Khamis, 17 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Pencalonan lokasi cetus kontroversi

Posted:

Pencalonan lokasi cetus kontroversi

Pencalonan lokasi cetus kontroversi

PIRAMID Agung Giza sudah berusia lebih 3,800 tahun. Namun, kekukuhan struktur ciptaan manusia tertua yang masih wujud itu menjadi salah satu monumen yang paling diingati oleh setiap generasi.

Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka kenal dengan piramid yang dibina pada tahun 2540 Sebelum Masihi itu dan siap dua dekad kemudian.

Walhal, ketika Piramid Agung Giza disenaraikan, terdapat enam buah seni bina purba lain yang melakar sejarah sebagai monumen penting yang turut melakar sejarah manusia zaman purba ketika itu.

Antaranya ialah taman tergantung Babylon, Kuil Artemis di Ephesus, patung berhala Zeus di Olympia, makam Maussollos di Halicarnassus, patung raksasa Rhodes dan rumah api Iskandariah.

Orang Yunani sejak zaman purba percaya bahawa tujuh membawa maksud atau melambangkan kesempurnaan, sehinggakan kepercayaan itu diteruskan sehingga kini.

Dari situlah wujudnya pelbagai senarai keajaiban lain yang meletakkan tujuh nama-nama seni bina atau monumen, alam semula jadi sebagainya.

Baru-baru ini, sebuah organisasi, Yayasan New7wonders telah menyenaraikan sebanyak tujuh keajaiban alam sekitar dunia yang dipilih berdasarkan undian penduduk dunia.

Kawasan yang dipilih ialah Hutan Hujan Amazon di Amerika Selatan, Teluk Halong di Vietnam, Air Terjun Iguazu di Argentina dan Brazil, Pulau Jeju di Korea Selatan, Pulau Komodo di Indonesia, sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina dan Gunung Table di Afrika Selatan.

Pengasas Yayasan New7Wonders, Bernard Weber dalam laman webnya berkata: "Kami mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang telah berjaya mendapat status sementara ini dalam melengkapkan proses mengesahan dalam majlis khas yang akan diadakan awal tahun 2012 nanti.

"Keputusan akhir bakal diumumkan awal tahun 2012 ini dengan amaran kemungkinan berlakunya perubahan keputusan pemenang sementara berbanding senarai akhir," katanya.


PULAU gunung berapi, Pulau Jeju terletak kira-kira 130 kilometer dari Korea Selatan.


Keputusan akhir tersebut diperoleh selepas satu proses yang lama, bermula dari Disember 2007 hingga Julai 2009. Dalam tempoh itu, warga dunia diminta mengundi lokasi yang mereka fikir sebagai keajaiban alam sekitar.

Lebih satu juta undian diterima untuk menyenarai pendek 440 lokasi di 220 buah negara kepada 77 lokasi sahaja. Senarai itu kemudian dipendekkan kepada 28 finalis oleh satu panel pakar.

Tujuh keajaiban alam sekitar yang baru menunjukkan penyertaan beberapa nama-nama tempat pelancongan popular seperti Great Barrier Reef di Australia dan Grand Canyon di AS yang terkeluar daripada senarai akhir pertandingan tersebut.

Pulau Jeju

Walaupun menganjurkan kempen besar-besaran untuk mendapatkan undi, tempat tarikan pelancongan berkenaan tewas dengan lokasi pelancongan kurang popular seperti Pulau Jeju di Korea Selatan, sungai bawah tanah Puerto Princesa dan Pulau Komodo di Indonesia.

Gabenor Jeju Woo Geun Min berkata, penyenaraian itu telah membuka lembaran baharu dalam industri pelancongan kepulauan berkenaan.

"Keputusan ini pastinya akan menarik kehadiran ramai pelancong ke Pulau Jeju, meningkatkan pelaburan dan kesedaran mengenai produk pertanian pulau ini," katanya mengenai pulau yang terkenal dengan limau tangerin itu.

Peneraju kemenangan berkenaan ialah Yang Won-chan. Beliau merupakan setiausaha agung jawatankuasa kebangsaan Jeju untuk Yayasan New7Wonders bagi keajaiban alam semula jadi yang bertungkus-lumus menarik undian sejak setahun lalu.


BINAAN unik dan sejarah yang dipahat Colosseum di Rom Itali telah menarik jutaan pelancong ke negara itu sejak berdekad lalu.


Won-chan yang memiliki klinik ortopedik di selatan Seoul mengambil keputusan menyertai kempen Pulau Jeju pada Oktober tahun lalu selepas Gabenornya, Woo Geun Min memintanya berbuat demikian.

Won-chan juga telah menarik penyertaan individu berpengaruh dan dihormati masyarakat iaitu bekas Perdana Menteri, Chung Un-chan untuk mengetuai organisasi yang belum dilancarkan ketika itu.

Selepas Un-chan bersetuju, jawatankuasa itu ditubuhkan secara rasmi pada 13 Disember 2010.

Won-chan membenarkan jawatankuasa berkenaan menjalankan operasi di tingkat empat bangunan klinik lapan tingkat miliknya secara percuma. Beliau juga mengembara ke Jepun, China dan beberapa negara luar beberapa kali untuk menjalankan kempen berkenaan menggunakan wangnya sendiri.

Yuran

Won-chan juga cuba untuk mengajak ramai selebriti termasuk aktres kelahiran Pulau Jeju, Ko Doo-sim sebagai duta kebudayaan jawatankuasa berkenaan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Korea dan bukan Korea untuk mengundi.

"Kami tidak menerima sebarang dana daripada kerajaan negeri. Tapi saya mengeluarkan duit poket sendiri untuk menguruskan jawatankuasa ini. Sumbangan daripada penyokong kempen di seluruh negara turut membantu kewangan kempen Pulau Jeju," kata Won-chan.

Pertandingan anjuran Yayasan New7wonders itu yang meletakkan sungai bawah tanah Puerto Princesa di dalam peta pelancongan dunia telah dicemari kontroversi membabitkan jutaan dolar yang didakwa sebagai yuran penyertaan.

Maldives dan Indonesia dikatakan menarik balik penyertaan daripada pertandingan itu dan menuduh pihak penganjur memaksa mereka membayar yuran mengejutkan berjumlah AS$500,000 (RM1,574,500) berdasarkan laporan The Guardian.


PENGUNJUNG menikmati keindahan sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina.


Bagaimanapun, menerusi e-mel yang dikirim oleh jurucakap Yayasan New7wonders, Eamonn Fitzgerald berkata dakwaan itu tidak berasas.

"Kata kuncinya ialah dakwaan," katanya.

Fitzgerald turut mengemukakan kenyataannya untuk saluran berita Maldives iaitu Minivan News. Beliau memberitahu bahawa New7Wonders terperangkap di dalam politik kedua-dua negara berkenaan.

Ketika diminta memberi kenyataan balas, Setiausaha Kerajaan Tempatan dan Pedalaman Filipina, Jesse Robredo yang mengepalai kempen untuk tarikan pelancongan di Palawan berkata, tuduhan itu mengarut.

"Tidak ada dana atau wang akan dikumpulkan semata-mata untuk menyertai pertandingan ini, apatah lagi membabitkan wang jutaan dolar," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saluran berita berkenaan.

Sabtu lalu, yayasan yang berpangkalan di Zurich, Switzerland itu mengumumkan sungai bawah tanah Puerto Pricesa di Palawan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban alam sekitar berdasarkan keputusan undian sementara melalui SMS dan Internet.

Dalam pada itu, kerajaan Filipina menjangkakan status baharu itu akan membangunkan industri pelancongan negara berkenaan. Presidennya, Benigno Aquino sendiri menerajui kempen mengundi tapak pelancongan tersebut.

Sungai bawah tanah Puerto Princesa terkenal dengan ciri-ciri saintifik, biologikal dan geologikal telah diumumkan sebagai tapak bersejarah dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1999.

Ia juga dinamakan sebagai Monumen Geologikal Kebangsaan pada Disember 2003.

Dalam perkembangan lain, senarai keajaiban alam sekitar berkenaan telah menimbulkan kejutan apabila menyingkirkan beberapa tempat pelancongan popular seperti Laut Mati di Israel dan Grand Canyon di Amerika Syarikat (AS) walaupun kedua-dua tempat berkenaan berada dalam senarai 10 finalis yang diumumkan Jumaat lalu.

Dalam pada itu, American Society of Civil Engineering (ASCE) pada tahun 1994 telah menyenaraikan tujuh keajaiban dunia moden bagi menghargai pencapaian kejuruteraan awam terhebat pada abad ke-20.


ISTANA Potala yang terletak di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China digelar sebagai mutiara di bumbung dunia kerana keagungan seni binanya.


Kawasan menyelam

Mereka menyenaraikan Terowong Channel di Strait of Dover yang terletak di antara the United Kingdom (UK) dan Perancis, Menara CN di Toronto, Ontario, Canada, Empire State Building di New York, AS, Jambatan Golden Gate di California, AS, Itaipu Dam di Sungai Parana di antara Brazil dan Paraguay, projek pembinaan Delta/Zuiderzee di Netherlands dan Terusan di Isthmus, Panama.

Pada tahun 1989, sebuah organisasi CEDAM membawa panel saintis marin termasuk Dr. Eugenie Clark untuk memilih kawasan-kawasan menyelam yang dianggap paling layak untuk perlindungan.

Keputusan yang diumumkan di The National Aquarium di Washington DC oleh pelakon Lloyd Bridges menyenaraikan tujuh kawasan menyelam iaitu Palau, Belize Barrier Reef, Great Barrier Reef, Laut Dalam Vents, Pulau Galapagos, Tasik Baikal dan Laut Merah Utara.

Penulis British, Deborah Cadbury menulis mengenai tujuh keajaiban dunia industri iaitu sebuah buku yang menceritakan mengenai kejuruteraan terhebat abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Buku itu mendedahkan pembinaan SS Great Eastern, rumah api Bell Rock, Jambatan Brooklyn, sistem pembentungan London, landasan rentas benua pertama, terusan Canal dan empangan Hoover.

Full content generated by Get Full RSS.

Program SKUM pacu prestasi sekolah

Posted:

Program SKUM pacu prestasi sekolah

Program SKUM pacu prestasi sekolah

WAJAHNYA mudah mencuri pandangan sesiapa sahaja walaupun ketika seseorang mengimbas pantas antara ratusan kelibat murid-murid di Sekolah Kebangsaan Batu Bungan (SKBB), Mulu, Sarawak.

Berkulit cerah dan berhidung mancung serta sedikit jeragat di pipi yang menambah keunikan identitinya, murid tahun enam itu, Liam Belarik, 12, tidak sukar didekati. Mungkin juga dia sudah terbiasa dengan rasa ingin tahu dan pertanyaan orang tentang dirinya.

"Bapa saya dari etnik Berawan, manakala ibu saya berasal dari Ireland. Saya memang dilahirkan di sini," terang Liam yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan juga serasi dengan beberapa laras bahasa suku kaum tempatan.

Menurutnya yang gemar aktiviti memancing dan bersiar-siar bersama kawan-kawan sekolah pada masa terluang itu, ibu bapanya bertugas sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Gunung Mulu. Minat dan kerjaya yang suatu ketika dahulu menemukan cinta antara kedua-dua ibu bapanya itu kini turut terserap menjadi impian dan cita-citanya.

"Saya mahu mengikut jejak mereka menjadi pemandu pelancong atau renjer hutan. Saya suka pada alam semula jadi dan saya berbangga di sini ada banyak tarikan menarik," ujarnya ramah sambil sesekali tersenyum lantaran diusik teman-teman sekelas yang malu-malu bersuara dari sudut tangga blok sekolah itu.

Minat Liam terhadap alam sekitar dilihat selari dengan objektif program NatCom: Reaching The Grassroots yang dilancarkan oleh pihak Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) di sekolahnya pada 28 Oktober lalu.

Seiring dengan fokus UNESCO iaitu memperkayakan aspek pendidikan, saintifik dan kebudayaan, program tersebut dilaksanakan SKUM untuk mencetus semangat para pelajar dan tenaga pendidik terhadap aktiviti ilmiah berdasarkan elemen persekitaran yang ada di sekolah itu sendiri.

Penghormatan

Guru Besar SKBB, Raymond Lagang, menyifatkan kunjungan SKUM ke sekolah itu sebagai suatu penghormatan dan kesempatan yang seharusnya dimanfaatkan oleh tenaga pengajar serta para pelajarnya.


Laman web SKUM sedang dilayari murid-murid tahun dua, Jason Evans Paul (duduk) dan Beckham Jr. di bilik sumber SKBB.


"Pihak sekolah dapat berbincang dengan anggota SKUM ini khususnya dalam memberi maklum balas dan menjalin kerjasama khususnya dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Banyak yang boleh dicapai berkaitan hal-hal pelaksanaan program pendidikan demi masa depan anak-anak Mulu," ujarnya.

Raymond memberitahu, 12 orang guru yang bertugas di SKBB giat berusaha untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya demi melonjakkan pencapaian diri dan pencapaian akademik para pelajar mereka.

"Prestasi murid-murid di sini ada naik dan turunnya. Antara cabaran bagi para guru adalah untuk mengajar dan memberi pemahaman kepada mereka dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris," terangnya yang menganggap lawatan SKUM sebagai usaha segar yang memberi motivasi kepada keseluruhan warga SKBB.

Berdasarkan rekod, sekolah yang mempunyai seramai 156 orang murid dari 12 etnik berbeza itu sungguh bertuah kerana telah banyak berubah dari aspek prasarana. Kini, SKBB menjadi antara segelintir sekolah di kawasan pedalaman yang mendapat kemudahan mencukupi.

"Saya berharap kunjungan anggota SKUM ke Taman Negara Mulu menjadi sejarah kerana sekolah ini sememangnya terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO," kata Raymond.

Atasi sifat pasif

Jika persediaan dan pelaksanaan tanggungjawab memulihara warisan alam dijadikan kod amalan untuk menyambut ribuan pelancong dunia ke Taman Negara Gunung Mulu saban tahun, begitu juga halnya dengan murid-murid di SKBB.


WARGA SKBB sedang khusyuk mengikuti taklimat dan kuiz daripada pegawai jawatankuasa SKUM.


Sebelum mendedahkan murid-murid sekolah itu dengan peringkat yang lebih tinggi mengenai peranan dan manfaat SKUM, ada ruyung kelaziman yang perlu mereka pecahkan terlebih dahulu.

"Kami perlu membuat persediaan buat mereka memulakan rentak menimba ilmu. Ramai anak tempatan yang dikenal pasti bersifat pasif dan suka menyendiri. Mereka kurang mahu bercampur dengan rakan-rakan sekolah di luar waktu persekolahan kerana terjarak oleh faktor tertentu," ujar guru pemulihan khas, Ubong Jok, 36.

Menurutnya yang sudah empat tahun bertugas di SKBB, sifat takut untuk bersuara atau memberi pendapat dalam kalangan murid-murid di pedalaman menjadi cabaran buatnya dan tenaga pendidik lain.

"Seringkali mereka dianggap sebagai murid-murid yang lembab daya fikir dan ketinggalan dalam pelajaran. Sedangkan jika sifat tersebut diatasi, mereka boleh berjaya, sama seperti para pelajar lain di sekolah-sekolah bandar," ujarnya yakin.

Di dalam kelas pemulihan SKBB yang penuh dengan alat bantu mengajar, bahan bacaan, permainan interaktif dan kerja seni yang berwarna-warni, kekangan yang membelenggu prestasi sebenar murid-murid cuba dibebaskan.

"Di dalam bilik ini, mereka menyertai sesi penyesuaian diri melalui aktiviti seni kreatif, dibimbing secara khusus untuk menggalakkan interaksi dan bermain dalam suasana sihat," jelas Ubong yang meletakkan harapan agar pihak seperti SKUM membawa sinar baharu buat pengisian akademik mereka melalui tawaran program bermanfaat.

Sebelum ini, beberapa buah sekolah yang mengikuti program yang disyorkan SKUM telah menunjukkan perubahan positif. Para pelajar dan tenaga pendidik dilihat lebih terhubung di dalam dan di luar kelas, sekali gus menyemarakkan minat terhadap pelajaran.

Perubahan positif

Kesan program itu secara berperingkat dilihat daripada peningkatan gred para pelajar dalam peperiksaan.

Lebih daripada itu, pengisian program berpaksikan UNESCO seperti yang dipromosi SKUM bukan sahaja disertai para pelajar dan guru, malah mendapat perhatian serta dijayakan komuniti setempat.


GURU pemulihan khas, Ubong Jok, menunjukkan kemudahan bahan bacaan dan hasil kerja kreatif para pelajar yang mengikuti kelas bimbingannya.


Penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam program-program antarabangsa seperti itulah yang mampu memacu sesebuah sekolah biasa menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Semangat pendidikan

Kosmo! sempat meninjau suasana di SKBB sempena kunjungan istimewa tersebut. Berjalan melewati kemudahan blok bilik darjah dan koridor yang dominan material kayu di situ seharusnya membuatkan seseorang pengunjung dari bandar besar berasa rendah diri.

Rendah diri kerana biarpun di dalam kawasan sekolah yang serba sederhana itu, hakikatnya banyak bakat baharu sedang dipupuk. Di situ juga, ramai bakal belia berguna danpemimpin masa depan sedang dihasilkan. Semangat pendidikan di SKBB perlu terus dikobarkan tanpa beralah pada kekurangan.

Meskipun ada dalam kalangan murid-murid itu masih kelihatan segan dan pasif, tidak kurang juga ada kelompok yang berani menonjolkan diri. Mereka tidak teragak-agak untuk melambai tangan menyambut kedatangan rombongan SKUM, memulakan pertanyaan, memberi respons spontan dan ceria beraksi tatkala lensa kamera Kosmo! ditala ke arah mereka.

Jika reaksi positif seumpama itu menjadi ikutan keseluruhan warga SKBB, tidak mustahil sahsiah mereka mampu dikembangkan secara sihat sekali gus bersedia menjadi duta bagi menyambut kedatangan tetamu dunia ke Mulu!

Full content generated by Get Full RSS.

Pelancongan peribumi asli

Posted:

Pelancongan peribumi asli

Pelancongan peribumi asli


BEBERAPA negara seperti Britain dan Kanada sudah sekian lama memajukan pelancongan Orang Asli mereka.


BEBERAPA penari Orang Asli Kanada yang memakai topeng berwarna-warni menaiki pentas sambil mempersembahkan sebuah tarian ritual purba yang memuja beruang grizzly.

Beruang grizzly merupakan makhluk yang menakutkan bagi kebanyakan masyarakat Orang Asli di kawasan hulu sungai Amerika Utara.

Persembahan tersebut ditonton oleh 15 Orang Asli dari Taiwan yang datang ke sana untuk menimba ilmu bagi mewujudkan sumber pelancongan yang berdaya maju di tempat asal mereka kelak.

Pelancong-pelancong Taiwan itu merupakan sebahagian daripada sebuah program pertukaran unik dalam usaha mempelajari kesenian dan potensi pelancongan Orang Asli daripada penduduk pribumi Kanada.

Majlis Hal Ehwal Orang Asli Taiwan yang merupakan sebuah badan bertaraf kementerian telah menghantar beberapa orang muda negara itu ke Kanada untuk belajar tentang pelancongan. Fokusnya adalah kepada usaha yang dikendalikan oleh masyarakat peribumi Kanada selain melihat beberapa aspek perniagaan yang berpotensi untuk dibawa pulang ke Taiwan.

"Saya datang ke sini untuk belajar kerana semua perkara yang dijalankan di sini boleh juga direalisasikan di Taiwan," ujar salah seorang pelancong, Ibu daripada puak Bunnun di Taiwan.

Ibu merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan ke-13 program pertukaran pelajar yang diberi peluang menyertai aktiviti mengenal budaya.

Di Taiwan, penduduk Orang Asli mewakili 2.1 peratus daripada populasi penduduk negara itu. Jumlah itu kira-kira setengah juta daripada populasi penduduk Taiwan yang berjumlah 23 juta orang.

Asimilasi budaya moden

Penduduk peribumi Taiwan selama ini telah berusaha keras untuk menaikkan identiti budaya mereka. Seperti kebanyakan Orang Asli di beberapa bahagian lain di dunia, mereka telah dipaksa oleh budaya yang lebih dominan dan kerajaan untuk mengasimilasi, sekali gus menjadikan keunikan bahasa dan budaya mereka itu diancam kepupusan.

Namun sejak 1987, setelah pemansuhan undang-undang ketenteraan di Taiwan, telah wujud sebuah polisi yang lebih toleran terhadap masyarakat Orang Asli.

Pada tahun 1996, sebuah Kementerian Hal Ehwal Orang Asli telah ditubuhkan. Ia bertanggungjawab memulih dan memelihara budaya masyarakat Orang Asli di Taiwan.

Program pertukaran budaya yang sedang berlangsung itu telah dilancarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Orang Asli Taiwan pada tahun 1998. Terkini, kementerian itu menerima sokongan daripada Institut Ricci Taipei bagi mempromosi pertukaran budaya dan perniagaan dalam kalangan komuniti Orang Asli di Asia dan rantau Pasifik.

Semasa lawatan seminggu mereka di barat Kanada, pelajar-pelajar Taiwan itu berharap dapat menjalin hubungan yang erat dengan pelbagai suku kaum dari Vancouver.

Pada masa yang sama, mereka disambut sebagai tetamu kehormat semasa lawatan ke Jabatan Antropologi di Universiti British Columbia.


TAIWAN memiliki hampir dua juta warga peribumi asli.


Ekoran prospek ekonomi yang terhad dalam komuniti mereka, para pelawat dari Taiwan itu melihat masa depan yang cerah dan lebih luas untuk memasarkan budaya masyarakat Orang Asli kepada pelancong yang berminat.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli Kanada telah lama mengetahui bahawa pelancongan Orang Asli merupakan satu perniagaan yang besar.

Setiap tahun, berjuta-juta wang pelancong dibelanjakan oleh mereka yang berminat untuk mengetahui mengenai kehidupan sebenar komuniti peribumi dengan bermalam di dalam teepee (khemah berbentuk kon) atau menikmati keindahan alam di dalam sweatlodge (khemah ringkas).

ATBC bukti kejayaan

Persatuan Pelancongan Orang Asli Britain Columbia (ATBC) menyatakan peningkatan pelancongan Orang Asli di Kanada semakin berkembang pesat.

Pertubuhan bukan berasaskan keuntungan itu menaungi 60 buah syarikat Orang Asli yang turut menjana pendapatan tahunan sebanyak RM109 juta dan mengalu-alukan 3.8 juta pelancong.

Pertubuhan ATBC berharap untuk mengajar cara mencari potensi pelancongan Orang Asli bagi menambah pendapatan dan mempertahankan industri pelancongan Orang Asli yang kaya kebudayaannya. Usaha itu bukan sahaja dilakukan di Kanada tetapi juga disemua tempat yang mampu dijelajahi.

Kumpulan itu telah menjalankan pelbagai perkongsian maklumat, rangkaian dan usahasama pemasaran. Ia direka untuk membantu mempromosikan keusahawanan masyarakat Orang Asli sekaligus menolong menjadikan komuniti tersebut kuat dan berdaya saing.

"Dapat berhubung dengan usahawan masyarakat asli yang berjaya seperti ATBC dapat menyemai rasa bangga dalam diri pelajar kami kerana menjadi Orang Asli," kata Pensyarah Kebudayaan dan Adat Resam Masyarakat Asli di sebuah universiti di Taiwan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved