setiap hari, beberapa kedai di situ dilihat tidak putus-putus dikunjungi rakan-rakan senegara yang bersantai di kaki lima sambil berbual kosong.

Suasana hiruk-pikuk dengan gelak ketawa serta dendangan lagu-lagu pop Bangladesh dari corong pembesar suara kedai menjual cakera padat berdekatan turut menghidupkan persekitaran kawasan tersebut.

Dapat sambutan

Seorang pengusaha kedai makanan, Mohd. Shamin, 25 berkata, dia memilih untuk menjual makanan tradisi Bangladesh di situ kerana mendapat permintaan tinggi daripada rakan-rakan senegara selain lokasinya yang strategik.

Menurutnya, suasana di situ amat sesuai memandangkan ia terletak di tengah-tengah pusat bandar serta terdapat banyak kawasan pembinaan yang kebanyakan pekerjanya terdiri daripada rakyat Bangladesh.

SEBUAH kedai runcit yang dikendalikan warga Bangladesh mendapat sambutan dalam kalangan rakan senegara.


"Dua tahun lalu saya datang untuk bekerja di sini sehingga fasih menguasai bahasa Melayu. Bagi saya, Pulau Pinang adalah lokasi terbaik untuk kami mencari rezeki kerana ramai rakan senegara menetap di sekitar bandar raya ini," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Mohd. Lartu Khan, 25, pula memberitahu, dia mula berniaga di situ dengan menjual barangan runcit dan sayur-sayuran tertentu yang diimport dari Bangladesh.

Katanya, barangan keperluan sebegitu sememangnya mendapat tempat dalam kalangan warga Bangladesh tetapi sukar diperoleh kerana tiada peruncit lain yang menjualnya.

"Saya ambil peluang membuka perniagaan berlesen di sini bagi memudahkan warga Bangladesh menikmati barangan dan kelengkapan dari negara asal.

"Selain dapat menambah sumber pendapatan yang mencecah sehingga RM1,400 sebulan, kami juga dapat menimba pengalaman berniaga di negara orang," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved