Isnin, 29 Ogos 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pelancong asing sertai ziarah kampung

Posted:

Pelancong asing sertai ziarah kampung

Pelancong asing sertai ziarah kampung

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.


KESYAHDUAN takbir raya memecah keheningan pagi Syawal di sebuah kampung terpencil di perairan Pahang. Ternyata alunan itu adalah petanda bagi umat Islam di situ meraikan kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.

Sebagai hentian paling utara di Pulau Tioman, Kampung Salang sangat dekat di hati para pelancong luar negara dan tempatan. Kewujudannya menyingkap pelbagai elemen percutian tropika dan penghayatan khazanah alam semula jadi.

Ditambah dengan kemeriahan restoran barbeku malam di pantainya dan kemesraan penduduk tempatan, tidak hairanlah Kampung Salang menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi di pulau peranginan itu.

Bulan Syawal bukan sahaja membuka pintu rezeki kepada penduduk tempatan lantaran kedatangannya seiring dengan musim kunjungan pelancong. Lebih daripada itu, sambutan Aidilfitri di kampung tersebut memberi peluang kepada komuniti tempatan meneruskan tradisi mereka.

Sejak turun-temurun, orang kampung di situ tidak kira lapisan usia berbangga dengan satu kelaziman. Sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah peluang terbaik buat mereka berziarah dan merapatkan hubungan antara satu sama lain.


PENDUDUK Kampung Salang, Pulau Tioman berjalan beramai-ramai untuk menziarahi setiap kediaman keluarga di kampung itu.


Daripada anak kecil hinggalah warga tua, mereka lengkap merias diri dengan pakaian tradisional. Manis dan segak berbaju kurung serta berbaju Melayu, sebuah demi sebuah rumah dikunjungi selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau Kampung Salang.

Pelancong turut serta

Sambil berjalan beramai-ramai bak rombongan kahwin, terdapat juga pelancong-pelancong asing yang mengambil kesempatan untuk merasai pengalaman suasana hari raya.

Bukan sekadar kunjung-mengunjung dan bersalam dari rumah ke rumah, para pelancong yang mesra budaya itu juga berminat untuk merasai pelbagai juadah tradisi lebaran bersama penduduk tempatan.

Ketua Kampung Salang, Abdul Kadir Harun, 72, memberitahu, amalan ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah ketika Aidilfitri sudah menjadi tradisi Kampung Salang sejak zaman dahulu.

Kelebihan mereka sebagai penduduk pulau yang muafakat membolehkan tradisi itu dihidupkan tanpa meminggirkan mana-mana keluarga sekalipun.

"Seingat saya, sejak saya kecil lagi ia telah dijadikan amalan penduduk. Jadi, kita menyambung kesinambungan tradisi yang telah menjadi ikutan sejak dahulu.

"Satu Syawal merupakan hari yang sangat istimewa bagi penduduk kampung ini. Sehari suntuk kami akan berjalan dalam kawasan kampung sebab kami akan pastikan dapat melawati kesemua 30 buah rumah yang terdapat di kampung ini," katanya yang memberitahu populasi Kampung Salang ialah seramai kira-kira 279 orang penduduk.


MEG DU TREVOR (kiri) dari Afrika Selatan dan Kitty Williams dari Britain mencuba ketupat pulut bersama kari ayam.


untuk meraikan tarikh 1 Syawal.">

Tambahnya, mereka terlebih dahulu akan berbincang di surau mengenai rumah pertama dan gerak laluan dalam acara ziarah-menziarahi itu. Selalunya, lawatan dimulakan selepas sembahyang sunat hari raya hinggalah waktu petang iaitu sehingga ke rumah terakhir.

Kekenyangan

Pelbagai telatah dapat dilihat dalam kemeriahan suasana tersebut terutamanya para pelancong asing yang sama-sama ingin menyertai 'perarakan' kecil itu.

Uniknya, kerana berlatarbelakangkan gaya hidup pulau, para pelancong yang menjadi tetamu di rumah-rumah orang kampung dilihat berpakaian santai – yang lelaki berseluar pendek atau bersinglet dan berlilit tuala manakala wanita pula ada yang berpakaian mandi namun bertutup pario atau kardigan kerana menghormati tuan rumah.

Dalam pada itu, Abdul Hashim Maulana, 52, berkata, dia sangat tertarik dengan gelagat para pelancong luar negara yang mengikuti rombongan hari raya itu.

"Kebiasaannya, mereka akan menikmati juadah hari raya sepuas hati di tiga buah rumah pertama. Selepas itu, mereka akan 'menyerah kalah' kerana kekenyangan.

"Ada juga antara mereka bertanya bagaimana kami dapat menghabiskan ziarah ke semua rumah tanpa berasa terlalu kenyang," katanya yang membuka 'rahsia' orang kampung yang hanya menjamah sedikit makanan di setiap rumah.

Abdul Hashim yang turut mengusahakan calet Ella's Place menjelaskan, terdapat juga para pelancong luar negara yang kembali pada tahun berikutnya semata-mata untuk merasai lagi suasana Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang.

Isterinya Raha Madali, 42, yang berasal dari Chini, Pahang memberitahu, mereka tidak mengadakan gotong-royong memasak juadah sewaktu hari raya.

"Sebaliknya, kami memasak mengikut cita rasa masing-masing di rumah sendiri pada malam raya. Anak-anak tentu sekali akan membantu memasak sehingga membuatkan malam raya lebih bermakna dan penuh kemesraan," kata ibu kepada lapan orang anak itu.

Bagaimanapun, Raha menambah, juadah wajib yang perlu ada sewaktu hari raya adalah ketupat pulut. Ia enak dimakan bersama kari ayam, rendang daging, sambal dan sebagainya mengikut cita rasa penduduk.

Kalau daun kelapa mudah diperoleh di sekitar pulau untuk dijadikan sarung ketupat, bahan-bahan mentah lain seperti daging dan rempah pula di dapatkan daripada bekalan yang dibawa masuk ke pulau menaiki bot kargo dari Mersing, Johor.

Kenduri besar

Dengan riak wajah memancar keriangan, seorang penduduk kampung, Jariah Ahmad, 67, berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri seumpama kenduri besar di Kampung Salang.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Mak Long, memberitahu, kepulangan anak-anak dari tanah besar Semenanjung dan perantauan termasuk pelancong-pelancong sememangnya 'menghidupkan' suasana raya di pulau.

"Secara tidak langsung, orang tempatan telah membudayakan Hari Raya Aidilfitri untuk dijadikan pengalaman berharga buat para pelancong luar negara," katanya yang tidak pernah meninggalkan kampung berkenaan pada 1 Syawal.

Jariah yang gemar membuat kek turut memberitahu, terdapat pelbagai juadah lain akan dimasak penduduk tempatan pada pagi raya seperti laksa, nasi impit dan mi goreng.


JARIAH (kiri) sedang sibuk melayan pelanggan di gerai jualannya.


Dia yang gemar membuat kek tidak pernah meninggalkan Pulau Tioman Sementara itu, bapa Hashim, Maulana Harun, 83, yang merupakan antara orang tertua di Kampung Salang menyatakan kegembiraannya menjelang Syawal. Baginya, tiada yang lebih bermakna dalam suasana raya di pulau itu selain menerima kepulangan semua anak dan cucunya ke kampung yang tenang itu.

Maulana yang mempunyai 10 orang anak dan 44 orang cucu sentiasa menanti kehadiran hari raya kerana ia dapat mengumpulkan hampir kesemua waris penduduk di Kampung Salang.

Bagi seorang mekanik di sebuah pusat selam skuba, Jeami Jamal, 33, dia merasai perbezaan ketara apabila menyambut raya di Pulau Tioman.

"Sebelum ini saya menetap di Mersing, Johor tetapi telah berpindah ke sini beberapa tahun lalu kerana keluarga mempunyai tanah di Kampung Salang.

"Kemeriahan dan keakraban antara penduduk lebih terasa apabila menyambut raya di kampung ini," katanya yang mempunyai empat orang cahaya mata.

Ujar Jeami yang telah menetap di kampung berkenaan selama hampir 15 tahun, kebanyakan penduduk kampung akan berhari raya di kampung-kampung sekitar Pulau Tioman pada hari kedua.

Katanya, jika ada yang mempunyai kampung di luar kawasan Pulau Tioman mereka akan keluar berhari raya pada hari ketiga dan seterusnya.

"Bagi sesiapa yang mahu merasai keunikan suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Salang, mereka perlu berkunjung sendiri ke kampung ini," ujarnya.

Pasar Jawa hab kerepek

Posted:

Pasar Jawa hab kerepek

Pasar Jawa hab kerepek

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my


KEREPEK bawang yang rangup dan enak adalah antara snek tradisi popular di Pasar Jawa, Klang.


WALAUPUN bukan satu pilihan makanan utama untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, Pasar Jawa yang terkenal di bandar Klang sibuk dengan pelanggan yang bertandang untuk membeli kerepek-kerepek terbaik di negeri Selangor.

Setiap kali menjelang Ramadan, Nor Aini Razali, 43, dari Subang Jaya tidak ketinggalan mengunjungi pasar tersebut. Katanya, pasar itu menawarkan pilihan kerepek-kerepek yang sedap dan murah. Tidak terkecuali, ia menawarkan pilihan biskut raya yang pelbagai.

"Saya biasa datang jika ada kenduri, majlis di rumah dan menjelang raya. Saya rasa di sini adalah antara tempat untuk mendapatkan kerepek yang terbaik," ujar Aini.

Nor Aini ialah salah seorang pelanggan yang dilihat sibuk membuat pilihan berbelanja beberapa jenis kerepek menjelang Aidilfitri.

"Saya berbelanja kira-kira RM100 untuk membeli kerepek dan biskut," katanya.

Pasar Jawa yang dikenali sebagai 'syurga kerepek' itu terletak bersebelahan Masjid Diraja Bandar Klang Utara dekat Jalan Pasar dan ia menempatkan gerai-gerai jualan pelbagai barangan keperluan keluarga Melayu khususnya.

Umumnya, pada malam sebelum Hari Raya Aidilfitri, kawasan tersebut sesak dengan pelanggan yang datang berkenderaan dari daerah Klang, Banting, Kuala Selangor, Shah Alam, Subang malah Kuala Lumpur. Lazimnya, kesesakan itu berpunca daripada amalan mereka yang gemar membeli-belah pada saat akhir.

"Menjelang hari raya, kami terpaksa tidur di sini untuk menguruskan perniagaan. Ia seolah-olah satu tradisi di Pasar Jawa," ujar penggerai No. 6, Kedai Mat Amin di Pasar Jawa, Hafiz Mad Amin, 22.


PELANGGAN boleh memilih pelbagai jenis kerepek yang dibungkus dalam pek berlainan saiz dan berat.


Beliau yang berniaga bersama bapa dan adik-beradik memberitahu, pasar tersebut ialah lokasi yang terkenal bagi mendapatkan kerepek yang banyak didatangkan daripada industri pembuatan kerepek di Banting dan Sungai Besar, Selangor.

Paling laris

"Selain itu, kami juga ada menjual kerepek yang dibawa dari Kuala Selangor, Johor dan Indonesia, khususnya kerepek yang belum digoreng.

"Di sini, kerepek yang paling laris ialah kerepek ubi dan pisang tanduk. Ia mungkin kerana rasanya yang sedap dan mudah diperoleh," ujar Hafiz.

Di samping itu, Kedai Mat Amin turut dikenali kerana menjual kerepek ikan dari Terengganu.

Bapa Hafiz, Mad Amin Maulan memberitahu, lazimnya pelanggan akan datang membeli secara borong di situ.

"Bagi perniagaan borong, kami menyediakan pembungkusan daripada 3 kilogram (kg) dan 5kg ke atas. Bagi pembelian runcit biasa, kami menyediakan pembungkusan setengah dan satu kilogram," katanya.

Seorang lagi peniaga di Pasar Jawa iaitu Mohd. Saleh Masran, 38, dan isterinya, Jamalizwati Mat Shukor, 31, mengakui perniagaan menjelang hari raya bertambah hampir dua kali ganda.

Jika pada hari biasa mereka berniaga dari pukul 9 pagi hingga 7 malam, pada bulan Ramadan pula waktu perniagaan terpaksa dipanjangkan.

"Dua atau tiga hari sebelum Hari Raya, kami terpaksa berniaga lebih lama," ujar mereka.

Berniaga sejak 1973, Saleh memberitahu, Pasar Jawa begitu sinonim sebagai pusat sehenti untuk pembelian kerepek di Selangor.

Dalam kalangan pembeli, pembelian kerepek ibarat satu kemestian memandangkan ia lebih diminati sebagai snek sepanjang masa berbanding biskut raya yang rata-ratanya manis.

"Setiap kali saya datang membeli kerepek pada musim raya, saya akan membelanjakan kira-kira RM300.

"Biasanya kerepek menjadi pemberian sewaktu melawat rumah mertua, sanak saudara dan kawan-kawan sepanjang Syawal. Kerepek wajib beli ialah kerepek ubi dan muruku," kata seorang pembeli, Siti Zulaiha Sulaiman, 26, dari Klang.

Tart Nur Kasih Azaliza

Posted:

Tart Nur Kasih Azaliza

Tart Nur Kasih Azaliza

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

HARI lebaran tidak akan lengkap dengan kuih-muih yang sentiasa memenuhi balang-balang yang diletakkan atas meja bagi menjamu tetamu yang bertandang.

Jika dahulu, kuih-kuih tradisional seperti baulu, batang buruk dan dodol menjadi pilihan ramai, tetapi kini trend tersebut perlahan-lahan dimonopoli kuih dan biskut raya lebih moden.

Sesuai dengan peredaran zaman, kuih raya seperti tart nenas, cornflake madu, almond London dan lain-lain semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Menambahkan kelainan pada biskut raya moden, seorang pengusaha kek dan biskut, Norazaliza Awang, 35, tampil dengan resipi yang menarik dan kreatif.

"Saya cuba menghasilkan kuih dan biskut raya yang tidak pernah dihasilkan orang lain, ia mungkin kelihatan sama cuma saya mengubahsuai kuih tersebut dengan adunan bahan-bahan baharu.

"Kuih dan biskut raya perlu kelihatan cantik, namun rasa serta kualitinya tetap menjadi keutamaan kerana pandangan orang terhadap kuih yang cantik selalunya negatif.

"Jadi saya cuba membuang tanggapan tersebut dan memastikan kuih yang cantik itu juga mempunyai rasa yang sedap," jelasnya yang mendedahkan tidak pernah membeli kuih raya untuk sambutan Aidilfitri keluarganya.

Tart nanas

Antara resipi baharu Azaliza tahun ini ialah tart nanas yang diberi nama Nur Kasih, yang diilhamkan daripada drama popular TV3 lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Ishak satu ketika dahulu.

Kelainan Nur Kasih terletak kepada proses penghasilannya. Masa yang diambil bagi membuat Nur Kasih lebih lama daripada tart nanas biasa dan menariknya ia menggunakan serbuk badam sebagai bahan asas.

Doh yang disediakan juga berbeza kerana bahagian bawah tart nanas Nur Kasih yang dijual pada harga RM40 satu balang yang mengandungi 50 biji itu perlu dicetak terlebih dahulu sebelum inti nanas diratakan.

Keistimewaan Nur Kasih sudah semestinya terletak pada tampuk bunga yang dibuat dalam acuan berbeza.

"Selain itu, biasanya orang akan membuat biskut chocolate chip, tetapi saya cuba menghasilkan biskut yang lebih unik yang mengandungi lima jenis kacang.

"Biskut nip & chip saya mengandungi kacang gajus, pis, hazel, badam dan walnut dan disediakan dengan dua jenis coklat iaitu coklat putih atau pun campuran coklat hitam dan putih," ujarnya yang menjual biskut tersebut pada harga dan kuantiti seperti tart nenas Nur Kasih.

Antara lain yang menjadi tarikan pelanggan Azaliza ialah biskut pistachio crips yang dibuat dengan bahan-bahan seperti kacang pistasio, nestum, serbuk gajus, bijan dan sedikit pewarna.

Mereka yang menggemari biskut almond seharusnya mencuba biskut coklat almond Azaliza kerana saiz serta cara persembahan biskut itu jelas tidak sama dengan biskut yang ada di pasaran.

Bagi memenuhi permintaan, wanita yang berasal dari Triang, Pahang itu juga mengambil tempahan kuih dan biskut raya biasa seperti tart gulung, suji badam, popia nestum dan almond london.

Tahun lalu sahaja, Azaliza telah menghasilkan 12 jenis kuih dan biskut raya di samping meneruskan tempahan kek yang menjadi profesion utamanya.

Azaliza merupakan pemenang Zon Tengah kategori kek bagi Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Derita mangsa simbah asid

Posted:

Derita mangsa simbah asid

Derita mangsa simbah asid

Oleh NOR IDAYU BOSRO
berita@kosmo.com.my

MOHD. RAFFIE ditemani abangnya, Mohd. Jeffry Abdul Latiff ketika dirawat di HKL.


KUALA LUMPUR – Kedatangan Syawal kali ini bagaikan tidak membawa sebarang erti kepada mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff, 28, yang mengalami kecederaan teruk pada bahagian muka kerana hari gembira itu hanya disambutnya di katil hospital.

Hasratnya untuk menyarungkan sepersalinan baju Melayu baharu pada Aidilfitri tidak kesampaian kerana wajahnya hangus terbakar apabila disimbah dengan asid dalam satu kejadian di Jalan Raja Laut di sini pada 8 Ogos lalu.

"Sebelum saya disimbah asid, saya pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk tengok-tengok dan beli sepasang baju Melayu tetapi lain pula kini keadaan saya.

"Wajah saya pun mungkin akan cacat selepas ini dan saya dah tak terfikir pasal hari raya lagi," rintih Mohd. Raffie ketika ditemui Kosmo! di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin.

Menurut Mohd. Raffie, sebelum ini dia pasti akan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta di kampung halamannya di Muar tetapi tahun ini dia cuma mampu menyambut hari lebaran itu di wad hospital.

"Mujurlah keluarga dan rakan-rakan beri saya sokongan penuh dan tetap ingin meraikan Aidilfitri bersama saya biarpun di hospital," ujarnya.

Ketika ditanya detik dia disimbah cecair berbahaya itu pada hari kejadian, Mohd. Raffie memberitahu, pada saat itu kulitnya terasa sangat pedih dan panas.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Lelaki Nigeria tipu cikgu sekolah

Posted:

Lelaki Nigeria tipu cikgu sekolah

Lelaki Nigeria tipu cikgu sekolah

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


BERHATI-HATI bila melayari Facebook bagi mencari rakan kerana anda mungkin menjadi mangsa penipuan.


KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu percaya dengan teman baru di Internet, seorang guru kerugian RM140,000 gara-gara diperdaya dua lelaki Nigeria daripada sindiket sama menerusi penipuan bungkusan dan Black Money.

Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 36 tahun dan bujang itu sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM90,000 bagi memenuhi hasrat kedua-dua lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai James dan Charles.

Perkenalan antara mangsa dari Melaka dengan suspek pertama James, 28, bermula pada Januari lalu menerusi laman sosial Facebook.

Selepas tiga bulan berkenalan, James yang kononnya menetap di Washington, Amerika Syarikat menawarkan untuk menghantar cenderamata berupa sepasang kasut kepada mangsa kononnya sebagai tanda persahabatan.

Pada Mac lalu, seorang wanita yang mendakwa dirinya dari sebuah syarikat penghantaran di negara ini menghubungi mangsa memaklumkan bungkusan atas nama wanita itu tersangkut di syarikat berkenaan.

Wanita itu diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya sebagai bayaran cukai bagi menuntut bungkusan tersebut.

Mangsa yang teruja untuk mendapat hadiah tersebut memasukkan wang yang semuanya berjumlah RM20,000 ke dalam satu akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Kesemua wang tersebut dibuat dalam beberapa transaksi.

Selepas membuat bayaran itu, mangsa kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemilik syarikat penghantaran dan menawarkan untuk berjumpa dengan mangsa kononnya bagi menyelesaikan urusan berhubung bungkusan tersebut.

Mangsa kemudian bertemu dengan pemilik syarikat penghantaran yang memperkenalkan diri sebagai Charles, 30-an, di sebuah hotel di ibu negara pada April lalu.

Dalam pertemuan itu, Charles memperdaya mangsa untuk melabur modal membeli sejenis cecair untuk melunturkan kertas hitam (black money) yang kononnya mampu menggandakan wang.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Dua anak rayu ibu pulang

Posted:

Dua anak rayu ibu pulang

Dua anak rayu ibu pulang

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my


NAJIE NAJWAN (kiri) dan Mufleh menunjukkan gambar keluarga mereka ketika ditemui di Kajang baru-baru ini.


KAJANG – Aidilfitri yang dinanti-nantikan umat Islam sudah tiba dan yang pastinya semua kanak-kanak merupakan insan paling gembira menyambut hari lebaran itu.

Namun berbeza bagi dua beradik, Muhammad Najie Najwan Zawawi, 9, dan Muhammad Mufleh, 7, yang buat pertama kali beraya tanpa ibunya, Samsiah Yusof, 44.

Samsiah didakwa dilarikan ke Mesir oleh ahli kumpulan Al-Arqam bersama tiga lagi anaknya sejak 15 Jun lalu. Tiga beradik lagi yang turut hilang bersama Samsiah ialah Muhammad Abdul Bar, Nur Samahah dan Mariam Al Adzra.

Najie Najwan dan Mufleh merayu ibu dan tiga adik-beradik mereka kembali ke Malaysia dan sama-sama menjalani kehidupan berkeluarga seperti orang lain.

"Umi pulanglah, kami mahu sambut Aidilfitri bersama Umi dan nenek di kampung.

"Kami juga mahu membeli baju raya bersama umi," luah Najie Najwan penuh harapan ketika ditemui wartawan Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mufleh bagaimanapun lebih banyak mendiamkan diri dan ketika ditanya di mana ibunya, dia hanya berkata dia amat merindui Samsiah selain teringin makan kek strawberi yang Samsiah masak setiap kali raya.

Mufleh dikatakan anak paling manja dengan Samsiah.

Sebelum ini, Najie Najwan dan Mufleh bersama kakak mereka, Siti Khaulah, 17, disembunyikan di perkampungan Al-Arqam di Bandar Country Homes, Rawang selepas ibu mereka dan tiga lagi adik-beradik lain dilarikan ke Mesir.

Namun dua daripada tiga beradik itu berjaya diselamatkan oleh bapa mereka, Zawawi Aman, 44, pada 14 Julai lalu.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Urban

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Posted:

Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Iklan Petronas dan Identiti Malaysia

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

TANGAN membawa banyak makna kepada kehidupan manusia. Dengan tangan, kita menempuh segala kepayahan dan memerah tenaga untuk melakukan kerja demi keluarga tersayang. Bahkan, manusia berdoa untuk kesejahteraan sejagat menggunakan tangan. Dengan tangan jugalah seorang doktor menyelamatkan nyawa insan lain.

Tangan menjadi petunjuk dalam pelbagai perkara. Ia membantu mengesan tulisan Braille seorang lelaki buta, membelai dan membantu mengurangkan tekanan insan tersayang, memberi salam, tanda kasih sayang dan hormat-menghormati.

Jika selama ini kita percaya hanya mata menjadi elemen penghubung kerohanian manusia, tetapi Petronas mengambil inisiatif yang berbeza apabila menggunakan kedua-dua belah tangan untuk mengekspresikan rasa cinta, bahagia, kebaikan, semuanya mengenai nilai-nilai yang menjadi identiti kita, identiti rakyat Malaysia.

Mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan penerbit iklan televisyen pada musim perayaan, Petronas sejak tahun 1996 sentiasa tampil dengan iklan mengenai kemerdekaan yang menekankan nilai-nilai murni dan keharmonian sejagat.

Selain menyentuh hati dan perasaan, iklan syarikat petroleum itu sentiasa mempunyai mesej yang penting untuk dihayati oleh setiap rakyat Malaysia tidak kira usia dan bangsa.

Sama seperti iklan-iklan terdahulu, iklan pada tahun ini menerapkan pendekatan untuk melihat persamaan dan nilai-nilai perpaduan, keharmonian dan persefahaman dalam kalangan masyarakat. Bertepatan dengan matlamat itu, maka Petronas mengangkat Meraikan Nilai-Nilai Yang Kami Percayai sebagai tema iklan.

Hanya menggunakan tangan, syarikat korporat itu membawa variasi imej yang hanya memberi penekanan kepada anggota tubuh tersebut untuk menterjemah nilai-nilai murni. Sebahagian daripadanya adalah simbol perpaduan, permuafakatan, kesejahteraan dan semangat kekitaan yang kukuh.


TELITI. Iklan raya Petronas berupaya menyentuh perasaan rakyat Malaysia yang menontonnya.


Pelbagai makna

Pembikinan iklan itu secara keseluruhannya melibatkan lebih 10 pelakon yang melakonkan sebanyak lapan babak di lima buah lokasi yang berbeza.

Pengarah Seni Kanan, Ng Choo Seong dan Penyusun Iklan dari Leo Burnett Malaysia dan Arc Worldwide Malaysia, Lim Wee Ling yang menjadi tunjang kepada iklan itu berpendapat, tangan membawa pelbagai makna kepada seseorang.

"Apabila semua imej tangan digabung, ia memberikan definisi jelas tentang siapa diri kita sebenarnya.

"Sewaktu sibuk memikirkan konsep iklan dwi perayaan, kami sedar tangan menepati subjek sambutan hari raya dan kemerdekaan. Apabila kita melihat tangan, kita mendapat pelbagai jawapan. Kemaafan pada hari raya, perpaduan dan kebebasan bagi kemerdekaan," ujar Wee Ling.

Mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan iklan itu, Choo Seong berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah mahupun ketegangan.

"Apa yang kami perlu lakukan ialah menghasilkan satu penyampaian yang bermakna menggunakan tangan untuk menjustifikasi tangan rakyat Malaysia di mana-mana. Apabila ia dirungkai, kerja pengarahan menjadi mudah," tambahnya.

Choo Seong memberitahu terdapat lima lokasi strategik yang dipilih. Lokasi itu ialah di Ulu Yam, Selangor untuk segmen petani, sekolah St. John di Kuala Lumpur untuk segmen cikgu menulis, di Carcosa Sri Negara, Kuala Lumpur untuk dua segmen tentang kanak-kanak dan mengelap peluh bapa, sebuah studio fotografi untuk segmen pelukis, orang cacat penglihatan dan pembuat tembikar serta Pusat Perubatan Prince Court untuk segmen di teater pembedahan.

Mesej 90 saat Petronas

Posted:

Mesej 90 saat Petronas

Mesej 90 saat Petronas

BARANGKALI tidak keterlaluan untuk dikatakan iklan Petronas merupakan iklan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia saban tahun.

Ramai menganggap iklan-iklan Petronas yang pernah ditayang di kaca televisyen sebelum ini bukan sahaja bersifat kreatif malah berjaya menyampaikan maksud yang sangat bermakna kepada orang ramai.

Justeru, pada tahun ini, Petronas menghidangkan satu lagi sentuhan baharunya dan lebih unik.

Iklan pada kali ini menggabungkan dua elemen perayaan iaitu sambutan Aidilfitri dan tema kemerdekaan.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Perhubungan Korporat Kumpulan Petronas, Mohammad Medan Abdullah berkata, berikutan dwi sambutan perayaan Aidilfitri dan kemerdekaan tahun ini, pihaknya berdepan dengan sedikit kerumitan dalam menghasilkan iklan televisyen.

"Kandungannya perlu ada hubung kait dan bersesuaian antara kedua-dua sambutan.

"Ketika menyambut hari raya, kita meraikan nilai-nilai kemaafan, sementara pada hari merdeka pula kita menyanjung perpaduan dan kebebasan," katanya menjelaskan proses penghasilan iklan Petronas yang berdurasi 90 saat itu.

Rentetan daripada itu, Mohammad Medan berkata, pihaknya sepakat memilih konsep menggunakan tangan yang sebenarnya menjadi jawapan kepada nilai-nilai yang membentuk diri kita.

Lambang perwatakan

"Kami percaya tangan boleh menjadi lambang perwatakan dan peribadi seseorang. Misalnya, tangan-tangan yang bersalaman adalah simbol ampun dan maaf.

"Tangan-tangan yang penuh dengan parut dan calar menunjukkan kerja keras dan kekuatan. Pendek kata, tangan adalah simbol ideal kepada keperibadian kita," ujarnya.

Tambah beliau, iklan itu bukan lagi mengenai kepentingan menyampaikan nasihat atau memberi pengajaran kepada penonton. Iklan pada tahun ini adalah satu bentuk penghargaan kepada rakyat Malaysia.

Mengenai kos pembikinan, beliau enggan mendedahkannya.

"Kami beranggapan kos bukan penentu kejayaan sesuatu iklan," tegasnya.

Iklan Petronas yang mengangkat tema Meraikan Nilai-Nilai Yang Kami Percaya akan ke udara bermula 25 Ogos hingga 16 September 2011 di semua saluran televisyen utama negara.

Untuk menyuntik kemeriahan, Petronas turut menganjurkan pertandingan dalam rangkaian sosial Facebook bermula 23 Ogos hingga 12 September 2011 ini.

Beberapa selebriti akan mengunjungi pusat beli-belah dan akan berada di jalan-jalan terpilih di sekitar negara untuk menemuramah rakyat Malaysia.

Beberapa soalan akan diajukan. Antara soalan yang akan ditanya ialah apa yang mereka suka tentang Malaysia dan apa yang akan mereka lakukan jika memiliki RM5,000.

Aksi-aksi spontan akan direkod dan ditayang dalam rangkaian YouTube serta laman Facebook di mana peminat perlu klik like laman Facebook Petronas untuk membenarkan mereka menonton, memberi respons dan mengundi penyertaan.

Lima video yang dipilih sebagai pemenang akan membawa pulang RM10,000. Sebahagian wang itu akan akan didermakan untuk tujuan murni.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Misi gempur Jepun

Posted:

Misi gempur Jepun

Misi gempur Jepun

SKUAD Olimpik negara bergambar kenangan sejurus tiba di KLIA, Sepang dari Slovakia malam kelmarin.


MISI Slovakia dianggap berjaya. Kini skuad bola sepak Olimpik negara berazam menggegarkan Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun pada aksi sulung Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menentang Jepun pada 21 September depan.

Atas kertas, tinggal kira-kira tiga minggu sahaja lagi buat ketua jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee memperkemaskan persiapan menjelang pertemuan dengan skuad gergasi Asia itu.

Apa yang pasti, pendedahan serta pengalaman berguna selama lima minggu

di Slovakia harus diteruskan momentumnya sepanjang tempoh tiga minggu ini.

Selama berada di Slovakia, skuad Olimpik negara mencatat lima kemenangan daripada tujuh perlawanan persahabatan.

Tepat pukul 9.35 malam kelmarin, barisan pemain muda negara

itu selamat tiba

di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Skuad Olimpik negara bakal diuji lagi dalam dua perlawanan persahabatan yang dijadual berlangsung

di Kuala Lumpur iaitu bertemu kelab Iraq, Al-Arbil pada

9 September dan skuad Olimpik Oman

(14 September).

"Dua perlawanan ini akan dijadikan persiapan terbaik sebelum kita berlepas ke Jepun pada 16 September untuk menyesuaikan diri dengan keadaan

di Tosu," jelas Kim Swee.

Skuad Olimpik sudah bersedia

Posted:

Skuad Olimpik sudah bersedia

Skuad Olimpik sudah bersedia

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


SKUAD Olimpik negara sudah bersedia menggalas cabaran pada pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia. Pada kempen kelayakan tersebut, skuad negara diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Bahrain dan Syria.


MISI lima minggu di Slovakia berakhir dengan kejayaan apabila skuad bola sepak Olimpik negara mencatat lima kemenangan daripada tujuh perlawanan persahabatan.

Tepat pukul 9.35 malam kelmarin, barisan 27 pemain muda negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dengan membawa pulang moral yang cukup tinggi.

Bagaimanapun, tiga pemain - Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas terpaksa 'ditinggalkan' di Slovakia kerana mereka telah pun mengikat kontrak pinjaman selama dua bulan dengan kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce pada Jumaat lalu.

Kecuali Gary Steven Robbat, Ahmad Fakri Saarani, Affize Faisal Mamat, Azrul Azmi dan K. Sasikumar, baki 22 pemain lain hanya diberi cuti selama tiga hari sebelum kembali menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis ini.

Selepas misi Slovakia boleh dianggap berjaya, misi seterusnya buat skuad Olimpik negara ialah untuk menggegar Stadium Tosu pada aksi sulung Kumpulan C, pusingan akhir Zon Asia, Kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun pada 21 September depan.

Tosu merupakan sebuah bandar yang terletak di sebelah timur Wilayah Saga dan secara ekonominya merupakan sebahagian daripada kawasan metropolitan Fukuoka.

Kini tinggal tiga minggu saja lagi buat ketua jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bersama pembantunya, Hasan Sazali Mohd. Waras dan jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang memperkemaskan persiapan untuk berdepan Jepun.


KIM SWEE (kiri) memperkemas barisannya bagi menghadapi pusingan Kelayakan Olimpik 2012 di Tosu, Jepun.


Apa yang pasti, pendedahan serta pengalaman berguna selama lima minggu di Slovakia perlu diteruskan momentumnya sepanjang tempoh tiga minggu ini.

"Selepas beraksi tujuh perlawanan di Slovakia, dari situ kita telah mendapat satu pendedahan yang cukup baik untuk kita menilai segala kekuatan serta kelemahan pasukan.

"Dari segi peningkatan, keputusan perlawanan pada kunjungan ke Slovakia kali ini memang cukup baik apabila kita menang lima perlawanan dan hanya tewas dua kali.

"Ia jauh berbeza ketika dua kali saya membawa skuad ini ke Slovakia sebelum ini apabila kita lebih banyak mengalami kekalahan," kata Kim Swee ketika ditemui Kosmo! sejurus tiba di KLIA malam kelmarin.

Lima kemenangan skuad Olimpik negara itu dicatat ketika bertemu Moldava 1-0, Topolcany 2-1, Mikulas 2-1, Dolny Kubin 2-0 dan Levice 1-0.

Empat pasukan tersebut merupakan kelab Liga 1 Slovakia sementara Topolcany merupakan kelab Liga 2 Slovakia.

Manakala dua perlawanan yang berakhir dengan keputusan tewas ialah bertemu kelab Hungary, Budapest Honved 1-4 dan kelab Liga Corgon Slovakia, FC Nitra 0-1.

Skuad Olimpik negara bakal diuji lagi pada dua perlawanan persahabatan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur iaitu bertemu kelab Iraq, Al-Arbil pada 9 September dan skuad Olimpik Oman (14 September).

"Dua perlawanan ini akan dijadikan persiapan terbaik sebelum kita berlepas ke Jepun pada 16 September untuk lima hari kita menyesuaikan diri dengan keadaan di Tosu," jelas Kim Swee.

Namun, buat seketika kem latihan pusat skuad Olimpik negara tidak akan disertai Wan Zack Haikal, Irfan dan Fadhli yang hanya akan pulang ke tanah air pada 11 September, sehari selepas aksi ViOn menentang Zilina.

Ketiga-tiga trio berusia 20 tahun itu diberi pelepasan untuk beraksi menentang Jepun, sekali gus terlepas aksi Liga Corgon bertemu Tranava pada 19 September.

Namun mereka akan kembali ke Slovakia selepas 21 September untuk berpeluang diturunkan ViOn ketika menentang Banska Bystrica (24 September), Trencin (1 Oktober), Ruzomberok (15 Oktober), Nitra (22 Oktober) dan Dunajska Streda (29 Oktober).

Kontrak mereka tamat pada 31 Oktober bagi membolehkan tiga pemain itu beraksi pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia (11-21 November) serta dua aksi Kelayakan Olimpik bertemu Syria (24 November) dan Bahrain (27 November).

Ditanya adakah ketiga-tiga pemain itu berpeluang untuk mendapat tawaran kontrak secara tetap bersama ViOn apabila saingan Liga Corgon bersambung pada 25 Februari tahun depan setelah berehat tiga bulan sempena musim sejuk, Kim Swee berkata: "Terpulang kepada pemain itu sendiri.

"Mereka dipilih untuk dipinjam selama dua bulan ini berdasarkan tahap keupayaan yang ditonjolkan sepanjang kita berada sebulan di Slovakia ini.

"Jadi pihak ViOn sendiri akan menilai prestasi ketiga-tiga pemain ini sepanjang tempoh dua bulan ini sama ada mereka akan ditawarkan kontrak kekal atau sebaliknya."

Pada Sabtu lalu, Wan Zack Haikal, Irfan dan Fadhli berada di bangku simpanan ViOn ketika seri 0-0 dengan Senica tetapi tidak dimasukkan sebagai pemain gantian.


BARISAN pemain Olimpik negara disambut meriah oleh peminat tempatan sebaik tiba di KLIA, Sepang dari Slovakia malam kelmarin.


Maka peluang masih terbuka buat ketiga-tiga mereka untuk bergelar anak Malaysia pertama beraksi di liga utama Slovakia itu.

Berbalik kepada persiapan untuk menghadapi Jepun, Kim Swee tetap berasakan sesuatu kekurangan apabila dia tidak akan dapat menurunkan pemain tengah, Gary Steven dan penyerang, Ahmad Fakri.

Nama kedua-dua pemain itu tiada dalam senarai 22 pelatih untuk kem latihan bermula Khamis ini kerana mereka digantung perlawanan akibat menerima kad merah sebelum ini.

Gary menerima kad merah ketika aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik menentang Lebanon manakala Fakri menerima kad merah ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.

"Kita akan menghadapi Jepun tanpa kelibat Gary dan Fakri. Memang di bahagian tengah nampak sedikit kelemahan.

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh persiapan ini, bukan kita mahu kenal pasti kelemahan itu, tetapi cuba memperbaikinya sebaik mungkin," kata Kim Swee.

Dengan ketiadaan Gary, Kim Swee dilihat banyak mencuba gandingan K. Gurusamy dan Shukor Jusoh bagi menjana jentera tengah sambil Irfan bertindak sebagai penyerang kedua.

Satu lagi posisi yang cukup kritikal sebelum ini iaitu posisi penyerang utama kini tampak semakin baik dengan kehadiran dua pemain baharu iaitu Ahmad Hazwan Bakri dari Kuala Lumpur dan Izuan Solahuddin (Kelantan).

"Memang penjaring terbanyak kita di Slovakia ini adalah Wan Zack Haikal biarpun dia merupakan pemain sayap.

"Tapi apa yang positif, dua penyerang baharu yang saya bawa masuk untuk kem latihan di Slovakia ini iaitu Hazwan dan Izuan telah menunjukkan prestasi yang baik.

"Ini sekali gus memberi cabaran buat penyerang-penyerang sedia ada seperti Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ferris Danial Mat Nasir untuk bersaing secara sihat merebut tempat," tegas Kim Swee.

Sentuhan penyerang skuad Olimpik negara sebelum ini agak tumpul apabila pada pusingan pertama ketika menang 2-0 ke atas Pakistan, dua jaringan tersebut dihasilkan pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Irfan.

Pada aksi kedua di Lahore, skuad negara sekadar mengikat Pakistan 0-0 untuk mara dengan agregat 2-0.

Bertemu Lebanon di pusingan kedua pula, skuad negara berjaya seri 0-0 di tempat lawan sebelum menang 2-1 di Kuala Lumpur hasil jaringan Irfan dan Wan Zack Haikal.

Selepas melakukan rumusan pada tujuh aksi persahabatan selama lima minggu di Slovakia, Kim Swee mengumumkan Wan Zack Haikal sebagai pemain terbaik untuk kem latihan kali ini.

"Wan Zack bukan saja muncul penjaring terbanyak pasukan, tetapi turut mempamerkan tahap permainan yang cukup tinggi.

"Itulah sebabnya ViOn berminat mendapatkan khidmatnya dan harap kelab tersebut dapat memanfaatkan kemampuan yang dimiliki Wan Zack untuk membantu mereka dalam saingan Liga Corgon," ujar Kim Swee.

Kami bagai satu keluarga – Khairul Fahmi

Posted:

Kami bagai satu keluarga – Khairul Fahmi

Kami bagai satu keluarga – Khairul Fahmi

LIMA minggu berkampung di Slovakia bukan saja memberi peluang kepada skuad Olimpik negara memberi fokus terhadap sesi latihan serta mengharungi tujuh perlawanan persahabatan.

Malah tempoh tersebut juga sebenarnya penting bagi membentuk serta mengeratkan lagi perhubungan di antara 30 pelatih skuad negara bagi memastikan mereka lebih memahami antara satu sama lain.

Ini kerana, daripada 30 pelatih tersebut, hanya 20 pemain yang sudah biasa tinggal bersama kerana mereka beraksi untuk skuad Harimau Muda A dalam saingan Liga Super.

Baki 10 lagi pemain merupakan mereka yang beraksi dengan pasukan lain iaitu Khairul Fahmi Che Mat (gambar) dan Izuan Solahudin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS), Azrul Azmi (Felda United) serta Nazmi Faiz Mansor dan Syazwan Tajuddin (Harimau Muda B).

Hal itu diakui sendiri Khairul Fahmi, 22, atau lebih popular dipanggil Apek yang merupakan kapten skuad Olimpik negara.

"Sepanjang berada di Slovakia, kami dapat belajar banyak perkara dan segalanya tampak semakin baik dari hari ke hari.

"Pemain-pemain yang baru dipanggil pertama kali pada kem latihan kali ini juga telah menunjukkan prestasi yang baik dan kesemua mereka bersaing untuk merebut tempat.

"Apa yang penting ialah persiapan untuk menghadapi Jepun. Jurulatih (Ong Kim Swee) telah banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada semua pemain.

"Malah sepanjang lima minggu di Slovakia ini, kami dah macam satu keluarga dan kini lebih mengenali dengan rapat antara satu sama lain," kata Khairul Fahmi ketika ditemui Kosmo! sejurus tiba di KLIA, Sepang malam kelmarin.

Ditanya tentang persediaan fizikal dan mental bagi menghadapi Jepun pada 21 September depan, Khairul Fahmi berkata, perlawanan persahabatan bertemu pasukan kuat di Slovakia telah memberi serba sedikit bayangan.

"Setiap kali turun bertemu kelab di Slovakia tempoh hari, kami menganggap ia seperti menentang pasukan Jepun.

"Alhamdulillah kami berjaya mempamerkan prestasi yang baik dengan memenangi lima perlawanan dan hanya tewas dua kali. Harap prestasi baik ini terus dikekalkan sehingga pertemuan dengan Jepun," jelas penjaga gol Kelantan itu.

Namun komitmen bersama skuad Olimpik memaksa Khairul Fahmi melupakan seketika empat aksi awal peringkat kumpulan Piala Malaysia bersama Kelantan yang bermula 6 September ini.

"Bagi saya yang penting adalah perjuangan negara. Jadi saya perlu beri fokus sepenuhnya terhadap tugas bersama skuad Olimpik ini terlebih dahulu.

"Selepas perlawanan menentang Jepun, barulah saya boleh fikir untuk membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia," ujarnya.

Sepanjang ketiadaan Khairul Fahmi, gawang skuad Kelantan akan dikawal penjaga gol kedua mereka, Shahrizan Ismail.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bangunan tergantung saingi Taj Mahal

Posted:

Bangunan tergantung saingi Taj Mahal

Bangunan tergantung saingi Taj Mahal

STRUKTUR mirip stesen angkasa lepas ini memiliki 80 unit rumah kediaman.


CALCUTTA, India – Sebuah struktur menyerupai stesen angkasa lepas lengkap dengan taman di atas bumbungnya merupakan antara lebih 12 rekaan unik yang tersenarai dalam pertandingan Festival Arkitek Dunia di bandar raya Barcelona, Sepanyol pada tahun depan.

Sekali pandang, struktur futuristik itu kelihatan tergantung di udara pada ketinggian 100 meter dari tanah.

Diberi nama Atmosphere, ia sebenarnya menyambungkan dua bangunan pencakar langit. Reka bentuk struktur berkenaan yang kelihatan lebih hebat daripada bangunan Taj Mahal dihasilkan beberapa arkitek di sini.

Idea untuk menghasilkan binaan tersebut diinspirasikan daripada kehidupan tradisional masyarakat Hindu.

Atmosphere memiliki 80 unit rumah yang sesuai diduduki oleh pasangan berkeluarga.

Antara penyertaan lain yang turut menarik perhatian sempena pertandingan berprestij itu termasuk bangunan reben coklat dan bangunan kulit kerang. – Agensi

UFO didakwa mendarat di Siberia

Posted:

UFO didakwa mendarat di Siberia

UFO didakwa mendarat di Siberia


KLIP video menunjukkan lima makhluk asing (bulatan) berjalan keluar selepas piring terbang mereka mendarat.


IRKUTSK, Rusia – Rantau sejuk beku di Siberia pastinya bukan lokasi pendaratan paling menarik untuk makhluk asing yang mahu menerokai Bumi.

Namun, satu klip video di laman perkongsian video YouTube menunjukkan beberapa makhluk asing memilih lokasi tandus itu untuk mendaratkan objek terbang tidak dikenali (UFO) atau piring terbang mereka.

Klip berkenaan yang dirakam di Irkutsk, pedalaman Siberia, menunjukkan satu makhluk asing setinggi sekitar 1.2 meter sedang berdiri kira-kira lima meter dari piring terbangnya yang bersinar, manakala empat makhluk serupa berada dekat dengannya.

Klip video pendek itu dirakam dua hari selepas beberapa cahaya misteri dilihat menyinari langit desa Bayanday, juga di Irkutsk.

"Terdapat dua rakaman insiden ini yang dibuat oleh dua saksi kejadian itu," kata seorang pakar UFO, Mike Cohen. "Kedua-dua klip video menunjukkan insiden UFO utama seperti yang pernah terjadi di Roswell, Amerika Syarikat berlaku di Rusia," ujarnya.

"Satu letupan kuat kemudian didengari meliputi satu kawasan yang luas," tambahnya.

Dia mendakwa polis dan jabatan penyelamat dibanjiri panggilan telefon daripada penduduk kampung yang ketakutan mendengar letupan tersebut.

Pihak tentera mengesahkan bahawa ia tidak melakukan sebarang latihan ketenteraan di kawasan terbabit.

Namun, Cohen mendakwa pihak berkuasa Rusia cuba menutup berita pendaratan UFO berkenaan daripada diketahui umum.

Katanya, beberapa pegawai memberitahu wartawan tempatan bahawa insiden terbabit diklasifikasikan sebagai maklumat sulit dan lokasi kejadian tidak boleh didedahkan.

Sebelum ini, beberapa penemuan makhluk asing dan UFO pernah dilaporkan di Siberia.

Pada hujung Februari lalu, beberapa pegawai trafik udara di Yakutks, Siberia mendakwa mereka melihat sebuah UFO pada paparan radar bergerak selaju 9,600 kilometer sejam pada altitud 19,812 meter.

Pada April lalu dua pelajar Rusia, Timur Hilall, 18, dan Kirill Vlasov, 19, mengaku mereka cerita mengenai penemuan satu makhluk asing di hutan Siberia.

– Agensi

Jerung baham manusia ditangkap

Posted:

Jerung baham manusia ditangkap

Jerung baham manusia ditangkap


SEEKOR jerung harimau yang dipercayai membunuh pelancong Britain, Ian Redmond (gambar kecil).


VICTORIA, Kepulauan Seychelles – Seekor jerung harimau yang dipercayai membunuh seorang pelancong Britain, Ian Redmond semasa dia melakukan aktiviti snorkeling telah ditangkap oleh sekumpulan nelayan tempatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Nelayan-nelayan tempatan aktif memburu ikan pemangsa itu selepas Redmond, 30, dan seorang pelancong Perancis maut dibaham jerung di Kepulauan Seychelles dalam masa dua minggu.

Jerung harimau sepanjang empat meter itu digantung pada sebatang pokok selepas ia dibunuh pada minggu ini.

Pakar-pakar akan mengadakan ujian sama ada terdapat bukti ikan itu menyerang Redmond semasa dia berbulan madu dengan isterinya pada 14 Ogos lalu.

Seychelles merupakan sebuah negara yang terdiri daripada 115 buah pulau di Lautan Hindi dan terletak sekitar 1,500 kilometer dari Afrika.

– Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Umat Islam sambut Aidilfitri esok

Posted:

Umat Islam sambut Aidilfitri esok

Umat Islam sambut Aidilfitri esok

29/08/2011 9:21pm

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini. – Bernama

4 ditahan: Kumpulan penjenayah tumpas

Posted:

4 ditahan: Kumpulan penjenayah tumpas

4 ditahan: Kumpulan penjenayah tumpas

29/08/2011 9:21pm

KUALA LUMPUR – Empat lelaki tempatan berusia 30-an yang bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan melakukan kegiatan jenayah seperti mencuri, samun dan dadah ditahan polis di Bangsar di sini Jumaat lalu.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima aduan daripada seorang pelayan restoran berusia 26 tahun di sebuah pusat beli-belah terkenal, di sini, yang diancam dengan sepucuk pistol palsu oleh seorang daripada suspek pada kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, sebelum itu, pengadu terbabit bertindak mengejar dua daripada suspek yang datang makan di restoran berkenaan selepas mereka meninggalkan premis itu tanpa membuat bayaran sebanyak RM100.

Bagaimanapun, seorang daripada suspek ketika dihampiri bertindak mengeluarkan sepucuk pistol palsu sambil mengugut pengadu sebelum menyerahkan sebuah telefon bimbit kepadanya dan berjanji akan datang membuat bayaran pada keesokan hari.

"Selepas mendapat aduan, polis membuat rondaan di sekitar kawasan Jalan Maarof, di sini dan berjaya menangkap semua suspek di sekitar jalan berkenaan sejam kemudian.

"Pemeriksaan polis mendapati tiga suspek berasal dari Kangar, Perlis serta seorang lagi beralamat di Ampang, di sini, masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan tersabit pelbagai kesalahan termasuklah curi, rogol, ugutan jenayah, dadah dan sebagainya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.

Selain itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif dadah. – Bernama

Pemandu maut terkena renjetan elektrik

Posted:

Pemandu maut terkena renjetan elektrik

Pemandu maut terkena renjetan elektrik

29/08/2011 7:19pm

MARAN – Seorang pemandu lori maut selepas terkena renjatan elektrik apabila galah aluminium yang digunakannya untuk mengait kelapa terkena talian elektrik di Kampung Jara di sini pagi tadi.

Mangsa, Mohd Tarmizi Kamaruzzaman, 22, ketika kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 pagi, sedang membantu ayahnya, Kamaruzzaman Muhamad, 50, mengait buah kelapa untuk membuat lemang.

Menurut Kamaruzzaman, anaknya itu yang masih bujang tinggal di Kuantan dan pulang berhari raya di kampung datuknya di sini kerana teringin memakan lemang.

"Ketika mengait buah kelapa itu, tiba-tiba galah yang digunakan tersentuh talian elektrik dan tangan mangsa terlekat pada galah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, beliau yang mendengar jeritan itu bertindak membantu menarik badan mangsa daripada galah walaupun mangsa melarang mengakibatkan badannya turut melekat bersama badan anaknya akibat renjatan itu.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Jara di sini petang ini. – Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Syahdu lebaran Jamal, Radhi

Posted:

Syahdu lebaran Jamal, Radhi

Syahdu lebaran Jamal, Radhi

RAYA tahun ini cukup syahdu buat Radhi OAG apabila kali pertama meraikan hari lebaran jauh dari kampung halamannya dan keluarga.Semuanya gara-gara najis dadah yang menyebabkan kehidupan bahagia Radhi atau nama sebenarnya Mohd. Radhi Razali, 34, berkecai dan kini Radhi sedang dalam proses pemulihan di Pusat Rawatan dan Pemulihan Dadah, Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) di Kuala Lumpur.

Namun, hari rayanya tidak sunyi kerana dia ditemani oleh keluarganya dan juga anak tunggalnya, Mohd. Rifdhi Muslim, 6, hasil perkongsian hidup bersama bekas isterinya Shazlin Sharif yang akan melawatnya di Pengasih pada hari raya pertama.

"Dulu saya hidup dengan dunia saya sahaja, tetapi bila saya tinggal di Pengasih, banyak benda yang saya belajar terutama baru saya tahu yang keluarga sangat sayangkan saya. Alhamdulilah, raya kali ini, keluarga akan datang melawat saya bersama Rifdhi, biasanya saya melawat mereka tetapi sekarang keluarga pula akan datang menjenguk saya.

"Tetapi dalam masa yang sama saya bersyukur selepas saya menerima rawatan di Pengasih puasa dan raya saya lebih bermakna kerana saya lebih fokus dalam menjalani ibadah puasa berbanding sebelum ini. Syukur sangat-sangat kerana Allah sayangkan saya dan beri saya jalan untuk berubah," katanya yang ditemui pada majlis buka puasa Pengasih.

Namun, jauh di sudut hati, Radhi tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya kerana tidak dapat meraikan lebaran seperti mana orang lain yang meraikannya di kampung halamannya di Kuching, Sarawak bersama keluarga dan sanak-saudara.

"Sedih memang sedih, saya tidak dapat nafikannya. Tetapi saya harus kuatkan diri supaya saya tidak terus hancurkan diri saya sendiri, saya cuba perbaiki diri untuk menjadi anak, ayah dan juga insan yang lebih baik daripada sebelum ini untuk diri sendiri, keluarga, anak dan peminat," katanya yang telah tinggal di Pengasih selama tujuh bulan.

Sungguhpun Radhi masih menjalani rawatan pemulihan dadah, persiapan raya tidak dilupakan terutamanya buat anak tunggalnya. Kata Radhi persiapan untuknya hanya biasa-biasa sahaja tetapi tidak untuk anaknya.

"Tahun ini peruntukan serta persiapan raya lebih tertumpu kepada anak kerana itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai ayahnya, manakala untuk saya biasa-biasa sahaja kerana sekarang ini saya belum boleh bekerja, jadi pendapatan agak terhad, saya pakai apa yang ada," balasnya yang terjerumus ke kancah dadah selama 10 tahun.

Wanita di hati Radhi

Selepas sah bercerai dengan bekas isterinya pada Jun tahun lalu, Radhi berazam memperbaiki dirinya kerana beranggapan masalah dadah yang dihadapinya antara punca segala masalah yang berlaku dalam kehidupannya pada masa lalu.

Tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku sebaliknya meletakkan segala kesalahan di bahu sendiri, tegas Radhi selepas ini dia mahu menjadi lelaki yang lebih matang dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

"Saya akui sebelum ini saya banyak mengabaikan tanggungjawab dan keluarga, jadi selepas ini saya mahu jadi ketua keluarga yang bertanggungjawab," ujarnya.


JAMAL ABDILLAH dan Radhi berhari raya di Pengasih bersama para penghuni lain pusat pemulihan tersebut.


Apabila dirisik sudahkah hatinya dimiliki, sambil tersipu-sipu malu, Radhi menjelaskan dia kini dalam proses mengenali hati budi seorang gadis yang jauh lebih muda daripadanya. Malah, Radhi enggan melabel gadis itu sebagai teman wanita sebaliknya hanya sebagai sahabat wanita istimewa.

"Dia berumur 17 tahun, masih bersekolah, sebab itu saya tidak mahu menggembar-gemburkan kisah peribadi. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, kerana jodoh pertemuan terletak di tangan Allah bukannya saya," tuturnya.

Luahnya lagi membuka rahsia, selain keluarga dan anak tunggal, gadis yang mencuri hatinya itu merupakan antara penyebab utama dia berazam untuk memperbaiki diri dan dengan rela hati mendaftar di Pengasih.

"Saya mahu jika saya berkahwin sekali lagi, saya ingin rumah tangga itu disulam dengan akidah yang betul, jadi sebelum itu saya harus perbetulkan diri saya sendiri sebelum saya boleh memimpin orang lain," katanya.yang mengakui gadis itu turut hadir dalam majlis buka puasa tersebut, bagaimanapun Radhi enggan memberitahu secara terperinci perihal gadis itu.

Tahun kelima Jamal beraya di Pengasih

Jika Radhi masih ada rasa sedih dan terkilan kerana tahun ini merupakan tahun pertamanya meraikan lebaran di Pengasih, tetapi tidak buat juara Bintang RTM 1979, Jamal Abdillah yang mana tahun ini merupakan tahun kelimanya meraikan Syawal di Pengasih.

Bukan tidak mahu pulang ke kampung halamannya di Gunung Rapat, Perak, tetapi disebabkan tuntutan kerja pada hari raya pertama di Kuala Lumpur menyebabkan dia lebih selesa menyambut lebaran di Pengasih.

"Saya mahu buat macam mana, bila rezeki selama lima tahun datang pada hari raya pertama sehingga ketiga raya. Tetapi biasanya pada sebelah petang apabila saya ada kelapangan saya akan pulang menemui anak-anak saya di kampung untuk menghabiskan masa bersama dan menikmati hari raya macam orang lain," katanya.

Sebagai bapa kepada dua cahaya mata, Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani, terpalit rasa bersalahnya apabila tidak dapat meraikan sepenuhnya lebaran bersama mereka. Namun, kata Jamal, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai penghibur untuk menghiburkan orang lain.

"Saya tidak kisah meraikan lebaran secara sederhana dan perlu bekerja pada hari raya pertama tetapi anak-anak sudah pasti perasaan mereka lain kerana hari raya satu hari yang sangat dinanti-nantikan mereka, sebab itu saya sedaya upaya menyiapkan segala persiapan selengkap mungkin untuk mereka.

"Selepas saya habis kerja, saya akan bawa mereka balik kampung atau melawat saudara-mara. Kampung saya pun sudah tidak ada ahli keluarga saya, yang tinggal hanyalah ibu tiri," tuturnya.

Konsert di Singapura

Menjalani kehidupan biasa dan memiliki dua bisnes atas nama sendiri, Bintang Channel yang dikhaskan untuk acara seni manakala Pro Channel untuk dagangan dan pengedaran keperluan perubatan dan alat tulis, kehidupan peribadi Jamal kini boleh dianggap stabil tanpa pengaruh dadah.

Namun begitu, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali masih setia tinggal di Pengasih kerana Pengasih ibarat rumahnya yang pertama. Bukan tidak mahu berpindah, namun hatinya cukup berat untuk meninggalkan Pengasih.

Selepas dirinya berjaya dipulihkan daripada dadah di Pengasih, Jamal rasa bertanggungjawab untuk membantu dan menyumbangkan tenaga membantu mereka yang sama nasib dengannya di Pengasih.

"Bila saya lihat penghuni baru yang datang ke Pengasih, saya lihat diri saya dalam mereka pada waktu mula-mula saya di Pengasih. Saya juga seperti mereka dan selepas saya berjaya pulih saya mahu memberi sumbangan tidak kira dalam bentuk apa sekali pun untuk sama-sama membantu Pengasih," ujarnya.


ANAK bapa. Radhi mencium permata hatinya, Rifdhi.


Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir Jamal menginap di Pengasih kerana menurutnya dia sedang menunggu rumah baru yang dibelinya siap.

"Saya ada beli rumah dan hujung tahun ini mungkin ia akan siap sepenuhnya, jadi saya akan berpindah di sana bersama anak-anak. Tetapi bukan bermaksud saya sudah tidak menginap di Pengasih atau saya tinggalkan Pengasih.

"Saya masih akan membantu Pengasih seperti biasa kerana sukar bagi saya untuk tinggalkan Pengasih kerana semua orang di Pengasih sudah menjadi keluarga saya. Jadi saya harus meneruskan tanggungjawab saya membantu memulihkan dan memberi motivasi kepada penghuni Pengasih yang lain," balasnya.

Mengenai perkembangan terbarunya, Jamal memberitahu, pada 24 September depan dia bakal mengadakan konsert solo terbesar pertamanya yang diberi nama Akustik Kasih di Indoor Stadium, Singapura.

"Sekarang ini saya memang tengah sibuk dengan latihan dan persiapan untuk konsert Akustik Kasih. Berdebar pun ada juga kerana ini konsert terbesar pertama saya di Singapura," ucapnya.

Komedi raya 8TV Quickie

Posted:

Komedi raya 8TV Quickie

Komedi raya 8TV Quickie

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my


8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy akan ditayangkan malam ini bermula pukul 11.45 malam.


NAQIB, Prem, Adam, Ryan, Megan, Zhen dan Julie sering menggamatkan malam ketika mengendalikan rancangan bual bicara remaja 8TV Quickie. Namun, bagaimana pula jika kesemuanya digandingkan bersama untuk menghangatkan malam raya dengan drama komedi berjudul 8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy.

Umpama filem legenda Tan Sri P. Ramlee, Masam-Masam Manis, kisah perang mulut antara arjuna dan hawa bakal menghiasi malam raya di saluran 8TV pada pukul 11.30 malam hari ini.

Uniknya, drama pendek berdurasi sejam itu dilakonkan oleh tujuh pengacara tetap 8TV yang biasa mengendalikan slot 8TV Quickie setiap hari bermula pada pukul 11.45 malam dan 10.30 malam pada hujung minggu.

Pada tahun lalu, drama komedi sama berjudul 8TV Quickie Raya Special: Homecoming pernah diterbitkan namun hanya melibatkan lima orang pengacara.

Begitu pun pada tahun ini, elemen humor dan lawak bersahaja disuntik pula dalam drama komedi berjudul 8TV Quickie Raya Special: The Other Quickie Dramedy yang mengisahkan tiga lelaki bujang bernama Leman, Joe dan Andy yang berjiran dengan tiga gadis bernama XiXi, Jay dan Diba namun sentiasa bergaduh sesama mereka sehingga masalah itu diselesaikan oleh penghulu kampung yang dilakonkan oleh Prem.

Kesempatan bersua muka dengan kesemua tujuh pengacara 8TV Quickie pada sesi penggambaran di Kuala Selangor baru-baru ini tidak dilepaskan untuk berkongsi kisah raya menarik walaupun mereka berlainan kaum dan agama.

Adam serik beraya di luar negara

Melakonkan watak Andy, jejaka yang obses dengan J-Pop (pop Jepun) dalam drama komedi itu yang akhirnya jatuh cinta dengan XiXi lakonan Megan, Adam mengakui agak kekok berlakon di hadapan kamera.

Walau hanya tujuh bulan bersama krew 8TV Quickie, pemilik nama sebenar Adam Mohd. Zain, 25, sebenarnya sudah serik menyambut lebaran di luar negara.

"Selama menetap di United Kingdom (UK) bersama keluarga dan belajar di Birmingham, setiap kali sambutan raya saya akan terkenangkan Malaysia.

"Di sana kemeriahan raya tidak terasa seperti di sini (Malaysia) dan tiada cuti umum walaupun pada hari raya pertama, malah komuniti yang menyambut Aidilfitri juga kecil," bicaranya yang mengambil jurusan sains perubatan dan pernah berkhidmat di sebuah syarikat bioteknologi di Negeri Sembilan sebelum bertukar karier.

Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, juadah raya yang amat sukar ditemui di luar negara juga jadi penyebab untuknya selesa beraya di tanah air.


SELURUH warga produksi 8TV Quikie yang terdiri daripada selebriti berbilang kaum turut mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan dan Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia.


"Makanan istimewa yang wajib ada pada hari raya adalah soto emak saudara saya, selain tart nenas yang rasanya boleh membuatkan semua orang ketagih!" ujar jejaka kacukan Cina-Melayu itu berseloroh.

Ryan pilih Pulau Pinang

Anak kacukan Irish-Iban yang lama berkelana di Perth, Australia sebelum pulang ke tanah air dan menumpahkan segala keringat mengacarakan 8TV Quickie, Ryan Mat Jeraie, 25, sudah lama mendambakan kehidupan sebenar di Pulau Pinang.

Katanya, kemeriahan dan diversiti kaum di sana menarik minatnya untuk terus menetap di pulau itu jika diberikan peluang.

"Pelbagai budaya dapat dilihat di sana dan rasanya keseluruhan Malaysia jelas sekali terpancar setiap kali saya ke sana," ujar graduan Universiti Edith Cowan, Australia itu.

Bukan itu saja, memilih pisang goreng sebagai sajian paling unik yang pernah dirasainya, jelas anak kedua daripada tiga beradik itu lagi pisang goreng tidak akan dijumpai di mana-mana melainkan Malaysia.

Membawakan watak Joe dalam drama komedi 8TV Quickie itu, Ryan menyifatkan wataknya yang sombong dan tidak berpijak di bumi nyata langsung tidak serasi dengannya dan disebabkan itu dia mencabar dirinya untuk membawakan watak sebaik mungkin.

Keluarga besar Naqib

Bagi Naqib Nadhir Shamsuri atau mesra disapa Naqib, 25, dia sebenarnya teruja melihatkan kualiti lakonannya sebagai Leman dalam drama komedi itu.

"Leman ada gerai pisang goreng dan merupakan jaguh kampung yang sentiasa mencari peluang bergaduh dengan geng wanita yang berjiran dengannya," ceritanya mengenai watak yang dilakonkannya itu.

Berbicara mengenai sambutan rayanya tahun ini, ujar Naqib, sambutan 1 Syawal pasti diraikan bersama keluarganya di Rembau, Port Dickson dan Pedas, Negeri Sembilan.

"Keluarga saya sangat besar, bayangkan ibu saya punyai tujuh beradik dan bapa saya pula 10 beradik, saat-saat berkumpul beramai-ramai ini yang paling saya nantikan setiap tahun," katanya yang gemarkan kuih conflakes setiap kali tiba hari raya.

1 Syawal Prem

Makna 1 Syawal bagi Prem atau nama sebenarnya Prem Shanker mungkin sedikit berlainan dengan rakan-rakan seagama dengannya.

Sudah menjadi rutin setiap tahun baginya menyambut kemeriahan pagi raya pertama di rumah rakannya beragama Islam, Zamri Ibrahim sejak enam tahun lalu.

"Kalau dulu boleh dikatakan sepanjang hari saya akan berada di rumahnya untuk beraya tapi sekarang mungkin hanya separuh hari beraya dan selebihnya akan menziarahi rakan-rakan lain," tuturnya yang teringin beraya dalam suasana kampung.

Bagi Prem yang telah banyak kali berdepan dengan kamera sementelah berlakon di samping selebriti terkenal antaranya Marsha dan Zizan Nin dalam drama berjudul Kerana Karina mahupun muzik video bersama Reshmonu, menggalas peranan penghulu kampung bernama Ash Burn tidak menjadi masalah baginya kali ini.

Megan suka rendang

Membawakan watak XiXi yang obses dengan K-Pop dalam drama komedi itu, Megan pula merasakan berlakon bukan lagi perkara yang sukar baginya.

Apatah lagi, ujar pemilik nama sebenar Megan Tan Yue Mei, 23, sebelum ini dia pernah juga terlibat dalam beberapa telemovie dan mendukung peranan utama antaranya Kemaafan Sakura di samping aktor kacak Shahz Jaszle.

"Harapan saya semoga lakonan saya bertambah baik dari hari ke hari, dan penonton juga boleh menerima saya seadanya," kata si cantik yang fasih berbahasa Malaysia itu.

Pilihan juadah yang pedas menjadi idamannya ketika sambutan hari raya terutama sekiranya sajian itu bercirikan rendang ayam dan daging.

Raya Zher ala Tahun Baru Cina

Pengacara bertubuh langsing, Tham Zher Peen, 26, atau lebih dikenali Zher yang mendukung watak Jay menjelaskan wataknya dalam drama komedi itu lebih bersifat autokratik.

Namun, jika ditanya tentang bagaimana sambutan Aidilfitri bagi gadis yang pernah menuntut di Universiti Griffith, Australia itu, hari raya ibarat Tahun Baru Cina baginya.

"Kemeriahannya sama seperti Tahun Baru Cina, tiada apa yang perlu dibezakan kerana pada hari raya juga kita akan berkumpul ramai-ramai dan ziarah-menziarahi satu sama lain," bicaranya.

Namun, katanya, juadah yang dicarinya sepanjang sambutan Aidilfitri tidak lain tidak bukan rendang tok, lemang dan kuah kacang.

Bukan pendatang baru dalam arena seni lakon kerana pernah bergandingan dengan Qushairi Razali (Qi) dalam drama Blogger Boy, ujar Julie atau empunya nama sebenar Julie Woon, 27, peranannya sebagai Dibah dalam drama komedi itu sedikit sebanyak serasi dengan dirinya.

"Dibah seorang peniaga cup cake yang sentiasa bergaduh dengan Leman akibat persaingan perniagaan, dalam masa yang sama dia juga seorang yang garang, suka berdendam, nakal dan agresif," ceritanya yang turut terlibat dalam telefilem Rembak terbitan RTM.

Bercerita kisah raya pula, kata Julie, Aidilfitri adalah peluangnya untuk melaram dan menikmati pelbagai juadah enak yang jarang ditemui pada hari-hari biasa.

"Saya sukakan baju kebaya, selain menawan pakaian itu juga ada ciri-ciri nostalgia dan peluang untuk menggayakan baju itu cuma pada Aidilfitri," kata gadis yang berasal dari Melaka itu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved