Isnin, 26 Disember 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Aura fesyen bintang realiti

Posted:

Aura fesyen bintang realiti

Aura fesyen bintang realiti

MEREKA pernah muncul di pentas minggu fesyen New York dan bergambar untuk pelbagai tugasan modeling. November lalu pula, mereka dianugerahkan dengan gelaran pasangan adik-beradik bergaya Hollywood.

Pengiktirafan itu disampaikan di Los Angeles sempena majlis Anugerah Gaya Hollywood. Dalam majlis tersebut, ramai selebriti telah hadir sebagai penyampai anugerah sekali gus menyaksikan kejayaan adik-beradik tersebut. Antaranya ialah Kristin Davis, Mandy Moore, Zoe Saldana dan Eva Longoria.

Kemunculan adik-beradik Kendall, 16, dan Kylie Jenner, 14, itu mengingatkan peneliti fesyen kepada pasangan kembar Olsen yang terkenal dengan gaya boho.

Kendall dan Kylie Jenner, bagaimanapun, tidak menjual baju atau kasut. Mereka memilih untuk memperkenalkan barangan kemas bersama Glamhouse Productions yang bakal menghasilkan aksesori untuk remaja berusia 12 hingga 19 tahun.

"Kami sangat menyukai aksesori. Paling menyeronokkan adalah kami akan memasarkan rekaan kami sendiri yang boleh dipakai setiap hari serta dikongsi bersama rakan," ujar Kendall dalam satu kenyataan.

Pasangan adik-beradik berkenaan dijadualkan memperkenalkan koleksi berkenaan pada musim luruh tahun depan yang merupakan rekaan dari sisi peribadi mereka sendiri yang bersifat gembira dan remaja tetapi edgy.

Presiden Glamhouse Productions, Pascal Mouawad berkata, melalui siri realiti televisyen mereka di E! Entertainment Television, jutaan remaja mengikuti perkembangan Kendall dan Kylie. Justeru mereka dilihat paling sesuai bergabung dengan rumah fesyen tersebut.

Bercakap tentang pendedahan di mata umum, Kendall terlebih dahulu mengorak langkah apabila ditawarkan kerjaya sebagai model berbanding adiknya Kylie. Musim panas Oktober lalu, Kendall telah dipilih sebagai model pakaian renang dan pentas peraga buat pertama kalinya sempena Minggu Fesyen New York.


KYLIE lebih condong kepada gaya boho.


Iklan pakaian renang yang diterima Kendall adalah kolaborasinya bersama jenama pakaian renang White Sands yang menampakkan bakat semula jadi Kendall sebagai pelapis model peragaan. Gayanya santai dan bersahaja, lebih-lebih lagi ketika menyarungkan pakaian renang bercirikan retro dan berpinggang tinggi.

Jenama adik-beradik

Sebelum kemunculan mereka, fesyen selebriti adik-beradik telah terbukti mampu menjadi bisnes besar. Sebagai contoh, adik-beradik Jessica dan Ashlee Simpson telah lama memperkenalkan jenama remaja, Jessica Simpson Girls.

Selain itu, pasangan adik-beradik kembar paling digemari, Ashley dan Mary-Kate Olsen turut dikenali sebagai ikon fesyen yang memperkenalkan label fesyen remaja The Row. Koleksi mereka boleh didapati di kedai Walmart seluruh Amerika Syarikat (AS).

Jika sebelum ini pasangan Kendall dan Kylie lebih banyak dibayangi aura gemerlapan kakak-kakak tiri mereka iaitu Khloe, Kourtney dan Kim Kardashian, kini mereka telah berjaya muncul dalam tajuk-tajuk utama media di arena fesyen.

Apatah lagi dengan penganugerahan yang baru mereka terima, adik-beradik bertuah itu berjaya memenangi hati pihak pengurusan syarikat aksesori dan barangan kemas, Glamhouse, hingga termeterainya perjanjian kerjasama antara mereka.

Koleksi yang belum diberi nama itu bakal dipasarkan pada harga berpatutan iaitu antara AS$19.99 (RM63) hingga AS$69.99 (RM221).

Bagaimanapun, Kendall dan Kylie tidak cepat melatah dan masih meminta tip dan nasihat daripada kakak-kakak mereka yang jauh lebih awal menceburkan diri dalam bidang fesyen.


KELIBAT Kendall di pentas peragaan bermula pada Oktober lalu apabila beliau dipilih bagi menggayakan pakaian renang jenama White Sands pada Minggu Fesyen New York dan kini semakin aktif sebagai model pertunjukan fesyen.


Kakak-kakak tiri mereka itu pernah mempunyai usaha sama dengan pelbagai jenama seperti OPI, Bebe dan Sears. Terkini, Khloe, Kourtney dan Kim sudahpun sibuk menguruskan butik mereka sendiri iaitu Dash.

Inspirasi

Walaupun dibesarkan dalam suasana yang sama, ternyata Kendall dan Kylie mempunyai cita rasa fesyen yang berbeza. Sebagai contoh, Kylie menggemari gaya fesyen Nicole Richie malah mempunyai beberapa koleksi Miley Cyrus. Kedua-dua selebriti itu mengetengahkan gaya boho.

Bagi Kendall pula, dia menganggap kakak-kakaknya sebagai ikon fesyen. Dia menyukai gaya vintaj seperti mengenakan skarf dan seluar atau skirt yang berpinggang tinggi.

"Boho adalah trend fesyen kegemaran saya ketika ini," kata Kylie, manakala Kendall pula berkata: "Saya menyukai apa sahaja pakaian yang berpinggang tinggi dan digayakan bersama skarf."

Mereka juga menyimpan impian besar dalam arena fesyen antarabangsa.

"Saya mengimpikan tugas modeling dengan jenama-jenama terkenal seperti Chanel. Saya juga menjadikan kejayaan kakak-kakak saya sebagai inspirasi untuk mencapai impian.

"Saya akan menyambung kerjaya ini apabila dewasa tetapi saya juga mahu belajar di kolej, bergantung kepada peluang ketika itu," ujar Kendall yang merasakan dirinya mempunyai sikap sama seperti kakaknya, Khloe.

Sementara itu, Kylie yang sibuk dengan bisnes keluarga dan persembahan fesyen juga tidak ambil mudah soal penjagaan wajah dan rutin persekolahan.

"Saya mencuci wajah setiap pagi dan malam dan memastikan saya minum banyak air serta makan makanan yang sihat.

"Walaupun terlibat dalam bidang fesyen, saya belum membuat sebarang keputusan tentang perkara yang akan dilakukan apabila dewasa kelak.

"Saya hanya mahu fokus pada sesi persekolahan buat masa ini," katanya.

Masyhur

Hakikatnya, dua remaja yang baru sahaja menceburkan diri dalam bidang fesyen itu tetap berdepan dengan suntikan kemasyhuran.

Mereka yang terlebih dahulu dikenali sebagai bintang siri realiti televisyen Keeping Up with the Kardashians yang bersiaran di E! Entertainment Televisyen telah mengumpul sejumlah peminat yang ramai termasuk peminat fanatik.


KEDUA-DUA remaja ini bakal tampil dengan koleksi aksesori tersendiri dengan kerjasama Glamhouse Productions yang akan diperkenalkan pada musim luruh tahun depan.


"Pernah berlaku satu kejadian di Miami pada musim bunga lalu apabila saya terpaksa bersembunyi di dalam sebuah bilik di belakang hotel.

"Semuanya gara-gara diserbu peminat sehingga pengawal keselamatan terpaksa membantu saya untuk masuk ke dalam bilik hotel.

"Ia pengalaman yang gila tetapi manis untuk dikenang," kata Kylie.

Sementara Kendall pula memberitahu, pada percutian yang sama di Miami, dia, Kylie, ibu dan beberapa rakan mereka tidak dapat keluar dari bilik hotel apabila para peminat mereka mendapat tahu nombor bilik hotel mereka.

"Lebih kurang 50 remaja sedang berkumpul di luar bilik penginapan kami. Memang gila," imbasnya.

Tetapi mereka bernasib baik kerana keadaan di sekolah adalah sebaliknya. Walaupun popular, mereka menerima layanan sama rata daripada semua pelajar dan kakitangan sekolah.

"Kebanyakan rakan sekolah saya adalah mereka yang sudah saya kenali sejak di sekolah tadika, malah kawan-kawan baik saya juga adalah sahabat saya sejak di gred tiga," kata Kylie.

"Saya gembira ke sekolah kerana saya dilayan sama sahaja dengan pelajar lain malah mempunyai beberapa sahabat yang hebat," kata Kendall yang meminati artis Usher, Mario dan Chris Brown.

Full content generated by Get Full RSS.

Gabungan gaya Manhattan

Posted:

Gabungan gaya Manhattan

Gabungan gaya Manhattan


BLAUS rona merah dipadankan dengan skirt pendek berperincian merah berkilau menyerlahkan imej seksi si pemakai.


GAYA DKNY Resort 2011 bermula dengan skaf yang dipakai dengan cara moden yang mudah. Rona hitam menjadi penata utama dengan sedikit siluet merah lembayung, fauna dan kuning kadmium.

Selain warna asas berkenaan, DKNY Resort 2011 turut menampilkan warna-warna natural seperti dres skaf corak kulit haiwan yang mempunyai potongan ringkas serta disarung longgar.

Blaus trapez sutera atau berperincian pula sesuai dipakai sama ada waktu siang atau malam. Untuk menampilkan gaya lebih dramatik, jaket kulit disarung untuk mewujudkan gabungan gaya maskulin namun masih mengekalkan ciri-ciri kelembutan.

Koleksi dres pula tampil dengan pilihan warna sejuk biru dengan gabungan putih atau perang. Ia memberikan sedikit suntikan unsur alam dan rona panas merah yang mengiringi hayunan langkah yakin si gadis.


GABUNGAN dres pendek paras lutut dengan jaket berkait labuh sesuai bagi mereka yang inginkan gaya feminin.


Bagi mereka yang inginkan gaya feminin, gabungan jaket berkait labuh atau satin dan pilihan kardigan ringkas melengkapkan gaya berkenaan. Pada masa yang sama, elemen kasual diserlahkan apabila menyarung dres pendek paras lutut rona kelabu dan hitam.

Dres pendek yang seksi juga tersedia dalam beberapa pilihan sama ada tanpa lengan, beropol atau berkedut. Pilihan tersebut tampil dalam pilihan sama ada polos, berperincian atau bercirikan blok warna.

Selain dres, pilihan tank atau tee tampil dengan perincian ringkas sama ada ropol berkedut atau pelet ringkas.

Gaya kali ini yang banyak menampilkan busana longgar dalam dua saiz dapat disesuaikan dengan jaket dan tali pinggang bersesuaian.

Donna Karan telah memilih gaya resort untuk melatari pentas fesyen peragaan berbanding gaya formal yang sering ditampilkannya sebelum ini. Namun, pemilihan rona putih, hitam, navi dan perak menjadi pilihan utama dalam koleksi berkenaan.


BUSANA jubah dan skaf DKNY kali ini sesuai buat hadiah Krismas kerana ia mampu menyerikan penampilan serta-merta.


Baginya, musim percutian banyak didominasi acara santai pada waktu malam. Dia mahu menampilkan koleksi yang mempunyai suntikan maskulin dan feminin dalam satu rekaan atau melalui gabungan suai padan mengikut cita rasa penggemar jenama DKNY.

Hala tuju rekaannya juga dapat dilihat pada rekaan sut seluar yang lembut dan mengikut lenturan badan dan jaket yang mempunyai hud. Tidak ketinggalan jumpsuit sutera berpotongan kemas di bahagian atas tetapi longgar dan beralun dari paras pinggang ke bawah.

Sebagaimana bandar raya New York itu sendiri, koleksi kali ini tampil berseni dan bold. Ia sarat dengan tekstur yang membekalkan 'tenaga' di dalam almari pakaian sekali gus meraikan mood dan momen si pemakainya dengan penuh gaya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pentas pereka Asia

Posted:

Pentas pereka Asia

Pentas pereka Asia


TUJUH pereka dari lima buah negara Asia terlibat dalam acara tersebut.


SEBAGAI titik permulaan membentuk Macau sebagai hab fesyen dunia, City Of Dreams milik Melco Crown Entertainment Limited (NASDAQ: MPEL), telah melancarkan acara ekstravaganza fesyen Glam Slam selama tiga hari pada Oktober lalu.

Dengan penglibatan kumpulan pereka tersohor rantau Asia, acara yang pertama kali diadakan itu turut disertai pereka tersohor Malaysia, Lee Khoon Hooi.

Khoon Hooi yang pernah memenangi Anugerah Pereka Tahunan Terbaik daripada Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) pada 2005, tampil megah dengan koleksi feminin kontemporari.

Mengupas elemen bunga yang sedang mengembang menerusi rekaannya, dres labuh daripada fabrik lembut ciptaan Khoon Hooi menyerlahkan kejelitaan model terkemuka Asia, Eunice Chan yang memperagakan rekaan beliau.

Turut mencuri tumpuan ialah pereka dari Hong Kong, Barney Cheng yang mendukung tema urban nomad. Ia diilhamkan hasil pengamatan beliau terhadap peradaban masyarakat dunia menerusi pengalaman perjalanan beliau ke beberapa buah negara.

Francis Cheong dari Singapura mempersembahkan koleksi busana malam haute couture feminin dengan perincian halus manakala pereka dari Taiwan, Jasper Huang mempamerkan koleksi berani dengan pemilihan warna-warna terang dan digabungkan dengan hiasan halus yang dapat dilihat di tokong-tokong Taiwan.

Antara pereka lain yang turut terlibat ialah Qi Gang dari Tanah Besar China, Vivian Luk serta William Tang yang mewakili Hong Kong.

Ketua Pegawai Operasi Bersama NASDAQ: MPEL, Nicholas Naples menyatakan acara tersebut memberi peluang kepada para pereka Asia menyerlahkan kreativiti mereka dan berkongsi rekaan-rekaan tersebut untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.


GLAM SLAM menghimpunkan pereka-pereka terbaik Asia bagi mempromosikan Macau sebagai hab fesyen dunia sekali gus mengembangkan industri fesyen Asia ke peringkat antarabangsa.


"Ia juga sebagai medium menjadikan Macau sebagai destinasi fesyen bertaraf dunia satu hari nanti ," jelasnya.

Selain pertunjukan fesyen, Glam Slam turut memberi peluang kepada orang ramai memiliki beberapa rekaan yang dihasilkan pereka-pereka tersebut yang dijual di Pop-up Store.

Lebih menakjubkan, acara tersebut turut dihadiri lebih 450 pengkritik fesyen, golongan sosialit, selebriti dan pencinta fesyen.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved