Selasa, 8 November 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ibarat mendapat 'kaki' baharu

Posted:

Ibarat mendapat 'kaki' baharu

Ibarat mendapat 'kaki' baharu

KAKI merupakan salah satu anggota badan unik yang sangat penting kepada manusia. Setiap kaki terdiri daripada 26 tulang, lebih 20 bahagian otot dan memiliki lebih daripada 100 ligamen.

Struktur kaki sangat kompleks kerana ia mampu berfungsi pada permukaan yang berbeza dan merupakan 'kenderaan' yang efisien bagi manusia. Sama seperti kereta, ia juga cenderung untuk menghadapi masalah fungsi dan mekanikal.

Pernahkah anda mengalami sakit kaki, lenguh-lenguh pada kaki, kaki berdenyut dan sakit pada bahagian pinggang apabila berjalan dalam tempoh masa yang lama tetapi tidak tahu apakah puncanya?

Jika ya, jangan ambil remeh kesakitan tersebut kerana ia mungkin berpunca daripada masalah penjajaran kaki yang telah berubah. Ia perlu diperbaiki segera sebelum terlewat.

Bukan kereta sahaja yang perlu melalui proses penjajaran apabila sudah tiba masanya. Kaki manusia juga memerlukan penjajaran yang sempurna bagi memudahkan pergerakan seharian.

Jika kereta perlu dibawa ke bengkel bagi memperbetulkan penjajarannya, penjajaran kaki pula boleh dilakukan dengan berjumpa dengan mereka yang pakar dalam bidang ortosis.

Berdenyut-denyut


DENGAN memakai AFO, Zarina yang dulunya terlantar dan jalannya tidak kemas mampu berjalan dengan baik.


Itulah yang dilakukan Norihan Ibrahim, 25, yang merupakan seorang kakitangan swasta apabila kaki kiri dan pinggangnya sering sakit-sakit akibat berjalan dalam tempoh yang lama.

Untuk meredakan kesakitan, dia akan berhenti sebentar. Namun, itu hanya membuatkan kakinya terasa sakit berdenyut-denyut. Adakalanya dia terpaksa berjalan terhincut-hincut.

Sekiranya dia banyak berjalan, Norihan akan merasakan kesakitan yang melampau pada keesokan pagi sejurus hendak mengambil langkah pertama selepas bangun daripada tidur.

"Kesakitan ini mula dialami sejak tahun 2007 ketika saya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi tanpa mengetahui puncanya.

"Setelah berjumpa dengan pakar, saya diberitahu kesakitan tersebut berpunca kerana tapak kaki saya yang rata berbanding tapak kaki normal mempunyai lengkungan," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan dan Rehabilitasi WQ Park baru-baru ini.

Menurut Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir masalah yang dialami oleh Norihan boleh diperbaiki dengan membuat ortosis tapak kaki yang dikenali sebagai pelapik kaki khas yang mengikut acuan kakinya sendiri.

"Ortosis secara asasnya merupakan alat untuk mengurangkan tekanan, mengelakkan kecacatan, memperbaiki fungsi pergerakan dan mengurangkan ketegangan otot.

"Dalam kes Norihan, acuan kakinya akan dilakukan dengan menggunakan plaster Paris bagi membuat lengkungan pada tapak kakinya yang rata," katanya.

Nor Taayah memberitahu, walaupun kaki Norihan sakit pada bahagian kiri, kedua-dua belah kakinya memerlukan pelapik kaki bagi mengelakkan kesakitan yang berpanjangan.

Proses membuat acuan kaki mengambil masa kurang dari 10 minit namun ia memerlukan masa seminggu untuk menghasilkan pelapik kaki kerana ia memerlukan proses teliti.

Segmen spina


SEBELUM ortosis dibuat, kaki pesakit akan diacu dengan menggunakan plaster Paris bagi mendapatkan bentuk yang sesuai dengan kaki pesakit.


Terdapat beberapa jenis ortosis yang diberi nama berdasarkan sendi atau segmen spina yang terlibat seperti Foot Orthosis (FO), Ankle Foot Orthosis (AFO) dan Knee Ankle Foot Orthosis (KAFO).

"Kebanyakan ortosis ditempah khas mengikut acuan kaki seseorang pengguna tetapi ada juga yang dijual siap, namun ortosis yang baik ialah ortosis yang dibuat mengikut acuan kaki seseorang pesakit.

"Bukan semua orang memerlukan ortosis. Penggunaannya bergantung kepada penilaian seseorang doktor itu terhadap pesakitnya," jelas Nor Taayah.

Tambah beliau, golongan yang memerlukan ortosis ialah pesakit saraf, artritis, artritis reumatoid, osteoartritis, patah tulang, strok dan kanak-kanak penghidap palsi serebrum.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami palsi serebrum memerlukan ortosis dari kecil untuk tangan dan kaki bagi membantu aktiviti dan mobiliti mereka seharian.

"Berapa lama ortosis tersebut perlu dipakai bergantung kepada keadaan sesuatu penyakit sama ada ia semakin baik atau tidak.

"Apa yang penting, pemakaian ortosis ini perlu dinilai, memerlukan rawatan susulan dan perlu dikaji semula setiap masa kerana ortosis boleh bertukar mengikut peringkat serta ada pesakit yang tidak lagi memerlukan bantuan ortosis," ujarnya.

Nor Taayah memberitahu, memakai ortosis jangan disamakan dengan pemakaian cermin mata kerana pemakaian ortosis perlu ada penilaian sesuai, rawatan susulan dan latihan.

"Bukan semua pengguna ortosis perlu sentiasa mendapatkan rawatan dan menjalani terapi. Mungkin sesetengah orang yang mempunyai haluks valgus (keadaan ibu jari kaki yang tersesar ke arah jari-jari lain kerana masalah bunion), mereka hanya perlu memakai ortosis yang diberikan tanpa memerlukan terapi.

"Masalah tapak kaki rata seperti Norihan pula, mungkin hanya perlu berjumpa dengan doktor sekali dalam tempoh enam bulan bagi melihat perkembangan keadaan kakinya," ujarnya sambil memberitahu pesakit strok dan penyakit neurologi memerlukan rawatan susulan serta latihan lebih kerap.

Ubah suai


JENIS-JENIS ortosis yang digunakan oleh pesakit bagi memudahkan mobiliti.


Tambah Nor Taayah, pemakaian ortosis juga perlu ada langkah pencegahan. Jika seseorang itu mula memakainya selama 30 minit dan mendapati ada kesan merah tidak hilang selepas 20 minit, maka ortosis tersebut perlu dibuka dan diubah suai.

"Awal penggunaannya perlu berperingkat bagi membolehkan pesakit menyesuaikan diri dengan ortosis mereka. Pakai selama 30 minit untuk satu atau dua hari dan lakukan tambahan 30 minit pada hari-hari seterusnya.

"Bagi yang mempunyai anak-anak menghidap palsi serebrum, ibu bapa perlu pujuk rayu dan paksa anak mereka memakai ortosis bagi mengelakkan kaki dan tangan anak mereka menjadi keras yang akhirnya menyukarkan pergerakan," tegasnya.

Ketika ditanya adakah seseorang yang mengalami sakit kaki dan sakit belakang memerlukan ortosis atau tidak, Nor Taayah memberitahu, seseorang itu perlu berjumpa dengan doktor untuk menilainya.

"Mungkin kesakitan di belakang pinggang berpunca daripada masalah kaki dan mungkin juga disebabkan oleh masalah-masalah lain.

"Jadi, seseorang itu perlu berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan kepastian. Jangan sewenang-senangnya membeli pelapik alas kaki yang dijual di kedai-kedai. Ia mungkin tidak sesuai dengan acuan kaki anda kerana ia mungkin menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," nasihatnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved