Selasa, 27 September 2011

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tinggal tiga hari lagi

Posted:

Tinggal tiga hari lagi

Tinggal tiga hari lagi

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

SPAD mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran semula
kenderaan perdagangan selepas tarikh akhir 30 September ini. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Tarikh akhir pendaftaran semula bagi semua kenderaan perdagangan hanya tinggal tiga hari sahaja lagi iaitu pada 30 September, namun masih terdapat 160,000 daripada 360,000 kenderaan seumpama itu belum lagi didaftar semula.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sejak proses pendaftaran dibuat enam bulan lepas, hanya 60 peratus sahaja syarikat kenderaan perdagangan mendaftar semula kenderaan masing-masing.

"Daripada 91,000 buah syarikat kenderaan perdagangan hanya 60 peratus atau sebanyak 54,600 syarikat sudah mendaftar dan baki 36,400 buah syarikat masih belum mendaftar.

"Selepas tamat sahaja tempoh ini, kita akan dapat gambaran sebenar syarikat mana yang halal atau beroperasi secara haram," ujarnya pada sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman di antara Touch n' Go Sdn. Bhd. (TNGSB) dan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) di sini semalam.

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Abdul Karim Md. Lassim dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Nor.

Kerjasama tersebut membolehkan orang ramai termasuk pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan koc ekspres ERL ke KLIA membayar tambang dengan menggunakan kad Touch n' Go.

Syed Hamid meminta pemilik kenderaan supaya tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi dan khabar angin yang mendakwa proses pendaftaran terlalu sukar dilakukan.

"Jangan dengar cerita orang, kalau tidak tahu kakitangan SPAD akan bantu untuk isi borang malah kalau tiada akaun bank atau cukai pendapatan juga tiada masalah dan ada ruangan khusus untuk kategori ini.

"Sebenarnya kita bukan mahu membuat permohonan baharu tetapi kita cuma mahu buat pendaftaran semula untuk kemas kini pangkalan data kita. Saya dapati banyak spekulasi khabar angin yang tidak menggambarkan keadaan sebenar," ujar beliau.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Persandingan 1Malaysia di R&R Pagoh

Posted:

Persandingan 1Malaysia di R&R Pagoh

Persandingan 1Malaysia di R&R Pagoh


PENGANTIN Lik Siang (tiga dari kiri) dan Bee Sin lengkap berpakaian Melayu diarak di kawasan Rehat dan Rawat Pagoh Selatan di Muar semalam.


PAGOH - Enam tahun lalu, Lim Bee Sin yang ketika itu berusia 19 tahun pernah meminta kerja di kedai nombor 8, Pagoh Kopitiam yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh Selatan Lebuh Raya Utara-Selatan di sini.

Tanpa berfikir panjang, pemilik kedai tersebut, Tai Lik Siang yang ketika itu berusia 22 tahun mengambilnya bekerja.

Semasa bekerja mereka sering bergurau senda dan tanpa disangka hubungan mereka menjadi semakin rapat.

"Selepas empat tahun, dia berhenti kerja dan mulakan kerja baharu di sebuah kedai di Melaka.

"Saya mencari dia kembali dan selepas bercinta selama dua tahun, kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,'' cerita Lik Siang yang kini berusia 28 tahun.

Bagi Lik Siang, R&R Pagoh Selatan menyimpan terlalu banyak kenangan percintaan sehingga mendorong mereka mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan di R&R itu.

Dia berasa amat gembira kerana dapat mengadakan majlis perkahwinan itu yang dihadiri hampir 1,000 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai serta warga R&R tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM umum dana RM10 juta pelajar PhD

Posted:

PM umum dana RM10 juta pelajar PhD

PM umum dana RM10 juta pelajar PhD


NAJIB menunjukkan biografi Ainuddin Pejuang Degil Melayu pada majlis pelancaran buku tersebut di UTM, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan, Fatini dan Zaini.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan penubuhan Ainuddin Wahid Endowment Fund dengan dana RM10 juta bagi membiayai pelajar peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Perdana Menteri berkata, dana berkenaan akan diagihkan secara berperingkat dengan peruntukan RM2 juta setahun untuk tempoh lima tahun.

Ketika melancarkan biografi Ainuddin Pejuang Degil Melayu di UTM, Jalan Semarak di sini, beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk membiayai lima pelajar PhD setiap tahun yang daripada kumpulan 'creme de la creme' iaitu yang terbaik.

"Pelajar-pelajar PhD yang dibiayai oleh dana ini juga berpeluang untuk mengikuti sandaran selama enam bulan semasa pengajian di salah sebuah institusi akademik tersohor dunia iaitu Universiti Oxford, Cambridge, MIT atau Imperial College," katanya.

Dalam ucapannya, Najib juga mengingatkan rakyat supaya tidak sekali-kali melupakan sejarah dan perjuangan pemimpin terdahulu yang menyumbang kepada kemakmuran negara yang dinikmati hari ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Nikon di Kota Kinabalu

Posted:

Nikon di Kota Kinabalu

Nikon di Kota Kinabalu


PENGARAH Urusan Nikon Malaysia dan Singapura, Masanobu Tsunoda memalu gong sebagai gimik perasmian.


SELEPAS pembukaan di KLCC, Nikon kini melebarkan sayap ke Negeri Di Bawah Bayu, Sabah. Terletak di Aras Satu, Warisan Square, bilik pameran Nikon di Kota Kinabalu itu turut menyediakan kemudahan seperti yang terdapat di cawangan-cawangan lain.

Pembukaan tersebut adalah kerjasama antara syarikat Nikon dengan Futuromic Photo AV (Borneo Utara) yang merupakan pengedar tunggal produk Nikon di Malaysia Timur dan Brunei.

Ia diharap dapat merangsang dan memupuk budaya fotografi dalam kalangan penduduk di rantau tersebut.

Kini, orang di Sabah boleh mencuba sendiri cara penggunaan kamera Nikon dan mendapat segala perkhidmatan serta tunjuk ajar mengenai kamera jenama itu.


BILIK pameran Nikon di Warisan Square, Kota Kinabalu turut menyediakan perkhidmatan seperti di Kuala Lumpur.


Ia dibuka pada pukul 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat manakala hari Sabtu pula, dibuka dari pukul 9 pagi hingga 1 petang.

Peminat seni fotografi di Sabah berpeluang mendapatkan semua model kamera Nikon dari jenis DSLR hingga ke kamera kompak Coolpix.

Selain itu, mereka dapat meningkatkan kemahiran merakam foto dengan menyertai bengkel-bengkel yang akan diadakan dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 08-8486 192 dan 08-8486 190 atau e-mel ke service1.nb@futuromic.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Banjir: Perlis perlukan peruntukan tambahan

Posted:

Banjir: Perlis perlukan peruntukan tambahan

Banjir: Perlis perlukan peruntukan tambahan

27/09/2011 11:20pm

KANGAR — Kerajaan negeri Perlis memohon peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, sebelum ini, kerajaan negeri telah memohon sebanyak RM40 juta bagi kerja-kerja jangka pendek mengawal banjir tetapi yang diluluskan hanya RM10 juta.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan banjir di sini hari ini, beliau berkata, peruntukan tambahan itu adalah bagi kerja-kerja meluas dan mendalam Sungai Perlis di samping sungai-sungai lain yang menjadi penyebab masalah banjir.

Mengenai peruntukan RM10 juta yang telah diluluskan, Md. Isa berkata, ia akan digunakan bagi membaiki beberapa batang sungai utama termasuk Sungai Biak dan Sungai Beseri selain sungai-sungai di kawasan Bintong, Arau, Kayang serta Kangar.

Md. Isa berkata, kerajaan negeri juga merangka program jangka panjang bagi mengatasi banjir termasuk rancangan membina projek Lencongan Barat dan Lencongan Timur.

Menurutnya projek Lencongan Barat yang dianggarkan bernilai RM260 juta dijangka boleh dimulakan tahun depan apabila urusan pengambilan tanah dapat diselesaikan dan tempoh siap projek itu adalah dua tahun. — Bernama

Pemuda ditemui lemas dalam tali air

Posted:

Jutaan muzik di hujung jari

IRAMA dan lagu bagaikan sudah sinonim menjadi teman setia apabila kita mengembara di dalam ataupun luar negara. Tatkala berada dalam mood bosan apabila melaksanakan tugasan, beriadah ataupun bersantai, muzik dapat membantu menghilangkan perasaan tersebut sekali gus menceriakan semula keadaan. Lagi...

Akta Geospatial sedang dirangka

Posted:

Akta Geospatial sedang dirangka

Akta Geospatial sedang dirangka

27/09/2011 11:13pm

SHAH ALAM — Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang merangka Akta Geospatial Kebangsaan bertujuan meningkatkan tadbir urus aktiviti berkaitan permohonan data geografi.

Menterinya, Datuk Seri Douglas Unggah Embas berkata akta itu akan membantu membangunkan kerajaan dan masyarakat secara lebih menyeluruh dan teratur.

Selain akta itu, agensi di bawah kementeriannya telah merumus strategi penyelarasan lebih baik dan penggunaan efektif data geospatial, katanya pada majlis pembukaan, 'International Symposium and Exhibition on Geoinformation 2011' yang ke-10 di sini hari ini.

Beliau berkata, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dapat membantu penggubal dasar untuk mencapai pengurusan mampan sumber asli dan alam sekitar Malaysia. — Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Perubatan Islam kian popular

Posted:

Perubatan Islam kian popular

Perubatan Islam kian popular

BEBERAPA penduduk membeli ubat herba di Klinik Herbal Insani di pinggir Jakarta pada 20 Ogos lalu.


JAKARTA- Semakin ramai orang Islam di rantau ini tidak lagi memilih perubatan moden, sebaliknya beralih kepada perubatan al-Tibb al-Nawabi atau perubatan cara Nabi.

Perubatan tersebut dikatakan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan herba semula jadi tradisional.

"Saya dengar ramai yang telah sembuh. Jadi, saya berharap Allah akan membantu saya," kata seorang wanita yang mengalami masalah sista ovari dan gangguan makhluk halus, Suratmi.

Dia yang mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Jakarta menyatakan sakit perutnya itu sudah semakin reda.

Di Indonesia, perubatan Islam sering dikaitkan dengan golongan fundamentalis yang mendakwa perubatan Barat sebagai racun kepada orang Islam dan ada ubat diperbuat daripada babi.

Justeru, terdapat ahli-ahli kumpulan pengganas yang terlibat dalam perubatan Islam dengan bertindak menjadi bomoh atau penjual.

Sementara itu, segelintir klinik digunakan sebagai tempat merekrut ahli baharu.

Namun, kebanyakan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan terdiri daripada mereka yang berfahaman sederhana.

"Perubatan Islam membawa mesej bahawa dengan mengambilnya, anda memperkuatkan kepercayaan, manakala keuntungannya memanfaatkan orang Islam," kata Sidney Jones, daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa yang pakar mengenai Islam di Asia Tenggara.

Perubatan Islam, produk penjagaan diri dan kecantikan telah menjadi perniagaan besar memandangkan pelanggan di Asia Tenggara sahaja mencecah 250 juta orang.

Misalnya, Siwak-F yang turut dieksport ke Asia Barat dikatakan sebagai ubat gigi yang seperti pernah digunakan oleh Nabi suatu ketika dahulu.

"Kami menggunakan ubat-ubatan yang terbukti keberkesanannya, ditambah dengan keimanan kepada Allah," kata Pengarah Hospital Al-Islam di Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.

Kos di hospital itu adalah 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada hospital biasa. - AP

Banjir sebabkan 158 orang mati di Thailand

Posted:

Banjir sebabkan 158 orang mati di Thailand

Banjir sebabkan 158 orang mati di Thailand


BEBERAPA kanak-kanak bermain air banjir di depan rumah mereka di Phnom Penh semalam.


BANGKOK - Angka kematian akibat banjir di Thailand sejak pertengahan Julai lalu terus meningkat kepada 158 orang manakala 61 orang lagi mati di Kemboja dalam masa dua minggu, kata pihak berkuasa di kedua-dua buah negara semalam.

Lebih 0.8 hektar tanah ladang di Thailand ditenggelami air banjir, bersamaan 11 kali ganda saiz negara Singapura.

"Sebanyak 23 wilayah di utara dan tengah Thailand ditenggelami banjir dan hampir dua juta penduduk terjejas akibat banjir dan hujan lebat," kata sumber dari Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand.

Menurutnya, banjir juga turut menjejaskan ibu kota Bangkok, yang terletak hanya dua meter dari aras laut.

Sungai Chao Phraya turut dinaiki air, melimpahi beberapa jalan raya walaupun pihak berkuasa telah membuat benteng di sepanjang tebing sungai bagi mengelak banjir. - Reuters

Lagi kereta Nano terbakar

Posted:

Lagi kereta Nano terbakar

Lagi kereta Nano terbakar


GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Nano, keluaran Tata Motors terbakar di Mumbai, India pada 21 Mac 2010.


NEW DELHI - Pengeluar kenderaan India, Tata Motors mengarahkan satu siasatan dibuat semalam selepas sebuah lagi kereta kompak buatannya, Tata Nano yang dilabel kereta termurah di dunia terbakar secara tiba-tiba.

Dipuji pada 2008 sebagai kereta pencetus revolusi pengangkutan di India, penjualan kereta Nano mengalami kemerosotan ekoran kebimbangan berhubung tahap keselamatan kenderaan itu, masalah pengeluaran serta kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi.

"Sebuah kereta Nano terbakar di sini kelmarin. Kami telah menghantar pasukan jurutera untuk melakukan siasatan. Kami memerlukan masa untuk menyiasat kes berkenaan," kata jurucakap Tata Motor, Debasis Ray.

Menurutnya, pengeluar kereta berkenaan akan menghubungi pemilik kereta terbabit.

Terdahulu, akhbar tempatan The Times of India melaporkan bahawa dua adik beradik lelaki sempat melarikan diri selepas kereta terbabit tiba-tiba terbakar.

Pada tahun lalu, Tata Motor terpaksa menawarkan peningkatan ciri keselamatan percuma selepas beberapa kereta Nano terbakar dalam pelbagai insiden tetapi firma itu tetap bertegas bahawa kereta berkenaan tidak mengalami masalah.

Model asas kereta Nano dijual pada harga semurah AS$2,500 (RM7,956). - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Demi masa depan terumbu karang

Posted:

Demi masa depan terumbu karang

Demi masa depan terumbu karang

Oleh KUMARA SABAPATTY

MALAYSIA adalah di antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia yang kaya dengan sumber asli dan kepelbagaian biologi atau biodiversiti.

Di antara banyak lokasi dalam negara yang dimaksudkan, Pulau Tioman adalah khazanah perairan yang menawarkan habitat hidupan marin yang unik dan mempersonakan.

Rekod di Taman Laut Pulau Tioman sahaja menjadi rumah kepada lebih kurang 221 spesies terumbu karang ekstensif, 233 spesies ikan karang dan 61 spesies hidupan marin lain.

Bagi memastikan kekayaan ekosistem itu sentiasa dilindungi, tanggungjawab tersebut terletak di tangan pihak Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) yang ditubuhkan sejak 2007 lagi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Jabatan itu bertanggungjawab mengurus dan mentadbir 42 kawasan perairan taman-taman laut dengan keluasan yang digazet iaitu 235,723 hektar.


KUMPULAN penyelam JTLM yang bertauliah juga akan membuat penandaan, pemetaan dan kajian tentang kewujudan spesies baharu karang laut dan spesies marin lain.


Pemantauan JTLM di zon yang dalam lingkungan radius dua batu nautika dari Pulau Tioman turut menjangkaui usaha mengekang pencerobohan bot asing yang dikhuatiri merosak serta memusnahkan spesies-spesies unik yang terdapat di perairan pulau tersebut.

Seorang anggota penguat kuasa JTLM Pulau Tioman, Anuar Safia, 38, yang berkhidmat selama 15 tahun tampil berkongsi pengalaman dan peranan jabatan itu dalam memelihara dan melindungi hidupan laut daripada tercemar akibat pencerobohan serta aktiviti terlarang.

Anuar berkata, terdapat beberapa faktor kepada kemusnahan terumbu karang, timun laut dan banyak lagi spesies marin di Tioman serta pulau-pulau lain di bawah perlindungan JTLM.

Jelasnya, kelunturan terumbu karang antara lain diakibatkan isu pemanasan global. Karang bertindak balas dengan tekanan sinaran matahari yang lebih kuat daripada biasa yang sekali gus meningkatkan suhu laut.

Tekanan tersebut akan menyebabkan alga dan hidupan pemberi nutrisi dan warna kepada batu karang menghilang.

Pihak JTLM juga mengendalikan kes yang berkaitan aktiviti mengebom ikan oleh penceroboh taman laut. Perbuatan tersebut juga menyumbang kepada kemusnahan terumbu karang selain daripada ancaman aktiviti pelancongan yang tidak terkawal.

"Sebagai contoh, penggunaan bot berkuasa tinggi, melabuhkan sauh di kawasan terumbu karang dan pembinaan sebarang struktur di kawasan perairan taman laut boleh memberi kesan kepada hidupan marin," ujarnya.

Itu belum lagi bercakap lebih lanjut mengenai tabiat manusia yang membuang bahan tercemar ke dalam laut atau memijak serta menyentuh batu karang ketika melakukan aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Jelas Anuar, walaupun situasi pemanasan suhu laut itu buat masa ini tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan fenomena sejagat, namun pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa demi memastikan terumbu karang dan spesies sensitif lain dilindungi.

Selain usaha meningkatkan pengetahuan dalam kalangan mereka yang melawat taman laut, JTLM juga bertanggungjawab untuk menutup kawasan terumbu karang yang diancam masalah kelunturan bagi usaha-usaha pemuliharaan.

Usaha pemuliharaan

"Kita juga melakukan proses pemindahan dan penanaman semula karang laut ini sedalam 30 hingga 40 kaki di dalam laut.

"Selalunya, kita akan memindah dan menanam semula karang tersebut ke lokasi lapang lain yang telah dikenal pasti. Semua itu membantu kelangsungan hayat terumbu karang seperti yang dilakukan baru-baru ini di Kampung Salang, Pulau Tioman," katanya.

Pada masa yang sama, kerja memburu tapak sulaiman berduri (Acanthaster planci) yang digelar Crown of Thorns juga giat dilakukan secara berkala. Hidupan itu adalah antara ancaman nyata kerana sifatnya yang membunuh karang laut untuk dijadikan makanannya.

Selain usaha menyelamatkan terumbu karang, langkah kawalan tambahan juga dibuat demi keselamatan para pelancong taman laut yang mengikuti aktiviti snorkeling dan menyelam.


USAHA memberi kesedaran dan pengetahuan kepada generasi muda diwujudkan melalui perpustakaan yang disediakan JTLM.


Pihak JTLM aktif mengutip landak laut hitam untuk ditempatkan di kawasan lain.

Walaupun fizikalnya yang berduri membahayakan manusia kerana racunnya, landak laut sebenarnya mempunyai manfaat. Kehadirannya di lantai laut bertindak menyerap kekotoran dan secara keseluruhan membantu mengekalkan kejernihan air.

JTLM juga menguatkuasakan larangan aktiviti menangkap atau memancing ikan di kawasan lingkungan dua batu nautika dari pesisir pantai Pulau Tioman bagi melindungi spesies marin daripada pupus.

"Bagi memastikan kesemua usaha dan misi kami berjaya, kami sentiasa menjalankan program pendidikan tentang kehidupan laut supaya dapat dimanfaatkan para penduduk Pulau Tioman dan juga pelancong.

"Kita juga membuat pengezonan kawasan, menambah platform rehat terapung, meletakkan boya penanda kawasan dan menjalankan penyelidikan serta pemantauan berterusan agar khazanah berharga itu kekal selama-lamannya," ujarnya dengan harapan.

Kapal 1 Permata

Pelancaran rasmi Kapal 1 Permata yang bersaiz 18 meter dengan kelajuan 34 knot dan boleh memuatkan sehingga 16 hingga 20 penumpang menjadi kebanggan JTLM. Ia digunakan untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut Pahang, Johor dan Terengganu.

Ketika ini, kekuatan anggota penguatkuasaan JTLM adalah seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah untuk operasi laut pada waktu malam.

Bot-bot sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai digunakan pada musim tengkujuh sekitar November hingga Januari setiap tahun kerana laut bergelora. Lagipun, ia tidak ideal untuk membendung aktiviti pencerobohan nelayan asing.

Kapal 1 Permata dengan saiz yang lebih besar dan kelajuan tinggi akan meningkatkan keupayaan JTLM menjalankan aktiviti penguatkuasaan pada musim monsun khususnya.

Bagi mengukuhkan mekanisme pemantauan, rondaan dan kawalan keselamatan, JTLM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Musim tengkujuh diberi perhatian khas memandangkan banyak kes pencerobohan bot nelayan asing dalam kawasan perairan negara termasuk di pulau-pulau di bawah perlindungan taman laut berlaku dalam tempoh tersebut.

Kegiatan bot nelayan asing sering tertumpu di kawasan pulau-pulau yang terletak jauh dari daratan seperti gugusan Pulau Aur dan Pulau Pemanggil di Johor serta Pulau Tenggol di Terengganu serta beberapa perairan di Tioman.

Prospek dan undang-undang

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Eagiman, sebanyak 42 perairan taman-taman laut di lima negeri iaitu Kedah, Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah di bawah penyeliaan JTLM menyumbang kepada pendapatan ekopelancongan negara.

Jumlahnya dianggarkan sebanyak RM600 hingga RM800 juta setahun menerusi kunjungan kira-kira 500,000 pelancong setiap tahun. Di Pulau Tioman sahaja seramai 200,000 pelancong tempatan dan asing berkunjung setiap tahun.

Jelas beliau, dengan usaha menyeluruh meningkatkan ekopelancongan dan sumber ekonomi, penduduk tempatan secara tidak langsung boleh terlibat dalam penyediaan perkhidmatan dan kemudahan seperti bot siar, snorkeling, selaman berbimbing dan kemudahan penginapan.

Secara tidak langsung, ia menambah pendapatan harian seterusnya meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.


LEBIH banyak platform terapung dibina di taman laut untuk membolehkan pengunjung berehat.


Sukarno menegaskan, pihaknya juga meningkatkan penguatkuasaan undang-undang secara mikro iaitu membabitkan anggota JTLM melakukan penyelaman bagi mengenal pasti kesalahan pelancong yang merosakkan karang laut.

"Ia adalah tambahan kepada penguatkuasaan makro sekarang seperti kesalahan menangkap ikan dan melabuhkan sauh dalam kawasan taman laut mengikut peraturan-peraturan perikanan (Kawasan Larangan) Akta Perikanan 1985," ujar beliau.

Pada tahun 2010, sebanyak 47 kes tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kategori vesel atas pelbagai kesalahan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM110,800. Pada tahun sebelumnya, sebanyak 72 kes berkaitan isu yang sama dikendalikan pihak JTLM dan kebanyakannya mengenai pencerobohan taman laut.

"Selepas ini penguatkuasaan pemantauan akan dilakukan lebih kerap terhadap kesalahan pelancong ketika snorkeling dan menyelam skuba serta penceroboh taman laut negara kita," tegas beliau.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Perkahwinan akhiri kontroversi

Posted:

Perkahwinan akhiri kontroversi

Perkahwinan akhiri kontroversi

Oleh NASRI JAMALUDIN

KONTROVERSI ditangkap khalwat di sebuah premis perniagaan Jalan UP 1/2, Ukay Perdana, Ampang, pada Oktober 2008 yang dialami pasangan pelakon, Norman Hakim atau Mohammad Nurhakim Zaidon, 35, dan Suhaiza Suhaimi, 23, atau Memey kini menyingkap sejarah baharu dalam kehidupan mereka apabila kedua-duanya selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor Sabtu lalu.

Dengan sekali lafaz, Norman sah bergelar suami kepada Memey sekali gus menimbulkan perasaan sebak di hati kedua-duanya seumpama satu beban besar telah terlepas daripada bahu masing-masing.

Kata-kata keramat yang dilafazkan Norman itu dilakukan di hadapan Jurunikah Mukim Kamdau, Zulkipli Tarmizi dengan Memey diwalikan bapanya, Suhaimi Sarwani pada pukul 4.45 petang tanggal 24 September lalu dengan mas kahwin RM22.50 dan hantaran sebanyak RM24,000.

Rombongan pihak lelaki turut membawa lima dulang hantaran berupa alat pengesan lokasi GPS, rantai belian, cincin berlian, kek buah-buahan, sirih junjung, buah-buahan dan senaskhah al-Quran dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan berupa I-Pad 2, cincin belian, coklat, anggur, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan senaskhah al-Quran.

Namun, apa yang lebih menyentuh emosi sudah pastinya kehadiran dua anak Norman bersama bekas isteri pertamanya, Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6, yang nyata berjaya menambahkan lagi keceriaan di hati kedua-dua pasangan itu, biarpun anak Norman, Maria Danish Hakim, 2, tidak hadir.


NORMAN dan Memey mahu melupakan kisah silam yang tragis dan memulakan langkah menuju masa depan yang gemilang dan penuh ceria.


Kemesraan antara Norman, Memey dan kedua-dua Mohamed Danish dan Marissa Dania ternyata bukan lakonan dan sudah pasti ia menjadi isyarat kepada sebuah keluarga bahagia yang bakal dibina pasangan itu di masa depan nanti.

Majlis akad nikah itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat kedua-dua belah keluarga selain sanak-saudara dan orang kampung serta pihak media.

Pada majlis itu juga mereka sempat mengenakan rekaan busana berwarna coklat hasil sentuhan dan sumbangan daripada Ezuwan Ismail sekali gus mengayakan rekaan berkenaan di atas pelamin yang disumbangkan Iezla Bridal.

Majlis berkenaan termasuk majlis persandingan sebelah perempuan yang diadakan keesokan harinya, juga di kediaman Memey merupakan sentuhan PLU Creative yang berkonsep dalam taman dengan tema putih dan hijau dibina khas di bawah khemah bersebelahan kediaman keluarga Memey.

Tidak cukup dengan itu, para tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan daripada band jemputan selain tarian zapin daripada Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.

Pada majlis persandingan tersebut, Norman dan Memey kelihatan anggun mengenakan dua busana masing-masing daripada Hatta Dolmat untuk majlis persandingan dan Rizman Ruzaini bagi majlis potong kek setinggi tiga tingkat yang turut memaparkan wajah-wajah pengantin.

Sebelum itu, rombongan pengantin itu tiba pada pukul 2.45 petang diiringi paluan kompang sekali gus menjadi tumpuan para tetamu yang hadir termasuk orang kampung yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar pasangan tersebut yang pastinya menjadi salah satu koleksi berharga.

Perkahwinan satu tanggungjawab

Menurut Norman yang merupakan bekas pelakon siri televisyen Gerak Khas, perkahwinannya dengan Memey memberikan sinar baharu dalam kehidupannya sebagai suami sekali gus memikul tanggungjawab sebagai nakhoda rumah tangga.

Justeru tidak hairanlah, Norman sebak menerima amanah keluarga perempuan selain terkenang kembali kisah dan kekurangan hidup pada masa lampau.


MERIAH sekali suasana pada hari persandingan Memey dan Norman yang berlangsung di kediaman Memey di Felda Tenggaroh 1, Kota Tinggi, Johor.


"Saya rasa sebak dan hiba ketika ustaz membacakan khutbah nikah kerana terkenang ketidaksempurnaan diri pada masa lalu. Pada masa sama, saya kembali rasa tenang berikutan telah berjaya membina 'masjid' yang merupakan satu ibadah, satu harapan baharu untuk kehidupan masa depan," luahnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Norman yang kelihatan berseri-seri turut gembira ekoran upacara bersejarah tersebut berjalan dengan lancar, tambahan pula lebih 5,000 tetamu termasuk orang kampung dan para peminat sudi memeriahkan majlis persandingan itu.

Katanya, kehadiran ramai tetamu termasuk peminat itu merupakan satu dorongan kepadanya untuk lebih berjaya pada masa depan sama ada sebagai ketua keluarga mahupun dalam kerjaya. "Kesanggupan para tetamu hadir juga membuktikan sokongan terhadap diri dan isterinya, " ungkapnya.

Bagi Memey pula, perkahwinan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupannya dan mengharapkan perkara yang terbaik dalam sisi kehidupan berkeluarga.

Dia yang turut sebak ketika sah bergelar isteri kepada Norman, berkata, perasaan sebak itu berlaku secara tiba-tiba setelah terkenang kembali perkara yang pernah dilakukan dahulu serta satu kesyukuran kerana akad nikah dapat berjalan seperti dirancang.

"Saya bersyukur kerana kini telah bergelar isteri dan ia satu cabaran kepada saya untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan berumah tangga agar dapat hidup bahagia. Ia juga memberi kekuatan dan menganggap apa yang berlaku sebelum ini sebagai satu dugaan hidup untuk kehidupan masa depan yang lebih baik."

Tambah Memey yang akan terus aktif berlakon selepas ini: "Anak-anak Norman juga telah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan bersyukur kerana mereka menerima saya seadanya."

Memey juga merancang untuk memperoleh empat anak dalam perkahwinan tersebut selain pasangan itu merancang destinasi bulan madu di Paris dan Mekah sambil mengerjakan umrah, namun tarikhnya masih belum diputuskan ekoran kesibukan bekerja.

Bergegas ke Kuala Lumpur

Pasangan itu menjadi tumpuan ramai apabila bakal menerima tajaan penuh daripada jenama barangan kemas, Rafflesia bernilai RM12 juta hanya untuk majlis perkahwinan mereka yang akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Selain itu, enam penaja lain turut bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lord's Tailor, pendandan, Snips, Angsana Spa, Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur dan jenama kasut terkenal, Jimmy Choo.


TIADA gentar. Dengan sekali lafaz pada upacara akad nikahnya, Norman sah menjadi suami Memey.


Jadi tidak hairanlah, pasangan pengantin baharu itu tidak boleh duduk lama di Kota Tinggi kerana perlu bergegas pulang ke Kuala Lumpur sehari selepas majlis persandingan berlangsung.

Ini berikutan, mereka perlu menyertai latihan atau raptai untuk majlis resepsi yang dikatakan turut dihadiri beberapa artis luar negara. Pada masa sama, Memey perlu mencuba beberapa busana yang akan diperagakan pada majlis bersejarah dan penuh gemilang bagi pasangan pengantin baharu itu.

"Meskipun banyak perkara telah diselesaikan untuk majlis resepsi di Kuala Lumpur, saya masih perlu menghadiri majlis raptai serta mencuba pakaian yang disediakan.

"Saya juga ingin memastikan perkara-perkara berkaitan majlis tersebut dapat disediakan dan barharap majlis berjalan dengan lancar," katanya yang tidak menerima sebarang halangan daripada Norman sekiranya ingin terus aktif dalam bidang lakonan.

Selepas majlis resepsi berakhir, Norman akan kembali bekerja dua hari selepas itu untuk berlakon dalam drama Tangisan Bulan Madu.

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Posted:

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Pelayaran mewah Megan, Naqib

Oleh YUSMAN AWANG
(yang mengikuti pelayaran Star Cruises Superstar Libra bersama rombongan 8TV baru-baru ini)


ROMBONGAN 8TV bersama media bergambar kenangan di pelabuhan Pulau Pinang sebelum menaiki Superstar Libra yang menuju ke Phuket sebelum ke Krabi.


"SEPERTI lepas geram dan seumpama mimpi jadi kenyataan," ungkap hos 8TV Quickie, Megan Tan Yue Mei mengenai perasaan keterujaan yang menjana dalam dirinya setiap kali dia menjejakkan kaki ke luar negara.

Ini kerana akui Megan, 23, sebelum menjadi hos 8TV Quickie. dia tidak pernah ke luar negara.

Namun, dia cukup bertuah kerana peluang buat dirinya berkunjung ke luar negara terbuka luas menerusi kerjayanya itu.

Buktinya baru-baru ini dia turut menyertai rombongan pelayaran kapal mewah Star Cruises Superstar Libra ke Phuket dan Krabi, Thailand bersama rombongan 8TV bersama seorang lagi hos program itu iaitu Naqib Nadhir Shamsuri, 25.

Kebetulan, kedua-dua Megandan Naqib yang memulakan karier sebagai hos 8TV Quickie pada penghujung 2009 itu tidak pernah ke Phuket dan Krabi mahupun menyertai sebarang pelayaran Star Cruises.

Ujar Megan lagi: "Saya berasa sungguh bertuah kerana karier saya sebagai hos 8TV Quickie membuka peluang untuk ke luar negara sambil bekerja antaranya ke Britain dan Australia."


MEGAN dan Naqib sempat bergaya di atas bot selepas turun dari Superstar Libra sebelum menjejakkan kaki ke daratan Krabi.


Menurut pemilik Sarjana Sains Psikologi dan Komunikasi dari SeGi University College, Subang Jaya, Selangor itu, pengalaman menjadi hos 8TV Quickie membuatkan dirinya kini berkemampuan untuk mengembara sendiri ke luar negara bukan untuk bekerja.

"Kalau awal tahun ini saya bercuti di Singapura, awal bulan depan pula saya akan bercuti selama 10 hari di Melbourne, Australia," kata Megan yang mengimpikan percutian di Eropah.

Mengenai pengalaman menyertai pelayaran Star Cruises Superstar Libra selama 4 hari tiga malam dari 18 hingga 21 September lalu itu, kata Megan dia sememangnya sentiasa teruja, biarpun pada mulanya berasa agak cuak memikirkan tentang saiz bilik yang bakal dihuni di atas Superstar Libra dan kemungkinan dirinya akan mengalami mabuk laut.

"Namun, saya berasa selesa sepanjang menghuni bilik di Superstar Libra dan paling penting saya tidak mengalami mabuk laut, cuma ada sedikit pening tetapi sekejap sahaja," akuinya yang bakal muncul menerusi filem arahan Mamat Khalid, Apokalips.

"Biarpun bekerja, saya sangat teruja menyertai pelayaran kapal mewah ini, ia seumpama percutian percuma.


KREW 8TV Quickie sedang menjalani penggambaran bersama Megan dan Naqib di kolam mandi Superstar Libra yang terletak di dek 9.


"Cuma bezanya dengan percutian bukan atas dasar kerja adalah dari segi masa, kerana mengembara sambil bekerja tertakluk kepada rangka masa sedangkan kalau kita bercuti sendiri, kita bebas melakukan apa sahaja tanpa had masa," jelasnya lagi.

Begitu juga Naqib yang kelihatan cukup teruja dan ceria bersama Megan sepanjang pelayaran di atas Superstar Libra yang terdiri daripada 10 dek dilengkapi lapan buah restoran dan bar, dua buah kolam mandi, dua buah jakuzi, tempat bermain golf, bola keranjang dan trek joging, pusat karaoke, disko, kelab malam dan pawagam itu.

"Sememangnya saya berasa sungguh bertuah terpilih bersama Megan menyertai pelayaran mewah ini," ujar anak muda yang menyertai duo Dose 2 yang memperjuangkan muzik rap itu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved