Selasa, 25 September 2012

Kosmo Online - Kesihatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Kesihatan


Kandungan ibu tanpa rahim

Posted:

Kandungan ibu tanpa rahim

Susunan SITI NOR AFZAN KASIMAN
afzan.kasiman@kosmo.com.my

PASUKAN pakar perubatan yang terlibat dalam pemindahan rahim di Sweden minggu lalu. Dari kiri, Andreas G. Tzakis, Pernilla Dahm-Kähler, Mats Brannstrom, Michael Olausson dan Liza Johannesson.


HUJUNG minggu lalu menjadi hari paling bermakna kepada dua wanita berusia 30-an di Stockholm, Sweden apabila berjaya memiliki rahim selepas menjalani pembedahan pemindahan uterus yang dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar di Hospital Sahlgrenska yang terletak di barat negara itu.

Lebih menarik, mereka menerima rahim tersebut daripada ibu kandung masing-masing sekali gus mencipta sejarah sebagai pemindahan rahim daripada ibu kepada anak yang pertama di dunia.

Menurut ketua pasukan bedah berkenaan, Prof. Dr. Mats Brannstorm, lebih 10 orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam pembedahan sukar tersebut.

Menurutnya yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg, rahim wanita pertama telah dibuang beberapa tahun lalu akibat kanser pangkal rahim manakala wanita kedua dilahirkan tanpa rahim.

"Keadaan dua-dua pesakit yang enggan identiti sebenar mereka didedahkan ini berada dalam keadaan baik walaupun sedikit penat selepas menjalani pembedahan.

"Sementara itu, kedua-dua ibu mereka sudah boleh berjalan dan dibenarkan pulang dalam masa beberapa hari lagi," ujar Bransstorm.

Kes wanita ketiadaan rahim bukanlah senario baharu di Sweden, malah dianggarkan di negara itu, terdapat 2,000 hingga 3,000 wanita yang tidak dapat mengandung disebabkan ketiadaan rahim, sama ada ia berpunca daripada masalah kesihatan mahupun yang lahir tanpa rahim.

Menurut Bransstorm lagi, kualiti rahim dikawal oleh ovari dan hormon di dalam badan manusia.

Berdasarkan teori tersebut, pakar perubatan berpendapat, rahim wanita yang sudah mengalami fasa menopaus masih boleh menampung kehamilan.

Peluang kedua

Seorang penerima rahim yang dikenali sebagai Anna memberitahu, dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula fungsi badannya seperti wanita lain.

"Pengalaman mempunyai rahim adalah satu perasaan yang hebat.

"Saya gembira pembedahan pemindahan ini berjaya walaupun belum ada jaminan saya dan teman lelaki boleh menimang cahaya mata selepas ini.

"Bagaimanapun, memiliki rahim buat kali kedua adalah peluang terbaik dalam hidup saya.

"Jika saya berjaya hamil, ia adalah bonus buat kami," ujarnya.

Walaupun pemindahan rahim antara ibu dan anak ini mencipta sejarah yang tersendiri, ia bukanlah pemindahan rahim yang pertama dalam sejarah perubatan dunia.

Ogos tahun lalu, seorang wanita kelahiran Turki, Derya Sert, 22, turut mendapat rahim selepas lebih dua dekad dia dilahirkan.

Derya dikatakan tergolong dalam kelompok 5,000 wanita yang dilahirkan tanpa rahim di dunia.

"Saya tidak pernah didatangi haid sepanjang hidup sehinggalah selepas beberapa bulan saya mendapat rahim yang didermakan oleh waris mangsa kemalangan maut," ujarnya yang juga isteri kepada seorang mekanik kereta ini.

Mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata, Derya bagaimanapun diuji.

Namun, selepas pertemuan dengan sepasukan doktor dari Hospital Universiti Akdeniz, dia mula memasang impian untuk bergelar ibu suatu hari nanti.

Bayi IVF

"Pada 9 Ogos lalu, nasib saya berubah apabila sepasukan doktor dari Hospital Universiti Akdeniz berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim yang didermakan kepada saya.

"Saya sangat gembira dan bersyukur. Rahim yang saya terima ini merupakan satu anugerah tuhan yang sangat bermakna.

"Sebelum ini doktor mengesahkan saya tidak mempunyai rahim namun saya memiliki sepasang ovari yang sihat dan boleh mengeluarkan telur seperti wanita normal.

"Sekiranya diizinkan tuhan, kami mahu menimang cahaya mata dalam masa terdekat," ujarnya yang menghabiskan masa selama enam bulan di hospital bagi menjalani pembedahan itu.

Apa yang menarik, Derya menjadi wanita pertama di dunia menerima rahim daripada seorang penderma yang telah meninggal dunia.

Pembedahan ke atas suri rumah ini merupakan kejayaan pembedahan pemindahan rahim kedua di dunia.

Kali pertama ia dilakukan di Arab Saudi pada tahun 2000 melibatkan rahim daripada seorang penderma yang masih hidup.

Bagimanapun, pembedahan itu tidak berjaya kerana pembentukan darah beku yang banyak sekali gus memaksa doktor membuang organ berkenaan selepas 99 hari berada dalam perut penerimanya.

Pasukan doktor di Turki bagaimanapun yakin masalah itu dapat diatasi dengan menggunakan rahim orang mati kerana lebih banyak tisu dan salur darah di sekitar rahim penderma boleh dimasukkan ke dalam tubuh si penerima.

"Kami gembira kerana selepas pemindahan rahim pada tahun lalu, Derya sudah didatangi haid malah ia hadir secara konsisten. Ini bermakna, tisu daripada rahim yang dipindahkan itu hidup dan berfungsi seperti rahim biasa.

"Pembedahan ini dianggap berjaya tetapi kejayaan sebenar adalah apabila Derya melahirkan bayinya nanti," kata ketua pasukan pakar bedah itu, Dr. Omer Ozkan.

Menurutnya, tempoh enam bulan diperlukan sebelum Derya dihantar kepada pakar-pakar sakit puan.

Periksa label makanan boleh kurus

Posted:

Periksa label makanan boleh kurus

WANITA lebih peka memeriksa label nutrisi makanan berbanding lelaki.


RAMAI pengguna memilih untuk terus mengambil produk dari rak makanan tanpa memeriksa labelnya terlebih dahulu. Namun, bagi yang prihatin dengan kandungan nutrisi makanan, golongan ini bertuah kerana amalan memeriksa label pada bekas makanan berupaya membantu menurunkan berat badan sehingga empat kilogram.

Menurut penyelidikan skala besar yang dijalankan ke atas lebih 25,000 pengguna di Amerika Syarikat (AS), kumpulan pemantauan kesihatan yang diketuai pensyarah Universiti Santiago de Compostela di Sepanyol, Maria Loureiro mendapati pengguna yang memeriksa label makanan lebih prihatin terhadap berat badannya.

Menerusi kajian yang dimuatkan di Jurnal Ekonomi Pertanian itu juga, tabiat memeriksa label makanan mampu memberi kesan kepada pengamalnya.

"Golongan wanita didapati lebih peka terhadap kandungan garam, lemak, gula, protein, serat, vitamin, dan mineral yang diambil. Sebanyak 74 peratus pengguna wanita lebih kerap memeriksa label nutrisi makanan berbanding 58 peratus pengguna lelaki.

"Keadaan ini menjadikan kebanyakan bacaan indeks jisim tubuh (BMI) pengguna wanita 1.48 mata lebih rendah daripada lelaki yang jarang memeriksa label nutrisi makanan," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved