Sabtu, 31 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Berlumba dengan bot nelayan

Posted:

Berlumba dengan bot nelayan

Berlumba dengan bot nelayan

PADA pandangan mata kasar, perairan Kuala Sepetang di Perak yang menghadap ke Selat Melaka tiada bezanya dengan kuala sungai lain yang ada di negara ini.

Panorama perkampungan nelayan berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang sangat luas ini memang cukup indah untuk dinikmati, apatah lagi apabila disimbah sinaran merah matahari di ufuk barat.

Namun, di sebalik kekayaan alam yang dimilikinya, Kuala Sepetang turut mempunyai keunikan tersendiri kerana ia sering menjadi tumpuan ikan dolfin atau ikan lumba-lumba.

Kehadiran mamalia yang boleh hidup di laut dan sungai ini secara tidak langsung menjadikan Kuala Sepetang sebagai lokasi ekopelancongan yang menarik untuk dilawati.

"Ikan dolfin memang kerap dijumpai di sini. Ia suka mengekori bot nelayan yang pulang dari laut menuju ke kuala.

"Ikan-ikan ini tidak mengganggu kami, malah kami menganggapnya sebagai rakan hingga ada yang memberi makan kepada dolfin yang menghampiri bot," ujar nelayan udang, Mohd. Adam Hassan, 40.

Beliau yang sudah 30 tahun turun ke laut memberitahu sering terserempak dengan ikan dolfin sejak berusia 10 tahun lagi.

"Dolfin memang ada di kawasan ini, terutamanya di Kuala Sepetang dan Kuala Sanggar.

Tepuk tangan


DOLFIN akan menjadi lebih tangkas jika pengunjung bertepuk tangan dan bersorak kepadanya.


"Ia biasanya datang secara berkumpulan, namun pernah juga saya jumpa hanya seekor ikan dolfin yang berani mendekati bot saya," katanya.

Gemar memakan ikan duri, mamalia yang aktif dan gemar bersosial ini sangat sukakan belahan air dan buih-buih putih yang terhasil setiap kali bot melalui kuala.

"Biasanya ikan ini akan ekori bot dari jauh. Apabila ia merasakan persekitaran tersebut selamat, baru ia menimbulkan badannya di permukaan air sedikit demi sedikit.

"Malah, kalau kita tepuk tangan dan bersorak, ia akan melompat ke atas. Kalau bernasib baik, dolfin akan senyum pada kita," katanya yang belum pernah mendengar ada dolfin yang dijumpai mati di Kuala Sepetang.

Menurut pemandu pelancong, Khairul Salleh Ahmad, 40-an, dia pernah terserempak dengan sekumpulan 10 ekor dolfin tidak lama dahulu.

"Dolfin memang sering bermain di kawasan ini, tetapi untuk berjumpa dengannya, itu bergantung kepada nasib juga.

"Ada masanya memang mudah untuk kita nampak ikan ini, tapi pernah juga pelancong pulang kehampaan kerana kelibat dolfin langsung tidak kelihatan walaupun sudah berjam-jam bot menyusuri kuala," katanya yang juga merupakan individu bertanggungjawab memperkenalkan dolfin Kuala Sepetang sebagai produk pelancongan melalui laman blognya, fireflyzone.blogspot.com.

Baru-baru ini, Jurnal berkesempatan menjejaki dolfin di Kuala Sepetang bersama bantuan Khairul dan Adam.

Bermula pada pukul 4 petang, kami menyusuri Kuala Sepetang menghilir ke Selat Melaka yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dengan menaiki bot.

Mencari kelibat dolfin di dalam hujan bukanlah perkara mudah. Setelah sejam meninjau, pencarian kami masih belum berhasil.

Adam mengesyorkan kami bergerak ke Kuala Sanggar kerana dia sering melihat dolfin di situ.

Kira-kira 25 minit mencari, kami akhirnya tersenyum melihat dari jauh sirip dan muncung dolfin di permukaan air.

Rasa ingin tahu menyebabkan kami nekad mendekati kumpulan empat ekor dolfin ini. Ketika itu hati tidak putus berdoa supaya kehadiran kami tidak menakutkan keluarga mamalia ini.

Main sorok-sorok

Dengan masa yang agak terhad, jurufoto Fauzi Baharudin bergelut untuk mengambil gambar dolfin yang tangkas melompat ke udara sebelum hilang di balik air keruh.

Seolah-olah bermain sorok-sorok, ikan dolfin ini akan tenggelam di tempat berbeza untuk menarik perhatian kami sebelum terus hilang, dipercayai untuk kembali semula ke laut.

Menyifatkan dolfin berpotensi menjadi produk ekopelancongan berjaya di Kuala Sepetang yang juga popular dengan penghasilan kayu arang dan kelip-kelip di Kampung Dew, Khairul sering mendapat reaksi positif daripada pelancong.

"Mereka sangat menghargai keindahan alam di sini dan mengharapkan ia mampu dipertahankan pada masa akan datang," katanya yang sudah mengendalikan ribuan pelancong yang datang untuk melihat dolfin di Kuala Sepetang.

Sementara itu, pakar Biologi Marin, Dr. Louisa Ponnampalam dari Institut Sains Lautan dan Bumi, Universiti Malaya berpendapat jika ingin menggalakkan dolfin sebagai tarikan, penting untuk pengendali pelancongan dan orang awam mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai ikan itu.

"Ia adalah satu keperluan kerana jika inisiatif ekopelancongan tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi penyebab dolfin yang ada itu berhijrah ke tempat lain," katanya.

Tambah Louisa, masyarakat sering menganggap ikan jenis ini mudah mesra namun realitinya ia termasuk dalam golongan haiwan pemangsa teratas dalam rantaian haiwan laut.

"Apabila ada dolfin, sudah tentu terdapat banyak hidupan lain seperti ikan dan sotong yang menjadi makanannya di situ.

"Justeru, pemuliharaan optimum ekosistem di sini sangat penting bagi memastikan mamalia ini terus ada di sini," ujarnya.

Jelasnya, cara terbaik untuk meninjau ikan dolfin ialah dengan menggunakan bot kecil yang lebih senyap enjinnya.


KUALA Sepetang terletak 18 kilometer dari bandar Taiping.


Mengulas perkara sama, Ketua Komunikasi Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS), Andrew Sebastian mengharapkan lebih banyak kajian ke atas tingkah laku dolfin dilakukan supaya orang ramai boleh dididik mengenai cara untuk berdepan dengan mamalia ini.

"Pendedahan ini perlu supaya ia tidak mendatangkan persekitaran bahaya kepada ikan dolfin.

"Ikan jenis ini adalah makhluk yang pandai bergaul namun keramahannya itu tidak boleh dijadikan kesempatan yang boleh mengundang risiko," kata Andrew.

Full content generated by Get Full RSS.

Dipisah jin tok cha

Posted:

Dipisah jin tok cha

Dipisah jin tok cha

Oleh SYALMIZI HAMID


FIDA menjerit kepanasan sewaktu dirawat oleh Shamsuri di sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan.


RUMAH tangga pasangan suami isteri, Shukri dan Fida begitu bahagia dalam tempoh 15 tahun lalu. Lebih-lebih lagi mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang comel.

Hidup mereka mungkin tidak mewah tetapi kasih sayang pasangan itu melimpah-ruah. Shukri, 43, bekerja sebagai pegawai berpangkat rendah di sektor kerajaan manakala Fida, 38, ialah seorang suri rumah.

Bagaimanapun, lima bulan lalu hubungan suami isteri ini terganggu.

Rutin harian di rumah pangsapuri mereka yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur hampir berubah seratus peratus. Jika dahulu Fida akan menguruskan anak-anak, kini tiga beradik itu terpaksa berdikari.

Sebelum ini Fida tidak pernah lupa untuk menyambut Shukri di muka pintu apabila si suami pulang daripada kerja, sekarang Shukri hanya menerima makian daripada wanita bertubuh kurus itu.

Berubah

"Dia berubah sejak lima bulan lalu. Semuanya bermula selepas isteri memberitahu saya yang dia mengalami mimpi buruk dan aneh.

"Pada awalnya saya menganggap mimpi itu perkara biasa. Tetapi lama-kelamaan sikapnya berlainan sekali. Dia berubah menjadi pemarah," terang Shukri.

Fida kerap meracau dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Shukri dan anak-anak terutamanya pada awal pagi dan senja.

Fida juga tidak boleh ditegur. Dia akan menengking dan meminta Shukri menceraikannya.

Disebabkan masalah itu, Shukri terpaksa mengambil cuti untuk menguruskan keluarganya. Dia juga tidak dapat melakukan hubungan intim bersama si isteri kerana sering berdepan halangan.

"Setiap kali didekati, isteri saya seperti tidak selesa dan dia berasa mual. Boleh dikatakan sejak dia mengalami mimpi aneh itu saya tidak lagi dapat bersama dengannya hingga sekarang.

"Apabila masuk sahaja waktu Maghrib atau awal pagi, dia akan berubah sikap. Peliknya dia akan berkeadaan biasa pada waktu lain cuma dia kelihatan sugul dan sensitif," kata Shukri.

Menyedari Fida berubah perilaku daripada seorang isteri yang mentaati suami kepada seseorang yang seakan-akan musuh, Shukri membawa Fida ke sebuah pusat rawatan Islam di Nilai, Negeri Sembilan.

Di sana Fida dirawat dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan diberi minum air zam-zam menyebabkan jin yang menguasai tubuh Fida kepanasan.

Sudahnya, semua rahsia mengenai siapa yang melakukan ilmu hitam yang dikenali sebagai sihir pemisah itu dibongkar oleh jin itu.

Dalam keadaan tidak sedar, jin yang menghuni badan Fida memberitahu nama seorang wanita yang didakwa Shukri merupakan sahabat dan jirannya.

Fida turut menjerit meluahkan apa yang diingininya iaitu agar dia ditinggalkan oleh Shukri.

"Aku benci kau. Ceraikan aku, ceraikan aku," jerit Fida sambil menuding jari telunjuk tepat ke arah suaminya.

Setelah dibacakan ayat-ayat rukyah oleh pengamal perubatan Islam di situ, Fida menggelupur kesakitan. Pada masa yang sama dia menjerit meminta tolong daripada seseorang yang dipercayai bomoh yang melakukan sihir terhadapnya.

"Tolong aku tok cha. Aku panas. Jaga kau Shukri aku akan ganggu kau sampai mati," laung Fida dalam loghat Melayu Selatan Thailand sebelum dia rebah dan pengsan.

Tok cha merupakan panggilan untuk bomoh Siam. Dalam kalangan penduduk Kelantan dan Selatan Thailand, tok cha juga merujuk kepada sami Buddha.

Seketika kemudian Fida bangkit. Dia sempat menjeling kepada tiga orang anaknya yang sedang memerhati gelagat ibu mereka dengan perasaan sayu.

"Kau bukan anak aku," jerit Fida kepada anak sulungnya yang berusia 14 tahun.

Luluh dengan kata-kata itu, ketiga-tiga kanak-kanak itu berundur sambil menangis.

Mereka memahami situasi yang dialami ibu mereka itu, tetapi jauh di sudut hati mereka terkesan dengan kata-kata wanita yang sebelum ini begitu akrab dengan mereka.

Tokong

"Memang berat kesedihan yang terpaksa ditanggung. Tetapi selagi perasaan dengki ada dalam diri, manusia tidak akan senang melihat kebahagiaan orang lain.

"Susah untuk saya mengungkapkan dengan kata-kata apa yang dirasai. Tuhan sahaja yang tahu betapa luluhnya hati saya," kata Shukri.

Walaupun niat jahat orang yang menghantar sihir pembenci kepada Fida itu hampir berjaya, Shukri pula semakin tekad untuk mempertahankan rumah tangga yang telah lama terbina. Dia sedaya upaya mengusir jin yang menguasai jiwa isterinya itu.

Seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie memberitahu, sihir berbentuk jampi oleh bomoh Siam untuk memisahkan pasangan suami isteri sering terjadi.

"Selalunya, barang-barang peribadi mangsa digunakan untuk dijampi.

"Selepas itu, tok cha akan menghantar jinnya berlegar-legar di rumah mangsa sebelum menabur serbuk besi bak atau ibu besi yang sudah dijampi di sekeliling rumah. Kebiasaannya jampi itu dibuat di dalam tokong.

"Selain menggunakan debu besi, kaedah sihir menerusi menjampi nama, pakaian dan makanan mangsa selain santau angin turut digunakan.

"Jadi berhati-hatilah jika kita menjemur pakaian dalam di luar rumah kerana ia memudahkan musuh kita melakukan sihir seperti itu," nasihat Shamsuri.

Jelas Shamsuri, antara ciri yang ditunjukkan oleh mereka yang telah terkena sihir pemisah adalah perasaan cinta bertukar benci secara tiba-tiba, menjadi begitu sensitif, sukar mengaku kesalahan diri, melihat pasangan berwajah hodoh dan membenci anak-anak.

Full content generated by Get Full RSS.

Jutawan dua beradik

Posted:

Jutawan dua beradik

Jutawan dua beradik

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


AIDA (kiri) dan Akmar bergabung dalam Millionaire Sisters, syarikat yang berasaskan pelaburan saham amanah.


RASA kagum seakan-akan menjalar dalam diri tatkala mendengar kisah dua beradik bergelar jutawan jelita ini. Bukan sahaja memiliki personaliti menarik bahkan kejayaan mereka begitu mengagumkan.

"Apa yang lebih membahagiakan, kami dapat melihat orang bawahan yang kami didik berjaya seperti kami," ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Amazing Millionaire Sisters Group, Nor Akmar Hanif, 34.

Akmar dan adiknya, Aida Nurlin Hanif, 30, merupakan jutawan pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans terkenal di negara ini.

Walaupun bermula daripada sifar, prinsip tidak mudah mengaku kalah dan bersikap positif membolehkan mereka meraih pelaburan bernilai jutaan ringgit pada usia 20-an lagi.

"Untuk maju dalam perniagaan, anda perlu tanam dalam diri bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai.

"Jika kita tahu cara berniaga yang betul dan sanggup bekerja keras, insya-Allah kejayaan akan datang kepada kita," ujar Aida.

Beliau memberitahu, wang sentiasa ada di luar sana. Apa yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk sampai kepada sumber kewangan yang betul.

Lima angka

Itulah yang dilakukan Akmar dan Aida hingga mereka berupaya mencatat jumlah pelaburan mencecah ratusan juta ringgit setahun.

"Alhamdulillah, ini rezeki yang saya tidak pernah terfikir sebelum ini. Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat di Institut Sains dan Teknologi Universiti Manchester di Britain pada tahun 1999, saya sudah bercadang untuk berniaga.

"Saya pernah bekerja dengan duduk di depan komputer dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Tetapi itu bukan cara kerja yang saya inginkan.

"Saya mahu bekerja mengikut masa dan jumlah pendapatan yang saya tentukan sendiri.

"Saya juga enggan terikat dengan peraturan yang merimaskan. Jadi selepas tiga bulan bekerja saya berhenti kerana mahu menceburi bidang perniagaan.

"Kemudian, apabila seorang rakan memperkenalkan saya dengan dunia saham amanah, hati kecil saya terdetik, inilah yang saya cari selama ini," kata Akmar, anak ketiga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Hanif Amran.

Berkat kesungguhannya, jualan unit saham amanah Akmar mencecah RM1 juta dalam masa tiga bulan sahaja.

Kemampuannya mengurus dan mengendalikan jualan pelaburan turut meletakkan dirinya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah institusi kewangan terbesar di negara ini.

Malah, beliau mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan sewaktu berumur 26 tahun.

"Pelaburan seperti ini cuma perlukan modal yang kecil tetapi mampu menjana pendapatan yang di luar imaginasi kita," kata Akmar.

Selain itu, wanita bujang ini juga berjaya membuka agensinya sendiri pada usia 25 tahun. Pada usia 28 tahun, beliau mampu melahirkan sebanyak 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).

Pencapaian terbesar Akmar ialah sebagai ketua pengurus kumpulan Master Builder iaitu anugerah yang dimenangi empat kali berturut-turut.

Anugerah lain ialah Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever dan Million Dollar Round Table.

Walaupun mempunyai latar belakang akademik yang berbeza, ia bukan halangan untuk Akmar berjaya dalam bidang saham amanah dan insurans.

"Anda tidak semestinya menjadi apa yang anda belajar. Sebaliknya, cara untuk berjaya dalam pelajaran itu perlu diadaptasikan dalam pekerjaan," katanya.

Tukar baju

Aida yang mengikut jejak Akmar berniaga semasa masih bergelar penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, cabaran untuk berjaya dalam pengajian dan perniagaan menjadikan dirinya seorang yang kuat bekerja dan berdisiplin.

"Prinsip saya ialah satu-satu pekerjaan mesti dibuat hingga sempurna dan berjaya.

"Ketika menyertai kakak dalam perniagaan ini, saya masih belajar dalam jurusan Sains Aktuari. Saya bangun pukul 5 pagi untuk siapkan tugasan dan ulang kaji pelajaran.

"Pukul 8 pagi, saya berjumpa dengan pelanggan dan pukul 10 pagi saya akan bergegas ke kelas.

"Menukar baju kuliah di tandas adalah perkara biasa ketika itu," katanya yang pada masa itu komited untuk mengutip jualan sebanyak RM20,000 sehari.

Aida turut mengakui, selain kerja keras, pengalaman hidup di sekolah berasrama penuh banyak membantunya.

"Di asrama, saya belajar untuk uruskan masa sendiri dan pada masa yang sama, kita lebih sedar tanggungjawab kita," kata bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan ini.

Kini Aida tersenyum lebar melihat hasil tuaian penat lelahnya selama ini.

"Jika anda tahu strategi berniaga, tidak mustahil anda memperoleh RM100,000 dalam masa 100 hari. Jika saya boleh buktikan, anda juga pasti boleh," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved