Khamis, 17 November 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Cabaran sihat enam minggu

Posted:

Cabaran sihat enam minggu

Cabaran sihat enam minggu

Oleh NURUL IZZA ROSLY

KEVIN ZAHRI memberikan kata-kata semangat dan tip kepada para peserta.


TANYALAH kepada sesiapa sahaja yang mengalami masalah berat badan pasti mereka berkongsi impian yang sama iaitu untuk menurunkan berat badan kepada ukuran ideal.

Namun, ia bukanlah sesuatu usaha yang mudah. Untuk menurunkan satu kilogram berat sahaja memerlukan komitmen yang tinggi.

Seumpama format rancangan realiti televisyen di Amerika Syarikat yang berpengaruh di dunia, The Biggest Loser, sebuah majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (Utusan Karya), majalah iSihat mengorak langkah mengadakan satu program kesihatan yang dinamakan Cabaran Sihat 6 Minggu bersama iSihat dan Kevin Zahri yang dilancarkan 4 Oktober lalu.

Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri memberitahu, buat julung kalinya, iSihat menganjurkan program cabaran sihat sejak ia diterbitkan semula pada bulan Jun tahun lalu.

"Diharapkan program ini berupaya membantu golongan yang menghadapi masalah obesiti bagi mendapatkan berat badan ideal. Ia juga dapat memberi pendedahan kepada amalan gaya hidup sihat menerusi sesi bengkel dan juga perundingan oleh Kevin Zahri.

"Program ini direalisasikan seiring dengan peningkatan tahap kesedaran masyarakat negara ini mengenai perlunya menurunkan berat badan," kata Zurzaliza sambil memberitahu bahawa kesihatan bukan semata-mata bebas daripada penyakit malah perlu disertai amalan gaya hidup sihat.

Lebih 300 penyertaan diterima dan hanya 22 peserta sahaja yang terpilih. Pemilihan peserta berdasarkan kepada berat badan peserta dan komitmen yang sanggup mereka curahkan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

"Seramai tujuh peserta lelaki dan 15 wanita menyahut seruan ini. Penyertaan lebih ramai wanita mungkin kerana wanita lebih berani berbanding kaum lelaki.

"Kesemua peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada suri rumah hinggalah ke golongan profesional," ujarnya.

Program cabaran iSihat mengambil masa selama enam minggu dan dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula 8 Oktober.

Antara acara mingguan yang disenaraikan termasuklah senamrobik di gimnasium, aktiviti sukan air, merentas hutan, Amazing Race dan futsal.

Prestasi para peserta akan dipantau sendiri oleh Kevin Zahri dan pihak Kementerian Kesihatan yang akan memberikan bimbingan serta nasihat.

Dalam pada itu, Kevin Zahri memberitahu, pengadilan bukan dilakukan berdasarkan berapa banyak berat badan yang diturunkan tetapi berdasarkan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta.

"Program menurunkan berat badan ini untuk mereka yang bekerja seperti biasa. Ia bukan bersifat jangka pendek tetapi untuk jangka masa panjang.

"Sepanjang program ini, mereka tetap menjadi guru, ayah, ibu dan pelajar tetapi pada setiap hujung minggu, mereka perlu beriadah mengikut aktiviti yang telah disusun buat mereka," jelasnya.

Asas pemakanan


PARA peserta mengukur berat badan dan ketinggian sebelum cabaran bermula.


Tambahnya, untuk kurus tidak semestinya perlu ke gimnasium bersenam dan makan pelbagai jenis makanan tambahan untuk kuruskan badan tetapi seseorang itu perlu mengetahui asas pelan pemakanan dan kecergasan yang betul.

"Apa yang saya sarankan ialah, gunakan peluang selama enam minggu ini sebaik mungkin dengan mendapatkan ilmu sebanyak yang boleh. Jangan bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga.

"Tiada jalan pintas untuk turunkan berat badan. Ia adalah pilihan diri sendiri untuk berubah. Untuk turunkan satu kilogram, tidak susah dan tidak senang," ujarnya sambil mengalu-alukan pembaca melayari laman webnya iaitu kevinzahri.com.

Pesannya kepada peserta, hargai dan gunakanlah ilmu yang diberikan sepanjang program itu, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan serta ahli keluarga yang lain.

Dalam pada itu, seorang peserta, Ahmad Ridzuan Shah Abdul Rahman, 29, dari Setapak, Kuala Lumpur bertekad menyertai program cabaran sihat tersebut kerana mahu menjadi lebih sihat dan cergas.

Eksekutif Teknologi Maklumat itu mahu menurunkan 15 kilogram (kg) daripada beratnya kini iaitu 136kg.

"Berat badan saya semakin meningkat kerana gemar menikmati makanan segera dan suka makan apabila berada dalam keadaan sedih serta stres.

"Salah satu sebab saya nak kurus kerana mahu berkahwin tahun hadapan," kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Seorang suri rumah, Erni Zainal Abidin, 28, secara berseloroh berkata, hasratnya untuk menyertai program menurunkan berat badan kerana galakan suaminya yang meminati aktres terkenal Rozita Che Wan.

"Sebelum ini saya memang aktif bersukan, namun sejak berhenti bersukan, berat badan saya naik mendadak sehingga 15kg.

"Saya sasarkan penurunan sebanyak 5kg untuk cabaran ini dan akan meneruskan usaha walaupun selepas cabaran ini tamat," katanya.

Program tersebut mendapat penajaan daripada pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan sebagai penaja utama dan rakan-rakan penaja lain iaitu FRIM, Adidas, Figos, Celebrity Fitness, BizzyBody, Gocell dan JariSpa.

Full content generated by Get Full RSS.

Anjakan keusahawanan wanita Muslim

Posted:

Anjakan keusahawanan wanita Muslim

Anjakan keusahawanan wanita Muslim

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

NORRAESAH ketika menyampaikan ucapan beliau kepada para peserta.


ASAS yang kukuh mampu membuahkan hasil yang terbaik. Begitu juga dengan cita-cita. Bermula dengan semangat, jika ia dipimpin dengan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya, mampu mengubahnya menjadi realiti.

Salbiah Jaafar, 56 walaupun kelihatan seperti ramai wanita Melayu lain, beliau sebenarnya mempunyai semangat berniaga yang tinggi. Justeru, beliau yang sudah menjangkau usia separuh abad, tidak berkira-kira untuk menyertai dan menelaah ilmu bagi mengembangkan perniagaannya. Dia mahu menjadi seorang usahawan wanita Melayu yang berjaya.

Beliau ialah salah seorang daripada lima wanita Islam Melayu dari Malaysia yang ditemui pada Bengkel Wanita Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ketiga yang diadakan pada 2 hingga 10 Oktober yang lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Saya berkecimpung dalam perniagaan membuat rempah dan makanan segera tradisional seperti sambal goreng ikan bilis dan perencah rendang.

"Namun, selepas menyertai bengkel ini, saya sedar kekurangan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk mengembangkan lagi perniagaan," ujar Salbiah.

Antara intipati utama yang menarik perhatian Salbiah ialah kepentingan penjenamaan produk.

"Saya sudah ada cadangan jenama tetapi belum diputuskan lagi. Selain itu, saya juga dapat mengembangkan ilmu dan rangkaian perhubungan niaga apabila berpeluang mendekati ahli perniagaan wanita dari negara lain," ujar Salbiah, pemilik SMY Frozen Food.

Respons baik

Sepanjang bengkel itu, Salbiah memperkenalkan produk makanan beliau kepada peserta bengkel yang lain dan mengakui mendapat respons baik.

"Saya perlu buat penyelidikan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana rata-rata negara yang menyertai bengkel ini mempunyai kekuatan pasaran rempah tersendiri," katanya.

Bengkel tersebut disertai 32 orang wanita dari negara-negara Islam seperti Bangladesh, Yemen, Indonesia dan negara bukan Islam seperti Myanmar.

"Ia seperti sebuah percutian yang bermanfaat. Wanita-wanita dari segenap negara Islam menghadiri bengkel ini dan mereka diraikan bukan sahaja dengan budaya Malaysia malah diberikan pelbagai input untuk memulakan atau menjayakan perniagaan. Mereka juga menyertai aktiviti lawatan ke lokasi terpilih," ujar Pengerusi Rangkaian Perniagaan Wanita WIEF, Datuk Dr. Norraesah Mohamad.


WAJAH-WAJAH yang gembira dapat menimba ilmu pada penganjuran WIEF di ibu negara baru-baru ini.


Beliau menambah, bengkel kali ketiga yang diadakan itu adalah rentetan kejayaan usaha yang sama dua kali sebelum ini. Penganjurannya akan diteruskan demi mempertahan dan memperkayakan kelestarian wanita Islam dalam dunia keusahawanan.

Tambah beliau, bengkel itu akan menjadi platform kepada wanita Islam di Malaysia untuk mendedahkan diri, berjumpa dan bertukar fikiran selain membuka minda khususnya bagi golongan yang masih dikekang oleh tradisi.

Diperkembangkan

Norraesah juga membezakan kedudukan wanita Islam di Malaysia, misalnya 20 tahun yang dulu dan sekarang, yang sudah banyak berbeza dan cara imej tersebut diperkembangkan lagi pada masa-masa akan datang.

"Demi matlamat itu, kami mahu lebih banyak wanita berkecimpung dalam dunia perniagaan memandangkan mereka mewakili 80 peratus pembuat keputusan kosumerisme," ujar beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta tempatan yang memanfaatkan bengkel itu ialah, Nor Amija Miskon, 43, yang juga pengusaha masakan untuk industri komersial makanan.

Pemilik Premix Spices yang menyediakan bahan rempah yang memudahkan proses masakan dalam industri besar makanan itu berkata, banyak perkara yang dibimbing sepanjang berlangsungnya bengkel 10 hari itu.

"Saya pernah terlibat dalam perniagaan keluarga iaitu berkaitan kenderaan dan ini merupakan satu lagi percubaan," kata Amija.

Amija mengakui, dirinya berasa sangat bertuah kerana menerusi rangkaian yang dibina, beliau mendapat beberapa respons yang baik untuk memperkenal dan mengembang produknya di luar negara.

Antara pendedahan berguna yang menarik perhatian Amija adalah seperti aspek akaun, kewangan dan perancangan perniagaan.

"Hasil pembentangan yang diadakan mengikut kumpulan, perniagaan saya telah dipilih sebagai antara yang terbaik dan ia membuka banyak ruang positif.

"Saya juga dapat menyediakan pelan pemasaran untuk dua tahun akan datang melalui pembentangan dalam kumpulan," katanya merujuk kepada salah satu aktiviti yang dikendalikan dalam bengkel tersebut.

Dalam bengkel tersebut, para peserta dibawa melawat Selangor Pewter sebagai salah satu pengisian aktiviti selain lawatan ke pusat beli-belah dan Putrajaya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved