Selasa, 11 September 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Mesir adakan pertemuan empat hala

Posted:

Mesir adakan pertemuan empat hala

UTUSAN PBB/Liga Arab, Lakhdar Brahimi (kiri) menemui Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Kaherah semalam.


KAHERAH - Kementerian Luar Mesir semalam mengesahkan bahawa pihaknya menjadi penganjur pertemuan empat hala bagi menamatkan konflik di Syria selepas Iran bersetuju menyertai rundingan berkenaan.

Dalam satu kenyataannya, kementerian itu menyatakan, delegasi dari Turki, Iran dan Arab Saudi dijadualkan bertemu semalam bagi menangani situasi yang semakin buruk di Syria dan mengakhiri penderitaan rakyat Syria serta menamatkan pertumpahan darah melalui proses politik.

Pertemuan empat hala itu merupakan yang pertama melibatkan kumpulan hubungan di rantau Arab berhubung isu Syria.

Ia dicadangkan oleh Presiden Mesir yang baharu, Mohamed Morsi pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam di Arab Saudi.

Berlangsung pada Ogos lalu, persidangan tersebut membuat keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria dalam organisasi berkenaan.

Pegawai Kementerian Luar Mesir, Nazih Al-Naggari dipetik sebagai berkata, para delegasi akan bertukar-tukar pendapat berhubung perkembangan tragis di Syria dan cara menamatkan pertumpahan darah serta mencapai aspirasi rakyat Syria.

Menurutnya, Mesir akan mengusahakan satu konsensus untuk segera menamatkan pembunuhan dan keganasan, mengekalkan penyatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria di samping menolak campur tangan tentera asing di negara berkenaan.

Ia juga akan melancarkan proses politik dengan penyertaan daripada semua segmen masyarakat Syria.

Pada masa yang sama katanya, pertemuan itu turut menyokong usaha Arab dan antarabangsa bertujuan untuk menamatkan krisis di Syria termasuk misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) /Liga Arab yang diketuai oleh Lakhdar Brahimi.

Terdahulu, Kementerian Luar Iran dalam satu laporan menyatakan, Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian telah meninggalkan Teheran menuju ke bandar raya ini bagi menyertai rundingan berkenaan.

"Penglibatan Iran dalam pertemuan ini adalah dalam rangka kerja untuk menyelesaikan krisis Syria dan mendengar usul Mesir," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast.

Perkembangan tersebut berlaku ketika tentera rejim Presiden Bashar- Al Assad menguasai semula beberapa berek tentera di bandar raya Aleppo selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari dengan pemberontak.

"Tentera Syria kini menguasai sepenuhnya berek tentera Hanano selepas pertempuran tamat pada malam semalam," kata satu sumber kepada agensi berita AFP dari dalam berek berkenaan.

Pada Jumaat lalu, pejuang-pejuang pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria melancarkan serangan bertujuan untuk menawan pangkalan tentera berkenaan yang terletak di timur Aleppo.

Dalam pada itu, kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, lebih 23,000 nyawa melayang sejak rakyat Syria bangkit menentang Bashar pada Mac tahun lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi. - Agensi

Suspek pengebom menyerah diri

Posted:

Suspek pengebom menyerah diri

SEORANG anggota polis bersenjata mengawal rumah Toriq selepas pihak berkuasa menemui alat-alat membuat bom di dalam kediaman terbabit.


JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia menyatakan seorang suspek pembuat bom yang melarikan diri dari rumahnya telah menyerah diri kepada polis di sini.

Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto semalam memberitahu, Muhammad Toriq yang berusia 32 tahun menyerah diri pada lewat Ahad lalu.

Toriq dikatakan memakai seutas tali pinggang yang berisi alat letupan. Dia juga menyerahkan sepucuk pistol dan peluru.

Suspek melarikan diri selepas penduduk di kawasan perumahan pergi ke kediamannya apabila asap keluar dari rumahnya. Polis kemudian menemui alat-alat membuat bom di dalam rumah terbabit.

Toriq dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan militan yang merancang untuk menembak polis dan mengebom bangunan Parlimen Indonesia sebagai usaha mencetuskan 'perang suci' serta menubuhkan sebuah negara Islam. - Agensi

Psy mahu jadi penyanyi Korea terhebat di AS

Posted:

Psy mahu jadi penyanyi Korea terhebat di AS

PENYANYI rap Korea Selatan, Psy bergambar di belakang pentas selepas menyampaikan satu anugerah pada Anugerah Muzik Video MTV di Los Angeles pada Khamis lalu.


LOS ANGELES - Artis rap Korea Selatan, Psy kini popular di Amerika Syarikat (AS) ekoran video muzik lagunya Gangnam Style kini melepasi 130 juta tontonan di YouTube.

Klip video lagu berkenaan mula disiarkan di laman perkongsian video tersebut pada pertengahan Julai lalu.

Pada minggu ini, Psy meneruskan usahanya untuk mendominasi dunia dengan muzik pop Korea atau K-pop apabila satu klip video pendek mengenai Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang diterbitkan di AS.

Klip video berkenaan diterbitkan oleh Scooter Braun yang merupakan pengurus kepada bintang remaja popular, Justin Bieber.

Bercakap mengenai klip video tersebut, Braun berkata, mereka merancang untuk menjadikan Psy sebagai artis Korea Selatan pertama yang mencapai kejayaan besar di AS.

"Kami keluar bersama di California selama empat hari dengan saya dan Psy kini merupakan kawan," kata Braun dalam klip video berkenaan.

"Kami bersetuju untuk mencipta sejarah bersama-sama," tambahnya. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved