Jumaat, 21 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Shila Amzah terima hadiah RM1 juta

Posted:

Shila Amzah terima hadiah RM1 juta

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah (gambar) yang mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa Asian Wave 2012 di Shanghai, China, malam kelmarin dikatakan bakal menerima hadiah dana lebih RM1 juta.

Mengikut laporan portal hiburan murai.com.my, Shila, 22, mengesahkan perkara itu tetapi angka sebenar hadiah kemenangan itu hanya diketahui hari ini setelah satu rundingan diadakan bersama penganjur pertandingan berkenaan.

"Hadiah dana itu meliputi rakaman album, konsert, promosi dan perkara lain yang melibatkan kerjaya saya di China nanti," jelas Shila dalam portal berkenaan.

Malam kelmarin, Shila berjaya menewaskan penyanyi dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Penyanyi itu yang juga anak kepada penyanyi ND Lala menyanyikan tiga buah lagu iaitu Gemilang (lagu popular Jaclyn Victor), Grenade (lagu nyanyian Bruno Mars) dan sebuah lagi dalam bahasa Mandarin ketika pertandingan akhir berkenaan.

Shila yang membuat ucapan selepas dinobatkan sebagai pemenang di pentas Asian Wave itu menegaskan dia bersyukur kerana terpilih sebagai pemenang dalam kalangan penyanyi hebat lain yang turut bertanding.

"Saya berterima kasih kepada peminat serta pengundi dan pertandingan ini telah memberi peluang untuk menonjolkan bakat yang saya ada," ujarnya dalam ucapan di laman YouTube.

Pada pusingan pertama Asian Wave 2012, Shila telah menyanyikan lagi penyanyi Adele, Set Fire to the Rain dan pada pusingan kedua dia mengalunkan pula lagu penyanyi Taiwan, Lee Hom iaitu Forever Love yang telah menarik perhatian juri dan komposer terkenal China, Eric Moo.

Daripada 30 orang peserta, hanya 12 orang terpilih ke pertandingan akhir yang telah berlangsung sejak 31 Ogos lalu dan pemilihan akhir seramai lima penyanyi sahaja.

Asian Wave merupakan pertandingan peringkat Asia Pasifik untuk mencari penyanyi bertaraf bintang yang mewakili negara masing-masing.

Shila yang kini berada di Shanghai akan pulang ke tanah air pada 26 September ini. Beliau bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kemenangannya itu

Tujuh perenang Malaysia takluk Selat Inggeris

Posted:

Tujuh perenang Malaysia takluk Selat Inggeris

JURULATIH renang, Arof Omar (kanan) mengetuai bacaan doa sebelum memulakan latihan bersama para perenang untuk RPSI1M 2012 di Dover, England pada 14 September lalu.


KUALA LUMPUR - Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berasal dari Semporna, Sabah, Estino Taniyu, 24, mengharumkan nama negara apabila berjaya berenang merentasi Selat Inggeris secara solo semalam.

Estino memulakan renangan dari pantai Dover, England pada pukul 8.41 pagi waktu Malaysia (1.41 pagi waktu England) dan tiba di Pantai Sandy, Calais, Perancis pada pukul 10.22 malam waktu Malaysia (3.22 petang Perancis).

Dia menamatkan renangan sejauh 35 kilometer dalam tempoh 13 jam 41 minit dan 45 saat.

Kejayaan itu melengkapkan Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) yang turut melibatkan kumpulan enam anggota daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan TLDM yang turut berjaya menyeberangi selat tersebut menerusi renangan berganti-ganti kelmarin.

Mereka ialah Mohd. Roslan Mohd. Zawawi yang mengetuai renangan, Mohd. Khairul Faizal Mazli, Mohd. Salleh Mahmor, Buranurdin Sali, Sharizal Omar dan Mohd. Zulfadhli Mahamad.

Pasukan perenang berkumpulan itu berjaya menamatkan renangan dalam tempoh 14 jam 30 minit.

Mereka memulakan renangan dari pukul 8.30 pagi waktu Malaysia (1.30 pagi waktu England) dan tamat pada 10.30 malam (3.30 petang waktu Perancis).

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri merangkap Penasihat Ekspedisi RPSI1M, Datuk Akmar Hisham Mokhles memberitahu, keadaan laut yang bergelora telah menghalang pasukan tersebut tiba lebih awal.

"Bagaimanapun, kita bersyukur mereka berjaya menempuhi cabaran yang getir dan kejayaan ini merupakan kejayaan rakyat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ekspedisi RPSI1M adalah di bawah tajaan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah penaung projek itu.

AES berkuat kuasa esok

Posted:

AES berkuat kuasa esok

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
hafizi.ahmad@kosmo.com.my

KAKITANGAN Unit Teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan memasang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Lebuh Sentosa,
Putrajaya baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di 14 lokasi panas sekitar Perak, Selangor, Putrajaya dan di ibu negara berkuat kuasa esok.

Pelaksanaan kamera berteknologi tinggi itu merupakan fasa pertama yang terdiri daripada 10 lokasi bagi merakam kesalahan memandu melebihi had laju dan empat lokasi lagi merakam kesalahan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, pemasangan kamera AES untuk 817 lokasi lagi akan dibuat dalam fasa kedua melibatkan pelaksanaan di seluruh negara.

Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah satu langkah serius kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Oleh itu, orang ramai harus melihat pelaksanaan AES sebagai cara untuk mendidik pengguna jalan raya, bukan untuk memberi lebih kuasa kepada JPJ untuk keluarkan saman," katanya di sini semalam.

Menurut Solah, notis saman yang telah diproses dan disahkan akan dihantar kepada pemilik berdaftar kenderaan dalam tempoh lima hari dari tarikh kesalahan dirakam menggunakan sistem AES.

Katanya, jika pemilik berdaftar bukan merupakan individu yang memandu kenderaan pada masa kesalahan dirakam, mereka boleh mengemukakan maklumat pemandu kepada JPJ dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis diterima.

"Dalam notis saman itu, maklumat kenderaan, tarikh kesalahan, jenis kesalahan dan imej kenderaan yang dirakam akan disertakan," jelasnya.

Dalam pada itu, Solah memberitahu, pengguna jalan raya boleh mengetahui lokasi pemasangan kamera AES melalui papan tanda yang dipasang sebelum mereka memasuki zon operasi kamera tersebut.

Tambahnya, bagi kamera yang merakam kesalahan memandu melebihi had laju, papan tanda akan diletakkan dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer dari lokasi kamera AES dipasang.

"Bagi kesalahan melanggar lampu isyarat pula, papan tanda akan dipasang dalam lingkungan 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.

"Selain itu, orang ramai juga boleh merujuk senarai lokasi pemasangan kamera AES di laman web JPJ iaitu www.jpj.gov.my," ujarnya.

Pemilik kenderaan yang menerima notis saman AES boleh mengajukan pertanyaan dengan menghubungi Pusat Kawalan AES di talian 03-7846 4400 bagi negeri Perak dan 03-7628 8268 untuk negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved