Jumaat, 21 September 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Wanita sumber utama bagi jangkitan

Posted:

Wanita sumber utama bagi jangkitan

WANITA seringkali ditugaskan untuk menyediakan makanan harian, menjaga kesejahteraan keluarga dan bertanggungjawab memelihara kebersihan dan ketenteraman kediaman.

Walaupun begitu banyak masa dan penjagaan dihabiskan bagi melaksanakan tugas tersebut, ada isu lain yang perlu diberi perhatian.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa wanita merupakan sumber utama penyebaran sejenis bakteria yang dilabel sebagai karsinogenik (cenderung menyebabkan berlakunya kanser) tahap pertama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bakteria yang dikenali sebagai Helicobacter pylori (H. pylori) itu menjadi penyebab utama gastritis kronik dan ulser gastrik.

Menurut Pakar Gastroenterologi terkemuka, Dr. Vagif Soultanov yang merupakan pengamal terapi semula jadi dari Australia, H. pylori merupakan musuh utama bagi kanser perut.

"Kebiasaannya, jangkitan H. pylori adalah sama dalam kalangan lelaki dan wanita. Kajian menjelaskan bahawa ibu-ibu yang dijangkiti merupakan sumber utama bagi jangkitan dalam kalangan kanak-kanak.

"Jangkitan H. pylori mungkin disalurkan melalui makanan, air yang tercemar, sentuhan pada material linen atau barang permainan," ujarnya.

Katanya lagi, keadaan di negara membangun seperti Malaysia membentuk sentuhan yang lebih rapat antara ibu-ibu, anak-anak dan dalam kalangan adik-beradik.

"Ini mungkin merupakan sebab utama kepada kadar jangkitan pada tahap tinggi dilaporkan.

"Tambahan pula, di negara membangun, kaum bapa merupakan sumber pencari nafkah utama keluarga, menjadikan mereka kurang bersentuhan dengan anak-anak.

"Ini menguatkan lagi pendapat bahawa jangkitan H. pylori dikaitkan dengan kaum ibu," jelasnya.

Soultanov menjelaskan, kanser perut bukanlah sesuatu yang berkembang semalaman. Mengenal pasti isyarat-isyarat yang membimbangkan dari perut sangat penting bagi mengelakkan masalah kesihatan serius pada kemudian hari.

Gastritis merupakan keradangan atau kerengsaan pada dinding perut. Ia boleh terjadi secara tiba-tiba atau berperingkat.


JANGKITAN H. pylori yang tidak dirawat menyebabkan kanser perut terbentuk.


Sakit abdomen

Antara simptomnya ialah sakit perut yang sering kali digambarkan seperti rasa panas di bahagian abdomen atas pusat yang dikaitkan dengan kembung, sendawa dan kehilangan selera makan.

Simptom-simptom tersebut seringkali berlaku selepas makan, malah ada kebanyakan pesakit bangun pada waktu pagi dengan kesakitan di bahagian abdomen.

Kadangkala, kebanyakan pesakit tidak mengalami sebarang simptom dan dalam hal ini, ujian H. pylori melalui darah atau nafas perlu dilakukan bagi mengenal pasti status jangkitan.

Soultanov yang telah menerbitkan beberapa kerja penyelidikan dalam bidang ini menggambarkan H. pylori sebagai penyebab utama kanser perut.

Kaitan antara jangkitan H. pylori dan penyakit ulser peptik serta kanser perut merupakan penemuan utama dalam bidang gastroenterologi.

"Jangkitan H. pylori menyebabkan gastritis kronik, sejenis keradangan pada perut yang berlarutan serta boleh membawa kepada gastritis atrofi (luka prakanser), permulaan pada kanser perut.

"Malah, jangkitan H. pylori diisytiharkan oleh WHO sebagai karsinogen tahap pertama," katanya.

Tambahnya, lebih memeranjatkan jangkitan tersebut merebak secara meluas.

Lebih daripada 50 peratus daripada populasi dunia (lebih daripada tiga bilion orang) sudahpun dijangkiti sekali gus menjadikannya satu daripada jangkitan yang merebak dengan meluas di dunia. Lazimnya, jangkitan terjadi pada zaman kanak-kanak.


BEGINILAH keadaan pada dinding perut yang diserang bakteria H. pylori.


Cabaran rawatan

Sekiranya mereka yang dijangkiti itu tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya, kemungkinan untuk mereka mendapat kanser perut adalah sebanyak enam kali ganda berbanding golongan yang tidak pernah dijangkiti.

Walaupun kebanyakan pakar perubatan bersetuju bahawa jangkitan H. pylori mesti dirawat bagi mengelakkan sesuatu yang lebih buruk berlaku, rejim penjagaan standard berdepan dengan beberapa masalah.

Antara permasalahan yang timbul daripada terapi ialah rintangan antibiotik dan tahap pematuhan pesakit yang rendah.

Rintangan antibiotik berlaku apabila meningkatnya penggunaan antibiotik. Keberkesanannya dikompromi memandangkan bakteria telah membina ketahanan bagi mengatasi keberkesanan antibiotik.

Dalam pada itu, tahap pematuhan pesakit yang rendah pula merujuk kepada pesakit yang tidak menuruti beberapa rejim rawatan seperti yang disyorkan.

Beza nazar dan niat

Posted:

Beza nazar dan niat


NAZAR merupakan perkara wajib yang perlu ditunaikan.
- Gambar hiasan


BOLEH ustaz jelaskan perbezaan antara nazar dan niat? Jika seseorang itu berniat, 'Jika aku dapat kerja itu nanti, aku akan derma RM500 kepada anak-anak yatim', perlukah dia menunaikannya sedangkan dia hanya berniat dan bukannya bernazar?

JAWAPAN:

NAZAR ialah suatu perkara yang berbeza dengan niat. Nazar merupakan perkara yang wajib ditunaikan, sedangkan niat pula perkara yang mengesahkan sesuatu amal itu.

Sesuatu perkataan itu menjadi nazar jika digunakan perkataan, Wallahi, Wa Billahi, Wa Tallahi.

Sebagai contoh, Wallahi, jika aku dapat kerja itu aku akan derma RM500 kepada anak yatim. Maka ia dikira nazar dan wajib ditunaikan jika sampai hajatnya.

Adapun perkataan daripada soalan yang bertanya, ia merupakan niat biasa dan afdal jika ditunaikan kerana setiap niat yang baik itu jangan ditangguhkan untuk dilaksanakan. Insya-Allah diterima Allah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved