Jumaat, 11 November 2011

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Penunggang lagak ngeri terbaik dunia

Posted:

Penunggang lagak ngeri terbaik dunia

Penunggang lagak ngeri terbaik dunia

Oleh SHAWKATH AZDE

SEWAKTU berusia sembilan tahun, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti menunggang motosikal. Pada usia semuda itu, motosikal roda tiga jenis ATC digunakan sebagai jentera dirt bike. Teman sepermainan di laluan off road ketika itu ialah abang dan rakan-rakannya.

Sebaik sahaja mendapat lesen menunggang pada usia 16 tahun, Tony Carbajal beralih kepada jentera beroda dua berkuasa tinggi. Motosikal pertamanya ialah sebuah Honda CBR 900RR. Jentera itu menjadi kenderaannya untuk berulang-alik ke sekolah.

Dalam perjalanan ke sekolah setiap hari itu, salah seorang rakannya yang turut memiliki sebuah motosikal sport sering melakukan aksi wheelie. Aksi berani itu nyata menarik perhatian Tony sehinggakan dia mula mempelajari asas-asas teknik wheelie.

Pembabitan jejaka kelahiran California Selatan, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang tunggangan lagak ngeri bebas (freestyle stunt riding) semakin serius apabila memiliki sebuah Honda CBR F4i. Pelbagai jenis aksi wheelie serta burnout mula didalami dan dikuasainya.

Labur wang simpanan

Mengimbau kembali pembabitan awalnya dalam dunia tunggangan lagak ngeri, Tony, 24, mengakui bukan mudah untuk mendapat restu daripada keluarganya. Alasannya, mereka bimbang terhadap kecederaan yang mungkin dialami Tony. Namun, keraguan tersebut beransur-ansur berubah menjadi sokongan.

Semua wang simpanan Tony dilabur pada motosikal. Malah gaji yang diterima daripada beberapa pekerjaan sebelum ini dijadikan modal untuk modifikasi jentera dan membaik pulih kerosakan yang dialami selepas membuat persembahan.


AKSI wheelie sambil mengangkat kaki ke atas tangki motosikal.


"Sebelum terlibat dalam stunt riding, saya pernah melakukan beberapa jenis pekerjaan. Misalnya, menukar minyak enjin kenderaan dan kemudian sebagai mekanik untuk trak-trak diesel.

"Ramai juga yang tidak tahu bahawa saya pernah bekerja sebagai tukang cuci di beberapa buah sekolah sekitar tahun 2005. Gaji yang diterima cukup-cukup sahaja untuk membeli alat ganti dan menyelenggara motosikal," katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu acara Bikepalooza 2011 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tahun 2005 memberi pengajaran buat Tony agar menitikberatkan soal keselamatan sewaktu mempamerkan aksi stunt. Katanya, kemalangan yang dialami pada waktu itu menyebabkan dia terlantar di hospital selama beberapa bulan.

"Waktu itu, saya tidak memakai pakaian keselamatan. Motosikal pula tidak dilengkapi dengan peralatan kemudi. Seingat saya, kelajuan tunggangan masa itu ialah kira-kira 65 batu/sejam (105 kilometer/sejam) dan aksi yang ingin dilakukan ialah stoppie. Malangnya, hendal mula goyang dan saya tercampak kira-kira 27 meter ke hadapan.

"Kulit badan dan kaki saya koyak. Malah tulang selangka, bahu, tulang pergelangan tangan dan renggang bahu patah. Itu belum dicampur dengan lebam di kawasan tulang rusuk dan paru-paru saya hampir bocor. Selama dua bulan, saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk di katil hospital," ceritanya.

Biarpun ada khidmat mekanik, Tony masih mahu memeriksa semua komponen mekanikal jenteranya. Bukan soal tidak percaya, tetapi lebih baik buat sendiri. Kerosakan mekanikal ialah kebimbangan utama buat penunggang stunt ini.


TONY mengambil masa bertahun-tahun untuk menguasai pelbagai teknik wheelie dan burnout.


"Stunt riding diibaratkan seperti sky diving. Jika anda seorang penerjun profesional, sudah pasti anda tidak mahu orang lain menyiapkan beg payung terjun. Sebabnya, anda sendiri tidak tahu sama ada payung terjun itu akan berfungsi atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai kerjaya penunggang lagak ngeri gaya bebas yang dianggap memperjudikan nyawanya, dia mengaku dan menjawab:

"Sukan ini bukan untuk semua orang. Hanya segelintir sahaja akan melakukannya. Kami memandang serius terhadap pemakaian peralatan lengkap tunggangan dan soal keselamatan sewaktu menunggang.

"Ia jauh berbeza dengan penunggang gila di atas jalan raya atau lebuh raya (pelumba haram). Nyawa pengguna jalan raya lain tidak difikirkan. Sebenarnya, golongan itu lebih bahaya berbanding kami yang beraksi di litar tertutup," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Mazda3 CKD

Posted:

Mazda3 CKD

Mazda3 CKD

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


MAZDA3 masih boleh dianggap niche jika dibandingkan dengan model Civic atau Altis.


BERADA di Malaysia yang cukai kenderaannya cukup tinggi, berita mengenai harga kereta murah mesti mendapat perhatian meluas. Keghairahan orang ramai untuk ambil tahu pasti lebih memuncak sekiranya ia melibatkan jenama atau model-model kereta yang terkenal.

Ada beberapa inisiatif lazim yang diambil oleh pengeluar untuk merendahkan sedikit harga kenderaan yang mereka jual.

Selain usaha mendapatkan status 'kereta nasional' atau menjual model-model dengan spesifikasi asas, satu lagi cara paling popular (tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan) adalah dengan memasangnya di dalam negara atau lebih mudah dipanggil CKD.

Program CKD boleh dilaksanakan sekiranya beberapa faktor dapat dipenuhi. Antaranya, pengeluar mendapati sesebuah model itu mampu dijual dalam jumlah tertentu pada setiap bulan. Jika jumlahnya terlalu sedikit, pelaburan yang dibuat mungkin tidak berbaloi.

Bukan itu sahaja, program CKD juga bergantung kepada keupayaan vendor-vendor tempatan untuk menghasilkan komponen yang menepati piawaian tinggi pengeluar induk. Kalau komponen yang dihasilkan asyik rosak sahaja, jangan harap ia boleh melepasi pagar kilang pemasangan.

Lagi satu, kualiti kenderaan yang dihasilkan mestilah par dengan standard kilang di luar negara. Namun, saya berpendapat itu bukan satu masalah besar. Sebabnya, kilang-kilang kenderaan di Malaysia pun sudah bagus dan canggih. Para pekerjanya juga berkemahiran.

Jika tidak, takkan Mercedes-Benz menghasilkan model S-Class di kilangnya di Pekan, Pahang. Sementara Volvo pula memasang sebahagian besar model yang dijualnya di pasaran tempatan di kilangnya di Shah Alam.

Itu belum lagi dicampur dengan pengeluar-pengeluar lain seperti Honda, Toyota, Nissan, Isuzu, Hyundai, Kia, Peugeot, BMW, Changan dan banyak lagi yang memiliki kilang masing-masing di seluruh negara.

Meriah juga industri automotif Malaysia rupa-rupanya. Walaupun ia agak jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia berikutan polisi yang mungkin kurang menarik untuk membuatkan pengeluar terus melabur dalam kuantiti mega di negara ini.

Murah sedikit

Satu lagi kelemahannya, majoriti kenderaan CKD itu untuk pasaran tempatan dan bukannya diimport seperti yang dipraktiskan oleh Thailand dan Indonesia.

Biarpun bukan model pertama yang dipasang tempatan, Mazda pada awal tahun ini menawarkan pengguna Malaysia dengan model popularnya, Mazda3 CKD. Jentera yang hadir dalam varian hatchback dan sedan itu sememangnya dikenali dengan rekabentuk yang sporty.

Ya, harganya adalah murah sedikit berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Tetapi kualitinya tetap sama seperti apa yang dinikmati oleh pengguna di Jepun.

Baiklah, saya bukan hendak bercerita mengenai harga. Sebabnya, kalau sembang bab harga, sampai minggu depan pun tidak habis. Nanti semua orang mahukan kereta yang berkuasa, spesifikasi penuh, cantik, jimat minyak dan ada nilai jualan balik tinggi, tetapi harganya macam Myvi. Biar betul.

Sempena cuti Hari Raya Korban minggu lalu, saya memandu uji Mazda3 versi hatchback yang menjadi idaman ramai itu. Memandangkan semua orang mahu balik kampung, jadi lebuh raya Karak dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) jadi sesak. Jadi, terpaksalah saya memandu Mazda3 dalam mode perlahan sahaja.


INILAH butang kawalan gear secara manual yang dimaksudkan.


Berada di dalam kabin, Mazda3 menawarkan ambien memuaskan. Tempat duduknya yang bersalut kulit memberi keselesaan sewajarnya walaupun dihuni oleh lima orang penumpang bertubuh sederhana.

Unit itu hadir bersama aksesori tambahan. Maksudnya, ada sistem navigasi dan audio dengan skrin sentuh yang dipadankan dengan enam pembesar suara. Kualiti bunyi, bagus juga.

Berbanding dengan pesaingnya yang lebih senior seperti Civic dan Altis, Mazda3 telah menggunakan warna hitam untuk kabinnya sejak sekian lama. Selain nampak dan rasa lebih sporty, warna gelap juga membuatkan usia material dalamannya mampu bertahan lebih lama.

Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan pemandu, posisi tempat duduknya ergonomik. Semua butang boleh dicapai dengan mudah. Suis kawalan audio dan tombol pendingin hawa tersusun atas rekaan papan pemuka yang nampak mahal. Tidak berapa tinggi? Jangan risau, laraskan sahaja (secara manual) tempat duduk pemandu sehingga anda rasa selesa.

Mazda3 cukup menjaga penampilannya. Rekabentuk luarannya dikatakan tidak jauh beza dengan apa yang dilukis oleh pereka bentuk ketika ia ingin dihasilkan dahulu. Baru memasuki generasi kedua, model yang dikenali sebagai Axela di Jepun itu memiliki hala tuju rekaan cukup berbeza dengan pesaing sekelasnya.

Perkadaran (proportion) rekaan hadapan dan belakangnya seimbang. Lampu hadapan yang tirus digabungkan dengan bampar dan gril radiator lebar. Sementara bahagian belakangnya menyerlah menerusi gugusan lampu dalam perumah berwarna jernih itu.

Rasanya, Mazda antara pengeluar yang benar-benar berjaya menjadikan lampu jernih nampak kena dan kelas pada setiap model keluarannya.

Mode pemanduan laju akhirnya dapat saya nikmati sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Mengetahui reputasi Mazda, jentera itu memang tidak membuatkan anda berpeluh ketika mengambil selekoh-selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi.

Kawalan sterengnya tepat, digabung dengan sistem suspensi hadapan dan belakang yang sedaya upaya membuatkan tubuh Mazda3 melekat di atas jalan raya.

Dari aspek kuasa pula, janaan enjin bersesaran 2.0 liter itu sudah memadai. Anda tidak akan berasa sakit jiwa mendengar enjin melahu kuat, tetapi tidak memecut selaju mana seperti yang biasa kita tengok pada kereta-kereta 'racing' di atas jalan raya.

Enjin berkod MZR itu dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan Activematic. Anda boleh menukar kedudukan gear secara manual, cuma paddle shifter pada Mazda3 agak pelik.

Biasanya tuil untuk menaik atau menurunkan gear terletak pada sebelah kiri atau kanan. Tetapi, Mazda3 memerlukan pemandu menurunkan kedudukan gear dengan menekan butang pada bahagian atas sterengnya. Sementara kalau hendak menaikkan gear pula, gunakan paddle shifter di belakang stereng itu seperti biasa. Keliru juga dibuatnya.

Apa pun, Mazda3 nyata boleh menjadi alternatif berpotensi jika anda mahu memiliki sesuatu yang lain daripada produk keluaran Honda dan Toyota. Cuma, ia mungkin ada sedikit kelemahan. Mahu tahu, pandu ujilah sendiri.

Full content generated by Get Full RSS.

Mobiliti mesra alam

Posted:

Mobiliti mesra alam

Mobiliti mesra alam

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


NISSAN percaya PIVO 3 sangat hampir dengan kenderaan urban masa depan.


DUNIA automotif masa hadapan sudah boleh dilihat jejaknya pada masa sekarang. Dijangkakan bahawa kenderaan hijau atau mesra alam akan mengambil alih kenderaan konvensional yang menggunakan kuasa enjin tunggal.

Kenderaan hibrid, elektrik dan mungkin juga hidrogen akan menjalar di atas jalan raya. Harap-harapnya teknologi tersebut terus maju, seterusnya menjadi matang dan faedahnya dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Pada masa kini, kenderaan hibrid terutama elektrik masih lagi mahal, jauh dari jangkauan pasaran massa. Mungkin senario itu bakal berubah dengan kerancakan pengenalan kenderaan mesra alam oleh pengeluar.

Nissan tidak terkecuali dalam perlumbaan itu, model kenderaan elektrik mereka iaitu LEAF telah pun dijual di pasaran terpilih dunia dan memenangi banyak anugerah automotif termasuklah World Car of the Year 2011.

Nissan sangat hebat dalam bidang kereta berprestasi dengan model GT-R. Pada masa yang sama turut hebat dalam aspek kenderaan hijau, suatu senario yang dilihat seimbang.

Tidak dilupakan, Nissan juga mempunyai model 'nakal' iaitu Juke. Pada Pameran Kenderaan Tokyo ke-42 nanti, Nissan bakal memperkenalkan kereta konsep PIVO 3 yang merupakan kereta konsep kenderaan elektrik (EV) mereka yang kelapan.

Model itu bukan sekadar menjadi kenderaan yang banyak menghabiskan masanya di atas pentas pameran, malah turut menjadi bayangan kenderaan EV Nissan yang lebih realistik untuk masa hadapan.

Kesemuanya bermula pada tahun 2005 apabila PIVO 1 diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Tokyo. Dengan model terbaharu PIVO 3, ia bakal melebarkan lagi portfolio kenderaan EV Nissan.


RUANG kokpit futuristik dengan kapasiti tempat duduk 1+2.


Dibina berdasarkan model perintis PIVO 1 dan PIVO 2, model terbaharu PIVO 3 merubah suatu imaginasi kepada kenderaan yang hampir kepada realiti untuk masa hadapan.

Ciri AVP

Berbanding model PIVO 2 yang tampak sangat inovatif dan hanya terhad sebagai model konsep sahaja, PIVO 3 pula adalah evolusi yang selari dengan komuniti bestari. Ia nyata lebih tersaur (boleh dilaksana), berwibawa serta lebih berprestasi. Nissan percaya bahawa PIVO 3 sangat hampir kepada kenderaan urban masa hadapan.

Sebagai sebahagian komitmen jangka masa panjang Nissan bagi menerajui kenderaan sifar emisi massa, PIVO 3 bakal menemani Nissan LEAF dalam pendekatan yang praktikal untuk persekitaran lestari.

Nissan LEAF ialah sebuah hatch kompak. Sementara PIVO pula ialah model bandar ultra kompak yang disasarkan kepada golongan bujang serta pasangan yang mempunyai gaya hidup urban.

Satu ciri canggih PIVO 3 adalah sistem Automated Valet Parking (AVP) yang bakal merevolusikan proses memarkir kenderaan dengan menyambung dan memberi tindak balas terhadap infrastruktur.

Pemandu tidak perlu lagi bersusah payah mencari slot parkir, memarkir dengan tenaga fizikal atau pun mengingati di mana lokasi parkir. Sebabnya, PIVO 3 berupaya untuk mencari slot sendiri, asalkan slot tersebut mempunyai perkakasan yang sepadan dengan teknologi PIVO 3.

Sementara pemandu menyudahkan urusan mereka, PIVO 3 berupaya untuk mengecas kuasa elektrik dengan sendirinya atau menjual kembali kuasa lebihan melalui fasiliti grid elektrik.


REKABENTUK stereng dan paparan maklumat pemanduan yang canggih.


Paling hebat apabila PIVO 3 boleh bergerak sendiri ke lokasi pemandu dengan menggunakan telefon pintar. Fungsi AVP itu bukan sahaja dapat memberi lebih kebebasan kepada penggunanya. Bahkan ia mampu menyumbang kepada masyarakat dengan membekalkan kuasa kepada grid elektrik. Konsepnya mudah, guna apa yang perlu, pulangkan lebihan.

PIVO 3 adalah sangat kompak, berukuran tidak sampai tiga meter dengan konfigurasi tempat duduk 1+2. Badan yang kompak serta tayar nipis dengan in-wheel motors (IWM) membolehkan model itu membelok dengan pusingan yang singkat.

Jentera itu sangat lincah dan mampu untuk masuk ke slot parkir yang sukar. Ciri-ciri tersebut juga membolehkannya membuat pusingan U di atas jalan yang lebarnya empat meter, saiz minimum kebanyakan jalan raya di dunia. PIVO 3 mempunyai radius pusingan minimum yang sangat singkat iaitu hanya dua meter.

Naib Pengurus Besar Bahagian Strategi dan Perancangan Produk, Francois Bancon menerangkan: "PIVO adalah salah satu jawapan untuk golongan urban aktif yang tinggal dalam pasaran yang matang.

"Menerusi ketiga-tiga model PIVO, kami telah memperoleh pemahaman yang mendalam mengenai keperluan pengguna dalam kawasan yang besar dan metropolitan.

"Setiap satu daripada lapan konsep yang kami bangunkan memenuhi keperluan, komuniti, gaya hidup dan pasaran berbeza. Itu menjadikan kenderaan tanpa emisi satu cita-cita yang tinggi untuk kami. Di Nissan, kami percaya dunia sedang berubah dan mobiliti mempunyai peranan yang besar untuk menjadi lebih baik."

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved