Khamis, 3 November 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Mahu genggam anugerah

Posted:

Mahu genggam anugerah

Mahu genggam anugerah

ZARINA, Wan Sharmila, Aaron dan Johan bakal terbabit secara langsung dengan ASK 2011.


ESOK, pada pukul 9 malam bakal berlangsung Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Empat pelakon, Aaron Aziz, Johan Asaari, Wan Sharmila dan Zarina Zainoordin berkemungkinan besar masing-masing akan bersaing merebut gelaran pelakon terbaik menerusi drama lakonan masing-masing yang layak bertanding.

Ini kerana pada malam ASK 2011 nanti, pencalonan Top 5 untuk kesemua kategori yang dipertandingkan akan diumumkan sejurus sebelum nama setiap pemenang diumumkan.

Tidak meletakkan harapan yang tinggi tetapi jika sudah namanya adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Malah, keempat-empat mereka sebulat suara mengatakan kemenangan yang diterima andai masing-masing meraih pencalonan adalah merupakan satu bonus dan penghargaan buat mereka dalam mempertingkatkan prestasi kerja di lokasi penggambaran.

ASK 2011 menyaksikan 17 telemovie, 10 drama rantaian, tujuh drama komedi dan 29 buah filem berentap untuk diiktiraf sebagai yang terbaik.

Aaron jadi pengarah

Aaron, pelakon yang namanya semakin hari semakin meniti di bibir peminat drama tempatan impak lakonannya dalam drama popular Nora Elena dan juga filem box-office nombor satu negara ketika ini (kutipan RM12 juta), KL Gangster enggan meletakkan harapan yang tinggi terhadap ASK 2011.

Meskipun teruja kerana julung-julung kali terlibat dalam ASK 2011, anak kelahiran Singapura ini memberitahu populariti sesebuah drama mahupun filem bukan tiket untuk memenangi anugerah sebaliknya kualiti sebuah karya menjadi titik tolak kepada sesebuah kemenangan.

"Popular bukan bererti bagus dan bagus tidak semestinya popular. Walaupun drama Nora Elena cukup popular di kalangan penonton, namun ia belum tentu cukup hebat di hati juri.

"Melihat saingannya pula semuanya cerita yang hebat-hebat belaka. Kalau menang saya bersyukur, jika tidak saya anggap saya perlu berusaha lebih lagi untuk mempertingkatkan mutu lakonan saya," jelas bapa kepada dua orang anak itu lagi.

Apabila dikatakan tahun 2011 tahun cemerlang Aaron memandangkan banyak karya popular melibatkan dirinya dan wajahnya makin kerap ditayangkan menerusi drama di kaca televisyen, Aaron hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya.

"Mana ada tahun 2011 merupakan tahun milik saya. Mungkin orang lihat muka saya bersepah di mana-mana kerana drama dan filem saya ditayangkan secara berturutan tanpa henti.

"Tambahan, mungkin saya tidak lagi menjadi wajah eksklusif Astro membuatkan saya lebih bebas untuk berlakon dengan mana-mana produksi dan juga stesen televisyen," katanya yang kini dalam proses untuk berhijrah secara tetap di Malaysia.

Selepas cemerlang sebagai pelakon, nampaknya, Aaron bakal melangkah setapak ke hadapan sebagai pengarah drama pula.

Baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Kekasih Awal dan Akhir menerusi produksi miliknya sendiri Aaron Aziz Production, Aaron akui berdebar menanti reaksi penonton terhadap hasil kreatifnya.

"Drama ini saya arah sepenuhnya tetapi diterbitkan oleh isteri saya sendiri, Diyana Halik. Idea semuanya datang daripada isteri saya dan dia yakinkan saya orang yang benar-benar memahami cerita itu, jadi dia minta saya arahkan drama tersebut.

"Sebenarnya, kalau di Singapura, saya memang sudah biasa mengarah dan berlakon dalam masa yang sama, cuma di Malaysia, ini kali pertama. Saya tidak mahu janjikan apa-apa, cuma mengharapkan yang terbaik sahaja," ujarnya mengenai drama yang akan ditayangkan pada 7 November depan di TV9 yang akan menggandingkan Aaron sekali lagi bersama Siti Saleha selepas drama Nora Elena.

Rezeki Johan mencurah

Baru lapan bulan dalam industri seni lakon, Johan yang popular dengan watak Botak dalam drama bersiri popular, Juvana sudah merasai tempias dunia glamor yang dikecapi kini.

Sedang namanya mendaki ke puncak, sempat juga namanya terheret dengan kontroversi cintanya bersama aktres Izreen Azminda. Namun, itu semua hanyalah rencah permainan sebagai selebriti, ironinya rezeki Johan tidak terkurang, malah, makin terlebih-lebih pula tawaran lakonan yang datang.

"Alhamdulillah, setakat hari ini tawaran lakonan datang tidak putus-putus dan saya bersyukur kerana semua tawaran yang datang tidak bertindih antara satu sama lain.

"Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama berjudul Kau Milikku bersama Dira Abu Zahar. Selepas itu berderet drama yang menanti seperti Tasbih Putih arahan Rashid Sibir, kemudian sebuah telemovie untuk Astro tentang pesakit HIV positif dan drama untuk slot Samarinda 26 episod bersama Beto Kusyairi," ujar pemilik nama penuh Johan Ariff Asaari itu.

Kini, akui Johan dia sudah mula selesa dan semakin bijak menyesuaikan diri dengan dunia glamor serta statusnya sebagai anak seni, cabaran yang datang ditanganinya dengan sebaik mungkin.

"Cabaran yang saya lalui ialah saya tidak dapat lari dari kontroversi dan publisiti kerana bagi saya itu merupakan cabaran yang perlu saya galas.

Saya pernah berputus asa kerana, saya hanya mahu berikan yang terbaik untuk semua," balasnya yang cukup sinonim dengan watak antagonis.

Bercerita mengenai ASK 2011, debaran menanti Johan apabila buat pertama kalinya dia diberi tanggungjawab sebagai penyampai anugerah di samping aktor Zahiril Adzim.

"Saya tidak sangka akan diberi penghormatan sebagai penyampai anugerah kerana saya masih baharu dalam dunia lakonan berbanding dengan gandingan saya," tuturnya.

Sungguhpun drama Juvana mendapat rating yang tinggi ketika tayangannya, Johan menjelaskan kesemua drama yang tercalon mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

"Saya tidak menaruh harapan yang tinggi, untuk melibatkan diri dalam majlis ASK 2011 sudah cukup besar buat saya.

"Sebagai pendatang baharu banyak lagi yang perlu saya belajar mengenai lakonan. Maknanya selepas ini saya perlu lebih bekerja keras dan memberi kualiti lakonan yang lebih daripada apa yang saya tonjolkan sekarang. Terima kasih buat penonton drama Juvana yang menyokong drama tersebut," jawabnya.

Pertama kali buat Wan Sharmila

Pemilik nama penuh, Wan Sharmila Wan Mohamed bukan wajah baharu dalam dunia seni tempatan. Wajahnya pernah menghiasi banyak drama popular seperti Tari Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara dan Emil Emilda.

Bagaimanapun tuah aktres genit ini untuk menggenggam anugerah masih belum ada rezekinya. Tidak mengharap dan memaksa anugerah itu datang bergolek kepadanya, kata Wan dia percaya kepada rezeki.

"Tidak kisahlah berapa lama saya dalam industri lakonan atau berlakon berpuluh-puluh buah drama, jika belum sampai rezekinya saya untuk menerima anugerah, maknanya saya harus pertingkatkan usaha.

"Mungkin saya rasa saya sudah beri yang terbaik tetapi masih belum terbaik pada mata juri dan ada yang lebih baik daripada saya. Sebab itu saya katakan, jika rezeki berpihak kepada saya, alhamdulillah syukur. Jika tidak, sabar, usaha dan cuba lagi tahun hadapan," balasnya dalam tawa.

Aktres berusia 30 tahun itu yang baru sahaja selepas menjalani penggambaran drama Jalan Songsang bersama Johan Asaari untuk TV3 dan sebuah drama RTM berjudul Najwa Najiha, itu berkata, ASK 2011 yang pertama buatnya sepanjang bergelar pelakon.

Bakal berentap dengan barisan pelakon lain menerusi dua buah drama popular iaitu Nora Elena dan Jangan Hantar Aku Ke Neraka, tutur Wan, dia hanya bertanding dalam kategori pelakon pembantu sahaja.

"Kedua-dua watak saya dalam drama itu merupakan watak pelakon pembantu dan kedua-duanya menuntut saya melakonkan watak antagonis. Memang orang menyampah tengok saya sepanjang drama. Tetapi satu kepuasan buat saya jika orang benar-benar sakit hati tengok lakonan saya," luahnya dalam senyuman.

Beralih kepada topik teman hidup, Wan menegaskan dia kini hanya fokus kepada dunia lakonan sahaja kerana itu merupakan sumber rezekinya.

"Saya tidak mahu fikir soal lain, jodoh itu kalau ada saya terima, tetapi buat masa terdekat ini belum lagi. Kerja saya sekarang hanya berlakon sahaja, saya mahu berlakon selagi terdaya dan memenuhi permintaan orang. Jika tidak, saya mungkin akan membuka kedai makan," katanya mengenai perancangan jangka panjangnya.

Zarina mahu nyanyi lagu dangdut

Penyanyi yang kini lebih dikenali sebagai aktres Zarina Zainoordin mengakui rezekinya lebih terarah kepada dunia lakonan berbanding nyanyian sejak awal kemunculannya selepas keluar daripada Akademi Fantasia musim kedua.

Namun, itu tidak bermaksud Zarina melupakan minat utamanya iaitu nyanyian. Jelasnya, sungguhpun dia ligat berlakon, namun, pada hujung minggu dia masih meluangkan masa untuk mengadakan persembahan pentas jika ada penganjur yang mengundangnya.

"Saya masih menyanyi tetapi mungkin sebab saya banyak berlakon, ada peminat yang hanya mengenali saya sebagai pelakon. Sebenarnya saya kini dalam proses mengumpulkan material untuk muncul dengan lagu single baru," ujarnya.

Memilih untuk muncul dengan genre rock dangdut, tegas Zarina, dia ingin mencuba nasib meskipun sedar irama dangdut sering dianggap genre kelas bawahan oleh peminat seni tanah air.

"Ramai orang tidak tahu, setiap kali saya buat persembahan, ramai orang minta lagu dangdut, disebabkan saya tidak memiliki lagu dangdut sendiri, saya nyanyi lagu orang lain.

"Jadi, saya fikir, apa salahnya saya mencuba buat lagu dangdut sebab saya juga peminat irama dangdut sebenarnya. Kalau saya buat lagu pop sudah terlalu ramai sangat penyanyi, takut tidak boleh bersaing.

"Untuk single ini, saya laburkan wang sendiri, oleh itu harus tampil dengan konsep dan genre yang berbeza daripada orang lain," katanya yang ingin mencari identiti sendiri di pentas nyanyian.

Mengenai ASK 2011, nama Zarina berkemungkinan besar akan pulang membawa pulang anugerah apabila drama bersiri lakonannya Syurgamu Ramadan tercalon dalam ASK 2011.

"Saya tidak pernah meraih pencalonan ASK sebelum ini. Mungkin sudah rezeki, bagi saya tercalon sudah cukup baik. Menang atau kalah itu belakang kira. Kalau menang, bukan bertambah popular tetapi bertambah tanggungjawab. Sudah menang anugerah mana boleh berlakon macam kayu, itu contoh.

"Bagi saya apa yang penting, malam itu nanti, semua pelakon akan berkumpul, rasanya masa itu sahajalah semua orang akan berjumpa dan bertanya khabar masing-masing," luahnya lagi.

Full content generated by Get Full RSS.

Take Me Out mencari cinta romantis

Posted:

Take Me Out mencari cinta romantis

Take Me Out mencari cinta romantis

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


HOS Take Me Out, Nazrudin Habibur Rahman dan Julie Woon bersama barisan peserta.


TARIKH 11 November mungkin antara pilihan pasangan mengabdikan cinta dalam ikatan tulus sebuah perkahwinan. Mungkin ada yang tidak tahu, pada 11 November setiap tahun adalah hari untuk masyarakat di Korea bertukar-tukar coklat untuk meraikan cinta.

Sementara di negara China pula tarikh 11 November didedikasikan khas buat insan yang hatinya masih belum terisi cinta yakni Hari Bujang.

Namun, tarikh 11 November tahun ini dipilih stesen televisyen popular ntv7 untuk menyajikan rancangan realiti pencarian cinta romantis, Take Me Out versi Malaysia.

Rancangan realiti yang akan bersiaran setiap hari Jumaat pukul 8.30 malam itu akan memberi ruang kepada sang arjuna dan si dara mencari cinta sejati.

Rancangan 15 episod itu akan dihoskan oleh Nazrudin Habibur Rahman dan Julie Woon untuk menemukan cinta 30 gadis di pentas Take Me Out.

Take Me Out Malaysia cuba mengekalkan format asal sebaris dengan versi asalnya yang dimiliki Fremantle Media. Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, rancangan baharu itu akan memberikan pelbagai kejutan kepada penonton.

"Saya sendiri teruja apabila mendengar ada antara gadis dan jejaka yang mengalirkan air mata di dalam rancangan ini," katanya ketika sidang akhbar di studio rakaman KRU Productions Sdn. Bhd. di Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya, sesi temu duga bersama gadis-gadis dan jejaka yang bakal terbabit dalam rancangan itu telah diadakan terlebih dahulu.

"Ini demi memastikan mereka benar-benar mahu terlibat dalam rancangan ini dan betul-betul mencari cinta sejati," katanya yang meletakkan syarat setiap peserta mestilah berumur 18 tahun ke atas dan sudah tentu masih solo.

Namun, pihak produksi tidak menjanjikan bahawa setiap peserta akan memperoleh pasangan menerusi rancangan itu.

Jaga sensitiviti

Dari segi sensitiviti kepelbagaian kaum pula, ujar penerbit kandungan, Sean J, pihaknya punyai satu badan khas yang memantau dan menyelia kandungan agar tidak mengganggu norma masyarakat.

"Selain memantau setiap episod, kami juga tidak menggalakkan pasangan bukan muslim dan muslim untuk keluar bersama, diharapkan perkara ini tidak menjadi isu," tuturnya.

Tambah Sean J lagi, krew produksi Take Me Out telah menjalankan kajian di negara jiran Indonesia yang terlebih dahulu membeli rancangan itu berbanding Malaysia memandangkan faktor sosiobudaya yang hampir sama.

"Selama dua tahun kami membuat kajian terperinci apa yang patut dan tidak patut dibuat sepanjang rancangan berlangsung, bagaimanapun kami akan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

"Tapi kita tidak boleh kawal perasaan cinta untuk hadir dalam diri setiap insan, kita boleh meneka tapi kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku dalam setiap episod," terangnya lagi.

Mencari cinta

Formatnya masih sama seperti siaran yang telah dijayakan di Australia, Indonesia, Filipina, Jepun, Korea, Denmark, Belanda, Sweden, Sepanyol dan United Kingdom.

Setiap minggu empat jejaka akan cuba mengagumkan barisan 30 gadis yang berbeza latar belakang dan personaliti. Gadis-gadis tersebut akan berada di podium dengan lampu yang bernyala.

Sang jejaka akan diberikan peluang tiga kali untuk memikat gadis-gadis di hadapannya dengan pandangan pertama, video khas sang jejaka dan bakat terpendam.

Jika gadis-gadis itu tertarik pada jejaka di hadapan mereka, lampu akan dibiarkan menyala jika tidak lampu akan dipadamkan. Jika semua lampu dipadamkan maka sang jejaka terpaksa berputih mata.

Jika lebih dari seorang gadis membiarkan lampunya bernyala, sang jejaka pula akan membuat keputusan untuk memilih dua orang gadis yang mencuri hatinya dan bertanyakan soalan kepada mereka untuk tentukan mana satu idaman hati.

Setiap kali seorang gadis meninggalkan pentas bersama jejaka pilihannya, dia akan digantikan dengan seorang gadis baharu.

Perkembangan si gadis yang dibawa keluar dan aktiviti bersama pasangan masing-masing akan dipertontonkan menerusi Take Me Out Extra iaitu diari 30 minit pada setiap hari Ahad pukul 3 petang yang disiarkan bermula 13 November.

Krew Take Me Out masih terus mencari wanita dan jejaka bujang yang ingin menyertai rancangan itu. Bagi yang berminat untuk menyertai rancangan ini, maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang www.ntv7.com.my/takemeout.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved