Jumaat, 21 September 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Strategi pintar Ford

Posted:

Strategi pintar Ford

Oleh SHAWKATH AZDE

SEPARUH pertama tahun 2012 menyaksikan Ford Focus merekodkan jualan sebanyak 489,616 unit di seluruh dunia. Angka itu meletakkannya sebagai kereta jualan terbaik dunia bagi 2012 setakat ini.

Jika diambil kira statistik jualan generasi pertama Focus sekitar tahun 1998 sehingga kini, sudah ada sebanyak 10 juta unit kereta itu dimiliki para pelanggan di serata dunia.

Nama Ford Focus juga masyhur dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Sudah 44 kejuaraan digondolnya. Penyertaan pula sebanyak 173 kali dengan 142 kali berada di atas podium.

Generasi ketiga Focus mula diperkenalkan ke pasaran ASEAN menerusi Bangkok International Motor Show ke-33 di Thailand pada Mac lalu.

Selepas enam bulan menanti, kedua-dua varian Focus iaitu sedan dan hatchback yang dipertontonkan pada pameran itu akhirnya dibawa masuk ke Malaysia oleh pengedar kenderaan Ford, Sime Darby Auto ConneXion Sdn. Bhd. (SDAC).


FOCUS memegang gelaran kereta yang memiliki angka jualan terbaik dunia 2012 dengan catatan hampir setengah juta unit sehingga kini.


Sebanyak empat versi Ford Focus didatangkan buat pelanggan tempatan. Dua varian untuk model hatchback (Sport dan Sport +) serta sedan (Titanium dan Titanium +).

Bagaimanapun, hanya satu enjin iaitu petrol dengan sistem suntikan terus bersesaran 2.0L DOHC 16V dan transmisi Powershift klac kembar enam kelajuan automatik sahaja ditawarkan.

Apabila diajukan soalan mengapa tiada enjin diesel untuk pasaran tempatan, Pengurus Serantau Asia Pasifik, Operasi Eksport dan Pertumbuhan Ford, David Westerman menyatakan, ia berkait rapat dengan kualiti diesel di Malaysia.


SUSUN atur butang kawalan pada konsol tengah dan papan pemuka memang nampak kemas.


Diesel Euro 2M di Malaysia tidak sesuai untuk kegunaan enjin-enjin diesel Ford yang pastinya jauh lebih maju dan tinggi spesifikasinya.

Enjin petrol Focus baharu menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 20 peratus berbanding generasi sebelumnya.

Kereta dalam segmen C itu mampu menghamburkan kuasa sehingga 170PS @ 6,500rpm. Tork maksimum adalah sebanyak 202 @ 4,450rpm. Kelajuan maksimum pula 207 kilometer sejam (km/j) dan menggunakan 6.7 liter bagi setiap jarak pemanduan 100km.


KESELESAAN penumpang belakang juga dititikberatkan.


Sebagai ciri standard, semua varian Focus dilengkapi Kawalan Pemvektoran Tork. Sistem itu akan membrek sedikit pada bahagian tayar sewaktu mengambil selekoh tajam untuk mengurangkan kehilangan kuasa cengkaman dan menstabilkan kawalan. Lazimnya, ciri tersebut hanya ada pada kereta sport mewah.

Selain itu, Sistem Pengatup Gril Aktif membantu mengawal aliran udara secara automatik ke sistem penyejukan dan enjin menerusi kawalan lohong yang boleh dibuka dan ditutup yang ada pada gril. Sistem itu turut berfungsi mengurangkan seretan dan bunyi angin ketika jentera dipandu laju.

Parkir sendiri

Tambahan lain termasuklah sistem pendingin hawa dua zon automatik, butang kawalan audio pada stereng yang dibalut material kulit, skrin paparan pelbagai fungsi berukuran 4.2 inci, butang penghidup enjin, enam beg udara, ISOFIX, sistem kawalan tarikan, ESP, ABS dengan EBD, EBA, Hill Launch Assist dan banyak lagi.

Antara keunikan Focus baharu adalah keupayaannya memasuki petak tempat letak kenderaan secara automatik. Ciri yang dinamakan sebagai Active Park Assist itu menggunakan teknologi ultrasonik untuk mengesan ruang kosong sebelum menggerakkan kereta ke dalamnya.


TEKNOLOGI Active City Stop membantu kenderaan membrek apabila mengesan kenderaan di hadapan berhenti secara mengejut.


Selain itu, ciri Active City Stop pula membrek secara automatik apabila mengesan kenderaan di hadapan anda berhenti secara mengejut. Teknologi BLIS (Blind Spot Information System) memaklumkan pemandu jika mengesan kehadiran kenderaan dalam kawasan titik buta (blind spot).

Bagaimanapun, ciri Active Park Assist dan Active City Stop hanya terdapat pada varian Sport + dan Titanium +. BLIS pula didatangkan dalam varian Titanium + sahaja.

Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian Sport dan Titanium adalah RM115,888. Untuk Sport + dan Titanium +, ia ditawarkan pada harga RM128,888 seunit.

Jaminan baharu diberikan ialah lima tahun atau jarak perbatuan 200,000km. Sebelum ini, jaminan hanya selama tiga tahun atau 100,000km sahaja.

Menjelang akhir tahun ini, SDAC bakal memperkenalkan tiga lagi kenderaan baharu untuk pelanggan tempatan. Sama-sama kita nantikan.

Jentera rali tiga pintu

Posted:

Jentera rali tiga pintu

Oleh IRWAN ASRI MOHD NOR


PAJERO tiga pintu seperti ini sebenarnya sukar untuk diperolehi.


KALAU teringat tentang kereta rali keluaran Mitsubishi, mesti kita semua akan terbayangkan model Evolution sahaja atau Mitsubishi Galant VR4 yang pernah dipandu oleh Tengku Mahalel dalam Rali Malaysia pada satu masa dahulu.

Kita semua sebenarnya terlupa bahawa ada satu lagi jentera rali paling hebat yang pernah dikeluarkan oleh Mitsubishi. Ia bukan kereta tetapi sebuah SUV pacuan empat roda (4X4).

Pajero. Ya! Pajero. Kenderaan yang selalu boleh dilihat di kawasan Felda, lebuh raya dan kem-kem tentera itu sebenarnya pernah dijadikan jentera rali untuk perlumbaan rali paling mencabar di dunia iaitu Paris-Dakkar Rally.

Inilah jentera rali paling berjaya dalam perlumbaan tersebut apabila ia berupaya menjuarainya buat kali pertama pada tahun 1985 dan memenangi perlumbaan sama sebanyak 15 kali sejak itu!

Namun begitu, harus tahu bahawa Pajero yang menyertai perlumbaan rali itu bukannya Pajero wagon yang digunakan oleh pasukan peronda lebuh raya. Tetapi versi lebih pendek dengan tiga pintu.

Model itu memang agak sukar ditemui. Kalau ada pun, mungkin di kawasan Felcra atau Felda. Itu pun kira-kira 20 tahun yang lalu. Ramai juga yang tidak tahu bahawa model tiga pintu itu sebenarnya ialah model asal Pajero sejak dikeluarkan pada tahun 1982.

Model wagon lima pintu hanya dipasarkan pada tahun 1983 selepas maklum balas pasaran untuk SUV tiga pintu tidak begitu memberangsangkan. Pada ketika itu, orang membeli SUV untuk membawa keluarga atau kargo, jadi model 'sport' SUV tiga pintu tidak berapa laku.


ENJIN diesel turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 104hp.


Revolusi baru

Pajero itu dikenali sebagai Pajero SWB, singkatan untuk Short Wheelbase. Ketika mula-mula dijual, Pajero tersebut merupakan satu revolusi dalam industri kenderaan pacuan empat roda di Jepun.

Ini kerana ia menjadi antara model terawal menggunakan enjin diesel turbo, sistem gantungan double wishbone untuk roda hadapan, stereng kuasa dan tempat duduk dengan sistem spring. Hasilnya, kenderaan pacuan empat roda itu setanding dengan keselesaan sebuah kereta saloon.

Jadi, memang sangat beruntung pemilik Pajero SWB tersebut, Ghazali Abdullah yang berjaya mendapat kereta rare sebegini. Rata-rata pembeli Pajero model itu membelinya daripada tender kerajaan. Tetapi Ghazali membeli kereta itu daripada pasaran terbuka.

Kira memang bernasib baik kerana model sepertinya tidak banyak yang hendak dijual. Kalau ada pun, harganya boleh tahan mahal, lebih kurang RM30,000 seunit.

Oleh kerana sepanjang hayat kenderaan seperti itu telah digunakan dengan cukup lasak, kerja-kerja restorasi badan dan kerangka adalah sesuatu yang wajib dilakukan. Mungkin ramai yang tidak tahu, bukan seperti kereta, badan (body) SUV dengan cesi jenis ladder frame seperti ini sebenarnya boleh disalin sekali gus.

Badan berspesifikasi Japan Domestic Market (JDM), lengkap dengan bahagian dalamannya boleh dibeli terus daripada kedai potong.

Badan itu kemudian dipasang pada kerangka menggunakan beberapa skru dan boleh diangkat sepenuhnya daripada kerangka berkenaan.

Hendak mencari badan baharu bukanlah satu masalah besar. Sebabnya, model SWB agak mudah didapati di negara asalnya, Jepun. Paling menarik, kebanyakan Pajero di sana langsung tiak pernah jumpa lumpur. Jadi, badannya jarang berkarat. Malah bahagian dalamannya juga berada dalam keadaan yang sangat baik.

Badan itu hanya perlu dicat dengan cat baharu. Sekelip mata, Pajero yang uzur sudah jadi baharu semula. Bahagian dalamannya pun cantik. Apa yang paling saya suka ialah pemain kaset dengan kotak penyimpan kaset yang masih boleh berfungsi. Anda tidak akan jumpa aksesori itu pada mana-mana Pajero lain.

Stereng tiga jejari yang digunakan ialah stereng model facelift Pajero tahun 1991. Ia nampak lagi moden berbanding stereng rim nipis yang digunakan pada model 1985.


PEMAIN kaset yang cukup klasik dan masih boleh digunakan tanpa sebarang masalah.


Enjin diesel turbo

Bagaimana pula dengan enjin? Baiklah. Pajero itu didatangkan dengan enjin diesel turbo paling berkuasa dalam keluarga Pajero iaitu 4D56. Konfigurasi enjin tersebut ialah SOHC dengan empat silinder sebaris, dipasang dengan sebuah turbin yang disejukkan oleh intercooler jenis top mount.

Kalau anda hendak tahu, enjin diesel turbo yang dipasang pada Pajero ada banyak jenis. Model itu menggunakan enjin paling besar dengan sesaran 2,500cc.

Namun begitu, kuasa yang dijana oleh enjin itu tidaklah sebesar mana, cuma 104hp sahaja. Tetapi daya kilas (tork) yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 240Nm.

Digandingkan dengan kotak gear empat kelajuan buatan Aisin bersama ciri transfer gear, Pajero SWB itu rasanya tidak akan jumpa lumpur lagi. Sebaliknya lebih banyak digunakan untuk melanggar lopak dan lubang (dan kadang-kadang banjir) di atas jalan raya kita.

Rim Deerfield bersaiz 16 inci dengan offset -6 dan tayar Dunlop AT (all terrain) bersaiz 245/70/16 menjanjikan gaya maskulin. Jika perlu, boleh membawa Pajero tersebut meredah lumpur.

Tidak ada modifikasi melampau lain yang dibuat. Suspensinya pun masih standard. Tetapi standard spesifikasi JDM kerana menggunakan kebanyakan barang dari Jepun.

Keistimewaan Pajero itu terletak pada badannya yang memang susah untuk dijumpai, selain kondisinya yang cukup terpelihara walaupun telah berusia hampir 30 tahun. Teringin pula hendak layan Pajero. Ada siapa-siapa nak beli Skyline R31 saya?

Evolusi selama 36 tahun!

Posted:

Evolusi selama 36 tahun!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


ASPEK aerodinamik model terbaharu ini telah dipertingkatkan
dengan signifikan.


VOLKSWAGEN (VW) Golf baharu telah didedahkan kepada umum di Berlin, Jerman baru-baru ini. Model generasi ketujuh itu adalah evolusi 'abang-abangnya' yang lain sejak 36 tahun lalu.

Golf itu merupakan kesinambungan kepada model-model sebelum ini dengan jualan kumulatif mencecah 29 juta unit di seluruh dunia. Dengar kata, model baharu itu lebih selesa, praktikal, selamat dan efisien.

Golf baharu menawarkan lebih ruang untuk penumpang dan lebih canggih daripada model terdahulu. Malah, menerusi teknik produksi baharu, berat badannya berjaya dikurangkan sebanyak 100 kilogram (kg). Hasilnya, kereta menjadi 23 peratus lebih efisien.

Bukan setakat itu sahaja, Golf baharu juga lebih selamat hasil daripada struktur badan yang lebih tegar. Ditambah dengan himpunan peralatan keselamatan pasif dan aktif yang didatangkan sebagai standard dari kilang atau opsyen kepada pembeli.

Model generasi ketujuh itu dibina berdasarkan platform MQB (Modularer Querbaukasten) atau Modular Transverse Matrix. Penggunaan platform itu membolehkan kenderaan keluaran kumpulan VW berkongsi parameter komponen.

MQB juga membenarkan akses kepada teknologi kejuruteraan baharu termasuklah inovasi dalam bidang keselamatan dan hiburan yang sehingga kini terhad kepada kenderaan segmen yang lebih premium.

Senang kata, VW ingin mewujudkan skala ekonomi melalui peralatan dan ciri-ciri kenderaan yang sama merentasi pelbagai jenama dan model di bawah kumpulannya. Harus tahu, Audi, Skoda dan Seat merupakan antara syarikat kenderaan yang dimiliki VW.

Dari segi saiz, Golf baharu lebih besar berbanding model lama. Dengan ukuran 4,255 milimeter (mm), Golf baharu adalah 56mm lebih panjang. Jarak titik rodanya turut berubah iaitu 59mm lebih panjang kepada 2,637mm.

Roda hadapan dianjakkan 43mm ke depan untuk lebih ruang dalaman. Lebarnya kini adalah 13mm menjadi 1,799 mm. Selain 28mm lebih rendah (,452mm). Di samping ruang kabin yang lebih luas, rekaan itu turut memperbaiki pekali seret (Cd) sebanyak 10 peratus dengan bacaan terkini sebanyak 0.27.

Walaupun dimensi kereta menjadi lebih besar, namun jika dipandang dari sudut mana pun ia tetap dapat dicam sebagai sebuah Golf. Faktor itu banyak disumbang oleh DNA rekaan yang dievolusikan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.


RUANG kabin dan papan pemuka direka bagi menjadikannya lebih berorientasikan pemandu.


Ketua Rekabentuk Volkswagen AG, Walter de Silva berkata: "Salah satu kunci kejayaan Golf terletak pada kesinambungannya. Di pasaran, banyak rekaan kereta seperti Golf. Ia diperhalusi, diubah dan diperbaiki dalam tempoh yang lama sejak generasi pertama. Seterusnya menjadi rekaan yang tidak dimakan masa".

Pada bahagian kabin, konsol tengah diposisikan ke arah pemandu. Ini sekali gus menjadikannya semakin ergonomik serta akses lebih mudah kepada butang-butang kawalan.

Sistem kawalan inovatif

Kesemua varian Golf dipasang sistem skrin sentuh sebagai peralatan standard dengan paparan skrin 5.8 inci.

Golf baharu turut dipakejkan dengan sejumlah sistem keselamatan yang inovatif sebagai peralatan standard. Pelanggan juga boleh memilih peralatan tambahan yang biasanya ditawarkan untuk model-model kelas lebih tinggi.

Antara peralatan keselamatan standard ialah multi-collision brake system. Sistem itu akan memperlahankan kereta selepas berlakunya kemalangan untuk mengurangkan tenaga kinetik, seterusnya meminimumkan impak kedua.

Kajian di Jerman mendapati bahawa satu perempat kemalangan melibatkan kecederaan personal adalah daripada pelanggaran yang melibatkan banyak kenderaan.

Peralatan untuk varian yang lebih tinggi ialah Adaptive Cruise Control yang menggunakan sensor bagi mengekalkan jarak dengan kereta di hadapan. Front Assist pula mampu menghentikan kereta secara total. Sementara City Emergency Braking berfungsi bagi mengurangkan risiko pelanggaran.

Driver Alert System berperanan mengawasi input daripada pemandu bagi mengesan tanda kelesuan, manakala Lane Assist System membantu mengekalkan kedudukan di satu-satu laluan dan mampu membalas semula stereng apabila diperlukan. Dynamic Light Assist System mengelakkan silauan yang berlebihan kepada kenderaan bertentangan.

Stereng Golf baharu menggunakan sistem variable ratio yang lebih mantap dalam situasi pemanduan dinamik. Selain memastikan kestabilan sewaktu kelajuan tinggi, ia juga mudah untuk digunakan semasa pemanduan dalam bandar.

Buat pertama kalinya, Golf menawarkan seleksi profail transmisi yang membolehkan pemandu memilih empat mode iaitu Eco, Sport, Normal dan Individual. Terdapat juga tambahan untuk transmisi DSG iaitu mode Comfort.

Golf baharu dikuasakan oleh enjin petrol dan diesel yang semuanya mempunyai teknologi Stop/Start dan sistem janaan semula bateri.

Barisan enjin yang ditawarkan ialah 1.2 liter TSI (berkuasa 85PS) dan 1.4 liter TSI (140PS) dengan Active Cylinder Technology. Enjin diesel pula terdiri daripada 1.6 liter (105PS) dan 2.0 liter (150PS).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved