Jumaat, 18 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Asah kemahiran atas air

Posted:

Asah kemahiran atas air

Asah kemahiran atas air

PETANG hujung minggu itu, deruman enjin jentera jet ski memecah keheningan Tasik Biru di Kundang, Rawang, Selangor yang menjadi salah satu destinasi riadah dan memancing penduduk setempat.

Meskipun hujan membasahi bumi, namun cuaca itu tidak sedikitpun melunturkan semangat penggiat jet ski mengendalikan jentera kesayangan mereka.

Satu persatu jentera empat lejang mengelilingi tasik yang tersergam indah itu semata-mata ingin merasai sekelumit perasaan rembesan kelenjar adrenalin di dalam sanubari apabila jentera ditunggang dengan pantas.

Pernah satu ketika, sukan air jet ski cukup popular dalam kalangan penggiat sukan air tempatan sehingga melahirkan pelumba profesional sehingga berjaya menempa nama di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, ia bagaikan terkubur seketika sekitar tahun 2004 apabila tiada pelapis-pelapis muda digilap untuk mewarisi kemahiran dan bakat pelumba terdahulu yang mengharumkan nama negara.

Sejak itu, secara perlahan-lahan ia mula bertapak semula dalam persada arena tempatan tiga tahun lalu apabila pelbagai usaha dilakukan oleh penggemar sukan tersebut untuk mempopularkan sukan air jet ski.

Kini, setelah hampir tiga tahun berlalu, sukan air jet ski kembali mencuri tumpuan penggemar sukan air bahkan pelbagai kejohanan tempatan dan antarabangsa diadakan di negara ini untuk membangkitkan semula minat terhadap sukan mewah itu.

Salah seorang penggiat sukan air jet ski tempatan, Aina Syazwani Mohamed Saffian, 27, berkata, dia akan mengunjungi tasik berkenaan pada setiap hujung minggu untuk memahirkan diri dalam pengendalian jet ski.

"Selain memiliki jentera jet ski, faktor penting yang perlu ditekankan dalam menceburi bidang ini adalah persediaan dari segi fizikal, mental dan kemahiran.

"Tiga faktor ini amat penting apatah lagi apabila kita ingin menyertai sebarang kejohanan untuk memastikan dapat mengharungi perlumbaan dengan baik," katanya yang juga pelumba pasukan Sea Doo Malaysia Racing itu.

Pecutan


SUKAN jet ski turut digemari oleh wanita.


Graduan Universiti Teknologi Curtin, Perth, Australia itu menambah, dalam mempelajari selok-belok mengendali jentera jet ski, tiada kelas khusus yang ditawarkan kepada penggemar sukan jet ski tetapi ia lebih banyak bergantung kepada pengalaman di dalam air.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam sukan jet ski seawal usia 14 tahun banyak mempelajari teknik pengendalian dengan bertanya kepada otai ataupun pelumba profesional untuk memperbaiki tunggangan jet ski.

"Ahli keluarga juga memainkan peranan penting terutama apabila menyertai kejohanan kerana mereka akan memaklumkan kesilapan yang telah dilakukan.

"Kadangkala kita tidak perasan pecutan ataupun pengendalian yang dilakukan pada selekoh membahayakan diri sendiri ataupun pelumba lain," ujarnya.

Dia yang mula serius dalam sukan berkenaan sejak dua tahun lalu memberitahu, ahli keluarga yang akan memberi tip ataupun nasihat apabila selesai perlumbaan kelak.

Kalau dilihat memang mudah mengendalikan jentera jet ski tetapi ia memerlukan kemahiran yang tinggi agar ia dapat bergerak lancar.

Pelumba yang berada dalam ranking kedua kategori wanita tempatan itu menegaskan, aspek keselamatan menjadi keutamaan dalam sebarang kejohanan.

"Penganjur kejohanan tidak akan berkompromi apabila pelumba tidak memenuhi syarat kelengkapan keselamatan walaupun tidak memakai sarung tangan.

"Apabila tidak memenuhi syarat kelengkapan keselamatan pengarah perlumbaan akan menaikkan bendera merah dan secara automatik membatalkan penyertaan pelumba," ujarnya lagi.

Jelas Aina, semua ini dilakukan untuk memastikan pelumba tidak terdedah kepada bahaya dan mengelak mereka daripada tercedera apabila perlumbaan berlangsung.

Antara kelengkapan keselamatan wajib semasa perlumbaan termasuk topi keledar, gogal, sarung tangan, sokongan belakang dan banyak lagi.

Aina Syazwani menambah, sungguhpun pelbagai kelengkapan keselamatan dipakai pelumba tetapi mereka masih terdedah kepada kecederaan.

"Sebagai contoh, saya pernah patah tulang rusuk kiri apabila dilanggar pelumba lain semasa perlumbaan akibat dia tidak dapat melihat ketika arus ombak kuat.

"Saya juga sudah banyak kali tercampak daripada jet ski yang ditunggang semasa perlumbaan. Patah tangan, kaki dan tulang rusuk sudah menjadi asam garam pelumba jet ski," katanya.


MENERUSI latihan yang berterusan, nasihat dan tunjuk ajar dapat membantu pelapis sukan jet ski mengharungi perlumbaan.


Bagaimanapun, dia yang masih mengalami kecut perut setiap kali perlumbaan sedikit pun tidak lemah semangat untuk terus berjuang dalam sukan air jet ski.

Latihan

Seorang lagi pelumba sukan air jet ski, Bryan Chia Wai Yuen, 14, berkata, dia akan berlatih selama dua kali seminggu bagi memantapkan lagi kemahiran dan pengendalian jentera jet skinya.

"Pada kebiasaannya, saya akan menghabiskan masa selama hampir empat jam sehari untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi pelbagai pertandingan sama ada di dalam dan luar negara.

"Ia amat penting untuk memastikan persediaan rapi dapat dilakukan apatah apabila menyertai sebarang pertandingan," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong Baru, Kuala Lumpur itu.

Walaupun baru menceburi sukan air jet ski secara serius sejak setahun lalu, dia merupakan antara permata muda negara yang perlu digilap dalam menyinari pentas antarabangsa.

Anak kedua daripada tiga beradik itu telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Novice Terbuka dalam kejohanan yang dilangsungkan di Makasar, Indonesia, baru-baru ini.

Selain itu, anak muda yang mengimbangkan masa belajar dan sukan air jet ski itu turut melakar kejayaan dalam beberapa kejohanan tempatan sejak setahun lalu.

Apabila menyertai kejohanan, Bryan Chia berkata, dia akan sentiasa berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain kerana apa-apa sahaja boleh berlaku ketika berlumba.


BRYAN (tengah) dinobatkan sebagai juara bagi kategori Novice Terbuka dalam kejohanan yang berlangsung di Makasar, Indonesia.


Ujarnya, melalui latihan berterusan, nasihat dan tunjuk ajar daripada pelumba berpengalaman turut membantu dia dalam mengharungi perlumbaan.

"Bapa merupakan sumber ilham dan pencetus minat saya dalam menceburi bidang sukan air jet ski yang penuh dengan cabaran itu secara serius.

"Saya sering mengikuti bapa bermain jet ski sehingga menimbulkan minat untuk bergiat secara aktif dalam sukan air jet ski ini," ujarnya yang bakal berentap dalam pertandingan Jet Ski King's Cup 2011 di Pattaya, Thailand pada bulan Disember ini.

Sementara itu, Roslee Ahmad, 57, tidak menjadikan usia sebagai penghalang dalam terus bergiat aktif dalam sukan air jet ski.

"Saya mula menceburi sukan air jet ski ini sejak tahun 1996 dan sehingga kini masih meminatinya.

"Dalam pada itu, sekiranya mempunyai kelapangan saya akan menyertai kejohanan dalam kategori veteran ataupun ketahanan," katanya yang cukup terkenal dengan gelaran sebagai Superman dalam kalangan pelumba-pelumba tempatan.

Roslee ingin melihat lebih ramai pelapis-pelapis menceburi bidang sukan air jet ski dalam menyemarakkan kegemilangan sukan berkenaan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved