Ahad, 16 September 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Misi anak Malaysia

Posted:

Misi anak Malaysia

SECARA kimia, rasa dan landskap fikiran ketiga-tiga jiwa ini berkongsi titik temu. Bunga persahabatan yang terbentuk menjalinkan sebuah keharmonian sama ada dalam suasana bekerja mahupun peribadi.

Bahasa siulan mereka kedengaran pada satu gelombang, bezanya hanya di atas padang dan peluang.

Sharifah Amani bergerak di landasan seni visual manakala Yunalis Zarai dan AG, sang gitaris band Coco dan Hujan di sektor audio yang menjual melodi. Selayaknya, mereka itu bergelar pengkarya dan hebatnya, mereka bermula ketika darah masih remaja.

Khas sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, tiga anak Malaysia itu bercerita tentang citra dan cinta mereka.

Keterbukaan jendela pandangan dan cara mereka memperhalusi kemahuan dan ekspresi jiwa sepatutnya menjadi inspirasi generasi baharu.

Visual dan muzik

Mukadimah penceritaan bermula dengan kerjasama dua seni yang menyatukan tiga jiwa itu. Jujur kata AG atau nama sebenar Hedzry Hafiz, di matanya, dia melihat belum banyak kolaborasi membabitkan dunia muzik dan visual yang mencakupi filem dan drama.

Bercakap dalam nada protes tetapi masih berlapik santun, dalam loghat Kedah yang lunak di telinga, AG melepaskan rasa kecewa.

"Drama kita masih banyak pakai lagu Indonesia. Muzik latar dilihat sebagai satu tempelan dan tiada ketulenan.

"Lihat semasa zaman (Allahyarham) Tan Sri P. Ramlee, muzik dan visual berjalan sekali dan saling mendukung. Orang yang menonton filem mahu juga tahu siapa yang membikin lagu.

"Sepatutnya medium ini boleh membantu tugasan promosi lagu pengkarya kita," ujarnya panjang lebar.

Pengamatan AG itu tidak salah. Ia pengamatan dari kaca karyawan muda yang mencari dan mengharap banyak ruang untuk berkembang.

Disokong pula oleh wanita muda yang bukan sembarangan orang, penyanyi dan komposer Yunalis Zarai yang melakar karya dan saham sampai ke Amerika Syarikat (AS).

"Negara kita sangat kecil dan seharusnya kita saling menyokong antara satu sama lain. Budaya itu sangat digalakkan di luar negara.

"Kolaborasi muzik dan filem diterapkan sejak dari kolej lagi. Macam budak-budak di AS, LA Film Academy akan bekerja rapat dengan pelajar dari LA Music Academy.

"Di Malaysia, kalau ada kerjasama pun ia bermusim dan bertumpu pada satu-satu artis sahaja. Dari situ saya lihat nilai kreatif kena lebih," kata Yuna yang kemudian dicelah oleh AG dan Nani.

Kata AG, pembelajarannya sewaktu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dulu juga sama seperti yang diulas oleh Yuna namun, amalan sedemikian jarang berlaku apabila memasuki alam pekerjaan profesional.

"Industri kita masih baharu, masih dalam pembelajaran. Sekarang, pembikin filem atau drama generasi baharu semakin menampakkan gelombang itu.

"Penting untuk dua seni itu saling menyokong. Kerjasama itu sudah ada tapi tak cukup," celah Amani sambil menzahirkan kekagumannya terhadap pencapaian Yuna.

Kata Amani: "Saya bukan seorang pendengar muzik yang hardcore tapi Yuna benar-benar memberi inspirasi buat saya.

"Dia artis pertama yang saya miliki kesemua naskhahnya. Berbalik kepada industri, orang filem atau orang muzik, mereka sepatutnya saling menjadi inspirasi."

Ikatan emosi

Jenaka kecil AG dan mimik muka Amani memecahkan hilai Yuna. Gelagat tiga anak seni itu melambangkan tautan setiakawan yang sedang terbina antara mereka.

"Saya dan AG selalu buat kerja bersama. Saya tulis lagu, AG buat muzik. AG boleh faham bunyi yang saya mahukan.

"Mula-mula kenal dulu ada juga benda yang AG tak boleh nak masuk dengan saya tapi bila sudah lama, kami cukup serasi dan mempelajari skil masing-masing.

"Dengan Nani, dia rujukan saya berkaitan filem dan lakonan. Kami ada pendapat yang sama.

"Kami mula lepak bersama sejak tahun lepas," cerita Yuna tentang pertembungan citra bersama Amani, aktres muda yang cemerlang menerusi filem Sepet dan Gubra.

Daripada mulut Nani pula, dia melihat pengkarya bidang muzik seperti Yuna sebagai insan seni yang cukup bertuah.

Bukan tidak bersyukur kerana lahir dalam keluarga yang memberi galakan untuk berkarya dengan lakonan tetapi sehabis baik pun dia bekerja, akhirnya nilai karya itu ditentukan oleh kerja berkumpulan.

"Komposer dan penyanyi boleh berdiri sendiri. Macam Yuna, dia boleh petik gitar dan terbitkan lagu sendiri. Kami pelakon nak begitu, pelakon kena bergantung kepada banyak aspek.

"Rasanya, saya buat kerja yang sama. Yang bezanya pelakon berlainan dan lokasi. Pemuzik lebih bebas mewarna karya mereka," jelas Amani yang kemudian dipintas oleh AG.

"Awak kerja dengan televisyen, ramai orang. Kami buat lagu. Orang nak guna (ikut selera), orang tak nak guna, tak guna (dipaksa)," sampuk AG selamba.

"Ya, bila jadi pelakon, setiap kerjanya harus bergerak sebagai pelakon. Kalau buat sesuatu benda, tindakan atau keputusan yang lebih cenderung untuk diri sendiri, ia jadi rosak.

"Saya cuma beri contoh Yuna, sebab dari hujung rambut sampai hujung kaki semuanya dia putuskan sendiri, ada juga penyanyi lain yang dicipta. Saya pilih untuk kagum terhadap pengkarya," kata Nani.

Buka mata


AMANI, AG dan Yuna menumpahkan pendapat tentang hubung kait serta simbiosis dunia visual dan muzik. Kolaborasi dan idea kreatif mereka disalurkan bersama untuk sebuah hasil yang memuaskan hati.


Berpesan-pesan agar anak Malaysia hari ini tidak terperangkap dengan susur masa di laman sosial Twitter, Facebook atau Instagram, kata penyanyi yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu, sebaik-baiknya mulakan langkah, keluar dan lihatlah dunia.

"Bila berada di AS, saya lihat etika kerja orang di sana sungguh berlainan. Negara itu nampak cantik sebab penduduknya bekerja keras.

"Etika kerja mereka terbaik. Bila berada di persekitaran begitu, saya sendiri kena tingkatkan tahap kerja dua kali ganda. Kalau di sini semuanya bergantung kepada AG, di sana saya kena belajar untuk buat susunan muzik sendiri. Kena serba boleh.

"Mereka bekerja pada awal usia. Persaingan di sana sangat sengit tak macam di sini. Negara kita aman, hidup sama rata tapi ada yang tidak tahu bersyukur.

"Jadikanlah kerja keras sebagai prinsip hidup," cerita Yuna yang berpangkalan di New York di bawah pengurusan Fader Label.

Sambung Amani, sejauh mana pun dia merantau, ke Mexico, India dan Eropah, dia tetap rindu untuk pulang ke Malaysia.

"Saya setuju bab jangan terperangkap dengan susur masa di laman sosial tadi. Kita kena ada ilmu, cari apa sahaja ilmu.

"Apa pun, saya cintakan negara saya. Sebab itulah bila ada yang memberontak, marah dan kecewa dengan persekitaran, saya akan terkilan dengan orang yang langsung tidak mahu ambil kisah.

"Kita kena prihatin dengan nasib negara kita kerana inilah masa depan anak-anak dan generasi akan datang," ujar Amani bernada patriotik.

Tiba giliran, AG yang banyak memerhatikan gelagat Amani meluahkan rasa dan pengalamannya:

"Malaysia adalah sebuah tempat yang selesa. Di sini sangat banyak grup yang sebenarnya tidak tahu arah tuju mereka.

"Sepanjang saya menjelajah Britain mahupun Indonesia, mereka tidak dibekalkan dengan alat muzik mahupun pertolongan untuk membuat gig.

"Kalau di sini, semua disediakan. Kerjasama berpasukan merekalah yang membentuk profesionalisme."

Tambah AG, rakyat Malaysia masih banyak menelan hiburan luar.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita keluarkan bunyi Malaysia dalam lagu-lagu kita, ini yang patut dibanggakan. Kena penting dan banyakkan identiti Malaysia dalam muzik mahupun filem kita," ujar AG.

Pendek kata, menjadi anak Malaysia itu satu keberuntungan namun cara menghargai ruang kesejahteraan itu harus bijak agar tidak terlepas peluang yang sepatutnya ada dalam genggaman.

Rossa idamkan Anuar Zain

Posted:

Rossa idamkan Anuar Zain

ROSSA bersama album terbaharunya, The Best of Rossa yang dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.


WANITA genit dan lincah ini begitu istimewa di Malaysia. Biarpun sudah menjangkau usia 34 tahun, namun Rossa mudah mencuri tumpuan dengan gaya keanak-anakan dan sifat ramah-tamah yang tidak dibuat-buat.

Ternyata ada sesuatu yang istimewa di sini apabila dia bukan sahaja menampilkan dua lagu ekstra menerusi album kompilasi, The Best Of Rossa khas buat pasaran di sini, bahkan tidak menolak untuk menjadi suri hati peminatnya di Malaysia.

Menerusi album yang baru dilancarkan di sini pada minggu lalu, Rossa menampilkan himpunan lagu-lagu popularnya termasuklah Ayat-Ayat Cinta, Pudar, Tegar, Atas Nama Cinta, Terlanjur Cinta dan Ku Menunggu.

Lebih istimewa apabila dia menampilkan tiga buah lagu baharu untuk pasaran di negara asalnya, Indonesia iaitu Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) dan Tak Sanggup Lagi serta tambahan lagu Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu) dan One Night Lover (duet Joe Flizzow) khas buat peminat Malaysia sahaja.

Tidak sah kalau bertemu wanita ini jika tidak bercerita soal teman hati. Dalam tempoh kebelakangan ini, nama seorang jejaka muda dari Malaysia, Faris sering dikaitkan dengan dirinya. Namun si empunya diri dengan tegas di samping nada gurauan menafikan dakwaan itu.

"Faris bukan pacar saya. Saya kenal dia pun ketika sambutan hari lahir mamanya pada suatu ketika dahulu sahaja. Sejurus itu kami rapat sebagai kawan.

"Memang saya dekat dengan dia dan sering makan bersama keluarganya, tatapi saya kini tidak berpacaran dengan sesiapa," katanya ketika ditemui di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Rossa yang merupakan ibu kepada Rizky Langit Ramadan, 6, menambah, dia kini sedang didekati oleh beberapa orang lelaki, tetapi tiada perancangan untuk mengikat kasih.

"Ada beberapa orang yang dekat dengan saya, tetapi untuk hubungan yang serius masih belum ada rencana," ujar Rossa yang tidak menolak jika jodohnya adalah orang Malaysia kerana pernah berpacaran dengan seorang jejaka di sini pada suatu ketika dahulu.

Dia seolah-olah sudah kalis apabila ditebak dengan soalan klise berkaitan hubungan rapatnya dengan mana-mana lelaki. Namun, empunya diri bijak mengawal situasi agar tidak pantas melenting bahkan bijak berdiplomasi menangkis segala dakwaan.

Tidak hanya dikaitkan dengan jejaka Malaysia, kini timbul juga cerita mengenai hubungan istimewanya dengan seorang ahli perniagaan di Indonesia. Namun, Rossa tetap bijak menafikan teka-teki itu tanpa mengguris hati sesiapa.

Dalam berteka-teki soal hero di hatinya, nama penyanyi Anuar Zain tetap melekap di hati janda kepada anggota kumpulan Padi, Yoyo itu. Jelas Rossa dia mengidam untuk berduet dengan Anuar menerusi sebuah lagu istimewa.

"Selepas berduet dengan Joe Flizzow, saya menanti waktu untuk berduet pula dengan Anuar. Sudah lama sebenarnya teringin tetapi ada sahaja halangannya.

"Saya memilihnya bukan kerana nama besar semata-mata tetapi melihat potensi yang ada untuk lagu itu berjaya nanti. Untuk lagunya, pastinya saya akan memilih naskhah masyarakat yang orang kebanyakan suka," katanya yang turut memasang impian untuk berduet dengan Datuk Sheila Majid.

Dalam tempoh setahun diedarkan di Indonesia, kira-kira 1.5 juta unit CD berjaya dijual sekali gus menjadikan album itu sebagai melodi yang paling tinggi dalam pasaran semasa di Indonesia.

"Mujurlah strategi pemasaran di rangkaian restoran (makanan segera) KFC ini berjaya. Saya selalu juga singgah di beberapa buah restoran untuk bertemu peminat dan mendapat maklum balas daripada kakitangannya," kata Rossa yang berada di Kuala Lumpur selama empat hari.

Dalam perkembangan lain, Rossa dijadualkan berangkat ke tanah suci Mekah pada 12 Oktober ini untuk menunaikan fardu haji setelah tiga kali mengerjakan umrah.

Selain sibuk menguruskan 18 buah cawangan pusat karaoke, Diva Family Karaoke di Indonesia yang dimilikinya, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hartanah.

Introduksi Qalam Band

Posted:

Introduksi Qalam Band


QALAM BAND yang disertai jejaka belasan tahun, pemain keyboard, Hanif (duduk kiri) gitaris kedua, Faizwan (duduk kanan), (berdiri dari kanan), pemain bass, Wan, pemain drum, Alias dan Erfan (kanan sekali).


ALAM BAND wujud atas komitmen serta sokongan padu daripada orang yang percaya terhadap bakat dan kesungguhan anggotanya.

Penubuhan Qalam Band bermula apabila pemain dram, Mohamad Alias Mohd Esa menyertai satu program uji bakat RTM di Ipoh, Perak.

"Program itu menemukan saya dengan Ketua Bahagian Rancangan Perak FM, Fauzi Ramli dan dari situ tercetuslah inspirasi penubuhan Qalam Band," cerita Alias.

Cerita Alias, kumpulan itu menggunakan nama Ajim Band namun ia tidak dapat bertahan akibat beberapa masalah teknikal. Ajim Band atas dorongan Fauzi Ramli bertukar nama kepada CNC Band.

Nama Qalam Band kemudian terhasil oleh pengamatan Othman Mahmood yang sudah lama bergelumang dalam sepak terajang dunia muzik. Nama Qalam Band dicetuskan sendiri Othman selepas CNC bernaung sebagai artis rakaman bawah syarikatnya, Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd., sekitar pertengahan tahun 2012.

Dianggotai oleh Muhammad Zainol Mohd. Nor (Erfan), selaku vokalis, Alias Mohd. Esa sebagai pemain drum, Faizwan Farman Farod Hasfardy (gitar), Mohamad Hanif Omar (pemain keyboard) dan Wan Mukhammad Mukhrizad Wan Mokhtar (vokalis kedua), Qalam Band kini muncul dengan single pertama berjudul Di Lamun Rindu.

Ternyata pilihan Othman selaku penerbit single berkenaan untuk merakamkan semula lagu ciptaan sepenuhnya komposer dari Singapura, Apit itu membuahkan hasil. Apit juga tidak asing lagi dalam industri muzik di Malaysia, terdahulu dia pernah bekerjasama dalam pembikinan untuk album Salem dan kumpulan Kristal.

"Beberapa tahun lalu, lagu Di Lamun Rindu sebenarnya pernah dirakamkan oleh Apit bersama kumpulannya, Baron Bros. Versi asal Di Lamun Rindu telah ditonton lebih 700,000 kali di YouTube. Dari situ kita ambil lagu itu untuk jadi pengenalan Qalam Band," ujar Othman tanpa perlu menyembunyikan fakta.

Setelah dirakam semula oleh Qalam Band dan dilancarkan pada Ogos lalu, single Di Lamun Rindu mudah mendapat penerimaan pendengar dan mula berputar di corong-corong radio. Biarpun lagunya masih mengekalkan jalur rock balada, sentuhan muzik urban dan imej pop diharapkan menjadi kombinasi yang lengkap untuk anak-anak muda yang mahu menongkah arus muzik itu.

Di samping promosi serta undangan persembahan, band yang rata-ratanya dianggotai remaja belasan tahun itu dalam proses pemilihan material terbaharu untuk rakaman single yang seterusnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved