Sabtu, 17 Disember 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pelakon sinetron termahal

Posted:

Pelakon sinetron termahal

Pelakon sinetron termahal

USIA pelakon Nikita Willy ketika ini baru sahaja menjangkau 17 tahun, tetapi kehidupannya sebagai seorang gadis remaja boleh dikatakan agak berbeza dengan rakan-rakan seusianya yang lain.

Jika kehidupan gadis-gadis yang sebaya dengannya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik, ternyata pelakon berkenaan lebih banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. Bagaimanapun, pengorbanan tersebut tidak sia-sia apabila kini Nikita sering menjadi rebutan penerbit. Sehingga kini, dia sudah membintangi lebih daripada 20 buah sinetron.

Malah, ada sinetron lakonannya yang turut disiarkan di kaca televisyen di Malaysia seperti Safa Dan Marwah dan Putri Yang Ditukar turut diminati oleh penonton di negara ini. Selain dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup popular di negaranya, Nikita juga dikatakan sebagai artis sinetron yang menerima bayaran termahal sehingga mengalahkan pelakon yang lebih senior seperti Luna Maya.

Mengulas mengenai perkara tersebut, pelakon yang dilahirkan pada 29 Jun 1994 itu menganggap ia satu pencapaian yang tertinggi buat dirinya sepanjang bergelar pelakon selama sembilan tahun.

"Sudah tentu saya melihat ia sebagai satu pengorbanan yang cukup berbaloi. Lagipun saya sudah berkecimpung dalam bidang lakonan sejak usia lapan tahun dan bidang ini sudah menjadi sebahagian dalam diri saya. Namun, segala pencapaian yang diperoleh itu langsung tidak pernah membuat saya menjadi leka. Kalau saya mahu terus maju sudah tentu saya perlu terus fokus berusaha dengan lebih keras lagi," ujarnyaketika ditemu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Nikita, biarpun dirinya dikenali sebagai pelakon remaja yang popular di negaranya ketika ini, dia turut gembira apabila melihat lebih ramai gadis seusianya yang muncul sebagai pelakon.


WALAU sibuk sebagai artis, Nikita masih mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dia mahu menjadi seorang doktor.


Jelasnya, dia tidak merasakan kehadiran pelakon-pelakon baharu sebagai pesaing yang mampu membuatkan namanya semakin tenggelam. Sebaliknya, dia menganggap mereka adalah seperti sebuah keluarga.

"Sebenarnya saya lebih senang melihatlebih ramai pelakon baharu yang muncul sekarang. Sekurang-kurangnya ia menunjukkan dunia sinetron semakin berkembang dan akan memeriahkan lagi industri hiburan di Indonesia," ujarnya.

Kini selain bergelar seorang pelakon, anak kepada pasangan Henry Willy dan Yora Febrine itu melangkah setapak lagi apabila mula berjinak-jinak pula dengan bidang nyanyian.

Menurutnya, percubaannya untuk menjadi penyanyi bermula sejak setahun yang lalu apabila dicadangkan oleh seorang pengarah sinetron dan kini dia sudah menghasilkan empat buah single seperti Kutetap Menanti, Lebih Dari Itu, Tafakur dan Pantas Untukku.

"Rasanya tidak salah kalau saya mahu mencuba sesuatu bidang yang baharu. Biarpun saya sudah mula menyanyi, tetapi lakonan masih lagi menjadi keutamaan dan ketika ini saya masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang penyanyi.

"Kalau ada masa terluang saya akan turut menghadiri kelas vokal bagi memantapkan lagi cara nyanyian saya. Buat masa ini, saya lebih sesuai untuk membawakan lagu yang berentak balada," jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini dia masih lagi belum mempunyai sebarang album dan lebih banyak menghasilkan single. Mengikut perancangan, album sulungnya masih lagi dalam proses dan dijangka akan menemui peminat pada awal tahun hadapan.

Putus cinta

Seperti kebanyakan pelakon-pelakon lain, Nikita juga tidak terlepas daripada dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa orang jejaka yang turut menjadi tumpuan peminatnya.

Malah, dia dikatakan telah menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang pelakon iaitu Bara Tampubolon sehingga gambarnya bersama jejaka tersebut ketika menghadiri sebuah parti tersebar di Internet.

Ditanya tentang status dirinya ketika ini, pelakon berkenaan tidak mahu mengulas lebih panjang dan menyatakan dirinya kini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mana-mana lelaki.

"Saya mengaku yang sebelum ini Bara dan saya adalah merupakan pasangan kekasih dan kami bercinta selama lapan bulan. Namun, hubungan kami sudah pun berakhir kira-kira dua minggu yang lalu. Sejujurnya saya tidak mahu komen kerana agak sedih dengan perpisahan ini. Cuma apa yang boleh saya katakan antara punca utama kami tidak lagi bersama kerana tiada lagi persefahaman dan perbezaan agama," jelas anak sulung dari dua orang beradik itu.


NIKITA menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan pemain bola sepak Indonesia, Diego Michiels.


Namun begitu, Nikita turut menolak dakwaan yang mengatakan hubungannya dengan Bara putus disebabkan dia menjalinkan hubungan cinta dengan pemain bola sepak terkenal Indonesia iaitu Diego Michiels.

Tegasnya, dia langsung tidak mengenali pemain bola sepak tersebut yang beraksi semasa Sukan SEA yang lalu, walaupun gambar mereka berdua dikatakan telah tersebar di internet.

"Mustahil untuk saya dan Diego bercinta kerana kami berdua langsung tidak saling mengenali. Tentang gambar yang tersebar itu, ada peminat yang meminta untuk kami bergambar berdua ketika bertemu secara kebetulan di sebuah tempat dan saya tidak sangka ia akan beredar di Internet," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon itu turut mengakui sangat meminati sukan bola sepak dan turut menjadi salah seorang penyokong yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dalam menentukan pingat emas Sukan SEA yang membabitkan perlawanan antara Indonesia menentang Malaysia.

Jadi doktor

Walaupun Nikita menjadikan lakonan sebagai bidang kerjaya utama dan namanya memuncak ketika masih lagi bersekolah, tetapi dia masih lagi mampu meneruskan persekolahannya seperti biasa.

Ujarnya, kesibukan sebagai seorang pelakon tidak boleh dijadikan alasan untuk dia melupakan pelajaran. Dia hanya akan menjalani penggambaran selepas tamat sesi persekolahan dan pada hujung minggu.


NIKITA yang kini sibuk mempromosikan kerjayanya sebagai penyanyi tetap memilih dunia lakonan di tangga pertama.


"Pelajaran masih lagi tetap menjadi keutamaan dan tidak sukar untuk saya membahagikan masa antara berlakon dan belajar. Saya beruntung kerana ibu sendiri yang bertanggungjawab untuk menguruskan diri saya termasuk jadual lakonan.

"Lagipun dalam tempoh seminggu saya cuma hadir ke sekolah selama tiga hari sahaja iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Kini saya baharu sahaja tamat sekolah menengah dan dapat menumpukan sepenuhnya dalam lakonan," ujarnya.

Pada masa yang sama, pelakon yang menggondol dua anugerah pada acara Panasonic Gobel Awards 2011 menerusi kategori Aktres Paling Diminati dan Sinetron Pilihan itu tidak pernah melupakan cita-citanya ketika kecil dahulu.

"Sebenarnya sudah lama saya menanam impian untuk menjadi seorang doktor. Malah, saya sudah merancang untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Indonesia dalam bidang kedoktoran tidak lama lagi," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Drama buat pencinta robot

Posted:

Drama buat pencinta robot

Drama buat pencinta robot

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


KAKI ROBOT mula bersiaran pada hari ini di saluran TV1.


SEBELUM ini kita sering mendengar istilah kaki wayang atau kaki bangku. Sebaliknya, kita jarang mendengar istilah kaki robot. Malah, tidak ramai yang menjangkakan robot boleh dijadikan bahan cerita dan seterusnya diterjemahkan sebagai sebuah drama untuk tontonan kanak-kanak.

Sementelah itu, satu drama kanak-kanak telah dihasil dan diterbitkan oleh syarikat produksi Hezz Comm Sdn. Bhd. Drama berjudul Kaki Robot itu menceritakan semangat dan keseronokan dunia kanak-kanak di luar bandar yang penuh imaginatif untuk mereka cipta robot dan gajet sebagai alat hiburan mereka.

Menurut penerbit yang juga pengarah urusannya, Hezle Helan, pengalamannya ketika berada di India melahirkan idea untuk menghasilkan sebuah drama kanak-kanak berunsurkan robot dan gajet.

"Saya kagum melihat minat kanak-kanak di sana yang begitu minat tentang robotik walaupun kehidupan sosioekonomi mereka di tahap miskin.

"Bertitik tolak daripada situ, tercetus satu idea mengapa kita tidak melahirkan sebuah drama untuk kanak-kanak dengan menjadikan robot sebagai plot dalam drama yang berjudul Kaki Robot," katanya ketika sidang akhbar drama Kaki Robot yang berlangsung di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

Bercerita tentang cabaran menghasilkan drama itu, kata Hezle, dia terpaksa berdepan dengan masalah kompleksiti seperti fabrikasi robot, animatronik, kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan runut bunyi.

Masalah modal juga sedikit sebanyak telah menghambat penjadualan penggambaran disebabkan kos produksi drama fiksyen itu menjangkaui kos produksi yang biasa.Katanya lagi, Kaki Robot disiarkan mulai hari ini (Sabtu) pukul 10.30 pagi di TV1.

"Antara pelakon kanak-kanak yang terlibat dalam drama bersiri Kaki Robot ialah Nur Hakim, Syafiedzul, Dharma Seelan dan Hazirah Qasdina. Turut membintangi drama ini ialah Aziz M. Osman dan Osman Kering, Azhan Rahi, Afzan (Pilih Kasih) serta Adrea Abdullah," ujarnya.

Kaki Robot mengisahkan tentang seorang budak bernama Zaki terpaksa pulang ke kampung bersama-sama bapanya yang bekerja sebagai pengurus sebuah ladang getah.

Zaki yang gemar mencipta robot pada mulanya takut untuk berkenalan dengan kawan-kawan di kampung itu.

Bagaimanapun, dengan robot kecil ciptaannya, dia berjaya menarik minat kawan-kawan yang lain untuk mendekati dan bergaul dengannya.

Bermula dari situ, mereka menjadi akrab dan menggunakan robot-robot ciptaan mereka untuk menubuhkan sebuah kelab robot dan seterusnya menyelesaikan masalah yang terjadi di kampung itu. Mereka juga menyertai pertandingan perlawanan robotik antara sekolah.

Full content generated by Get Full RSS.

Kepelbagaian tarian Showdown 2012

Posted:

Kepelbagaian tarian Showdown 2012

Kepelbagaian tarian Showdown 2012

Oleh HARYATI KARIM


SHOWDOWN 2012 sudah memulakan pencarian bakat baharu dalam bidang tarian untuk program realiti ini.


PROGRAM realiti popular Showdown yang memenangi pelbagai anugerah seperti Program TV Popular di Shout! Awards 2010, Program Realiti Terbaik di Anugerah Skrin 2010 dan 2011 serta Anugerah Sri Angkasa 2010 kembali lagi untuk musim yang ketiga.

Program pencarian krew tarian terbaik negara dalam Showdown 2012 bakal lebih meriah daripada sebelumnya. Tahun ini pihak 8TV membikin eksperimen dengan melakukan uji bakat secara talian menerusi video yang dihantar bermula 1 November sehingga 21 November 2011 lepas.

Cubaan pertama itu membuahkan hasil apabila 30 krew tarian telah menghantar kiriman video tarian mereka dan hanya empat krew tarian yang layak ke peringkat seterusnya dengan mudah.

Menurut juri tetap program ini Joe Flizzow dan Maple Loo, kelebihan krew tarian yang dipilih secara talian adalah mereka terus layak ke peringkat Battle.

"Walaupun begitu, mereka masih perlu melalui peringkat The Meltdown untuk menempatkan diri mereka dalam 12 krew terpilih untuk siaran secara langsung Showdown 2012," ujar Maple Loo.

Tambah Joe, Showdown musim ketiga mempunyai standard yang lebih tinggi berbanding dua musim sebelum ini.

"Kami mencari krew tarian yang lebih baik daripada Wakaka Crew (musim pertama) dan Elecoldxhot (musim kedua).

"Bagi peserta musim ketiga, agak sukar untuk mereka kerana dua juara sebelum ini telah meletakkan standard yang cukup tinggi dan mereka harus lebih baik daripada peserta sebelum ini," ujar Joe.

Maple menjelaskan, meskipun program ini pada mulanya lebih terarah untuk mencungkil bakat krew tarian jalanan, namun kini ia lebih terbuka dan mencari krew tarian terbaik dalam apa sahaja jenis tarian.

"Contoh yang paling jelas adalah Giler Battle Crew yang bermula hanya dengan tarian Break Dance berubah menjadi krew tarian yang mampu membuat pelbagai jenis tarian.

"Jadi, untuk peserta musim ketiga, mereka perlu lebih kreatif, tarian harus lebih harus sempurna, bijak menarik perhatian penonton dan harus diingat imej juga sangat penting," kata Malple.

Peserta empat teratas daripada musim sebelum ini tidak dibenarkan bertanding kecuali jika mereka menubuhkan krew tarian baharu dengan hanya dua ahli asal.


JOE FLIZZOW dan Maple Lee kekal di kerusi juri.


Bagi mereka yang tidak berjaya atau tidak sempat untuk menghantar video uji bakat secara talian, mereka boleh menjalani uji bakat secara terbuka yang dijalankan pada 18 Disember 2011 depan di Aras Bawah, KL Live Center, Kuala Lumpur bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang.

Seterusnya sesi Battle akan berlangsung pada 19 Disember di lokasi yang sama dan pendaftaran bermula pada pukul 9 pagi.

Program ini terbuka kepada semua peringkat usia. Bagi peserta yang di bawah umur disyaratkan untuk meminta pengesahan daripada ibu bapa masing-masing terlebih dahulu.

Showdown 2012 menemui penonton bermula 4 April depan di 8TV bakal menyaksikan 12 krew bertanding dan disingkirkan setiap minggu menerusi pusingan penentuan yang dipanggil dance off.

Empat kumpulan terakhir yang berjaya ke peringkat final akan mempersembahkan tarian dengan stail kump-ing, lock-ing dan break dance sebelum dijulang sebagai juara.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved