Khamis, 13 September 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Mendekati keluarga besar Kundra

Posted:

Mendekati keluarga besar Kundra

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

SAIZ badannya besar dan tegap mencecah lebih satu tan. Kulitnya yang licin pula kelihatan kelabu keperangan-perangan tatkala disinari cahaya matahari. Ketika ia membuka mulut, sepasang taring sepanjang lebih empat sentimeter yang kelihatan membuatkan sesiapa sahaja berasa gerun.

Biarpun digelar haiwan paling berbahaya di dunia, Kundra, badak air jantan berusia 19 tahun itu sememangnya jinak dan mesra.

Manakan tidak, sejak menjadi penghuni di Paya Indah Wetlands (PIW) kira-kira 11 tahun lalu, wajah dan telatahnya acapkali menjadi tarikan lensa kamera pengunjung-pengunjung yang datang ke situ.

Tidak hairanlah, tatkala dihulurkan makanan iaitu rumput jenis naphere itu serta buah-buahan seperti pisang dan betik, Kundra asyik menikmatinya tanpa mempedulikan mata-mata yang memerhati di sekeliling.

Kundra bagaimanapun tidak bersendirian. Haiwan yang dipinjamkan oleh kerajaan Botswana ketika pembukaan PIW itu, turut ditemani pasangannya, Juwita dan Chendana selain anaknya, badak air jantan berusia lebih satu bulan.


BADAK jantan di Paya Indah Wetland, Kundra mempunyai dua pasangan iaitu Juwita dan Chendana serta seekor anak jantan berusia satu tahun lebih.


"Aktiviti ini dilakukan setiap hari bermula pukul 10 pagi. Berbeza dengan melihatnya di zoo, di sini pengunjung bukan sahaja berpeluang mendekatinya dengan lebih dekat, malah dapat merasai pengalaman memberi badak makanan di bawah pengawasan kakitangan yang bertugas.

"Biarpun ia tampak jinak dan mesra manusia, kami sentiasa mengingatkan pengunjung agar sentiasa berhati-hati, bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," kata Penguasa PIW, Hasnan Yusop.

Kundra, bukannya satu-satunya tarikan yang ada di PIW. Ia syurga kepada lebih 229 spesies burung, 63 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 10 spesies amfibia dan juga 14 spesies ikan.

Menurut Hasnan, pengunjung juga pasti terpesona melihat aktiviti memberi makan buaya yang jarang-jarang dapat disaksikan khususnya di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika ini terdapat 38 ekor buaya daripada spesies tembaga menghuni di dalam kolam khas yang disediakan.

"Pengunjung juga boleh memancing di kolam-kolam pancing yang disediakan serta melihat pelanduk, landak, belibis, pangling, merak dan kuang raya di Family Park dan Laman Fauna.

"Malah, lokasi ini juga popular dalam kalangan peminat burung dari dalam dan luar negara. Ruang angkasanya kaya dengan pelbagai spesies burung tempatan dan hijrah seperti belibis (itik liar), purple swamphen, pucung serandau, lesser whistling duck, helang merah dan sebagainya," katanya.

PELUANG bermesra dan memberi makan pelbagai haiwan liar seperti landak pasti menyeronokkan.


Lindung ekosistem tanah lembap

PIW merupakan bekas lombong timah selain tasik air tawar dan hutan paya gambut seluas 450.76 hektar yang diwartakan sebagai Rizab Tanah Lembap.

Idea penubuhannya dicetuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan memulihara dan melindungi hutan paya gambut serta ekosistem tanah lembap di samping meningkat kesedaran masyarakat berhubung kepentingannya.

Ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak tahun 2005, PIW merupakan antara pusat tanah lembap di negara ini seperti Tasik Bera di Pahang, Taman Alam Kuala Selangor, Taman Wetland Likas di Sabah, Kawasan Perlindungan Burung Kuala Gula di Perak dan Taman Wetland di Putrajaya.

Sesuai dengan statusnya sebagai pusat biodiversiti yang menakjubkan, PIW turut dihuni lebih 220 spesies tumbuhan akuatik dan daratan seperti teratai, telipok dan kiambang yang melatari permukaan tasik di sekelilingnya.

PAYA Indah Wetland turut menjadi lokasi persinggahan burung-burung yang bermigrasi kerana perubahan cuaca.


"Kami juga berusaha memulihara ekosistem di sini melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah.

"Sehingga kini sebanyak 62,551 pokok telah ditanam membabitkan beberapa spesies seperti gelam, medang teja, ceri, pulai, merawan siput jantan dan jelutung," katanya.

Tambah Hasnan, secara umumnya, PIW terbahagi kepada Zon Rekreasi, Pendidikan serta Konservasi dan Penyelidikan.

Kemudahan yang lengkap

Bagi Zon Pendidikan serta Konservasi dan Penyelidikan, pengunjung dilarang memasukinya kecuali mendapat kebenaran serta perkhidmatan pemandu pelancong alam semula jadi.

Hasnan berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha memperbaiki infrastruktur di kawasan itu bagi meningkatkan imejnya sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Selangor.

Katanya, ketika ini pelbagai kemudahan yang disediakan sudah agak lengkap seperti calet, asrama, dewan seminar, dewan makan, surau, bilik mesyuarat dan tapak perkhemahan.

"PIW bukan sahaja sesuai untuk pengunjung yang mahu beriadah sambil menikmati panorama alam semula jadi, malah sesuai juga dijadikan lokasi untuk acara seperti mesyuarat, majlis perkahwinan dan sebagainya," ujarnya.

KEMUDAHAN calet yang selesa menyambut kehadiran tetamu yang ingin merasai pengalaman bermalam sambil ditemani bunyi-bunyian rimba dan kehijauan alam.


Sementara itu, seorang pengunjung, Tan Boon Beng, 43, mengakui berada di PIW memberi keseronokan terutamanya kepada kanak-kanak memandangkan ia berkonsepkan zoo terbuka.

Katanya, kebanyakan haiwan yang terdapat di kawasan berkenaan dibiar bebas mengikut habitat asalnya.

Dia yang kali pertama berkunjung ke situ memberitahu cukup teruja dengan aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung.

"Lazimnya, ramai antara kita yang gemar membawa keluarga bercuti ke pusat peranginan yang pastinya memerlukan perbelanjaan besar.

"Namun di sini, kita masih boleh merasai suasana percutian yang santai dan tidak membosankan.

"Bagi kaki pancing, mereka boleh memancing sepuas-puasnya di kolam yang disediakan, mereka yang gemar aktiviti riadah pula boleh mencuba aktiviti kayak, kembara hutan atau berbasikal," katanya yang datang dari USJ, Subang Jaya.

RUMAH Melayu Terengganu yang dihasilkan oleh tukang kayu mahir dari Besut, Terengganu tampak gah berdiri sambil mengadap Tasik Sendayan.


Ahli perniagaan itu berkata, kedudukan PIW yang terletak tidak jauh dari ibu negara juga memberi nilai tambah kepadanya.

"Bagi mereka yang datang dari luar Lembah Klang, mereka boleh mencuba pengalaman menginap di sini sambil menikmati kehijauan dan menghirup udara segar di sekelilingnya," kata Boon Beng.

Bagi Sim Hazel, 14, pula kunjungan ke situ memberi banyak ilmu yang berguna khususnya bagi yang bergelar pelajar sekolah sepertinya.

"Dalam tempoh beberapa jam sahaja, saya sudah mengetahui banyak maklumat mengenai haiwan dan tumbuhan yang terdapat di sini.

"Misalnya, mengenai badak air. Baru saya tahu haiwan itu hanya boleh ditemui di benua Afrika sahaja, malah ia mampu makan antara 40 hingga 50 kilogram makanan sehari, menarik bukan," katanya.

Sementara itu, bagi Mohd. Zaki Muda, 39, dia membawa anak-anaknya, Putra Ricky, 6 dan Andry Azahri, 13, ke situ untuk melihat aktiviti memberi makan buaya.

"Mereka cukup seronok, maklumlah bukan senang hendak melihat puluhan buaya secara dekat begini. Pengalaman melihatkan aksi ganas buaya menyambar makanan yang diberikan sememangnya cukup mengujakan," katanya.

Kisah peradaban nelayan

Posted:

Kisah peradaban nelayan

Oleh NASRI JAMALUDIN

ANTARA kelengkapan dan peralatan yang digunakan nelayan pada zaman dahulu dipamerkan di Muzium Nelayan Tanjung Balau, Kota Tinggi.


KEHIDUPAN nelayan yang keluar mencari rezeki dengan menyabung nyawa di sungai dan laut ternyata bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu dihadapi nelayan, demi kelangsungan hidup.

Malah, arus kemodenan menyebabkan tidak ramai anak muda di ibu kota mengetahui lanjut mengenai pekerjaan sebagai nelayan.

Kini masyarakat di negara ini berpeluang melawat muzium berkaitan kehidupan nelayan yang terletak di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.

Lokasinya terletak dalam perkampungan nelayan pasti mendekatkan lagi hati pengunjung yang dapat menyaksikan sendiri kehidupan nelayan di situ.

Jika kena masanya, anda dapat menyaksikan para nelayan memunggah dan menjual hasil tangkapan, melakukan kerja-kerja pembersihan laut serta membaiki jaring.


Artifak seperti pinggan daripada Dinasti Ming dipamerkan di Galeri Kapal Karam di Muzium Nelayan.


Menghargai nelayan

Muzium Nelayan yang terletak di pesisiran pantai Tanjung Balau menghadap Laut China Selatan itu turut mempamerkan pelbagai artifak kegunaan nelayan pada zaman dahulu.

Muzium berkeluasan 4.03 hektar itu dibangunkan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pada tahun 1992 dengan reka bentuk dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkonsepkan tradisional Melayu.

Objektif utama pembinaannya adalah sebagai pusat rujukan ilmu pengetahuan bagi seluruh lapisan masyarakat dan satu tarikan pelancongan.

Selain itu, ia bagi menghargai jasa para nelayan sekali gus menjadi satu-satunya muzium nelayan dan perikanan di negara ini.

Koleksi

Lebih daripada 500 bahan dipamerkan di Muzium Nelayan itu termasuk koleksi unik iaitu Perahu Pengail yang diperbuat daripada akar kayu.

Selain itu, pihak muzium turut memelihara tradisi permainan jong yang dimainkan oleh para nelayan di negeri Johor. Pada setiap tahun, permainan jong atau perahu lumba itu diadakan di kampung-kampung tertentu seperti Kampung Linting yang terletak di Tanjung Surat, Kota Tinggi serta di Kampung Rambah, Kukup, Pontian.

PENOLONG Kurator Muzium Nelayan, Muhammed Iqbal Rosli memberikan penerangan kepada para pengunjung tentang peralatan yang pernah digunakan nelayan pada zaman dahulu.


Galeri

Pada tahun 2005, Kejora memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta bagi menambah tiga galeri iaitu Galeri Geologi, Galeri Keselamatan Laut dan Galeri Kapal Karam Desaru.

Galeri Geologi menempatkan lebih 200 jenis batuan geologi pelbagai nilai dan bentuk. Uniknya galeri itu, menyimpan khazanah batuan geologi yang mempunyai kaitan dengan pesisir Pantai Tanjung Balau.

Galeri Keselamatan Laut pula memaparkan penerangan tentang sistem komunikasi yang digunakan nelayan moden termasuk replika nelayan menangkap ikan menggunakan pukat besar dan alatan komunikasi terkini.

Galeri Kapal Karam Desaru mempamerkan artifak kapal yang pernah karam di Perairan Desaru berusia ratusan tahun iaitu daripada Dinasti Ming. Turut dipamerkan adalah artifak daripada Kapal Nanyang dan Kapal Turiang yang berusia 200 tahun.

Galeri Bermusim Muzium Nelayan pula telah dimulakan sejak tahun 2009. Ia diwujudkan bagi menarik perhatian pengunjung melalui Pameran Khas dengan kerjasama jabatan muzium, agensi-agensi kerajaan dan swasta mahupun pengumpul-pengumpul koleksi.

Pameran Bermusim yang telah dipamerkan setakat ini di Muzium Nelayan termasuklah Pameran Wau dan Layang-Layang Antarabangsa dengan kerjasama Muzium Layang-Layang, Pameran Haiwan Aneh dan Pelik dengan kerjasama dengan Muzium Zoologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Veterinar Kluang, Johor serta Pameran Rangka Paus dan barangan Antik bersama pengumpul barang antik.

Setiap tahun kira-kira 10,000 orang mengunjungi muzium itu sama ada dari dalam dan luar negara terutama dari Singapura. Maklumat lanjut boleh menghubungi talian 07-8328 136 atau melayari laman web www.kejora.gov.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved