Isnin, 17 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kisah kejayaan peneroka Umas

Posted:

Kisah kejayaan peneroka Umas

Kisah kejayaan peneroka Umas

DENGAN memakai but berwarna hitam, jaket kulit berwarna coklat dan berseluar jean, Amarullah Sudin, 53, melangkah keluar dari rumah agamnya di Felda Gugusan Umas, Tawau, Sabah.

"Mari kita ke ladang kelapa sawit, di situ juga lebih 200 ekor lembu saya ditempatkan, ia ambil masa lebih kurang sejam ke sana dari sini," katanya bersahaja kepada penulis dan jurufoto, Noradzrene Mohd. Noor sambil membuka pintu pacuan empat rodanya.

Setibanya di ladang berkenaan, Amarullah turun dan terus memanggil ternakannya dengan nada yang agak aneh. Tanpa semena-mena, sekumpulan lembu berlari menghampirinya dan bergesel dengannya.

"Lihat, lembu-lembu itu semua sudah kenal Haji (nama timangan Amarullah), tuan punya lembu-lembu ini. Dia selalu memantau dan ambil berat ternakannya di sini," kata pemandu pacuan empat roda kami yang dikenali sebagai Pian.

Amarullah yang berasal dari suku Bugis Sabah sebenarnya bukan sebarangan individu. Lelaki ini dilabelkan antara peneroka Felda yang paling berjaya di Negeri di Bawah Bayu.

Membuktikan kenyataan, Amarullah baru-baru ini telah merangkul dua kejayaan dalam Anugerah Usahawan Tawau Felda 2010 yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Sambil bersiar-siar di ladang kelapa sawit, lelaki penuh karisma itu bercerita tentang misi dan visinya. Kata Amarullah, kejayaannya yang dikecapinya tidak datang bergolek.

Lantas, penulis menyogoknya tentang jolokan umum tentang dirinya digelar jutawan Felda.

"Awak kata saya jutawan? Oh, itu belum lagi, kita masih bekerja keras dan sebolehnya kita mahu kekal dengan sikap sederhana," katanya yang menepis persepsi mengenai konsepsi kejayaan dan kemewahannya.

Menyorot historiografi Amarullah pada masa lampau, intonasinya begitu melankolik.

Liku hidup

Kisah Amarullah di Felda Gugusan Umas bermula pada tahun 1990 dan dia bergelar sebagai peneroka kelapa sawit ketika itu. Namun, pada masa yang sama, minatnya untuk menternak haiwan ternakan telah mendorongnya membeli lima ekor lembu sebagai percubaan untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Keseriusan wawancara kami tidak semena-mena bertukar menjadi gamat dengan hilai tawa tatkala lelaki Bugis itu membongkar kisah kehilangan lembunya.

"Lima ekor lembu saya hilang dan takut isteri saya bising, saya beli lembu baharu," katanya yang mendedahkan rahsia yang terpendam sejak sekian lama di hadapan isteri, Murniati Aisnawir, 45, dan anak keduanya, Mohd. Iswan, 24.

Momen itu sebenarnya merupakan titik peralihan kepada kehidupannya. Sambil memandang tepat ke arah isteri yang bersama-sama berkorban masa dan tenaga, Amarullah mengakui perniagaan yang direntas penuh berliku.


PASANGAN suami isteri, Amarullah dan Murniati menaruh harapan agar zuriat mereka dapat menyambung legasi perniagaan yang dibina sejak bertahun-tahun lamanya.


"Pernah berlaku, 25 ekor lembu saya mati dan kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000 dan pernah juga 30 ekor lembu saya dicuri orang dan saya rugi RM60,000," beritahunya.

Pada satu peringkat, kata lelaki itu, kurniaan Allah kepadanya tidak berbelah bahagi. Dia berlapang dada apabila sudah mempunyai kira-kira 500 ekor lembu. Dia juga memiliki ladang kelapa sawit seluas 2,000 hektar.

Tidak bergantung kepada dua cabang perniagaan sahaja, selain menumpukan perhatian kepada ternakan dan kelapa sawit, Amarullah turut mengendalikan bisnes pembinaan. Skala para pekerjanya bertambah kepada 50 orang.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Amarullah berterus-terang bahawa hasil pendapatan bulanannya mencecah RM50,000.

Dahulu gajinya semasa awal-awal menjadi peneroka cuma sekitar RM200 sahaja.

Hasil ternakannya pernah menjengah bukan sahaja pasaran Sabah malah menerima tempahan dari Sarawak dan Indonesia.

Namun, tegas bapa kepada sembilan anak itu, tiada istilah berpeluk tubuh dan 'memerintah' para pekerjanya bukan prinsipnya.

"Saya masih bekerja tak kira masa. Pagi-pagi dah bangun. Alhamdullillah hasil titik peluh saya kini diwarisi oleh Mohd. Iswan," katanya yang sangat berterima kasih dengan keprihatinan Felda terhadap para peneroka di negeri Sabah.

Apabila topik perbualan beralih kepada kediamannya ibarat sebuah istana, Amarullah tersenyum simpul.

"Ya, kos rumah yang mempunyai tujuh bilik ini mencecah hampir RM2 juta dan sebenarnya ia masih dalam pembinaan.

"Rekaan rumah ini adalah sentuhan anak sulung saya, Abdul Ghafur yang merupakan seorang jurutera. Kami sama-sama mencatur idea mengatur konsep hiasan dalaman termasuk susunan perabot," ujarnya yang masih menggantung gambar keluarga di rumah papan yang pernah didudukinya dulu di ruang tetamu.

Beberapa puluh meter dari rumah Amarullah, tinggal seorang ibu tunggal bersama tujuh anaknya yang kesemuanya berjaya dalam pelajaran.

Transkripsi kisah Udang Rosnah Dullah, 50, sedikit menyayat hati. Kematian suami, Allahyarham Julhari Haiyan sejak 11 tahun lalu sesungguhnya memberi transisi besar kepada kehidupan ibu tunggal itu.


USAHAWAN WANITA BERJAYA. Udang percaya, sekiranya seseorang penerokaitu rajin, Felda pasti akan menghulurkan bantuan seperti yang dimahukan.


Ketika itu, kata Udang, dia hanyalah seorang suri rumah. Dia juga gusar dan tekanan semakin menguasainya lantaran memikirkan bagaimana mahu memulihkan taraf hidup sedangkan ilmunya tentang perniagaan sangat cetek.

Namun, apakah faktor yang mendorong penerima Anugerah Ibu Tunggal Paling Berjaya di Gugusan Felda Umas ini berjaya?

Ujarnya: "Kerja keras saya tak didorong oleh sesiapa tapi apabila saya melihat anak-anak perlukan masa depan yang cerah, saya terus bangkit untuk melakukan apa sahaja."

Cendawan tiram

Dengan riak wajah penuh kesungguhan dan bebola matanya yang menahan air mata, Udang berkata, dia memulakan segala-galanya dengan menanam cendawan tiram hasil bantuan Felda.

Semangat untuk melihat zuriat-zuriatnya belajar hingga ke menara gading, membakar semangat Udang untuk terus menongkah satu fasa baru yang ternyata memberi manfaat kepada penduduk warga Felda Umas.

Dengan bantuan Felda, dia membuka kedai memproses gambar dan fotostat. Peribahasa sehari selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain sesuai ditujukan kepada wanita keturunan Bajau Semporna itu.

Berkat kesungguhannya, pendapatan bulanannya kini sekitar RM5,000 sebulan.

Kehidupan Udang semakin bercahaya apabila anak-anaknya kini ada yang bergelar guru dan majoriti bekerja dalam sektor kerajaan. Anak kelimanya, Julfikri Julhari, 19, pula sedang menuntut di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya.

Sama ada Amarullah mahu pun Udang, kedua-duanya pernah pernah bergelut dalam merencana dan merubah derita keluarga. Usaha mereka yang tidak tidak pernah kenal erti jemu membuatkan mereka akhirnya menyeberang ke satu fasa yang penuh gemilang.

Seperti kata Udang: "Kita kena berani, kita kena cuba semua dan jika rajin, Felda pasti akan bantu kita."

Full content generated by Get Full RSS.

Taraf hidup lebih baik

Posted:

Taraf hidup lebih baik

Taraf hidup lebih baik


MAJORITI peniaga di Pasar Tamu di Felda Umas terdiri daripada wanita.


FELDA Gugusan Umas, Tawau, Sabah cukup istimewa. Berbeza dengan Felda-Felda yang bertapak di Semenanjung Malaysia, Felda ini didiami seramai 776 peneroka yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik yang berbeza.

Ada antara mereka yang berasal dari suku kaum Bajau Semporna, Bajau Laut, Bugis, Penan, Cina, Kadazan, Bisaya dan lain-lain lagi.

Meskipun majoriti warga Felda itu sudah melakukan transformasi terhadap kediaman mereka, pesona rumah tradisional yang masih dikekalkan oleh sesetengah daripada mereka ternyata mencuri pandangan.

Tiada cacat-celanya Felda ini. Segala prasarana seperti jalan berturap, sekolah, klinik, masjid, elektrik, bekalan air, telefon, kemudahan sukan, pusat perniagaan dan jeti di sediakan.

Seorang penduduk yang juga peniaga di pasar tamu di Tawau, Malina Bakri, 40, menyatakan rasa bertuahnya dengan kemajuan yang dikecapi sekarang.

"Saya sudah berniaga di sini kira-kira dua dekad, semuanya cukup dan kami gembira dengan perhatian yang diberi kerajaan," katanya yang menjual barangan basah seperti ikan dan sayur-sayuran.

Rakannya, Umaisahayah Marasarin, 39, senada dengan Malina. Dia yang berniaga lebih 30 tahun di situ bersyukur kerana dia mampu menjana pendapatan sekitar RM3,000 sebulan.

"Dulu kami hidup susah tapi sekarang ini kami gembira kerana kami bukan saja berasa selesa malah pada masa sama dapat menikmati kehidupan yang aman damai dengan puluhan etnik lain," katanya.

Bagaimanapun, cuma satu permintaan penduduk di sana. Mereka sepakat mahu kerajaan menimbangkan pembinaan sebuah pejabat pos dan bank untuk memudahkan urusan harian mereka.

Semasa kunjungan media ke Felda Umas sempena Karnival Iktiraf Media 2011 anjuran Seranta, Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini, kemeriahan dan keharmonian masyarakat di Felda tersebut cukup jelas.

Keriangan kanak-kanak bermain di padang permainan, keriuhan belia bersukan dan kesungguhan peniaga menjalankan perniagaan di pasar tamu, mewujudkan atmosfera yang sangat menyenangkan.


PROJEK biogas di Felda Umas yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta ini cukup untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada kepada kesemua penduduk pada tahun depan.


Projek biogas

Kedai D'Mart yang menjual barangan yang murah membuatkan masyarakat setempat tidak perlu berbelanja ke bandar Tawau yang terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari situ.

Aura Felda Gugusan Umas itu turut menambat perhatian Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang mengadakan kunjungan selama dua hari ke situ.

Mohd. Isa turut mengambil kesempatan berehat di rumah agam yang berharga hampir RM2 juta milik peneroka berjaya Umas, Amarullah Sudin, 53.

"Momentum Felda di sini begitu membanggakan saya," katanya.

Beliau turut meninjau lebih daripada 20 buah rumah untuk memberi sumbangan kepada belia orang kurang upaya (OKU) di sana.

Secara keseluruhannya, kata Mohd. Isa, terdapat sembilan tanah rancangan Felda di Sabah dengan bilangan peneroka seramai kira-kira 1,600 orang. Di Felda Umas sahaja terdapat empat rancangan iaitu iaitu Umas 1, Umas 2, Umas 3 dan Umas 4.

Meskipun jumlah peneroka di sana kecil berbanding lebih 100,000 peneroka di Semenanjung, Mohd. Isa menegaskan, tiada istilah mereka dipinggirkan.

Buktinya, pihaknya sedang dalam rangka akhir dalam menyalurkan tenaga elektrik daripada loji biogas kilang minyak sawit di Felda berkenaan.

"Setakat ini, kira-kira 80 peratus kerja-kerja yang membabitkan kos kira-kira RM11.4 juta sudah disiapkan dan kita menjangkakan ia akan siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

"Saya sangat berharap dengan adanya kemudahan ini, kita dapat membekalkan bekalan elektrik secukupnya di Felda itu," ujar Mohd. Isa.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Karnival Iktiraf Media 2011 yang dianjurkan oleh Seranta, Pengarahnya, Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, ia merupakan platform kepada pengamal media untuk mendasari kehidupan warga felda secara dekat.

Keluarga angkat

"Selama ini ada yang mendengar sahaja, tapi kali ini, kami membawa anda menyelami dan merasai sendiri kehidupan dan rutin harian yang biasa dilakukan sehari-hari," katanya.

Semasa karnival, kesemua anggota media berpeluang mendekati kehidupan tempatan dengan ditempatkan di rumah keluarga angkat. – MAZLINA ABDUL MAJID

Full content generated by Get Full RSS.

Jualan gudang acara tahunan

Posted:

Jualan gudang acara tahunan

Jualan gudang acara tahunan


PENGUNJUNG boleh mendapatkan banyak judul buku kegemarandan keperluan akademik anak-anak mereka pada harga istimewa.


BAGI ibu bapa yang inginkan bahan bacaan untuk anak-anak, penggemar novel sastera dan umum, jangan lepaskan peluang ke jualan buku dan majalah Kumpulan Utusan bagi mendapatkan pelbagai koleksi dan bahan bacaan bermutu yang dijual.

Melalui anak syarikatnya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) dengan kerjasama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) sekali lagi akan menganjurkan jualan gudang produk terbitan masing-masing seperti buku dan majalah.

Jualan ini akan diadakan bermula 21 hingga 30 Oktober ini bertempat di pejabat UP&D di No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, 56100 Cheras, Kuala Lumpur. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.

Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, acara jualan gudang itu merupakan aktiviti tahunan yang telah dianjurkan sejak empat tahun lalu. Kebiasaannya ia diadakan pada awal atau akhir tahun.

"Ini merupakan salah satu inisiatif UP&D untuk menawarkan harga istimewa kepada para pelanggan dan komuniti sekitar bagi mengenali produk-produk kami dan produk Kumpulan Utusan," ujarnya.

Budaya membaca

Di samping itu, melalui penganjuran acara jualan gudang, diharap semua masyarakat dapat mengambil peluang untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu dengan harga yang lebih murah.

"Tujuan utama diadakan jualan ini adalah untuk menggalakkan budaya dan minat membaca agar masyarakat senang untuk memiliki dan mendapatkan sumber ilmu berkualiti.

"Jualan ini juga meningkatkan promosi dan kesedaran masyarakat berhubung dengan akhbar, majalah dan buku Kumpulan Utusan di kawasan Kuala Lumpur," ujar Hairi.

Jualan gudang itu juga diadakan bagi menghargai setiap peminat buku tempatan dengan memberikan peluang keemasan untuk mereka memiliki buku pada harga yang lebih murah daripada harga asal.


SELAIN secara tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.


Buku-buku yang dijual pada jualan gudang tersebut merangkumi lebih 4,000 judul dalam pelbagai siri seperti motivasi, keluarga, kewanitaan, masakan, fesyen, novel, kanak-kanak dan juga buku akademik untuk tadika, sekolah dan universiti.

Produk terbitan UKSB pula merangkumi majalah Al-Islam, Hai, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, URTV, Wanita, Infiniti dan iSihat.

Pengunjung yang melanggan majalah untuk satu tahun pula bakal mendapat hadiah percuma. Selain dari majalah, buku keluaran UKSB seperti Mastika Baitullah, Mastika Cerita Dari Mekah, Insaf, Direktori Perkahwinan, Koleksi Saji turut dijual.

Buku-buku terbitan Cambridge juga turut dijual pada harga istimewa sepanjang 10 hari jualan gudang ini diadakan.

Antara buku-buku yang bakal menanti pengunjung adalah dari kategori Secondary Materials, Adult and Young Adult Courses, Cambridge English Readers dan Teacher Resource.

Tambah Hairi, sempena jualan gudang tersebut, pihak penganjur menawarkan diskaun sehingga 70 peratus ke atas tajuk-tajuk terpilih. Bagi kemudahan pengunjung, selain penjualan tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.

"Saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, universiti, para guru dan ibu bapa serta masyarakat di luar sana untuk meluangkan masa menghadiri jualan gudang ini. Pihak pentadbiran sekolah dan pustakawan turut dipelawa untuk melakukan pembelian secara pukal," ujar Hairi.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan jualan gudang ini, boleh menghubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


1,000 khatam al-Quran

Posted:

1,000 khatam al-Quran

1,000 khatam al-Quran


SEBAHAGIAN daripada pelajar membaca al-Quran sempena Program Khatam Al-Quran Perdana di Johor Bahru baru-baru ini.


KHATAM. Seramai 1,000 murid tahun empat, lima dan enam serta 500 guru dari 66 buah sekolah rendah menyertai Program Khatam Al-Quran Perdana peringkat Daerah Johor Bahru di Masjid Jamek Taman Perling, Johor Bahru baru-baru ini.

Program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru itu merupakan kesinambungan program J-Qaf di sekolah rendah dan salah satu usaha meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, majlis berkenaan bertujuan merealisasikan matlamat untuk menjadikan golongan muda sebagai generasi al-Quran.

Beliau berkata, penghayatan kitab suci itu amat penting dalam membentuk akhlak dan peribadi terpuji umat.

Full content generated by Get Full RSS.

Pencarian Chef Saji meriah

Posted:

Pencarian Chef Saji meriah

Pencarian Chef Saji meriah


ABDUL MANAN (tengah) bergambar bersama para peserta Pertandingan Pencarian Chef Saji anjuran Jamu Mak Dara di Kuantan baru-baru ini.


MERIAH. Pencarian Chef Saji dengan kerjasama Rempah Mak Dara di East Coast Mall Kuantan yang melibatkan seramai 26 peserta berjalan dengan meriah dan dirasmikan Ahli Parlimen Paya Besar Kuantan, Datuk Abdul Manan Ismail.

Turut serta di pertandingan tersebut ialah Ketua Pengarang Utusan Karya, Badrul Azhar Abdul Rahman. Selain Rempah Mak Dara, antara penaja lain terlibat ialah seperti, gas Petronas dan dapur masak Kinowell Healthy Kitchen. Kuantan merupakan lokasi ketujuh pertandingan tersebut diadakan.

Pada 23 Oktober nanti pertandingan Pencarian Chef Saji Rempah Mak Dara akan diadakan di Ipoh, Perak. Pada pertandingan tersebut, Khalid Zaidi Mohd dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memasak Pencarian Chef Saji Rempah Mak Dara. Khalid membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta hamper barangan.

Full content generated by Get Full RSS.

AHB anjur kempen derma darah

Posted:

AHB anjur kempen derma darah

AHB anjur kempen derma darah


DUA kakitangan AHB menderma darah sempena kempen amal yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.


DERMA DARAH. Asia Herbal Biotech Sdn. Bhd. (AHB), syarikat pengeluar jus kesihatan berasaskan herba Cordyceps menganjurkan kempen derma darah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rick Gan berkata, kempen yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikatnya itu untuk membantu menambah simpanan darah Pusat Darah Negara.

Lebih 50 sukarelawan menderma darah masing-masing pada kempen tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Harga 14 barangan dikawal

Posted:

Harga 14 barangan dikawal

Harga 14 barangan dikawal

AYAM merupakan salah satu barangan yang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 jenis barangan termasuk ayam, daging kambing dan telur disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2011 yang berkuat kuasa Jumaat ini sehingga 30 Oktober.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar kecil) berkata, mengikut skim itu, harga runcit maksimum ayam hidup ditetapkan pada RM6.40 sekilogram, ayam standard ialah RM7.50 manakala ayam super RM8.40.

"Kawalan harga ini turut melibatkan empat jenis daging kambing, tiga jenis telur ayam, sayuran dan kekacang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Jemaah haji gagal keluar wang

Posted:

Jemaah haji gagal keluar wang

Jemaah haji gagal keluar wang

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA dan CIK ROHANITA MAHMUD
berita@kosmo.com.my


JEMAAH haji dari Malaysia kini menghadapi masalah pengeluaran wang tunai di Mekah. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyangkal dakwaan bahawa Tabung Haji (TH) kehabisan wang apabila hampir keseluruhan 28,000 jemaah dari negara ini gagal mengeluarkan wang di Mekah sejak empat hari lalu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan masalah itu berpunca daripada bank-bank di Arab Saudi yang telah menyekat pengambilan wang dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa.

"Jemaah haji dari semua negara mengalami masalah yang sama apabila Bank Negara Arab Saudi sekat pengeluaran duit yang banyak dalam sehari bagi mengelak manipulasi mata wang.

"Biasanya dalam sehari, TH akan keluarkan 10 juta riyal (RM8.2 juta), tetapi sebab jumlah itu banyak, bank Arab Saudi sekat keluar duit bagi elak ada manipulasi," jelasnya pada satu sidang akhbar di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Agih kerusi ikut landskap politik

Posted:

Agih kerusi ikut landskap politik

Agih kerusi ikut landskap politik


MUHYIDDIN (tengah) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada warga emas, Muhamad Malek (kanan) pada Majlis Khas Kesejahteraan Rakyat di Kampung Paya Panjang, Muar semalam.


MUAR – Barisan Nasional (BN) tidak akan mengorbankan prinsip asas perkongsian kuasa dan keadilan dalam usaha untuk mencapai kata sepakat dalam isu pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting tentang formula pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen BN adalah kemampuan parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa pada PRU akan datang.

"Asas perkongsian kuasa dan keadilan dalam pembahagian itu (kerusi di antara parti komponen BN), tidak akan kita korbankan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khas Kesejahteraan Rakyat Kawasan Parlimen Pagoh di Kampung Paya Panjang di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Urban

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


1st Avenue pusat beli-belah ikonik BTS

Posted:

1st Avenue pusat beli-belah ikonik BTS

1st Avenue pusat beli-belah ikonik BTS

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

KOMBINASI latar awan dan langit membiru, tenang menyambut kedatangan pengunjung di 1st Avenue yang terletak di aras satu pusat beli-belah Berjaya Times Square (BTS).

Diinspirasikan dari lokasi terkemuka Fifth Avenue di kota New York, orang ramai berpeluang merasai pengalaman membeli-belah yang mengujakan sama seperti berada di kota yang terkenal dengan jolokan The Big Apple itu.

Malah, kewujudan pelbagai replika seperti stesen kereta api bawah tanah, pemandangan jalan raya yang dipenuhi teksi kuning popular seperti di New York dan lampu jalan memeriahkan lagi suasana di pekarangan 1st Avenue yang kini menjadi satu lagi tarikan terkini untuk pengunjung ke sana.

Bagi pemilik butik Offline Blogshop, Yeo Bee Sean, 25, peluang menyewa ruang perniagaan di 1st Avenue dirasakan begitu berharga kerana boleh mengembangkan lagi produk mereka di lokasi strategik.

"Ini merupakan kedai kedua kami selepas membuka cawangan sulung di Sunway Pyramid. Offline Blogshop diasaskan semata-mata untuk membantu para blogger yang terlibat dalam jual beli secara talian memperkenalkan produk mereka dengan lebih baik.

"Setakat ini, terdapat 30 blogger yang terlibat dalam memasarkan produk mereka di premis perniagaan ini. Kebanyakannya terdiri daripada pakaian, beg tangan, kasut, aksesori dan sebagainya," ujar Bee Sean sambil menunjukkan koleksi terbaharu yang ditawarkan di butik tersebut.

Projek 1st Avenue itu mengambil masa selama enam bulan untuk direalisasikan termasuk proses penyelidikan dan perancangan yang melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta.


RUANG beli-belah yang santai dan selesa mampu menggamit kehadiran ramai pengunjung ke 1st Avenue.


Mercu tanda

Sebagai sebuah pusat beli-belah yang ikonik dengan moniker atau jenama Times Square, maka layak sekali konsep 1st Avenue yang berkisar tentang bandar terkemuka dengan mercu tanda New York diaplikasi di situ.

Mural langit tertutup oleh pakar seni hiasan, Palazzo We Sdn. Bhd. menjadikan suasana beli-belah lebih menyeronokkan, seolah-olah pengunjung bukan berada di dalam sebuah bangunan.

Perkara ini diakui salah seorang pengunjung, Nicola Bryan, 27, yang kagum dengan hiasan dan konsep yang diketengahkan di 1st Avenue.

"Kali pertama memasuki premis ini, hati saya tertawan melihat dekorasi mural langit yang begitu istimewa. Ia membuatkan saya berasa seperti membeli-belah di luar sedangkan hakikatnya berada di dalam bangunan tertutup.

"Idea yang dibawakan pihak pengurusan sangat hebat dan ia mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sini. Tambahan pula variasi produk yang ditawarkan amat relevan daripada dunia fesyen, seleksi aksesori dan makanan serta minuman," ungkap pelancong dari Switzerland itu.

Sementara itu, pemilik butik Elda, Amjad Ali, 30, turut berkongsi rasa gembira kerana dapat menjadi salah seorang penyewa di lokasi tersebut setelah melihatnya buat kali pertama.

Berasal dari Afghanistan tetapi menetap di Australia, Amjad memberitahu dia tertarik membuka butik di 1st Avenue kerana konsep yang diperkenalkan pihak pengurusan Berjaya Times Square sangat menarik.


BAK di kota New York. Lukisan dinding yang memaparkan teksi kuning yang merupakan salah satu ikon bandar raya tersebut membuatkan seolah-olah pengunjung berada di sana.


Tambahan pula, lokasi ini terletak di tengah-tengah bandar yang memudahkan orang ramai mengunjungi pusat beli-belah tersebut.

Harga berpatutan

"Koleksi pakaian yang kami pamerkan adalah rekaan pereka dari Australia dan ia amat sesuai untuk mereka yang gemar berfesyen dan tampil bergaya. Harganya pula berpatutan dan mampu milik," jelas Amjad yang berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada pelanggan di butiknya.

Antara premis lain yang mungkin boleh dikunjungi termasuklah Magic Club bagi mereka yang berminat untuk mendalami dunia magik. Terdapat pelbagai aksesori dan produk berkaitan magik yang membolehkan pengunjung sendiri bergelar ahli silap mata.

Tidak ketinggalan, Magic Club turut menyediakan kelas untuk individu yang mahu mendalami dunia alam silap mata dengan lebih serius hingga ke tahap profesional.

Jika sudah penat menerokai segenap di 1st Avenue, apa kata rehatkan diri sambil menikmati seleksi minuman di kafe popular Starbucks yang turut berada di sana.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian hotline 1-300-888-988 dari 10 pagi hingga 10 malam atau layari laman web www.timessquarekl.com.

Full content generated by Get Full RSS.

Persiapan akhir sambut Deepavali

Posted:

Persiapan akhir sambut Deepavali

Persiapan akhir sambut Deepavali


LADDU antara manisan wajib dihidangkan pada sambutan Hari Deepavali.


DALAM tempoh satu minggu lagi, penganut agama Hindu akan menyambut Deepavali. Dalam tempoh yang singkat itu, kepada yang masih belum sempat membuat persediaan, anda tidak perlu bimbang kerana masih berpeluang untuk membeli-belah.

Bercakap tentang sambutan tersebut, perkara pertama yang difikir ialah membeli pakaian, aksesori, hiasan rumah, kuih-muih dan sebagainya.

Bagi memudahkan mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang, anda boleh mengunjungi tapak karnival yang dibuka khas sempena Deepavali.

Little India di Brickfields misalnya, merupakan salah satu lokasi yang menjadi tumpuan kepada mereka yang gemar membeli-belah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, pihak penganjur, Agenda Suria Communications (ASC) menganjurkan Karnival Deepavali bermula sejak 14 Oktober lalu dan berakhir hingga 25 Oktober 2011. Karnival diadakan di tempat letak kereta terbuka Brickfields dengan pelbagai pengalaman beli-belah yang mengujakan.

Karnival yang berlangsung selama 10 hari itu masih mengekalkan tradisi di samping beberapa pembaharuan.

Segmen hiburan


SERLAHKAN sepasang kaki dengan sepatu menawan.


Antara aktiviti yang dirancang sepanjang karnival ialah pertandingan tarian, pertandingan masak ibu dan anak, pertunjukan fesyen ibu dan anak, konsert saluran Astro Vaanavil pada 23 Oktober dan sesi bertemu peminat bagi pengacara dan artis Vaanavil hampir setiap hari.

"Ia menjadi segmen hiburan yang disediakan khas oleh ASC kepada pengunjung yang membeli-belah di lebih 200 gerai yang disediakan," kata Ketua Eksekutif Operasi ASC, Jaggarao Simancha.

Simancha menambah, pihaknya telah menambahkan jumlah gerai daripada tahun sebelumnya iaitu daripada 190 kepada 220 buah gerai tahun ini.

Pihak penganjur menyediakan lebih banyak ruang gerai berhawa dingin supaya dapat memberikan perkhidmatan yang selari dengan kehendak pelanggan.

Menjadi tarikan utama, Jaggarao mengakui tempat letak kereta KL Sentral sebagai lokasi yang paling strategik kepada pengunjung kerana selain menjadi hab pengangkutan awam, tempat tersebut juga menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung yang hadir.

"Selaku penganjur, kami menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi, tandas awam dan semestinya ia lokasi paling mudah dilawati menggunakan pangangkutan awam," kata Jaggarao.

Ruang selesa


PENGUNJUNG berpeluang membeli-belah di Karnival Deepavali sehingga 25 Oktober ini.


Selain itu, pihak penganjur juga menyewa tempat yang lebih luas berbanding tahun-tahun sebelum ini. Jaggarao yakin, pengunjung akan berasa lebih selesa untuk bersiar-siar dan mempunyai ruang yang lebih semasa membeli-belah.

Sebagai individu yang berpengalaman dalam menganjur dan menjalankan karnival beli-belah beberapa kali setahun sejak sedekad yang lau, ASC menyasar karnival kali ini akan mencapai sasaran 300,000 orang pengunjung.

"Kami percaya, acara ini dapat menyaksikan lebih ramai pengunjung kaum lain kerana mereka juga sudah cukup sinonim dengan karnival ini," ujar beliau.

Karnival ini bermula seawal pukul 12 tengah hari hingga 10 malam dengan kebanyakan peniaga terdiri daripada peniaga tempatan. "Kami juga menempatkan beberapa peniaga dari India dan memastikan mereka menawarkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta kempetitif."

Antara barangan yang boleh diperoleh di karnival itu ialah pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak, aksesori wanita dan lelaki juga kanak-kanak. Selain itu, barangan perhiasan rumah seperti lampu, bunga-bunga hiasan dan kad ucapan, item kulinari, kraf, kasut dan lain-lain juga dijual di karnival tersebut.

Kepada mereka yang kesuntukan masa untuk membuat kuih-muih tradisional, karnival itu juga menyediakan gerai pengusaha makanan tradisi masyarakat India menawarkan muruku, laddu, gilebi, halwa dan sebagainya untuk pengunjung.

Full content generated by Get Full RSS.

Sofa kediaman warga kota

Posted:

Sofa kediaman warga kota

Sofa kediaman warga kota

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


BERSIFAT provokatif, sofa berwarna hitam merah adalah pilihan eksklusif. Sesuai dengan tema kontemporari, sofa ini lazimnya dipilih untuk memberikan kelainan dan keselesaan yang muktamad. Sarung fabrik juga memberikan peluang untuk mencuci dan membersih.


SELAIN menjadi salah satu perabot wajib di ruang tamu, ruang rehat mahupun bilik menunggu di pejabat, set sofa bukan sekadar memenuhi keperluan tersebut.

Seperti elemen hiasan rumah yang lain iaitu warna cat yang sesuai dengan tema kediaman, perabot yang menarik dan pemilihan fabrik langsir yang seiring konsep, turut diberi perhatian adalah pemilihan sofa yang bersesuaian.

Kedai perabot milik Bumiputera sepenuhnya, T-Hani Furnistop yang terletak di Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam, mencadangkan beberapa pilihan menarik set sofa untuk kediaman anda.


SOFA kulit berwarna hitam, dilihat pilihan paling selamat kepada mereka yang mahu sofa kekal kelihatan bersih atau mudah dibersihkan.


Pengarah Urusannya, Zamri Mat Yusof yang sudah lebih tiga tahun berkecimpung dalam perniagaan itu berkata, pelanggan masa kini, khususnya mereka yang tinggal di sekitar kawasan bandar dilihat lebih suka memilih trend sofa yang bersaiz sederhana agar sesuai dengan saiz rumah.

Kebanyakan orang bandar dipercayai tinggal di pangsapuri, apartmen atau kondominium dengan ruang yang sangat terhad.

Sehubungan itu, pemilihan perabot iaitu sofa bersaiz sederhana menjadi pilihan.

"Walaupun rumah dua tingkat atau berkembar, mereka tetap memilih saiz sederhana supaya ia dapat menjimatkan ruang," kata Zamri.


SOFA ini menjadi pilihan wanita kerana sifat floral dan cita rasa Inggeris. Sarungnya yang boleh dibasuh dan dipasang menjamin kebersihan. Warna sofa juga boleh dipadankan sama ada bagi tema moden atau klasik.


Dari segi jenis sofa, sofa berbentuk L, sofa 2+3 atau sofa panjang popular berbanding sofa 1+2+3 yang bersifat tradisi atau klasik.

Selain itu, Zamri memberitahu, jenis sofa fabrik lebih menjadi pilihan popular pelanggan berbanding kulit.

"Sofa jenis kulit ini biasanya dipilih oleh mereka yang mempunyai anak-anak kecil, untuk kegunaan pejabat atau mereka yang tiada niat untuk menukar warna atau paten permukaan sofa," ujar Zamri.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Shah Alam pasti bergelora

Posted:

Shah Alam pasti bergelora

Shah Alam pasti bergelora

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

IRFAN (kanan) memberi taklimat kepada pemainnya mengenai persiapan bagi menghadapi Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.


STADIUM Shah Alam bakal bergelora malam ini apabila dua pasukan berstatus 'gergasi' membuat perhitungan pada separuh akhir pertama dalam kempen Piala Malaysia 2011.

Mereka mempunyai satu misi yang sama iaitu memburu tempat ke final piala paling berprestij itu.

Terengganu tampil dengan label sebagai pasukan Gergasi Pantai Timur selepas kejayaan menumbangkan musuh tradisinya, Kelantan, Jumaat lalu. Terengganu akan turun selaku pasukan pelawat menentang Selangor yang sinonim dengan gelaran Gergasi Merah Kuning.

Ibarat buku bertemu ruas, pertembungan separuh akhir pertama malam ini turut menjadi gelanggang percaturan buat Irfan Bakti dan P. Maniam dalam merencana skuad terbaik yang terdiri daripada barisan pemain kebangsaan.

Bagi Irfan, dia begitu menghormati reputasi Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, namun tanpa ada rasa gentar, mereka bersedia melenyapkan impian pasukan lawan yang memburu 'Misi 33'.

Katanya, kejayaan menyingkirkan Kelantan tempoh hari adalah amaran awal buat mana-mana pasukan di Malaysia agar lebih menghormati kemampuan Terengganu.

"Sejak dari awal saingan lagi saya sudah katakan yang kami tidak takut untuk bertemu mana-mana pasukan termasuklah Selangor.

"Saya memiliki barisan pemain berbakat dengan corak permainan menyerang yang begitu sistematik. Paling penting, pemain Terengganu tidak sedikit pun gentar dengan sorakan padu penyokong lawan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Enggan mendedahkan strategi yang bakal dipraktikkan, Irfan sebaliknya memberi kepercayaan kepada kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam ini untuk bermain secara berpasukan.

Jelasnya, kekuatan sebenar Terengganu adalah kepada corak permainan berpasukan sepertimana yang dipamerkan ketika aksi suku akhir lalu.

"Kami mempunyai pakej sebagai sebuah pasukan. Semangat dan keyakinan pemain adalah senjata kami lebih-lebih lagi selepas kemenangan ke atas Kelantan.

"Namun, saya tetap mengharapkan sentuhan beberapa pemain terutamanya di bahagian tengah yang dikemudi Joseph Kalang Tie dan Ashaari Shamsuddin. Selain itu, kehadiran semula Ismail Faruqi dan pertahanan muda, Zubir Azmi memberi lebih banyak pilihan kepada saya," katanya lagi.

Apa yang pasti, bahagian tengah pasukan Terengganu malam ini bakal menjadi faktor penentu kepada kemaraan pasukan itu Joseph Kalang dan Ashaari dengan menjadi taruhan.

Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya pula akan mengetuai barisan serangan Terengganu sementara Mazuki Yusof kebal sebagai kapten di jentera pertahanan.

"Kami tidak boleh tenggelam dengan serangan pasukan Selangor serta sokongan padu penyokong mereka kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada kami.

"Kami perlu bermain tenang dan fokus sambil menggunakan setiap peluang yang ada untuk dibawa ke perlawanan kedua nanti," jelas Irfan.

Full content generated by Get Full RSS.

T-Team sudah bersedia elak perangkap lawan

Posted:

T-Team sudah bersedia elak perangkap lawan

T-Team sudah bersedia elak perangkap lawan

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com


BARISAN pemain T-Team gigih menjalani latihan menjelang aksi menentang Negeri
Sembilan di Kuala Terengganu malam ini.


DI sebalik pujian melambung, jurulatih T-Team, Yunus Alif mula merasai debaran apabila anak-anak buahnya akan turun melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini.

Tanpa sebarang harapan di awal musim, pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu mula melakar kemasyhuran dengan layak ke separuh akhir, sekali gus menjadi satu-satunya wakil kelab yang berada dalam kelompok empat terbaik.

Kini, T-Team hanya selangkah untuk merasai nikmat final Piala Malaysia dengan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bakal menjadi saksi kepada cabaran pertama pasukan itu.

Menurut Yunus, tahap keyakinan pemain-pemainnya kini berada pada tahap seratus peratus dan hanya menunggu peluang untuk menjadikan impian mereka satu realiti.

Namun katanya, para pemain juga diingatkan agar tidak terlalu leka di sebalik kejayaan melangkah ke separuh akhir kerana misi menentang Negeri Sembilan bukanlah satu tugas mudah.

"Berada di separuh akhir sudah memberi kepuasan kepada saya, tetapi kami perlu teruskan usaha kami kerana pejuangan pasukan belum selesai.

"Kami sentiasa menghormati Negeri Sembilan kerana mereka merupakan lawan yang kental dengan barisan pemain penuh bakat. Sejarah juga sudah membuktikan pasukan lawan begitu menyerlah di pentas Piala Malaysia sejak beberapa tahun lalu," kata Yunus kepada Kosmo! semalam.

Apa yang dijanjikan kata beliau, adalah sebuah pasukan yang mampu menyerap tekanan dan dalam masa sama memberikan kemenangan.

Jelasnya, satu-satunya peluang T-Team untuk melakar sejarah mara ke final Piala Malaysia adalah dengan memenangi perla- wanan di Kuala Terengganu malam ini.

"Jika kami lepasi aksi di sini (Kuala Terengganu) dengan keputusan membanggakan, maka ia akan memberi semangat baharu kepada kami pada pertemuan kedua di Paroi nanti," jelasnya.

Yunus turut menekankan corak bermain secara menyerang akan dipraktikan pada perlawanan malam ini dalam misi memburu jaringan besar.

"T-Team memang dikenali sebagai sebuah pasukan yang menyerang dan kami perlu gunakan kelebihan ini. Namun, kami juga perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan corak permainan lawan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman."

Full content generated by Get Full RSS.

Selangor tanpa Amri

Posted:

Selangor tanpa Amri

Selangor tanpa Amri

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


AMRI (kiri) terpaksa berehat seminggu akibat kecederaan.


SELANGOR terpaksa mengenepikan kapten, Mohd. Amri Yahyah menjelang pertemuan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam malam ini.

Ini kerana, bekas penyerang kebangsaan itu masih belum pulih daripada masalah kecederaan di bahagian lutut kanannya yang dialami ketika berdepan Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Jumaat lalu.

Jurulatih Selangor, P. Maniam yang mengesahkan mengenai perkara tersebut berkata, hasil ujian imbasan yang dilakukan semalam mendapati Amri mengalami Medial Collateral Ligament (MCL) dan perlu berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum boleh kembali diturunkan.

"Kami (Selangor) terpaksa mengenepikan khidmat Amri. Atas nasihat daripada doktor dia perlu berehat se- kurang-kurangnya selama seminggu sebelum boleh kembali beraksi.

"Itu pun bergantung terhadap proses pemulihannya. Jika semuanya berjalan dengan lancar dia mungkin boleh diturunkan kembali pada separuh akhir kedua di Kuala Terengganu nanti," kata Maniam ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Maniam enggan menekan butang panik apabila kehilangan khidmat tonggak serangan utamanya itu kerana beliau kini sudah memiliki dua calon yang dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amri.

Jelas Maniam, tanpa Amri, beliau kemungkinan akan mempertaruhkan kepercayaan kepada dua bekas penye- rang kebangsaan, Rudie Ramli dan Azidan Sarudin bagi menerajui jentera serangan skuad Gergasi Merah.

"Saya sudah cuba Rudie dan Azidan ketika sesi latihan hari ini (semalam) dan antara mereka berdua akan menggantikan tempat Amri tetapi aya hanya akan membuat keputusan sebelum perlawanan bermula.

"Apa yang saya harapkan, siapa bakal diturunkan nanti boleh beraksi dengan baik dan menjaringkan gol buat pasukan," jelas Maniam.

Dalam pada itu, beliau turut meng- ingatkan empat barisan pemain pertahanannya agar memberi tumpuan sepenuhnya pada pertemuan menentang Terengganu itu.

Bagi Maniam, Terengganu memiliki jentera serangan yang bijak mencipta peluang bagi menjaringkan gol apatah lagi pengendali mereka, Irfan Bakti mempunyai pengalaman luas dalam mengatur strategi perlawanan.

"Kami memang mahu mencatatkan kemenangan pada perlawanan esok (malam ini) apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Namun, dalam keghairahan mencari gol, benteng pertahanan kami juga perlu kekal fokus bagi mengekang segala asakan daripada jentera serangan Terengganu yang bila-bila masa boleh mengudang padah kepada kami," tambah Maniam.

Beliau dijangka bakal menurunkan empat pertahanan yang sama ketika berdepan Perak iaitu Mohd. Nasriq Baharom, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd Razman Roslan dan P. Gunalan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Stailo

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Cita rasa sepanjang zaman

Posted:

Cita rasa sepanjang zaman

Cita rasa sepanjang zaman

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my

PADA tahun 1979, siri televisyen Amerika Syarikat, The Dukes of Hazzard yang disiarkan di saluran CBS menjadi antara siri televisyen yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi. Menariknya, siri drama genre komedi yang dibintangi barisan pelakon Tom Wopat, John Schneider dan Catherine Bach itu bukan sekadar hiburan harian malah, mendorong para penonton berfesyen.

Gara-gara kekerapan pelakonnya menyarungkan kemeja bercorak kotak, jejaka tempatan di sana telah terpengaruh dan 'berebut' untuk memiliki kemeja fesyen tersebut.

Namun yang pasti, fesyen kemeja berkotak tidak hanya popular pada era 1970-an, sebaliknya ia dianggap fesyen sepanjang zaman yang tidak pernah pupus. Malah, kelompok pereka fesyen dan pengeluar pakaian sentiasa berusaha menghasilkan koleksi kemeja berkotak mengikut peredaran fesyen semasa.

Menurut pereka muda yang semakin meningkat naik dalam industri fesyen tempatan, Mohammad Zarrieff, 23, sama seperti seluar kaki kembang (bell bottom), kemeja berkotak antara item fesyen yang diminati sepanjang zaman. Kemunculan kepelbagaian pakaian rekaan dan potongan moden sedikitpun tidak menjejaskan jualan kemeja fabrik kotak.

Bahkan, fesyen itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan jejaka tempatan memandangkan mereka lebih cenderung menggayakan kemeja konsep berkotak dan polos berbanding kemeja cetakan flora.

"Sebab itu, kemeja berkotak sama ada warna gelap, terang atau lembut merupakan koleksi pakaian utama yang perlu ada dalam almari personal lelaki. Lagipun, kemeja berkotak bukan saja selesa dan tampak ringkas dipakai sewaktu bersantai malah ia serasi dipadankan bersama seluar jean, khaki, seluar bermuda ataupun seluar korduroi.

"Namun begitu kemeja berkotak tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis formal dan ke pejabat. Jika diperhalusi, etika pakaian di pejabat perlu formal kerana ia melibatkan sisi profesionalisme.


SELIPAR dan topi kait adalah antara aksesori pilihan ideal untuk dgayakan bersama kemeja kotak berwarna gelap.


"Lazimnya, kemeja polos atau berjalur pilihan pakaian pejabat yang paling ideal," terang Mohammad Zarrieff atau Zaf ketika diminta mengulas tentang fenomena fesyen kemeja berkotak di Malaysia.

Walaubagaimanapun, Zaf yang turut aktif menghasilkan koleksi pakaian jejaka menyifatkan mereka yang bekerja dalam bidang seni, fesyen, hiburan dan kecantikan berpeluang menyarungkan kemeja berkotak sewaktu bertugas.

Disebabkan dunia kerja tersebut tidak mempunyai garis panduan pemakaian yang terlampau serius, maka ia bebas digayakan asalkan tidak mengundang reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan rakan sekerja.

Remaja Korea

Menyentuh mengenai fesyen kemeja kotak di peringkat antarabangsa, berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di Universiti Middlesex, London, graduan Ijazah Rekaan Fesyen itu menyatakan, majoriti jejaka British meminati pakaian konsep kotak.

Selain dipakai bersama seluar jean, kemeja kotak turut dipadankan dengan seluar pendek dan selipar. Tidak ketinggalan ia sering digayakan bersama baju-T polos.

"Boleh dikatakan setiap hari jejaka di sana menyarungkan pakaian berasaskan fabrik berkotak. Tidak kiralah sama ada keluar membeli-belah, kuliah mahupun bersantai bersama teman. Malah, selebriti antarabangsa juga meminati kemeja berkotak kerana ia menyuntik mood penampilan yang santai, ringkas dan ranggi.


HIMPUNAN kasut pelbagai warna di Bonk's ideal digayakan bersama kemeja fabrik kotak.


"Tambah menarik, mereka juga berani dan bijak bereksperimen dengan seluar, jaket dan baju-T konsep berkotak mengikut kesesuaian tempat dan keadaan," jelas Zaf kepada Stailo.

Pereka berketinggian 178 sentimeter itu turut berkongsi cerita pengalaman bercuti di Thailand dan Korea juga mendapati lelaki di sana tidak ketinggalan menggilakan kemeja berkotak berbanding kemeja konsep jalur atau polos.

Bagi mereka, kemeja berkotak memiliki keistimewaan yang unik dan membantu mengelakkan penampilan yang membosankan. Buktinya, lihat saja gaya kumpulan Super Junior dan SNSD dalam persalinan fabrik berkotak jenama SPAO, koleksi musim panas/luruh.

Ringkasnya, fesyen pakaian konsep kotak yang menjadi kegilaan jejaka tempatan terutamanya golongan muda mencipta populariti di Malaysia sekitar tahun 1970-an. Kemunculan fesyen yang pernah sinonim dengan kumpulan hippies, skin head dan punk itu di sini secara tidak langsung membawa perubahan besar pada industri fesyen tempatan.

Namun, gelombang fesyen tersebut surut seketika selama beberapa era tetapi hit kembali pada tahun 1990 sehingga menenggelamkan stail pakaian motif flora dan corak abstrak.

Kemeja berkotak Bonk's

Menyedari fenomena pakaian stail kotak di Malaysia semakin memberangsangkan, butik Bonk's yang memulakan operasi awal tahun ini cenderung menawarkan koleksi pakaian berkenaan.


PELBAGAI jenis gaya dapat dijelmakan dengan menyuai padan pilihan pakaian dan aksesori di butik Bonk's.


Buktinya, di setiap sudut butik Bonk's yang beroperasi di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur itu sarat dengan kemeja berkotak pelbagai warna dan rekaan.

Menurut Pengurus Pemasaran Bonk's Kuala Lumpur, Mohd. Wafi Mohd. Shari, kebanyakan kemeja konsep kotak diimport khas dari Korea, China dan Bangkok kerana ketiga-tiga negara tersebut menghasilkan kemeja berkotak yang berkualiti dan tahan lasak.

"Dari segi material, Bonk's menawarkan kemeja yang diperbuat daripada fabrik kapas dan linen memandangkan ia ideal dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap. Lagipun material ini memberi keselesaan kepada si pemakai dan mudah dijaga serta dicuci.

"Biasanya kumpulan remaja yang berusia antara 15 hingga 25 tahun, menggemari kemeja kotak besar dan warna terang kerana inginkan penampilan nampak segar. Sementara itu, jejaka berusia 40 tahun ke atas pula mula cenderung membeli kemeja kotak kecil. Mereka enggan kelihatan menonjol di depan orang ramai," tutur Mohd. Wafi yang turut menjual koleksi blaus dan kemeja berkotak buat golongan wanita.

Full content generated by Get Full RSS.

Pencarian Gadis Simply Pretty Avon

Posted:

Pencarian Gadis Simply Pretty Avon

Pencarian Gadis Simply Pretty Avon

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my


PENCARIAN Gadis Simply Pretty dilancarkan untuk mencari gadis jelita dengan produk terbaharu Avon Simply Pretty.


BUAT julung kalinya, jenama kosmetik dan kecantikan popular di Malaysia, Avon melancarkan kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 sepanjang bulan Oktober ini. Kempen yang menawarkan hadiah wang tunai dan produk Avon tersebut mencari golongan wanita berwajah manis dan ceria hasil rias solekan menawan terutamanya menggunakan koleksi kosmetik terbaharu Avon, Simply Pretty.

Selain itu, barisan juri profesional turut menilai peserta dari aspek penampilan, aksi di depan lensa kamera dan fotogenik. Kriteria berkenaan seiring dengan hadiah kempen yang memberi peluang kepada tiga orang pemenang utama muncul dalam risalah Avon.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd., Elaine Aisyah Abdullah, kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 diperkenalkan serentak dengan pelancaran koleksi mekap Simply Pretty yang disasarkan buat golongan remaja, pelajar dan wanita yang baru memasuki dunia pekerjaan.

"Rangkaian produk terbaharu ini bukan saja hadir dalam pelbagai item dan warna malah, ia dijual pada harga yang berpatutan. Ia ideal digunakan oleh kumpulan pelajar dan pekerja baharu yang ingin tampil ceria dan menawan tanpa perlu berbelanja tinggi bagi membeli alat mekap.


SUDUT jualan produk Avon sempena pelancaran produk Simply Pretty.


"Produk Simply Pretty yang diperbuat daripada adunan ekstrak semula jadi bertindak menjaga kesihatan kulit dan membantu menyuntik penampilan wajah ceria dan mempesona," terang Elaine mengenai produk Simply Pretty yang terdiri daripada bedak asas, pemerah pipi, pembayang mata, maskara dan pensil mata. Ini termasuklah salap bibir, pengilat dan pensil bibir.

Sesi transisi

Sempena pelancaran produk Simply Pretty sekali gus kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011 yang dimulakan awal Oktober lalu, kempen itu dimeriahkan dengan kaunter jualan produk Avon, sudut solekan dan sesi fotografi.

Selepas membeli produk Simply Pretty bernilai RM40, peserta perlu menjalani sesi transisi solekan kendalian barisan jurusolek profesional Avon, sebelum melakukan sesi fotografi. Hasil foto terbaik dicetak untuk dinilai para juri dan markah turut diambil kira berdasarkan jumlah 'likes' di gambar peserta yang dipaparkan dalam laman sosial facebook: www.fac book.com/AvonMy .

Dalam pada itu, salah seorang peserta kempen Pencarian Gadis Simply Pretty Avon 2011, Aizam Razali, 20, menyifatkan pertandingan itu bukan saja memberi peluang kepada wanita mempelajari teknik solekan yang betul daripada jurusolek Avon malah, secara tidak langsung meningkat keyakinan diri peserta.


TAMPIL anggun dan jelita dengan produk Avon Simply Pretty.


"Sebelum ini saya kurang selesa untuk menyertai pertandingan seperti ini kerana perlu beraksi di depan lensa kamera, apatah lagi ia dianjurkan di tempat yang terbuka. Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu saya mengumpul keberanian dan membuang rasa malu.

"Paling mengujakan selepas wajah disolek, rasa malu itu hilang sedikit demi sedikit memandangkan mood ceria mula menguasai diri. Bagi saya produk Simply Pretty sememangnya ideal buat remaja kerana ia hadir dalam rona ceria dan terang," jelas Aizam yang tampil manis dengan calitan pembayang mata palet ungu dan olesan gincu bibir rona pic.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak dapat hadir pada acara Simply Pretty di Berjaya Times Square, anda masih berpeluang mengambil bahagian dalam peraduan tersebut dengan cara membeli barangan Simply Pretty bernilai RM40 dan dan menghantar resit pembelian dan gambar ke marketing.my@avon.com.

Full content generated by Get Full RSS.

Si cantik Barbie di Mid Valley

Posted:

Si cantik Barbie di Mid Valley

Si cantik Barbie di Mid Valley


SELAIN pakaian butik Barbie Mid Valley turut menawarkan permainandan aksesori jenama berkenaan.


KECANTIKAN patung Barbie bukan sahaja menjadikannya produk mainan idaman setiap anak-anak kecil, bahkan ia turut mempengaruhi fesyen dan gaya si comel.

Barbie Store terbaru yang terletak di pusat beli-belah Mid Valley pastinya mencipta pengalaman yang tidak mungkin dilupakan si manja anda. Ia adalah kedai untuk si manja anda menikmati fesyen kegemarannya, kecantikan dan pengalaman seperti berada di dunia fantasi rekaan Barbie.

Konsep: Merah jambu menjadi penata warna utama hiasan dalaman Barbie Store Mid Valley. Ia sememangnya menjadi warna kegemaran kebanyakan si kecil yang sudah mula suka bergaya dan bersolek serta mahu tampil comel.

Perabot-perabot Barbie Store itu merupakan rekaan khas yang menonjolkan imej Barbie yang sukakan warna-warna lembut.


PAKAIAN kanak-kanak koleksi Barbie comel dan yang mempesonakan.


Menawarkan: Butik itu menawarkan pelbagai produk mainan, patung, produk-produk fesyen seperti gaun, aksesori dan beg serta alat tulis yang mempamerkan imej Barbie di bawah satu bumbung.

Keistimewaan: Si manja bukan sahaja berpeluang mengumpul koleksi Barbie kegemaran malah, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan bagi meraikan mereka seperti peragaan fesyen.

Selain itu, terdapat juga studio fotografi di tingkat dua butik itu untuk si manja anda menunjukkan bakat bergambar dengan gaya masing-masing.

Ibu bapa juga boleh menempah ruangan khas untuk menyambut majlis hari jadi anak mereka di situ dengan pakej-pakej menarik yang ditawarkan bersama teman-teman dan keluarga.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Pesona moden salwar kameez

Posted:

Pesona moden salwar kameez

Pesona moden salwar kameez

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

PELANGGAN pasti akan rambang mata dengan pelbagai pilihan baju-baju ala pelakon Bollywood, Aishwarya Rai di Harekrishna Silk.


WALAUPUN sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan Bollywood, Tollywood (Tamil) dan malah Hollywood, pelakon jelita dan ratu cantik Aishwarya Rai mempunyai pengaruhnya tersendiri dalam dunia fesyen dan gaya.

Rata-rata pereka fesyen memilih untuk mengikuti trend fesyen yang dicetuskan oleh Aishwarya sebagai salah satu titik tolak untuk ilham mereka. Ia bukan sahaja terhad bagi dunia Bollywood ataupun negara lahirnya, India, malah di Malaysia.

"Kebanyakan daripada kain-kain atau hampir semua pakaian wanita terutama sekali sut salwar kameez ini didatangkan dari Mumbai. Ini kerana lokasi itu memiliki ramai pakar dalam kerja-kerja tenunan manik, jemeki dan pencetus trend terkini menerusi pengaruh pelakon Bollywood," kata pemilik Harskrishna Silk, Thiyaananthan Bathumalai, 27.

Pemilik butik sari dan pakaian wanita, lelaki serta kanak-kanak, Harekrishna Silk ini begitu mahir dalam memastikan pelanggannya mendapat kepuasan memakai pakaian setaraf ratu dunia.

Sejak dua tahun yang lalu iaitu sejak filem Tamil lakonan terakhir beliau, Enthiran, fesyen pakaian Aishwarya dikatakan terus menjadi buruan para pelanggan khususnya pelanggan wanita moden yang muda.

"Pakaian potongan Anarkali atau dikenali sebagai Masagalli yang pernah dipakai jelitawan itu dalam filem Enthiran telah menjadi ikutan beberapa pelakon Tamil dalam filem-filem seterusnya. Dengan pelbagai pengubahsuaian, fesyen itu terus menjadi pilihan pasaran semasa di sini," ujar beliau.


BEG tangan yang sepadan dengan salwar kameez mahupun sari turut dijual.


Seorang lagi pemilik bersama, Harekrishna, 30, pula memberitahu, antara pengubahsuaian paling ketara yang dilakukan untuk pakaian salwar kameez Masagalli ialah dari segi penambahan kain net, penambahan jemeki, pengubahsuaian lengan tangan iaitu pajang, pendek, pendek bergelembung dan tanpa lengan, kerja-kerja jardhosi (tenunan batu pada baju) dan warna pakaian itu sendiri.

"Tahun ini, fesyen pakaian sut salwar kameez menekankan warna-warna terang sebagai trend dengan permintaan tinggi untuk pakaian berwarna kuning, ungu, merah hati dan merah jambu," kata Harekrishna.

Kedua-dua mereka juga akui, walaupun pengubahsuaian itu memberikan nilai tambah kepada baju sut tersebut, tetapi ia tetap menggunakan fesyen asal Masagalli iaitu gaya pelakon Aiswarya.

Sarat dengan manik, jemeki dan bertatah batu kilauan, Thiyaananthan berkata, itu tidak bermakna pakaian yang dijual di butik beliau adalah mahal.

"Kami memborong secara pukal dan memastikan mendapatkan harga yang terbaik. Selain itu, kami juga menentukan setiap pasang yang dibeli tidak berulang kecuali dari segi warna dan pengubahsuaian yang lain.


KEINDAHAN kerja jardhosi pada bahagian dada baju menjadi tarikan utama baju Masagalli ini.


"Ia seiring dengan polisi kami untuk menawarkan pilihan yang eksklusif bagi koleksi Masagalli ini," katanya yang turut membekalkan pakaian fesyen yang sama bagi kanak-kanak.

Katanya, semua pakaian sut salwar kameez, sut Punjabi, mahupun Churidar di butik tersebut dijual daripada harga semurah RM50 hingga mencecah RM1,800.

"Kami akan cuba sedaya upaya menawarkan harga yang terbaik kepada pelanggan," tambah beliau.

Selain itu, Thiyaananthan memberitahu, satu lagi cawangan Harekrishna Men's Collection turut dibuka khas bagi menawarkan pakaian untuk lelaki moden di kawasan yang sama.

"Ia menyediakan pakaian butik, pakaian koleksi khas, pakaian tradisional, jippa, kurtha dan kemeja untuk majlis keramaian," ujarnya.

Sempena sambutan perayaan Deepavali, Harekrishna Men's Collection menawarkan diskaun 10 peratus kepada pelanggan mereka.

Full content generated by Get Full RSS.

Tugas unik polis Westports

Posted:

Tugas unik polis Westports

Tugas unik polis Westports

POLIS Westports merupakan satu-satunya pasukan polis pelabuhan yang dilengkapi sistem laporan polis (PRS) secara dalam talian terus ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman.


PENDUDUK Pulau Indah di Klang Utara tahu pihak yang mereka harus hubungi jika berlaku kecemasan. Panggilan kecemasan itu pasti sampai kepada pihak Polis Pelabuhan Westports.

Diwujudkan di bawah Akta Polis 1994, tanggungjawab utama pasukan dengan kekuatan 196 anggota itu adalah untuk menjamin segala aspek keselamatan di premis pelabuhan itu.

Bagaimanapun, sebagai antara unit pasukan polis bantuan terbesar di negara ini, ia turut membantu keperluan kawalan dan keselamatan penduduk pulau sehinggakan ia adakalanya melayan panggilan kecemasan daripada penduduk di luar kawasan tugas.

Tidak seperti unit polis bantuan lain, Polis Westports mengendalikan aliran trafik pada waktu puncak, memadamkan kebakaran, mengendalikan khidmat ambulans, menangani ancaman material berbahaya (hazmat), mengendalikan usaha menyelamat di bawah air dan mengekalkan kedalaman serta keselamatan laluan air di pelabuhan.

Bebanan kerja tambahan itu sedikitpun tidak menjejaskan keberkesanan pasukan itu dalam memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam mencegah jenayah.

"Sejak ditubuhkan pada 1994, unit ini berjaya menyelesaikan antara 20 hingga 25 kes jenayah indeks setiap tahun. Polis Westports mencatatkan kadar penyelesaian jenayah yang mengagumkan iaitu sebanyak 90 peratus pada 2010," kata Ketua Polis Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop.

Jenayah indeks adalah jenayah yang dilaporkan kerap berlaku. Ia digunakan oleh Polis Diraja Malaysia sebagai kayu pengukur dalam menentukan kadar jenayah negara. Jenayah indeks terbahagi kepada dua kategori iaitu jenayah ganas dan jenayah harta.

Prestasi membanggakan ini menyebabkan Polis Westports mengambil alih tugas menjaga segala aspek keselamatan di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) daripada Polis Klang Selatan.

Ketua Polis Selangor pada masa itu ialah Tan Sri Ismail Omar (kini Ketua Polis Negara) juga pernah meminta Ketua Polis, Bomba dan Penyelamat Westports, T. Tamil Selvan, untuk memberi taklimat kepada 22 ketua daerah polis di negeri itu tentang penguatkuasaan undang-undang yang cekap.

Ciri unik

Polis Westports adalah satu pasukan yang unik kerana ia mempunyai kuasa untuk menyiasat, menangkap, menyoal siasat dan mendakwa pesalah bagi kesalahan yang dilakukan di Pulau Indah.

Para pegawai boleh mengumpul bukti dan membuat tangkapan walaupun mereka yang melakukan kesalahan melarikan diri jauh ke tempat lain. Tiada unit polis bantuan yang lain memiliki kuasa seluas itu.


KES yang melibatkan ancaman material berbahaya turut menjadi kendalian polis Westports.


Ia juga adalah satu-satunya pasukan polis pelabuhan yang dilengkapi sistem membuat laporan polis (PRS) secara online iaitu menghubungkan pusat kawalan pasukan itu terus ke ibu pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Unit itu turut mengadakan taklimat dan seminar secara berjadual mengenai prosedur keselamatan pelabuhan, mengadakan latihan dalam mengumpul bukti, menyiasat, prosedur menangkap dan mendakwa dan juga menjalankan sesi perbicaraan olok-olok di pusat latihannya di Pulau Indah.

Sesi-sesi pendedahan seperti itu turut disertai anggota polis pelabuhan lain dan agensi lain pelabuhan.

Anggota terlatih

Banyak kali anggota polis bantuan Westports membuktikan kelebihan dan dedikasi dalam menyediakan standard perkhidmatan yang terbaik.

Lebih mengejutkan, menurut Ketua khidmat Korporat Westports, Mejar (B) V. Manisegaran, kira-kira 90 peratus kakitangan Westports tidak pernah menjejakkan kaki di pelabuhan itu sebelumnya. Mereka mula mendalami kerja mereka di Westports.

"Kakitangan baharu disediakan dengan latihan menyeluruh yang sesuai dengan tugas mereka sebelum dibenarkan untuk melaporkan diri di tempat kerja masing-masing," katanya.

Berbekalkan pengalaman kerja lebih 25 tahun dengan PDRM, Ketua Unit, Tamil Selvan tidak asing dengan tugas penguatkuasaan undang-undang. Beliau menyelaraskan modul-modul latihan bagi lelaki dan wanita di bawah jagaannya. Buat masa ini, terdapat lapan anggota wanita dalam pasukan itu.

Para pengajar dari PDRM, bomba, dan angkatan tentera dijemput secara berjadual untuk menjalankan sesi latihan. Rekrut-rekrut juga dihantar menjalani latihan bersama PDRM dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, untuk menimba pengalaman bernilai dan meningkatkan keyakinan diri.

Muka-muka baharu menjalani latihan dalaman selama empat setengah bulan di Pusat Latihan Polis Pelabuhan Westports. Mereka kemudian melapor diri di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur bagi program latihan intensif selama sembilan minggu diikuti penempatan selama dua minggu di pelbagai jabatan PDRM.

Rekrut-rekrut juga perlu menjalani dril lasak selama satu setengah bulan dalam melawan kebakaran, pengurusan hazmat, rawatan kecemasan dan gerakan menyelamat di bangunan tinggi, ruang terhad, kapal, laut serta di dasar laut. Semua latihan itu dikendalikan oleh anggota bomba, tentera laut dan pasukan SMART.

Selepas menamatkan latihan, setiap anggota pasukan sudah bersiap sedia untuk bertindak semasa kecemasan selain terbabit dalam usaha menyelamat dan mencegah.

Pengiktirafan antarabangsa

Westports turut menjadi anggota Inisiatif Keselamatan Kontainer Amerika Syarikat dan Inisiatif Pematuhan Pelabuhan Mega. Polis pelabuhan turut dilatih dalam teknik antikeganasan dan pengesanan radioaktif.


POLIS Westports berkebolehan bertindak dalam kes kecemasan dan memberi rawatan awal terhadap trauma.


Dalam mengiktiraf kemahiran itu, Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut Amerika Syarikat (NCIS) telah mengesahkan Westports sebagai sebuah 'Pelabuhan Selamat' untuk kapal perang Amerika Syarikat berlabuh.

Selain itu, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat juga memperakui Westports sebagai mematuhi inisiatif Pakatan Kastam-Perdagangan Menentang Keganasan (C-TPAT) selepas audit bebas dilakukan oleh dua pegawainya.

Ini bermakna langkah-langkah keselamatan di Westports memenuhi keperluan kerajaan Amerika Syarikat. Ia adalah pelabuhan keempat di bawah Hutchinson Port Holdings (HPH) daripada lebih 50 pelabuhan dalam kumpulan itu yang telah diaudit melalui program C-TPAT.

Para pegawai CBP begitu kagum dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil dan mencatatkan sembilan Amalan Terbaik di Westports dalam laporan mereka.

Melihatkan kepada laporan memberangsangkan itu, kumpulan HPH seterusnya melantik Mej (B) V. Manisegaran sebagai pegawai keselamatan serantau untuk menangani hal-hal berkaitan keselamatan di kesemua pelabuhan Asia kecuali China dan Hong Kong.

Bersama reputasi yang disegani itu, tidaklah mengejutkan bahawa pasukan tersebut menjadi ikon industri yang patut dicontohi pihak pengurusan pelabuhan dan unit polis bantuan lain di negara ini.

Khidmat dihargai

Untuk mencegah jenayah dan mengekang tingkah laku tidak baik, Polis Westports telah menempatkan 22 kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik di seluruh pulau. Unit tersebut juga mengendalikan kawalan 24 jam dan tujuh hari seminggu di empat buah kampung yang terletak di pulau itu.

"Kawalan ketat mengekang tingkah laku kurang baik – khasnya dalam kalangan muda-mudi tempatan. Penduduk kampung menghargainya kerana ia membolehkan mereka berasa selamat," jelas Penghulu Pulau Indah, Mohd. Halil Selamat.

Hairani Salip, yang mengusahakan kedai runcit di pulau itu, turut berterima kasih kepada pasukan polis Westports kerana perkhidmatan yang dihulurkan.

"Tindak balas pantas mereka membantu memadamkan kebakaran di rumah saya suatu masa dahulu juga mengelakkan kemusnahan yang lebih besar," katanya.

Penyelaras Khidmat Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Mohan Chitran juga memandang tinggi kemampuan polis Westports.

"Kesemua mereka berkebolehan dalam bertindak menghadapi kecemasan dan rawatan awal terhadap trauma. Ini sesuatu yang penting dalam sektor khidmat perubatan kecemasan (EMS) dan perkongsian sinergi adalah aset besar bagi hospital," kata Mohan.

Penduduk Pulau Indah boleh tidur lena pada malam hari kerana mengetahui polis Westports sentiasa bersiap sedia menghulurkan bantuan.

Boleh saja dirumuskan, Pasukan polis Westports boleh diibaratkan 'Pembanteras Jenayah dengan Pelbagai Tugas di Pulau Indah'. – Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved