Sabtu, 24 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Hidangan wajib pelengkap Krismas

Posted:

Hidangan wajib pelengkap Krismas

Hidangan wajib pelengkap Krismas

SETIAP kali tiba musim perayaan Krismas, pasti terbayang sambutan makan malamnya yang meriah dengan kehadiran kaum keluarga yang berkumpul untuk meraikannya bersama-sama.

Pokok Krismas dihias indah dengan lampu dan ornamen berwarna-warni, hadiah dibungkus rapi serta juadah yang pelbagai menjadi antara elemen wajib setiap kali tibanya perayaan yang jatuh pada tarikh 25 Disember setiap tahun itu. Hidangan ayam belanda yang dipanggang sempurna juga begitu ikonik saat diletakkan di tengah-tengah meja makan.

Tradisi menyediakan makanan dalam kuantiti yang besar semasa sambutan malam Krismas mula diamalkan pada kurun ke-16.

Burung merak, angsa dan ayam belanda yang semula jadi bersaiz besar sesuai dengan amalan ini kerana bagi masyarakat Kristian, lebih besar hidangan, maka lebih meriah perayaan.

Pada masa itu, ayam belanda menjadi hidangan pilihan semasa Krismas di Eropah berbanding angsa. Begitupun ia hanya dihidangkan dalam keluarga bangsawan yang kaya. hari ini, kelazatan itu boleh dirasai oleh ramai orang

Chef selebriti, Chef Ahmad Sabri Abu Hassan memberitahu, hidangan ayam belanda begitu istimewa kerana ia jarang dihidangkan pada hari-hari biasa, sebaliknya menjadi hidangan tradisi turun-temurun semasa musim perayaan Krismas.

"Kalau dalam masyarakat Melayu kita, lemang, ketupat dan rendang menjadi juadah istimewa musim perayaan, bagi penganut Kristian pula, ayam belanda menjadi menu istimewa kerana ia juga jarang dihidangkan pada hari-hari biasa.

"Tambahan pula, ayam belanda mempunyai saiz yang besar iaitu sekitar 3.5 kilogram (kg) sehingga 6.8 kg seekor. Jadi seekor ayam belanda bakar memadai untuk dihidangkan kepada seisi keluarga pada musim perayaan," ujarnya.

Menurut Chef Sabri, penyediaan ayam belanda lebih rumit berbanding ayam biasa, kerana ayam belanda mempunyai isi yang kenyal dan kurang berlemak kerana ia dibesarkan secara organik seperti ayam kampung.


UNTUK hidangan ayam belanda panggang yang sempurna, ia mestilah diperap terlebih dahulu bersama bahan-bahan perapan sekurang-kurangnya selama tiga jam.


"Disebabkan itu, proses memasak mengambil masa yang panjang iaitu sekurang-kurangnya dua jam dan perlu diperap terlebih dahulu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum dimasak.

"Ayam biasa dipanggang atau dibakar selama 45 minit sahaja kerana isinya lebih lembut. Ayam belanda pula dibakar dengan suhu rendah iaitu 160 darjah Celsius selama 20 minit sebelum suhu diturunkan kepada 140 hingga 120 darjah Celsius selama sejam 30 minit sehingga dua jam," katanya yang pernah muncul sebagai hos rancangan Spice Routes dan Biker Chef ini.

Cara Barat

Chef Sabri memberitahu, di negara-negara Barat yang kebanyakannya menyambut Krismas ketika musim sejuk, lebihan ayam belanda yang dimasak akan disimpan berhari-hari dan dimakan bersama roti atau salad.

"Ketika musim sejuk melampau, orang jarang ke luar rumah, maka ayam belanda akan menjadi hidangan simpanan di mana lebihannya akan dibuat stew atau dipanaskan untuk dijadikan inti roti.

"Ia juga merupakan makanan yang sihat kerana rendah lemak dan kolesterol tetapi rasanya kurang manis berbanding ayam daging," katanya.

Justeru katanya, ayam Belanda sesuai dimasak manis seperti dibakar dengan campuran madu serta dihidangkan bersama sos yang manis seperti sos cumberland dan sos giblet. Sos-sos berkenaan mempunyai campuran buah-buahan seperti oren, kranberi dan strawberi.

"Selain itu, ayam belanda turut dihidangkan dengan beberapa hidangan sampingan seperti daging bakar atau panggang, stew, salad campuran, kentang panggang, pelbagai jenis roti, kentang lenyek, aneka manisan, kek dan sebagainya," terangnya.

Tambahnya, semasa ayam belanda dibakar di dalam oven, permukaannya boleh disapukan dengan madu supaya rasanya manis, malah menjadikan permukaan ayam itu berkilat dan lebih cantik.

"Di Eropah ayam belanda juga dimasak berkuah dengan campuran buah-buahan dan kekacang. Disebabkan tempoh memasak yang lama, ia juga sesuai dimasak menggunakan teknik renehan," ujarnya.

Katanya, sekiranya mahu memasak ayam belanda dengan teknik menggoreng, ayam belanda mesti dipotong nipis supaya ia masak sempurna.

"Untuk mengetahui sama ada ayam belanda masak sempurna selepas dibakar pula, terbalikkan ayam di dalam oven. Sekiranya jus yang mengalir daripada ayam jernih, maknanya ayam sudah masak," katanya.


AYAM belanda hidup secara organik menyebabkan dagingnya lebih kenyal dan kurang lemak berbanding ayam daging biasa.


Rasa berbeza

Dalam pada itu, Chef Mohamad Sharif yang merupakan eksekutif chef di Hotel Melia, Kuala Lumpur memberitahu, masakan ayam belanda di Malaysia mempunyai rasa yang berbeza.

"Di kebanyakan negara Eropah, mereka mencampurkan rum atau brandi dalam masakan, sebaliknya mereka yang tidak minum rum dan brendi akan berasa pelik dengan rasa berkenaan pada ayam belanda.

"Di Malaysia, kebanyakan hotel menyediakan masakan halal, justeru resipi tradisi ayam belanda diubah supaya dapat dinikmati oleh setiap golongan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama," katanya.

Katanya, hidangan ayam belanda bakar yang sering dihidangkan pada musim Krismas jarang habis kerana selalunya hanya bahagian dada sahaja dimakan kerana ia lebih lembut dan enak berbanding bahagian-bahagian lainl.

"Semasa bertugas di negara-negara Eropah, kami akan mengasingkan lebihan ayam belanda untuk dimasak stew.

"Ayam belanda juga disediakan secara galentine iaitu tulang-tulangnya dibuang dan isi ayam digulung bersama inti campuran buah-buahan yang manis dan roti sebelum dimasak menggunakan teknik stim dan bakar," katanya yang turut memberitahu, angsa merupakan pilihan alternatif bagi orang Perancis dan Britain.

Resipi rasa Malaysia

Menurut Chef Mohamad Sharif, di Malaysia, resipi ayam belanda bakar juga boleh dipelbagaikan mengikut cita rasa masing-masing.

"Masyarakat Malaysia kebanyakannya suka hidangan yang berempah dan sedikit pedas. Justeru tidak salah mencuba pelbagai resipi mengikut selera masing-masing," katanya.

Ayam belanda itu katanya, diperap semalaman dengan menggunakan pelbagai rempah yang boleh didapati di pasaran tempatan seperti serbuk cili, paprika, rempah cajun, herba campuran, lada hitam, lada putih, bawang merah, bawang putih dan jintan.

"Ayam belanda seberat lima kilogram cukup dimakan untuk 20 orang. Dada ayam Belanda ini dipotong nipis menggunakan garpu dan pisau daging khas untuk dinikmati bersama hidangan sampingan lain seperti sayuran dan roti," jelasnya.


CHEF Mohamad Sharif menggunakan kreativitinya sendiri dalam mengubah suai resipi ayam belanda untuk disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia.


Menu utama itu juga dimakan bersama sarak (stuffing) yang merupakan campuran roti dan buah-buahan yang dimampatkan di dalam kerajang aluminium dan distim serta bakar serentak.

Menurut Chef Mohamad Sharif, sarak yang disediakan mempunyai campuran buah mangga, prun, aprikot dan nangka.

"Resipi ini boleh diubah suai mengikut cita rasa rakyat Malaysia dengan menambah buah-buahan tempatan ke dalamnya.

"Sayuran sampingan pula direbus terlebih dahulu kemudian dioles dengan mentega untuk meningkatkan rasa dan mencantikkan permukaannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

'Raja Pop' kawal trafik Manila

Posted:

'Raja Pop' kawal trafik Manila

'Raja Pop' kawal trafik Manila


HINOJAS hanya dibayar RM9 sehari untuk tugas yang meletihkan ini.


SETIAP hari, ribuan anggota polis trafik di Manila, Filipina berusaha keras bagi memastikan jalan raya yang selalu sesak dengan kenderaan, berjalan lancar. Namun bagi seorang pegawai trafik, Ramiro Hinojas, 55, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengawal lalu lintas iaitu dengan melemparkan senyuman dan mendapat 'bantuan' daripada Michael Jackson.

Menariknya tentang pegawai trafik warga Filipina tersebut, dia sanggup tampil dalam persalinan kostum Santa Claus ketika mengawal lalu lintas di sepanjang jalan utama di Manila. Lelaki yang popular dengan gelaran 'polis trafik menari' itu tegar mengawal trafik sambil berdansa meskipun menerima cercaan segelintir pemandu dan terdedah pada pencemaran udara.

Selama tujuh hari seminggu, hujan atau panas, Hinojas tetap teguh berdiri di tengah-tengah persimpangan utama di Manila. Enggan membiarkan kesesakan jalan raya berterusan, Hinojas segera menjalankan tugas mengawal aliran trafik dengan baik sambil menari.

Gerakan kaki yang dipraktikkannya dicedok daripada gaya tarian Raja Pop, mendiang Michael Jackson. Lebih daripada itu, keletah tariannya yang bersahaja tersiar pula dalam laman sosial Youtube lalu menjadikannya selebriti kecil biarpun memperoleh gaji bulanan rendah di negara berkenaan.

Keseronokan

"Saya seronok apabila melihat orang lain gembira semasa terperangkap dalam lalu lintas. Saya benar-benar memahami waktu puncak boleh menyebabkan pemandu menjadi gila dan tertekan," jelas Hinojas sewaktu berehat seketika di persimpangan utama, Macapagal Boulevard.

Tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu, lazimnya semasa bertugas, dia menyarungkan uniform tetapi pada bulan ini, dia sengaja memilih untuk berpakaian seperti Santa Claus kerana ingin menyuntik mood musim perayaan Krismas.

Hinojas yang mempunyai 16 orang adik-beradik dan dilahirkan dalam keluarga miskin pernah membesar di kawasan setinggan di bandar raya itu.

Jelas Hinojas, dia menerima tawaran sebagai pegawai trafik pada sedekad yang lalu selepas diberhentikan perkhidmatan sebagai pengawal keselamatan.

Tambah Hinojas, rutin tarian ketika menjalankan tugas itu adalah untuk menarik perhatian pemandu supaya mengikut arahan trafik seperti yang diarahkan.

"Lantas, saya memilih tarian Michael Jackson dan cuba menyesuaikan gerak tari dalam sistem kawalan trafik saya," ujarnya.

Lembaga Kemajuan Metropolitan Manila (MMDA), agensi yang menyelia pengurusan lalu lintas di bandar mega yang memiliki 12 juta populasi itu setakat ini mengupah kira-kira 2,000 penguat kuasa sepenuh masa.

Walau bagaimanapun, jumlah berkenaan belum mampu mengawal kesesakan lalu lintas di Manila berikutan MMDA tidak menempatkan pegawai trafik, di banyak bahagian lain.

Sebaliknya, sistem trafik bandar raya itu dikawal oleh kumpulan sukarelawan. Hinojas sendiri merupakan salah seorang pegawai trafik yang datang daripada kumpulan sukarelawan dan dia yang paling menonjol.

Kadangkala, biarpun pegawai trafik lengkap berpakaian uniform berwarna biru atau hijau, namun segelintir pemandu di simpang kecil atau besar langsung tidak menghiraukan arahan yang diberikan. Ini termasuklah melanggar lampu isyarat tanpa rasa bersalah.

Menurut jurucakap, MMDA Alu Dorotan, selain terdedah pada pencemaran teruk, pegawai trafik turut berhadapan dengan risiko kemarahan pengguna jalan raya yang tidak berpuas hati apabila menerima saman kesalahan trafik gara-gara melanggar undang-undang jalan raya.

Pegawai ditembak


POPULASI yang padat membuatkan situasi trafik di Manila sangat sibuk dan sesak setiap hari manakala bilangan pegawai trafik tidak mencukupi.


Berdasarkan laporan MMDA, setakat ini saja sekurang-kurangnya dua orang pegawai trafik mengalami kecederaan kerana ditembak oleh pesalah trafik sejak bulan September lalu.

Walau apapun penerimaannya, inisiatif Hinojas sememangnya amat dihargai para pemandu apabila ramai membunyikan hon sebagai tanda terima kasih. Selain itu, ada juga pemandu yang sanggup singgah ke pusat beli-belah berhampiran untuk membeli makanan buat Hinojas. Ada juga yang bermurah hati menyumbangkan wang tunai.

Sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban belanja Hinojas yang cuma dibayar AS$3 (RM9) sehari.

"Dia sangat bagus ketika menjalankan tugas dan sanggup menari buat kami yang terperangkap dalam lalu lintas. Kami sentiasa mematuhi arahan lalu lintasnya," kata Reynaldo Nieto, pemandu bas yang sentiasa melintasi persimpangan yang sibuk beberapa kali sehari dan turut mengakui bahawa dia merupakan peminat Hinojas.

Walau bagaimanapun, Hinojas juga tidak terkecuali berhadapan dengan pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan mencabar tugas serta kuasa polis trafik.

Tutur Hinojas, salah satu peristiwa yang masih segar dalam ingatannya adalah apabila seorang remaja memberinya satu pek makan tengah hari tetapi di dalamnya hanya terdapat tulang ayam.

"Kadang-kadang saya jatuh sakit akibat terlalu lama berdiri di bawah cahaya matahari dan basah kerana hujan. Namun, saya selalu memberitahu keluarga saya bahawa dengan inisiatif kecil ini saya dapat meningkat kesedaran kepada warga tempatan supaya mematuhi undang-undang negara," jelas Hinojas. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved