Khamis, 8 Disember 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perebutan kuasa raja dadah

Posted:

Perebutan kuasa raja dadah

Perebutan kuasa raja dadah

TANGAN sekumpulan mangsa bunuh masih berikat dan jasad mereka dilonggokkan di dalam dua buah van dan sebuah trak. Di tepi sebatang jalan dekat mercu tanda terkenal bandar raya Mexico, Milennium Arches di Guadalajara, mayat-mayat dalam kenderaan itu telah ditinggalkan.

Menurut pakar analisis jenayah, kejadian itu menandakan perang besar-besaran antara dua kartel dadah terbesar negara berkenaan iaitu Kartel Sinaloa dan Kartel Zetas. Perebutan kuasa mereka telah mengorbankan seramai 26 mangsa pada akhir bulan lalu.

Kebanyakan mangsa dalam kenderaan tersebut telah mati akibat kekurangan oksigen, walaupun laporan menunjukkan bahawa sebahagian daripada mereka maut ditembak.

Mangsa-mangsa yang dikenal pasti berumur lingkungan 25 hingga 35 tahun itu mempunyai tulisan Milenio Zetas atau Milenium di dada mereka. Itu adalah simbol pembunuhan oleh kumpulan kartel dadah Los Zetas dan kumpulan bersekutunya, Kartel Milenio.

Menurut laporan, sebuah banting turut ditemui di dalam kenderaan berkenaan. Ia mengandungi tandatangan oleh ahli Kartel Zetas. Kartel dadah Mexico kini cenderung meninggalkan mesej berbaur ugutan di atas tubuh mangsa sebagai satu cara menakut-nakutkan seterunya.

Modus operandi pembunuhan yang dipercayai dilakukan sebelum subuh itu hampir sama dengan kes pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan sebelumnya.

Pada September lalu, sebanyak 35 mayat disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan kartel dadah, dibuang di tepi jalan raya di Veracrus.

Kesemua mayat itu ditemui bertimbun di dalam dua lori yang ditinggalkan di bawah jambatan lebuh raya di Boca del Rio, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar.

Mangsa di Veracrus itu kononnya ialah konco-konco Los Zetas manakala pembunuhnya dikaitkan dengan Kartel Sinaloa. Kedua-dua kartel dadah berkenaan sering bersaing untuk meluaskan kuasa dan wilayah mereka di Mexico.


SEKUMPULAN suspek Caballeros Templarios. sebuah kartel dadah baharu di negeri Michoacan yang mempunyai hubungan dengan Kartel Gulf dipamerkan kepada media di Morelia, November lalu.


Profesor di National Autonomous University yang mengkaji isu keselamatan, Raul Benitez, memberitahu, pembunuhan di Guadalajara mungkin disebabkan pembalasan dendam selepas pembunuhan di Veracruz.

Datuk Bandar Guadalajara, Jorge Aristoteles Sandoval pula memberitahu bahawa kebiadaban itu menunjukkan peperangan antara kartel dadah dan jenayah di Mexico kini semakin mengganas dan di luar kawalan.

Keganasan kartel dadah Mexico telah menjadi ketakutan penduduk negara berkenaan sejak berdekad-dekad lamanya. Laporan menyatakan seramai 28,000 orang telah mati ketika kerajaan sekarang berusaha memerangi kartel dadah.

Laporan lain dan media pula menyatakan lebih daripada 40,000 kematian sejak tahun 2006 adalah berpunca daripada keganasan dadah.

Kartel merujuk kepada kumpulan atau gabungan syarikat mahupun negara yang secara kolektif melakukan sesuatu (lazimnya di luar batas undang-undang) untuk mengawal harga pasaran melalui kawalan pengeluaran dan pemasaran.

Di Mexico, kartel yang menyokong industri dadah mempunyai pengaruh yang besar dan menggerunkan dalam masyarakat. Kewujudannya mampu mengawal harga pasaran dadah antarabangsa, ekonomi bawah tanah, jaringan kongsi gelap dan ketenteraman sosial.

Pembunuhan wartawan

Mereka yang membuat laporan jenayah rangkaian sosial September lalu juga disasar sebagai mangsa.

Kematian wartawan Maria Elizabeth Macias, 39, berlaku dua minggu selepas mayat separuh bogel seorang lelaki dan seorang wanita ditemui tergantung di jambatan di sempadan bandar Timur Laut Nuevo Laredo. Mayat mereka ditemui bersama mesej yang mengugut orang ramai agar tidak melaporkan keganasan dadah di Internet.

"Kira-kira sepuluh orang wartawan daripada pelbagai media telah dibunuh tahun ini di Mexico," jelas satu kenyataan.

Kumpulan kebebasan media menyelar pembunuhan Macias, yang mana mayatnya ditemui bersama satu mesej yang memetik laporan yang ditulisnya untuk satu laman web antijenayah iaitu Nuevo Laredo en Vivo.

Mesej berkenaan ditandatangani dengan 'ZZZZ', dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan dadah Los Zetas. Dua mayat sebelum itu yang ditemui pada 13 September turut mempunyai mesej yang ditandatangani dengan 'Z'.

Mike O'Connor, wakil ahli jawatan kuasa perlindungan wartawan (CPJ) di New York berkata, masih tidak jelas sama ada pembunuhan Macias berhubung terus dengan laporannya di Internet.

"Tidak ada lagi penulisan yang boleh dipercayai di Tamaulipas sejak kebelakangan ini. Wartawan memberitahu, sekiranya mereka menulis kebenaran, mereka akan dibunuh," katanya.


MAYAT tanpa kepala moderator sebuah laman web yang mengutuk keganasan kartel dadah.


Selain itu, artikel mengejutkan di muka depan sebuah akhbar negara itu September lalu, yang memberi gambaran menyerah kalah kepada sindiket dadah, mencetuskan perdebatan hangat dari Istana Presiden hingga ke pekan-pekan kecil di seluruh Mexico.

"Apa yang kamu mahu daripada kami?" demikian persoalan yang ditimbulkan oleh akhbar El Diario de Juarez kepada kartel-kartel dadah yang saling berperang untuk menguasai bandar sempadan ke seberang dari El Paso, Texas, yang mengorbankan hampir 5,000 orang termasuk dua wartawan El Diario dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

"Sekarang ini kamu adalah pihak berkuasa di bandar ini. Beritahu kami apa yang kamu mahu daripada kami sebagai sebuah akhbar?" Demikian sebahagian lagi petikan artikel tersebut.

Pengarah El Diario, Pedro Torres berkata, mesej itu tidak disampaikan secara langsung kepada kumpulan pengedar dadah tetapi merupakan pesanan terbuka.

Cadangan gila

Ogos tahun lalu, perdebatan hebat tercetus di Mexico dan mendapat tentangan Washington apabila bekas presiden Mexico memberi cadangan agar membenarkan dadah di sisi undang-undang sebagai kaedah untuk memecahkan kuasa ekonomi kartel dadah.

Satu perkara yang paling dipersetujui pakar ialah idea itu tidak mungkin akan berjaya tanpa langkah mengawal jualan dadah di Amerika Syarikat (AS), yang merupakan pengguna utama dadah dari Mexico.

Cadangan Vincente Fox yang ditulis di blognya menyebut: "Kita patut mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran, pengedaran dan jualan dadah."

Ia dianggap sokongan paling menyeluruh terhadap isu membenarkan dadah di sisi undang-undang di Mexico .

Fox merupakan ahli konservatif, Parti Tindakan Kebangsaan, bersama-sama Presiden sekarang, Felipe Calderon. Minggu lalu, beliau telah memulakan perdebatan berhubung membenarkan dadah di sisi undang-undang, walaupun dia sendiri menentang idea tersebut.

Cadangan berkenaan dibangkitkan oleh ahli politik konservatif ekoran kekecewaan mereka terhadap cara kerajaan menggunakan tentera dan kekerasan untuk memerangi kartel dadah.


SEORANG pekerja sedang menguruskan sebuah trak pikap yang mengandungi 16 mayat terbakar di Culiacan, kawasan yang diduduki ketua kartel dadah paling berkuasa, Joaquin 'Shorty' Guzman.


Jabatan Negara AS semalam berkata, ia terserah kepada Mexico untuk memutuskan mengenai perkara itu. Namun. AS berpendirian bahawa mereka tidak percaya membenarkan dadah di sisi undang-undang adalah penyelesaiannya.

Pandangan sama turut diutarakan oleh kumpulan antijenayah Mexico, Majlis Rakyat Untuk Keselamatan Awam.

"Cadangan itu satu kesilapan kerana ia memperlihatkan kurangnya kefahaman mengenai masalah di Mexico. Punca utamanya ialah kekuatan senjata tidak lagi terletak ditangan kerajaan semata-mata," kata kumpulan tersebut.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved