Selasa, 25 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pesta cahaya keluarga estet

Posted:

Pesta cahaya keluarga estet

Pesta cahaya keluarga estet

EMPAT tahun lalu, kehidupan Lengesvary Muniandy, 33, berubah mendadak. Hari-hari yang dilaluinya penuh ceria sebelum itu berganti berlinangan air mata serta kesedihan yang tiada penghujungnya berikutan pemergian suami tercinta.

Kanser otak yang meragut nyawa suaminya dahulu kini kembali menghantui diri Lengesvary apabila satu-satu anaknya pula disahkan menghidap penyakit itu.

Walaupun kondisi anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu masih terkawal, namun keresahan Lengesvary memang tidak dapat disembunyikan kerana setiap kali anaknya itu mengadu sakit kepala, dia akan membawa anaknya terus ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

Hidup dalam serba sederhana di Ladang Elmina, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Lengesvary tidak dinafikan seorang ibu tunggal yang tabah serta tidak pernah sekali menghampakan kehendak anak kesayangannya itu.

"Selepas suami saya meninggal, saya memang tidak ada hati untuk menyambut Deepavali lagi kerana kebiasaannya selepas kematian salah seorang ahli keluarga, kami tidak akan menyambut perayaan itu untuk tahun berikutnya.


KEAKRABAN keluarga (dari kiri) Melinishwaran, Gunasegar, Lengesvary dan Mageswary begitu kuat biarpun hidup dalam serba sederhana di Ladang Elmina, Sungai Buluh.


"Tetapi saya memilih untuk tidak menyambut Deepavali selama empat tahun. Tiada persediaan dilakukan, rumah tidak dihias, tiada kuih dibuat dan saya hanya membelikan anak saya baju baharu," luah Lengesvary yang sudah 12 tahun mendiami ladang kendalian Sime Darby itu.

Melihatkan anak yang semakin membesar, Lengesvary tidak sampai hati mengecewakan putera kesayangannya itu dan membuat keputusan untuk menolak rasa sedih itu ke tepi dan memenuhi permintaan anaknya bagi menyambut Deepavali tahun ini.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Melinishwaran Ponarsan, 11, enggan makan selama dua hari dan mahu ibunya membuktikan janji yang dibuat bagi merayakan Deepavali.

Kepulangan ibunya bersama barangan persediaan perayaan seperti pakaian baharu buat dirinya dan bahan membuat kuih lantas mengembalikan senyuman Melinishwaran. Akhirnya dia dapat merasai kemeriahan Deepavali di rumah sendiri.

"Tahun-tahun sebelum ini, saya hanya beraya di rumah kawan-kawan di sekitar ladang ini dan tiada sambutan istimewa di rumah.

"Setiap kali melihat rumah kawan-kawan meriah dan cantik berhias menjelang Deepavali, saya rasa sedih kerana rumah saya tidak begitu," tutur Melinishwaran yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Bukit Darah.

Raya gaya estet

Meskipun dikelilingi pohon-pohon kelapa sawit, ia tidak langsung menimbulkan rasa bosan dalam diri 14 keluarga India di ladang itu malah, ia lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan Deepavali di bandar-bandar besar.


EMPAT tahun Lengesvary dan Melinishwaran tidak menyambut Deepavali kerana kematian suami tercinta akibat kanser otak.


Adik kepada Lengesvary, Mageswary Muniandy, 26, menyatakan, saban tahun penduduk di ladang itu akan menyambut apa jua perayaan bersama-sama tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

"Semua orang sama di sini, kami seperti sebuah keluarga besar dan kami selesa dan tenang hidup di ladang ini.

"Kebiasaannya dua atau tiga hari sebelum Deepavali, semua penduduk di sini berpeluang menonton wayang yang dipasang menggunakan layar putih di dewan.

"Malam Deepavali pula kami semua akan berkumpul dan bersama-sama melakukan persediaan untuk keesokan harinya," ujar Mageswary yang bekerja di sebuah kilang berhampiran.

Bukan itu sahaja, dewan serbaguna yang menjadi pusat aktiviti penduduk di situ juga akan bergema dengan paluan gendang-gendang buatan sendiri kanak-kanak India ladang itu.

Melinishwaran merupakan salah seorang kanak-kanak yang terlibat dengan persembahan yang hanya menggunakan tin-tin kosong itu.

"Tin-tin mereka akan diubah suai agar kelihatan seperti dhol (gendang India) sebenar dan diwarnakan agar kelihatan menarik.

"Lampu pelita akan diletakkan di bawah tin-tin ini sepanjang mereka mengalunkan muzik mereka menjadikan ia satu persembahan serba ringkas namun, penuh makna," kata Mageswary.

Gabung bangsa


KESEDERHANAAN menjadi tunjang warga estet dalam melakukan persiapan Deepavali.


Seperti kaum India lain, warga ladang juga akan mandi minyak pada pagi hari yang dipercayai mampu membuang rasa panas dalam badan di samping memberikan penglihatan yang lebih cerah pada hari Deepavali.

Mereka kemudiannya akan mengunjungi kuil yang juga terletak di ladang itu bagi upacara sembahyang dan seterusnya pulang ke rumah untuk makan tose bersama ahli keluarga.

Bagi Lengesvary, walaupun rumahnya hanya didiami dirinya dan Melinishwaran, tetapi hidup mereka tidak pernah sunyi dengan kehadiran saudara-mara serta ahli keluarga lain.

Gunasegar Gurupatam, 18, merupakan wajah wajib yang menyambut Deepavali bersama-sama keluarga Lengesvary meskipun memiliki keluarga di Kuala Lumpur.

"Sejak kecil saya rapat dengan keluarga Lengesvary, jadi saya lebih selesa menyambut perayaan ini bersama mereka dan penduduk di sini.

"Suasana di ladang ini cukup istimewa tambahan lagi apabila orang yang berkunjung ke rumah pada hari raya terdiri daripada pelbagai kaum.

"Di sini kita dapat melihat bagaimana utuhnya perpaduan serta semangat mereka dalam menjayakan sesuatu majlis atau perayaan dan situasi sebegini sukar ditemui di bandar," jelas Gunasegar yang merupakan adik ipar kepada Lengesvary.

Kuih-kuih tradisional kaum India seperti muruku dan ladu pula kebiasaannya menjadi juadah wajib di atas meja setiap rumah di ladang itu dan keistimewaannya ia akan dibuat sendiri.

Gadai rantai


KAWASAN perumahan Ladang Elmina mengandungi 74 buah rumah terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.


Berbalik kepada kisah Lengesvary, jika orang lain tidak perlu gusar tentang beban kewangan bagi membuat persiapan perayaan, ibu tunggal itu pula terpaksa menggadaikan rantai emas miliknya semata-mata mahu memenuhi keinginan anaknya.

Tambah Lengesvary yang bertugas sebagai penyelia di ladang itu, segala perhiasan di rumah untuk Deepavali tahun ini merupakan perhiasan lama yang diguna kembali.

Ujarnya, walaupun telah menggadai rantai, dia perlu berhati-hati dalam berbelanja bagi simpanan kecemasan dan belanja rawatan Melinishwaran yang memerlukan pemeriksaan berkala di hospital.

"Memandangkan Melinishwaran masih kecil, saya tidak mahu dia menjalani pembedahan atau mengambil apa-apa ubat kerana bimbang dia akan mempersoalkan penyakit yang dihidapinya.

"Saya hanya mahukan dia hidup normal seperti kanak-kanak lain tanpa perlu risau akan kesihatan dirinya dan tidak dinafikan dia memang sangat aktif," tutur Lengesvary yang memberitahu bahawa anaknya itu langsung tidak tahu-menahu akan penyakit dalam tubuh badannya itu.

Setiap pagi, Lengesvary akan keluar bekerja pada pukul 6.15 pagi dan ketika itu juga Melinishwaran akan ke sekolah dan hanya bertemu ibunya itu menjelang lewat petang.

Terkenang suami

Memori bersama suaminya masih kuat dalam diri Lengesvary membuatkan dia tidak mahu keluar dari ladang itu walaupun pada hari Deepavali.

"Memang saya masih mempunyai saudara-mara di luar sana tetapi ladang ini banyak memberi kebahagiaan pada diri saya terutama sekali apabila mengenang kembali saat-saat menjaga suami saya ketika dia mula jatuh sakit.

"Dia seorang suami dan ayah yang baik serta sangat menyayangi Melinishwaran. Setiap hari selepas dia pulang bekerja, dia akan membawa anaknya itu bersiar-siar dengan motosikal.

"Ketika dia baru sahaja meninggal dunia, setiap malam Melinishwaran akan tidur bertemankan gambar ayahnya dan perkara itu membuatkan saya sukar melupakannya," cerita Lengesvary.

Kini, hidupnya hanya tertumpu pada anak dan kerja sahaja. Baginya, perkara lain sudah tidak menjadi keutamaan termasuk mencari pengganti suaminya.

Namun terkadang, Lengesvary meluahkan bahawa setiap kali melihat pasangan suami isteri ceria pada hari Deepavali, secara automatik dia akan teringat kepada suaminya.

"Hanya air mata menjadi penawar, tetapi kini saya tidak mahu kesedihan menyekat kegembiraan Melinishwaran menyambut Deepavali.

"Semoga pesta cahaya kali ini membuka lembaran baharu buat kami dua beranak," tutur Lengesvary.

Full content generated by Get Full RSS.

Kali pertama mewah membeli-belah

Posted:

Kali pertama mewah membeli-belah

Kali pertama mewah membeli-belah


KANAK-KANAK ini amat gembira apabila diberi peluang membeli-belah sempena Deepavali.


SAAT menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki mengambil sisa-sisa makanan daripada tong sampah untuk dijamah sebagai makan malam di Banting, Selangor satu ketika dulu, Praveendran Balasamy, 27, lantas mendekati kanak-kanak itu dan memberinya wang untuk membeli makanan.

Walaupun Praveendran baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun itu, sifat kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap masyarakat terpinggir, begitu kuat dalam dirinya.

Tidak sanggup melihatkan kanak-kanak itu yang tidak berkeluarga dan hanya berumah di kaki lima, Praveendran membawa kanak-kanak itu pulang dan bermula detik itu tertubuhlah rumah kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram.

Pengorbanan usia muda Praveendran membela nasib golongan kurang bernasib baik itu sememangnya berbaloi terutama sekali apabila melihat kanak-kanak yang dahulunya makan sisa daripada tong sampah kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Rusia.

Beroperasi di Jinjang Utara, Kuala Lumpur, rumah itu menjadi kediaman kepada 45 orang yang terdiri daripada tiga kategori iaitu golongan miskin, keluarga bermasalah dan yatim piatu.

"Tiada peringkat umur dihadkan kerana kami akan membawa pulang individu-individu yang dirasakan perlu bantuan kami termasuk warga emas dan ibu tunggal.

"Mengendalikan rumah kebajikan ini tidak mudah kerana kami perlu mendapatkan sumbangan sendiri dan sukar untuk menerima sumbangan hari ini jika tiada usaha mencarinya," luah isteri Praveendran, Satthiah Ponnusamy, 26.


WALAUPUN tidak dibesarkan dalam keluarga sempurna, namun kanak-kanak ini amat berdisiplin.


Bagi menguruskan rumah kebajikan yang telah berusia 10 tahun itu, 15 sukarelawan mengambil giliran masing-masing dalam memastikan kemudahan serta kelengkapan penghuni rumah tersebut dipenuhi dan disediakan seadanya.

Majoriti penghuni rumah itu merupakan kanak-kanak yang masih bersekolah dan disebabkan tidak mahu kanak-kanak itu ketinggalan, kesemua mereka dihantar ke sekolah dan yuran serta perbelanjaan harian mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai.

Seorang sukarelawan yang ditemui, Rajasegar Thangamani, 23, menyatakan pihak sekolah turut bekerjasama dengan mereka dengan memberikan potongan yuran dan pinjaman buku teks memandangkan status mereka sebagai golongan kurang bernasib baik.

"Bagi memastikan pendidikan mereka terjamin, sekumpulan pelajar dari Taylor's College akan hadir setiap Sabtu dan Ahad bagi memberikan tuisyen percuma buat penghuni rumah ini.

"Mereka akan dipecahkan mengikut umur dan diajar mata pelajaran asas selama dua hingga lima jam," jelas Rajasegar.

Walaupun hidup mereka tidak mewah seperti orang lain, namun kesederhanaan yang diterapkan dalam diri mereka menjadikan penghuni rumah itu begitu berdisiplin dan amat menghormati orang sekeliling.

Sewaktu sekumpulan penghuni rumah itu dibawa membeli-belah dan menjamu selera di Suria KLCC, penulis begitu kagum dengan karakter serta cara anak-anak itu membawa diri masing-masing.

Mereka tidak banyak kerenah dan ragam, walaupun agak pemalu namun mereka tidak pula menolak untuk dirapati dan berkongsi keseronokan yang dijayakan Suria KLCC, Isetan, Bata dan Restoran Spice of India itu.

Mendekati kanak-kanak lelaki bernama Indran Parsuraman, 9, membuatkan hati penulis sedikit tersentuh. "Pernah datang beli-belah macam hari ini tak?" soal penulis kepada Indran yang sedang menghabiskan makan malamnya.


PENDIDIKAN menjadi keutamaan di rumah kebajikan Sinthmani Divine Life Ashram agar masa depan mereka lebih cerah.


Pendek sahaja jawapannya, "Tak pernah dan saya rasa sangat seronok," lantas kembali berbisik dengan rakan sebelahnya.

Indran tidak banyak bercakap tetapi, dia kelihatan teruja apabila disoal tentang pakaian dan kasut baharu yang diterimanya untuk Deepavali.

Bagi kanak-kanak yang masih memiliki ibu bapa, Deepavali mereka akan dirayakan bersama keluarga masing-masing untuk beberapa hari sebelum dihantar kembali ke rumah itu.

"Banyak ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan untuk anak-anak mereka tetapi, tidak bermakna mereka tidak boleh merayakannya bersama-sama," ujar Satthiah lagi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan untuk rumah kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram bolehlah menghubungi Praveendran di talian 016-904 6358.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Penyelesaian krisis sisa pepejal

Posted:

Penyelesaian krisis sisa pepejal

Penyelesaian krisis sisa pepejal

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

PEJAMKAN mata seketika dan bayangkan tapak pelupusan sisa pepejal ditimbuni bertan-tan sampah-sarap yang dibuang penduduk setiap hari.

Timbunan sampah-sarap yang dibuang saban hari itu tentu sekali akan menyebabkan bau busuk menusuk hidung.

Tolak ketepi soal bau hakikatnya, semakin banyak timbunan sampah-sarap semakin bumi ini tercemar.

Selain pencemaran udara, tapak pelupusan sampah-sarap pepejal juga mencemarkan tanah dan air.


SEMAKIN banyak tapak pelupusan sampah-sarap yang kita bina, semakin teruk kita mencemari bumi.


Namun, ramai yang tidak pernah mempedulikan mengenai pusat itu apatah lagi untuk mengetahui ia mempunyai jangka hayat. Semakin banyak sampah-sarap ditimbunkan di sesuatu lokasi lagi cepat ia menemui jangka hayatnya. Ia mungkin hanya memerlukan tempoh lima hingga 10 tahun bergantung kepada keluasan dan jumlah sampah yang diletakkan di situ.

Apabila pusat tersebut tidak lagi boleh menerima sampah-sarap, kita perlu membuka satu lagi pusat baharu. Demikian prosesnya berterusan.

Persoalannya sampai bila kita akan secara terus bergantung terhadap tapak pelupusan sisa pepejal untuk melupuskan sampah-sarap.

Menyedari kepentingan itu, Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd. menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation yang berpangkalan di Jepun membawa teknologi insinerator dalam memberi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.


TIMBUNAN sampah-sarap di merata-rata tempat boleh mengundang pelbagai penyakit. - Gambar hiasan


Pengarah Urusan Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd., Jini Wat, berkata, teknologi insinerator merupakan satu keperluan untuk mengatasi masalah sampah-sarap terutamanya melibatkan tapak pelupusan sisa pepejal.

"Buat masa ini, negara tidak mempunyai teknologi insinerator dan kita menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation untuk memastikan kepakaran mereka dapat dimanfaat sepenuhnya.

"Sudah terdapat beberapa negara yang menggunakan teknologi dari Jepun ini untuk mengatasi masalah tapak pelupusan sisa pepejal mereka," katanya kepada Kosmo!

Pemindahan teknologi luar

Melalui kerjasama yang terjalin, Jini Wat menambah, teknologi luar dapat dibawa masuk ke negara ini sekali gus membuka peluang kepada penduduk tempatan mempelajari teknologi baharu itu.

"Ia sekali gus dapat meningkatkan kepakaran dalam mengatasi sisa pepejal. Bukan sahaja dapat mengetahui mengenai teknologi terbaharu tetapi, mempelajari keberkesanan teknologi insinerator," ujarnya.

Lelaki berkaca mata itu memberitahu, kelebihan teknologi insinerator termasuk dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.

"Melalui insinerator, terdapat beberapa proses perawatan sisa pepejal yang lebih berkesan perlu dilalui terlebih dahulu agar ia tidak menggugat alam sekitar.

"Antara proses itu termasuklah sistem penerimaan sisa pepejal, sistem dandang dan insinerator, sistem penggunaan haba sisa pepejal, sistem rawatan gas serombong dan sistem rawatan abu," katanya.

Selain daripada itu, dia menambah, pembikinan insinerator turut dapat membantu memanjangkan lagi jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal.

Katanya, ia sekali gus dapat menjadi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.

Pelbagai kelebihan insinerator


TEKNOLOGI Hitachi Zosen diguna pakai di beberapa buah negara maju dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan.


Sementara itu, Pengurus Besarnya, Bahtiar Affendi Ishak memberitahu, proses insinerator dapat membekalkan tenaga kepada pengguna bermakna tenaga yang terbiar tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

"Penggunaan teknologi ini bermakna sampah-sarap yang telah menjadi abu akan dikitar untuk dijadikan produk agar dapat digunakan semula.

"Selain daripada itu, ia juga dapat membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna yang memerlukannya," katanya lagi.

Secara tidak langsung, Bahtiar berkata, insinerator membantu mengurangkan pemanasan global dan pencemaran alam sekitar kerana menguna pakai semula bahan buangan.

Ujarnya lagi, banyak negara-negara sudah menggunakan teknologi insinerator dalam pengurusan sisa pepejal mereka.

"Antara negara-negara yang menggunakan teknologi Hitachi Zosen Corporation termasuk Jepun, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.


PENGGUNAAN insinerator dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar.


"Jangan terkejut kerana terdapat tapak insinerator di luar negara turut membenarkan orang ramai memasuki premis mereka kerana dijadikan taman untuk orang ramai," katanya.

Sebagai contoh, dia memberitahu, di Peitou, Taiwan, terdapat restoran dan peninjau di menara serombong.

Bahkan katanya, tapak insinerator-insinerator yang dibangunakan di luar negara terletak berhampiran dengan bandar utama.

Harapan insinerator

Dalam pada itu, Jini Wat menambah, dia berharap pendedahan mengenai kepentingan insinerator dapat membantu dalam pembikinan insinerator di negara ini.

Katanya, insinerator banyak memberi faedah apatah apabila berdepan masalah tapak pelupusan sisa pepejal dalam jangka masa panjang.

"Sebagai contoh, dahulu orang takut menaiki kapal terbang tetapi kini hampir semua orang menggunakan perkhidmatan penerbangan kerana memudahkan mereka.

"Ia sama juga dengan teknologi insinerator ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Loji soda 'resahkan' flamingo

Posted:

Loji soda 'resahkan' flamingo

Loji soda 'resahkan' flamingo

Rancangan pembinaan loji soda di kawasan Tasik Natron bakal menjadi ancaman kepada satu-satunya tempat pembiakan burung flamingo di dunia, sementara penduduk di situ berdepan isu kehilangan tempat tinggal.


PEMBINAAN loji soda seperti ini akan mewujudkan pertentangan antara pejuang alam sekitar dan juga alasan pembangunan serta peluang kemajuan.


SEKUMPULAN burung flamingo kelabu yang seakan-akan warna ikan salmon bebas berterbangan lantas menjadi latar pemandangan tasik yang terletak di Rift Valley.

Kawasan lembah istimewa di Tanzania yang diliputi timbunan lumpur itu menjadi satu-satunya tempat bagi spesies unggas tersebut bertelur dan membiak.

Hanya Tasik Natron yang mengandungi bahan berkaustik tersebut menjadi tempat pembiakan lesser flamingo iaitu sejenis burung yang tersenarai sebagai haiwan yang diancam kepupusan.

Bagaimanapun, kerajaan Tanzania kini pula bercadang untuk membina loji memproses abu soda di kawasan tasik yang kaya dengan bahan asli tersebut.

Persatuan Diraja untuk Perlindungan Burung (RSPB) menganggarkan tiga perempat daripada jumlah populasi lesser flamingo hidup dan membiak di bahagian timur benua Afrika, khususnya Tanzania.

"Burung-burung tersebut bergantung kepada Tasik Natron sebagai lokasi pembiakan. Sumber makanan dan sarang penetasan telur juga banyak terdapat di situ.

"Tasik itu pula terletak di kawasan yang terpencil yang tiada gangguan pembangunan," kata jurucakap RSPB.

Tasik Natron mempunyai kedalaman maksimum sehingga 50 sentimeter dan terletak di kaki gunung Ol Doinyo Lengai yang bermaksud Tuhan Gunung dalam bahasa tempatan.

Ol Doinyo Lengai

Lokasi tasik itu berdekatan dengan sebuah gunung berapi yang menjadikannya bersifat kaustik secara semula jadi. Ol Doinyo Lengai adalah satu-satunya gunung berapi aktif di dunia yang mempunyai lava daripada jenis berbatu. Ia dipanggil sebagai natro karbonatit.


ABU soda terkumpul di satu bahagian di permukaan Tasik Natron.


Batu-batu itu menjadikan air tasik sentiasa berkaustik dan pada masa yang sama menjauhkan haiwan pemangsa seperti biawak, ular dan musang daripada memakan telur-telur serta anak burung flamingo itu.

Selalunya, burung flamingo itu akan menetaskan sebiji telur ke atas sarang yang dibentuk daripada lumpur yang berbentuk busut.

Pada bulan April lalu, Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete berkata, rancangan loji pembuatan abu soda perlu dipercepatkan tambahan pula ia pernah tergendala disebabkan oleh isu-isu berkaitan alam sekitar.

"Tidak ada sebab untuk menangguhkan projek itu lagi. Dengan pembinaannya, ia akan menaikkan taraf ekonomi negara," ujar Kikwete dalam kenyataan rasminya di kementerian perdagangan dan industri Tanzania.

Tambahnya, simpanan abu soda yang terdapat di Tasik Natron sangat besar dan cukup untuk menjadikan Tanzania sebagai negara pengeluar terbesar di dunia.

Sodium karbonat banyak digunakan sebagai agen pelembut pakaian ketika mencuci dan dalam pembuatan gelas, bergantung kepada jenis kaca yang hendak dibuat.

Pemangku Pengarah Eksekutif Daerah Longido, Ibrahim Matovu juga bersemangat mengalu-alukan pembinaan loji pembuatan abu soda itu.

"Kami menjangkakan ia akan menaikkan taraf hidup masyarakat di sini dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

"Selain itu, ia membuka peluang kepada lebih banyak tawaran perkhidmatan sosial, peluang belajar dan peningkatan taraf kesihatan," katanya di bandar yang kekurangan peluang pekerjaan itu.

Selepas mengalami tekanan yang hebat daripada pihak pejuang alam sekitar, kerajaan Tanzania telah mengalihkan rancangan asal loji tersebut beberapa puluh kilometer menjauhi persisiran tasik.

Gangguan manusia


SELAIN Tanzania dan beberapa negara lain di timur benua Afrika, tidak banyak habitat semula jadi flamingo boleh ditemui di dunia ini.


Tetapi, menurut penyokong alam sekitar, paip-paip yang akan mengepam soda ke loji pembuatan tetap menganggu tempat pembiakan flamingo.

"Sudah pasti terdapat infrastruktur yang akan dibina manakala para pekerja perlu memasang paip-paip di persekitaran tasik bagi menyalurkan soda ke loji.

"Hanya sedikit gangguan, ia sudah menyebabkan seluruh koloni burung itu meninggalkan sarang pembiakan," tegas pihak RSPB lagi.

Lebih parah, proses pembiakan flamingo sangat kompleks kerana haiwan tersebut hanya boleh mencapai umur maksimum 40 tahun dan membiak setiap lima atau enam tahun.

Bagi kebanyakan penduduk di persekitaran Tasik Natron, mereka jelas tidak mahu loji tersebut di bina di situ.

"Saya tidak suka dengan idea tersebut (loji pembuatan). Burung-burung akan berhijrah ke tempat lain," ramal penjaga pejabat pelancong di kampung Engaresero, Lemra Kingi.

Lemra ketika ditemui memakai pakaian tradisional puak Maasai berbentuk selimut dengan rona jingga dan ungu. Pada bahagian atas badan, dia dihiasi rantai yang dibuat daripada kerang dan perak.

Sebagai kompromi kepada modenisasi, dia memakai sarung kaki tenis dan memakai but untuk mendaki.

Bagi seorang koordinator badan bukan kerajaan bagi komuniti di situ, Joseph Seuri, dia mengingatkan agar penduduk kampung supaya berhati-hati dengan setiap janji yang dibuat kepada mereka oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan loji tersebut.

Seuri tinggal di kampung Pinyinyi yang terletak 29 kilometer dari Magadi. Kampung tersebut berada di antara sempadan tasik soda itu yang dirancang menjadi tempat loji pembuatan itu berada.

"Di Magadi, mereka menabur janji kepada penduduk tempatan yang orang kampung akan mendapat pekerjaan. Kemudian, mereka akan menghalau semua keluar dan tidak akan membenarkan lembu meragut rumput di kawasan kilang," katanya dalam nada geram. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Lima beradik malang dibela

Posted:

Lima beradik malang dibela

Lima beradik malang dibela

Oleh JULIA ISMAIL, SUHANA VERU dan KHAIRI MOHAMAD
berita@kosmo.com.my

DALI Md. Hussain (kanan) menyampaikan bantuan kepada Zulkifli di Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR – Sehari selepas pendedahan mengenai nasib malang lima beradik yang terpaksa bergilir-gilir ponteng kerana mahu menjaga bapa mereka, Zulkifli Deraman, 44, yang diserang angin ahmar, mereka terus mendapat perhatian.

Dalam reaksi segera, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam bersetuju menghulurkan bantuan menerusi skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM450 sebulan kepada kesemua anak-anak Zulkifli, 44, yang kini mendiami rumah usang di Kampung Tok Ku, Sering, Kota Bharu berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pengarahnya, Hadzir Md. Zain berkata, keluarga malang itu juga mendapat bantuan peribadi daripada Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Pengkalan Chepa, Datuk Dali Hussain sebanyak RM400.

"JKM akan sama-sama memantau dari masa ke semasa supaya keluarga ini dan anak-anak ini dapat belajar dengan sempurna," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai nasib malang lima beradik itu yang terpaksa mengorbankan zaman persekolahan mereka dengan bergilir-gilir ponteng sekolah sejak Januari lalu demi menjaga bapa yang sakit serta datuk dan nenek mereka yang uzur.

Anak-anak Zulkifli terpaksa tidak ke sekolah sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu untuk menjaga bapa, datuk dan nenek mereka bagi meringankan beban ibu mereka yang mengambil alih tugas menyara keluarga.

Sementara itu, di Kota Bharu, Dali berkata, siasatan telah dilakukan terhadap keluarga berikutan laporan Kosmo! semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Bekalan air susut 9.5 juta liter

Posted:

Bekalan air susut 9.5 juta liter

Bekalan air susut 9.5 juta liter


MOKHTAR (dua dari kanan) melepaskan anak ikan baung di Empangan Semberong, Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT - Spesies hidupan ini sesetengahnya amat kecil dan hanya mampu dilihat menerusi mikroskop namun kehadirannya di dalam empangan air mampu menimbulkan masalah besar.

Itulah impak tumbuhan akuatik alga apabila kewujudannya di Empangan Semberong di sini mengakibatkan bekalan 10 juta liter air bersih di empangan tersebut terjejas.

Secara purata, Empangan Semberong mampu membekalkan air bagi kawasan sekitar bandar Kluang dan Jalan Kluang sebanyak 55.5 juta liter sehari.

Bagaimanapun kehadiran alga tanpa kawalan itu mengakibatkan jumlah air yang dapat dibekalkan berkurangan 9.5 juta liter kepada 46 juta liter sehari.

Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj), Mohd. Idris Kaparawi berkata, alga tersebut didapati memasuki mesin penapis sehingga membataskan pengeluaran air yang telah dirawat.

"Bagi mengatasi masalah itu, kami melepaskan 43,000 anak ikan baung dan lampam di Empangan Sembrong dan diharapkan ikan-ikan ini akan memakan alga tersebut," katanya kepada pemberita selepas melepaskan anak-anak ikan di empangan itu semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Pertingkat kerjasama 3 bidang

Posted:

Pertingkat kerjasama 3 bidang

Pertingkat kerjasama 3 bidang


MUHYIDDIN disambut Chee Hean semasa lawatannya di Singapura semalam.


SINGAPURA - Malaysia dan Singapura sedia mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan dan alam sekitar.

Komitmen ke arah itu dinyatakan kedua-dua negara dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya dari Singapura, Teo Chee Hean sempena lawatan dua hari pemimpin Malaysia itu ke republik berkenaan semalam.

Pada sidang akhbar bersama selepas pertemuan itu, Muhyiddin berkata, terdapat potensi besar bagi meluaskan lagi kerjasama dalam tiga bidang berkenaan.

"Singapura telah berjaya mempromosikan dirinya sebagai sebuah destinasi pelancongan yang utama dan Malaysia juga sedang berbuat demikian dan dalam bidang ini kita setuju untuk bekerjasama.

"Malah, saya mencadangkan agar satu pakej diusahakan antara Singapura dan Malaysia khususnya Johor dalam pembangunan projek di Desaru," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Pistol dalam peti surat rumah

Posted:

Pistol dalam peti surat rumah

Pistol dalam peti surat rumah

25/10/2011 7:44pm

GEORGETOWN — Seorang lelaki terkejut apabila menemui sepucuk pistol dalam peti surat rumahnya di Bandar Baru Air Hitam di sini, hari ini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3.30 petang semasa beliau turun ke tingkat bawah rumah flatnya untuk memeriksa peti suratnya.

"Sebaik saya membuka peti surat, saya ternampak pistol berkenaan dan terus memaklumkan kepada anggota keluarga di rumah," katanya kepada pemberita di sini.

Dia yang berusia lingkungan 40-an berkata, beliau yang masih terkejut dengan penemuan pistol berkenaan turut melaporkannya kepada polis.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan pistol jenis Smith & Wesson. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Unit khas polis banteras jenayah syariah?

Posted:

Unit khas polis banteras jenayah syariah?

Unit khas polis banteras jenayah syariah?

25/10/2011 7:43pm

KUALA LUMPUR — Ahli akademik di negara ini mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah unit khas bagi membanteras jenayah syariah yang semakin berleluasa di negara ini.

Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Shamrahayu Abd Aziz berkata, unit itu penting terutama bagi membanteras kegiatan penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam di negara ini.

"Polis sebelum ini telah bekerjasama baik dengan penguat kuasa syariah negeri, bagaimanapun, kita perlu sesuatu yang lebih formal bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah syariah ini," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, demikian selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Teori dan Realiti Kebebasan Beragama Dalam Perlembagaan Persekutuan' pada Seminar Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Shamrahayu berkata, menurut Seksyen 3 dan Seksyen 20 Akta Polis 1994, PDRM mempunyai kuasa untuk menjalankan apa sahaja undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.

"Undang-Undang Syariah atau berkaitan Syariah juga merupakan undang-undang berkuat kuasa. Jadi, kita ada dua mekanisma, satu penguat kuasa jabatan agama Islam (negeri) dan penguatkuasaan polis. Dua mekanisma ini mampu kukuhkan usaha banteras jenayah syariah," katanya.

Beliau berkata, PDRM mampu memperkukuh usaha membanteras jenayah syariah kerana kuasa yang meluas di seluruh negara berbanding kuasa penguat kuasa syariah yang terhad di sesebuah negeri sahaja.

Katanya, PDRM juga perlu terlibat dalam usaha membanteras jenayah Syariah kerana ia mampu menggugat ketenteraman awam dengan menyebabkan kecelaruan terhadap masyarakat di negara ini. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Peluang wanita ceburi perniagaan luas

Posted:

Peluang wanita ceburi perniagaan luas

Peluang wanita ceburi perniagaan luas

25/10/2011 7:27pm

MELAKA 25 Okt. — Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerajaan telah menyediakan banyak peluang kepada wanita untuk terlibat secara aktif dan menyumbangkan kepada kemajuan ekonomi negara.

Isteri Perdana Menteri berkata, bahawa menerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana, usahawan wanita diberi peluang menceburi pelbagai skim selain mendapat kemudahan sokongan daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Contohnya, Amanah Ikhtiar Malaysia, telah menyediakan dana untuk 200,000 usahawan wanita sejak ia ditubuhkan pada 1987.

"Pinjaman mikro lain termasuk TEKUN dan Skim Pembiayaan Ekonomi Luar Bandar telah memberi manfaat kepada 40,000 usahawan wanita," katanya dalam ucap utama menerusi persidangan video ketika melancarkan Konvensyen Antarabangsa Wanita Dalam Perniagaan di sini hari ini.

Rosmah berkata, Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan tahun lepas akan memberi lebih banyak peluang kepada wanita dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Beliau mencadangkan agar wanita menerokai industri perkhidmatan dan aktiviti berdasarkan maklumat seperti dalam bidang komunikasi, pendidikan, pelancongan, teknologi hijau dan ICT.

Seramai 350 orang menyertai persidangan tiga hari itu. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Mayat Gaddafi berbau busuk

Posted:

Mayat Gaddafi berbau busuk

Mayat Gaddafi berbau busuk

Reuters - MAYAT Muammar Gaddafi yang masih diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk di Misrata, Libya semalam.


MISRATA, Libya - Mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mula mereput dan berbau busuk selepas empat hari ditempatkan di dalam sebuah bilik sejuk simpanan daging di sini sejak Khamis lalu.

Pejuang-pejuang yang mengawal jenazah Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim bertindak meletakkan lapisan plastik di bawah jenazah mereka ekoran cecair mayat mula mengalir di dalam bilik sejuk beku sebuah pasar tempat kedua-dua jenazah itu disimpan.

Warna kedua-dua mayat itu menjadi semakin hitam selepas tidak dikebumikan selama empat hari.

Para pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mula memberikan topeng bedah kepada para pelawat untuk melindungi daripada terhidu bau busuk yang tersebar ke dalam bilik sejuk beku tersebut.

"Tuhan mencipta firaun sebagai teladan kepada manusia lain," kata seorang penduduk, Salem Shaka yang melawat kedua-dua jenazah itu semalam.

"Jika beliau seorang yang baik, kami pasti akan mengebumikannya.


Reuters
SEORANG lelaki menutup hidungnya semasa dia melihat mayat Muammar Gaddafi di dalam bilik sejuk di Misrata, Libya semalam.


Namun, beliau sendiri yang memilih jalan ini (jalan kehancuran)," tambahnya.

Gaddafi dan anak lelakinya, Motassim mati dibunuh di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte selepas mereka ditangkap pada Khamis lalu.

Seorang lagi lelaki menyatakan dia memandu sejauh 400 kilometer untuk melihat mayat Gaddafi.

"Saya datang ke sini untuk memastikan dengan mata saya sendiri. Semua penduduk Libya mesti melihatnya," katanya.

Pengebumian Gaddafi masih menjadi perbalahan dalam kalangan anggota-anggota NTC yang memerintah Libya buat sementara waktu.

Para pemimpin NTC mahu mayat Gaddafi dikebumikan di sebuah lokasi rahsia supaya makamnya tidak dipuja.

Namun, suku kaum Gaddafi mahu mayatnya dikebumikan di bandar kelahirannya di Sirte. - Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

Libya umum pembebasan daripada Gaddafi

Posted:

Libya umum pembebasan daripada Gaddafi

Libya umum pembebasan daripada Gaddafi

BENGHAZI - Pemerintah baharu Libya kelmarin mengisytiharkan negara berkenaan bebas daripada pemerintahan Muammar Gaddafi selepas 42 tahun beliau memerintah.

Seorang peguam Abdel Rahman el-Qeesy, yang membuat pengumuman tersebut bagi pihak Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di sini berkata, firaun sepanjang zaman (Gaddafi) telah dibuang ke dalam tong sampah dalam lipatan sejarah.

Kini katanya, masa depan Libya dibayangi demokrasi dan perdamaian.

Pengumuman pembebasan Libya itu turut menetapkan pelan ke arah sebuah pentadbiran baharu yang demokratik melalui proses pilihan raya dalam tahun 2013.

Pada masa yang sama, ketua NTC yang memerintah Libya, Mustafa Abdel Jalil mengulangi janjinya untuk mewujudkan undang-undang syariah di negara Afrika Utara itu.

"Semua syuhada termasuk orang ramai dan tentera menanti detik ini. Namun, kini mereka berada di tempat paling baik iaitu syurga yang kekal abadi," kata Mustafa.

Beribu-ribu orang berhimpun di sini, timur Libya kelmarin untuk mendengar pihak berkuasa yang baharu mengumumkan pembebasan Libya daripada cengkaman rejim Gaddafi.

Sementara itu, terdapat rakyat Libya yang bimbang negara itu akan sekali lagi terjerumus ke dalam kancah peperangan kerana mereka sangsi tentang kepimpinan Mustafa yang dianggap kurang tegas. Beliau dibimbangi tidak dapat mengawal kumpulan-kumpulan serpihan dalam NTC yang memungkinkan negara itu kembali kacau-bilau.

- Reuters

Full content generated by Get Full RSS.

4 mangsa gempa bumi dikeluarkan hidup-hidup

Posted:

4 mangsa gempa bumi dikeluarkan hidup-hidup

4 mangsa gempa bumi dikeluarkan hidup-hidup


Reuters - BEBERAPA anggota penyelamat berjaya menarik keluar seorang mangsa gempa bumi di Ercis, dekat bandar Van, Turki semalam.


ERCIS - Empat orang mangsa gempa bumi dikeluarkan dari celah-celah runtuhan hidup-hidup semalam selepas salah seorang daripada mereka meminta bantuan menerusi telefon bimbit.

Gempa bumi yang berukuran 7.2 pada skala Richter itu membunuh 270 orang di timur Turki manakala puluhan mangsa terperangkap di celah runtuhan kelmarin.

Ratusan bangunan di dua buah bandar di timur Turki yang terletak bersempadan dengan Iran runtuh dalam kejadian itu.

Salah seorang mangsa yang terselamat itu, Yalcin Akay menghubungi talian kecemasan polis bagi meminta bantuan selepas dia terperangkap di celah runtuhan.

Yalcin memberitahu lokasi dia terperangkap kepada polis, lapor agensi berita Anatolia.

Tiga orang lagi kemudian termasuk dua kanak-kanak turut diselamatkan di bangunan tempat Yalcin terperangkap, 20 jam selepas gempa bumi berlaku.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan turut melawat ke tempat kejadian.

Menteri Dalam Negeri, Idris Naim Sahin menyatakan, angka kematian dijangka meningkat. - Agensi

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sedia dikritik jadi hos

Posted:

Sedia dikritik jadi hos

Sedia dikritik jadi hos

MENERIMA pelawaan menjadi hos, kata Rozita Che Wan dia mahu mencabar diri sendiri.


SAAT nama aktres jelita Rozita Che Wan diumumkan sebagai pengacara majlis anugerah berprestij, Anugerah Skrin bersama dengan Ally Iskandar yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November depan, pelbagai persoalan timbul di minda.

Ramai tertanya-tanya, mampukah wanita berusia 38 tahun itu menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sebuah majlis besar sedangkan sebelum ini dia langsung tidak pernah mencuba bakat dalam bidang pengacaraan.

Bahkan apakah yang menyebabkannya terpilih daripada puluhan pengacara wanita popular yang ada di Malaysia?

Menjawab kepada segala persoalan itu, Rozita yang ditemui pada majlis sidang akhbar Anugerah Skrin dengan tema Golden Glamor di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur, baru-baru ini menjelaskan dia pada mulanya berat hati untuk menerima tawaran yang diberikan pihak TV3 kepadanya.

Alasan yang diberikan adalah dia bimbang tidak mampu memikul tanggungjawab berat serta bimbang dikritik oleh orang ramai andai dia gagal meneraju majlis anugerah itu dengan baik.

"Ini memang kali pertama saya akan menjadi pengacara. Ketika tawaran itu datang saya tidak terus terima sebaliknya saya mengambil masa selama dua minggu untuk membuat keputusan.

"Keputusan dicapai selepas saya diyakinkan oleh Ally yang dia akan membantu saya di atas pentas kerana dia lebih banyak pengalaman sebagai pengacara, lagipun akan ada sesi latihan sebelum majlis sebenar," tutur Rozita.

Akuinya, dia cukup bimbang akan dihentam oleh orang ramai, jika prestasinya nanti tidak seperti yang diharapkan.

"Perkara pertama yang berlegar di minda, boleh ke saya lakukan, kalau kena hentam nanti macam mana? Tetapi selepas fikir banyak kali dan ditambah dengan keyakinan yang diberi oleh Ally saya sahut cabaran mereka.


ALLY ISKANDAR dan Rozita Che Wan kali pertama digandingkan sebagai rakan pengacara. Mereka yakin mampu melakukannya dengan baik.


"Bagi saya kalau pihak TV3 beri kepercayaan kepada saya, kenapa saya tidak percaya pada diri sendiri yang saya boleh lakukannya.

"Dulu masa mula-mula nak jadi pelakon, saya juga menghadapi situasi yang sama kerana tidak pernah berlakon sebelum ini. Selepas kali pertama berlakon, keyakinan dan keseronokan itu datang, saya harap bidang pengacaraan juga akan berlaku hal yang sama," kata ibu kepada dua orang anak ini lagi.

Soal kritikan merupakan satu perkara biasa pada dirinya sebagai seorang artis, justeru jika dia menerima kritikan negatif selepas majlis Anugerah Skrin kelak, dia reda dan menerima dengan hati yang terbuka.

"Saya tidak kisah kerana pengacaraan satu perkara baharu untuk saya dan saya masih dalam proses pembelajaran. Sepanjang saya jadi artis apa yang saya lihat, kita buat baik orang kutuk, kita buat jahat lagilah orang kutuk.

"Jadi, kesimpulannya, bukan semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Saya pasti kritikan itu akan timbul, tetapi saya ambil perkara positif mengenainya untuk memajukan diri saya dalam bidang seni," ucapnya.

Rozita bersediia

Sepanjang bulan Oktober lalu, Rozita bercuti selama sebulan untuk memberi fokus kepada anaknya yang mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Tawaran menjadi pengacara Anugerah Skrin merupakan projek pertamanya selepas berehat lama dan kini dia telah menjalani sesi bacaan skrip bersama Ally.

"Saya sudah mendapat skrip dan mula berlatih sendirian. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar kerana saya akan merujuk pada Ally. Dia merupakan pengacara idola saya," luah Rozita.

Sebagai pengacara terutamanya program yang bersiaran secara langsung bukan satu hal yang mudah kerana terlalu banyak perkara yang harus dijaga, selain itu harus bijak meluahkan tutur kata mengikut keadaan meskipun telah berlatih menggunakan skrip.


ROZITA kini giat mempersiapkan diri dengan ilmu menjadi hos supaya tidak canggung di pentas.


Kata Rozita: "Saya sedar akan hal itu, sebab itu skrip yang diberi hanya digunakan sebagai panduan sahaja, selebihnya saya akan mencorakkan majlis itu mengikut cara saya sendiri bersama Ally," katanya.

Tambahnya lagi, pada majlis itu dia akan tetap menjadi dirinya sendiri dan tidak akan mengubah karakter semata-mata menjadi pengacara sebuah majlis besar.

"Saya tetap dengan cara saya yang orang kenal. Ally juga berpesan jangan cuba nak buat kelakar melebih-lebih, bimbang orang tidak ketawa, saya pula yang malu," bicaranya yang anggun dengan gaun pendek berwarna merah jambu.

Kali pertama

Baik Rozita, mahupun Ally, kedua-duanya tidak pernah menjadi pengacara Anugerah Skrin. Jika Rozita langsung tidak pernah jadi pengacara, Ally yang cukup sinonim dengan TV3 pernah menjadi pengacara untuk Anugerah Juara Lagu.

Rozita mungkin tertekan, bagaimanapun Ally memberitahu, dia cukup senang apabila mendapat tahu Rozita Che Wan menjadi rakan gandingannya di atas pentas Anugerah Skrin.

"Memang saya lebih pengalaman daripada dia dalam pengacaraan tetapi apabila di atas pentas, kami harus samakan tahap kami supaya perjalanan majlis nampak cantik.

"Tidak akan timbul isu siapa akan kelihatan lebih hebat pada malam itu kerana semuanya atas dasar kerjasama. Memang untuk mengendalikan sebuah majlis besar, banyak cabarannya, tetapi saya yakin dengan latihan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan Anugerah Skrin, kami dapat lakukan yang terbaik," balas Ally.

Full content generated by Get Full RSS.

Muzik tradisional dalam irama moden

Posted:

Muzik tradisional dalam irama moden

Muzik tradisional dalam irama moden

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ORKESTRA Tradisional Malaysia bersedia memulakan karya mereka pada 26 hingga 30 Oktober ini.


DARI petikan gambus hingga gesekan biola, elemen-elemen itu sebenarnya boleh disatukan membentuk kesepaduan dalam seni. Begitu cetusan inspirasi yang dicipta oleh konduktor muzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya, Mohd. Yazid Zakaria yang bakal mempersembahkan karya istimewanya pada malam Malaysian Diversity di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas pada hari Jumaat ini, 28 Oktober pukul 8.30 malam.

"Sebanyak 15 buah lagu dari muzik-muzik Melayu asli, ghazal, sita dan sape sehinggalah pop, moden dan kontemporari bakal dipersembahkan pada malam itu," katanya yang ditemui ketika sidang akhbar di bilik Siantan, Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika sidang akhbar itu juga, OTM berkesempatan menyajikan sedikit persembahan khas yang akan dipentaskan antaranya lagu Overture Star yang muziknya digubah oleh Lilian Loo Shu Chin, Pak Ngah Balik gubahan Shamsul Zain dan dinyanyikan oleh Norihan Saif, Corazon Espinado, medley Santubong dan Sayang Kinabalu serta Joget Irish.

Selain itu, juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor akan turut sama memeriahkan persembahan dengan menyanyikan beberapa buah lagu seperti Gemilang, Somewhere, Joget Kenangan Manis dan Rolling In The Deep.

Istimewanya, persembahan daripada kumpulan Orang Asli, Bahbola dan Iqwal Hafiz akan turut serta menjayakan malam sambutan sempena Festival Seni KLCC 2011 itu.

Seramai 50 orang pemuzik daripada OTM akan bersama-sama menjayakan persembahan Malaysian Diversity yang hanya menggunakan alat muzik tradisional.

"Tapi selain itu, kita juga ada menggunakan instrumen moden seperti keyboard, gitar dan chelo untuk memperoleh notasi rendah yang tidak boleh dihasilkan oleh alatan muzik tradisional," ujarnya yang pertama kali berkolaborasi dengan pihak Dewan Filharmonik Petronas.

Festival Seni KLCC sebelum ini pernah dijayakan pada tahun 2010 dan mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Maka, sehubungan itu festival seni dan budaya selama seminggu itu kembali lagi tahun ini bermula pada 26 hingga 30 Oktober ini dan pelbagai aktiviti disediakan setiap hari dari siang hingga malam.

Idea di sebalik festival ini diinspirasikan dari kewujudan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai pusat seni. Dewan Filharmonik Petronas selaku pentas berprestij untuk pemuzik dan artis tersohor mempersembahkan bakat.


KOMBINASI muzik Barat dan Timur bersatu.


Manakala Galeri Petronas menghimpunkan variasi lukisan dan karya pelukis ternama dunia dan Petrosains pula bertindak selaku pusat sains dan teknologi yang kreatif dan ekspresif.

Empat malam

Festival itu akan dimulakan dengan gabungan Ensembel Seni Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dance Company pada hari Rabu ini, 26 Oktober menerusi persembahan berjudul Living Inspirations.

Pada malam ketiga (Sabtu 29 Oktober, pukul 8.30 malam), sebuah muzikal instrumental yang diinspirasikan daripada kehidupan masyarakat Malaysia akan dipersembahkan di bawah pimpinan pemain trombon MPO, Marques Young.

Persembahan berjudul MPO's Native Foray itu akan menyampaikan muzik-muzik yang diinspirasikan daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer daripada kaca mata pemuzik Barat.

Festival ini bakal diakhiri dengan persembahan muzikal Pesona Jauhar bertemakan Johor Heads North oleh Badan Kesenian Warisan Johor bermula pukul 8.30 malam.

Tarian berentak zapin dan muzik ghazal bakal bergema di pentas Dewan Filharmonik Petronas yang terbahagi kepada empat segmen iaitu Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Tiket berharga RM58 untuk setiap konsert dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.dfp.com.my dan www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-20517007.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan persembahan menarik turut menanti pengunjung di Esplanade KLCC antaranya No Noise Percussion, Royal Rhapsody SERATAS, Seri Puteri Winds, Stage Circle, Amir Johari, Tony Leo, Dikir Barat dan Floor Fever.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved