Ahad, 1 Januari 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nilai klasik katil kayu tradisional

Posted:

Nilai klasik katil kayu tradisional

Nilai klasik katil kayu tradisional

KEHENINGAN pagi itu tiba-tiba bertukar bingit. Seorang lelaki sebelum itu dilihat bangun menjinjing sebuah mesin pemotong kayu menuju ke tepi belukar untuk menebang pokok. Bunyi bising saat mata mesin mengena batang pokok cengal menyebabkan mungkin ada yang menyangka, Ismail Yunus seorang pembalak.

Jika itu tekaan anda, ternyata ia meleset sama sekali. Dalam zaman serba moden ini, pada saat mungkin kebanyakan anak muda mungkin lebih mengenali katil IKEA, siapa sangka katil tradisional masih mempunyai peminatnya.

Ismail adalah di antara sebilangan pembuat katil tradisional yang masih berusaha mengekalkan kesinambungan nafas seni kraf tangan yang hakikatnya kini sedang bergelut untuk meneruskan survivalnya.

Menjelang tengah hari, Ismail kembali ke rumah usang yang dihuni bersama tujuh ahli keluarganya. Beberapa keping kayu yang telah siap dipotong disusun rapi mengikut saiz. Di satu sudut, kelihatan beberapa bilah pahat yang diasah tajam bagi tujuan ukiran. Beberapa jam kemudian, lelaki berusia 48 tahun itu mula menjalankan kerja hakikinya sebagai seorang pembuat katil tradisional.

Dibantu dua anak lelaki yang berusia 16 tahun dan 13 tahun, Ismail yang berusia 48 tahun mula menggerak-gerakkan jarinya bagi mencari lakaran terbaik. Sejam kemudian, lakaran berbentuk dedaun berbaru mulai kelihatan. Agak menakjubkan, kerana dia langsung tidak menggunakan sebarang panduan atau alat untuk membentuk lakaran yang tepat itu.


ISMAIL dan anaknya, Mohd. Hafizan menyusun kayu-kayu yang akan digunakan untuk membuat katil.


"Semua lakaran yang saya inginkan ada dalam kepala. Saya tidak perlukan kertas jauh sekali untuk menggunakan komputer. Setiap pergerakan jari-jemari saya adalah atas naluri dan pengalaman,'' jelas bapa kepada enam anak itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Kerengga, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sambil tangannya tangkas mencapai pahat, lelaki itu mula membuka bicara.

"Saya perlu melakukan 10 proses wajib dalam pembuatan satu-satu katil tradisional. Langkah pertama adalah mencari kayu sama ada dibeli atau dicari di dalam hutan dengan kayu jenis cengal dan seraya menjadi pilihan.

"Kayu ini perlu diketam bagi mencari corak yang menarik selain membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu kepala dan ekor katil. Selepas itu, saya akan mengukir bunga dan memotongnya menggunakan mesin.

"Langkah paling penting adalah memahat menggunakan tangan kerana di sinilah seni sesebuah katil itu dicari. Hasil yang dipahat itu perlu dihalusi dengan kertas pasir buat kali pertama," katanya.


BIARPUN permintaan terhadap katil tradisional tidak sehebat dahulu tetapi, Ismail nekad mempertahankan seni kraf itu.


Proses seterusnya adalah memasang empat komponen katil merangkumi kepala, ekor, rasuk dan lantai. Selepas itu katil akan dicat dengan cat varnis dan dibiarkan kering selama 24 jam.

Kerja-kerja menghalus buat kali kedua akan dilakukan menggunakan kertas pasir sebelum proses terakhir yang juga kerja-kerja menghalus.

"Kerja menghalus sangat penting bagi memastikan corak pada kayu itu kekal dan tidak hilang sampai bila-bila," jelasnya.

Corak awan larat

Menceritakan lanjut mengenai pembuatan katil tradisional, ketelitian dalam penghasilan katil termasuk untuk mengukir menyebabkan dia memerlukan masa seminggu menyiapkan sesebuah katil termasuk dengan mengecat dan pemasangan.

"Nilai ukiran dan pembuatan katil tradisional ini cukup tinggi. Ia adalah satu kepuasan kepada saya sebagai pembuatnya. Dalam sebulan saya boleh siapkan empat buah katil kalau ada permintaan. Ia merangkumi katil satu tilam, jenis queen dan king. Semuanya bergantung atas permintaan daripada pelanggan," tambahnya.

Ujar beliau, dalam pembuatan katil tradisional ada empat rangka wajib yang perlu dihasilkan mengikut ukuran yang tepat. Pertamanya adalah kepala katil yang akan menghimpunkan ukiran pilihan pelanggan sama ada bercorakkan awam larat, bunga-bungaan atau pun geometri.

Selepas itu ada juga ekor katil yang mana hiasannya banyak mengikut ciri-ciri kepala katil. Dua lagi rangka wajib adalah rasuk katil dan lantai katil.

Jujur katanya, pembuatan kepala katil adalah yang paling sukar kerana ia menjadi penanda aras kepada kualiti dan nilai eksklusif sesebuah katil tradisional.

Selain nilai eksklusif dan klasik setiap katil yang dihasilkannya, Ismail lantang memberi jaminan katil rekaannya mampu bertahan beratus tahun lamanya berbanding katil moden biasa.

Bukan ingin bercakap besar, sebaliknya keyakinan Ismail itu adalah bersandarkan kepada corak pemilihan kayu yang dibuat selain. cara pemasangan yang tidak bergantung penuh kepada paku.


KATIL bersaiz king yang disiapkan Ismail lengkap dengan corak awan larat di kepala dan ekor katil.


"Pelbagai jenis kayu seperti tembusu, cengal dan seraya kebanyakannya saya peroleh daripada hutan,'' jelasnya.

Terpaksa runding harga

Sesekali bercakap mengenai keuntungan, Ismail lebih suka membisu. Ternyata dalam wajah yang lesu Ismail menyimpan bukan sedikit kisah duka. Ini kerana dia sedar pendapatannya sebagai pembuat katil tradisional bukanlah semewah yang mungkin disangka oleh semua orang.

Malah akuinya, demi kecintaannya terhadap kerjaya itu dan demi sesuap nasi acap kali, dia perlu bertolak ansur dengan pelanggannya bahkan sesekali mengalah dari segi harga.

"Harga biasanya saya letakkan mengikut kualiti ukiran dan saiz iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk sebuah katil. Namun, bila pelanggan minta harga yang lebih murah, biasanya saya hanya mampu membuat jualan sekitar RM1,500 untuk sebuah.

"Saya tidak boleh berkeras pada harga kerana permintaan ke atas katil tradisional bukanlah tinggi. Jadi, jika ada pelanggan tawaran maka, saya akan terima asalkan saya mendapat duit," katanya.

Di sini, tiada sudah nilai keuntungan kerana inilah hakikat yang saya perlu terima. Selagi ada orang yang sudi membeli, selagi itu saya akan menjualnya walaupun saya tahu ia satu kerugian di atas kesungguhan dan penat lelah saya.

Namun, Ismail tetap gembira dengan apa yang dilakukannya kini. Dengan bermodalkan sewa rumah sebanyak RM100 sebulan, dia senang dengan apa yang diperoleh.

Mengakui ramai rakan-rakannya sudah mengecapi kehidupan mewah, dia sebaliknya lebih suka bersandarkan kepada rezeki termasuklah menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan memotong, memahat, mengukir dan mengecat katil tradisional.

"Susah macam mana sekali pun, saya tidak akan meninggalkan kerjaya ini. Dunia saya adalah di sini dan inilah kehidupan saya," katanya yang pernah menolak tawaran menjadi tenaga pengajar di Sabah kerana terlalu jauh dari Terengganu.

Sementara itu, anak sulung Ismail, Mohd. Hafizan mengakui, masa remajanya kini lebih banyak dihabiskan di bengkel untuk membantu ayahnya selepas berhenti daripada sekolah.

Katanya, apa yang dilakukannya ketika ini termasuk berhenti sekolah bukanlah satu pilihan tetapi, demi menjaga keluarganya yang bergantung penuh kepada rezeki katil tradisional.

"Bapa ada tanya adakah saya mahu menyambung sekolah tetapi, saya rasa inilah kehidupan yang perlu saya hadapi. Saya sudah jauh tertinggal dan rasa agak malu untuk kembali ke sekolah.

"Biarlah saya di sini untuk melihat kemahiran bapa. Mungkin suatu hari nanti saya mampu meneruskan tradisi keluarga dengan cara yang berbeza," jelasnya yang mula berjinak-jinak dalam aspek ukiran dan lakaran.

Full content generated by Get Full RSS.

Melodi muzik Gaza

Posted:

Melodi muzik Gaza

Melodi muzik Gaza


SEORANG guru mengajar anak muridnya bermain gitar walaupun hanya bertemankan cahaya lilin.


DI sebuah bilik sekolah muzik di Gaza, Palestin, hanya lantunan irama muzik daripada qanun iaitu sejenis alat muzik tradisional Asia Barat kedengaran di situ. Ia seolah-olah membawa seseorang jauh daripada sebuah wilayah yang sehingga kini terperangkap dengan kemiskinan dan peperangan.

Seorang kanak-kanak, Zeina al-Hamamra, 7, dengan penuh yakin sambil mendekatkan tubuhnya di depan alat muzik itu lalu memetik tali qanun dengan jari-jari kecilnya.

Sebaik tamat memperdengarkan melodi muzik indah, dia melemparkan senyuman dengan megah kerana pembelajaran muzik selama setahun di sekolah terbabit membuahkan hasil.

Di Gaza, sebuah wilayah yang biasanya lebih sinonim dengan bunyi letupan bom dan jet pejuang Israel, kini bersaing dengan dengungan yang dikeluarkan daripada alat muzik qanun dan selo.

Sekolah muzik yang didirikan itu merupakan ilham seorang ahli muzik, Ibrahim Al-Najjar yang berusia 64 tahun. Dalam temu bual hari itu, beliau duduk menyertai Hamamra sambil meniup oud iaitu sejenis seruling Arab. Beberapa pelajar lain turut bermain qanun, manakala beberapa orang lagi khusyuk bermain tabla.

"Kita mahu kanak-kanak ini mempunyai akses kepada itu," katanya yang duduk di dalam pejabat kecil.

Najjar, seorang penduduk Gaza yang belajar muzik di Kaherah pada akhir tahun 1960-an sebelum mengajar di Kuwait dan Romania. Dia akhirnya pulang ke bumi Palestin pada tahun 1997.

Selepas itu, beliau mula bekerja dengan kementerian pendidikan Gaza untuk melatih guru-guru muzik.

Selama 10 tahun berkhidmat dengan kementerian, beliau telah melatih seramai 37 guru dan membangunkan kurikulum untuk mengajar muzik, sebelum meninggalkan tugas sebagai kakitangan kerajaan untuk menubuhkan sekolah muzik sendiri pada tahun 2007.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan sekolah tersebut terpaksa ditutup kerana tiada sumber kewangan.

Begitupun beberapa bulan selepas itu, beliau didatangi oleh Yayasan AM Qattan iaitu sebuah badan amal yang aktif di wilayah-wilayah Palestin berpangkalan di London.


SEKUMPULAN pelajar bermain alat muzik qanun di sebuah sekolah muzik di Gaza.


Yayasan terbabit menawarkan pembiayaan sebuah sekolah muzik baharu selain membayar untuk pelajaran dan instrumen.

Tarik minat orang muda

Apabila ia dibuka pada bulan Oktober 2008, sekolah itu merupakan lambang generasi baharu Palestin apabila telah menarik penyertaan seramai 300 pemohon sedangkan tempat yang ada ketika itu hanyalah 35 sahaja.

Tetapi selepas tiga bulan sekolah itu dirasmikan, satu serangan yang dicetuskan Israel telah memusnahkan banyak kemudahan infrastruktur di wilayah kecil Gaza dan seramai 1,400 rakyat Palestin turut terkorban.

"Saya berada di pejabat saya apabila perang itu tercetus. Saya hampir dibunuh kerana saya berada di dalam. Semua instrumen telah musnah termasuk seluruh bangunan.

"Mereka (pelajar) menyangka bahawa tiada lagi kelas muzik selepas perang itu. Saya memberitahu mereka untuk berfikir secara berbeza bahawa kita akan membina semula sekolah baharu," katanya.

"Sebenarnya bermain muzik merupakan satu keperluan untuk melupakan perang dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menjadi gembira semula," ujarnya.

Dengan bantuan AM Qattan, sekolah dibuka semula lima bulan kemudian dalam sebuah bangunan baharu dengan 10 bilik dengan 13 orang guru muzik.

Kebanyakan mereka merupakan rakyat Palestin tetapi, ada di antara mereka dari Rusia dan Romania iaitu wanita yang berkahwin dengan Gaza tempatan.

Kelas muzik itu dibuka selama empat jam sehari, enam hari seminggu dan kini mempunyai 126 pelajar muda yang mengkaji mana-mana salah satu daripada lapan instrumen piano, biola, selo, trompet, nayy (seruling timur), qanun, oud dan gitar.

Dalam sebuah bilik, seorang guru, Ahmed Abu Amsha sedang memujuk seorang pelajar berusia 8 tahun yang sedang bermain gitar agar memahami nota muzik di depannya.

"Tiada muzik di Gaza, sehingga anak-anak tidak memahami apa-apa mengenainya. Tetapi muzik begitu penting," ujarnya.

Selepas peperangan, kanak-kanak banyak berubah dan menderita. Mereka belajar bermain muzik dan membebaskan perasaan marah mereka menerusi muzik.

Liliane al-Madhun, 13, mahu bermain piano apabila dia mula di sekolah biasa. Najjar berkata, ia merupakan peralatan permainan yang biasa didengari kebanyakan pelajar.

Tetapi, dia menggalakkan Al-Madhun untuk mencuba qanun dan kini kanak-kank itu gembira menunjukkan kemahiran beliau.

"Saya sangat suka dengan qanun. Apabila saya bermain muzik, saya berasa gembira, saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkan dengan tepat, tetapi saya rasa berbeza, saya seolah-olah di tempat yang berbeza.

"Bagaimanapun saya tidak suka muzik Arab! Ia begitu membosankan. Saya suka Justin Bieber!" kata beliau dengan penuh semangat sambil menunjukkan gambar artis pop Kanada yang berusia 17 tahun menerusi telefon mudah alihnya.

Walaupun Bieber mungkin bukan cita rasa Najjar, dia gembira untuk memupuk minat muzik dalam kalangan pelajarnya.

"Burung, angin dan pokok semuanya menghasilkan muzik dan muzik akan mengubah sikap kanak-kanak. Ia membantu mereka menjadi seperti sedia kala. Kami perlu muzik di Gaza," ungkapnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Karya juara Anwar

Posted:

Karya juara Anwar

Karya juara Anwar

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my


ANWAR menunjukkan novel-novel yang pernah mendapat sentuhannya.


BERKECIMPUNG lebih 40 tahun dalam bidang kesusasteraan, Datuk Dr. Mohd. Anwar Ridhwan mengakui penulis-penulis tempatan mendukung kualiti persembahan sastera yang sama hebat dengan negara asing khususnya Barat.

Apabila bercakap mengenai dunia kesusasteraan, hampir semua elemen sastera seperti menulis puisi, cerpen, novel, skrip drama, esei dan kritikan sastera sudah pun menerima sentuhan Anwar atau nama sebenarnya Anuar Rethwan. Pengalaman tebal dalam bidang sastera negara dan selaku Sasterawan Negara, Anwar menjadikan kualiti persembahan sebagai nadi utama sesuatu hasil karya beliau.

"Mutu penyampaian karya sastera tempatan sebenarnya setanding dengan negara Barat khususnya negara yang mengagungkan karya sastera mereka seperti Amerika Latin, China, India dan Jepun. Tetapi kerana psikologi pembaca yang masih skeptikal membesarkan karya luar negara, ia menyukarkan sasterawan tempatan menonjol," kata bekas Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Anak jati Selangor yang dilahirkan di Sungai Besar pada tahun 1949 itu pernah melawat Amerika Syarikat untuk kursus penulisan pada tahun 1982 dan 1986 berpeluang menilai serta membuat perbandingan karya tempatan dan asing.

Hasilnya, beliau yang pernah bertugas sebagai Profesor Lawatan di Universiti Tokyo pada tahun 1997 hingga 2000, mendapati karya Barat mempunyai elemen kebebasan menulis seperti berkenaan seks, berkesedudukan, anak luar nikah, homoseksualisme dan sebagainya.

"Sebaliknya penulis kita terikat dengan tanggungjawab sosial, moral, etika dan agama. Penulis kita tidak boleh mengabaikan semua ini semata-mata untuk menghangatkan jalan cerita," kata beliau.


PENYEBERANG SEMPADAN mendapat tempat pertama dalam Hadiah Sako 3 baru-baru ini.


Sambil menghirup minuman Milo, Anwar yang kini selaku Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mengakui, negara-negara Timur seperti Thai, Vietnam, Indonesia turut menawarkan kualiti sastera yang tinggi tetapi kurang dipopularkan kerana psikologi pembaca itu sendiri.

Bagi Anwar sendiri karya-karya seperti Hari Terakhir Seorang Seniman, Sahabat, Naratf Ogonshoto dan yang terbaharu, Penyeberang Sempadan telah membawa ganjaran yang pelbagai buat dirinya.

Novel juara

Misalnya, novel pertama beliau yang paling popular pernah dialih bahasa dalam pelbagai bahasa seperti Urdu, Inggeris, Jepun dan Perancis, manakala Naratif Ogonshoto, sebuah fiksyen moden pula membawa pelbagai gelaran, anugerah dan hadiah.

"Tarikan terbaharu saya ialah Penyeberang Sempadan yang diusahakan sejak setahun lalu dengan bantuan beberapa orang. Ini kerana ia bukan sahaja melibatkan sejarah dan budaya sesuatu kawasan tetapi, sebahagian kisahnya berkisar kepada kisah benar yang pernah berlaku semasa zaman penjajahan namun, tidak didokumentasikan."

"Ia sebuah novel yang kompleks kerana menyelitkan zaman sebelum kemerdekaan. Tetapi ia mengenai pencarian jiwa yang benar dan mutlak. Ia satu proses yang sulit, mencampur aduk soal psikologi, carian ketuhanan dan latar belakang sejarah negara. Namun, saya mahu memberikan satu keanehan yang tidak terdapat dalam novel lain," kata beliau mengenai novel terbaharunya itu.

Dalam karya yang sama Anwar memberitahu, beliau menyelitkan pelbagai teknik penyampaian baharu misalnya ciri magis realisme, elemen sinematografi bagi setiap adegan dan kepekatan budaya si pembawa kisah itu.

Sudah diterbitkan bersama Utusan Publications & Distributors (UP&D), Anwar turut memenangi tempat pertama Hadiah Sako 3 bagi novel itu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved