Selasa, 4 September 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Rumah sejuk tanpa pendingin hawa

Posted:

Rumah sejuk tanpa pendingin hawa

Oleh ADLAN JAAFAR

DARI luar, rumah dua tingkat yang mempunyai pagar berwarna hijau di Jalan SS2/53, Petaling Jaya, Selangor kelihatan sama dengan rumah-rumah teres lain. Dengan jarum jam menunjukkan tepat pada pukul 12 tengah hari, cuaca di luar kejiranan Petaling Jaya itu sangat terasa bahangnya kerana terik matahari.

Namun, sebaik kaki menginjak lantai rumah berwarna hijau itu suasana nyaman dapat dirasa, ditambah pula dengan putaran kipas siling menjadikan suasana sungguh menyegarkan.

Walaupun udara itu tidaklah terlalu sejuk seperti menggunakan pendingin hawa, namun ia sudah cukup untuk memberikan keselesaan kepada isi rumah.

Rumah itu sebenarnya ialah ibu pejabat Pusat Untuk Alam Sekitar, Teknologi Dan Pembangunan Malaysia (Cetdem) yang juga sebuah rumah contoh demonstrasi penyejukan.


TUMBUH-TUMBUHAN hijau di laman hadapan rumah turut memberi impak suhu udara di dalam rumah.


Pengubahsuaiannya mula dilakukan pada bulan Mac 2004 selama empat tahun dan siap sepenuhnya pada Februari 2007.

Ia dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Pembangunan Antarabangsa Danish menggunakan dana sebanyak RM1 juta dengan kos pengubahsuaian sahaja menelan RM40,200.

Kata Pengarah Eksekutif Cetdem, Anthony Tan Kee Huat, ketika itu kosnya sangat mahal terutama untuk bahan penebat.

Bagaimanapun, teknologi semakin berkembang seiring dengan perjalanan masa menjadikan bahan-bahan berteknologi yang lama menjadi semakin murah.

Bumbung perangkap haba

Pengubahsuaian terbesar dilakukan pada bahagian bumbung yang diletakkan bahan penebat. Menurut Anthony, bumbung atap genting memerangkap haba dan mampu menyimpannya dalam masa yang lama.

Di antara atap genting dan penebat, terdapat sela yang menjadi laluan udara panas rumah seterusnya keluar tanpa terperangkap dalam kediaman.

Secara saintifik, udara panas mempunyai ketumpatan yang kurang berbanding udara sekeliling dan membolehkan ia naik ke atas.

Penebat yang dipasang pula membolehkan udara sejuk terperangkap dalam rumah sekali gus dapat mengekalkan suhu pada nilai yang tetap.


ANTHONY menunjukkan perbezaan suhu di dalam dan luar rumah yang mempunyai sistem penyejukkan.


Penebat berjenama Rockwool itu berwarna kekuningan dan diperbuat daripada batu-batuan gunung berapi. Ia amat sesuai menjadi penebat suhu pada atap genting yang mampu mencecah suhu 40 darjah celsius.

Rekaan rumah biasa yang digunakan sekarang menyebabkan udara panas terperangkap di dalam dan masalah semakin ketara terutama kediaman jenis kondominium. Ia berlaku kerana tiada laluan udara panas untuk keluar.

Secara purata, suhu rumah akan turun dalam lingkungan tiga darjah celsius dan penurunan menjadi lebih banyak jika dibandingkan dengan suhu luar.

Ketika ditemui, Anthony menunjukkan bacaan suhu dalam rumah yang diukur setiap hari adalah pada 27 darjah celsius ketika jam mula menunjukkan pukul 1 petang.

"Penghuni rumah akan mempunyai kecenderungan memasang alat pendingin hawa apabila suhu dalam rumah melebihi 30 darjah celsius. Jadi apabila suhu berada sekitar 27 darjah celsius, ia sudah memberi keselesaan kepada penghuni rumah," terang lelaki yang menetap di Subang Jaya itu.

Apabila menggunakan alat penyejukan seperti pendingin hawa, penggunaan tenaga elektrik meningkat kerana ia memakan tenaga elektrik hampir 34 peratus daripada keseluruhan penggunaan dalam sehari.

Selain itu, kedudukan rumah juga memainkan peranan penting sama ada menghadap matahari terbenam atau terbit, kata Anthony.

Suhu udara matahari terbit lebih rendah berbanding matahari terbenam. Jadi, rumah yang terbaik adalah menghadap matahari terbit.

Di hadapan rumah dua tingkat itu terutamanya pada bahagian tingkap terdapat struktur penahan matahari. Ia diperbuat daripada aluminium dan direka secara condong. Kecondongan plat dapat memantul cahaya matahari supaya tidak terus sampai ke dalam rumah.


SELAIN penebat, plat solar yang menjana elektrik daripada cahaya matahari mampu menjimatkan penggunaan bekalan tenaga.


Struktur penahan matahari dipasang pada jarak tertentu supaya cahaya yang sampai hanya pantulan yang terhasil daripada penahan itu. Pantulan itu kurang silau dan cahaya serta suhunya agak rendah berbanding secara terus.

"Bahan-bahan lain yang lebih murah seperti buluh dan kayu juga boleh digunakan untuk dijadikan sebagai penahan matahari," terang Anthony kepada Kosmo!

Jimatkan tenaga

Jika terdapat ruang tanah di hadapan rumah, pokok-pokok renek sesuai ditanam bagi memastikan udara yang masuk ke rumah lebih dingin kerana ia melakukan proses fotosintesis.

Di halaman rumah bernombor 17 itu, sayur-sayuran yang ditanam secara organik menghiasi laman sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan rumah.

Menambahkan lagi teknologi tinggi pada rumah itu, bahagian bumbung rumah dipasang enam keping plat solar fotovoltan (PV) yang dapat menjana bekalan elektrik 2,000 watt sehari.

Menggunakan inverter (penyongsang), bekalan elektrik yang dijana dihantar ke Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pihak TNB mempunyai skim Fit In Tarif (FIT) yang dapat menjimatkan bekalan elektrik dengan keuntungan RM1 bagi setiap 1,000 watt jam.

Rumah yang dingin, hanya perlu menggunakan kipas tanpa pemasangan ala penyejukan tambahan seperti pendingin hawa. Kipas hanya menggunakan 70 watt jam berbanding pendingin hawa yang memakan tenaga sebanyak 750 watt jam.

Mungkin terdapat individu di luar sana yang mengatakan bahawa sudah cukup pintu dan tingkap ditutup dengan langsir, tetapi Anthony berpendapat sebaliknya.


BAHAN kekuningan ini digunakan sebagai penebat suhu dalam rumah.


Ruang antara kain langsir dan tingkap masih lagi memerangkap suhu panas. Apabila kipas dihidupkan, putarannya menyebabkan kain langsir bergerak sekali gus udara panas memasuki ruang rumah.

Pemindahan haba berlaku dan kipas sahaja tidak mungkin mencukupi dalam menyejukkan rumah. Mengikut data yang diberikan Cetdem, penggunaan elektrik untuk menyejukkan rumah memakan bekalan elektrik tertinggi iaitu sebanyak 34 peratus berbanding peti sejuk yang dihidupkan setiap masa iaitu 23 peratus.

Selain itu, rumah demonstrasi itu turut mengamalkan tuaian air hujan bagi penggunaan mencuci rumah dan menyiram tanaman.

Sebuah tangki mampu menampung air sebanyak 900 liter atau dua meter kubik jadi, air yang disampaikan oleh pihak Syabas boleh digunakan untuk tujuan minuman sahaja.

Lampu kalimantang sudah tidak digunakan lagi di rumah tersebut yang diganti dengan mentol jimat tenaga dengan memberikan kecerahan yang sama, tetapi lebih tahan lama.

Selain itu, Anthony menasihati orang ramai supaya menaikkan sedikit suhu pendingin hawa kerana setiap satu darjah celsius dinaikkan, penggunaan elektrik bagi pemampat akan berkurangan sebanyak 10 peratus.

Semua perubahan yang kelihatan ringkas dan leceh itu menjadikan rumah dua tingkat di Petaling Jaya itu sebuah kediaman yang memiliki kecekapan tenaga.

Jangan buang sampah merata-rata

Posted:

Jangan buang sampah merata-rata

Oleh ADLAN JAAFAR

PERJALANAN kumpulan ini bermula di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 2 petang.


WALAUPUN panas matahari petang menyebabkan ramai pengunjung di Jalan Bukit Bintang bercermin mata gelap dan bertopi, tetapi baru-baru ini 20 orang sukarelawan daripada Sekretariat Malaysian Plastics Forum (MPF) dan Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA) sanggup berjalan kaki tanpa mempedulikan cuaca yang membahang.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur sanggup berjalan kaki dari hadapan pusat beli-belah Lot 10 ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) semata-mata mahu menyebarkan mesej kesedaran kepada orang ramai.

Sambil berjalan, mereka membawa sepanduk bertulis Hi-Five Me, Don't be a litterbug. Setiap orang yang lalu-lalang pasti ditegur dengan memberikan tepukan hi-five tanpa malu sebagai tanda terima kasih kerana tidak membuang sampah merata-rata.

Mereka turut membawa beg plastik hitam besar supaya orang ramai yang berada di kawasan-kawasan tumpuan tetapi kurang tong sampah dapat membuang sampah ke dalam beg plastik itu.

Pada masa yang sama, mereka yang sepakat berpakaian warna hijau kekuningan itu juga membawa plastik kecil untuk diberikan kepada orang ramai sebagai bekas untuk membuang sampah.

Walaupun berpanas dan kadangkala tidak mendapat kerjasama pemilik premis kerana tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti berkumpulan, mereka tetap meneruskan kempen tersebut.

Kempen yang pertama kali diadakan itu bertemakan Hi-5 Mother Earth, Bye-Bye Litterbugs dan merupakan anjuran hasil kerjasama MPF dan MPMA. Ia bertujuan untuk mendidik masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata dalam persekitaran.

Setiap tahun, jumlah sampah yang dikutip di Kuala Lumpur lebih kurang 21,000 tan dan dijangkakan pada tahun 2020 nanti, ia akan meningkat sehingga 30,000 tan.

Orang ramai kerap menyalahkan pihak pengurusan kerana tidak melakukan kaedah pengurusan yang baik dalam memproses sampah.

Lebih daripada itu, jenis sampah yang kebanyakannya terdiri daripada bahan plastik kerap disalahkan kerana ia sukar mereput secara semula jadi.

Sebenarnya, masalah terbesar longgokan sampah sarap berpunca daripada sikap manusia sendiri iaitu gemar membuang sampah merata-rata dan tidak mengamalkan amalan kitar semula.


KITA boleh mengubah pemandangan yang menjijikkan seperti ini demi kesejahteraan bersama.


Tanggungjawab semua

"Sepatutnya, plastik sampah wajib dihapuskan dengan betul dan selamat. Ia merupakan tanggungjawab semua orang dan membuang merata-rata bukanlah penyelesaian yang tepat," kata eksekutif alam sekitar MPMA, S. Sri Umeswaran, 30, ketika ditemui di program tersebut bulan Jun lalu,

Amat mudah untuk menyalahkan bahan buangan sebagai punca kepada tempat dan keadaan yang kotor, tidak terurus serta menyakitkan mata. Hakikatnya, perangai manusia paling sukar untuk diubah.

Berita-berita mengenai aliran sungai yang dipenuhi sampah sarap kerap kedengaran. Ia menyebabkan operasi pembersihan hasil daripada tindakan tabiat manusia itu memakan kos yang tinggi.

Oleh yang demikian, tindakan para sukarelawan daripada MPF dan MPMA amatlah dipuji walaupun kelihatan belum memberi impak besar dalam jangka masa terdekat.

Pengerusi bagi pendidikan dan kesedaran MPF, Ahmad Khairuddin Shaban, 54, pula berkata, pendekatan yang dilakukan adalah bersifat holistik.

"Perubahan sikap untuk tidak membuang sampah merata-rata diharap menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Khairuddin menambah, kempen yang dijalankan itu juga sebagai tanda komitmen mereka dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah dipersetujui melalui perjanjian persefahaman Agenda 21 DBKL yang ditandatangani bersama.

Selepas berjalan di persekitaran Jalan Bukit Bintang dan KLCC, kumpulan yang penuh iltizam dan dedikasi itu menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) ke kawasan Masjid India yang ketika itu sedang sibuk dengan gerai jualan untuk berbuka puasa dan sambutan hari raya.

Langkah itu adalah bagi meluaskan ruang kempen dan liputan supaya ahli masyarakat yang disasarkan dapat menerima mesej yang hendak disampaikan.

Jumlah perjalanan yang dilakukan pada hari itu dari pukul 2 petang hingga 6 petang pada hari itu adalah lebih kurang empat kilometer.

Pencetak dilengkapi Wi-Fi

Posted:

Pencetak dilengkapi Wi-Fi


PENGGUNA boleh mengambil foto, memuat turun melalui Instagram dan terus mencetak menggunakan Selphy CP900.


JENAMA terkemuka dalam pengimejan digital, Canon tampil dengan pencetak foto kompak terbaharu Selphy CP900 dengan rekaan yang lebih menawan dan dilengkapi dengan sambungan internet.

Dengan keupayaan Wi-Fi dan label pelekat persegi baharu, Selphy CP900 mampu mengintegrasi aliran kerja rangkaian sosial dengan sokongan untuk aplikasi foto seperti Instagram.

Pengguna dengan mudah boleh mencetak gambar berkualiti tinggi yang dirakam serta-merta.

Melalui aplikasi Canon Easy-Photo Print untuk peranti iOS, iPhone dan iPad, mereka juga menghasilkan cetakan segera. Tidak ketinggalan, peranti Android juga boleh disambung secara wayarles kepada Selphy CP900 dengan bantuan satu titik akses WLAN.

Keupayaan wayarles Selphy CP900 turut menyokong DSP melalui IP (standard bagi peranti bersambung melalui LAN/wayarles) untuk dedikasi kamera kepada sambungan dan pencetakan tanpa wayar yang tidak melibatkan penggunaan komputer.

Untuk pilihan pencetakan yang lebih tradisional, Selphy CP900 mempunyai slot kad memori yang serasi dengan penyimpanan kad biasa seperti SD/SDHC/SDXC/MMC/MMCplus/HC MMCplus serta slot USB untuk pemacu dan cakera keras luaran.

Di samping itu, model ini juga dikenali dengan keupayaan cetakan unggul. Pengguna boleh mengoptimum gambar dengan menganalisis imej dan membetulkan untuk kecerahan, kontras dan pengurangan bunyi menjadikan ia kelihatan lebih sempurna daripada imej sumber.

Gambar yang dicetak oleh Selphy CP900 turut dilindungi oleh cetakan perlindungan salutan yang lebih tahan lama sekali gus mengekalkan imej setiap gambar sehingga 100 tahun jika disimpan di dalam album.

Pencetak Canon Selphy CP900 boleh didapati dalam tiga warna iaitu hitam, putih dan merah jambu. Ia boleh didapati di pasaran bermula 1 September lalu. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved