Khamis, 8 Disember 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Energi luar biasa 2PM

Posted:

Energi luar biasa 2PM

Energi luar biasa 2PM

HANYA dengan tiga buah album studio iaitu The First Album 1:59PM (2009), Hands Up (2011) dan sebuah album versi Jepun berjudul Republic Of 2PM (2011) nama band asal Korea Selatan, 2PM kini berada di puncak.

Nama enam anak muda, Junho, Taecyeon, Wooyoung, Nichkhun, Junsu dan Chansung yang menjadi pelengkap band 2PM dengan pantas meraih populariti yang luar biasa.

Bermula dengan lagu hits mereka Again & Again, kemaraan band 2PM tidak dapat disekat apabila mereka terus muncul dengan lagu-lagu segar dan sentiasa berada di puncak carta muzik di Korea Selatan seperti Heartbeat, I'll Be Back dan terbaru Hands Up.

Meluaskan lagi empayar 2PM, selepas tiga tahun bersatu sebagai sebuah band bermula tahun 2008, 2PM akhirnya menjejakkan kaki mereka buat pertama kalinya di bumi Malaysia.

Kunjungan mereka ke Malaysia demi bertemu peminat menerusi konsert jelajah Asia pertama mereka yang dinamakan 2PM Hands Up Asia Tour yang berlangsung pada 25 November lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Malaysia menjadi destinasi terakhir dalam senarai konsert jelajah Asia 2PM selepas Taiwan, Indonesia dan Singapura, manakala konsert di dua destinasi konsert iaitu Filipina dan China ditangguhkan buat sementara waktu.

Bersua mata dengan enam anak muda 2PM pada majlis sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sehari sebelum konsert mereka berlangsung, mereka mengakui, Malaysia menjadi salah satu destinasi idaman mereka sejak bergelar artis.

"Ini merupakan kunjungan pertama kami ke Malaysia, sudah pasti kami semua sangat gembira berada di sini kerana Malaysia antara negara yang ingin kami lawati selepas melahirkan album.

"Memang agak letih kerana jadual kami yang padat tetapi apabila tiba sahaja di lapangan terbang, kami disambut oleh ramai peminat. Sokongan yang diberikan peminat membuatkan kami bertenaga," ujar Nichkhun sambil tersenyum.

Pada majlis sidang media itu, Taecyeon dan Nichkhun lebih banyak bertutur berbanding anggota 2PM yang lain kerana mereka fasih berbahasa Inggeris.

Nichkhun yang berasal dari Thailand menyambung: "Ini kunjungan pertama saya bersama 2PM, tetapi sebelum ini saya sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia.

"Saya orang Thailand, negara saya dan Malaysia berjiran. Budaya dan cuaca antara Thailand dan Malaysia hampir sama, jadi mungkin kerana itu saya amat selesa berada di sini. Satu penghormatan buat saya kerana dapat mengadakan persembahan di sini."

Terlanjur bercakap mengenai Thailand, Nichkhun juga melahirkan kebimbangannya terhadap banjir besar yang berlaku di negaranya terutama terhadap keluarganya dan juga peminat 2PM.

"Saya akui risau dengan keadaan di Thailand tetapi saya dimaklumkan keadaannya kini bertambah baik. Sebelum ini kami menerima sokongan daripada peminat di Thailand, jadi sekarang tiba giliran kami pula memberikan sokongan kepada mereka.

"Bantuan kewangan dan juga bot keselamatan yang kami berikan terhadap mangsa banjir di sana mungkin tidak sebesar mana tetapi bantuan itu sangat besar maknanya kepada mereka yang memerlukan.

"Saya dan pihak 2PM mengharapkan mangsa banjir serta peminat 2PM di Thailand mengharungi dugaan tersebut dengan tabah," tutur Nichkhun sedikit emosi.

Jangka hayat

Sungguhpun pada awal kemunculan 2PM terdapat tujuh orang anggota termasuk ketua mereka Jaebeom, namun, disebabkan kontroversi Jaebeom menulis tidak sukakan Korea dalam akaun laman sosial My Space tersebar di Internet, dia akhirnya menarik diri daripada band 2PM.

Tidak lagi mahu bercakap mengenai perkara itu, setiap anggota 2PM mengakui tertekan dengan kontroversi dan pemergian ketua mereka.

"Memang kami pernah bersedih mengenainya tetapi kami berjanji antara satu sama lain, kami akan melakukan yang terbaik agar kami dapat senyum semula pada masa hadapan.

"Akhirnya usaha kami berbaloi dan kami berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong kami selama ini," kata Junho.

Bercerita lebih lanjut mengenai keserasian dan jangka hayat band 2PM, mereka memberitahu hubungan yang terjalin seperti adik-beradik menyatukan mereka meskipun terdapat masalah.

"Hubungan kami seperti adik-beradik mungkin kerana kami sudah tinggal bersama sejak zaman menjadi pelatih lagi menyebabkan kami memahami antara satu sama lain.

"Kami amat berharap agar band 2PM dapat bertahan untuk jangka hayat yang lama kerana kami semua sukakan muzik dan sayangkan peminat kami. Dapat memberi inspirasi kepada orang lain menerusi muzik kami, merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga," jawab Chansung.

Sedia takluk Jepun

Selepas menamatkan konsert jelajah Asia mereka di Malaysia, mereka terus terbang ke Jepun untuk aktiviti promosi dan meluaskan lagi sayap seni mereka di sana.

Nampaknya, peminat di Jepun menyambut baik kehadiran band 2PM di sana dan sebagai bukti album mereka laris.

Bagaimanapun, Junho merasakan masih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari oleh 2PM sebelum mereka benar-benar berjaya.


ENAM anak muda yang dikenali sebagai 2PM ini kini menjadi kegilaan ramai.


"Saya tidak rasa 2PM sudah berjaya di Jepun. Sebenarnya, ini hanya permulaan buat kami untuk memasuki pasaran Jepun. Jika ada yang mengatakan kami berjaya, saya terimanya dengan hati yang terbuka dan berharap kejayaan yang sama berlaku di Malaysia," tegas Junho.

Anggota 2PM juga memiliki bakat lain seperti pengacaraan, berlakon dan juga mencipta lagu. Selepas Taecyeon dan Wooyoung popular menerusi drama bersiri Dream High di Korea, Chansung pula akan terlibat dalam produksi drama Jepun pertamanya dalam drama berjudul Phantom Thief Royal.

Memegang watak sebagai pencuri bernama Jack, kata Chansung pula, satu penghormatan buatnya dapat berlakon bersama aktor dan aktres Jepun yang lain seperti Matsuzaka Tori, Omasa Aya dan Fukushi Seiji.

"Pertuturan bahasa Jepun saya masih banyak perlu diperbaiki. Oleh itu, saya meletakkan usaha sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik. Saya harap peminat akan melihat saya sebagai pelakon bukannya seorang penyanyi dalam drama ini," luah Chansung.

Selain Chansung, Taecyeon juga terlibat dalam sebuah produksi drama Jepun berjudul Boku to Star no 99 Nichi bersama aktres ternama Korea Kim Tae Hee dan aktor Jepun, Nishijima Hidetoshi.

Sesi tayang badan

Konsert Jelajah Asia 2PM Hands Up berlangsung dengan cukup meriah pada 25 November lalu apabila kira-kira seramai 5,000 orang penonton memenuhi stadium.

Rata-rata peminat yang hadir terdiri daripada gadis remaja. Tidak perlu persembahan pembukaan daripada mana-mana penyanyi tempatan, cukup hanya dengan video muzik yang dipaparkan di skrin gergasi di kiri dan kanan stadium, peminat sudah cukup teruja.

Tepat pada pukul 8.30 malam. 2PM muncul di atas pentas dan yang kedengaran hanyalah jeritan peminat mereka yang tidak sabar untuk menyaksikan penyanyi pujaan beraksi.

Menyanyikan sebanyak 25 lagu malam itu, energi 2PM memang cukup hebat. Memulakan persembahan dengan lagu rancak Hot, Electricity dan Hands Up konsert 2PM wajar dipuji.

Selain tiket laris dengan populariti 2PM, konsert itu juga diserikan dengan permainan lampu-lampu laser yang mengubah wajah pentas dengan kadar segera sesuai dengan mood lagu yang didendangkan.

Meskipun menyanyi dalam bahasa Korea, itu tidak menghalang peminat daripada menyanyi bersama-sama mereka seperti lagu balada yang berjudul I Can't.

Penganjur juga bijak dengan meletakkan lirik lagu untuk lagu-lagu hit mereka supaya peminat yang tidak menghafal lagu boleh menyanyi bersama.

Sesekali kedengaran Taecyeon dan Nichkhun menyapa peminat dengan berkata apa khabar dan mengucapkan terima kasih kepada peminat.

Persembahan juga dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti lagu My Valentine dipersembahkan oleh Nichkhun dan Taecyeon, lagu Besides You dinyanyikan oleh Junho dan Wooyoung.

Elemen drama turut diselitkan dalam konsert ini apabila Chansung melakonkan aksi ala-ala samurai di atas pentas yang ingin membalas dendam kerana kematian kekasih.

Bermula dengan lakonan di atas skrin dibawa ke atas pentas dengan latar muzik lagu Revenger. Ternyata persembahan Chansung menjadi kerana hakikat sebenarnya dia seorang artis seni mempertahankan diri yang terlatih.

Suasana paling gamat apabila 2PM mendendangkan lagu Back To You bersama enam penari wanita yang cukup seksi.

Bahkan, peminat bagai tidak dapat dikawal apabila kesemua anggota 2PM membuka butang baju mendedahkan tubuh sasa masing-masing dalam persembahan tersebut.

Ternyata semua peminat pulang dengan senyuman puas dan kata Junho dalam bahasa Melayu sebelum mengakhiri persembahan mereka: "Kami akan balik ke sini lagi."

Lagu lain yang turut dipersembahan 2PM adalah Crazy For You, Wait & Tired, Give To Me, Dance Tonight, I'll Be Back, I Hate You, Alive, Only You, Again & Again, I'm Your Man, Heartbeat, 10 Out Of 10, Thank You dan diakhiri dengan lagu rancak Hands Up.

Full content generated by Get Full RSS.

Terbaik atau popular

Posted:

Terbaik atau popular

Terbaik atau popular

Oleh HARYATI KARIM


BARISAN karyawan lagu-lagu popular dendangan masing-masing yang bakal berentap pada final AJL 26.


SELEPAS tiga minggu 30 buah lagu berentap dalam separuh akhir Muzik Muzik ke-26, akhirnya hanya 12 buah lagu yang mara ke final Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26). Minggu lalu menyaksikan pengumuman senarai peserta yang mara ke final dan keputusannya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah dapat diramal daripada awal.

Semua lagu yang layak ke peringkat final merupakan lagu yang popular dan sering diputarkan di corong radio terdiri daripada Kisah Hati (Alyah), Awan Nano (Hafiz), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia/Monoloque), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Sungai Lui (Aizat), Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol),

Tidak ketinggalan Kalau Berpacaran (Sohaimi Mior Hassan/Ana Raffali/ Altimet), Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Karma (Faizal Tahir) dan Yuna dengan dua buah lagu ciptaannya sendiri iaitu Gadis Semasa dan Penakut.

Menurut ketua juri, Azhar Borhan, kesemua lagu yang dipilih layak bertanding ke peringkat final kerana memiliki kelebihan yang tersendiri. Lagu-lagu untuk AJL 26 juga katanya tidak banyak beza dengan beberapa tahun kebelakangan ini.

""Dua, tiga tahun kebelakangan ini sudah menjadi trend angkatan muda yang banyak masuk bertanding, bagi saya itu satu trend yang bagus. Tetapi tidak ketinggalan komposer berpengalaman seperti Datuk M. Nasir dan Audi Mok dilihat masih relevan untuk muzik hari ini," ujarnya.

Persoalan timbul bagaimana setiap lagu dinilai memandangkan kesemua lagu yang dipilih merupakan lagu popular dan adakah mungkin pihak TV3 mempunyai agenda untuk menaikkan rating program lantas memilih hanya lagu-lagu yang popular di radio termasuk lagu Cinta Muka Buku yang disifatkan terlalu ringkas.

"Secara jujurnya, kesemua lagu dinilai malam sebelum pertandingan dan kebanyakan juri termasuk saya mendengar kebanyakan lagu yang bertanding buat pertama kalinya. Jadi, kami tidak tahu sama ada lagu itu popular di radio atau tidak.

"Kami menilai daripada segi kualiti sesebuah lagu bukannya populariti. Lagu Cinta Muka Buku, saya dengar pertama kali ketika sesi penjurian, ia sebuah lagu yang ringkas dan rancak dan lagu tersebut layak bertanding," jawabnya lagi.

Penyanyi Yuna merupakan fokus utama pada malam keputusan final AJL 26 selepas kontroversi pemulangan semula trofi Anugerah Industri Muzik ke-18 untuk Anugerah Lagu Terbaik yang sebelum ini dimenangi lagu Penakut kepada lagu dendangan Anuar Zain, Sedetik Lebih kerana kesalahan pengiraan markah oleh pihak audit AIM 18.

Ternyata tuah mengiringi penyanyi dan komposer berbakat ini apabila bukan sahaja Penakut tetapi Gadis Semasa turut layak ke peringkat final AJL 26.

"Saya bersyukur, dua buah lagu saya layak ke final. Memang saya menaruh harapan tetapi saya tidak jangka langsung kedua-dua lagu saya layak ke final. Saya meletakkan sepenuh hati saya ketika separuh akhir dan gembira dengan penerimaan juri dan orang ramai terhadap muzik saya.

"Seperti yang katakan sebelum ini, Penakut merupakan lagu eksperimen dan tidak jangka orang ramai menerimanya. Apapun saya cukup gembira dengan keputusan ini dan akan melakukan yang terbaik pada final," jawabnya.

Tambah Yuna, meskipun kontroversi terpalit untuk lagu Penakut, namun dia tetap bersyukur kerana kontroversi yang melanda lagu itu, kini dia memperoleh lebih ramai peminat baru.

Kontroversi Cinta Muka Buku

Lagu Cinta Muka Buku juga menjadi perhatian disebabkan ia ringkas dan komposernya yang juga penyanyi lagu tersebut Najwa Latif yang baru berusia 16 tahun. Lagu itu diakui cukup popular, namun ramai yang mempersoalkan bagaimana lagu itu layak ke final AJL 26 mengalahkan lagu-lagu lain yang dirasakan lebih kuat auranya.


NAJWA LATIFF pertama kali masuk ke medan pertarungan final Anugerah Juara Lagu.


Najwa mengatakan dia cukup terkejut ketika lagu ciptaannya dan lirik ditulis oleh kakaknya Ika Latif diumum layak final. Sebelum itu, dia tidak terfikir langsung untuk masuk bertanding ke AJL 26.

"Saya sangat bersyukur dan terkejut. Saya sedar diri saya masih muda dan banyak yang perlu dipelajari. Walaupun ramai yang seakan-akan menentang keputusan juri untuk lagu Cinta Muka Buku saya reda dan akan cuba melakukan yang terbaik.

"Saya ada keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya saya dan saya hanya mengambil perkara yang positif mengenai keputusan ini. Saya tahu AJL sebuah pertandingan yang besar dan saya bertuah kerana dapat berada di pentas AJL dalam usia yang cukup muda," katanya yang berulang-alik antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan pentas.

Tepati ramalan

Penyanyi Jaclyn Victor yang layak ke final untuk dua buah lagu iaitu lagu Beribu Sesalan bersama Shila Amzah dan Ning Baizura serta lagu 'berhantu' Sedetik Lebih dendangan asal Anuar Zain.

"Kedua-dua buah lagu mempunyai keistimewaan dan cabaran yang tersendiri. Antara dua buah lagu saya akui saya lebih tertekan ketika mendendangkan lagu Sedetik Lebih nyanyian asal Anuar Zain. Semua orang tahu betapa bagusnya Anuar Zain dan dia memang cukup sinonim dengan lagu itu.

"Dalam fikiran saya, bolehkah orang terima dan mampukah saya bawa lagu tersebut dengan baik. Saat ditawarkan untuk menggantikan Anuar, saya rasa ia satu penghormatan kerana lagu itu memang sukar.

"Saya juga gementar ketika menyanyikan lagu itu di atas pentas kerana inilah kali pertama saya menyanyikan secara langsung lagu Sedetik Lebih dihadapan orang ramai," tutur Jaclyn.

Tidak sah jika setiap tahun kelibat penyanyi Faizal Tahir tidak muncul di AJL sejak AJL 23.

Menepati ramalan, menerusi sebuah lagu berjudul Karma, Faizal layak dengan mudah. Faizal yang sibuk menyiapkan album terbaharunya memberitahu, tahun ini dia tidak akan membikin sebarang gimik 'gila' seperti terjun ke dalam air seperti tahun lalu.

"Saya gembira kerana lagu Karma layak bertanding, bagi saya dapat masuk ke final merupakan satu bonus. Saya tidak tahu bagaimana persembahan saya nanti tetapi apa yang pasti saya tidak akan membikin sebarang gimik gila kerana saya tidak mahu anak saya menonton ayahnya melakukan sesuatu yang gila di televisyen," ujarnya.

Persaingan sengit

Sementara Aizat yang merupakan juara AJL 24, tahun ini merupakan tahun ketiganya layak ke final AJL. Layak menerusi lagu Sungai Lui ciptaannya bersama abangnya Anas, Aizat bersyukur dan berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik.

"Menang kalah itu adat pertandingan. Walaupun pernah jadi juara tetapi persaingan tetap sengit, ada lagu yang saya jangka akan ke final tetapi tidak layak. Jadi, saya tidak dapat ramalkan apa yang juri fikir dan nilai. Apa sahaja boleh terjadi dan saya akan memberi persembahan yang baik untuk peminat dan penonton," katanya.

Penyanyi veteran, Sohaimi Moir Hassan yang layak ke final menerusi lagu kolaborasinya, Kalau Berpacaran menyambut keputusan juri dengan gembira kerana sepanjang bergelar penyanyi inilah pertama kali dia melangkah kaki ke pentas AJL.


MAMPUKAH lagu Penakut Yuna menguasai kemenangan dalam AJL 26 nanti selepas kontroversi yang melandanya pada AIM 18 baru-baru ini?


"Ketika zaman saya aktif menyanyi AJL tidak wujud lagi, selepas saya tidak menyanyi lagi, baru program ini muncul. Sekarang, selepas beberapa dekad, saya merupakan penyanyi paling tua dalam AJL 26. Apa pun saya memang cukup gembira kerana terlibat dalam AJL," kata Sohaimi.

Kemaraan penyanyi Alyah menerusi lagu Kisah Hati ciptaan Manusia Putih turut menepati ramalan. Meskipun masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan penyakit apendiks yang dijalaninya tidak lama dahulu, vokal Alyah masih lagi bagus seperti sedia kala.

"Saya tidak boleh terlalu aktif menyanyi, banyak persembahan pentas saya tidak ambil buat masa ini kerana doktor menasihatkan saya untuk banyak berehat.

"Menyanyi menggunakan kekuatan daripada perut dan saya baru lepas membuat pembedahan apendiks, memang kadangkala menahan sakit ketika menyanyi. Alhamdulillah, saya dapat mara ke final dan kini saya akan fokus untuk persembahan final AJL 26," tutur Alyah.

Siapa yang akan memenangi lagu terbaik pada AJL 26 hanya akan diketahui pada malam final yang akan berlangsung pada 29 Januari tahun depan di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Full content generated by Get Full RSS.

Saingan getir Masterchef

Posted:

Saingan getir Masterchef

Saingan getir Masterchef

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


MOHAMMAD Danial Firdaus menganggap dirinya bertuah kerana masih bertahan dalam Masterchef Malaysia.


PERNAH beberapa kali tersenarai dalam peserta penyingkiran dan pernah juga diangkat peserta terbaik dan bersaing seorang diri bersama chef selebriti profesional, Mohammad Danial Firdaus Shaharuddin, 18, masih tidak percaya dirinya masih bertahan dalam program Masterchef Malaysia.

Dia tahu pengalamannya begitu cetek berbanding peserta lain namun semangat dan sikap ingin sentiasa belajar menyebabkan peserta kelahiran Gelugor, Pulau Pinang itu masih bertahan dalam pertandingan masakan realiti pertama di Malaysia itu.

"Memang saya tak sangka dapat bertahan lama dalam Masterchef Malaysia. Kadang-kadang saya fikir sukar untuk bertanding bersama-sama dengan peserta yang lebih tua daripada umur saya. Malah, memiliki pengalaman yang lebih banyak.

"Untuk itu, saya sentiasa bersemangat dan memberikan yang terbaik. Memang saya ingin menang dalam pertandingan ini. Jadi, kritikan-kritikan yang juri-juri berikan menjadi platform kepada saya untuk terus belajar dan memperbaiki masakan saya," katanya yang merupakan peserta paling muda dalam program Masterchef Malaysia.

Berkongsi pengalaman manis dan pahit sepanjang dalam program ini, luah Danial, dia pernah dikritik hebat oleh juri-juri ketika menyediakan hidangan burger. Ketika itu, dia bersama dua peserta lain terpaksa menyediakan hidangan yang enak dan menarik dalam cabaran penyingkiran.

"Bayangkan kami adalah peserta yang tersenarai dalam cabaran penyingkiran. Jadi, kami perlu bersaing untuk menyediakan hidangan enak dan menarik supaya tidak disingkirkan.

"Ketika mempersembahkan hidangan saya, juri-juri mengkritik hidangan burger saya dan mengatakan esen vanila yang saya letak tidak sesuai dimasukkan dalam hidangan itu. Memang saya rasa akan tersingkir pada masa itu tetapi alhamdulillah saya terselamat," ungkapnya yang turut menceritakan pengalaman bertanding bersama chef selebriti merupakan pengalaman manis buat dirinya.

Beza antara peserta

Mengenai perbezaan antara peserta lelaki dan perempuan dalam Masterchef Malaysia, kata Danial, peserta lelaki lebih ramai pandai memasak berbanding wanita yang ketara hanya beberapa sahaja yang menonjol.

Tidak lokek berkongsi pandangannya, Danial menganggap Wahidan Ag Supain, 42, dan Arshad Zamir Mohd Azmi, 19, merupakan peserta yang tidak menyerlah tetapi mampu memberikan saingan hebat kepadanya.

"Secara keseluruhan, walaupun Zamir dan Wahidan merupakan peserta yang tidak menyerlah tetapi prestasi mereka sentiasa meningkat dan mereka merupakan antara peserta terbaik.

"Bagi wanita pula, saya melihat Ezani Farhana Md. Monoto dan Amita Tan See Yin memberi saingan kepada saya dan juga peserta-peserta lain," ujarnya yang bercita-cita untuk sambung belajar dalam bidang masakan atau bekerja di restoran dan hotel terkemuka untuk menimba pengalaman dalam bidang masakan.

Bagi seorang lagi peserta Masterchef Malaysia, Azlina Shah Shaharuddin, 29, dia mengaku menimba pengalaman yang banyak dalam pertandingan itu.

Jika sebelum ini dia memasak dengan teknik yang salah tetapi selepas menyertai Masterchef Malaysia dia mula belajar teknik-teknik yang betul dalam masakan.

"Saya banyak belajar daripada chef-chef. Mereka tidak segan dan jemu memberi ilmu kepada kami. Baru saya tahu sebelum menyertai pertandingan ini saya banyak memasak dengan teknik yang salah. Disebabkan itu hidangan saya rasa lain," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Turut meminta padangan serupa dengan Danial mengenai peserta-peserta wanita dan lelaki yang masih bertahan, kata Azlina, setiap peserta mempunyai kelebihan dan kelemahan.

Apa yang penting, ujar Azlina, mereka sentiasa belajar antara satu sama lain dan berkongsi tip-tip masakan. Namun, dia juga tidak menidakkan saingan getir yang semakin terasa apabila seorang demi seorang peserta tersingkir dalam pertandingan itu.


HIDANGAN berasaskan buah-buahan daripada Danial.


"Jika dilihat dari segi perbezaan peserta lelaki dan wanita. Bagi saya, wanita memasak daripada hati. Kami memang enjoy memasak. Lelaki pula lebih kepada mindset dan mengikut teknik. Namun, semuanya berusaha untuk memberi yang terbaik dalam setiap cabaran," katanya jujur dan menganggap Ezani dan Felix Tan Pitt Yinn, 24, merupakan peserta Masterchef Malaysia yang paling konsisten.

Tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa, Azlina sudah mempersiapkan diri dan merancang untuk mengusahakan katering selepas sahaja Masterchef tamat.

"Rancangan masa depan saya mahu buat katering. Ia lebih kepada katering untuk jamuan-jamuan kecil," katanya lagi.

Menangis, berpelukan

Menurut salah seorang juri Masterchef Malaysia, Chef Zubir Md. Zain, 45, sejak dari awal pertandingan itu berlangsung sehingga kini, dia tidak menduga bahawa peserta-peserta yang terdiri daripada golongan profesional mampu memasak dengan baik dan menarik.

"Apa yang saya lihat, ramai peserta daripada golongan profesional sangat passionate dalam bidang masakan. Mereka ada inovasi dan kreativiti untuk menghasilkan masakan yang baik. Contoh macam Ezani dan Amita.

"Bagi peserta lelaki pula, saya tak sangka Zamir yang baru berusia 19 tahun yang kini masih belajar dalam bidang kejuruteraan mampu konsisten dan memasak dengan bagus. Brian juga seorang yang kreatif dan minat dalam masakan Perancis. Namun, dia juga mampu memasak masakan Malaysia dengan baik," katanya yang berkongsi pandangan mengenai peserta-peserta Masterchef Malaysia.

Jelas Chef Zubir, walaupun peserta-peserta Masterchef Malaysia tidak mempunyai asas yang kukuh dalam bidang masakan dan tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang masakan, mereka mampu memasak dengan baik. Walaupun tidak mencapai tahap 100 peratus baik tetapi ia menepati kriteria yang diinginkan.

Ditanya mengenai peserta-peserta yang masih berada dalam Masterchef Malaysia, kata Chef Zubir, masa ramai-ramai dahulu semangat setia kawan peserta dilihat begitu kuat.

"Jika salah seorang keluar mereka akan menangis dan saling berpelukan namun bila peserta semakin sikit semangat berkawan itu agak kurang. Masing-masing bersemangat untuk bersaing dan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan wang RM100,000 dan menerbitkan buku masakan sendiri malah gelaran juara sudah diimpikan mereka," ujarnya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved